Selasa, 9 Julai 2013

BENDA BOHONG NI ....AKHIRNYA TERBONGKAR JUGA

P Pinang sokong Kedah lindungi hutan Ulu Muda

Harakahdaily, 07 Jul 2013
GEORGE TOWN: Jika perlu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyokong permohonan Kedah untuk pembiayaan Persekutuan untuk melindungi hutan Ulu Muda.

“Saya yakin Kerajaan Negeri Perlis juga akan menyokong permohonan itu. Lagipun, dalam Bab 6, muka surat 305, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), di bawah tajuk ‘Membina Persekitaran yang Meningkatkan Kualiti Hidup’, Kerajaan Persekutuan akan ‘menjalankan inisiatif untuk menggalakkan negeri-negeri mewartakan hutan terutamanya kawasan tadahan air sebagai kawasan perlindungan’,” ujar Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, sebagaimana di bawah.

Pulau Pinang akan menyokong usaha Kerajaan Negeri Kedah mendapatkan dana Persekutuan untuk membantu memulihara lembangan Sungai Muda dan kawasan tadahan air untuk faedah ketiga-tiga negeri - Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Kita perlu jelas bahawa Sungai Muda bukan sahaja memberi manfaat kepada Pulau Pinang. Kedah juga menggunakan air dari sungai yang sama untuk bekalan air mereka dan keperluan pengairan. Sungai Muda juga merupakan sumber air penting bagi kawasan selatan Perlis.

Oleh itu, pemeliharaan kawasan tadahan Ulu Muda di Kedah adalah isu Persekutuan kerana melibatkan bekalan air tiga negeri serta pemuliharaan kawasan hutan semula jadi untuk faedah semua rakyat Malaysia.

Seperti yang dinyatakan oleh laman web Friends of Ulu Muda (FoUM) (saveulumuda.com), kawasan tadahan di Ulu Muda, yang meliputi kawasan seluas 160,000 hektar, kini diancam pembalakan sejak tahun 2002, serta penukaran hutan, pengeluaran sumber hutan haram dan tanpa kawalan serta pembangunan pelancongan yang tidak mapan.

Oleh itu, adalah dicadangkan bahawa: -
• Semua pembalakan di hutan Ulu Muda hendaklah dihentikan serta-merta, dan arahan Kerajaan Persekutuan pada 18 Mei 2003, yang melarang pembalakan di Hutan Ulu Muda, harus dikuatkuasakan;
• Memandangkan hutan Ulu Muda menghasilkan air bersih bagi kebanyakan negeri-negeri utara di pantai barat untuk pertanian, domestik, pelancongan dan perindustrian, Kerajaan Negeri Kedah perlu mewartakan hutan sebagai hutan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984;
• Demi memelihara biodiversiti hutan yang kaya (tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar), perlindungan yang lebih besar hutan Ulu Muda akan dipertingkatkan dengan menubuhkan atau Taman Negara atau Negeri; dan
• Kerajaan Persekutuan harus menunaikan janji untuk membayar pampasan kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana tidak melakukan pembalakan di hutan Ulu Muda.

Sebanyak 96% bekalan air di Pulau Pinang dan 80% bekalan air Kedah berasal dari hutan Ulu Muda. Skim Pengairan Muda yang mencakupi 40% daripada jumlah pengeluaran beras di Malaysia, juga amat bergantung kepada air yang diperoleh dari hutan Ulu Muda.
Oleh itu, Kedah perlu bertindak dengan cepat dan mendapatkan dana Persekutuan untuk memelihara sumber Sungai Muda. Pembiayaan persekutuan adalah wajar kerana kawasan hutan Ulu Muda adalah:
• Tadahan air mentah yang kritikal untuk ketiga-tiga negeri,
• Sumber pengairan penting bagi Kedah sebagai 'Jelapang Padi Malaysia', dan
• Kawasan biologi hijau dan pelbagai yang perlu diwartakan sebagai Hutan Taman Negara atau Negeri untuk kebaikan semua pencinta alam semulajadi Malaysia bagi masa kini dan pada masa hadapan.

Jika perlu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyokong permohonan Kedah untuk pembiayaan Persekutuan untuk melindungi hutan Ulu Muda.

Saya yakin Kerajaan Negeri Perlis juga akan menyokong permohonan itu. Lagipun, dalam Bab 6, muka surat 305, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), di bawah tajuk ‘Membina Persekitaran yang Meningkatkan Kualiti Hidup’, Kerajaan Persekutuan akan “menjalankan inisiatif untuk menggalakkan negeri-negeri mewartakan hutan terutamanya kawasan tadahan air sebagai kawasan perlindungan”.

Jika Kedah ikhlas dalam memulihara Ulu Muda yang mapan, adalah perlu untuk mendapatkan pampasan atau pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan atas dua sebab.

Kedua, Kerajaan Persekutuan sudah pasti mempunyai sumber kewangan untuk membayar Kedah, terutamanya berikutan pengambilalihan aset air oleh kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Bhd (PAAB).

PAAB telah sepakat untuk memastikan bekalan air mentah yang mencukupi apabila Pulau Pinang menandatangani perjanjian pemindahan air dengan PAAB pada 2 Jun 2011, yang disaksikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Kuala Besut: Presiden umum calon PAS 9 Julai

Harakahdaily, 07 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Calon PAS bagi Pilihan raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, Terengganu akan diumumkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 9 Julai ini.

Presiden PAS akan membuat pengumuman itu pada satu majlis yang akan diadakan di kawasan Dun Kuala Besut bermula jam 9.00 malam.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily.

Katanya, pemimpin tertinggi PAS turut hadir pada majlis tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai hari membuang undi PRK Kuala Besut sementara penamaan calon pada 12 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pada PRU13 lalu, allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi.

Bagai pesta naik harga barang menjelang Ramadhan

Ridhuan Husin, 07 Jul 2013


GOMBAK: Berikutan beberapa barangan asas keperluan mulai naik harga hampir sahaja bulan Ramadhan, Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama-sama rakan-rakan pemuda dalam Pakatan Rakyat (PR) mengadakan ‘Kempen Anti Kenaikan Harga Barang’.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata kempen tersebut diadakan sebagai simbolik untuk menyedarkan masyarakat bahawa kita sekian lama telah ditipu dengan janji-janji kosong oleh kerajaan untuk menurunkan harga barang keperluan.

“Tetapi apabila tiba sahaja musim bulan puasa dan raya, pihak yang patut bertanggungjawab tidak mengambil berat tentang perkara ini menyebabkan yang menjadi beban adalah rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau yang Ahli Parlimen Temerloh, ia bagaikan pesta naik harga apabila tiada kawalan yang ketat mengenainya.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Gombak membuat jualan amal dengan menjual gula pada harga RM2 sekilo bersempena kempen tersebut di Pasar Pagi Taman Greenwood, Gombak.

Penipuan manusia terapung dibongkar, terhangat

Harakahdaily, 07 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Artikel bertajuk “Penipuan manusia terapung dibongkar” menjadi artikel yang paling diminati para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-27, 2013.

Di tangga kedua pula ialah artikel bertajuk “Tindakan tentera Mesir setelah 24 jam rampas kuasa” yang ditulis http://www.tintaasyraf.com mengenai beberapa tindakan telah dibuat oleh tentera Abdel Fattah Al-Sisi setelah 24 Jam merampas kuasa daripada Presiden Mesir Dr. Muhammad Mursi.

Berita “Ketua Pembangkang S’gor terkedu, tanpa fakta” pula menduduki tempat ketiga.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 30 Jun hingga 7 Julai.

1

Penipuan manusia terapung dibongkar
2

Tindakan tentera Mesir setelah 24 jam rampas kuasa
3

Ketua Pembangkang S’gor terkedu, tanpa fakta
4

Giliran Rais Yatim dapat habuan
5

Fanpage TV3 dIserang kerana gelar Dr Mursi sebagai diktator
6

Gelombang penyokong Mursi sedang banjiri Bulatan Rabiah
7

PRK Kuala Besut: Fakta Azmin tak betul - Mustafa
8

Kenapa semakin ramai kunjungi TG Nik Aziz?
9

Cara rai Aidilfitri di Melaka, gambar masjid dipijak-pijak
10

Isu Idris-Mat Said kini muncul di Kuala Besut

Rampasan kuasa tentera Mesir merobek demokrasi

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, 07 Jul 2013

4 Julai 2013 mencatatkan sejarah hitam bagi sejarah demokrasi dunia moden apabila tentera Mesir bertindak merampas kuasa daripada seorang presiden negara yang dipilih secara demokrasi seterusnya menggantung perlembagaan negara Mesir.

Untuk menjustifikasikan tindakan tidak demoratik mereka, tentera Mesir dari awal lagi cuba mengelabui mata antarabangsa dengan 3 tindakan.

Pertamanya, tentera Mesir cuba menggambarkan bahawa tindakan mereka merampas kuasa adalah demi menunaikan kewajipan bernegara dan bukan kerana bermotifkan politik. Justifikasi ini sangat penting kerana tindakan mereka merampas kuasa terhadap kerajaan yang sah dipilih secara demokrasi adalah salah di mata dunia. Ia juga bertujuan mengelakkan Mesir dari disekat bantuan ekonomi oleh negara-negara Eropah dan Amerika.

Kedua, melantik orang awam menjadi Presiden sementara Mesir.
Rampasan kuasa oleh tentera bukanlah cara yang sah untuk mendapat kuasa. Namun sejarah dunia moden menunjukkan banyak kerajaan baru dibentuk menerusi rampasan kuasa oleh tentera seperti pernah berlaku di Libya, Syria, Iraq dan Pakistan. Selalunya Pemerintah tentera melantik jeneralnya sebagai pemerintah baru negara seterusnya berlakulah siri pemerintah autokrasi yang tidak demokratik. Namun, tentera mesir dilihat cuba bertindak bijak apabila tidak melantik jeneralnya yang merampas kuasa sebagai pemerintah sementara. Sebaliknya tentera melantik seorang awam yang mempunyai latar belakang perjawatan kerajaan sebagai presiden sementara iaitu seorang hakim mahkamah.

Meskipun begitu tindakan mereka gagal mendapatkan sokongan bulat negara-negara besar dunia kerana hakikatnya ia merupakan perancangan jahat terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Hari ini 4 buah negara besar barat iaitu Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman mula mempertikaikan tindakan rampasan kuasa ini kerana ia bercanggah dengan demokrasi yang mereka perjuangkan.
Ketiga, tentera menjanjikan pilihanraya umum terdekat bagi memilih presiden baru.

Namun, Janji manis tentera untuk mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat tidak mampu mengelabui mata masyarakat antarabangsa. Sebabnya ialah untuk apa dibuat pilihanraya baru sedangkan kerajaan Dr Morsi adalah terpilih menerusi pilihanraya bersih yang sangat demokratik. Tidak ada justifikasi yang kuat untuk tindakan tentera melainkan sekadar memuaskan keinginan pihak tertentu yang inginkan kuasa di kalangan pembangkang Mesir. Tentera hanyalah alat kepada golongan sekular dan liberal yang mencari jalan menjatuhkan kerajaan Ikhwan Muslimin ini atau rakan kongsi strategik yang mempunyai kepentingan politik tersendiri. Jeneral Abas Sisi apabila dilantik menjadi menteri pertahanan oleh kerajaan Dr Morsi, maka beliau juga telah menjadi orang politik. Tanpa dilandasi iman dalam berpolitik seorang ahki politik akan bertindak apa sahaja. Dalam bahasa demokrasi digunakan istilah "binatang politik" (animal ????) Yang akhirnya bertindak menghalalkan apa sahaja cara demi kelangsungan cita-cita politik.

Dalam isu Mesir perspektif negatif rampasan kuasa oleh tentera bertambah negatif kerana ia dilakukan terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi menerusi pilihanraya yang diiktiraf sebagai bersih. Justeru, tindakan tentera mula menjadi bahan pertikaian dunia barat yang mengagongkan demokrasi. Dunia barat mungkin tidak bersetuju dengan Dr Morsi kerana beliau datang dari sebuah parti Islam. Namun tindakan merampas kuasa kerajaan yang dipilh secara demokrasi merosakkan demokrasi yang mereka perjuangkan.

Tindakan kerajaan Turki yang dipimpin oleh Erdogan menolak tindakan jahat tentera sangat bijak dari sudut politiknya. Ini kerana Turki juga berhadapan dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi menerusi demonstrasi awam yang ditaja oleh pembangkang daripada golongan sekular dan liberal. Dan tidak pelik jika tentera Turki juga campur tangan sepertimana dilakukan oleh tentera mesir dengan hujah kerajaan Erdogan cuba mencanggahi inspirasi perlembagaan sekular yang diasaskan oleh Kamal Atartuk. Namun, menariknya, Bukan sahaja kerajaan, malah pembangkang Turki juga berkongsi pandangan yang sama dengan kerajaan.


Bagaimana "mood" dunia barat yang tidak selesa dengan tindakan tidak demokratik ini dapat dimanfaatkan untuk menggerakkan sokongan antarabangsa terhadap keabsahan kerajaan Dr Morsi? Persoalan ini perlu difikirkan bersama.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tiada ulasan: