Khamis, 18 Julai 2013

RAKYAT DIDULUKAN....BETULKE



Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam

Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.
"Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi," katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.
Sebelum ini, Presidennya Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat  persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.
Kenyataan Cuepacs itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus. - Bernama
KJ: Najib tergugat jika BN tewas di K Besut
 
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa pengundi muda di Kuala Besut supaya menyokong parti berkenaan kerana kekalahan BN akan menggugat kedudukan pengerusi gabungan parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga ketua Pemuda Umno berkata keadaan akan menjadi tidak menentu sekiranya PAS berjaya merampas kerusi berkenaan apabila kedua-dua parti menguasai jumlah kerusi yang sama banyak.

"Sekiranya kita tewas di sini, dan kalau sekiranya ada pilihan raya negeri Terengganu dan DUN Terengganu dibubarkan, satu gelombang – bukan biru – tetapi suatu gelombang, suatu gerakan, suatu goncangan akan berlaku sampai ke Dewan Rakyat.

"Dan kita tak mahu melihat kedudukan BN, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, pengerusi BN, presiden Umno digugat, oleh kerana apa yang berlaku di Kuala Besut.
"Oleh demikian saya merayu. Saya merayu dan saya mengajak anak muda Kuala Besut sepaya memastikan kemenangan, bukan hanya Kuala Besut, bukan hanya masa depan Kuala Besut, bukan hanya pembangunan Kuala Besut, tetapi memastikan BN terus memerintah Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapannya dalam Majlis Penyerahan Sukan NGO DUN di Dewan Sivik Kampung Baharu sempena kempem pilihan raya kecil Kuala Besut petang ini.

Kira-kira 300 pemuda dan pemudi yang majoritinya memakai baju-T berwarna biru hadir sewaktu beliau menyampaikan ucapan.
Pejabat syarikat bekal dakwat SPR diburu wartawan
 
Syarikat yang didakwa membekalkan dakwat kekal bagi pilihan raya umum lalu Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd mula menjadi buruan wartawan selepas namanya didedahkan di Parlimen semalam.

Setakat jam 2.20 petang tadi, termasuk Malaysiakini, sudah tiga pengamal media hadir ke pejabat syarikat itu di Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9A, Seksyen 9, Shah Alam.

Bagaimanapun, kesemua pemberita hampa selepas gagal mendapat sebarang reaksi daripada Integrated Challenger, yang perolehan dakwat kekal itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malaysiakini pada sebelah paginya mengunjungi alamat syarikat itu berhampiran kawasan perumahan dan sebuah sekolah di Seksyen 13, Shah Alam, yang alamatnya diperoleh daripada carian maklumat di Google.

Bagaimanapun, tempat itu kini didapati menempatkan sebuah spa yang menawarkan khidmat terapi ozon dan penjagaan kesihatan.

Loceng pintu masuk spa yang terletak di tingkat dua bangunan kedai dan pejabat itu tidak dijawab oleh sesiapa selepas ditekan berulang kali.

Ruang dalam yang boleh dilihat menerusi kaca pintu juga gelap gelita.

Sementara rak kasut di tepi kanan pintu dan sepasang kasut di atasnya diselaputi habuk yang tebal, seperti lama ditinggalkan.

'Dia ada tugas luar'

Enggan kecewa dengan penemuan itu, pada tengaharinya Malaysiakini berkunjung pula ke lokasi kedua di Seksyen 9 Shah Alam seperti tercatat dalam daftar syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Jika lokasi pertama adalah sebuah spa, lokasi kedua pula terletak di atas sebuah spa yang menawarkan khidmat pelangsingan dan urutan badan ala-Bali.

Malaysiakini terhalang untuk naik ke pejabat itu oleh pintu kaca yang berkunci namun berjaya bercakap dengan seorang pekerja pejabat melalui interkom.

Malaysiakini: Selamat petang. Ini pejabat Integrated Challenger Sdn Bhd kan? Saya hendak bercakap dengan Puan Norsiah Yusoff (yang dikatakan pengarahnya, hasil maklumat carian di Internet).

Pekerja: Dia tak ada di pejabat sekarang. Dia buat kerja luar.

Malaysiakini: Saya mahu dapatkan maklum balas tentang dakwaan syarikat ini membekalkan dakwat kekal untuk SPR. Siapa yang boleh saya hubungi?

Pekerja: Saya pun tak tahu encik. Puan Norsiah pun saya tak pasti bila dia akan selesai dengan tugasan luar dia.

Dakwaan hubungan rapat dengan bos SPR

Penyambut tetamu tersebut enggan memberikan nombor telefon Norsiah atau pegawai syarikat lain yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut.

Malaysiakini juga menunggu selama sejam di kawasan berdekatan untuk menunggu kemunculan Norsiah atau pegawai lain syarikat itu.

Setengah jam kemudian, dua orang wartawan dari sebuah harian berbahasa Melayu juga tiba di lokasi sama tetapi difahamkan mereka dimaklumkan, premis itu bukan pejabat Integrated Challenger.

Mereka mahu menemui Mohamad Salleh Mohd Alli, yang didakwa pemilik syarikat itu oleh Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli semalam.

Bagaimanapun, wartawan berkenaan dimaklumkan, beliau sedang berada di luar negara.

NONETidak lama kemudian, muncul lagi dua orang wartawan sebuah portal berita baru yang akan beroperasi tidak lama lagi, di lokasi sama.

Mereka pula dimaklumkan bahawa kedua-dua Mohamad Salleh dan Norsiah tidak ada di pejabat.

Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli (atas) semalam di Dewan Rakyat mendedahkan Integrated Challenger sebagai syarikat yang didakwa sebagai pembekal dakwat kekal pilihan raya umum lalu.

Beliau menyebut nama serta nombor kad pengenalan individu yang didakwa sebagai pemilik syarikat terbabit.

Pengarah strategi PKR itu juga mendakwa syarikat itu mempunyai hubungan rapat dengan pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, tuduhan yang dinafikan suruhanjaya itu.

Rafizi juga mendakwa, Integrated Challenger turut mendapat kontrak bernilai besar RM6.9 juta itu secara rundingan terus.
MB T'ganu: Wakil rakyat Umno berhak dapat tanah
 
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri tidak akan menarik balik tanah yang dianugerahkan kepada empat orang pemimpin Umno Besut untuk menghargai jasa individu berkenaan sebagai wakil rakyat.
Katanya, wakil rakyat berkenaan, seperti juga anak negeri tersebut yang lain, berhak memohon dan memiliki tanah tersebut.

Beliau mengakui bahawa setiap orang daripada empat pemimpin Umno Besut tersebut memiliki satu hektar tanah setiap seorang di kawasan Bukit Dendong, Mukim Tembila dalam daerah Besut.
"Dasar kita semua rakyat Terengganu, berhak mendapat lot tanah. Jadi dia wakil rakyat dia berhak minta. Apa salahnya, dia dapat secara (yang betul).

"Buat apa nak serah (balik kepada kerajaan negeri). Hak dia. Rakyat biasa kita hampir 20,000 lot.
"Takkan kerana empat orang ini, kita nak itu (tarik balik)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Besut hari ini.

Menurutnya lagi, beliau telah menyerahkan hampir 12,000 tapak rumah dan hampir 8,000 tapak pertanian sejak mengambil alih sebagai menteri besar pada 2008.

Beliau berkata demikian bagi menjawab desakan PAS yang meminta kerajaan negeri menarik balik tanah yang diberikan kepada empat pemimpin Umno di Besut.
Ahli jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media di Kuala Besut pagi ini mencabar timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan beliau memulangkan semula tanah berkenaan.
Dzulkefly berkata tindakan itu bagi membuktikan bahawa kerajaan BN benar-benar menepati slogan 'Rakyat didahulukan', dan bukannya "dimangsai".
Dzulkefly mendakwa, tanah berkenaan diberikan ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi ADUN Jerteh.
Selain Idris, tiga lagi pemimpin Umno yang didakwa menerima tanah berkenaan ialah MP Besut pada masa itu, Datuk Abdullah Muhamad Zain, ADUN Kota Putera Muhammad Pehimi Yusof, dan ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad.

Nawi yang juga ADUN Hulu Besut pada hari Isnin lalu telahpun mengakui bahawa beliau mendapat tanah berkenaan dan menjelaskan bahawa rakyat lain juga layak menerima tanah daripada kerajaan negeri.
Pegawai polis putus kaki dirempuh kereta di K Besut
9:13PM Jul 17 2013  
Seorang pegawai polis trafik yang bertugas untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut putus kaki kanan setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi di Kuala Besut hari ini.
  
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, Insp Farid Hasni Mamat, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, terhumban kira-kira 10 meter berhampiran tembok sekolah akibat impak rempuhan itu.
  
Ketika kejadian mangsa bersama Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman, 48, sedang melakukan rondaan berhampiran kawasan sekolah itu.
  
Menurut Zainalabidin, selepas selesai melakukan pemeriksaan di sekolah tersebut, mereka berdua menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju memotong sebuah kenderaan lain.
  
Katanya beliau yang berada kira-kira 50 meter di hadapan mangsa sempat mengelak kereta Proton Saga yang dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun itu namun mangsa gagal berbuat demikian.
  
Zainalabidin berkata selepas melanggar mangsa, kereta berkenaan yang hilang kawalan melanggar tembok pagar sekolah sehingga runtuh.
  
"Melihat kejadian itu saya menghampiri mangsa dan melihat sebelah kaki mangsa putus dan dijumpai berhampiran tembok yang runtuh," katanya ketika ditemui di Hospital Besut, di sini.
  
Menurutnya mereka berdua baru bertemu sejak Sabtu lepas dan ditugaskan untuk
 membantu kelancaran trafik sempena PRK DUN Kuala Besut.
  
Mencerita saat beliau menghampiri mangsa, Zainalabidin berkata beliau terdengar mangsa merintih "Apa dosa saya? Kenapa dia langgar saya?".
  
Mangsa yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu dikejarkan ke Hospital Besut dengan ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.
  
Keadaannya kini dilaporkan stabil.
  
Sementara itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Alias Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu.
  
Katanya suspek yang mengalami kecederaan ringan itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

- Bernama
Menteri: Nama pembekal dakwat SPR didedahkan
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim enggan mengesahkan pihak yang disebut oleh MP Pandan Rafizi Ramli semalam merupakan pemilik dan syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 5 Mei.

Shahidan tetap enggan mengesahkan perkara itu, walau diasak berkali-kali oleh MP Pakatan Rakyat, termasuk Rafizi ketika menteri berkenaan berucap dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kes berhubung perolehan dakwat kekal itu juga kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

NONE"Kes ini dah rujuk pada SPRM. Biar SPRM yang uruskan. Syarikat yang bekal, saya serah pada SPRM untuk mereka lihat bagaimana mereka boleh cerita pada umum," kata Shahidan.

Ahli Parlimen Arau itu bagaimanapun berkata, tender untuk membekal dakwat berkenaan tidak lagi akan diberikan kepada syarikat sama memandangkan "nama syarikat pembekal dakwat kekal telah didedahkan".

Menurutnya, ia bagi menjaga kerahsiaan dakwat tersebut agar tidak diketahui umum.

"Syarikat ini tidak akan diberi tender lagi. Bila orang dah tahu ini syarikatnya, tak bolehlah. Biar orang lain pula yang ambil alih sebab dakwat ini biar menjadi rahsia kepada SPR."

Rafizi semalam mendakwa syarikat yang membekal dakwat berkenaan ialah Integrated Challenger (M) Sdn Bhd.

Malaysiakini telah cuba menghubungi syarikat berkenaan dan turut mengunjungi pejabat syarikat tersebut di Shah Alam hari ini untuk mendapatkan reaksi berhubung dakwaan berkenaan namun masih belum berhasil.

Dalam ucapannya hari ini, menteri berkenaan juga menafikan bahawa syarikat yang disebut oleh Rafizi semalam turut membekal topi dan baju-T untuk kegunaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

NONE"Syarikat yang bekal dakwat ini bukan syarikat sama membekalkan topi dan baju-T seperti yang disebut Pandan. Semalam Pandan kata dikawal oleh syarikat yang sama," katanya.

Shahidan turut menamakan tiga buah syarikat pembekal topi dan lima buah syarikat yang membekal baju-T tersebut.

Kenyataannya itu bagaimanapun disangkal Rafizi yang mencelah dan mendakwa syarikat pembekal dakwat kekal dan pembekal topi dikawal oleh orang yang sama.

"Syarikat bekal topi dikawal oleh orang yang sama (bekal dakwat kekal)," kata Rafizi.

Shahidan yang enggan mengalah kemudiannya meminta agar Rafizi membuktikan dakwaan tersebut terlebih dahulu.

Turut menyertai perbahasan ialah Tian Chua (PKR-Batu) yang meminta Shahidan menerangkan sama ada kontrak membekalkan dakwat tersebut dibuat secara rundingan terus atau tidak.

Mengulas perkara itu, Shahidan memberi jaminan bahawa perolehan berkenaan dijalankan mengikut prosedur.
"Kalau tak ikut prosedur sudah pasti dia akan ditangkap. Semua tahu pegawai kerajaan paham tentang prosedur.

"Tidak ada siapa berani sekarang ambil kontrak kerajaan secara runding terus," katanya lagi.
Isu dakwat: MP kata jawapan menteri berbeza
 
MP Pandan Rafizi Ramli mendakwa menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jawapan berbeza mengenai kandungan bahan dalam dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Katanya, Shahidan dalam jawapannya ketika Dewan Rakyat pada bulan lalu menyatakan bahawa dakwat berkenaan tidak mengandungi “bahan kimia” dan hanya menggunakan pewarna makanan.

"Seingat saya, dia beri jawapan berbeza dengan minggu pertama Parlimen. Dia kata tak ada silver nitrate dan diganti dengan pewarna makanan.

“Hari ini menteri kata ada satu peratus (kandungan silver nitrate) pula. Sebab itu saya kata jawapan yang diberi SPR dan menteri berbeza," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengulas ucapan Shahidan di Dewan Rakyat hari ini yang antara lainnya menyebut bahawa bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal tersebut antara lainnya turut mengandungi silver nitrate.

Shahidan berkata demikian ketika diasak oleh MP Pakatan, yang meminta beliau menjelaskan mengenai dakwat yang didakwa dapat ditanggalkan dengan mudah semasa pilihan raya tersebut.
"Saya sekali lagi nak ulang. Jangan lagi cakap pasal silver nitrate. Kandungan dakwat kekal, satu peratus silver nitrate, pewarna organik 60 peratus, 29 peratus pelembap, 10 peratus pelarut.
"Apa kandungan pelarut tak perlu cerita, panjang sangat. Kalau cerita pasti dimanipulasi nanti," katanya.
Palanivel gugurkan Vell Paari dari CWC MIC
5:20PM Jul 17 2013  
Presiden MIC, G Palanivel telah menggugurkan pengarah strategi parti itu, S Vell Paari - anak bekas presiden Datuk Seri S Samy Vellu - daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

mic and palanivelPalanivel (kiri), yang merupakan pengganti pilihan Samy Vellu untuk
jawatan tertinggi itu, dilaporkan telah melantik bekas naib presiden S Sothinathan dan S Sunthar, anak lelaki bekas timbalan presiden Datuk S Subramaniam, untuk menganggotai CWC.

Sunthar akan menggantikan Ketua Puteri MIC, Usha Nandini.

Ketika dihubungi, Vell Paari berkata beliau tidak terganggu dengan perkembangan terkini itu.

"Saya tahu ia akan berlaku. Setakat yang saya tahu, ia tidak memberi kesan kepada saya. Saya akan meneruskan kerja saya, "katanya.

Ditanya kenapa Palanivel bertindak demikian, beliau menjawab: "Mungkin ia adalah kaitan dengan wawancara media baru-baru ini di mana saya bercakap mengenai kemungkinan cabaran untuk jawatan tertinggi itu."
      
Menurut laporan media hari ini, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Palanivel mengucapkan terima kasih kepada Vell Paari atas perkhidmatannya.

Keadaan ini menjadi semakin tegang dalam MIC di mana spekulasi bertiup kencang bahawa Timbalan Presiden Dr S Subramaniam boleh melancarkan cabaran terhadap Palanivel.
Warga Filipina dapat kerakyatan guna nama Islam
 
Seorang warga Filipina yang dilahirkan sebagai seorang penganut Kristian, telah menjadi warganegara Malaysia selepas dia diberi nama Islam oleh rakan bapanya untuk melicinkan proses dokumentasi, demikian suruhanjaya siasatan diraja (RCI) tentang pendatang di Sabah diberitahu hari ini.

Shafee Mohd Yusof, yang nama asalnya Johnny Amules, memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa seorang lelaki yang bernama Mohd Yusof menjadikannya dan dua lagi adik-beradiknya sebagai "anak angkat" ketika dia berusia sembilan tahun.

Ini membolehkannya mendapatkan sijil kelahiran lewat walaupun dia tidak dilahirkan di Sabah, dan kemudiannya diberikan MyKad.

Shafee tiba secara haram, tanpa sebarang dokumen, dengan bapa tirinya, ibu, kakak dan seorang adik beradik lelakinya dari Filipina ketika dia berusia enam tahun.
Bapa tiri Edwin, yang bekerja sebagai mekanik dengan seorang ahli perniagaan di Semporna, berjumpa dengan rakannya, Mohd Yusof bagi membantu kanak-kanak tersebut mendapatkan dokumentasi supaya mereka boleh bersekolah dengan lebih mudah.

Shafee berkata, beliau bersekolah berdasarkan surat akuan dari pejabat daerah Semporna apabila Mohd Yusof membawanya ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Semporna.

Beliau dan adik-beradiknya kemudiannya masing-masing dikeluarkan sijil kelahiran lewat di bawah nama Islam.

Sijil kelahiran itu menyatakan Mohd Yusof sebagai bapa Shafee; isteri Mohd Yusof sebagai ibu; dan Semporna sebagai tempat kelahiran.

"Beliau juga membantu kami mendapatkan Kad Bunga Raya (IC lama). MyKad adalah satu-satunya yang saya memohon untuk diri saya sendiri," kata Shafee.

Bapa tiri dan ibunya masih tinggal di Semporna tanpa dokumen, katanya, tetapi beliau tidak tahu di mana Mohd Yusof berada sekarang.

Dua lagi adik beradiknya yang nama asal mereka Abigail dan Leo, mengamalkan agama Islam, kata Shafee.

Shafee kini berkahwin dengan seorang rakyat Filipina beragama Islam yang juga tidak mempunyai dokumen kecuali pasport Filipina. Tiga anak mereka semua mempunyai sijil kelahiran dan MyKid.
'Zahid, minta maaf atau hadapi JK Parlimen'
 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus meminta maaf kepada Dewan Rakyat ekoran jawapannya berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) atau dirujuk ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen.

Anggota Parlimen Taiping daripada DAP Nga Kor Ming menjelaskan, ini ekoran kenyataan Zahid - bahawa IPCMC tidak dapat dilaksanakan kerana bercanggah dengan perlembagaan - "tersasar" sama sekali.

"Saya berikan peluang kepadanya untuk minta maaf semasa sesi penggulungan. Saya harap beliau cukup jantan, sebagai negarawan, akan meminta maaf atas kesalahannya.

"Jika langkah itu diambil, tidak perlu lagi merujuknya kepada jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Mufti cadang 5 tahun penjara buat Alvin, Vivian
12:36PM Jul 17 2013  
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata perbuatan Alvin Tan dan Vivian Lee tidak boleh dimaafkan dengan mudah kerana pasangan blogger seks berkenaan telah berulang kali melakukan perbuatan menghina Islam.
Laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan Ibrahim menyebut, kerajaan perlu mengambil tindakan keras ke atas pasangan muda tersebut.

“Semua kesalahan boleh selesai dengan minta maaf sahaja. Adakah ini sudah menjadi budaya di Malaysia?

“Ambil tindakan undang-undang dahulu dan selepas itu terpulang kepada mahkamah untuk menentukan.

“Kalau hendak minta maaf pun, biarlah di mahkamah,” katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Akhbar sama turut memetik kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang turut menyokong agar tindakan dikenakan pada pasangan blogger seks tersebut.

“Perbuatan Alvin dan Vivian jika dibiarkan boleh menimbulkan huru-hara dalam negara malahboleh mengakibatkan pertumpahan darah.

“Saya ingin bertanya apakah kerajaan pada masa ini terlalu lemah untuk melaksanakan undang-undang?,” katanya yang mencadangkan hukuman sekurang-kurangnya lima tahun penjara ke atas pasangan tersebut.

Alvin dan Vivian yang pernah mencetuskan kontroversi video lucah mereka di Singapura sebelum ini, memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh di Facebook, Jumaat lalu dengan kapsyen:

"Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan."

Mereka juga meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak, terutamanya umat Islam di negara ini atas dakwaan memperolokkan kesucian Islam dan bulan Ramadan.

Pasangan berkenaan kemudiannya pada Ahad lalu memuatkan satu video di Youtube bagi memohon maaf atas tindakan berkenaan.
Tiada langsung Islamis dalam kabinet sementara Mesir
10:53AM Jul 17 2013  
Kerajaan sementara Mesir menetapkan sasaran besar untuk mengembalikan pemerintahan awam dan menyelamatkan ekonomi negara itu, proses yang dirumitkan dengan siri tunjuk perasaan dan kebuntuan politik dengan kumpulan Islamis berpengaruh.

Ketua kerajaan sementara Adli Mansour, hakim yang mengetuai kerajaan yang disokong tentera, mengangkat sumpah bersama 33 lagi menteri yang dilihat liberal dan teknokrat di istana presiden pada Selasa, lapor Reauters.

Tiada seorang pun menteri dipilih daripada kumpulan Islamis Mesir yang memenangi 5 kali pilihan raya secara berterusan sejak 2011.

Presiden Islamis Mohamed Mursi digulingkan tentera pada 3 Julai selepas jutaan rakyat Mesir menunjuk perasaan di jalan-jalan raya bagi menuntut pengundurannya.

Ikhwanul Muslimin menolak kerajaan sementara itu, termasuk Perdana Menteri Hazem el-Beblawi, seorang ekonomis veteran liberal.

"Ia kerajaan haram, perdana menteri haram dan kabinet haram," kata jurucakap Ikhwan Gehad El-Haddad.

"Kami tak iktiraf seorang pun dalamnya. Kami juga tak sesekali mengiktiraf kuasanya sebagai wakil kerajaan."

Menteri-menteri itu memasuki pejabat masing-masing hanya beberapa jam selepas tujuh lagi terbunuh dan 260 tercedera akibat pertembungan penyokong Ikhwan dengan polis di tengah kota Kaherah, berdekatan Giza.

Angkat itu menjadikan jumlah keseluruhan terkorban selepas Mursi digulingkan sekurang-kurangnya 99 orang.

Ketegangan antara dua kumpulan pula mewujudkan pemisahan masyarakat yang jelas antara yang menyokong campur tangan tentera dan yang menentangnya.

Bagaimanapun, di balik kegasanan dan pergaduhan politik, kerajaan sementara menggalas tugas besar untuk membawa ekonomi Mesir keluar daripada kelembapan, selepas dua tahun setengah pergolakan dan ketika bekalan makanan sekarang di paras bahaya.

Tiada ulasan: