Sabtu, 20 Julai 2013

NAK MENANG JANGAN SAMPAI MENIPU SERTA BERBOHONG ATAU MEMBUAT KERJA FITNAH MENFITNAH

Syarikat tidak berwibawa dapat tanah 200 ekar di Pulau Perhentian

Harakahdaily, 19 Jul 2013
BESUT: PAS mempersoal tindakan Kerajaan Negeri Terengganu yang memberikan tanah seluas 200 ekar di Pulau Perhentian kepada sebuah syarikat yang 'tidak berwibawa'.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, syarikat tersebut pula hanya dikenakan bayaran premium rendah hanya sebanyak RM21,000.

Lebih menyedihkan katanya, syarikat tersebut telah menjual pula tanah-tanah strategik di pesisir pantai itu kepada pihak ketiga.

"Ini lebih kepada buat untung atas angin. Kenapa jual kepada pihak ketiga. Kalau ianya sebuah syarikat yang berwibawa, sepatutnya dia majukanlah.

"Orang kampung duduk bertahun-tahun, permohonan mereka untuk mendapatkan tanah dibekukan, namun syarikat ini dapat mudah-mudah," katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media di Markas Besar PAS PRK Kula Besut di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berhubung pendedahan tersebut.

Pada sidang media sama, Husam yang juga pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi PRK Kuala Besut turut mendedahkan bahawa seperti terdapat usaha untuk mengambil tanah dari penduduk di pulau tersebut.

Beliau mendakwa mendapat maklumat berhubung kerja-kerja mengukur 40 lot tanah di kawasan tersebut.

Menurutnya tanah-tanah tersebut dikatakan untuk projek pengindahan Pulau Perhentian dan berkemungkinan penduduk di situ akan dipindahkan ke tempat lain.

Oleh yang demikian katanya, jika PAS menang pada PRK Kuala Besut ini, ianya akan menguatkan suara PAS di dewan undangan negeri dengan kedudukan 16:16 sekaligus boleh membantah tindakan mengambil tanah dari penduduk ini.

PAS masih sangsi dakwat kekal di Kuala Besut

Buletin Online, 19 Jul 2013
BESUT: Walaupun simulasi dakwat kekal telahpun dijalankan oleh pihak Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) dan turut disertai oleh pelbagai pihak antaranya wartawan, namun PAS masih merasa sangsi dengan keberkesanannya.

Ini kerana kegagalan SPR menepati janji mereka dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang lalu, masih belum cukup dengan simulasi ini, bagi menebus kembali kepercayaan umum terutama sekali dari pihak PAS.

Menurut Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli, beliau dimaklumkan bahawa kandungan bahan utamanya iaitu silver nitrate di dalam dakwat tersebut masih lagi satu peratus, sama seperti kandungan yang diisytiharkan oleh SPR dalam PRU13.

Namun umum mengetahui kesan dakwat yang digunakan dalam PRU13 lalu, tidak kekal dan ianya menjadi tanda tanya sama ada dakwat yang bakal digunakan itu adalah dakwat yang sama atau tidak.

“Sekiranya dakwat yang sama, saya ragui kenapa boleh berbeda begitu. Akan tetapi jika dakwat baru yang digunakan dalam simulasi ini, adakah dakwat yang sama (yang baru) akan digunakan dalam PRK nanti?” tanya beliau.

Sambil tidak menafikan kebaikan dakwat kekal seperti yang didakwa oleh SPR dalam simulasi itu, beliau menegaskan jika benar kekal, maka itulah yang sepatutnya fungsi sebenar dakwat kekal agar tidak berlaku pengundian lebih dari sekali.

Umno mencari ketua wanita

Subky Latif, 19 Jul 2013
Dengan masalah yang menimpa Ketua Wanita Umno, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kekosongan Naib Ketua Wanitanya ekoran Dato’ Kamilia Ibrahim keluar parti dan bertanding calon bebas, maka sayap wanita Umno itu menghadapi dilema bagi mendapatkan pimpinan yang bersih dan berwibawa dalam pemilihan pimpinannya hujung tahun ini.

Shahrizat dengan semua masalah yang dihadapinya masih bertegas untuk  terus memimpin sayap itu, Wanita Umno sewajarnya dalam suatu yang baru memerlukan orang yang brwibawa dan ada integriti untuk memimpinnya.

Mungkin dia ada kepintaran berpolitik. Kepintaran saja tidak cukup. Mungkin dia tiada ganti pada masalah. Tetapi komitmen Umno ialah Najib mahukan transformasi. Bukan kerajaannya saja perlukan transformasi, partinya juga mesti mendahului transformasi.

Apa transformasinya kalau dia juga menjadi ketua wanita sedang ia penuh dengan masalah. Orang tiada masalah tapi kurang pintar adalah lebih baik untuk menjadi pemimpin.

Apakah Umno yang Najib terajui itu dapat menyempurnakan transformasi? Ia adalah hal Najib dan Umnonya. Tetapi wanita mesti  lebih ke depan transformasinya darpada yang lain. Menjadi penyokong Najib dan Rosmah lebih 100 peratus tidak cukup.

Dengan itu Wanita Umno memerlukan orang baru bagi menjadi ketua. Shahrizat perlu menunjukkan kasihnya kepada Wanita Umno dengan memberi peluang kepadanya dipimpin oleh orang bersih, tidak bermasalah, berwibawa  dan dihormati oleh semua termasuk orang di luar Umno.

Siapa orangnya? Pimpinan Wanita Umno tidak mencarinya kerana ia sudah dikepung oleh Shahrizat yang masih tidak memahami keadaannya sendiri yang sudah menjadi liabiliti kepada parti.

Setakat ini orang dari luar pimpinan yang menawar diri ialah Azalina Otman, bekas ketua yang menaja Putera Umno dan telah tidak terpilih lagi jadi menteri.

Azalina semasa memimpin Puteri  tidak mendekati Wanita sebaliknya Puteri menjadi saingan kepada Wanita. Sepatutnya Puteri menjadi pasak bagi mengukuhkan mana-mana yang longgar. Tetapi Azalina jadi macam Muslimat PAS pada Wanita Umno.

Selepas dia melepaskan pimpinan Puteri, dia tidak mendekati Wanita. Mungkin  dia lebih sesuai dengan Pemuda.

Apa pun jika Najib dan Rosmah mahu, kelemahan lampau itu boleh diatasi.

Agak penting juga Wanita Umno memahami bahawa ia adalah sebahagian dari wanita timur. Wanita timur mesti lemah lembut dan keibuan. Bukan macam wanita barat yang sama saja antara jantan  dan perempuan. Tidak macam semasa pimpinan Tun Fatimah  Majid dan Tan Sri Aishah Ghani. Tegas tetapi ada keibuannya.

Shahrizat dan Azalina sama-sama tidak berapa nampak keibuannya. Wanita Malaysia berkehendakkan pemimpin wanita yang berbeza dengan orang atas angin. Tidak nampak seperti orang jantan.

Tidak seperti Datin Seri Wan Azizah Ismail dan anaknya Nurul Izah. Nampak watak ibunya. Macam Teresa Kok walaupun belum jadi ibu, tetapi kewanitaannya terserlah.

Maka Wanita Umno sebagai sebahagaian dari wanita Islam perlu mencari pemimpin baru dan cari yang berwibawa. Tun Abdullah dan Najib bawa Dr Mashitah Ibrahim dalam kerajaan tetapi mereka tidak masukkan dia dalam Wanita Umno. Mungkin ketua Puteri  yang bakal cukup umur, jika diberi kepercayaan dapat memenuhi keperluan Wanita Umno masa akan datang.

Berilah ahli sukan memimpin  sukan dan berilah gerakan wanita kepada yang keibuan.

Sudah sampai masa tol percuma untuk rakyat

Harakahdaily, 19 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Pernahkah kerajaan mahupun syarikat ini terfikir duit rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat atas pengorbanan mereka bertahun-tahun di atas lebuh raya?

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil melontarkan pertanyaan itu ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof yang mendedahkan suatu laporan bahawa sebanyak 28 buah syarikat konsesi lebuh raya di negara ini telah mengumpul sebanyak RM4.8 bilion pada tahun 2012.

Justeru, beliau dalam satu kenyataan berkata cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan kadar tol dengan kerajaan mengambil alih atau membeli syarikat-syarikat konsesi tol membuktikan bahawa sebenarnya kerajaan mampu melaksanakan cadangan ini, sekiranya mereka mahu.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof mendedahkan suatu laporan bahawa sebanyak 28 buah syarikat konsesi lebuh raya di negara ini telah mengumpul sebanyak RM4.8 bilion pada tahun 2012 dengan Plus Expressway Bhd mengumpul jumlah tertinggi sebanyak RM2.4 bilion dari Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (RM24.62 juta) dan Lebuhraya Sprint (RM111.84 juta).

Perkembangan ini tentunya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara di samping menguntungkan syarikat tersebut.

Pengguna jalan raya telah memberikan suatu keuntungan yang begitu tinggi tahunan kepada syarikat konsesi lebuhraya, dengan menjadi penyumbang terbesar kepada syarikat-syarikat ini.

Setiap saat wang mengalir keluar dari poket pengguna lebuh raya dan setiap saat itulah wang masuk ke akaun syarikat-syarikat konsesi ini.

Kadar keuntungan dalam masa setahun seperti yang tercatat bagi syarikat-syarikat ini mencecah RM4.8 bilion, dengan angka ini boleh dibayangkan nilai keuntungannya dalam masa sepuluh tahun, mungkin ianya mencecah berpuluh bilion.

Dengan jumlah kenderaan di jalan raya setiap hari semakin meningkat, tidak pernah berkurang dari tahun ke tahun, ada kemungkinan keuntungan yang diperolehi jauh dari jangkaan perkiraan atas kertas.

Kesemua syarikat ini yang bertanggungjawab mengusahakan projek lebuhraya dan mengutip tol dari pengguna jalan raya telah mendapat laba dari projek mereka.

Tiada kerugian tercatat dalam projek yang diusahakan menandakan industri lebuh raya adalah projek yang menguntungkan.

Industri lain yang bergiat aktif dalam perniagaan merasa cemburu kerana syarikat-syarikat konsesi lebuh raya tidak pernah rugi sedangkan industri lain ada pasang surut dalam perniagaan.

Dalam meneliti laporan Menteri Kerja Raya ini, tergambar di fikiran rakyat bahawa pengguna lebuh raya telah memberikan suatu sumbangan yang besar kepada syarikat-syarikat ini setiap tahun.

Apalah salahnya, jika suatu masa syarikat-syarikat tersebut pula terfikir untuk memberikan sumbangan bermakna kepada semua pengguna lebuh raya sebagai suatu tanda ‘terima kasih’ atas sumbangan mereka.

Sudah tentu yang paling dinantikan oleh rakyat adalah usaha menurunkan harga tol secara berperingkat dengan sasaran akhirnya adalah menghapuskan tol di semua lebuh raya.

Pernahkah kerajaan mahupun syarikat ini terfikir duit rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat atas pengorbanan mereka bertahun-tahun di atas lebuh raya?

Cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan kadar tol dengan kerajaan mengambil alih atau membeli syarikat-syarikat konsesi tol membuktikan bahawa sebenarnya kerajaan mampu melaksanakan cadangan ini, sekiranya mereka mahu.

Hanya kerajaan dan pihak yang prihatin sahaja memikirkan masalah rakyat, dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukan berniaga dengan rakyat sendiri.

Malanglah bagi rakyat yang terhimpit dengan kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi, sedangkan syarikat-syarikat seperti ini mengaut keuntungan berbilion ringgit setiap tahun dari poket rakyat.

Al-kisah sebuah rumah

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 19 Jul 2013
Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi. Dia terus berleter.

“Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. “

Mendengarkan kata kata tangga. Atap terus bersuara.

"Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak.”

Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.

“Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak.”

Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.

“Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna,“ jawab dinding dan semua tersenyap.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba jadi orang lain.

Senyum.

Tiada cerita tak elok tentang Che Long - Pak Mud

Muhammad Faizal, 19 Jul 2013
BESUT: Pak Mud atau nama sebenarnya Mahmud Kassim, 70, (gambar) mungkin nama kecil di Kuala Besut tetapi sejak pilihan raya kecil berlangsung di sini, beliau menjadi penting kerana satu seorang adalah satu undi.

Pelbagai pihak datang berjumpa beliau untuk berkempen agar mengundi calon masing-masing, namun kali ini Pak Mud mahu mengundi calon PAS.

Beliau antara yang gembira apabila mengetahui PAS telah meletakkan Endot@Azlan Yusof sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut pada 24 Julai nanti.

Beliau yang merupakan penduduk di Kampung Beris Lampu memberitahu Azlan atau dipanggil sebagai Che Long merupakan calon yang tepat bagi mewakili PAS pada PRK ini.

Jelasnya, selain dikenali oleh penduduk setempat, Che Long juga mempunyai sifat peribadi yang baik serta pemurah dan sanggup menolong penduduk setempat.

"Pakcik kenal dia sejak dari kecil, beliau memang baik tak ada cerita yang tidak elok tentang beliau.

"Sepanjang pakcik mengenali Che Long, dia selalu tolong penduduk setempat. Sikap pemurah yang beliau tunjukkan amat disenangi penduduk setempat," jelasnya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya tentang peluang Che Long untuk memenangi kerusi Dun Kuala Besut pada PRK kali ini, beliau berkeyakinan Che Long mampu mengambil balik kerusi yang dimenangi Barisan Nasional sebelum ini.

"Pak cik yakin Che Long (PAS) akan menang pada PRK ini sebab tidak ada langsung isu yang boleh kita nak serang peribadi beliau.

"Beliau jujur dan menghormati semua lapisan masyarakat malah bukan hanya sekitar Kuala Besut sahaja tetapi seluruh kawasan-kawasan lain," sambung beliau lagi.

Pok Mud yang mengulangi sikap permurah anak tempatan Che Long bukannya kepada ahli-ahli PAS tetapi kepada keseluruhan penduduk di sini termasuk mereka dari kalangan Umno.

Gambar terbaik: Ceramah Tok Guru Nik Aziz sempena PRK Kuala Besut

http://kachipemas.blogspot.com, 19 Jul 2013
Gambar suasana ceramah perdana sempena PRK N.01 Kuala Besut di kampung ambo, Kg Beris Pak Abu. Penceramah 1.YB. Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) 2.Tuan Ibrahim Tuan Man serta beberapa pimpinan PAS yang lain...Tintahijau

Tarif elektrik naik selepas PRK Kuala Besut?

Harakahdaily, 19 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasakan selepas sahaja pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut ada kemungkinan tarif elektrik akan dinaikkan.

Ini ekoran kenyataan Pengerusi Tenaga Nasional, Tan Sri Dr Leo Moggie dengan alasan kerana kerajaan berkemungkinan mengurangkan subsidi bagi tenaga elektrik dan semakan semula tarif elektrik akan dibuat semula.

"Jadi, keputusan sama ada tarif akan kekal sama atau dinaikkan, tidak akan dibuat oleh TNB, tetapi akan diputuskan oleh kerajaan," kata Leo Moggie dipetik laporan media.

“Persoalannya bilakah ia akan dilakukan?” tanya Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss.

Justeru, ujarnya DPPM merasa kesal di atas ‘hadiah’ yang bakal diterima oleh rakyat selepas berakhirnyaPRU13 pada 5 Mei yang lalu.

“Bagi kami, di manakah slogan ‘rakyat diutamakan’?” tanya beliau lagi.

DPPM, ujarnya merasakan kerajaan tidak sensitif dan seolah-olah ingin ‘menghukum’ rakyat setelah PRU13 mencatatkan satu keputusan yang membimbangkan BN.

Menurutnya, mungkin ia juga ‘hadiah’ kepada penyokong tegar BN kerana telah memberikan undi kepada mereka.

Beliau berkata, menang atau kalahnya BN pada PRK Kuala Besut tidak akan memastikan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan kelak.

“Oleh yang demikian, kami mencabar BN dalam tempoh kempen PRK Kuala Besut yang ada untuk memberikan jaminan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan.

“Dan kami juga mencabar bahawa BN akan berjanji tidak akan menaikkan tarif elektrik dalam tempoh masa lima tahun yang akan datang jika benar ‘rakyat diutamakan’,” katanya.

Tiada ulasan: