Sabtu, 29 Mac 2014

YA ALLAH HUKUMLAH/BALASLAH SETIMPAL DENGAN KEJAHATANNYA/MEREKA

KUALA LUMPUR: Keluarga pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin, yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden hari ini, redha dengan keputusan itu serta tidak merancang untuk mengemukakan rayuan.
  
Kakak Shalwati, Noor Azila Makhzan berkata walaupun sedih, mereka membuat keputusan tidak akan mengemukakan rayuan kerana khuatir hukuman lebih berat dikenakan ke atas pasangan itu.
  
"Ini selepas perbincangan dengan anggota keluarga, kalau buatpun kita takut hukuman bertambah berat sedangkan peguam kitapun sememangnya peguam hebat tetapi keputusan masih tidak menyebelahi kita," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Mahkamah Daerah Solna menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Shalwati dan 10 bulan terhadap Azizul Raheem bagi kesalahan mengasari serta mencabuli integriti anak-anak mereka.
  
Noor Azila berkata Shalwati dan Azizul Raheem sebelum ini turut menyatakan bahawa mereka bersedia dengan apa jua hukuman, meskipun pada hakikatnya mengharapkan yang terbaik.
  
"Ini undang-undang Sweden, kita tak boleh kata apa, dia lain daripada yang lain, kita nak komen lebihpun tak boleh," katanya.
  
Noor Azila juga berkata anggota keluarganya di Kota Baharu, Kelantan akan terus menjaga keempat-empat anak pasangan itu.
  
"Kita juga dah maklum pada anak-anak mereka apa yang berlaku. Mereka akan terus kami jaga," katanya.
  
Sementara itu, di KOTA BAHARU, adik Shalwati, Shaleena Norshal, 43, seorang guru yang mempunyai empat anak berusia antara dua dan 17 tahun, turut redha dengan keputusan mahkamah.
  
"Kami redha dengan keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah, dan kalau ikut pendakwa raya, mereka ingin jatuhkan hukuman selama dua tahun," kata beliau kepada pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor hari ini.
  
Shaleena berkata beliau tahu keputusan itu menerusi aplikasi Whatsapp yang diterima daripada seorang anggota keluarga mereka yang berada di Sweden.
  
"Kami dah dapat jangka keputusan ini, kami redha dan bersyukur sebab ini hukuman paling minimun yang diberikan kepada mereka dan kami akan berdoa dan lakukan solat hajat agar dipermudahkan urusan mereka.
  
"Hukuman ke atas mereka akan dikurangkan jika berkelakuan baik, apa yang saya tahu, mereka juga kena bayar pampasan kepada anak-anak mereka tetapi jumlahnya masih belum diketahui," katanya.
  
Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.

Wartawan tidak dibenarkan oleh keluarga untuk menemu bual anak-anak pasangan itu iaitu Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Ariff, 7. - Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Pegawai Tourism Malaysia di Sweden Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal kerana mendera anak-anak mereka pada Disember tahun lepas.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwar Rahmat, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh wakil Sukaguam yang hadir di mahkamah ketika prosiding jatuh hukum terhadap pasangan berkenaan pada kira-kira 6 petang (waktu di Stockholm 11 pagi).

Khairul berkata pasangan itu berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun dan berdasarkan perkembangan terkini, mereka dijangka bebas hujung tahun ini.
  
Kedua-duanya ditahan reman sejak 18 Dis lepas.
  
Beliau berkata Sukaguam akan menasihati anggota keluarga serta kerajaan Malaysia untuk mengemukakan rayuan.
  
Khairul berkata di bawah undang-undang Sweden, Azizul dan Shalwati mempunyai tempoh tiga minggu untuk memfailkan rayuan.
  
Shalwati dan Azizul didakwa mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka dengan memukul serta mendera kanak-kanak terbabit di kediaman pasangan itu di Spånga antara 15 Sept 2010 dan 17 Dis 2013.
  
Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dan suaminya ditahan reman selepas memukul tangan seorang anak mereka kerana tidak bersolat.
  
 Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Jan lepas.
  
Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan lepas dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.

Sementara itu, mengikut kenyataan akhbar yang dimuat naik ke laman sesawang Mahkamah Daerah, Hakim Mattias Moller dipetik sebagai berkata Shalwati didapati bersalah mencabuli integriti anak perempuan dan anak lelaki sulungnya selain mendera dua lagi adik lelaki mereka.
  
Azizul pula didapati bersalah mencabuli integriti anak lelaki sulungnya dan mendera anak perempuan serta anak lelaki kedua.
  
Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada sebarang pertuduhan berkaitan anak bongsunya.
  
Pasangan itu juga diarah membayar ganti rugi kepada anak-anak mereka berdasarkan sabitan mahkamah.
  
Menurut kenyataan itu lagi, Moller berkata keganasan yang dilakukan pasangan itu secara relatif adalah kecil namun pertuduhan terhadap mereka membaitkan perlakuan keganasan yang sistematik dan berulang.
  
"Kebanyakan keganasan itu dilakukan dengan tangan namun sebatang rotan dan penyangkut baju turut digunakan," katanya.
  
Mahkamah itu turut memutuskan bahawa keterangan anak-anak pasangan itu boleh dipercayai dan tiada bukti yang menunjukkan mereka ingin mendatangkan mudarat kepada ibu bapa mereka dengan mereka maklumat tidak benar serta menyerahkannya kepada polis.
  
Moller juga berkata meskipun tiada sokongan dalam bentuk pemerhatian perubatan, butiran yang diberikan kanak-kanak berkenaan disahkan oleh keterangan saksi pendakwaan berdasarkan apa yang diberitahu anak-anak pasangan itu kepada mereka. - Bernama
KUALA LUMPUR: Reaksi tidak senang pelayar laman sosial Facebook terhadap ‘Raja Bomoh’ berterusan selepas kemunculan terbarunya dalam ritual ‘Seru Mayat Untuk Timbul’.

Selepas muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal tragedi kehilangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia  (MAS) MH370, majoriti rakyat Malaysia terus membidas perbuatan yang disifatkan tidak relevan dan ada di kalangan mereka menyifatkan khurafat, lapor Selangor Kini.

Ahmad Naqib berkata, dia pelik dalam zaman serba canggih masih ada segelintir masyarakat yang mempercayai bomoh kerana hanya kebanyakan masyarakat dahulu yang terdedah kepada amalan itu.

 “Orang jahil dan bodoh sahaja percaya kepada dia (bomoh). Kalau tidak percaya, tengok kes sihir dan hasad dengki, sampai menggunakan bomoh,” katanya.

Bagi Malik Yasin, rakyat Malaysia harus berhenti daripada memberikan perhatian kepada kumpulan sebgeitu.

“Kita patut berhenti membuatkan orang bodoh terkenal,” katanya.

Sementara itu, Muhd Arif dengan nada jenaka melahirkan rasa geram dan ingin mematahkan teropong yang digunakan bomoh ketika upacara ritual.

Pada masa sama, ada di kalangan pelayar laman sosial terbabit mendoakan supaya Ibrahim diberikan hidayah oleh Allah SWT supaya tidak meneruskan amalan berkenaan.

“Doa je..biar Allah bagi hidayah, biar dia cepat-cepat taubat sebelum ajal tiba,” kata Maria Sue.

Digelar juga ‘Bomoh 1Malaysia’ sebelum ini menggemparkan negara dengan ritual pencarian pesawat MH370 di KLIA dengan menggunakan tikar, bubu, dan dua biji buah kelapa.

Peralatan terbabit hanya menjadi bahan jenaka sehingga mengakibatkan negara mendapat kritikan hebat daripada media antarabangsa  termasuk dalam paparan berita Al-Arabiya yang mendakwa rakyat Malaysia menggunakan sihir sebagai usaha menyelesaikan misi kehilangan kapal terbang.

Tidak cukup dengan itu, bomoh berkenaan turut bertikam lidah dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin sehingga ingin menampar Ketua Pemuda Umno itu seperti buaya.

Namun, sehingga hari ini tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab membawanya ke KLIA sehingga menimbulkan kontroversi yang disifatkan memalukan negara.
KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Filipina, semalam.

“Kami berdoa agar perjanjian ini akan membawa kepada keamanan di Wilayah Selatan Filipina dan akhirnya rakyat Bangsamoro boleh melangkah ke hadapan melakar pembangunan bangsa mereka,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Katanya, PAS bersedia untuk menghulurkan bantuan agar impian Bangsamoro membangunkan bangsa dan wilayah mereka yang berautonomi dapat dicapai.

Belau berkata, langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan adalah melakarkan perlembagaan atau 'Basic Law' untuk Wilayah Autonomi Bangsamoro di selatan Filipina.

Justeru, kata beliau PAS bersedia untuk menghulurkan bantuan dan kepakaran kepada MILF di dalam usaha itu dan PAS meminta Kongres Filipina meluluskan Perlembagaan atau 'Basic Laws' itu dengan segera.

“Jangan lengah-lengah lagi, ini sajalah jalan perdamaian yang dapat dikecapi dan dengan perdamaian ini bukan sahaja wilayah selatan Filipina akan dapat membangun, malah keseluruhan negara Filipina dapat maju ke hadapan dan menumpukan keseluruhan fokus kepada pembangunan rakyat dan negara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

 






Selepas hampir 30 tahun, Musa Hitam dedah Dr Mahathir berada di KL ketika peristiwa Memali
Posted on Friday, March 28 @ 15:03:38 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Tan Sri Musa Hitam yang dahulunya dipersalahkan dengan peristiwa Memali itu mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir yang terlepas kerana mengatakan beliau di China sebenarnya berada di Kuala Lumpur semasa kejadian tersebut. – Gambar diambil dari YouTube, 28 Mac, 2014.
Tan Sri Musa Hitam yang dahulunya dipersalahkan dengan peristiwa Memali itu mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir yang terlepas kerana mengatakan beliau di China sebenarnya berada di Kuala Lumpur semasa kejadian tersebut. – Gambar diambil dari YouTube, 28 Mac, 2014. Selepas hampir 30 tahun peristiwa Memali berlaku, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.

Pendedahan ini dibuat sendiri oleh Musa yang juga menteri keselamatan dalam negeri ketika peristiwa itu berlaku pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang dan berpuluh yang lain cedera.
Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Bharu malam kelmarin.

Turut serta bersama beliau sebagai panel adalah naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan moderatornya adalah Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof.
Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu bahkan, "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."
Ia disambut oleh Agus dengan berkata "Oh my God," dengan nada terkejut ekoran pendedahan Musa itu kerana media melaporkan Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu berlaku.
"Ok, my God, our God," kata Musa menyambut kenyataan Agus sambil ketawa dengan pendedahan itu.
Dalam diskusi itu juga Musa berkata, "titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang." Musa berkata, itulah juga yang dinyatakan beliau kepada kawan-kawanya dalam politik dan di mana-mana.
Menurut ensiklopedia bebas, Wikipedia, peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.
Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang.
Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.
Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara atau Operasi Hapus'.
"Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China," menurut Wikipedia, dan kini baru didedahkan sebaliknya oleh Musa apabila beliau berkata ketika itu Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur.
Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.
Ibrahim pula tidak mahu menyerah diri kalau mahu ditahan di bawah ISA. Akibatnya polis merempuh perumahan Ibrahim Libya dan pengikutnya dengan kereta perisai dan mengakibatkan 14 terbunuh.
Musa dipersalahkan dengan peristiwa itu dan Dr Mahathir selaku perdana menteri terlepas kerana dia diberitakan berada di luar negara ketika itu, iaitu China.
Pendedahan Musa hari ini akan memberikan satu episod baru dalam peristiwa hitam ini.
PAS menyifatkan semua yang terbunuh sebagai mati syahid manakala Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim menziarahi kubur Allahyarham dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka.

ZULKIFLI SULONG,
PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

TMI
– 28 Mac, 2014.

KUALA LUMPUR: Pemimpin politik dan NGO bersama ribuan orang ramai menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir di ibu negara hari ini.

Mereka mula berarak ke pejabat kedutaan selepas solat Jumaat sebagai membantah hukuman mati yang djatuhkan mahkamah Mesir di Minya kepada 529 rakyat negara itu, Isnin lalu.

Beberapa pemimpin menyampaikan ucapan pada himpunan tersebut.














Tiada ulasan: