Jumaat, 19 Julai 2013

JANGAN KITA JADI PUTAR ALAM

Dewan orang ramai jadi hotel orang kuat Umno?

Harakahdaily, 18 Jul 2013
BESUT: PAS menuntut penjelasan kerajaan BN Terengganu berhubung sebuah hotel berhampiran jeti Kuala Besut yang didakwa dibina dari sebuah dewan orang ramai yang telah diubah suai.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, beliau juga mendapat maklumat bahawa hotel tersebut dimiliki oleh orang kuat Umno bahagian Besut.

"Lapan tahun lalu ianya adalah sebuah dewan orang ramai di bawah Majlis Daerah Besut.

"Sekarang ianya menjadi Hotel Samudera yang didakwa dimiliki oleh orang kuat Umno Besut," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut di Kg. Baharu di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRK ini berkata, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said perlu tampil menjelaskan perkara ini kepada rakyat.

Menurutnya, rakyat wajar tahu kenapa dalam isu tanah dan projek ini, pemimpin BN diberi keutamaan sedangkan rakyat terbanyak terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan malah dinafikan.

"Menteri Besar Terengganu ini seorang yang telus, jadi kita minta dia boleh menamakan pemilik hotel tersebut," kata Husam lagi.

Husam berkata, beliau memuji sikap telus Ahmad khususnya yang telah membuat pengesahan dalam isu penganugerahan tanah kepada empat wakil rakyat di Besut termasuk Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, apa yang pelik, menteri besar sendiri terpaksa campur tangan dalam isu tersebut sedangkan wakil rakyat termasuk Idris Jusoh masih berdiam diri.

"Pada saya isu tanah ini sengaja dibocorkan. Bila PAS tembak, MB ambil kesempatan buat pengesahan.

"Motif sebenar saya tak tahu lah, tapi sikap MB yang berterus terang itu sangat bagus," katanya.

16:16 untuk hapuskan penindasan, kezaliman

Nazri Abdullah, 18 Jul 2013
BESUT: Kedudukan wakil rakyat PAS dan BN pada nisbah 16:16 dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu bakal memberi pulangan yang besar bukan sahaja kepada pengundi Kuala Besut malah rakyat Terengganu amnya.

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, kedudukan 16:16 itu akan menyeimbangkan kuasa kerajaan BN negeri ini dari melakukan sesuatu yang tidak menguntungkan rakyat.

"Keadaan ini akan menamatkan penafian hak rakyat untuk menikmati kemewahan negeri ini seperti yang berlaku sekarang ini.

"Agenda ini akan memberikan kesejahteraan kepada rakyat di mana rakyat akan benar-benar menjadi tuan sekaligus menamatkan penindasan kepada rakyat," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS di Kg. Baharu di sini hari ini.

Sementara itu, pada sidang media sama, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, kedudukan 16:16 akan menyaksikan BN tidak boleh lagi sewenang-wenangnya mengagihkan kekayaan negeri kepada kroni tanpa sekatan oleh mana-mana pihak.

Ianya termasuk dalam soal meluluskan bajet, di mana jika berlaku kedudukan 16:16, maka BN terpaksa berunding dengan wakil Pakatan Rakyat untuk dapatkan sokongan.

Keadaan itu katanya memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menegur dan menolak mana-mana perbelanjaan yang difikirkan tidak memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan.

"Walaupun berlaku 16:16, kita yakin BN Terengganu akan kekal memerintah. Cuma kita dari Pakatan Rakyat akan berperanan secara konstruktif untuk merangka program kepada rakyat secara jelas," katanya.

Sehubungan itu jelasnya, PRK Kuala Besut ini adalah sangat penting kepada pengundi untuk memilih calon PAS, Endot@ Azlan Yusof atau lebih dikenali sebagai Che Long bagi mewujudkan kedudukan 16:16 tersebut.

Kuala Besut: BN terdesak serang peribadi calon PAS

Muhammad Faizal, 18 Jul 2013
BESUT: Tindakan Barisan Nasional (BN) menyerang peribadi calon PAS, Azlan Yusof atau dikenali sebagai Che Long adalah kerana mereka berada dalam keadaan terdesak.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui Harakahdaily selepas ceramah beliau di Kampung Beris Lampu, semalam.

Menurut beliau lagi, sepatutnya apabila sesebuah parti itu memerintah mereka sepatutnya menerangkan dasar-dasar kerajaan untuk rakyat bukannya menjadikan sasaran peribadi sebagai fokus utama.

"Orang yang serang peribadi ini adalah orang yang kehabisan idea dan modal.

"Dah jadi kerajaan memerintah sepatutnya dasar-dasar kerajaan untuk rakyat menjadi agenda utama dalam kempen dan bukannya peribadi lawan," jelas beliau.

Beliau yang turut merasakan BN berada dalam keadaan kritikal apabila calon mereka tidak mampu menandingi calon PAS, Che Long dari segi hubungan dengan masyarakat serta sikap pemurah yang beliau (Che Long) miliki.

"Saya pasti BN melihat calon mereka tidak dapat menandingi keperibadian yang dimiliki oleh calon PAS, atas dasar itu bila berada dalam keadaan kritikal serangan peribadi menjadi senjata mereka.

"Selain itu juga mereka turut merasakan calon PAS anak jati dan tinggal di Kuala Besut yang sentiasa bersama penduduk sedangkan calon mereka tidak tinggal di sini, malah tidak dikenali langsung oleh penduduk setempat," sambung beliau.

Tuan Ibrahim menjelaskan ini merupakan kelebihan yang diperolehi oleh PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut untuk memenangi kerusi tersebut.

Katanya lagi, rakyat juga boleh menilai apabila BN sendiri telah berjanji untuk menghormati bulan Ramadhan dengan meneruskan kempen tanpa menyerang sifat peribadi parti lawan, tetapi mereka sendiri telah melanggar janji tersebut.

NGO Pengerang ke Taiwan bantah projek petrokimia

Hazayani Zakaria, 18 Jul 2013


KUALA LUMPUR: Gabungan NGO Pengerang berjaya menyerahkan surat rayuan kepada Pejabat ROC, Taiwan hari ini agar membatalkan projek pembinaan kilang petrokimia oleh Syarikat Kuokuang di Pengerang.

Rombongan disertai pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli, bendahari Chua Peng Siang dan setiausa Seng Siew Ping selain empat pemerhati iaitu Adun Mengkibol Tan Hong Pin, Adun Tangkak Ee Chin Li dan Adun Bentayan, Chua Wee Bang serta wakil PAS Johor, Mazlan Aliman.

Mereka turut mengadakan lawatan di Daerah Yunlin, Taiwan untuk memahami isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk tempatan selepas Kilang Perengkahan Nafta (Naphtha Cracking Plant) dibina di tempat tersebut pada tengah 1990-an.

Demikian dimaklumkan Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, pihak pelabur seharusnya menjelaskan mengapa projek ini dibatalkan di Taiwan dan dipindahkan ke Malaysia.

Pihak kerajaan juga tegasnya, perlu menjelaskan mengapa satu projek yang akan menyebabkan seluruh populasi Taiwan hilang nyawa sebanyak 23 hari boleh diuruskan di Malaysia.

"Adalah difahami projek Kuokuang yang akan dibangunkan di Pengerang adalah 1.5 ganda skalanya di Taiwan. Adalah kerajaan ingin mengorbankan nyawa rakyat selama 34.5 hari untuk pembangunan ini?" katanya.

Beliau juga menegaskan, pihak yang bertanggungjawab ke atas penyediaan Laporan Kajian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) seharusnya merujuk semula laporan yang ditulis oleh Profesor Jhan, Jhan-Cyuan dari Pusat Pengajian Kesihatan Awam, Universiti Nasional Taiwan.

Katanya, memandangkan masih ramai yang tidak memahami isu Pengerang beliau bekerjasama dengan Adun Mengkibol Tan Hong Pin, Ee Chin Li (Tangkak) dan Yeo Tung Siang (Pekan Nenas) untuk menterjemahkan laporan yang ditulis oleh Profesor Jhan dalam bahasa Malaysia supaya boleh difahami masyarakat.

"Kepada sesiapa yang berminat untuk memahami isu ini boleh memuat turun dari blog saya http://erteckhwa.blogspot.com," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyudin Hassan berkata Pakatan Rakyat konsisten memperjuangkan isu Pengerang kerana membabitkan keselamatan dan nyawa penduduk sekitar.

"Daripada fakta yang kita dapat bahawa projek yang dibawa oleh Kuokuang ini adalah projek yang dipindahkan dari Taiwan sendiri yang ditolak oleh kerajaan Taiwan tapi bawa ke Pengerang.

"Kerajaan terima tanpa ambil kira implikasi daripada pembangunan ini dari segi pencemaran alam sekitar dan aspek yang boleh menjejaskan pelancongan.

"Saya sendiri dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bawa dalam parlimen kenapa projek ini dilaksanakan tanpa ambil kira aspek keselamatan rakyat," katanya pada sidang media sama.

Peguam dedah kes rasuah petisyen Dun Air Lanas

Aslani M, 18 Jul 2013
KOTA BHARU: Peguam pempetisyen Dun Air Lanas, Hisham Fauzi (gambar) menjelaskan segala butiran lengkap mengenai dakwaan berlaku rasuah membabitkan agen calon BN sudah disediakan.

Katanya, butiran itu mengandungi tarikh, tempat, masa dan jawatan agen berkenaan dalam politik, yang mana ia sudah dianggap relevan ketika mengemukakan petisyen tersebut.

Kata beliau perlakuan agen berkenaan secara jelas termasuk dalam senarai kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Fakta untuk pembelaan itu sudah ada dalam petisyen yang dikemukakan,” katanya pada perbicaraan petisyen Dun Air Lanas di hadapan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk John Louis O’hara.

Pada prosiding hari ini empat lagi petisyen dibicara pada bantahan awal membabitkan parlimen Ketereh, Dun Kok Lanas, Dun Manek Urai dan Dun Mengkebang.

Pada pilihan raya umum lalu Dun Air Lanas dimenangi Datuk Seri Mustapa Mohamed BN – majoriti 47 undi, Dun Kok Lanas (Datuk Mohd Alwi Che Ahmad BN - 169 undi dan parlimen Ketereh dimenangi Tan Sri Annuar Musa (BN) - 974 undi.

Manakala Dun Mengkebang dimenangi Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS) dengan majoriti 1,072 undi) dan Manek Urai – Mohd Fauzi Abdullah (PAS) – 1,633 undi).

Pada petisyen Dun Air Lanas Hisham turut dibantu peguam Hanipa Maidin dan tujuh lagi peguam lain.

Manakala responden pertama diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun dan disertai Abu Bakar As Sidek, Ilias Mohd Noor, Nor Azli Ahmed dan Raihanah Ashriqin Ariffin.

Pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya diwakili peguam kanan persekutuan, Azizan Md Arshad dan dibantu Najib Zakaria, Khairul Fazli dan Asraf Ahmad.

Hafarizam pada hujahan awal bagi menolak petisyen tersebut berkata, agen yang dimaksudkan pempetisyen tiada kaitan dengan calon BN.

Pempetisyen juga menarik balik Pegawai Pengurus Pilihan Raya parlimen Jeli dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga pada petisyen berkenaan kerana ia dianggap tidak berkaitan.

Bagaimanapun hakim menetapkan pada 23 Julai ini bagi keputusan bantahan awal Dun Air Lanas dan Kok Lanas.

Pempetisyen Dun Kok Lanas pula diketuai Hanipa dan dibantu Aminuddin Zulkifli serta pasukan peguam PAS.

Pempetisyen parlimen Ketereh pula diwakili peguam R Sivarasa dan Muhammad Afiq Muhammad Noor.

Rafizi ulang kenyataan di luar Dewan

Anis Nazri, 18 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (gambar) hari ini bertindak mengulang kenyataan beliau di luar dewan tentang syarikat  pembekal dakwat kekal yang didedahkannya di Dewan Rakyat semalam.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini, Rafizi menyambut baik cadangan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Pandikar Aman Mulia untuk beliau mengulangi pendedahan beliau di luar dewan jika yakin dengan maklumat tersebut.

"Saya katakan bahawa tiga syarikat yang dikawal Mohamad Salleh ini telah mendapat kontrak perbekalan secara runding terus dari SPR, termasuklah syarikat utamanya, Integrated Challenger (M) Sdn. Bhd," kata beliau kepada media.

Rafizi turut menyatakan kenyataan menteri pada sesi penggulungan semalam juga mengesahkan pendedahan beliau itu tepat apabila menteri tidak menafikan atau mengesahkannya.

"Kenyataan menteri yang mengatakan sebuah syarikat bernama Nash Ventures Sdn Bhd turut mendapat kontrak perbekalan topi dari SPR juga mempunyai pertalian dengan Mohamad Salleh Mohamad Ali.

Menurut Rafizi, Nash Ventures yang mendapat kontrak perbekalan topi dari SPR itu mempunyai pertalian dengan Mohamad Salleh, di mana salah seorang pengarah syarikat iaitu Shamsia Mansoor juga adalah pengarah syarikat dan pemegang saham Allisons Corp Sdn Bhd yang mendapat kontrak perbekalan dari Kementerian Pertahanan.

"Selain itu, Shamsia yang memegang kad pengenalan bernombor 671219-66-5048 itu juga turut lahir di Singapura dan lahir pada tahun yang sama dengan Mohamad Salleh yang memungkinkan mereka adalah kenalan yang lama," kata beliau.

Malah, tambah Rafizi alamat rumah kediaman untuk Shamsia dan Mohamad Salleh adalah sama, yang memungkinkan mereka mempunyai pertalian keluarga.

Sementara itu, kata Rafizi alamat perniagaan yang didaftarkan untuk ketiga-tiga syarikat tersebut iaitu Integrated Chellenger (M) Sdn. Bhd, Allisons Corp Sdn Bhd dan Nash Ventures Sdn. Bhd adalah di alamat yang sama, iaitu 44A &44B, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100, Shah Alam, Selangor.

"Ini mengesahkan maklumat yang saya dedahkan sebelum ini bahawa syarikat-syarikat yang dikawal oleh individu bernama Mohamad Salleh telah berjaya mendapat kontrak perbekalan dakwat, kemeja dan topi secara rundingan terus," kata beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengemukakan usul bagi merujuk Rafizi ke Jawatankuasa Keistimewaan dan Hak kerana dikatakan membuat kenyataan yang menyeleweng dewan apabila mengaitkan Mohamad Salleh dengan pengerusi dan timbalan pengerusi SPR sebagai 'rakan rapat'.

Bagaimanapun usul tersebut ditolak oleh Pandikar dan mencadangkan Rafizi untuk mengulangi kenyataannya di luar dewan.

Tindakan Rafizi itu juga menangkis kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengatakan Pengarah Strategik PKR itu hanya membuat fitnah kerana hanya berani bercakap di dalam dewan.

"Saya yakin dengan maklumat yang kita ada dan kalau untuk kita dapat kebenaran kita terpaksa berdepan dengan risiko saman dan saya rasa itu langkah-langkah yang perlu diambil oleh ahli-ahli parlimen cuma rakyat boleh hakimi mereka tiak berminat untuk menjawab tapi lebih berminat untuk menakut-nakutkan orang macam saya.

"Dia suruh ulang di luar supaya dia nak saman dan menakut-nakutkan media kerana media tak boleh report. Jadi itu membayangkan mereka ada sesuatu yang nak disembunyikan," kata Rafizi.

Tanah wakil rakyat: Usahkan beri, mohon pun tak boleh

Harakahdaily, 18 Jul 2013
BESUT: Mengikut amalah yang diterima pakai oleh semua kerajaan negeri, adalah suatu tindakan yang tidak beretika jika menganugerahkan tanah kepada wakil rakyatnya atas apa alasan sekalipun.

Bekas Pengarah Tanah dan Galian Terengganu Datuk Tengku Hassan Omar berkata, wakil rakyat bukan sahaja tidak boleh dianugerahkan tanah, malah memohon pun tidak dibenarkan.

"Secara undang-undangnya sah, tetapi dari sudut moral dan etika adalag sangat-sangat salah," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS PRK Kuala Besut, di Kg Baharu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengakuan jujur Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bahawa kerajaan negeri telah memberikan tanah kepada empat wakil rakyat BN di Besut.

Pengesahan oleh Mohamad Said itu dibuat ekoran pendedahan PAS sebelum ini bahawa empat wakil rakyat BN iaitu Ahli Parlimen Besut Datuk Dr Abdullah Md Zin, Adun Jerteh Datuk Seri Idris Jusoh, Adun Hulu Besut Nawi Mohamad dan Adun Kota Putera Pehemi Yusof masing-masing dianugerahkan 2.5 ekar tanah di kawasan Pantai Dendong di sini.

PAS juga sebelum ini mencabar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Muhyiddin Yassin mengarahkan Ahmad Said membatalkan pemberian tersebut jika benar BN mendahulukan rakyat.

Jika Muhyiddin gagal berbuat demikian bermakna slogan BN tersebut ternyata retorik dan lebih sesuai ditukar kepada 'wakil rakyat Umno didahulukan'.

Tak pernah beri kepada individu


Tengku Hassan yang juga Adun Ladang turut menempelak kenyataan Ahmad Said yang mendakwa bahawa kerajaan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004 lalu juga pernah berbuat perkara sama.

Katanya, PAS tidak pernah menganugerahkan tanah kepada individu dikalangan wakil rakyatnya.

Beliau berkata, mungkin Ahmad merujuk kepada isu pemberian tanah projek limau madu di Durian Mentangau kepada satu syarikat yang dimiliki oleh wakil rakyat PAS.

Syarikat tersebut, Imbasan Padu Sdn Bhd dimiliki secara bersama bekas Adun Ledang Dr Sulaiman Abdullah dan isterinya Dr Halimah Zakaria.

Ianya adalah antara sembilan syarikat yang memohon lot tanah dari 28 lot keseluruhan untuk mengusahakan projek tersebut.

Bagaimanapun Imbasan Padu adalah satu-satunya syarikat yang tidak diluluskan oleh kerajaan BN sebelum itu.

"Syarikat ini cukup syarat dan telah pun diberi kebenaran untuk masuk ke tanah ini, namun kemudian tidak diluluskan kerana atas alasan syarikat orang PAS.

"Bila PAS mengambil alih pemerintahan negeri pada hujung 1999, PAS memberikan kelulusan kepada syarikat ini memandangkan keperluan untuk projek ini diteruskan," katanya.

Pemberian kepada syarikat ini jelasnya berbeza dengan pemberian kepada empat individu wakil rakyat BN di Besut yang dibuat kerajaan Ahmad Said sekarang ini.

Kenapa barang tidak cukup menjelang perayaan?

Anis Nazri, 18 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, mempersoalkan bagaimana barangan keperluan sentiasa tidak mencukupi menjelang musim perayaan dan berulang setiap tahun.

Katanya, senario tersebut menimbulkan persoalan sama ada barangan keperluan itu benar-benar kurang ataupun disorok peniaga bagi membolehkan harga barangan tersebut dinaikkan.

"Memandangkan perkara ini sentiasa berulang, biarpun kepada barangan yang diberi subsidi oleh kerajaan, saya tidak pasti adakah kerana betul ia kurang atau disorokkan peniaga untuk mengaut keuntungan dengan kenaikan harga.

"Jadi, apakah langkah kerajaan bagi memastikan barangan subsidi itu mesti cukup ketika musim perayaan?" soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, memberi jaminan perkara sedemikian tidak akan berulang dan menafikan para peniaga bertindak menyorokkan barangan keperluan menjelang musim perayaan.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan dewan bahawa pihak menteri telah berjumpa dengan pengeluar barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan ayam bagi membincangkan perkara tersebut.

Katanya, selepas pertemuan itu, pihak menteri akan mengumumkan perkara tersebut pada Jumaat ini.

Semalam, Mahfuz mendesak kementerian terbabit menetapkan harga syiling bagi ayam, selewat-lewatnya Jumaat ini biarpun sebelum ini dimaklumkan ia hanya dapat dilakukan pada Ogo

Tiada ulasan: