Selasa, 16 Julai 2013

JANGAN ADA AGENDA TERSEMBUNYI DAH...INGAT RAKYAT BERTAMBAH CERDIK...YANG TURUT MEMBUTA TULI KIAN MEROSOT JUMLAHNYA

Kenapa takut sangat dedah pembekal dakwat kekal?

http://greenboc.blogspot.com, 15 Jul 2013
Kerajaan diingatkan supaya tidak memberi alasan dangkal ekoran kengganannya mendedahkan nama syarikat pembekal dakwat ketika pilihan raya umum lalu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin merujuk kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam bahawa kerajaan tidak akan mendedahkan nama syarikat terbabit.

Apa yang kerajaan Umno BN mahu sembunyikan daripada pengetahuan rakyat? Sebagai pembayar cukai mereka juga berhak tahu nama syarikat pembekal dakwat itu yang jelas gagal membekalkan dakwat kekal.

“Keengganan kerajaan melindungi nama syarikat itu menyebabkan rakyat berasa teraniaya. Duit yang digunakan untuk membeli dakwat kekal bukan sedikit jumlahnya iaitu RM7 juta tetapi hasilnya sangat mengecewakan,” ujar Shamsul.

Shahidan semalam berkata kerajaan tidak akan mendedahkan nama syarikat berkenaan kerana khuatir dakwat tersebut akan dibeli oleh orang ramai dan berlaku “kekecohan” semasa hari pengundian.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata, alasan Shahidan itu amat memalukan dan sukar diterima.

“Saya bagi analogi mudah, daripada rakyat berebut-rebut membeli dakwat kekal itu, bukankah lebih baik mereka membeli kertas undi yang lebih besar kelebihannya untuk melakukan penyelewengan ketika hari pengundian.

“Shahidan perlu sedar bahawa dolak dalih kerajaan dalam isu ini akan terus memburukkan lagi imej mereka dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelaksanaan dakwat kekal hanya gimik politik antara Umno BN dan SPR.

“Tidak mustahil syarikat pembekal itu adalah kroni Umno BN dan penggunaan dakwat kekal hanyalah gimik politik untuk membaiki imej Umno BN hanya ketika kempen pilihan raya lalu,” ujar Pengerusi KEADILAN Melaka itu. -KD

Ulasan GB

Bagi GB, semua pihak yang terlibat di dalam pemesanan dakwat kekal itu perlu didedahkan. Nama syarikat pembekal, nama syarikat yang diberikan tender untuk membekal, siapa yang mengeluarkan pesanan untuk membekal, siapa yang meluluskan syarikat berkenaan...

Kenapa takut sangat untuk mendedahkannya? Berani kerana benar takut kerana salah!

Lambat-laun, satu hari nanti kebenaran akan tetap muncul juga!

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Persempadanan: Himpunan besar-besaran relevan

Hazayani Zakaria, 15 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Rancangan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran jika persempadanan semula dilakukan sebelum pembersihan daftar pemilih disifatkan sebagai amat relevan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, rakyat berhak bangkit menuntut hak mereka jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih enggan melakukan pembersihan daftar pemiih yang merupakan tuntutan Bersih dan Pakatan Rakyat.

"Permintaan Bersih itu suatu benda yang sangat relevan kerana itulah tututan yang dibuat dalam Bersih dahulu yang turut disertai dan didokong oleh Pakatan Rakyat.

"Kalau masih belum berlaku pembersihan daftar pemilih, terserah kepada rakyat untuk membuat tindakan selanjutnya," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menegakan, inilah masa yang sesuai untuk SPR melakukan pemebersihan daftar pemilihan memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) baru sahaja berlalu.

"Pembersihan daftar pemilih ini satu perkara yang penting sebab inilah masanya lepas pilihan raya umum, untuk nak sampai pilihan raya umum akan datang kita masih ada masa empat hingga lima tahun.

"Jadi inilah masa terbaik untuk bersihkan daftar pemilih. Kalau tidak sampai masanya nanti SPR kata mereka tak ada kuasa untuk bersih daftar pemilih," katanya.

Mahfuz juga berkata, perlu ada mekanisme yang jelas untuk melakukan pembersihan daftar pemilih termasuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk melaksanakan tugas ini.

"Kalau memerlukan pindaan undang-undang maka kita kena buat. Perlu ada mekanisme untuk bolehkan proses pembersihan. Sebab itu proses pembersihan perlu kepada Suruhanjaya untuk melihat isu daftar pemilih yang juga ada kaitan dengan warga asing yang diberi kad pengenalan," katanya lagi.

Menyentuh mengenai persempadanan semula, Mahfuz berkata ia perlu dibuat dengan lebih telus, bukan bertujuan memenangnkan parti politik tertentu.

"Isu persempadanan perlu dibuat lebih telus, bukan dibuat untuk mengambil perkiraan persempadanan untuk bolehkan satu pihak menang.

"Dulu persempadanan dibuat untuk wujudkan kawasan baru yang bersifat campuran untuk menangkan BN. Tapi sekarang kita mahu cara persempadanan itu dibuat diubah," katanya.

Kenyataan menteri tidak selesai isu harga ayam

Salmah Mat Husain, 15 Jul 2013
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek yang mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri tersebut tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) berkata kenyataan ini tidak berbeza dengan kenyataan  kerajaan sebelum ini yang mengajak rakyat mengurangkan pengambilan gula apabila berlaku kenaikan harga bahan itu.

“Begitu juga dengan kenyataan yang memohon rakyat menjimatkan penggunaan eletrik apabila berlaku kenaikan tarif eletrik juga.

“Jika hanya itu yang mampu dilakukan oleh kerajaan, DPPNK menyifatkan ia sebagai satu pandangan yang naif dan langsung tidak sesuai dikeluarkan oleh sebuah kerajaan yang sepatutnya mempunyai kuasa mempengaruhi harga barangan keperluan,” ujarnya.

Tegasnya, kerajaan seharusnya mengkaji serta memberikan maklumat yang jelas kepada rakyat faktor yang menyebabkan kenaikan harga ayam pada hari ini yang sudah melampaui menjelang musim perayaan.

Sambungnya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar, rakyat perlu diberikan maklumat sebenar adakah kenaikan harga ayam ini disebabkan oleh kenaikkan kos seperti produk makanan ayam, pekerja, penghantaran, pemasaran dan sebagainya.

Katanya, menggesa rakyat untuk tidak mengelakkan pengambilan ayam sebagai makanan dan sepenuhnya menyalahkan kepada peniaga menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak serius di dalam menangani isu ini.

DPPNK turut mempersoalkan kenapa kerajaan mengambil sikap untuk menetapkan pelaksanaan skim kawalan harga Hari Raya Puasa 2013 pada awal Ogos 2013 nanti iaitu penghujung Ramadhan dan bukannya pada awal Ramadhan.

Sehubungan itu DPPNK menggesa kerajaan untuk sentiasa prihatin terhadap fenomena itu  menjelang musim perayaan.

Katanya, unjuran keperluan perlu sentiasa dilakukan dari masa ke semasa bagi membolehkan kenaikan harga ayam secara mendadak dapat dikekang.

Dalam hal itu pemuda yakin kerajaan sebenarnya tidak bersedia menghadapi fenomena dan menanggap ia sebagai satu situasi yang tidak serius setelah BN berjaya membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihanraya umum ketiga belas yang lepas.

Katanya lagi, kerajaan barangkali lupa bahawa pengundi-pengundi di Kuala Besut masih mempunyai peluang untuk memberikan 'tunjuk ajar' kepada kerajaan agar lebih berhemah di dalam menguruskan keperluan asas.

Janji pangsapuri ‘percuma’ kurang meyakinkan

Khairul Azlam Mohamad, 15 Jul 2013


BESUT: Pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut kini menjadi pentas kepada pemimpin Umno BN menabur janji sebagai ‘umpan’ rakyat miskin terus bersama parti tersebut.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, berkata kempen Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan pangsapuri ‘percuma’ kepada 72 keluarga miskin kurang meyakinkan.

Katanya, tawaran itu sama seperti yang diwar-warkan kepada penduduk di Kampung Ladang Kuala Terengganu, yang terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan.

Menurutnya lagi, mereka juga ‘dijanjikan’ rumah pangsa yang murah di Flat Ladang Gemilang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun 2008 yang lalu.

“Hari ini penghuni di Flat Ladang Gemilang masih berstatus penyewa selamanya dengan kadar sewaan yang tinggi.

“Akhirnya, mereka sendiri tidak mampu untuk bayar sewa dan ada yang terpaksa berpindah ke tempat lain,” ujarnya ketika bercakap pada sidang media di Markas Besar Pilihan Raya N1 Dun Kuala Besut, di Kampung Baru, Kuala Besut, dekat sini hari ini. Hadir sama pada sidang media tersebut Ahli Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut, Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar atas)

Wan Azhar berkata, orang Melayu di Kampung Ladang Kuala Terengganu juga kehilangan kampung tradisi mereka yang menjadi warisan sejarah termasuk hilang mata pencarian keluarga masing-masing seperti pembuatan tembaga, songket dan keris.

Justeru, katanya PAS tidak pernah menolak sebarang bentuk pembangunan untuk rakyat tetapi bukan semata-mata kerana kepentingan politik tertentu.

“Kita (PAS) tidak menentang sebarang bentuk pembangunan yang baik dibuat oleh kerajaan. Apatah lagi, jika sesuatu kemudahan yang hendak dibangunkan itu boleh diberi percuma kepada rakyat miskin yang tidak berkemampuan.

“Bahkan, itulah yang menjadi agenda PAS dan Pakatan Rakyat jika diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negeri dan negara, insya Allah,” tegasnya.

Beliau turut mendakwa sepanjang kempen PRK Kuala Besut, kerajaan Umno BN mempergunakan peluang kemiskinan rakyat bagi mengikat sokongan kepada partinya.

Menurutnya, pelbagai janji dan habuan akan diterima oleh rakyat sepanjang kempen pilihan raya seperti bantuan dana khas, dana raya, dana bakti remaja, dana nelayan dan lain-lain.

Dr Mariah santuni penghuni Lorong Haji Taib

Saidah Hairan , 15 Jul 2013


KUALA LUMPUR: Kemesraan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmood ketika menyantuni penghuni Lorong Haji Taib dan sekitar Chow Kit baru-baru ini membuktikan keseriusan beliau mahu membantu mereka turut menikmati kemeriahan Ramadhan al-Mubarak.

Walaupun ada yang tidak menutup aurat namun penghuni di Lorong Haji Taib tidak segan silu untuk berbual mesra bahkan ada yang berpeluk ketika bertemu Dr Mariah.

Beliau ditemui ketika menyampaikan makanan nasi tomato serta risalah keistimewaan bulan Ramadhan kepada penghuni di Lorong Haji Taib sempena Pelancaran Tabung Ihya Ramadhan untuk mengutip sumbangan yang akan diberikan kepada mereka.

"Bulan Ramadhan ni kita sediakan makanan untuk berbuka puasa. Datang ya...boleh sama-sama solat tarawih sekali. Macam tahun sebelum ini," katanya kepada penghuni yang ditemui.

Ada penghuni yang meluahkan mahu datang tetapi tidak mempunyai telekung baru untuk bersama-sama solat tarawih. Dr Mariah yang mendengar luahan itu terus mengatakan, "Ha...tak apa...kita sediakan telekung."

Program Ihya Ramadhan yang dijalankan selama lima tahun itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penghuni Lorong Haji Taib dan mereka mula menunjukkan minat untuk terus mengetahui program selanjutnya.

Setiap tahun sepanjang bulan Ramadhan, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat telah menyediakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih di dewan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Kemuncak program itu, Lajnah akan menyampaikan sumbangan kewangan; pakaian untuk kanak-kanak, orang dewasa serta makanan kepada anak-anak yatim; masyarakat setempat serta ibu-ibu tunggal sekitar Chow Kit.

Sehubungan itu bagi melicinkan perjalanan program Ihya Ramadhan, beliau merayu kepada seluruh pembaca Harakah dan umat Islam seluruh negara dapat menyalurkan sumbangan kewangan atau tajaan berbuka puasa dan sambutan Hari Raya kepada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Sumbangan boleh dihantar terus ke akaun Dana Kami Prihatin ke akaun Bank Islam “DANA KAMI PRIHATIN” di nombor 12113010026150 atau hubungi Dr Siti Mariah Mahmood 019-2361889.

SPR sedang kaji persempadanan semula

Hazayani Zakaria, 15 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dapat memastikan bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat dengan pertambahan bahagian parlimen atau Dewan Undangan Negeri ((Dun) kerana urusan kajian semula persempadanan masih di peringkat persiapan awal.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, SPR akan menyiarkan syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dalam Warta dan juga dalam sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan dalam bahagian pilihan raya itu apabila SPR memutuskan untuk memulakan kajian semula persempadanan.

"Mengikut peruntukan Seksyen 4, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, jika SPR telah memutuskan untuk membuat syor di bawah Fasal (2) Perkara 113 berhubung dengan mana-mana bahagian pilihan raya, SPR akan memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri," kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata, representasi mengenai syor tersebut boleh dibuat kepada SPR dalam tempoh satu bulan selepas penyiaran notis itu.

Menjawab pertanyaan Sim berhubung jumlah pengundi yang paling minimum dan maksimum dibenarkan untuk sebuah kawasan parlimen, Shahidan berkata Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan jumlah pemilih minimum atau maksimum dalam sesuatu bahagian pilihan raya.

"Walau bagaimanapun, dalam enetapkan jumlah pemilih bagi sesuatu bahagian pilihan raya, SPR akan mematuhi prinsip-prinsip persempadanan seperti yang telah ditetapkan dalam Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Semalam, Gabungan Menuntut Pilihan Raya yang Bersih dan Adil (Bersih) memberi amaran akan mengadakan perhimpunan besar-besaran jika SPR meneruskan persempadanan semula tanpa membersihkan daftara pemilih yang diragui terlebih dahulu. 

Tiada ulasan: