Rabu, 31 Julai 2013

MAKSIAT TAK DIBENDUNG JENAYAH AKAN TERUS BERKEMBANG BIAK

Himpunan bantah kudeta, bebas Morsi masuk hari ke-28

Harakahdaily, 30 Jul 2013

(Penyokong Morsi berarak sambil membawa kain kafan di Matrouh bagi membantah pembunuhan rakyat yang berlaku Sabtu lalu)

MESIR: Hari ini, tanggal 30 Julai 2013, adalah hari ke 28 para penyokong Presiden Mesir yang sah Dr Muhammad Morsi, berkampung di seluruh Kaherah khususnya Medan Raba'ah Adawiyah yang menjadi pusat himpunan.

Hari ini juga bermakna hari ke-21 mereka bersahur, berpuasa, berbuka, berterawih di medan terbuka itu bersama jutaan yang lain.

Matlamat himpunan ini hanya satu, iaitu mempertahan legitimasi mereka dengan membantah rampasan kuasa oleh tentera, dan mendesak Morsi dibebaskan.

Mereka berhimpun secara aman, tanpa senjata malah difahamkan suasana himpunan di Raba'ah berlangsung penuh kasih sayang.

Suasana kasih sayang ini turut digambarkan seorang peserta himpunan melalui nukilan bait puisinya bertajuk "Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah".



  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Penunjuk perasan berbahagi-bahagi juadah berbuka puasa sesama mereka dan menyuapkan suapan ke mulut orang lain bimbang andai ada di antara mereka yang masih belum berbuka.
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Seorang lelaki membeli sebotol air mineral dan minum hanya seteguk cuma dan mengagihkan botol kepada orang lain bagi menghilangkan dahaga mereka.
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Permandangan mereka ketika solat tidak ubah seperti di Masjidil Haram yang sangat ramai jemaahnya sehingga tiada laluan untuk berjalan, dan apabila pemandangan ini dilihat dari kaca televisyen, mereka akan katakan "Mereka hanya kekurangan sebuah Ka'bah untuk melakukan tawaf"
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Mereka mencari sesiapa yang memerlukan untuk diberikan sedekah padanya, dan mereka meletakkan wang di tempat pengumpulan wang tanpa bimbang, dan apabila hendak dibahagikan, wangnya bertambah dan tidak berkurang.
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Peniaga-peniaga gerai meninggalkan gerai mereka terbuka luas dan beredar untuk tidur sambil mengatakan "Sesiapa yang mahukan sesuatu, ambil dan letakkan bayarannya di dalam laci, dan MEREKA kembali dengan hasilnya yang tetap cukup.


480 terkorban 8000 cedera


Dalam pada itu, suasana himpunan aman penuh kasih sayang ini dicemari tindakan ganas pihak tentera perampas kuasa yang menembak peserta himpunan.

Agensi Berita RNN melaporkan seramai 480 orang direkodkan telah terkorban manakala 8000 lagi cedera sejak rampasan kuasa berlaku.

Selain itu, angka tangkapan juga mencecah 1500 orang dan 9 saluran media telah ditutup oleh pihak tentera dipercayai mengelak laporan suasana himpunan penyokong Morsi disebar kepada dunia luar.

Dua insiden kekejaman tentera yang tidak boleh dilupakan berlaku di Dataran Raba'ah iaitu tragedi "Subuh berdarah" 9 Julai lalu dan terbaru menjelang sahur pada hari Sabtu 27 Julai lalu.

Tragedi Subuh berdarah di hadapan Bangunan Pengawal Republik 9 Julai lalu menyaksikan lebih 50 penyokong Morsi terkorban, manakala lebih 300 cedera ditembak peluru hidup ketika rakaat kedua solat Subuh.

27 Julai lalu pula, insiden tembakan di hadapan Universiti Azhar, Jalan Austorad, berhampiran Kubur Anwar Sadat itu menyaksikan lebih 120 penyokong Morsi terkorban manakala ribuan lagi cedera.

Pihak tentera pimpinan Abdul Fatah Al-Sisi dijangka akan meneruskan tindakan kekerasan ini selepas mendakwa telah diberi mandat oleh rakyat Mesir untuk berbuat demikian melalui himpunan di Medan Tahrir pada Jumaat lalu.

Jika ianya benar, maka Mesir akan terus bermandi darah apabila penyokong Morsi tetap dengan pendirian tidak akan berganjak dari medan himpunan, manakala pihak tentera bertegas tetap akan menyuraikan himpunan walau dengan apa cara sekalipun.

Fitnah semakin marak

Nasrudin Hassan, 30 Jul 2013
1. Terdapat satu artikel di The Malaysian Insider yang entah dari siapa tetapi menggunakan nama Mohamad Abdullah, melemparkan fitnah kepada saya dan YB Ustaz Nik Mohd Abduh. Penulis mengemukakan surat terbuka kepada Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS, kononnya saya mendapat dana dari Kontraktor Lynas. Penulis pun sebut "dimaklumkan ...." soalnya siapa yang memaklumkan perkara itu kepada beliau?

2. Saya telah mengisytiharkan harta. Saya menyertai pilihanraya baru-baru ini dengan wang sejumlah yang telah saya isytiharkan sebelum dibantu oleh rakan-rakan. Wang deposit pilihanraya sejumlah RM15K tu pun dibayar oleh YDP PAS Kawasan. Jika tidak, hilang kelayakan saya untuk bertanding.

3. Selepas pilihanraya , saya mengerjakan umrah atas pembiayaan An Nuur Travel kerana dalam masa yang sama saya bertugas sebagai mutawwif kepada ahli jamaah An Nuur Travel. Ertinya kehidupan saya sebelum dan selepas pilihanraya, dari dulu sehingga sekarang adalah serupa.

[cuma akan datang terasa juga nak pakai MPV sebuah sebab anak dah 6 orang, dah tak muat kami nak naik berlapan sumbat masuk dalam kereta. Maklumlah Ahli Parlimen dapat AP kan, hu hu .... tengoklah macam mana, sebab Hyundai Trajet yang saya guna tu insyaallah saya akan wakafkan buat perjuangan ini dan buat masa ini akan dijadikan kenderaan rasmi Pusat Komuniti Parlimen Temerloh.]

4. Saya sangat mengalu-alukan jika benar Lynas nak bagi dana kepada saya, silakan ... saya terima dengan terbuka, [pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong Lynas] kerana kami sangat memerlukan wang bagi membantu rakyat di Temerloh. Demikian juga kalau ada orang-orang UMNO mahu menghulurkan sumbangan, kami terima dengan terbuka. Temerloh mempunyai berpuluh pusat pengajian Islam, ramai ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang tidak bernasib baik. [ pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong UMNO ]
Kami juga menerima wang "riba" yang dihendak dikeluarkan dari akaun masing-masing kerana banyak terdapat jalan-jalan kecil di kampung yang perlu diturap, tetapi kami tiada wang dan peruntukan untuk membantu rakyat.

5. Sebagaimana juga saya selaku Ahli Parlimen, dibayar gaji oleh kerajaan pimpinan UMNO dan BN, saya terima gaji itu bukan bermakna saya sokong pimpinan UMNO.

6. Buat masa ini saya ke hulu dan ke hilir mencari dana kebajikan rakyat Temerloh. Rata masjid dan surau saya jelajah menyampaikan tazkirah sambil buka peluang kepada orang ramai berbakti bagi mendapatkan sumbangan untuk Dana Kebajikan Temerloh. Saya menulis dan jual buku untuk isi poket. Prinsip saya, ada duit insyaallah kita agih kepada mereka yang memerlukan di Parlimen Temerloh ini dan jika tiada duit, kita duduk diam-diam, jangan merungut sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah swt. mohon murahkan rezeki.

7. Tidak ketinggalan api fitnah turut dipercikkan kepada sahabat saya YB Ustaz Nik Mohd Abduh sebagai seorang yang mengamalkan gaya hidup mewah. Sedang siapa jua yang rapat dan mengenali beliau akan mengetahui bahawa, sehingga kini beliau yang telah berkeluarga dan mempunyai 8 cahaya mata, masih tinggal sebumbung di teratak sederhana bersama ayahandanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

8. Kebiasaannya bagi pasangan anak dan menantu, apabila mereka telah mempunyai keluarga sendiri dan beranak pinak, mereka akan mencari kediaman mereka sendiri secara berasingan. Banyak faktor yang mendorong sedemikian. Tetapi tidak kepada YB Ustaz Nik Mohd Abduh. Saya masih ingat kata-kata beliau kepada saya apabila saya bertaaruf secara tidak langsung sebagai seorang sahabat seperjuangan. Beliau menyebut:
"Semua orang berbangga dengan ayah ana sebagai Tok Guru, sedang Tok Guru tu ada dalam rumah ana, macam mana ana nak keluar tinggal di tempat lain! .... Ana nak didik anak-anak ana supaya melihat sendiri secara praktikal cara hidup datuknya seorang tok guru. Anak ana sedang membesar, ana pula banyak masa di luar ... elok sangatlah ana tinggal bersama ayah untuk memberi peluang kepada anak - anak terdidik dengan cara hidup seorang ulamak besar bergelar Tok Guru sebagaimana yang pernah ana alami semasa kecil-kecil dulu."

9. Kenyataan beliau memang menimbulkan rasa cemburu di hati kita yang tak ada Tok Guru dalam rumah kita kecuali televisyen dan komputer yang banyak didampingi oleh anak-anak kita.

10. Apa yang saya nak sebut ialah bagaimana mereka memfitnah kononnya YB Ustaz Nik Mohd Abduh mengamalkan gaya hidup mewah kalau tempat tinggal pun masih berkongsi rumah dengan orang tua. Sementara YB-YB lain berlumba-lumba mendirikan rumah sebesar mahligai. Kenapa penulis tidak menimbulkan isu pemimpin yang jelas terang lagi berlampu hidup dalam kemewahan? atau sememangnya pena diasah tajam untuk mensasarkan YB Ustaz Nik Mohd Abduh sahaja?

11. Kononnya itu adalah surat terbuka buat Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetapi realitinya sedang memfitnah ahli keluarga Tuan Guru sendiri sedang anakanda beliau yang dituduh mengamalkan kehidupan mewah tinggal serumah dengan beliau.

12. Kelihatan game semakin menarik selepas ini. Scud jenis apa pula akan dilancarkan selepas ini kepada saya dan rakan-rakan termasuk DPPM. Sekali lagi saya ambil pendekat berdoa kepada Allah swt supaya mereka insaf dan segera berhenti dari menabur fitnah dan membunuh karakter sedemikian rupa. Apa untung nak bunuh karakter saya? Saya hanya insan biasa.

Kerajaan mesra pembekal, tidak kepada pengguna

Hazayani Zakaria, 30 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menetapkan harga siling barangan tertentu selepas harga dinaikkan menunjukkan kerajaan lebih mesra pembekal berbanding pengguna.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan berhelah dengan menetapkan harga siling untuk memberikan 'situasi menang-menang' kepada pembekal dan pengguna namun hakikatnya pengguna yang terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang.

"Saya bersetuju perlu ada harga yang tetap untuk mengelak daripada peniaga memanipulasi harga barang tapi isunya ialah mahu tidak mahu pengguna terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang sebab kerajaan sendiri dalam menentukan harga kawalan sudah menaikkan harga barang terlebih dahulu.

"Kerajaan lebih mesra kepada pihak pembekal, dan pemborong tidak kepada pengguna dan menjadikan pembekal diutamakan dan rakyat dipinggirkan," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini, hari ini.

Memberi contoh harga siling ayam yang ditetapkan kepada RM7.70 sekilogram, beliau berkata, harga tersebut ditetapkan selepas harga ayam dinaikkan daripada sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram kepada RM8 sekilogram sebelum Ramadan.

"Contohnya harga ayam sebelum ini di pasaran cuma sekitar RM6 hingga ke RM7 sekilogram namun pada awal Ramadan ia dinaikkan sehingga RM8.

"Selepas harga naik baru kerajaan menetapkan harga paras siling RM7.70 kononnya ingin memberikan situasi menang-menang kepada pengguna peruncit dan pembekal,” katabeliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat itu juga berkata, penubuhan Skuad Pengguna di seluruh negara untuk memantau harga barangan dan perkhidmatan tidak memberikan kesan selagi kerajaan mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Walaupun pihak kerajaan telah membuat operasi melalui Skuad Pengguna yang akan pantau harga barang untuk buat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, tapi saya tak lihat keberkesanan yang baik untuk membendung masalah kenaikan harga barang.

"Kerajaan hanya membendung kenaikan harga barang selepas daripada ditentukan harga kawalan menjelang musim perayaan dan harga kawalan itu sudah ditentukan dengan dinaikkan oleh pihak kerajaan sendiri," katanya.

Sementara itu, Mahfuz Omar dalam sidang medianya hari ini menegaskan, laporan mengenai fahaman Syiah oleh media sebenarnya mendorong umat Islam khususnya generasi muda untuk terjebak dengan fahaman tersebut.

Malah apa yang membimbangkan katanya, mereka yang tidak mengetahui tentang fahaman tersebut mula ingin mengetahui mengenainya.

Jelasnya, isu ini sepatutnya dibendung dengan cermat tanpa mendapat sebarang publisiti daripada media.

"Saya setuju dengan cara pihak berkuasa membendung fahaman Syiah di negara ini tetapi pendekatan yang dilakukan perlu diperbaiki.

"Pihak berkuasa agama seharusnya memanggil penganut Syiah untuk mengenal pasti penyebar fahaman tersebut dan memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan, " katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS.

Utusan putar belit isu Syiah - Tuan Ibrahim

Salmiyah Harun, 30 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan menyebut dua nama pimpinan tertinggi PAS berhubung isu Syiah sebagaimana yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Laporan Utusan Malaysia, seperti mana dipetik "PAS hari ini menjelaskan bahawa sehingga kini tiada bukti yang boleh mengaitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sebagai pengikut Syiah".

Menurut Tuan Ibrahim, beliau langsung tidak menyebut kedua-dua nama pimpinan PAS itu kepada Utusan, namun tindakan akhbar itu sengaja memutarbelitkan fakta.

Tuan Ibrahim dilaporkan memberi respons kepada Utusan melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Namun, Tuan Ibrahim yang melahirkan kekecewaan ekoran laporan Utusan tersebut.

"Bila pula ana sebut nama dia orang tu.Yg dikod (quote) "....." Itu kenyataan ana. Putar alam betul," tegasnya.

Tuan Ibrahim turut menegaskan semua ahli PAS mesti berpegang dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau sekali menafikan penglibatan pimpinan utama PAS dengan ajaran Syiah.

Unit Amal dicadang bantu cegah jenayah

Dr Nazrul Izzuan Mohamad Idris, 30 Jul 2013

Mutakhir ini, saban hari kita melihat dan mendengar pelbagai kes jenayah berlaku di seluruh negara, daripada kes rompakan bersenjata, ragut, samun, pergaduhan, samseng jalan raya, jenayah rogol, bunuh dan terbaru tembakan ala mafia.

Oleh hal yang demikian, saya mencadangkan supaya PAS selaku parti Islam, jemaah Islam, harakah Islamiyah atau gerakan Islam bertindak proaktif dalam mencegah jenayah yang sangat menggerunkan di Malaysia ketika ini.

Walaupun kKekuatan anggota polis telah dipertingkatkan, namun kita lihat masih banyak berlaku jenayah seolah-olah kekurangan anggota. Walaupun rondaan dibuat, namun kes jenayah masih berlaku dengan statistik yang sangat tinggi. Malaysia bukan lagi negara yang selamat.

Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa tidak kira bangsa, agama, tempat dan masa.

Oleh itu, sudah tiba masanya PAS sebagai gerakan Islam, mempamerkan Islam yang syumul dan sama-sama menggembleng tenaga mewujudkan pasukan rondaan dan cegah jenayah kelolaan PAS sendiri.

PAS sudah ada unit AMAL. Kecekapan dan keberkesanan mereka telah terbukti berkali-kali terutama bertindak semasa menjaga dan membantu anggota polis mengawal lalu lintas semasa siri demonstrasi, ceramah politik, menjaga keselamatan pimpinan PAS, terlibat dalam operasi membantu mangsa bencana seperti banjir, tanah runtuh dan pelbagai lagi.

Cadangan supaya PAS mewujudkan unit rondaan cegah jenayah mampu dilaksanakan. Apatah lagi dengan kekuatan ahli PAS yang berjumlah satu juta ahli - belum termasuk penyokong PAS dan juga penyokong parti lain dalam pakatan rakyat, PAS mampu tampil ke hadapan dalam menjuarai isu ini dalam membantu menjaga kestabilan dan keamanan Malaysia.

Saya berpendapat, PAS dengan setiap markas dan unit peti undi (UPU) mereka di cawangan-cawangan, masjid-masjid, pondok, sekolah agama di mana-mana sahaja di Malaysia malah kehadiran meraka di seluruh negara menerusi sistem tersusun organisasi parti mampu membawa gerakan Islam PAS kehadapan dalam isu kenegaraan.

Ini merupakan serampang dua mata yang bukan hanya membantu polis mencegah jenayah dan mengembalikan keamanan pada negara malah melatih ahli / anggota PAS untuk bersedia berkorban jika suatu hari negara kita diserang anasir luar, malah menaikkan imej jemaah Islam sebagai menterjemahkan konsep negara berkebajikan, menunjukkan Islam itu syumul dan praktikal, bukan sekadar mengajar di kelas dan masjid-masjid malah turut terjun untuk bersama-sama masyarakat, dekat di hati, mewujudkan jaringan sosial dan membantu PAS untuk lebih 'berjaya' dalam plihan raya akan datang.

Rakyat di Venuezela sudah menggerakkan pasukan rondaan jenayah mereka sendiri secara berkumpulan dengan menaiki motosikal dan mengadakan kawalan keselamatan di tempat - tempat kadar jenayah yang sangat tinggi.

Ikhwanul Muslimin teguh dengan jaringan sivil mereka dengan membina sekolah, hospital, kempen kebajikan dan kemasyarakat, maka dengan itu kita lihat hari ini penyokong Ikhwanul Muslimin terus bertahan walau hampir sebulan selepas kudeta oleh As Sisi.

PAS juga saya yakin dengan jaringan Unit AMAL dan lain-lain Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawahnya dan kerja - kerja kebajikan seperti menyantuni penghuni di Lorong Haji Taib, majlis iftar dan pemberian Harakah percuma mampu menterjemahkan konsep Islam yang syumul, kamil dan mutakkamil melalui penubuhan unit cegah jenayah dan unit rondaan ini.

Sesebuah parti politik itu mampu melakukannya kerana mereka punya ahli dan penyokong yang ramai, apatah lagi PAS sebagai sebuah harakah Islamiyah, mampu untuk menterjemahkan teori dan laungan negara Islam, negara berkebajikan ke arah yang masyarakat boleh lihat kesannya, ke arah penambahbaikan negara ini dan memikat hati semua msyarakat di negara ini.

Jenayah melibatkan semua, tidak kira mereka yang liberal, atheis, sekular, tradisionalis, konservatif, Islamis, kristian, buddha, hindu, pagan, Melayu, Cina, India, kakitangan kerajaan, ahli politik, ahli perniagaan, rakyat marhaen, lelaki, wanita, kanak-kanak, remaja.

Maka di sini Islam mampu memikat mereka apabila gerakan Islam yang menonjol dengan aktifnya di medan masyarakat, bukan sekadar retorik berteriak laungan bercakaran di parlimen dan ceramah politik yang tidak berkesudahan.

Era baru, politik cara baru.

Tiada ulasan: