Khamis, 25 Julai 2013

TERTUTUP DIDUNIA...ADAKAH DIAKHIRAT TERTUTUP JUGA...DAN LEPAS DARI DIDAKWA

Slogan 'ubah', 'ini kalilah' pengaruhi pengundi - UMcedel

Anis Nazri, 25 Jul 2013
PETALING JAYA: Kempen 'Ubah', dan 'Ini Kalilah' dilihat mempengaruhi pengundi untuk memilih calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, selain undi golongn muda dan kebangkitan kaum Cina yang beralih undi daripada Barisan Nasional (BN).

Perkara itu dapat dilihat berdasarkan kajian yang dilakukan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel), khususnya ke atas pengundi-pengundi di Parlimen Temerloh, beberapa bulan selepas PRU13 berakhir.

Menurut Pengarah UMcedel, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, keputusan pilihan raya di kerusi parlimen Temerloh yang memihak kepada PAS itu merupakan satu keputusan mengejutkan memandangkan kajian awal pasukannya mendapati calon BN, Datuk Saifuddin Abdullah menjadi pilihan pengundi.

Namun, menurut Dr. Redzuan faktor 'Ubah' itu berjaya mengubah pilihan rakyat dari memilih Saifudin untuk mengundi calon PAS, Ustaz Nasrudin Hasssan.

"Kami buat kajian yang menunjukkan Saifuddin menjadi pilihan utama pengundi, berbanding Nasrudin. Namun, kajian kami selepas keputusan rasmi juga menunjukkan kekalahan Saifuddin juga cukup mengecewakan sebahagian pengundi Cina yang tidak memilih Saifuddin pada pilihan raya lalu," kata beliau pada satu sidang media, di UM, petang semalam.

Namun, bagi merungkai persoalan tersebut, kata Dr. Redzuan, pihaknya menjalankan kajian semula ke atas sebilangan pengundi yang kecewa dengan kekalahan Saifuddin, dan mendapati kempen 'Ubah' yang menyebabkan mereka tidak memberi undi kepada Saifuddin.

"Kebanyakan daripada mereka ditanya, mengapa mereka tidak memberi undi kepada Saifuddin, dan kemudiannya kecewa dengan kekalahan Saifuddin? Jawapan mereka, mereka tidak memilih Saifuddin kerana ingin ubah kerajaan, Malah, mereka menurut kata anak-anak mereka yang pulang ke kampung ketika pembuangan undi yang meminta mereka agar memilih calon PAS bagi tujuan tersebut.

"Namun, apabila Pakatan Rakyat gagal ke Putrajaya, mereka berasa kecewa dengan kegagalan Saifuddin kerana mereka berfikir
hanya Saifuddin yang boleh memberikan khidmat terbaik dalam membangunkan Temerloh memandangkan kerajaan persekutuan masih diterajui BN," tambah beliau.

Kajian awal menyaksikan Saifuddin menjadi pilihan pengundi di parlimen Temerloh dengan melebihi 60 peratus yang dianggap sudah cukup baik bagi seseorang calon, berbanding Nasruddin yang hanya tidak melebihi 50 peratus, melainkan faktor imej sebagai pendakwah.

Dr. Redzuan turut menyatakan faktor kekalahan Saifuddin bukan disebabkan sosok tubuh Saifuddin itu sendiri, tetapi kerana parti yang diwakilinya mempunyai masalah integriti yang menyebabkan pengundi Temerloh memilih untuk tidak memberi undi kepada calon BN.

Tahniah buat semua jentera PRK Kuala Besut

Harakahdaily, 25 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak diatas komitmen dan sumbangan yang diberikan kepada PAS sepanjang kempen pada Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut yang lalu.

Ketuanya, Nasrudin Hasan berkata, jentera PAS telah berjaya menggunakan PRK Kuala Besut N01 ini untuk menjuarai isu rakyat.

Ianya termasuk soal pemilikan tanah, mendalam muara sungai, pemuliharaan empangan sehinggalah mendedahkan kebobrokan pemerintah telah menjadikan UMNO-BN defensif sepanjang tempoh berkempen.

"Adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Walaupun agenda 16:16 Terengganu Baru tidak kesampaian buat masa ini, bagi pendokong gerakan Islam tiada istilah kekalahan hakiki," katanya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.


1. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah di atas komitmen dan kegigihan yang ditunjukkan oleh jentera pilihanraya PAS sepanjang kempen pilihanraya kecil Kuala Besut N01.

2. Disiplin dan keutuhan akhlak yang ditunjukkan sepanjang tempoh berkempen ditambah pula dengan cabaran ibadah berpuasa merupakan cerminan tarbiyah jamaah dan sesuatu yang amat menginsafkan.

3. Juga kepada penyokong parti, anak-anak Kuala Besut di perantauan dan para pemilih yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi walau dihimpit waktu bekerja, terima kasih juga diucapkan.

Jazakallah khairan kathira. Barakallahu fikum.

4. Adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Walaupun agenda 16:16 Terengganu Baru tidak kesampaian buat masa ini, bagi pendokong gerakan Islam tiada istilah kekalahan hakiki. Yakinlah, usaha bakti kalian telah dicatatkan melalui tinta emas dengan janji kemenangan di akhirat kelak.

5. Memandangkan pilihanraya kecil ini merupakan satu kewajipan dakwah. Maka segala amalan wajib yang dilaksanakan di dalam kemuliaan Ramadhan ini diangkatkan pula darjatnya sehingga 70 kali ganda!

6. Jadi apakah perlu kita gusar dan sedih dengan keputusan ini sedangkan kemenangan yang lebih agung telah disediakan Allah?

7. Malah tiada apa yang boleh digahkan oleh BN dengan mempertahankan kerusi Kuala Besut. Kenyataan sombong kononnya UMNO-BN akan menggandakan majoritinya sehingga 4000 undi ternyata hanyalah satu omongan.

8. Setelah menjanjikan projek-projek dengan nilaian hampir RM 400 juta dalam tempoh sesingkat 2 minggu ini ditambah pula wujudnya dakwaan politik wang pada hari pengundian, UMNO-BN sekadar mampu menambah 158 undi dari jumlah majoriti yang dicatatkan ketika PRU ke13 dahulu.

9. Ianya membuktikan sogokan parti pemerintah semakin hilang ampuhnya dan para pengundi luar bandar mula terdidik untuk memilih dengan kebebasan jatidiri masing-masing. Sekiranya senario ini boleh dikembangkan, maka kami di Dewan Pemuda cukup optimis dengan perubahan yang bakal melanda di dalam PRU ke14 kelak.

10. Dikala UMNO-BN kelihatannya ketandusan cara untuk memperdaya dan mengelirukan pemilih dengan sogokan "politik pembangunan" mereka, PAS perlu terus istiqamah menyampaikan mesej dakwah yang syumul dengan malar segar bagi mendidik pemilih untuk melakukan perubahan.

11. Dari satu segi yang lain, calon dan jentera PAS telah berjaya menggunakan PRK Kuala Besut N01 ini untuk menjuarai isu rakyat. Dari soal pemilikan tanah, mendalam muara sungai, pemuliharaan empangan sehinggalah mendedahkan kebobrokan pemerintah telah menjadikan UMNO-BN defensif sepanjang tempoh berkempen.

12. Hasilnya pemerintah terpaksa menawarkan projek-projek segera untuk kembali memenangi keyakinan pengundi. Saya doakan agar tawaran-tawaran tersebut segera menjadi kenyataan kerana ianya adalah bukti peri penting pembangkang yang kuat dalam proses semak-imbang demokrasi yang akhirnya manfaatnya sampai kepada rakyat.

13. Kepada YAB TPM, MB, YB Timbalan Menteri Pendidikan dan kroni-kroni mereka yang sepanjang waktu berkempen banyak menanam tebu dimulut - jangan jadikan Kuala Besut satu lagi Galas atau Kerdau. RM 400 juta adalah janji yang amat besar. Buktikan keikhlasan tanpa beralasan panjang. Sesungguhnya besar laknat Allah bagi kata yang tidk dikota.

14. Kepada Sdr. Tengku Zaihan, tahniah di atas pemilihan saudara sebagai YB. Sekadar peringatan kepada saudara dan diri saya sendiri; jawatan itu bukannya hadiah tetapi amanah. Kepada Abe Che Long, ketulusan tuan mendepani cabaran PAS dalam PRK ini adalah contoh terpuji buat pemuda jamaah.

Allahu Akbar!

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Petisyen ditolak sememangnya sudah dijangka

Harakahdaily, 25 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah kepada pempetisyen bagi Parlimen Titiwangsa kerana berusaha sehingga ke saat akhir bagi memastikan proses rayuan dan bantahan terhadap kemenangan BN di parlimen berkenaan dibuat meskipun ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua DPPWP Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pihaknya menganggap usaha bekas calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi serta pempetisyen saudara Rosli Yasmin sebagai berjaya kerana telah berusaha dalam mematuhi proses berkenaan.

"Kita akur dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah berkenaan. Kegagalan untuk memenangi petisyen ini sememangnya sudah diduga sejak awal memandangkan sukar bagi mana-mana pihak untuk memenangi sebarang kes petisyen di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan.

"Amat jarang berlaku kes petisyen dimenangi oleh pihak yang memfailkannya, justeru langkah bekas calon dan pempetisyen membawa kes ini ke mahkamah dengan bukti dan fakta yang sedia ada sudah dianggap suatu kejayaan," kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan mahkamah semalam yang memutuskan memutuskan bahawa kerusi parlimen Titiwangsa kekal di tangan BN dan menolak petisyen yang dikemukakan PAS.

Apa yang lebih penting kata Suhaimi, pengundi mengetahui bahawa PAS dan Pakatan Rakyat tidak berputus asa pada kekalahan dalam PRU ke 13 dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan PR mengikut saluran yang betul iaitu melalui petisyen di mahkamah atas segala kepincangan yang berlaku.

"PAS dan PR mengetahui hanya petisyen satu-satunya jalan untuk menegakkan kebenaran, meskipun jalannya sukar dan berliku," katanya.

BN patut terima kasih kepada SPR kerana undi hari Rabu

Harakahdaily, 25 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Umno mesti berterimakasih kepada Suruhanjaya Pilihanraya kerana menetapkan pengundian pada hari Rabu atas peningkatan majoriti undinya dalam pilihanraya kecil Kuala Besut yang menyaksikan peratusan keluar mengundi merosot sebanyak 1,193 orang atau pada kadar keseluruhan 79.78% berbanding 87% pada pilihanraya umum 5 Mei lalu.

Kerana itulah, calon Umno/BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman telah mendapat 8,288 undi, manakala calon PAS Endot@Azlan Yusuf mendapat 5,696 undi–beza undi sebanyak 2,592 undi, iaitu 158 undi lebih tinggi daripada majoriti 2,434 yang dicapai oleh Umno/BN dalam pilihanraya umum.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang (gambar) dalam kenyataannya hari ini.

Lim mendakwa, Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendakwa bahawa BN gagal mencapai sasaran 4,000 majoriti undi di Kuala Besut kerana para penyokong BN merasa terlalu yakin akan menang dan lalu tidak keluar mengundi.

Beliau juga mensabitkan kemerosotan peratusan keluar mengundi sebanyak 7 peratus disebabkan oleh rentak hidup yang lebih perlahan di bulan Ramadan.

"Bagaimanapun, kemungkinan besar faktor sebenar yang menyebabkan peratusan keluar mengundi merosot ialah kerana hari mengundi ditetapkan pada hari bekerja, menyebabkan banyak pengundi yang tinggal di luar Kuala Besut tidak dapat pulang untuk mengundi," kata Lim.

Bagi beliau, jika peratusan keluar mengundi tinggi seperti pilihanraya umum lalu dan sebahagian besar pengundi yang tidak pulang ke Kuala Besut untuk mengundi dalam pilihanraya kecil mengundi calon PAS, majoriti Umno/BN kali ini kemungkinan besar lebih rendah daripada majoriti 2,434 yang dicapainya dalam pilihanraya umum lalu.

Kemerosotan majoriti undi Umno/BN, walaupun ia masih mengekalkan kerusi tersebut, akan dilihat sebagai satu kegagalan khususnya setelah pelbagai pemberian yang bernilai sekitar RM500 juta telah dicurahkan ke kawasan itu dan untuk pengundi di sana oleh kerajaan pusat dan negeri dalam tempoh pilihanraya kecil ini–menjadikan pilihanraya kecil Kuala Besut salah satu pilihanraya kecil termahal dalam sejarah.

Bagi Lim, PAS mencatatkan pencapaian yang baik di Kuala Besut kerana tiada siapa yang benar-benar menjangka bahawa calon Umno/BN akan kalah di kubu kuat mereka.

Pihak yang kalah paling besar adalah Umno/BN kerana ia gagal mencapai sasaran undi majoriti 4,000 dalam pilihanraya kecil kali ini, katanya.

Apabila engkau marah elok kamu diam

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 25 Jul 2013
Wahai anakku,

Nak marah senang. Nak keluarkan kata-kata senang. Masa engkau marah dan keluarkan kata-kata lagi senang. Tapi wahai anakku, yang payahnya ialah menarik balik kata-kata tersebut.

Yang paling aku bimbang ialah kamu gagal menyembuhkan hati yang terluka mereka yang menyayangimu kerana kata-kata marahmu.

Wahai anakku,
Sebab itu, apabila engkau marah elok kamu diam. Bersabar dulu kerana puncak marah itu sekejap saat saja. Jika kamu tidak mengawal amarahmu, kemarahan kamu yang beberapa saat itu aku bimbang akan melukakan hati orang tersayang kamu bertahun lamanya sehingga kamu menyesal satu hari nanti.

Kamu jangan rasa hebat apabila orang yang menyayangimu tidak melawan marahmu. Kamu jangan berasa betul. Kerana satu hari nanti, engkau akan merasai kepedihan mereka apabila mereka mengambil keputusan meninggalkan kamu.

Wahai anakku,
Ambillah kesempatan ini untuk meningkatkan kesabaranmu di Ramadhan untuk kegunaan di hari-hari biasa. Senyum.

PKR nasihat Shamsul batal hasrat saman

Anis Nazri, 25 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menasihatkan bekas calon PKR di Dun Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin agar membatalkan hasrat menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas tuduhan memfitnah.

Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah dan sewajarnya diselesaikan dengan cara lain yang lebih harmoni.

Sambil menjelaskan tindakan itu merupakan keputusan peribadi Shamsul, Tian  juga berkata PKR berpandangan tidak bersetuju dengan tindakan itu.

"Masih banyak cara lain yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah itu dan kami harap ia membatalkan hasratnya dan tidak perlu membawanya ke mahkamah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Batu itu, sudah terdapat beberapa pimpinan PKR yang menasihati Shamsul secara tidak langsung untuk tidak meneruskan hasratnya itu, namun masih belum pasti perkembangan mengenainya kerana Shamsul dikatakan masih beremosi.

"Namun, apa yang kita harapkan jananlah sampai perkara ini di bawa ke mahkamah. Banyak lagi saluran di luar mahkamah yang boleh digunakan dan kami akan terus menasihatinya untuk tidak meneruskan hasrat tersebut," kata Tian lagi.

Shamsul dilaporkan berkata saman itu dibuat ekoran kenyataan Abdul Hadi ketika berceramah di Tebakang Alor Limbat, Marang baru-baru ini yang mendakwa 'ada calon PKR tukang edar pil kuda dan sokong komunis'.

Aziz, Wan Ahmad cuba tutup kegagalan SPR - Rafizi

Harakahdaily, 25 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, yang mencabarnya mengulangi kenyataan di luar Dewan Rakyat berhubung pembekal dakwat kekal hanya sebagai cubaan menutup kegagalan suruhanjaya itu mengendalikan PRU13 lalu.

Pengarah Strategi PKR itu juga berkata tidak timbul isu mahu mencabarnya mengulangi kenyataan di luar dewan memandangkan beliau sudahpun bercakap tentang isu itu kepada media di luar dewan ketika persidangan parlimen yang berakhir minggu lalu.

"Kenyataan di luar dewan yang telah saya buat adalah mencukupi untuk mereka mengambil tindakan undang-undang.

"Tidak timbul soal mengikut kehendak kedua-dua mereka yang cuba mengelak dari persoalan sebenar dengan menimbulkan perkara cabar mencabar, “siapa lebih anak jantan” seperti yang dimainkan oleh kedua-dua mereka sekarang," katanya.

Apa yang lebih penting ujar Rafizi, adalah jawapan dari kedua-dua pemimpin tertinggi SPR ini berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh beliau berhubung kegagalan kedua-dua mereka mengendalikan pilihanraya dengan adil, bebas dan telus.

Kegagalan ini ujarnya dibuktikan dengan pelbagai laporan dan dakwaan terhadap mereka, terutamanya kegagalan pelaksanaan dakwat kekal.

"Apabila diselidiki, didapati bahawa kegagalan dakwat kekal itu berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain," jelas Rafizi lagi.

Menurut Rafizi, sebagai pimpinan tertinggi SPR, kedua-dua mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada kesemua perkara ini – dari kegagalan dakwat kekal sehinggalah kepada perlantikan pembekal melalui rundingan terus yang membolot kontrak-kontrak pembekalan tetapi gagal melaksanakannya dengan baik.

Beliau turut mengemukakan beberapa persoalan yang menuntut jawapan konkrit dari kedua-dua bos SPR itu.

1. Kenapa syarikat-syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihanraya SPR termasuk dakwat kekal?

2. Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihanraya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka?

3. Apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?

4. Semasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR menjawab pelbagai pertanyaan media mengenai dakwat kekal, apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak berbincang langsung mengenai perkara ini dengan pegawai-pegawai lain? Mustahil Pengerusi dan Timbalan Pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?

5. Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat?

"Tugas kedua-dua mereka adalah untuk menjawab perkara-perkara ini, bukannya berlagak dengan cabar-mencabar. Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang," tegasnya.

Tiada ulasan: