Posted on Tuesday, March 11 @ 19:05:03 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Laman web DigitalGlobe turut menghulurkan bantuan bagi mengenal pasti lokasi pesawat MH370.
Setelah pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS) dilaporkan hilang dan operasi mencari memasuki hari keempat, syarikat pengimejan satelit Amerika mengambil inisiatif mengumpul maklumat bagi mencari pesawat berkenaan.
Menerusi inisiatif ini, orang ramai akan membantu menganalisis imej beresolusi tinggi bagi sebarang tanda kehilangan pesawat.
ABC News melaporkan syarikat DigitalGlobe yang berpangkalan di Longmont, Colorado memasang kamera pada lima satelit orbit pada Sabtu di kawasan Teluk Thailand di mana lokasi MH370 dilaporkan hilang.
DigitalGlobe akan menggunakan komputer algoritma bagi melihat pengguna menandakan kawasan tertentu lebih banyak daripada pakar pengimejan satelit dalaman yang kemudiannya akan dibuat pemantauan, katanya.
“Sesiapa sahaja boleh pergi ke pautan dan mula melihat imej tersebut yang ditanda jika terdapat perkara mencurigakan. Setiap piksel di skrin komputer mewakili setengah meter permukaan laut.
"Apa yang dapat kami katakan di sinilah lokasi 10 terbaik atau mencurigakan. Adakah benar sayap pesawat terpisah dan serpihannya terapung di lautan?
"Mungkin kami tidak 100% yakin tetapi jika itu yang terpaksa saya lakukan maka saya akan mulakannya,” katanya.
Barrington berkata inilah cara bagi mereka yang tidak pandai membawa bot merentasi Lautan Pasifik bagi menuju ke Semenanjung Malaysia atau mereka yang tidak pandai memandu kapal terbang membantu mencari pesawat Boeing 777-200ER.
DigitalGlobe menjalankan First Look Event secara berbayar bagi membandingkan imej sebelum dan selepas kepada pelanggan.
Beberapa bulan lalu, syarikat itu mengaktifkan perkhidmatannya bagi memantau kebakaran hutan di Australia, keganasan di Ukraine dan ribut ais di Altanta.
November lalu, syarikat tersebut turut melancarkan kempen serupa selepas taufan Haiyan membadai Asia Tenggara dan pengguna meninggalkan 400,000 tanda digambar membantu mengenal pasti 38,000 bangunan dan 101,000 rumah yang rosak akibat bencana itu.
MH370 sewaktu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada Sabtu hilang dari radar kira-kira 1.30 pagi di pantai timur Malaysia dan selatan Thailand.
Nasib pesawat yang membawa 227 penumpang yang terdiri daripada 14 negara dan 12 krew kabin masih belum diketahui.
Sejak berita kehilangannya tersebar, terdapat beberapa laporan serpihan bangkai pesawat dan tumpahan minyak di Laut China Selatan di mana pesawat itu kali terakhir dikesan radar namun siasatan lanjut oleh pihak berkuasa mendapati barang yang dijumpai itu bukan milik pesawat malang berkenaan. –
TMI
11 Mac, 2014.
4 aspek siasatan polis termasuk rampasan, sabotaj, masalah peribadi - KPN
Posted on Tuesday, March 11 @ 19:01:09 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
KUALA LUMPUR: Polis kaji empat aspek dalam penyiasatan terhadap kehilangan pesawat MH370 iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi penumpang dan kru dan masalah peribadi, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan terkini kehilangan pesawat MAS, di sini, sebentar tadi.
MH370 'hilang' kerana kuasa ALLAH SWT
Posted on Tuesday, March 11 @ 18:57:34 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
SHAH ALAM - Misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 penerbangan MH370 ke Beijing yang dilaporkan hilang dari radar Sabtu lalu telah masuk hari ketiga.
Namun, sehingga jam 11 malam, masih tiada sebarang petanda yang menunjukkan perkembangan positif terhadap misi tersebut.
Segala teknologi dan peralatan canggih dari seluruh dunia telah dikerahkan dalam misi itu tetapi masih tiada hasil setakat ini.
Melihat kepada kegagalan sains moden dalam mengesan lokasi MH370, bekas ketua juruterbang B777 Fleet MAS, Kapten Noruddin Abd Majid tidak menolak kehilangan pesawat berkenaan adalah kerana kuasa tuhan..
"Dunia berada pada tahap teknologi yang tertinggi di mana seseorang berjalan di lorong pun dapat dilihat daripada angkasa dan dapat diketahui identitinya.
"Apa pun yang berlaku, sebagai orang beriman, ini adalah ketentuanNYA. Ini bukan pertama kali berlaku di mana pesawat hilang daripada udara," katanya yang dipetik pada laporan sebuah TV, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menyentuh tentang kehilangan pesawat itu dari radar pada ketinggian 35,000 kaki secara tiba-tiba.
"Satu dunia sudah melihat di mana sebuah kapal terbang yang berada pada ketinggian 35,000 kaki dengan kelajuan 855 kilometer (km) sejam dan kalau tak silap 14.5 km seminit melepasi pantai timur semenanjung dan baru saja hendak memasuki ruang udara Vietnam, hilang secara tiba-tiba.
"Berdasarkan kenyataan (pihak berkuasa), sebelum masuk ruang udara Vietnam, dalam kawalan positif dengan Air Traffic Control (ATC), pesawat tiba-tiba hilang terus dari skrin radar. Tidak ada kesan langsung.
"Ini mengelirukan dan satu perkara ajaib yang kita kena terima. Dunia kena terima," katanya.
Ketika ditanya soal tindakan yang boleh dilakukan, beliau berkata doa adalah senjatanya.
"Doa daripada orang-orang soleh yang dekat dgn ALLAH dan juga keluarga kerana mereka sedang beremosi. ALLAH melihatnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak kemungkinan pesawat itu meletup di udara, ekoran tiada petanda ataupun serpihan yang ditemui selepas tiga hari operasi mencari dilancarkan.
"Kalau meletup sekalipun di udara, mesti ada serpihan. Pasti. Kerana pesawat ini terlalu besar. Enjinya adalah paling besar di dunia, sama saiz dengan badan Boeing 737.
"Tapi tak ada petanda. Tak ada serpihan. Tak ada tanda pada bacaan radar, jadi, tidak mungkin," katanya.
Beliau terlibat dalam operasi membawa pesawat Boeing 777-200 itu ke Malaysia pada tahun 2002.
Jangan Bergantung Pada 'Google Maps' Untuk Cari Pesawat Hilang
Posted on Tuesday, March 11 @ 18:53:39 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Dengan carian yang memasuki hari keempat pada Selasa, beberapa rakyat yang prihatin telah menghubungi 'The Star', setelah mereka percaya menemui pesawat yang hilang selepas membuat penelitian melalui imej satelit Google Maps.
Memberikan pelbagai imej kapal terbang dalam Google Maps yang jelas menunjukkan imej kapal terbang, kebanyakan orang ramai percaya bahawa ia adalah kapal terbang yang hilang.
Seorang pembaca yang membuat panggilan menunjukkan lokasi di pulau Vietnam, Cau Ma Thiên Lãnh , yang terletak di selatan barat Bandar Raya Ho Chi Minh sebagai lokasi pesawat tersebut manakala individu lain menghantar e-mel koordinat lokasi kapal terbang yang hilang berhampiran Empangan Kenyir di Terengganu.
Jurucakap dari Google Malaysia berkata walaupun terdapat pelbagai gambar kapal terbang di pelbagai lokasi, ia bukanlah imej secara langsung.
"Ya, imej boleh jadi berada di sana, tetapi ia bukan imej satelit pada masa sebenar kerana imej tersebut mungkin telah diberikan kepada kami beberapa minggu atau bulan lepas," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata imej Google Maps atau Google Earth biasanya disumbangkan oleh sumber-sumber pihak ketiga yang memberikan imej beberapa minggu atau beberapa bulan lebih awal.
"Imej-imej yang ditangkap kadang-kadang akan mengandungi gambar kapal terbang, biasanya pada laluan penerbangan dan tidak boleh dianggap sebagai lokasi kemungkinan berlakunya kemalangan," katanya. - Malay Star
Simulation Screen.... Rumah Kapten Zaharie
Posted on Tuesday, March 11 @ 18:50:18 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Juruterbang pesawat Boeing 777 MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shahmerupakan seorang juruterbang berpengalaman yang bukan sahaja mampu menerbangkan Boeing 777 di udara, malah pesawat itu turut ‘diterbangkan’ di rumahnya.
Minatnya terhadap penerbangan amat mendalam, hinggakan ketika masa lapang Zaharie sering menghabiskan masa menerbangkan koleksi pesawat kawalan jauh beliau.
Beliau juga membina sendiri set simulasi penerbangan Boeing 777 untuk terus mempertajamkan kemahiran menerbangkan pesawat Boeing 777 yang sebenar.
Dalam sebuah bilik khas, beliau menempatkan tiga skrin LCD 32 inci dan tiga skrin sesentuh 21 inci yang mewakili alat navigasi dan fungsi yang berbeza seperti di dalam pesawat Boeing 777 yang sebenar.
Memetik catatan blog Sharelor.net, Zaharie juga gemar memasak dan sering memuat naik gambar hidangan yang dimasaknya.
Beliau juga sering berkongsi pengetahuan mengenai cara-cara melakukan sendiri penjimatan elektrik di laman YouTube.
Berdasarkan rekod MAS, bekas penuntut di Penang Free School ini telah mencatatkan 18, 365 jam penerbangan sejak menyertai Malaysia Airlines pada 1981.
Namun kita pasti dengan adanya program simulasi di rumah, beliau telah menerbangkan Boeing 777 melebihi rekod rasmi yang dicatatkan.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian Online mendapati satu akaun Facebook atas nama “Kapten Zaharie Ahmad Shah” telah diwujudkan hari ini dan telah meraih perhatian 1,772 pengguna internet sehingga jam 11 malam tadi. – Sinar Harian Online
Mesej Terakhir Menara Kawalan Kepada MH370.. Sayu dan Sedih (bersama video)
Posted on Tuesday, March 11 @ 18:47:41 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
SAYU rasanya mendengar mesej audio yang dikatakan dihantar oleh menara kawalan trafik Beijing kepada pesawat MH370 yang masih tidak ditemui sehingga kini.
Berikut merupakan bait-bait ayat yang telah diterjemahkan kepada bahasa Inggeris dan Melayu:
“MH370, we hope the radar can see you. If you copy, keep flying at your current height until you reach your destination. We’ll clear the way for you. Everybody is more than happy to let you be the first to land. The sky is clear, with temperature in Beijing at five degrees Celsius, a little bit cold. Please wear your coats to keep warm. Remember to hug your family and friends after you disembark. They love you, they really do.”
“MH370,
kami berharap radar akan dapat melihat kamu. Jika kamu dengar, teruskan terbang pada ketinggian kamu sekarang sehingga kamu sampai ke destinasi. Kami akan lapangkan jalan untuk kamu. Semua orang akan berbesar hati memberi kamu peluang untuk mendarat terlebih dahulu. Langit cerah, dengan suhu di Beijing sebanyak lima darjah celsius, agak sejuk. Tolong pakai kot kamu untuk memanaskan badan. Ingat untuk peluk ahli keluarga dan sahabat setelah kamu turun. Mereka sayangkan kamu, benar-benar sayang kamu.”
Selagi tidak ditemui, diharap agar anda tidak putus harapan untuk mendoakan yang terbaik untuk para penumpang dan anak kapal MH370.
Sumber link
Pasport curi: Lelaki warga Iran dikenalpasti
Posted on Tuesday, March 11 @ 18:45:05 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mendedahkan, salah seorang dari dua penumpang yang menaiki pesawat MH370 pada dengan pasport dicuri adalah seorang pemuda warga Iran.
Identitinya dikenalpasti sebagai Pouria Nour Mohmammad Mahrdad, 19, pemegang pasport dikeluarkan negara Austria yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya.
Katanya, semakan polis mendapati, Pouria (atas) yang memasuki Malaysia pada 28 Februari itu tiada kaitan dengan kumpulan pengganas.
"Tiada kemungkinan bahawa dia adalah anggota sebarang kumpulan pengganas.
"Apabila kita kenalpasti beliau sebagai penumpang dengan pasport curi, kami memfokuskan kepadanya dan menyebarkan kepada pasukan polis seluruh dunia dan tentulah kami mendapat jawapan sangat pantas.
Khalid berkata polis mengenalpasti identiti Pouria selepas berhubung dengan ibu pemuda tersebut.
"Kita tahu dia hendak berhijrah ke Jerman sebab kita berhubung dengan ibunya. Ibunya sedang menunggu ketibaannya di Frankfurt.
"Apabila dia tidak muncul, dia menghubungi kami di sini, sebab itu itulah kami tahu dia adalah orang yang sama yang menggunakan pasport palsu," katanya.
Pihak berkuasa sedang mengesan identiti seorang lagi penumpang (kanan) yang memegang pasport dicuri, katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Polis mendedahkan gambar kedua-dua individu berkenaan hari ini. - MK
MH370, Bomoh tahyul dibidas Dr Asri
Posted on Tuesday, March 11 @ 12:49:03 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
"
Kata bomoh tersohor VIP pesawat MH370 yang hilang kini tergantung di alam ghaib. Mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sakit telinga mendengar perkara tersebut dan membidas golongan terbabit.
Melalui FB hari ini, Dr Asri menulis bomoh yang mengamalkan amalan khurafat ini boleh mengelirukan golongan bukan Islam mengenai agama itu.
“Tak cukup dengan kehilangan MH370, muncul pula macam-macam bomoh khurafat dengan pelbagai aksi yang memperbodohkan diri sendiri, bahkan juga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terutama non-muslim terhadap Islam,” Mohd Asri berkata.
Dr Asri bertegas penggunaan ayat suci al-Quran oleh golongan ini tidak bermakna mereka melakukan perkara yang betul.
“Mereka mempergunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan selekeh. Ingatlah bahawa segala yang bodoh dan tahyul itu bukan ajaran Islam,” tambahnya lagi.
Semalam, seorang bomoh bernama Mahaguru Ibrahim Mat Zin mendakwa pesawat MH370 tergantung di atas paras Laut China Selatan berhampiran Vietnam kerana disembunyikan orang bunian. Berita tersebut di sini
Baca juga :MH370 satu konspirasi? Tulisan yang perlu anda BACA!"
................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh: laniismaa
Posted on Tuesday, March 11 @ 12:49:03 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
SPR: Karpal kekal jawatan MP
Posted on Tuesday, March 11 @ 18:52:04 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
KAJANG – Pengerusi DAP, Karpal Singh masih boleh menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen selagi Mahkamah Persekutuan belum memutuskan beliau bersalah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas status Karpal sebaik disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak pada 2009 dan dihukum denda sebanyak RM4,000
Menurut Abdul Aziz, jika mengikut undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Perlembagaan Malaysia, mana-mana individu yang didapati bersalah serta dihukum denda melebihi RM2,000 serta setahun penjara, maka akan terlucut kelayakannya sebagai ahli Parlimen.
"Dalam kes Karpal, kalau ikutkan undang-undang tersebut, beliau sudah hilang jawatannya.
"Namun, keputusan itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Beliau (Karpal) masih boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan.
"Selagi mana beliau belum disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan, beliau masih boleh menjalankan tugas beliau sebagai ahli Parlimen seperti biasa," katanya.
Mengapa Jurufoto Pro UMNO Ini Diberikan Layanan Istimewa Oleh Pakatan Rakyat?
Posted on Tuesday, March 11 @ 12:55:57 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Dari kalangan penggiat alam maya pro Pakatan Rakyat sudah lama melahirkan rasa hairan seorang jurufoto Pro UMNO totok diberikan layanan VVIP dan istimewa kepada seorang jurufoto yang dikenali dengan nama Minaq Jinggo...
Dia akan berkata beliau bukan ahli UMNO tetapi segala penulisan dalam pagenya kutuk gila PR dan angkat bodek UMNO/BN.
Mereka meluahkan rasa kecewa kerana jurufoto ini memang terkenal dengan memuat naik rakaman gambar yang diambil keatas semua program dan acara anjuran Pakatan Rakyat yang dihadirinya untuk dijadikan bahan kutukan dan maki hamun.
Atas kapisiti apa yang dimiliki beliau sehingga boleh mempunayi akses sebegitu mudah dan longgar kepada semua sidang media Pakatan Rakyat sehinggakan dilihat dan berlagak macam beliau seorang ketua Unit Media yang menyokong padu pakatan Rakyat sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.
Pergilah ke pagenya http://jinggo-fotopages.blogspot.com sebagai bukti apa yang di perkatakan ini fakta dan bukannya auta.
Tiada satu pun dijumpai program, acara, sidang media dan ceramah yang di beliau membuat liputan diberikan gambaran yang positif dan adil... TIADA!!!!
Jika program, sidang media, acara dan ceramah yang dianjurkan oleh BN terutamanya UMNO semuanya akan dilaporkan sebagai molek, hebat dan benar, lebih-lebih lagi jika pemimpin yang terlibat ialah Najib razak, Muhyiddin Yassin, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Shabery Cheek, Ahmad Maslan, Tun Mahathir dan Shahrizat Jalil.
Dulu Rais Yatim tetapi kini sejak beliau tidak lagi memegang Menteri Portfolio Penerangan maka sudah lagi kata-kata pujian melambung.
Tidak salah beliau diberikan kebenaran membuat liputan sidang media Pakatan Rakyat tetapi perlukah beliau diberikan ruang untuk berlagak sebagai taiko dalam setiap sidang media berkenaan sedangkan apa jua sidang media pihak UMNO/BN pernahkah para penggiat siber PR diberikan kebenaran dan dijemput untuk sama-sama membuat liputan?.. Jangan kata penggiat siber PR, portal Malaysia Kini, Malaysian Insider, Selangor Kini dan Malay Mail Online pun dihalang dan diperembat keluar.
Kadang kala kehadiran beliau membuatkan para penggiat media PR terasa lemah semangat untuk membuat liputan.
Berlakun dan main wayang kononnya dirinya begitu rapat dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sedangkan hakikat perangai beliau lebih kotor dan jijik dari gunting dalam lipatan.
Pemimpin-pemimpin yang menjadi kegemaran beliau untuk dijadikan bahan kutukan dan maki hamun oleh para penjenguk page FBnya ialah
1) DSAI
2) TGHA
3) Lim Kit Siang
4) Lim Guan Eng
5) Mohamad Sabu
6) Datin Seri Wan Azizah
7) Tian Chua
8) Rafizi Ramli
9) Tan Sri Khalid Ibrahim
10) Azmin Ali 11) Surendran
12) Nurul Izzah dll pemimpin NGO seperti Ambiga dan Tukar Tiub.
Bak kata Mat Sabu .. UMNO mulut cukup manis tetapi hati cukup busuk.
Mohon pihak yang berkenaan untuk segera ambil tindakan.
omakkau!!!
Karpal didenda RM4,000 dan hilang kerusi Bukit Gelugor
Posted on Tuesday, March 11 @ 13:13:49 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Karpal dikerumuni para penyokongnya di luar mahkamah. - Gambar The Malaysian Insider, 11 Mac, 2014.
Pengerusi DAP Karpal Singh dijatuhkan hukuman denda RM4,000 dan bakal kehilangan kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lepas.
Karpal yang berkerusi roda adalah pemimpin tertinggi kedua Pakatan Rakyat (PR) yang dijatuhkan hukuman minggu ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah Jumaat lalu kerana meliwat.
Karpal akan merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.
Ketika proses rayuan pagi tadi, peguam beliau, Gobind Singh memohon agar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau kerana kesihatan serta kedudukannya sebagai ahli Parlimen.
Peguam Gobind Singh berkata, jika beliau dijatuhkan hukuman penjara dan denda melebih RM2,000, Karpal akan kehilangan haknya sebagai ahli Parlimen.
Sehubungan itu beliau mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda di bawah RM2,000.
Namun begitu timbalan pendakwaraya Noorin Badaruddin berkata, hukuman yang menjadi pengajaran termasuk penjara perlu dikenakan.
Katanya, tindakan Karpal telah membuka jalan kepada pihak lain untuk tidak menghormati institusi raja dan Raja-Raja Melayu.
Pada 21 Februari, Karpal yang berkerusi roda didapati bersalah kerana menghamburkan perkataan hasutan ke arah Sultan Perak ketika krisis perlembagaan 2009.
Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah berkata, pihak pembela gagal mewujudkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
Peguam Gobind Singh memohon agar hukuman dijatuhkan pada 11 Mac agar pihaknya boleh mempersiapkan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.
Karpal yang juga pengerusi DAP berhadapan dengan hukuman sehingga maksimun RM5,000 denda atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi beliau, walaupun Karpal berpengalaman lebih 45 tahun sebagai peguam, ia bukan isu.
Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu menunjukkan contoh yang baik.
Pemimpin PR memenuhi ruang mahkamah hari ini sambil menunggu keputusan hukuman dijatuhkan mahkamah.
Antaranya penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang hadir memberikan sokongan moral kepada Karpal. – 11 Mac, 2014.-tmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan