Posted on Tuesday, March 25 @ 18:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata usaha pencarian perlu diteruskan sehingga berhasil menemui bangkai pesawat MH370 sebelum melakukan upacara perkabungan rasmi.
"Walaupun ada cadangan sedemikian, kerajaan berpendapat bahawa kita perlu menemui objek dan serpihan kapal terbang itu sebelum kita melakukan perkara tersebut," katanya.
Katanya, antara upacara perkabungan rasmi itu termasuk mengibarkan bendera separuh tiang bagi memperingati penumpang dan anak kapal.
Tambahnya lagi, Majlis Fatwa Kebangsaan akan bersidang petang ini untuk menentukan masa yang sesuai bagi melakukan solat jenazah ghaib.
"Jawatankuasa fatwa akan bersidang pada jam 6 petang ini untuk menentukan solat jenazah ghaib bilakah patut dilakukan," katanya.
Beliau berucap ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) hari ini bagi merakam ucapan takziah dan doa atas kehilangan pesawat itu.
Katanya, beliau bertindak dengan bertanggungjawab semasa mengumumkan pada malam tadi bahawa penerbangan pesawat berkenaan dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.
Katanya, pengumuman itu agar kerajaan tidak dilihat menyembunyikan maklumat daripada ahli keluarga penumpang dan kru pesawat tersebut.
"Kerajaan sejak tragedi ini berlaku mengambil langkah-langkah selaras dengan agensi-agensi yang terlibat dalam usaha menyelamat.
"Di samping itu kita berpegang kepada prinsip bahawa apa-apa kenyataan yang kita buat perlu disahkan terlebih dahulu.
"Kita tiada niat menutup maklumat daripada keluarga mangsa atau pengetahuan umum.
"Oleh itu saya ingin tegaskan bahawa langkah-langkah kita amat sesuai dan tepat," kata Najib. - MK
CEO MAS: Soal 'letak jawatan' kemudian
Posted on Tuesday, March 25 @ 17:45:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Ketua pegawai eksetif Malaysia Airlines Datuk Ahmad Jauhari Yahaya berkata soal mengenai peletakan jawatannya hanya akan dilihat selepas ini kerana pencarian penerbangan MH370 masih diteruskan,
Jauhari berkata demikian ketika ditanya mengenai sentimen ke atas syarikat penerbangan tersebut, terutama oleh penumpang China dalam penerbangan MH370.
"Adakah saya akan letak jawatan, itu keputusan peribadi, kita akan (bincang) kemudian,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. - MK
China mahu Malaysia beri maklumat, bukti mengenai pesawat hilang
Posted on Tuesday, March 25 @ 17:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
BEIJING: Kementerian Luar China malam ini menuntut Malaysia memberi maklumat dan bukti mengenai pesawat MH370 yang hilang selepas ia disahkan penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi.
" China sudah pun diberitahu oleh Kerajaan Malaysia mengenai pengumuman terbaharu itu dan kami memberi tumpuan sepenuhnya," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
"China sudah pun menuntut agar Malaysia menyalurkan lagi kepada kami semua maklumat dan bukti mengenai bagaimana ia mencapai kesimpulan berkenaan," kata kenyataan itu sambil menekakan agar operasi mencari pesawat tetap diteruskan. - Reuters
Akhbar dicetak dalam hitam putih, tanda media berkabung
Posted on Tuesday, March 25 @ 17:15:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
KUALA LUMPUR: Beberapa akhbar utama dicetak dalam hitam putih sebagai tanda media arus perdana Malaysia berkabung atas tragedi yang menimpa 239 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan menyiarkan berita itu di muka depan akhbar masing-masing.
Kesemua media menyampaikan ucapan takziah ikhlas mereka kepada kaum keluarga terdekat penumpang dan anak kapal di halaman akhbar mereka.
Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star menyebut nama-nama penumpang dan anak kapal itu mengikut bentuk angka 370 pesawat itu dan menyatakan di bawahnya R.I.P (bersemadi dengan aman) manakala News Straits Times pula memaparkan sebuah pesawat di muka depan akhbarnya dengan tajuk di bawahnya 'Goodnight, MH370'.
Akhbar harian berbahasa Melayu, Berita Harian pula memuatkan di muka depan akhbarnya berita bertajuk 'MH370 Terhempas di Lautan Hindi' dan memaparkan di bahagian atas halaman itu gambar seorang anggota keluarga penumpang MH370 di Beijing tidak dapat menahan kesedihan selepas menerima berita terkini pesawat itu.
Utusan Malaysia pula memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di bahagian atas muka depan akhbar itu semasa beliau mengumumkan penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
Akhbar itu juga memaparkan beberapa keping gambar menyayat hati anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang menjerit dan menangis menerima berita itu.
Ia juga memaparkan grafik laluan penerbangan MH370 semasa berlepas dan melencong dari destinasinya ke Beijing melalui Laut China Selatan ke arah barat semenanjung sebelum ke Lautan Hindi.
Semasa mengumumkan tragedi yang menimpa pesawat terbabit malam tadi, Perdana Menteri berkata berdasarkan analisis baharu oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pengumuman itu menamatkan penantian tidak pasti selama 17 hari dalam usaha mencari dan menyelamat yang disifatkan terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan 26 negara yang menggerakkan segala sumber mereka mencari pesawat terbabit.
Spekulasi terus menyelubungi misteri kehilangan pesawat itu yang sehingga saat ini tidak menemui jawapan yang konkrit sehinggalah kotak hitam pesawat itu dijumpai.
- BERNAMA
Membenarkan teori Kapten Zaharie Adalah Hero Sebenar
Posted on Tuesday, March 25 @ 17:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Lapangan Terbang Langkawi yang dikatakan Goodfellow
Sila lihat pada Google Earth tentang lapangan terbang ini. Juruterbang ini melakukan semua perkara yang betul. Dia berhadapan dengan suatu situasi sukar di dalam kapal yang membuatkan dia segera mengambil keputusan kembali ke lapangan terbang terdekat.
Bagi saya kehilangan transponder dan komunikasi suatu yang masuk akal jika berlaku kebakaran. Dalam kes kebakaran tindak balas pertama ialah menarik semua busses utama dan memulihkan litar satu demi satu sehingga anda mengasingkan yang rosak.
Jika mereka menarik busses itu, pesawat akan menjadi senyap(tiada perhubungan). Ia mungkin satu keadaan yang serius dimana mereka perlu mengawal pesawat dan cuba memadam api. Aviate, Navigate dan akhir sekali berkomunikasi.
Melihat kepada masa kejadian, mungkin berlaku kepanasan melampau pada salah satu tayar hadapan dan ia pecah sebaik pesawat berlepas dan terbakar perlahan-lahan.
Ya, ini boleh berlaku dengan tayar yang kurang angin. Ingat ini pesawat berat, (dan insiden berlaku) pada malam yang panas dan landasan yang panjang.
Terdapat satu insiden di Nigeria pada 1991 melibatkan Douglas DC-8 dimana tayarnya terbakar semasa berlepas menyebabkan asap tebal melemaskan kru dan penumpang.
Benar, juruterbang memang ada akses kepada topeng oksigen tetapi ia tidak boleh digunakan ketika kebakaran. Sebaliknya, kebanyakan juruterbang ada penutup muka dengan penapis asap tetapi ia hanya boleh bertahan beberapa minit.Illustrasi pandangan Chris Goodfellow
Juruterbang ini, seperti yang saya katakan adalah seorang hero yang bergelut dengan satu situasi yang mustahil dimana dia cuba mendaratkan pesawat itu ke Langkawi.
Tidak ada keraguan dalam fikiran saya. Itulah punca mengapa pesawat itu melakukan pusingan dan terus meluncur ke laluan lurus.
Rampasan tidak akan membuatkan pesawat itu beralih arah secara sengaja dan menuju ke Langkawi. Pesawat pasti terbang lebih lama sehingga perampas mengambil keputusan membawa pesawat itu ke sesuatu lokasi.
Apa yang menghairankan tiada seorang pun daripada pemberita, pegawai-pegawai, dan juruterbang lain yang ditemuramah melihat perkara ini dari sudut pandangan juruterbang.
Jika sesuatu yang buruk berlaku kemana dia akan pergi?…
Melalui Google Earth yang hanya mengambil 30 saat saja, saya langsung ternampak Langkawi. Membesarkan peta, dan ternampak landasan…. Naluri saya tahu juruterbang ini mengetahui lokasi lapangan terbang itu.
Dia mungkin telah banyak kali melakukan penerbangan di situ.
Kebakaran dalam pesawat hanya menuntut satu perkara – anda perlu menurunkan pesawat itu ke atas landasan secepat mungkin.
Terdapat dua pengalaman dalam ingatan saya. AirCanada DC9 pada tahun 80-an contohnya telah melintasi beberapa lapangan terbang kerana juruterbang tidak mengetahui landasan terdekat. Juruterbang itu berjaya mendaratkan pesawat namun 30 nyawa tidak dapat diselamatkan.
Pada tahun 1998, kemalangan melibatkan Swissair DC-10 juga salah satu contoh menunjukkan juruterbang adalah hero sebenar. Mereka baru sahaja berlepas 15 minit menuju ke Halifax tetapi kebakaran menyebabkan pesawat itu terpaksa mendarat di lautan. Kejadian itu berlaku selepas sejam pesawat itu berlepas daripada Kennedy. Transponder dan alat komunikasi lain terpadam kerana mereka telah menarik busses di dalam pesawat itu.
Bagi saya itu adalah penjelasan yang mudah mengapa ia berpusing dan menuju ke arah itu.
Juruterbang seorang yang bijak, hanya tidak mempunyai masa.
Chris Goodfellow
-Bekas Juruterbang warga Canada
-Lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang Penerbangan
Sumber link
Keluarga penumpang MH370 baca Yasin mohon usaha cari pesawat dipermudahkan
Posted on Tuesday, March 25 @ 16:45:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Ahli keluarga penumpang MH370 beragama Islam mengadakan bacaan surah Yasin di Hotel Everly, Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 Mac, 2014.
Keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang berada di Hotel Everly, Putrajaya kini sedang mengadakan bacaan surah Yasin bagi memohon kepada Allah supaya operasi mencari dan menyelamat dipermudahkan.
Bapa kepada seorang penumpang pesawat berkenaan, Selamat Omar berkata, mereka akan setia menunggu pengumuman yang dibuat kerajaan dan bersedia dengan segala kemungkinan.
"Memang rasa sedih. Kita boleh bayangkan kedalaman Lautan Hindi menghampiri 7,000 meter. Ini maknanya hampir sama dengan tragedi Air France dahulu.
Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas mengesahkan pesawat MH370 mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi.
Kerja mencari dan menyelamat di Lautan Hindi pada ketika ini terpaksa dihentikan ekoran keadaan cuaca buruk.
Selamat berkata, meskipun diselubungi rasa sedih namun hidup harus diteruskan dan beliau menjangkakan perasaan keluarga penumpang hari ini akan lebih beremosi.
Beliau berkata, menantunya, Erni Khairul yang juga isteri kepada Khairul Amri, seorang jurutera penerbangan dalam pesawat MH370 akan mendapatkan khidmat kaunselor sekiranya berdepan dengan emosi tidak terkawal.
Selamat Omar (dua dari kanan), bapa kepada Khairul Amri, 29, jurutera kapal terbang yang turut berada dalam pesawat MH370 membaca surah Yasin mohon pertolongan Allah memudahkan operasi mencari pesawat itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 Mac, 2014."Kehilangan suami tersayang tidak seperti hilang duit yang boleh diganti. Walaupun suami baru, dia tetap rasa kehilangan yang amat sangat.
"Hari tu (Erni) sudah stabil mungkin selepas ini kaunselor akan bantu jika bermasalah," katanya yang menjangkakan lebih ramai keluarga penumpang akan hadir ke hotel pada hari ini.
Beliau berkata, pihak yang terus membuat spekulasi tentang anaknya yang terlibat dalam rampasan pesawat berkenaan tidak boleh dihalang namun beliau sedia memberikan kerjasama jika diperlukan.
Katanya, meskipun wujud spekulasi sedemikian, pihak berkuasa masih belum mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.
"Kita tidak boleh halang orang hendak bercakap. Mereka bercakap apa sahaja. Pihak yang mengetahuinya hanya pihak berkuasa dan sedikit maklumat ahli keluarga.
"Pihak berkuasa masih belum datang hingga ke hari ini. Saya tidak akan menyembunyikan sebarang fakta yang dikehendaki pihak berkuasa," katanya.
HASBULLAH AWANG CHIK
TMI- 25 Mac, 2014.
MH370 Berakhir: ‘Mak rindu adik’
Posted on Tuesday, March 25 @ 16:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
“Saya cuba kuatkan hati untuknya tetapi tidak mampu,” kata Normah Jaafar, ibu kepada Khairul Amri Selamat, 29, seorang daripada penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Normah ketika ditemui, di rumahnya di Taman Kerayong Makmur, di sini, sebentar tadi memaklumkan dia terlalu rindukan anak bongsunya itu.
“Mak rindu adik.
“Khairul Amri adalah seorang anak yang baik, ceria dan tidak pernah menyakiti hati saya sebagai ibu,” katanya.
Harian Metro difahamkan, Normah pengsan dua kali malam tadi selepas mendengar pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pesawat MH370 dinaiki Khairul. - HARIAN METRO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan