Doa dan harapan buat MH370 dalam pelbagai bahasa
- Mar 17, 2014
- HARAKAHDAILY
Tinjauan Bernama mendapati ucapan yang ditulis orang ramai bernada penuh harapan mendoakan agar pesawat MH370 yang hilang sejak 10 hari lepas pulang dalam keadaan selamat.
Ucapan-ucapan itu ditulis dalam pelbagai bahasa, antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan bahasa Perancis.
Antara ucapan yang menarik perhatian termasuk "Agama kita berlainan tapi doa kita satu.. Doa buat MH370" dan "Pulanglah MH370, kami merinduimu, leraikanlah resah dan rindu ini" serta "Hope is like a thin air, you can't feel it, but we know it's there. Dont stop praying".
Sementara majoriti ucapan yang memenuhi ruangan tiga kain rentang kebanyakannya berbunyi "Semoga selamat pulang. Kami sentiasa menantimu MH370" serta "Praying for miracle, come back MH370".
Selain warga tempatan, ucapan doa dan harapan buat pesawat MH370 yang hilang turut ditulis oleh pelancong asing dari Perancis.
Antara ucapan berbahasa Perancis yang dilihat ialah "On est de tout coeur avec vous. Qu'allah soit avec vous (Kami bersama anda sepenuh hati. Semoga Allah bersama anda).
Tinjauan juga mendapati orang ramai masih lagi berpusu-pusu menulis kata-kata semangat dan doa sebagai tanda sokongan mereka agar pesawat MH370 yang hilang segera ditemui.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang dari radar kira-kira 40 minit selepas berlepas dari KLIA jam 12.41 pagi 8 Mac. - Bernama
Orang yang mabuk ialah orang yang paling jujur!
- Mar 17, 2014
- Mazni Al Irfan Jani
“Irufan-san! Kau ikut aku, ya.” Sergah Haneef-san betul-betul di telinga kananku.
“Alamak. Aku err… Tak biasa...”
Imam Fatah tiba-tiba mencelah dari belakang, “Ha, lepas Isyak kita bertolak. Irufan-san, kau ikut Haneef-san ke Mishima, ya.”
Kalau ‘abang’ besar, Imam Fatah, yang beri arahan, bermakna ia adalah knock-out untukku. Diam, dan patuh pada ketua. Dialah Imam Fatah, berasal dari Muar Johor. Di saat semua jemaah menggelarnya Imam Saf, dia mahu aku memanggilnya abang sahaja.
Sekiranya Tuan-tuan belum tahu, selain juruterbang Malaysia adalah antara terbaik di dunia yang menunggang Si Hud-Hud Besi; tidak sedikit imam di Jepun ini yang diimport dari Malaysia bagi mengepalai masjid-masjid dan membantu dakwah di sini. Ini kerana imam Malaysia ramai yang menghafal Al-Quran dan Hadis, serta fasih berbahasa Inggeris dan Arab (ada juga yang mahir berbahasa Urdu). Lagipula persahabatan Jepun-Malaysia telah mematahkan segala birokrasi imigresen dua hala.
Bagai sakti yang dikirim Allah, belumpun setahun di tanah sakura ini, tidak semena-mena aku terlibat ke dalam jemaah Tabligh di sini. Semuanya bermula saat aku dipinta terjemahkan Jepun-Inggeris sewaktu acara Khutbah Sebelum Khutbah Jumaat (KSK) di Masjid Fuji ini. Walau terketar-ketar, tersangkut-sangkut, tetap kugagahi juga. Paling gelabah, bila kuterjemahkan Fil-Ardh atau Ad-Dun-ya kepada Chi-Kyu, yang bermaksud planet bumi. Masak… Masak…
Kepada yang arif dengan gerakan Tabligh, konsep KSK ini adalah biasa di Malaysia. Tujuannya adalah untuk menyampaikan teks khutbah rasmi ke dalam bentuk pelbagai bahasa dunia secara serentak (kerana khutbah Jumaat rasmi yang pertama disampaikan dalam bahasa Arab). Dalam sesi KSK di tempatku, Khatib menggunakan bahasa Inggeris, kemudian diterjemahkan ke lapan kelompok bahasa yang ada. Urdu, Tamil, Perancis, Jepun, Inggeris, Indonesia, Mandarin, dan Arab (di sesetengah tempat yang lain, aku pernah lihat lebih 20 kelompok pun ada).
Masjid Fuji Rasool, namanya diambil sempena kedudukannya yang tidak jauh dari Gunung Fuji, seperti biasa kulihat merah jambunya puncak Fuji dari tingkap bilikku sewaktu menjelang Maghrib. Untuk ke sana, memerlukan transit 3 stesen keretapi dari tempatku, lebih kurang 40 minit. Jadi, masa yang termampu kuluangkan bersama jemaah ini hanyalah di hari cuti saja, memandangkan jadual kuliahku yang padat sekali.
Selepas Isyak. Suhu tercatat di Casio, 10 darjah.
Menuju ke Mishima, kami menaiki sebuah pajero besar, bersama Haneef-san dan 3 jemaah dari Pakistan yang lain. Sunyi keadaan di sini, seperti pekan Rengit yang ‘mati’ selepas jam 12. Melalui kawasan berkontena seluas 20 hektar, menyelusuri timbunan cebisan-cebisan tubuh kereta, dapat kutebak di sinilah tempat potong kereta di Jepun yang terbesar (agaknya). Haneef-san tidur saja di belakang, sedang kami melilau-lilau menurut peta lokasi yang diarahkan Imam Fatah.
Haneef-san ialah satu-satunya orang Jepun Muslim yang ada bersama kami. Menerima ehsan cahaya Allah di negara Amerika sewaktu menuntut di sana, aku sangat selesa berkawan dengannya kerana aku satu-satunya kawan lain negara yang boleh berbahasa Jepun kasar dan pasar (errr... aku berkawan dengaan geng-geng Yakuza juga di sini).
Tiba di sebuah rumah kabin (kontena). Semua kami turun dan menghampiri pagar. Puas 15 minit dipanggil-panggil penghuninya, muncul kelibat seorang Jepun yang terhuyung-hayang. Di tangan kanannya memegang botol, dan tangan kirinya menggendong sebakul arak. Berkemeja tapi selekeh, ada imbasan seorang tauke besar spare-part Honda di sini (ada logo Honda di belakang).
“Oi, oi. Marilah sini minum sekali dengan aku.” Si Jepun pemabuk ini membuka pintu pagar dan beri laluan. Aku dan 3 Pakistan lain terpinga-pinga, menoleh sesama sendiri. Tanganku keduanya masih di jaket sejuk. Jangan dikira berapa tebal baju si Pakistan itu, sudahlah berpeluk tubuh pun tetap berselimut lagi.
Dari belakang kami, Haneef-san seakan terjerit-jerit, namun bait tuturnya berhati-hati.
“Wahai saudaraku, namaku Haneef. Aku datang padamu ingin sampaikan satu berita gembira.”
Si pemabuk menjerkah dengan bengis, “Ahh, aku dah cukup gembira. Apa lagi aku mahu?”
“Pencipta aku. Pencipta kau. Yang ilhamkan manusia membuat arak itu. Yang jadikan kau kaya. Namanya Arra.”
(Jepun memang pelat tak boleh sebut huruf L).”
Haneef-san dengan nada perlahan penyayang, mulakan langkah hampiri dia. Sedikit demi sedikit, Haneef-san mengangkat tangannya ingin memegang bahu si pemabuk Jepun itu.
Lantas ditepis...
“Arkh!!! Dia siapa? Jadi, kau nak perkenalkan aku seorang Tuhan? Atau kau ini yang Tuhan, ha?”
Jeritannya kali ini menggetarkan, ibarat gempa yang gegarkan sepi di tengah pekat malam ini. Berebut-rebut asap wap keluar dari celah-celah bibirnya.
BAMMM!!
Bakul arak di tangannya terhempas ke tanah. Dalam mabuk-mabuk itu, si Jepun ini masih kuat mengangkat dan menghempas bakul yang sah-sah berat. Kemudian, si Jepun itu menonggang botol syaitan yang masih di tangannya.
Sekonyong-konyong Haneef-san merampas botol itu, dan dia campakkan ke tanah, tidak jauh dari kaki si pemabuk.
PRANG!!
Haneef-san menjerit sekuat-kuatnya,
“BAKAYARO! CHIKUS***! ” (Bodoh! Sial!)
Tiga orang Pakistan tadi tergamam. Aku jangan ditekalah. Hampir terkencing pun ada. Terkejut bukan main. Ada niat juga inginku ke situ dan menampar Haneef-san. Hati berbolak-balik, tertanya-tanya, kenapa begitu ber’hikmah’ sekali dakwah si Jepun yang celup Amerika ini.
“Aku tahu! Hidup kau kosong! Aku datang nak isi kekosongan itu!" ‘Ki~terukai, omaera’? (Kau dengar tak ni?)”
Jerit lagi si Haneef-san.
Kali ini jelas sekali tangannya kini membentuk penumbuk. Bersedia agaknya kalau-kalau si mabuk ini mahu menghentak Haneef-san. Kalau jadi begitu, memang sah aku terpaksa masuk jugalah walaupun dulu selalu ponteng kelas ‘gayung’.
Kemudian, si mabuk tadi terduduk. Menangis semahu-mahunya.
“Uwaa!” Wuu… Waa!”
Tangisnya biar jerit, lagunya begitu syahdu. Dia menangis tertunduk. Sesekali dia menampar pipinya dengan pasir yang diserak-serakkan dengan kaki.
Sambil menangis, si mabuk itu bercakap sendirian...
“Kenapa? Kenapa aku dapat semua kesenangan ini. Semuanya macam diberi begitu saja. Siapa yang bagi? Wuu…”
Mata Haneef-san juga mulai bertakung. Dia bercangkung lalu cepat-cepat memeluk si Jepun pemabuk itu. Membisik, namun lembut didengari...
“Aku datang ingin perkenalkan Tuhan pada kau. Memang Tuhan ingin temukan kita.”
Dengan pasir-pasir yang digamkan air mata, saling berciuman dahi ke dahi, mereka berkongsi rasa kasih. Bagai kasih abang-adik. Macam ibu yang baru ketemu anak yang dilarikan orang. Seperti bapa yang baru saja merotan anak kecilnya yang tidak solat. Tangisan itu amat meruntun jiwa.
Melihat aksi keanak-anakan mereka, hatiku sedari tadi berkongsi sendu. Jujurnya, aku menangis begitu laju. Yang pasti, 3 Pakistan tadi biarpun terpinga-pinga (kerana tidak memahami bahasa Jepun), tetap jua merintih seakan baru menonton filem Hindustan lagaknya; sekejap-sekejap mengesat mata dengan baju.
Hari itu, di tengah pekat malam yang dingin salju, selain bersaksikan empat sosok tubuh yang saling berkenalan demi Allah yang satu, dijeling bulan dan bintang yang mengerlip bagai mengenyit matanya, akhirnya lafaz terindah lembut menerbangi hati-hati kami. Maka bertambahlah teman seperjuangan kami di lapangan ini. Syahadah diangkat, lalu berselang peluk sesama adik-beradik ini.
Inilah sebuah kisah yang amat besar dalam pengertian hidupku mengenai keimanan. Mengenai hidayah. Mengenai syahadah.
Maka, dijawab Haneef-san dengn panjang lebar, sewaktu kutanyakan kenapa dia merampas dan membaling botol arak tadi:
1) Irufan-san, Allah dah pesan pada kita melalui kitab yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w., Allah takkan ubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. (Kalian mohon rujuk Surah Ar-Ra’d:11).
2) Hanya aku yang mengenal kaum ku. Hanya aku yang tahu apa yang patut aku lakukan. Mungkin kau lihat aku begitu kasar dan samseng sekali. Tapi, aku amat kenal dengan peribadi sang pemabuk, kerana arak pernah menjadi sebahagian dari nafasku sewaktu masa dahulu.
3) Orang yang mabuk adalah orang yang paling jujur. Kejujuran sang pemabuk sangat jernih. Kerana begitu jernih dan sucinya kejujuran itu hingga perasaan malu tiada dinding lagi.
4) Maka, dengan kasih sayang Allah, telah diharamkan arak itu demi melindungi dan memelihara sifat malu dari dimakan nafsu. (Allahuakbar)
Haneef-san terdiam sejenak. Dia tanyakan satu soalan yang begitu pendek padaku,
“Irufan-san. Apa rencanamu, untuk kaum dan bangsamu?”
Diam. Begitu dalam dan menyentap benakku dek pertanyaan Haneef-san itu. Bunyinya tidak menyindir. Dia seakan mahu bersamaku melihat dan menemankan daku di tanahairku, yang serba ‘batu’. Pertanyaan itu telah merobek segala jenis perjuangan bangsa dan ala nasional yang banyak meracun fikiranku dan rakyatku sewaktu di zaman sekolah dulu.
Pengalamanku ini, terlalu mahal. Kerana ia amat mengajarku, betapa perkataan Dakwah Bil Hikmah (dakwah berhikmah) itu bukanlah sekadar kata-kata manis, lemah lembut atau sopan-santun dalam menyusun kata-kata pesan amar makruf nahi mungkar. Tetapi!
Buatlah apa saja. Apa cara, apa strategi dan apa dorongan. Asalkan masih tidak menjemput dosa, biar setiap langkah dan kata-kata kita sampai TERTUSUK, MENCUCUK, dan MENYELINAP ke hati-hati hamba-Nya, hanya demi sekeping cinta. Cuma sekeping, tapi besaaar fungsinya. Iaitu cintakan Yang Maha Mencinta. Yang kita hutangkan percintaan kita selama ini kepada Dia.
HUTANG! Pernahkah aku terfikir untuk membayar hutang ini?
Konsert liar: Kerajaan BN dibidas gagal ambil iktibar
- Mar 17, 2014
- SAIDAH HAIRAN
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) mempersoalkan mengapa kerajaan BN meluluskan konsert liar selama tiga hari di Stadium Bukit Jalil dalam keadaan rakyat masih berdukacita dengan kehilangan pesawat MH370.
Konsert pada hari ketiga bagaimanapun dibatalkan atas arahan polis.
"Siapakah yang meluluskan permit untuk konsert yang penuh dengan maksiat ini? Kerajaan BN perlu bertanggungjawab dan jangan lepas tangan dalam hal ini kerana ia telah mengakibatkan kematian," tegasnya.
Menurut beliau, konsert yang kononnya membantu mempromosikan Malaysia sebagai hab muzik antarabangsa berlangsung dalam keadaan penuh maksiat dan bertentangan dengan budaya timur apabila arak dan dadah diambil secara berleluasa oleh pengunjung.
Malah ada pengunjung yang maut dan dimasukkan ke hospital kerana mengambil dadah jenis sintetik yang dipercayai ecstacy.
Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mempersoalkan penguatkuasaan garis panduan konsert oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta adakah pihak penganjur mematuhi peraturan Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) ketika menganjurkan konsert tersebut.
"Jika kementerian dan penganjur mematuhi garis panduan tersebut mengapa penonton boleh membawa masuk arak dan dadah?" soalnya.
Tambah beliau, sepatutnya kerajaan mengambil tindakan menghalang konsert maksiat itu daripada berlangsung kerana negara sedang ditimpa masalah jerebu dan kehilangan pesawat MH370.
"Seharusnya kita menghormati masalah serta sensitiviti rakyat dan ahli keluarga penumpang MH370. Dalam keadaan rakyat bersedih kenapa kerajaan membenarkan satu konsert maksiat diadakan," tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan BN seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk membasmi masalah pengambilan dadah, minum arak serta gejala sosial yang keterlaluan.
"Sepatutnya semua pihak terutama pemerintah mengambil ikhtibar dan bermuhasabah diatas kejadian kehilangan pesawat MH370, masalah jerebu, ketiadaan air dan sebagainya yang berlaku di negara kita," tegasnya.
Jihad pelajar Malaysia di bumi Jordan
- Mar 17, 2014
- DR MUJAHID YUSOF|SIRI 2
9 Mac 2014
Lawatan ke kem pelarian Syria dijadualkan pada hari Jumaat 7 Marc 2014. Ada pelbagai kem di sini dan yang terbesar sepanjang 10km kawasan dikendalikan oleh PBB untuk pelarian di Za'tari.
Kem ini dikawal ketat oleh kerajaan Jordan dan tidak ada siapa yang boleh masuk melainkan dari izin pihak pemerintah. Kem lain berselerak di sekitar sempadan dengan Syria dari sekecil 20 keluarga hingga 5 keluarga.
Penempatan sama ada berbentuk kawasan perkemahan ataupun perumahan yang dibina mengikut kemampuan keluarga pelarian.
KEM UWAIJA
Kami ke kem Uwaija yang menempatkan sekitar 20 keluarga dikendalikan oleh badan yang ditubuhkan oleh pelajar di sini iaitu NGO Tabung Tangisan Syria di Bumi Jordan.
Badan ini bermula dengan cara kecil-kecilan atas keprihatinan pelajar Malaysia dengan penderitaan pelarian Syria. Musa Kamaruzaman, susuk tubuh yang tidak padan dengan jiwanya dan cita-citanya beserta dengan sahabat beliau memulakan langkah menghulur simpati.
Usaha ini berbaloi apabila promosi tabung ini berjaya menarik minat para penyumbang seluruh negara sehingga mampu mengendalikan kem kecil seperti Uwaija.
Saudara Musa dan rakan-rakan mengendalikan sekolah dengan menggajikan guru dari kem itu dan dari luar. Mereka menampung perbelanjaan untuk elektrik, air dan keperluan kesihatan yang lain.
Namun paling utama ialah sekolah dari khemah ini berjaya memberikan pendidikan asas yang baik dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab serta pengajian Islam.
Gurunya Abu Anas yang datang ke sini setahun sudah bersama keluarganya kini menjalankan tugas suci untuk anak bangsanya dan dalam keadaan serba kekurangan buku dan bahan, Abu Anas telah menjalankannya dengan baik.
Beliau menunjukkan kepada kami pada permulaan mereka menggunakan kotak lama untuk jadikan papan hitam tapi kini beliau bersyukur kerana Musa dan rakan-rakan pelajar Malaysia telah menyediakan ruang dan fasilitas yang lebih baik termasuk kini kelas itu dibekalkan dengan pemanas (heater) dan tikar tebal serta buku-buku pengajian.
Syabas buat Musa Kamaruzaman. Anda telah membuat kami bangga apatah lagi bendera Malaysia dan laungan terimakasih Malaysia dilaungkan apabila kami masuk ke dalam kelas mereka.
SOLAT JUMAAT
Sebelum ke solat Jumaat kami meninjau kem lain seperti kem Ubaidah yang juga dikendalikan oleh pihak NGO ini. Kem Ubaidah adalah penempatan rumah dan keadaannya lebih baik dari kem Uwaijah, namun kerana kesuntukan masa kami hanya lihat dari luar sambil diberi taklimat oleh rakan Musa iaitu Ubaidah Abdul Basit.
Mereka adalah harapan, betapa anak muda Malaysia gagah mengharumkan nama negara dengan sifat kemanusiaan dan usaha yang tinggi membantu saudara mereka yang menderita sebagai pelarian.
Van kami meluncur laju ke kampus Universiti al-Bayt untuk solat Jumaat di masjid kampus. Khatib hari itu bercakap tentang berbuat baik kepada ibu-bapa, entah mengapa dalam kedinginan masjid itu saya berasa sayu terkenangkan ibu bapa saya. Adakah saya telah menjadi anak yang baik untuk mereka?
Ibu yang diangkat atas bahu seorang anak untuk melakukan haji tidak akan sama beratnya dan seksanya ibu yang melahirkan kita. Aduh... Banyaknya kurang saya membalas jasa ibu, entah mengapa air mata saya mengalir dingin sambil hati saya mendokan pada ibu bapa saya.
Saya ambil kesempatan untuk bersalaman dengan dengan khatib yang merupakan Ketua Jabatan Syariah University Al-Bayt sambil menyatakan betapa saya tersentuh dengan khutbahnya tadi.
Saya bertanya khabar pelajar Malaysia di sini dan dia memuji mereka kecuali satu sahaja katanya, pelajar Malaysia jarang berinteraksi dengan pelajar tempatan lantas kekurangan mereka dari kemahiran bertutur bahasa Arab dengan fasih.
Saya terus menasihati pelajar Malaysia yang ada bersama saya supaya mengambil berat tentang perkara tersebut.
Kami berpisah sambil beliau berjanji untuk menjemput saya menyertai persidangan yang akan diadakan dalam jangka masa terdekat tentang bantuan kemanusiaan antara tuntutan syariat dan undang-undang.
Saya menyatakan kesediaan saya, semoga saya dapat bertemu lagi dengan pensyarah hebat ini.
KE UMMU QAYS
Dalam perjalanan ke Irbid kami dibawa ke Ummu Qayys di mana peninggalan teater Rom dan kesannya menjadi kebanggaan penduduk di sini.
Sepanjang perjalanan saya memerhatikan orang di sini keluar beramai-ramai dengan keluarga seolah olah untuk berekreasi.
Kiri kanan jalan kereta berhenti sambil mereka bersantai minum dan bermain. Sebaik sampai di Ummu Qayys jalan mula jem teruk. Kawasan peninggalan Rom itu dipenuhi orang ramai.
Kami sempat melawat tapak bersejarah ini yang kemudiannya menjadi tapak gereja setelah Rom memeluk agama Kristian. Dari puncak bukit kami dapat melihat arah Syria, Lebanon dan Jordan.
Sebuah tasik kelihatan samar-samar dikatakan tempat Nabi Isa a.s. dilihat berjalan di atas air setelah baginda hilang setelah disalib. Kisah ini merupakan versi Injil kerana mereka menyatakan Nabi Isa a.s. hidup semula menyempurnakan risalahnya setelah disalib dan kemudian hilang.
Apapun saya menikmati pandangan yang cukup indah dari atas puncak bukit dan berasa segar kerana badan saya yang kurang sihat tempoh hari semakin baik dan berjalan sekitar kawasan berbukit seolah berjogging di dataran Kerian yang saya amat rindui.
IRBID
Selesai lawatan, kami menuju ke Irbid untuk bertemu pelajar di sana. Mereka terdiri dari pelajar perubatan dan pengajian ekonomi serta pengajian Islam.
Kami disambut oleh Marwan Bukhari pelajar tahun tiga Syariah dan seorang pelajar perubatan. Marwan Bukhari antara penulis muda kritis dan mempunyai pandangan yang cuba keluar daripada kepompong tradisional namun berada atas asas ilmu Islam yang kukuh.
Beliau pernah disebut oleh sebahagian ustaz ulama pelapis PAS sebagai “liberal dan plural” apabila penulisannya dimuatkan dalam koleksi artikel buku bertajuk Pemikiran Reformis yang disunting oleh Dr Farouk Musa terbitan IRF.
Saya berkesempatan untuk bersembang panjang dengan Marwan dan mendapatinya seorang yang kuat fundamental ilmu Islamnya tetapi mahukan pembaharuan dalam ruang ijtihadat yang terdedah kepada idea baru dan keluar dari kerangka tradisional.
Bagi saya pemikiran ini perlu digilap asalkan ia tidak tergelincir dari perkara fundamental dan memperlihatkan kejujuran dan amanah ilmu.
Saya turut menasihati beliau bahawa pemikiran yang terbuka dalam lingkungan yang diizinkan disiplin keilmuan Islam mesti terbina dari dalam jiwa yang kukuh hubungan dengan Allah sehingga lahir sikap rendah diri dan takwa kepada Allah. Hanya itu jambatan kejujuran kita apabila terpaksa mencabar status-quo ilmu yang ada dan amalan yang sudah diterima selama ini.
Hakikatnya itulah erti “tajdid pemikiran” iaitu mengekalkan keaslian dalam suasana hari itu tanpa hilang asas rohani yang kukuh dan sikap berendah diri dengan ilmu yang ada.
Sekurangnya saya telah menasihati kepada mereka yang saya kagum berani melakukan perubahan ilmu namun ia bukan bererti mengubah sikap tegas kita dalam hubungan diri dengan Allah.
Majlis malam itu berjalan lancar dan selesai majlis kami dijemput oleh keluarga seorang pelajar Jordan di Malaysia yang merupakan anak murid kepada Dr Alinor Abdul Kadir yang berasal dari Irbid.
Kami dilayan penuh hormat dan menikmati makanan berat ala Arab pada saat lewat malam dan keletihan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan, tetapi besar hati keluarga ini atas pensyarah kepada anak mereka yang sedang menyempurnakan ijazah Sarjananya amat dihargai dan kami menumpang ‘syafaat’ Dr Alinor sebagai salah seorang panel jemputan atas layanan malam itu.
HASNAN DAUD
Hasnan Daud pelajar tahun 2 adalah bekas pelajar Darul Quran (DQ). Beliau mengenali saya kerana banyak mengikuti ide-ide penulisan saya khusus dalam buku Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS.
Kebanyakan forum saya dihadiri semasa beliau menuntut di DQ. Beliau salah seorang anak muda yang gigih mentelaah pemikiran Islam dalam konteks hari ini malah pernah menganjurkan diskusi buku saya di Kelantan dan telah berjaya mengumpulkan hampir 30 anak muda untuk membedah buku saya.
Semasa pelancaran buku Rejuvenasi PAS di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur beliau membawa bersama 10 pelajar lain untuk bersantai dengan saya di PWTC bertanyakan soalan dari ibadah hingga ke persoalan demokrasi, politik dan kepimpinan.
Pertemuan saya dengan beliau bolehlah diibaratkan sebagai pertemuan guru dengan murid, betapa saya mengharapkan benih intelektual ini mampu memurnikan cita-cita perubahan yang sedang kami bina.
Saya yakin ramai lagi Hasnan dan Marwan di luar sana, marilah kita berhimpun atas menberdayakan kekuatan intelektual supaya tidak diheret dengan argumentasi sentimen dan emosi malah tanpa disedari memperkukuhkan erti kuku besi keilmuan dan taksub pandangan yang merosakkan masa depan negara.
ESOK ACARA KEMUNCAK
Esok adalah hari kemuncak kerana majlis program satu hari pembentangan dengan ahli panel yang lain akan berlangsung.
Kembali dari Irbid lewat malam menyebabkan saya tidak berupaya melakukan apa-apa lagi melainkan tertumpu ke alam selimut bagi menyediakan diri untuk program esok.
Satu hari di Jordan pelbagai pengajaran yang tak tertitip di sini.
Satu hari di bumi Jordan pelbagai ragam manusia tak terdaya tersimpan semuanya dalam memori.
Satu hari di Jordan hanya satu yang terpahat iaitu harapan dan motivasi untuk meneruskan perjalanan ini.
Bertemu esok di dewan kampus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan