Isnin, 22 Julai 2013

SEMUA SURAT TERBUKA....BAGAIMANA ALQURAN YANG JELAS TERBUKA...HUKUM2NYA...PERINTAH2NYA...LARANGAN2NYA...PERINGATAN2NYA...BERITA2 BAIK DAN BURUK DICERITAKAN...TAK NAK IKUT JUGA KE

Beberapa kesilapan sepanjang Ramadhan

Zaharuddin Abd Rahman, 22 Jul 2013
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim dalam bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dalam surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadis sahih tentang Sayyidatina Aisyah RA yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1.Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadis, Ertinya: "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu." (Riwayat al-Bukhari)

2.Makan sahur ketika waktu tengah malam kerana malas bangun pada akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3.Bersahur dengan hanya makan dan minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin yang bermaksud:

"Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar."
(Surah az-Zariyyat : ayat 18)

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah: Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT); jawab Nabi: Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu." (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4.Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5.Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6.Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (sama ada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadis riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7.Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja pada siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya ketika Ramadhan ini.

8.Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9.Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Hal ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10.Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11.Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, sama ada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan Rasul-Nya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan, maksudnya:

“Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, walhal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: Wahai Tuhanku... wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram.. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.”
(Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sahih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram? Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri daripada riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12.Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut,ertinya:

"Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi."
(Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadis, maksdunya.

"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak."
( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sahih)

http://www.zaharuddin.net

Che Long tiada masalah bertemu penyokong BN

Muhammad Faizal, 22 Jul 2013
BESUT: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum hari pengundi Rabu ini menyaksikan kedua-dua parti yang bertanding giat meneruskan kempen mereka.

Calon PAS, Azlan Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Che Long yang sempat ditemui Harakahdaily menjelaskan program kempennya telah memasuki pusingan kedua dan tumpuan beliau selain mendekati sanak saudara, penyokong Barisan Nasional (BN) turut menjadi sasarannya.

Beliau ketika ditanya mengenai sambutan penduduk memberitahu amat berpuashati dengan penerimaan dirinya sepanjang beliau berkempen menemui pengundi-pengundi termasuk sanak saudara.

"Sepanjang dua hari ini saya tumpukan perhatian mengunjungi sanak saudara saya, syukur mereka menyokong saya.

"Saya berpuashati dengan sambutan yang diberikan serta penerimaan mereka terhadap saya," jelasnya yang ditemui di Markas Utama PAS Kampung Baharu.

Menurutnya lagi, selain itu juga beliau turut memasuki kubu kuat BN dan bertemu dengan penyokong BN.

"Saya juga masuk ke kawasan kuat BN serta bertemu dengan pengundi mereka, tidak ada masalah untuk saya berbual serta meminta sokongan untuk pilih saya.

"Kebanyakannya saya kenali begitu juga mereka, lagi pun sebelum ini sudah selalu berbual jadi tak ada masalah bagi saya.

"Kita berusaha sedaya yang mampu dan tidak akan putus asa, selebihnya kita serah pada Allah. Janji Dia telah ada cuma kita tidak tahu dan saya pasti kita ada kelebihan," sambungnya lagi.

Che Long yang akan memberi tumpuan kepada Kampung Seberang Barat bagi kempen terakhir dan beliau sasarkan untuk bertemu seramai mungkin penyokong BN.

Kuala Besut medan tarik sokongan pemilihan Umno

Muhammad Faizal, 22 Jul 2013
BESUT: Pimpinan utama Umno yang hadir di Kuala Besut dilihat mempunyai agenda peribadi bagi mendapat sokongan untuk menghadapi pemilihan parti hujung tahun nanti bukannya untuk berkempen kepada calon BN.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, Hanafiah Mat yang melihat kedatangan pimpinan utama Umno hanya menonjolkan aktiviti peribadi bukannya calon Barisan Nasional.

Beliau yang menyifatkan tindakan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memangku seorang penduduk yang uzur di Kampung Gong Nering semalam merupakan tindakan yang baik.

Tambahnya, tetapi perkara itu hanya berlaku pada waktu PRK sahaja dan kenapa hanya tumpuan kepada beliau bukannya calon BN.

"Kita tengok suasana hangat dan meriah berlaku di pos-pos BN setiap malam, sebab apa ia berlaku adalah kerana ia merupakan hari terakhir kempen Majlis Tertinggi Umno untuk sesiapa yang yang bertanding nanti.

"Dan mereka yang berhasrat untuk bertanding mengambil peluang menonjolkan diri mereka sedangkan soal calon mereka diketepikan," jelasnya ketika ditemuai di Markas Utama PAS, Kampung Baharu.

Beliau juga mengulangi jika Zahid boleh melakukan perkara sedemikian untuk menjadi popular sudah pasti peluang itu turut diambil oleh pimpinan lain sama ada dari Pemuda, Puteri mahupun Wanita Umno.

"PRK ini menjadi kempen untuk diri sendiri bukannya untuk calon BN.

"Individu yang berhasrat untuk bertanding datang ke Kuala Besut lebih mementingkan agenda peribadi dari tujuan asal BN pada PRK," sambung beliau.

Perantau Kuala Besut dirayu pulang mengundi

Saidah Hairan , 22 Jul 2013
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merayu kepada pengundi Kuala Besut yang berada di perantauan pulang mengundi pada Rabu ini untuk memenangkan PAS di Dun Kuala Besut.

Ini kerana kata beliau, pengundi luar yang sebilangan besar daripada anak-anak muda sangat penting kerana mereka boleh mempengaruhi ibu bapa, saudara mara dan masyarakat untuk mengundi PAS.

Katanya, lebih 50 peratus pengundi muda yang berada di perantauan perlu balik dengan melakukan satu gerakan kesedaran dengan menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat kampung supaya mengundi calon PAS. 

"Orang Melayu ini kalau Dun kalah mereka tidak mahu balik mengundi. Zaman sekarang ini masyarakat kita sangat lemah. Kena balik dan bagi kesedaran," katanya kepada anak-anak perantau Kuala Besut di majlis berbuka puasa di Shah Alam, kelmarin.

Beliau berkata, PAS menang di Dun Kuala Besut menjadikan kerusi 16:16 sekurang-kurangnya BN tidak boleh meluluskan segala perancangan untuk negeri dengan mudah.

Tambah beliau, kedudukan seri itu cukup besar untuk membolehkan PAS mengambil alih negeri Terengganu.

Bagaimanapun kata beliau jika PAS berada dalam keadaan yang lemah lebih baik tidak payah mengambil negeri tetapi perlu menjadi pembangkang yang kuat.

"Jika PAS menang boleh memerintah jika tidak menang boleh menyampaikan kebenaran dalam sidang dewan undangan negeri," tegasnya.

Menurut beliau, jika tidak berani mencegah kemungkaran Allah akan menurunkan bencana yang akan menimpa semua orang sebagai contoh gejala dadah disebabkan tidak mahu menjalankan syariat Allah.

Ini bencana yang tidak ditujukan kepada orang yang zalim sahaja sebab itu wajib menegakkan hukuman Allah, tegasnya.

Tuan Guru bersama isteri, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah; Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Datuk Husain Awang;  Exco Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Ustaz Sallehen Mokhyi.

Surat terbuka untuk perantau Kuala Besut

Dr Azman Ibrahim, 22 Jul 2013
Sahabatku perantau
Walau di mana saudara berada, saya doakan saudara semua dalam kesejahteraan dan rahmat Allah.

Saya masih ingat pesanan Tuan Guru Presiden PAS dalam satu program bersama Perantau, “Pulang untuk mengundi parti Islam adalah kewajipan fardhu ain bagi mereka yang berupaya...”

Kita perlu menjadi kuat demi kemenangan Islam. Jangan dihiraukan halangan yang cuba ditimbulkan oleh SPR yang sepatutnya di samping bertindak sebagai pengadil pertandingan, SPR juga perlu bertindak sebagai pemudah cara yang perlu melapangkan jalan seluas  mungkin bagi kemudahan pengundi menunaikan tanggungjawab. Sebarang tindakan untuk menghalang dan menyusahkan kepulangan pengundi untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab di medan demokrasi adalah suatu tindakan tidak beretika yang perlu dicanggah.

Kita mengetahui betapa kesukaran sahabat semua untuk bermusafir dibulan Ramadhan ini tetapi jangan lupa bahawa Peperangan Badar, persiapan Peperangan Khandak, pembukaan Kota Mekah, Peperangan ‘Ain Jalut, pembebasan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al Ayyubi, pembukaan Andalusia oleh Tariq bin Ziad semuanya berlaku di bulan Ramadhan. Alangkah kerdilnya kita sekiranya Ramadhan dijadikan alasan untuk kita tidak pulang mengundi.

Sahabatku

Sekadar membelanjakan sedikit wang minyak yang mungkin boleh dituntut semula serta hanya perlu memangkah di atas sekeping kertas, ternyata ianya sangat minima. Walaupun minima, ganjarannya besar di sisi Allah dengan  syarat yang dipangkah adalah parti yang ingin meninggikan agama Allah.

Saudara mungkin berkata, “Allah... dekat sangat dah dengan hari raya, balik mengundi 24 haribulan ni, lepas tu hari raya kena balik pulok!” Saya sekadar ingin bertanya, kalau Islam tak menang kerana disebabkan ketidak pulangan saudara untuk mengundi, bolehkah dengan jawapan di atas saudara jawab di hadapan Allah dan saudara yakin mampu melepaskan diri? Sekiranya yakin alasan sebegini boleh diterima, maka silakan. Tetapi bagi saya lebih mulia untuk kita berada dimartabat orang yang menjadi penyebab kepada kemenangan Islam dari menjadi yang sebaliknya.

Sahabatku perantau

Saudara tentu memaklumi bagaimana kebimbangan Umno dengan pengundi yang celik mata dan hati serta bermaklumat seperti saudara semua. Hari mengundi dihari Rabu serta ketika hampir dengan hari raya adalah percubaan dayus untuk menggagalkan penyertaan saudara semua dalam Pilihanraya Kecil Kuala Besut ini. Saudara nak tengok hilai tawa Umno yang penuh keangkuhan atau kita ingin sama-sama letakkan noktah kepada kepada kebebalan mereka? Kalau saya, tentunya saya memilih untuk kita akhiri segala drama jijik Umno sepanjang kempen Pilihanraya Kecil ini dengan takbir kemenangan.

Sahabatku perantau

Angka 16:16 mesti direalisasikan. Setiap kita berkewajipan. Saudara semua tentu memaklumi perit jerih sahabat-sahabat pengundi dan petugas di lapangan yang telah melakukan segala pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, hati dan perasaan semenjak dari hari kekosongan kerusi N01 diisytiharkan. Mereka telah menunaikan kewajipan mereka. Hakikatnya di hari mengundi sekuat mana pun mereka, hanya satu undi yang mampu mereka sumbangkan, satu undi lagi ada pada saudara. Jangan sia-siakan ia.  Pulanglah perantau pakoh PAS!

Surat terbuka untuk Ahmad Said

Edry Faizal Eddy Yusof Roketkini, 22 Jul 2013
Datuk Seri Ahmad Said,
Sejurus selepas tamatnya Pilihan Raya Umum ke-13, sebuah akhbar arus perdana melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu yang diperintah Barisan Nasional (BN) tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang tidak dimenangi BN. Saudara turut dipetik berkata tidak akan membina rumah mampu milik di kawasan DUN yang BN kalah. Sebaliknya rumah mampu milik itu hanya akan dibina di kawasan yang dimenangi parti saudara saja.

Tindakan itu menampakkan tanda-tanda membalas dendam terhadap rakyat yang memilih untuk tidak menyokong BN. Sedangkan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan telah menjamin hak seorang warganegara Malaysia untuk memilih wakil mereka, sesiapa saja yang rakyat rasakan cocok. Terbaru, muncul video ucapan saudara menghuraikan maksud “adil” dengan pengertian yang sangat dangkal. Sekaligus menggambarkan pendirian politik saudara dan mungkin juga keseluruhan parti saudara.

Di dalam video itu saudara menyatakan, “Adil ertinya memberi dan menerima. Tuan-tuan beri undi (pada) kita, kita beri bantuan pada tuan-tuan. Tuan-tuan tak undi kita, kita tak berilah. Betul tak? Inilah politik. Politik mendahulukan pengikut dia.”

Pendirian politik sedemikian bukan saja bercanggah dengan semangat perlembagaan dan demokrasi. Tetapi juga mencerminkan pemahaman politik yang bejat. Nampaknya saudara tidak faham prinsip demokrasi yang menjadi tapak asas negara ini dan peranan sesebuah kerajaan di dalam negara demokrasi. Maka saya terpanggil menulis warkah ini untuk menjelaskan kepada saudara, moga-moga hilangnya gelap pembodohan dengan cahaya pencerahan.

Demokrasi dan Kuasa Rakyat

Enam tahun selepas Kemerdekaan tanah air kita, Tunku Abdul Rahman menegaskan di dalam Pemasyhuran Malaysia pada 16 September 1963 dengan ikrar bahawa Malaysia “akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat…” Di dalam sistem demokrasi yang ideal kuasa dan pembabitan politik tidak berpusat kepada mana-mana individu atau kumpulan kecil sebaliknya dikongsi bersama semua rakyat. Sekiranya saudara hendak memahami dengan mudah bentuk kekuasaan rakyat ini, mungkin saudara boleh rujuk kartun politik dari akhbar Majlis pada Februari 1948 yang melakarkan slogan dilaungkan parti UMNO lama (bukan UMNO Baru yang saudara sertai sekarang) iaitu, “Rakyat itu raja!”

Sekalipun kuasa itu di tangan semua, leluhur kita telah memilih sistem yang dirasakan lebih menjamin semak dan imbang untuk melancarkan urusan pentadbiran. Maka dibahagikan kuasa kepada tiga badan; badan penggubal undang-undang, pelaksana undang-undang dan badan yang menjalankan urusan pentadbiran mengikut undang-undang. Beralasankan praktikal bahawa mustahil setiap seorang rakyat boleh terbabit dalam membuat keputusan atau mungkin mahu meniru saja sistem Westminster, maka leluhur kita telah memilih sistem demokrasi perwakilan dan berparlimen. Tiap seorang rakyat yang dikatakan ‘raja’ itu perlu memilih wakil mereka untuk urusan penggubalan undang-undang dan orang yang akan menguruskan negara bagi pihak mereka dalam hal pentadbiran. Sebab itulah saudara digelar wakil rakyat dan bukannya wakil UMNO atau wakil juak-juak Mat Said.

Rakyat perlu memilih seseorang atau sekumpulan manusia untuk mewakili mereka. Ketepikan dulu soal adil atau tidak, pemilihan dibuat berdasarkan undi dan siapa yang memiliki lebih banyak undi daripada pesaingnya akan menang. Namun ini pemilihan, bukan pertandingan kalah mati yang mana pemenang hidup dan yang kalah mati. Ibaratkan satu keluarga dengan tujuh orang anggota dan cuma satu kenderaan. Pening memikirkan mahu balik ke kampung sebelah ayah atau sebelah ibu pada Hari Raya pertama. Akhirnya mereka bersetuju memutuskan dengan undian ala first past the post. Tiga undi memihak kepada kampung si ayah dan empat undi memihak kampung si ibu. Maka berapakah bilangan ahli keluarga yang akan pulang ke kampung sebelah ibu?

Tentulah semua tujuh ahli keluarga kerana pengundian itu hanya bertujuan memudahkan pilihan, bukan mengetepikan sesiapa. Cuma kalau mengikut rumus keadilan saudara yang bermasalah, empat ahli keluarga akan pulang ke kampung sebelah ibu dan tiga lagi tinggal di rumah, terhukum!

Hak Rakyat

Kembali kepada apa yang dikatakan “rakyat itu raja”. Saudara hendaklah sedar bahawa apabila disebut rakyat, ia merujuk kepada warga sesuatu negara atau negeri, yang terdiri daripada mereka yang menyokong saudara dan tidak menyokong saudara. Apabila dikatakan “rakyat itu raja” maka ia juga membawa makna negara ini milik setiap rakyatnya, tidak kira apa pandangan politik mereka. Bukan seperti zaman dahulu kala apabila negara dan segala hasilnya adalah milik mutlak individu tertentu baik dengan gelaran Maharaja, Raja, Pembesar dan sebagainya. Sekiranya saudara boleh faham ini, maka saudara akan tahu bahawa setiap hasil negara mahu pun negeri adalah hak rakyat dan bukan hak saudara serta juak-juak saudara.

Kuasa dan harta rakyat telah diamanahkan kepada saudara untuk diurus dan ditadbir, dengan harapan kebaikannya akan dirasai semua tidak kira siapa. Maka bolehlah dikatakan perbuatan menyalahgunakan amanah itu untuk kepentingan politik sendiri, UMNO dan penyokong saudara semata adalah pengkhianatan terhadap hak rakyat. Tidak kira parti mana yang melakukannya, yang salah tetap salah. Kecurangan seperti ini sedikit demi sedikit mencabut nyawa demokrasi yang sememangnya sudah nyawa-nyawa ikan serta membiakkan feudalisme.

Barangkali kegagalan saudara untuk memahami sistem negara ini membuatkan pengertian “adil” saudara herot. Atau mungkin kacau-bilau pandangan saudara berpunca daripada pemahaman politik saudara, yang melihat politik tidak lebih daripada sekadar perebutan kuasa demi terus berkuasa dan membolot segala kepentingan diri. Sekiranya saudara seorang yang budiman dan memiliki pemahaman politik yang jernih, tentu saudara akan berjiwa besar mewakili seluruh rakyat -sesuai dengan gelaran wakil rakyat- dan tidak hanya memikirkan puak-puak sendiri dan survival politik sendiri. Saya menyeru saudara Ahmad Said supaya saudara dan parti saudara meninggalkan amalan korup sebegitu dan jadilah ahli politik berjiwa besar dan demokrat.

Tiada ulasan: