MH370: Pakar yakin bateri Lithium di ruang kargo terbakar
- Mar 22, 2014
- AIMEE TURNER
Billie Vincent, yang pernah bertugas sebagai ketua Pentabiran Keselamatan Penerbangan Awam, (FAA), sejak awal lagi berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk mengesyaki anak-anak kapal sebagai pensabotaj dalam hal kehilangan penerbangan MAS MH370 ini.
Sebaliknya, beliau melihat bahawa anak kapal penerbangan berkenaan mungkin telah berusaha berhempas pulas cuba menyelamatkan pesawat sehinggalah ke saat beliau sendiri tumpas kepada kebakaran yang memusnahkan penerbangan berkenaan.
Kebakaran yang berlaku mungkin berpunca dari bateri lithium-ion yang sifatnya mudah terbakar di dalam ruang kargo pesawat. Kalau pun ada kemungkinan api berpunca dari sumber lain tetapi kehadiran bateri berkenaan di dalam kargo pesawat berupaya menyemarakkan kebakaran dengan cepat.
Vincent merupakan individu yang memainkan peranan utama dalam merumus polisi berkaitan pengurusan krisis dalam mengendalikan kes-kes rampasan kapal terbang di Amerika Syarikat dalam tahun 1980-an.
Beliau juga mengetuai Agensi Marshal Udara Persekutuan (pasukan bersenjata), sebuah agensi di bawah FAA dan menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes pengeboman pesawat Pan Am 103 oleh kumpulan pengganas.
Selepas menamatkan perkhidmatan dengan FAA, beliau mengetuai sebuah firma perundingan antarabangsa yang telah mendapat kontrak merangka dan melaksanakan sistem keselamatan untuk lapangan terbang antarabangsa Malaysia, KLIA.
Dari lapangan terbang inilah pesawat MH370 berlepas pada 12.41 pagi, Sabtu, 8 Mac 2014 dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Ianya hilang dari radar dalam penerbangan ke Beijing pada jam 1.21 pagi setelah membuat transmisi radio yang terakhir pada 1.19 pagi.
Pegawai-pegawai dari pihak berkuasa Malaysia mengesyaki bahawa seseorang di dalam pesawat telah mematikan Sistem Laporan dan Penyampaian Komunikasi (ACARS) pesawat berkenaan dan kemudiannya mematikan transponder pesawat menyebabkan terputusnya perhubungan pesawat dengan pusat kawalan trafik udara.
Denyutan elektronik (pings) yang ditransmisikan oleh pesawat secara automatik ke satelit Inmarsat menunjukkan bahawa penerbangan MH370 berkemungkinan telah dengan sengaja dilencongkan dan terbang ke hala utara merentasi kawasan Asia Tengah atau ke hala selatan merentasi Lautan Hindi.
DENYUTAN ELEKTRONIK
Dalam satu temubual eksklusif dengan Air Traffic Mangement.com, Vincent menolak kemungkinan bahawa sebutir bom telah diletupkan di dalam pesawat kerana sekiranya hal ini berlaku maka bahagian dalam pesawat musnah dan sistem tekanan udara pesawat rosak. Ini tidak berlaku.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa denyutan elektronik yang diterima oleh satelit menunjukkan bahawa pesawat MH370 terbang berterusan selama sehingga 7 jam selepas hilang dari radar, menunjukkan bahawa “aerostructure” pesawat berkenaan dalam keadaan baik.
Berasaskan kepada serpihan-serpihan yang dikesan di kawasan yang terletak 1,550 batu ke barat daya Perth, dan berasaskan kepada denyutan elektronik yang terakhir yang di terima oleh satelit Inmarsat, Vincent berpendapat bahawa pesawat tidak lagi di bawah kawalan juruterbang atau pembantu juruterbang sehingga ia akhirnya, mungkin terhempas.
“Data-data yang didedahkan setakat ini berkemungkinan menunjukkan bahawa masalah yang menimpa pesawat ada kaitannya dengan bahan berbahaya yang dibawa oleh pesawat.
“Senario yang berlaku bermula dengan kebakaran bahan berbahaya ini di ruang kargo – kerana bahan berkenaan tidak dibungkus dengan cermat mematuhi peraturan yang ditentukan atau pun bahan berkenaan diterbangkan secara menyalahi undang-undang atau kedua-duanya sekali,” jelas Vincent.
BATERI LITHIUM-ION
Pihak berkuasai Malaysia pada hari Jumaat mengesahkan bahawa pesawat yang hilang itu ada membawa bateri lithium-ion di dalam ruang kargonya tetapi mendakwa pihak MAS tidak menganggap bahan berkenaan berbahaya kepada keselamatan pesawat.
Ini kerana peraturan berpiawaian berkaitan dengan sistem pembungkusan bahan berbahaya telah dipatuhi.
“Bahan ini bukan dianggap bahan berbahaya dan kami telah membungkusnya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Sehingga kini, maklumat manifest kargo yang telah didedahkan hanyalah berkaitan empat ton buah manggis.
Vincent yakin bahawa sekiranya kebakaran bermula di ruang kargo, ianya tentu telah merebak kebahagian lain pesawat sehingga memusnahkan sistem komunikasi pesawat itu.
Berkemungkinan gas beracun yang terhasil dari kebakaran telah melemaskan penumpang-penumpang di dalam kabin pesawat dan anak kapal di ruang kokkpit. Mungkin juruterbang atau pembantu juruterbang pesawat telah berjaya memasang corong oksigen dan mengemudi pesawat untuk berpatah balik ke Kuala Lumpur atau ke Pulau Langkawi.
Pesawat MH370 dilaporkan telah terbang ke paras 45,000 kaki yang mana Vincent percaya bahawa ia disebabkan ketidakupayaan pilot untuk melihat alat pengawal penerbangan di dalam kokpit untuk mengemudi penerbangan kembali ia ke paras yang biasa.
Vincent percaya bahawa pilot mungkin akhirnya telah dapat mengawal semula penerbangan dan mengemudi pesawat ke paras sekitar 23,000 kaki - yang merupakan aras yang telah ditetapkan oleh pembuat pesawat bertuju menghalang kebakaran dari terus merebak dan menjamin supaya pesawat berada dalam keadaan yang lebih selamat bila membuat pendaratan cemas.
Laporan rasmi mengenai penerbangan UPS B747 yang terhempas di Dubai memperincikan bagaimana anak-anak kapal telah berusaha berhempas pulas untuk memulihkan tekanan udara di dalam pesawat bagi menahan supaya kebakaran tidak terus merebak 30 saat selepas pesawat itu hilang dari kawalan dan sistem pengesanan.
Dalam kemalangan itu – semua anak kapal terkoban – di dapati bahawa masa dari kebakaran mula-mula dikesan sehingga pesawat hilang dari kawalan adalah sekitar dua setengah minit.
BAHAN BERBAHAYA
Pesawat UPS B747 didapati membawa tiga bungkusan bateri lithium yang sepatutnya diistiharkan sebagai “bahan merbahaya” tetapi tidak diistiharkan seperti sepatutnya. Ujian-ujian yang dibuat oleh Pusat Teknologi FAA di Amerika Syarikat selepas pesawat terhempas menunjukkan bahawa “pemanasan” (overheating) yang berlaku di dalam ruangan kargo telah menyebabkan berlakunya reaksi berantai (chain reaction).
“Bateri yang bukan punca kepada kebakaran berkenaan telah terbakar dan apinya merebak yang akhirnya membawa kepada bencana yang telah berlaku,” kata Vincent.
Berpandukan kepada penemuan ini, penyiasat kemalangan pesawat MH370 pastinya mahu mengetahui kuantiti dan lokasi di mana bateri berkenaan diletakkan di dalam pesawat.
Adalah juga penting untuk mengetahui bagaimana bateri itu telah dibungkus dan diperbuat serta untuk mengetahui rekod sejarah penghantaran bateri ini oleh MAS dan juga oleh kilang pembuat bateri.
Penyiasat-penyiasat yang menyiasat kemalangan udara di Dubai juga mendapati bahwa rakaman suara kokpit menunjukkan bahawa corong oksigen yang dipakai oleh pilot kehabisan udara selepas 6 minit amaran kebakaran berbunyi.
Ini menyebabkan pilot meninggalkan tempat kawalan kapal terbang kerana kesukaran bernafas dan terhidu gas beracun. Pembantu juruterbang yang mengmbilalih kemudi pesawat tidak dapat melihat ke hadapan kokpit, panel kawalan pesawat di dalam kokpit dan panel kawalan audio menyebabkan pesawat gagal dikawal dan dikemudi semula.
Pihak berkuasa memberitahu bahawa komunikasi perbualan dari penerbangan MH370 yang paling akhir dihantar dua minit sebelum pesawat hilang dari skrin radar pusat kawalan udara ketika terbang di ruang angkasa Laut China Selatan.
Vincent percaya bahawa anak kapal telah berjaya menstabilkan pesawat buat beberapa ketika dan meletakkan arah baru penerbangan sebelum kemudiannya tumpas akibat ketiadaan oksigen atau kehadiran gas beracun di dalam pesawat.
“Pesawat terus terbang secara autopilot sehingga ia kehabisan minyak dan terhempas – berkemungkinan besar di kawasan lautan kerana tiada apa-apa laporan diterima dari sistem Emergency Locater Transmitter pesawat berkenaan.
“ELT diterima oleh satelit sekiranya pesawat terhempas di daratan,” ujar Vincent.
Vincent yakin bahawa lain-lain senario seperti rampasan pesawat dan sabotaj tidak mungkin berlaku. Misalnya, tidak ada petunjuk bahawa juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat berkenaan terlibat dalam perbuatan jenayah menyebabkan kehilangan pesawat.
DIBOLOSI PENJENAYAH
Juga, pihak berkuasa Malaysia belum ada mendedahkan sebarang data yang menunnjukkan bahawa sistem keselamatan pesawat telah dibolosi penjenayah atau perampas pesawat.
Beberapa orang penyiasat kemalangan penerbangan memberitahu Air Traffic Mangement.com bahawa masih wujud perkara yang belum dapat ditentukan dengan tepat, misalnya kenapa radio di dalam pesawat MH370 tidak berbunyi?
Apabila pesawat terhempas disebabkan oleh kebakaran, keadaan buruk berlaku dengan cepat yang akhirnya memusnahkan kemampuan pesawat untuk terbang seperti mana yang berlaku kepada pesawat UPS 747-400 berpunca darit kebakaran bateri lithium di dalam ruang kargo.
Pesawat itu terhempas di Dubai. Ini jugalah yang berlaku kepada Valujet 594 yang terhempas kerana kebakaran penjana oksigen yang terletak dalam ruang kargo peswat, Swiss Air 111 kerana kebakaran sistem letrik di ruang kosong di bahagian bumbung sebelah dalam pesawat dan South African Airways Boeing 747 dalam tahun 1987 kerana kebakaran di ruang kargo.
Dalam setiap kes, Vincent mendapati, anak kapal mempunyai masa yang cukup untuk berkomunikasi dengan pusat kawalan udara sebelum pesawat terhempas walaupun kebakaran berkenaan merebak dengan cepat.
Dalam setiap kes yang disebut, kebakaran menyebabkan pesawat tidak boleh lagi terbang kecuali dalam kes Swiss Air di mana pesawat terus terbang berlegar di udara bagi menghabiskan bahan bakar.
Alasan kedua yang menimbulkan keraguan mengenai kejadian kebakaran di ruang kargo pesawat MH 370 ialah pilot pesawat, sekiranya beliau patuh kepada prosedur kecemasan, sepatutnya dia telah menggunakan corong oksigen kecemasan yang mampu melindungi pemakainya dari gas beracun.
Pada corong oksigen kecemasan itu ada alat mikrofon yang membolehkan mereka berhubung dengan pusat kawalan trafik dan menyatakan keadaan yang dihadapi dan maksud mereka untuk cuba membuat pendaratan cemas. Tidak diketahui ini dilakukan atau tidak oleh anak kapal berkenaan.
Akhirnya, di sana wujud keraguan sama ada – walaupun sistem autopilot masih berfungsi – sesebuah pesawat berupaya untuk terus terbang sehingga 7 jam. Kemalangan sepatutnya berlaku lebih cepat walaupun ada usaha di pihak anak kapal untuk menstabilkan tekanan udara di dalam kabin untuk menghentikan kebakaran. - Diterjemahkan secara bebas dari Air traffic Management.com oleh Dr Rosli Yaakob
PRK Kajang dan 'cult politics'
- Mar 22, 2014
- A KADIR JASIN
Esok, Ahad 23 Mac pemilih Adun Kajang akan keluar mengundi. Berpandukan aliran semasa dan sejarah pengundian, Pakatan Rakyat melalui PKR akan mengekalkan kerusi itu.
Berbalik kepada kecenderungan yang semakin menular ke arah “cult politics,” adalah tidak memeranjatkan yang agenda, dasar dan peruntukan kewangan tidak dapat mengatasi isu watak dan peribadi.
Jadi tidak hairanlah kalau Anwar Ibrahim menjadi “cult figure” dalam PRK Kajang.
Kalau benar sekali pun laporan bahawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN, Muhyiddin Mohd Yassin, telah menggesa Puteri Umno supaya mengingatkan pengundi Kajang agar tidak terpengaruh dengan papan iklan yang memaparkan gambar calon PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sedang berdoa ia tidak akan memberi kesan besar kepada penyokong pembangkang.
Lagipun orang Islam digalakkan berdoa. Muhyiddin sebagai anak orang alim tentu mengakui dan menghormati doa dan hak seseorang berdoa.
Kalau PKR dan PR menggunakan perwatakan Anwar sebagai bahan kempen PRK Kajang, ia adalah perkara biasa kerana Umno dan BN pun melakukan hal yang sama.
Kita tentu masih ingat bagaimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak begitu yakin bahawa beliau popular dan boleh memberi kemenangan besar kepada BN walaupun parti campuran itu lemah.
Maka beliau menjadikan diri beliau sebagai matlamat dengan slogan seperti “Sokong Saya Undi BN” manakala para strategis beliau meniru kempen pilihan raya presiden Barrack Obama.
Tetapi tanggapan Mohd Najib meleset dan strategi pilihan raya ala-presiden Amerika tidak menjadi.
Sepatutnya, semakin maju pemikiran dan tahap sosial kita, semakin egalitarian pula pendirian kita. Kita akan memilih pemimpin yang berwibawa bukan yang dikenali kerana nama dan keturunan.
Sebaliknya kita masih dikhayalkan oleh nama dan keturunan walaupun kita tahu bahawa bukan semua anak rintik walaupun bapanya borek. Wallahuaklam. - http://kadirjasin.blogspot.com/
Bateri litium-ion dibawa MH370 tidak berbahaya - MAS
- Mar 22, 2014
- HARAKAHDAILY
Syarikat itu dalam satu kenyataan di sini berkata item berkenaan diklasifikasi sebagai barangan tidak berbahaya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya dilapor berkata dalam taklimat media bahawa barangan tersebut dibungkus seperti yang disaran oleh ICAO dan kargo itu diperiksa beberapa kali selaras dengan garis panduan ICAO.
Beliau juga berkata syarikat penerbangan lain turut berbuat demikian, bukan MAS semata-mata.
Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 orang hilang pada awal pagi 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pelbagai teori timbul susulan kehilangan pesawat itu termasuk kemungkinan berlaku kebakaran yang menyebabkan anak kapal hilang upaya.
Misi mencari yang melibatkan pelbagai negara sehingga kini gagal mengesan pesawat tersebut. - Bernama
PRK Kajang: Molokov cocktail diletak di bilik gerakan PKR
- Mar 22, 2014
- ANIS NAZRI
KAJANG: Sehari sebelum pengundi Kajang membuat pilihan untuk memilih wakil rakyat, kempen ganas dan kotor terus mencemari kempen pilihan raya kecil Dun Kajang.
Awal pagi tadi, sebutir molokov cocktail didapati mencemari bilik gerakan PKR dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Insiden tersebut yang dipercayai berlaku sekitar jam 3 hingga 6 pagi itu berlaku di Bilik Gerakan Taman Kajang Baru, bagaimanapun tidak meletup.
Ketua Jentera Daerah Mengundi Taman Kajang Baru, Dr. Xavier Jayakumar berkata ketika kejadian, tiada sesiapa berada di bilik gerakan tersebut setelah kebanyakan petugas parti baru meninggalkan bilik gerakan itu kira-kira 2.45 pagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media, di Bilik Gerakan Utama di Sungai Sekamat, petang ini.
Jelas Xavier, biarpun botol tersebut hanya terbakar, namun tidak meletup, ia tetap menggambarkan kebimbangan atas keselamatan petugas parti sepanjang kempen pilihan raya kecil ini.
"Memang botol tersebut terbakar, tapi kami tetap bersyukur kerana ia tidak meletup. Juga tiada petugas kita berada di dalam bilik tersebut," tegas beliau kepada media.
Menjangkakan kempen sedemikian akan berterusan, lebih-lebih lagi dalam tempoh terakhir kempen ini, Pakatan Rakyat bertindak membuat laporan polis pada jam 11 pagi tadi.
Laporan polis tersebut dibuat oleh ketua bilik gerakan tersebut, Anuar Norazlan bagi meminta pihak berkuasa segera menyiasat dalang di sebalik kejadian tersebut.
Dalam pada itu, petugas Pakatan Rakyat turut menahan beberapa orang yang dipercayai petugas BN ketika sedang giat memasang kain rentang yang memburuk-burukkan calon pakatan.
Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, berkata pihaknya telah membuat laporan polis seawal jam 5 pagi tadi berhuhung kejadian tersebut.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata BN perlu mengingati semula pesanannyang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN N25 Kajang, Tan Sri Muhyidin Yassin.
"TPM ada menyatakan BN akan berkempen secara gentleman. Tetapi kita tengok saat akhir ini, semakin banyak kain rentang berbentuk provokasi dipasang sekitar Kajang ini," kata beliau.
Justeru, Fahmi menggesa BN untuk berhenti menjalankan kempen sedemikian, sebaliknya memanfaatkan tempoh yang tidak sampai 24 jam ini untuk berkempen secara politik sihat dan matang.
Sekolah Harapan: Sebuah harapan perubahan
- Mar 22, 2014
- NURUL SHIFAAH ABDULLAH
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) melihat usaha Jabatan Agama Islam Melaka itu adalah satu usaha yang baik untuk membimbing semula remaja-remaja ini disamping menyelaraskan keperluan ilmu rohani dan kurikulum persekolahan mereka.
Usaha ini dilihat bukan sahaja memberi harapan atau peluang kedua kepada mereka untuk berubah kearah yang lebih baik, tetapi juga membuka ruang pembelajaran agar mereka berpeluang menjadi masyarakat yang terdidik dan berpengetahuan disamping mampu mengurangkan kadar buang bayi yang kebiasaanya berlaku akibat hancurnya harapan untuk berubah.
Pembinaan modal insan adalah sangat penting bagi mempersiapkan sesebuah negara dengan masyarakat yang terpelajar. Justeru itu, hak untuk mendapatkan ilmu dan pelajaran wajar diukur sama rata dan Sekolah Harapan dilihat membuka ruang yang lebih kondusif dan efektif kepada remaja yang sudah terlanjur. Di sini mereka bebas menadah ilmu tanpa gangguan emosi dan fizikal yang barangkali akan dihadapi mereka jika bersekolah di sekolah harian.
Namun begitu, SIGMA melihat Sekolah Harapan bukan sahaja menjadi pusat perlindungan untuk golongan remaja terbabit, tetapi juga mesti menyediakan alternatif lain untuk mendidik mereka erti kehidupan yang sebenar usai mereka keluar dari sekolah tersebut. Perlunya satu pendidikan kemahiran, selain silibus akademik yang tidak kurang pentingnya untuk bekalan mereka.
Saranan SIGMA supaya:
1) Ilmu Tauhid lebih ditekankan lagi bukan hanya dengan matapelajaran agama Islam tetapi perlu dipraktikkan dan dijiwai oleh setiap penghuni Sekolah Harapan.
2) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan pada tahun 2001 perlu menaiktaraf program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang gender, kependudukan, pembangunan keluarga dan masyarakat selain perlu mengambil langkah awal bagi mencegah masalah ini dari terus menular.
3) Dasar Wanita Negara bukan sekadar mengiktiraf wanita dalam bidang politik, ekonomi dan perkhidmatan semata-mata, tetapi perlu juga memastikan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial yang cekap dan berkesan dengan menggiatkan peranan institusi-institusi pembangunan wanita bagi memastikan hak dan keselamatan wanita terbela seiring dengan pembangunan kemajuan negara.
4) Peranan keluarga sebagai batu asas pembinaan sahsiah seorang remaja perlu dititikberatkan supaya perkara ini dapat dibendung. Pun begitu, jika perkara ini terjadi, keluarga juga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan moral dan mendidik remaja yang terlanjur supaya kembali ke pangkal jalan, bukan dibuang untuk menjaga air muka keluarga.
5) Masyarakat juga perlu memandang positif dan memberi sokongan padu kepada mereka yang ingin berubah dan melupakan sejarah hitam yang tercatat dek kerana kecetekan fikiran mereka. Masyarakat perlu keluar dari dogma-dogma yang boleh menyebabkan golongan tersebut rasa tidak berguna dan menatijahkan perkara yang lebih buruk seperti buang bayi dan bunuh diri.
SIGMA melihat cadangan-cadangan ini sebagai satu usaha yang baik ke arah mengurangkan kadar buang bayi sekaligus memberi cahaya di hujung terowong kepada bayi yang baru melihat dunia. Numun demikian, adalah penting bagi semua lapisan masyarakat untuk sedar bahawa “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”. Punca utama kepada berlakunya anak luar nikah ini harus diteliti dan dicegah oleh semua pihak baik institusi keluarga, pendidikan mahupun kerajaan dan masyarakat sekeliling sebelum ia menjadi suatu barah yang sukar diubati.
Kita tidak mahu satu hari nanti Sekolah Harapan menjadi bak cendawan tumbuh selepas hujan apabila remaja melihat ianya sebagai penyelamat sehingga tidak takut dengan perbuatan maksiat yang dilakukan bila mana ada rumah yang menerima mereka setelah itu.
Sirah nabawiyah telah membuktikan bahawa mengeji seseorang yang telah bertaubat dangan sebenar-benar taubat adalah dilarang bilamana Khalid bin al-Walid telah ditegur oleh baginda nabi ketika hendak melontarkan batu ke kepala wanita dari kaum Al-Ghamidiah yang telah berzina sambil mengejinya. Baginda berkata: Nantilah dulu wahai Khalid! Demi sesungguhnya yang jiwaku di tangan Dia, sesungguhnya dia telah bertaubat dengan sebenar-benarnya, jika bertaubatnya orang yang zalim maka diampunkan dosanya, kemudian perempuan itu pun disembahyangkan dan dikafankan.
Sedangkan Nabi mengiktiraf dan mengangkat darjat wanita, tidak dinafikan lagi wanita memainkan peranan yang cukup penting di dalam dan di luar rumah, terutama dalam pembentukan generasi akan datang. Semoga dengan usaha yang dilakukan semua pihak mampu mengurangkan kadar diskriminasi terhadapa wanita serta wanita sendiri memahalkan diri mereka daripada mudah menyerah kepada mana-mana lelaki yang bukan sepatutnya.
كل بني آدم خطاء، وخير الخطائين التوابون bermaksud: Setiap anak Adam itu boleh melakukan kesilapan, dan sebaik-baik insan-insan yang bersalah ialah yang bertaubat. (hadith riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya,Imam At-Tirmizi,Ibnu Majah,dan Imam Al-Haakim )
Tuntasnya, SIGMA menyokong penuh segala usaha yang dilakukan oleh mana-mana badan kerajaan mahupun Non-Goverment Organization (NGO) dalam memastikan hak dan keselamatan wanita terpelihara. Semoga ada sinar di sebalik sejarah hitam yang terpalit.
Penulis ialah Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)
MH370: Apa sudah jadi dengan radar Markoni - Anwar
- Mar 22, 2014
- HARAKAHDAILY
Berucap di dalam Himpunan Reformasi 2.0 malam tadi, Anwar berkata radar yang canggih bernama Markoni itu telah dibeli kerajaan ketika beliau menjadi Menteri Kewangan sepatutnya berupaya mengesan penerbangan dari Laut China Selatan hingga Laut India.
"Tetapi tidak ada laporan. Saya tanya apa sudah jadi dengan radar itu? Tak akan ditutup?
"Dua hari kemudian pun masih belum nampak MH370. MH370 hilang, PM pun hilang sama pada masa itu. Dia jelma pada hari ke-9 dan buat kenyataan mengesahkan kapal terbang patah balik,"katanya yang terus diikuti sorakan gemuruh 10,000 hadirin yang hadir di Stadium Kajang malam tadi.
Katanya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien Onn digesa meletakkan jawatannya jika gagal menjawab kegagalan radar tersebut berfungsi pada hari kejadian itu.
"Kalau Menteri Pertahanan tidak boleh jawab perkara itu, dia kena letak jawatan serta merta," katanya lagi.
Tambah Anwar lagi, perkara itu melibatkan keselamatan negara termasuklah insiden kapal terbang yang tidak dikenali melintasi ruang udara Malaysia.
Menurut Ketua Pembangkang lagi, pesawat tidak dikenali itu sehingga kini gagal dikenal pasti oleh Kementerian Pertahanan negara yang didakwa turut melintasi perairan negara.
"Ini ancaman keselamatan negara. Kerana apa? Sibuk cari duit, cari kesalahan orang, hina orang, zalim pada orang, fitnah orang negara jadi rosak," katanya.
PRK Kajang: SPR jangka lebih 80% keluar mengundi esok
- Mar 22, 2014
- HARAKAHDAILY
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata jangkaan berdasarkan trend pengundian dan peratusan keluar mengundi di DUN itu pada pilihan raya terdahulu.
Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Abdul Ghani tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini melebihi 88.4 peratus yang dicatat semasa pilihan raya umum ke-13.
Pada masa sama beliau turut menasihatkan pengundi agar datang awal dan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.
Rabu lepas, 88.39 peratus atau 1,050 daripada 1,197 pengundi awal di Dun itu melaksanakan tanggungjawab mereka.
Ditanya mengenai perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil itu termasuk tempoh berkempen yang akan berakhir pukul 12 tengah malam ini, Abdul Ghani berkata SPR berpuas hati dan menyifatkan semua berjalan lancar.
Beliau bagaimanapun mengingatkan parti politik terlibat agar mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya semasa hari pengundian.
Antaranya larangan merayu atau meraih undi, katanya.
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas.
Esok, pengundi di Dun itu akan memilih sama ada Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional atau calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai wakil rakyat yang baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan