Hina Islam: Kerajaan jangan pilih kasih
Anis Nazri, | 17 Jul 2013 |
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar), berkata masyarakat hari ini mudah menjadi marah apabila berlaku hinaan ke atas agama Islam oleh bukan Islam.
Sebaliknya, hanya berdiam diri apabila terdapat orang Islam sendiri yang menghina Islam dengan melakukan perkara-perkara yang melanggar hukum Islam itu.
"Ya, memang wajar umat Islam marah apabila ada bukan Islam menghina Islam. Tapi anehnya, apabila ada orang Islam yang jelas menghina agama, tiada pula yang marah," kata beliau ketika diminta mengulas tindakan pasangan tersebut.
Bercakap pada wartawan pada sidang media di lobi parlimen, hari ini Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat itu berkata terdapat pemimpin negara ini yang beragama Islam secara jelas mempunyai pegangan saham judi di Genting.
Malah, tambah Dr. Mariah terdapat korporat-korporat di negara ini yang beragama Islam yang menjalankan perniagaan dengan mengambil keuntungan dari hasil riba yang jelas haram di sisi Islam.
"Sedangkan sudah termaktub dalam al-Quran yang mengatakan riba itu bukan satu perniagaan. Dan tindakan mengenakan riba itu juga merupakan satu penghinaan terhadap agama Islam itu sendiri," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta sebarang isu berkaitan sensitiviti mana-mana agama perlu diberikan perhatian seadil-adilnya tanpa pilih kasih.
Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan (gambar), berpendapat tindakan tegas bukan sahaja dikenakan ke atas individu bukan Islam yang menghina Islam, tetapi turut dikenakan ke atas orang Islam yang menghina agama lain.
"Tindakan tegas perlu dikenakan kepada mana- mana pihak yang menghina mana-mana agama. Bukan hanya kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam yang menghina agama lain," kata beliau.
Tambah Ketua Pemuda PAS Malaysia itu, biarpun pasangan tersebut telah memohon maaf, ia tidak bermakna mereka boleh terlepas dari dikenakan hukuman.
Katanya, hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memastikan kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi di masa hadapan.
Che Long ziarah, solat jenazah Allahyarham Lijah
Khairul Azlam Mohamad, | 17 Jul 2013 |
BESUT: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, Endot@Azlan Yusof yang lebih mesra dengan panggilan Che Long sempat meluangkan masanya menziarah dan solat jenazah.
Jenazah Allahyarham Lijah Puteh, 77, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 malam tadi lalu akibat sakit tua di rumahnya Kampung Alor Pisang, Kuala Besut.
Che Long meluangkan masa hampir 15 minit untuk ziarah serta solat jenazah pada jam 2.15 petang tadi sebelum di hantar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Nail, dekat sini, untuk dikebumikan.
Kata Che Long, dalam kesibukan berkempen pilihan raya ini beliau tidak mempunyai masa yang banyak untuk berada di sesuatu tempat.
“Alhamdulillah, dalam keadaan sibuk Che Long berkempen ini Che Long sempat juga luang masa sekejap untuk ziarah dan solat jenazah Allahyarham Lijah Puteh yang meninggal dunia kerana sakit tua.
“Insya Allah, Che Long doakan semoga roh allahyarham Lijah dicucuri rahmat Allah Taala dan diberikan kesabaran kepada ahli keluarganya yang kehilangan insan tersayang,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Hadir sama menunaikan solat jenazah ialah Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah.
AES: Formula matematik apa kerajaan guna?
Harakahdaily, | 17 Jul 2013 |
Penasihat Undang-undang Kase Zulhazmi Shariff berkata, angka-angka yang diberikan oleh Kementeriaan Pengangkutan di Dewan Rakyat amat mengelirukan.
Beliau mempersoal jumlah RM13,550,758 kepada syarikat pembekal AES sedangkan jumlah saman yang telah dijelaskan hanyalah sebanyak 66,735 yang hanya melayakkan syarikat dibayar sebanyak RM1,067,760.00.
"Jika syarikat dibayar RM13,550,758.00 daripada jumlah kompaun keseluruhan RM20,020,500.00 baki yang tinggal ialah sebanyak RM6,469,742.00. Kenapa kerajaan hanya mengambil RM3,429,910.00 sahaja? Ke mana baki RM3,039,832.00?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambah beliau juga, jika keseluruhan 673,339 saman telah dijelaskan sekalipun, syarikat tidak layak mendapat RM13,550,758.00 kerana RM16.00 dari setiap 673,339 hanyalah RM10,773,424.00.
Berikut merupakan kira-kira mengikut angka-angka yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan:
SAMAN AES
Jumlah Saman AES (23/09/13 – 11/06/13) = 673,339
Jumlah Kompaun (RM300) = RM20,020,500.00
Jumlah Saman Dijelaskan = 66,735
(66,735 x RM300 = RM20,020,500.00)
Formula Tiga Langkah
(RM16 x jumlah saman dijelaskan)
RM16 x 66,735 = RM1,067,760.00
Jumlah Bayaran kepada Syarikat = RM13,550,758.00
Jumlah Bayaran Kepada Kerajaan = RM3,429,910.00
Jumlah Pembahagian
RM13,550,758.00
+RM3,429,910.00
------------------------
RM16,980,668.00
==============
Baki
RM20,020,500.00
-RM16,980,668.00
------------------------
RM3,039,832.00
===============
Jika semua 673,339 telah dijelaskan
673,339 x RM300 = RM202,001,700
Formula Tiga Langkah
(RM16 x jumlah saman dijelaskan)
RM16 x 673,339 = RM10,773,424.00
Kase turut mendesak Kerajaan mendedahkan butiran perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan dengan syarikat penyedia perkhidmatan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat secara langsung.
Tanah: Rakyat nafi dakwaan Ahmad Said
Aslani M, | 17 Jul 2013 |
Rumah penduduk dibina di penempatan berkelompok di Kampung Lay Out (Beris Lampu).
BESUT: Dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kononnya tidak ada hitam putih tanah dilulus kerajaan negeri kepada rakyat semasa ditadbir PAS dinafikan penduduk.
Ada di antara mereka memberitahu sudah membayar lebih RM300 pada 2002 sebagai bayaran awal untuk mendapat hak milik secara sah.
Mereka juga sudah mengisi borang permohonan tanah dan pegawai penempatan dari Pejabat Daerah Besut telah mengukur kawasan berkenaan.
Di Kampung Padang Luas Dalam kawasan seluas tiga ekar diberi kepada penduduk yang layak. Setiap lot seluas hampir suku ekar.
Seorang penduduk Hussin Abdullah, 71 dari Kampung Padang Luas berkata, tanah tersebut dilulus lesen menduduki sementara (TOL).
“Saya telah menjelaskan sebahagian untuk bayaran premium dan telah membina pagar di sekeliling lot berkenaan. Hanya tunggu duit mencukupi untuk dibuat rumah,” katanya di sini.
Malah kata beliau ada penduduk lain yang sudah membina rumah di lot berkenaan.
Ahmad dalam laporan media hari ini mendakwa tidak ada hitam putih dikeluarkan kerajaan PAS ketika mentadbir Terengganu pada 1999-2004 terhadap tanah yang diberi kepada rakyat.
Sebelum ini media oposisi mendedahkan tanah yang pernah diluluskan kerajaan PAS di Kampung Lay Out (Beris Lampu), Tok Saboh dirampas semula kerajaan BN Terengganu selepas menerajui negeri itu pada 2004.
Pada akhir tahun lepas lima rumah penduduk yang dibina di penempatan berkelompok tersebut diroboh kerajaan menggunakan jentolak.
Seorang penduduk di Tok Saboh, Ismail Idris, 63 memberitahu Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar pernah memberitahu kelulusan tanah diberi kerajaan PAS adalah sah mengikut peraturan.
Manakala pada persidangan media hari ini Tengku Hassan yang juga Adun Ledang mendedahkan kerajaan PAS berjaya mengukur kira-kira 60,000 lot rumah dan pertanian untuk diagih kepada rakyat ketika itu.
Menurutnya tanah yang diberi kepada rakyat di Kuala Besut diberi secara TOL, bagimanapun malangnya dibatalkan kerajaan BN tanpa apa-apa sebab yang munasabah.
Perang Hunain (2)
Ustaz Abu Muhammad Harits, | 17 Jul 2013 |
Menyusun barisan Muslimin
Setelah mendekati wilayah pertahanan musuh, Rasulullah SAW mulai menyusun barisan para sahabatnya dan menyerahkan bendera kepada beberapa orang Muhajirin dan Anshar:
i. Bendera Muhajirin dipegang oleh ‘Ali bin Abi Thalib RA
ii. Bendera juga dipegang oleh ‘Umar bin Al-Khaththab RA
iii. Satu bendera diserahkan kepada Sa’d bin Abi Waqqash RA
iv. Bendera Khazraj dipegang oleh Hubaib bin Al-Mundzir RA
v. Sedangkan bendera Aus dipegang oleh Usaid bin Hudhair RA
Rasulullah SAW juga menyusun barisan kabilah-kabilah ‘Arab dan menyerahkan bendera kepada mereka. Pada waktu itu beliau mengenakan dua lapis baju perang, topi besi, dan menaiki baghalnya. Di bahagian depan pasukan, beliau menempatkan Khalid bin Al-Walid RA.
Sementara itu, Malik bin ‘Auf mengirimkan mata-matanya mengintai kekuatan kaum muslimin bersama Rasulullah SAW. Para pengintai itu kembali dalam keadaan ketakutan dan menyarankan agar pasukan Hawazin kembali. Malik menjadi marah dan menuduh mereka pengecut serta menahan mereka di dekatnya agar tidak menimbulkan keresahan di tengah-tengah pasukan.
Serangan mendadak
Begitu tiba di Hunain dan mulai menyusuri lembah, masih dalam keremangan subuh, pasukan Hawazin secara serempak dan tiba-tiba menyerang kaum muslimin yang belum bersiap sepenuhnya. Ternyata pasukan Hawazin telah bersembunyi lebih dahulu di balik-balik bukit lembah Hunain. Mereka betul-betul menjalankan strategi Duraid bin Ash-Shimmah untuk melakukan serangan mendadak dan serempak.
Mendapat serangan mendadak ini, meskipun tersentak, kaum muslimin dapat juga melakukan pembalasan dan menyerang mereka dengan hebat. Akhirnya pasukan musuh kewalahan dan melarikan diri serta meninggalkan kaum muslimin dengan ghanimah yang cukup banyak. Kejadian ini mungkin persis dengan peristiwa Uhud, sebelum mereka dihabisi oleh pasukan berkuda yang ketika itu dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid.
Kaum muslimin akhirnya sibuk dengan ghanimah, lupa jalannya pertempuran dan lengah, padahal musuh belum ditumpas seluruhnya, dan mereka masih bersembunyi.
Melihat keadaan ini, pasukan musuh mulai melancarkan serangan mematikan. Ratusan panah dan tombak bahkan batu-batu meluncur bagai hujan yang sangat deras menyerang kaum muslimin. Jeritan kematian berkumandang, pekik kesakitan terdengar riuh. Sebagian pasukan muslimin melarikan diri meninggalkan gelanggang pertempuran. Mereka terus berlari kucar-kacir meninggalkan Rasulullah SAW dengan beberapa sahabatnya, di antaranya Abu Bakr dan ‘Umar RA. Sementara itu, tali baghal beliau dipegang oleh saudaranya Abu Sufyan bin Al-Harits bersama ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib RA.
Pasukan kaum muslimin semakin terdesak. Kekalahan mulai membayang. Allah SWT berfirman menceritakan peristiwa ini:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu ketika kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.” (Surah at-Taubah : ayat 25)
Pasukan berkuda Bani Sulaim mulai tercerai-berai, lari meninggalkan Nabi SAW lalu diikuti orang-orang Makkah dan yang lainnya.
Nabi SAW sendiri mengambil posisi di sebelah kanan sambil memanggil: “Wahai kaum muslimin, ke sini! Aku Rasulullah. Aku Muhammad bin ‘Abdullah!” Tapi tak ada yang menoleh. Orang-orang berlarian, kecuali beberapa gelintir sahabat dan ahli bait beliau, seperti ‘Ali, ‘Abbas, Abu Sufyan, Fadhl bin ‘Abbas, dan lainnya.
Di saat yang genting itu, orang-orang yang masih menyimpan dendam terhadap Rasulullah SAW mencoba mengambil kesempatan untuk membunuh beliau diam-diam.
Ibnu Ishaq mengisahkan dalam Sirahnya:
Syaibah bin ‘Utsman Al-Hajibi bercerita: “Setelah pembebasan kota Makkah, aku ikut bersama Quraisy menuju Hawazin, dengan harapan dapat membunuh Muhammad SAW, agar akulah yang menuntaskan dendam Quraisy. Aku katakan: ‘Seandainya tidak tersisa satupun Arab dan ajam melainkan mengikutinya, nescaya aku tetap tidak akan mengikutinya, selama-lamanya’.”
Setelah kedua pasukan mulai saling serang, aku pun menghunus pedang sambil mendekati Rasulullah SAW. Ketika aku menghayunkn pedang, tiba-tiba api menyambar bagai kilat. Aku menutupi mata karena takut melihat api tersebut. Rasulullah SAW menoleh ke arahku lalu memanggilku: “Wahai Syaib, kemarilah!”
Aku pun menghampiri baginda lalu Nabi SAW mengusap dadaku dan berdoa: “Ya Allah, lindungilah dia dari syaitan.”
Sungguh, demi Allah. Saat itu juga baginda bertukar menjadi orang yang lebih aku cintai dari penglihatan dan pendengaranku serta diriku sendiri.
“Kemarilahlah dan seranglah musuh-musuh itu,” kata beliau. Aku pun maju menyerang dan sungguh, seandainya aku bertemu ayahku waktu itu juga tentu aku tikamkan pedangku ke tubuhnya.
Akhirnya, aku pun selalu bersama baginda sehingga pasukan berkumpul kembali. Aku mendekatkan baghal kepada Rasulullah SAW hingga beliau duduk di atasnya. Beliau pun bergabung dengan pasukan muslimin.
Ketika aku masuk ke dalam khemah baginda, Nabi SAW berkata kepadaku: “Wahai Syaib, apa yang diinginkan Allah untuk dirimu lebih baik daripada apa yang engkau inginkan untuk dirimu sendiri.”
Keberanian Rasulullah SAW
Rasulullah SAW yang dalam peperangan selalu di barisan depan, berseru memanggil para sahabatnya: “Wahai kaum muslimin, kemari! Aku Muhammad bin ‘Abdillah.”
Tetapi tidak ada yang menoleh memerhatikan beliau. Setiap orang berusaha menyelamatkan dirinya sendiri dari serangan mendadak yang dilancarkan pasukan Hawazin. Kaum muslimin betul-betul bercerai-berai. Jumlah banyak yang mereka banggakan tak sedikitpun menolong.
Memang kenyataannya demikian. Kemenangan dalam sebuah pertempuran bukan ditentukan oleh jumlah kekuatan dan perbekalan serta keahlian perang semata. Allah SWT berfirman, maksudnya:
“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah : ayat 249)
Kemenangan dan pertolongan itu murni dari sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman, maksudnya:
“Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah ali-Imran : ayat 126)
Dengan diapit Abu Sufyan dan ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib RA, Rasulullah SAW terus menuju ke arah barisan pertahanan musuh. Bahkan dengan sengaja beliau berseru lantang:
“Aku adalah Nabi, bukan pendusta! Aku putra ‘Abdul Muththalib!”
Pernyataan ini membuat beliau menjadi sasaran empuk panah dan tombak musuh yang menyerbu dengan derasnya. Kerana seruan beliau ini seolah-oleh memberitahukan kepada musuh siapa dan di mana kedudukan beliau. Pasukan musuh yang memang bercita-cita melenyapkan beliau dan menumpas dakwah beliau mengarahkan panah serta tombak mereka kepada beliau.
Derasnya panah dan tombak musuh tidak membuat luntur semangat beliau. Bahkan beberapa sahabat yang menyertai beliau semakin merapat ke dekat beliau.
Kemenangan sesudah kekalahan
Allah SWT berfirman:
“Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir.” (Surah at-Taubah : ayat 26)
Melihat pasukan muslimin semakin lemah, Rasulullah SAW memerintahkan ‘Abbas untuk berseru lantang: “Wahai ‘Abbas, panggil para pengikut Bai’at Ridhwan (Ash-habus Samurah).”
‘Abbas mulai berseru: “Wahai orang-orang Anshar yang menampung dan membela. Wahai kaum Muhajirin yang bersumpah setia di bawah pohon. Ini Muhammad masih hidup, kemari!”
‘Abbas mengulangi seruannya: “Wahai Ash-habus Samurah. Wahai penghafal Surah al-Baqarah!”
Teriakan ‘Abbas menggema mengalahkan dentingan pedang dan tombak yang beradu. Menembus ke dalam jantung mereka yang mengerti erti panggilan itu.
Serta-merta dengan izin Allah SWT, terbangkitlah semangat kaum muslimin. Bagaikan sapi betina yang meradang melihat anaknya terancam bahaya, perajurit muslimin berbalik menyambut seruan ‘Abbas: “Labbaik, labbaik.”
Mereka yang berada di atas kuda dan untanya berusaha membelokkan unta dan kudanya ke arah Rasulullah SAW yang berada di tengah-tengah kepungan musuh.
Kuda dan unta itu menolak kembali bersama tuannya. Akhirnya, mereka lemparkan pedang, tombak dan perisai ke tanah, lalu mereka lepaskan tunggangan mereka. Sedangkan mereka segera berlari mengikuti suara ‘Abbas menembus kepungan musuh terhadap Rasulullah SAW.
Perlahan tapi pasti, mulai terkumpul kembali seratus orang di sekitar Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memungut beberapa butir batu lalu melemparkannya ke arah musuh sambil berkata: “Wajah-wajah buruk.” Muka yang terkena lemparan menjadi hitam. Perang semakin memuncak.
Ternyata pasukan musuh tidak berani berhadapan langsung dengan pasukan kaum muslimin. Keadaan bertukar.
Pasukan muslimin yang tadi melarikan diri, mulai merapat ke arah Rasulullah SAW. Pertempuran sengit semakin berkobar. Satu demi satu korban dari pihak musuh mulai bertambah. Ali bin ‘Abi Talib RA menewaskan lebih dari 40 orang. Sementara Khalid bin Al-Walid RA terluka cukup berat.
Kali ini, Malik bin ‘Auf dan pasukannya benar-benar terdesak. Kekalahan mulai nampak. Mental pasukannya sudah jatuh. Akhirnya mereka melarikan diri meninggalkan harta dan keluarga mereka. Jatuhlah ke tangan kaum muslimin ribuan tawanan perang yang terdiri daripada anak-anak dan kaum wanita. Juga puluhan ribu ternak terdiri dari 40,000 ekor unta dan ribuan ekor kambing serta ribuan uqiah perak.
Setelah menempatkan ghanimah tersebut di tempat yang aman, mulailah kaum muslimin menyiapkan senjata untuk mengejar musuh yang melarikan diri.
Kaum musyrikin yang dipimpin Malik bin ‘Auf berlari menuju Thaif dan menyusun pasukan di Authas. Ketika mereka di Authas, Rasulullah SAW mengirim pasukan dipimpin oleh Abu ‘Amir Al-Asy’ari. Terjadi pertempuran dan Abu ‘Amir terkena panah musuh dan gugur sebagai syahid.
Bendera pasukan dipegang oleh Abu Musa Al-Asy’ari. Dia pun memerangi mereka dengan hebat dan Allah SWT pun memenangkan mereka.
Malik bin ‘Auf terus melarikan diri berlindung ke benteng Tsaqif.
Membahagi ghanimah
Sengaja Rasulullah SAW menunggu beberapa hari dengan harapan ada pihak Hawazin yang datang masuk Islam, meminta tawanan dan harta mereka. Namun sudah ketetapan Allah SWT bahawa ghanimah berupa harta itu menjadi hak kaum muslimin. Kemudian mulailah Rasulullah SAW membagikan ghanimah yang diperoleh dalam perang Hunain itu.
Beliau memberi harta itu kepada orang-orang yang dilunakkan hati mereka kepada Islam. Abu Sufyan diberi seratus ekor unta dan 40 uqiyah perak. Dia berkata: “Puteraku Yazid?” Kata Rasulullah SAW: “Beri dia seratus ekor unta dan 40 uqiyah perak.” Abu Sufyan menukas: “Anakku, Mu’awiyah?”
Akhirnya Mu’awiyah juga menerima jumlah yang sama. Setelah itu, beliau memberi Hakim bin Hizam seratus ekor unta dan dia minta seratus lagi, beliau memberinya. Kemudian An-Nadhr bin Al-Harits bin Kaladah menerima seratus ekor unta. Kemudian beberapa orang lainnya dari pembesar Quraisy. Ghanimah yang dibagikan itu hampir mencapai 14,850 ekor unta, yang diambil dari khumus.
Termasuk yang ada dalam ghanimah tersebut adalah Asy-Syaima`, saudara perempuan Rasulullah SAW satu susuan. Ketika dia dihadapkan kepada Rasulullah SAW, dia menerangkan siapa dirinya. Rasulullah SAW bertanya kepadanya apa tanda buktinya. Asy-Syaima` mengatakan bahwa di bahagian punggungnya masih ada bekas gigitan Rasulullah SAW ketika dia dahulu menggendong beliau. Setelah beliau mengenalnya, beliau menghormatinya, membentangkan kainnya dan mendudukkannya di atas kain itu lalu memberinya pilihan.
Asy-Syaima` masuk Islam dan memilih pulang ke kampung halamannya. Oleh Rasulullah SAW, dia diberi sepasang budak yang kemudian mereka nikahkan. Wallahu a’lam.
Setelah itu beliau perintahkan Zaid bin Tsabit menghitung kambing dan jumlah pasukan. Baru kemudian beliau bahagikan kepada pasukan. Setiap orang menerima empat ekor unta dan 40 ekor kambing. Kalau dia dari pasukan berkuda, dia menerima 12 ekor unta dan 120 ekor kambing.
http://www.salafy.or.id
Sembunyi Morsi satu lagi jenayah tentera Mesir
Abdul Malik, | 17 Jul 2013 |
Pada awal rampasan kuasa berlaku, situasi masih samar dengan tindakan sebuah unit dalam tentera yang dinamakan "Pengawal Republik". Tidak kurang yang beranggapan Pengawal Republik menyembunyikan Morsi suatu yang "baik" dan menyebelahi Morsi.
Sememangnya unit Pengawal Republik bertugas menjaga keselamatan Presiden. Selepas kejatuhan Mubarak 2011 sehingga Jun 2012, Pengawal Republik tidak mempunyai tugasan ini kerana tiada seorang Presiden dipilih sehingga Morsi diisytiharkan Presiden yang sah Julai 2012, unit ini kembali bertugas.
Panglima unit ini merupakan salah seorang yang menjadi anggota kepada Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Abdul Fatah As-Sisi.
Andaian bahawa unit Pengawal Republik menyebelahi Morsi dengan menyembunyikannya adalah silap. Dengan kenyataan demi kenyataan oleh pimpinan Ikhwan dan pertubuhan hak asasi manusia kebelakangan ini membayangkan bahawa keadaan Mursi dalam bahaya.
Pada Ahad 14 Julai, Naib Presiden FJP Dr.'Esom Eryan secara jelas meminta keluarga, peguam dan pakar perubatan dibenarkan untuk menziarahi Morsi. Kenyataan AJK FJP Pusat, Dr.Mohammed Beltaji yang menyusul sehari kemudian juga menggelarkan tindakan menyembunyikan Morsi sebagai "jenayah kejam" dilakukan oleh tentera.
Begitu juga desakan dunia seperti Turki, Jerman dan wakil Kesatuan Afrika yang turut menggesa Morsi dibebaskan.
Semalam, Dewan Senat yang mengadakan persidangan di Raba'ah (selepas Bangunan Senat di Tahrir tidak lagi dibenarkan setelah dekri tentera yang membubarkan dewan ini) menubuhkan sebuah jawatankuasa kesihatan dan keselamatan yang terdiri dari wakil Kesatuan Perubatan dan Kesatuan Peguam yang akan cuba menziarahi Morsi terdekat. Selain itu, mereka turut meminta kunjungan wakil PBB ke Mesir atas tujuan yang sama.
Sementara hari ini, sebuah pertubuhan hak asasi manusia "As-Syehab" pula mendesak tentera dan kerajaan "haram" hari ini mendedahkan di mana Morsi disembunyikan. Dari sumber Ikhwan sendiri, mereka menerima maklumat Morsi disembunyikan di Bangunan Pengawal Republik dan ada yang mengatakan di Kementerian Pertahanan.
Walau dimana jua sekalipun, Morsi kini ditahan dan dilayan seperti orang salah, satu tindakan yang tidak selayaknya diterima seorang pemimpin pilihan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan