Jumaat, 14 Mac 2014

MH370 21

BEIJING: Malaysia Airlines (MAS) semalam menjelaskan bahawa nombor telefon bimbit yang didakwa milik seorang anggota keluarga penumpang pesawat MH370 adalah dari Amerika Syarikat, dan bukan China.
  
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, anak syarikat MAS, Ignatious Ong Ming Choy berkata syarikat telekomunikasi yang dilantik MAS mengenal pasti nombor telefon bimbit itu adalah dari Amerika.
  
Terdahulu, seorang anggota keluarga penumpang MH370 mendakwa beliau menerima panggilan yang dialih dari satu nombor selepas ia hilang dan menggesa MAS menyiasat sumbernya bagi mengesan kedudukan pesawat malang itu.
  
Beliau menyerahkan nombor itu kepada Ong untuk siasatan lanjut ketika sesi taklimat sebelum itu.
  
Khabar angin berkaitan MH370 tersebar luas di Internet termasuk panggilan telefon berkenaan dan ini sedikit sebanyak menghidupkan kembali harapan anggota keluarga penumpang serta anak kapal pesawat itu, yang sebelum ini kian pudar. - Bernama

 Beijing akui silap siar imej
Posted on Friday, March 14 @ 07:37:55 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Sepang: Kerajaan China mengakui siaran imej satelit negara itu yang kononnya menunjukkan tiga objek didakwa serpihan MH370 adalah satu kesilapan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia dimaklumkan sendiri oleh Duta China ke Malaysia, Huang Hui Kang menerusi surat yang dikirimkan semalam.

Tindakan peribadi



“Katanya (Hui Kang) itu adalah tindakan peribadi individu tertentu, yang memuat naik gambar imej satelit berkenaan dalam laman web. Beliau juga menegaskan kerajaannya tidak memberi kebenaran atau memperakui perbuatan itu yang kini sedang disiasat.

“Tambahnya lagi, imej yang dipaparkan itu belum lagi disahkan sama ada mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang,” katanya.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Hishammuddin berkata, Hui Kang juga memberi jaminan akan memaklumkan terlebih dulu sebarang perkembangan baru berkaitan kehilangan pesawat MH370, untuk diperakui Kerajaan Malaysia.
Katanya, penyiaran imej satelit itu menyebabkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa menghantar pasukan pemantau ke kawasan berkenaan pagi semalam bagi mengesahkan penemuan itu tetapi tidak menemui serpihan terbabit.

Tumpu perhatian

Hishammuddin berkata, dalam krisis membabitkan operasi yang rumit, bukan mudah bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha mencari dan menyelamat (SAR).

“Kita tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan SAR. Ada masanya kita tidak boleh mendedahkan maklumat, umpamanya isyarat radar tertentu, kerana ia memerlukan analisis dan pengesahan pelbagai agensi sebelum didedahkan.

“Kalau kita dedahkan maklumat seperti ini sebelum disahkan, ia bukan saja menjejaskan siasatan, malah menambah kesengsaraan keluarga penumpang yang masih menaruh harapan,” katanya. 


Abang besar dan teori konspirasi
Posted on Friday, March 14 @ 07:34:04 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Saya agak terkilan kerana tidak dapat hadir Konvensyen Pakatan Rakyat kali kelima, di Shah Alam, Sabtu lalu. Keletihan dan keuzuran selepas menyiapkan Harakah edisi Isnin pada pagi 8 Mac itu menjadi penghalang.

Mungkin sebahagian kita menganggap pertemuan itu sekadar acara rutin yang kurang memberi impak besar, berbanding perhimpunan tahunan atau mesyuarat agung parti masing-masing -- PAS, DAP mahupun KeADILan. Tiada agenda besar yang bakal dibahaskan. Liputan media juga tidak terserlah, malah agak ramai yang tidak mengetahui program tersebut.

Sedangkan, pada hemat saya, konvensyen tahunan keluarga besar Pakatan itu, sewajarnya diangkat ke tahap lebih istimewa, yang memungkinkan interaksi dan perbincangan aktivis akar umbi ketiga-tiga parti dapat dibuat secara lebih selesa, jujur dan  tempoh masanya bukan hanya sehari.

Yakni, tidak setakat mendengar pidato dan amanat pemimpin tertinggi, seterusnya membacakan resolusi dan ketetapan bersama, malah sepatutnya menyediakan platform buat penggerak parti mengemukakan pandangan, hujah atau teguran bernas.

Ya, biar  aliran perbincangan dua hala dan boleh saja menyentuh isu-isu sensitif yang mungkin selama ini tidak terdedah kepada perbahasan. Pilihan raya masih jauh lagi, 'kan?

Lebih penting ada ruang untuk aktivis parti yang datang dari seluruh negara bersemuka secara lebih santai, mungkin dalam sesi minum teh atau selingan pertunjukan kesenian-kebudayaan. 

Berbeda dengan BN yang hanya mengutamakan persefahaman di peringkat elit atasan (atas dasar kepentingan dan habuan), penyelarasan dalam Pakatan tentunya tidak hanya diharapkan merata dan menyeluruh di semua peringkat tetapi harus lebih tulus dan terbuka.

Perkongsian kuasa dalam BN lebih terarah kepada tolak ansur  dan permuafakatan pemimpin tertinggi semua komponen parti sedangkan di lapis pertengahan dan bawahan, elemen syak wasangka dan curiga cukup tebal.

Sesekali menghadiri program Pakatan, termasuk ceramah politik dan majlis keramaian, terserlah gandingan dan toleransi yang sukar dilihat dalam majlis anjuran BN. Pakatan sememangnya sudah mengisi "posisi pertengahan" atau "jalur tengah" yang selama ini dimonopoli oleh BN, yang menyediakan laluan selesa untuknya menguasai pemerintahan sejak merdeka lagi.

Saya masih ingat, dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng di LCCT, semasa menunggu penerbangan AirAsia ke Pulau Pinang, sekitar tahun 2011, mengulas hubungan PAS-DAP, Ketua Menteri itu memberi jaminan, selagi ada "orang-orang lama" yang pernah melalui siri tekanan yang sama, seperti Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Lim Kit Siang, kerjasama itu mudah untuk diputuskan.

Dan baru-baru ini, strategis DAP, yang juga kolumnis Harakah, Liew Chin Tong turut memberi komentar tentang latarbelakang hubungan erat pembangkang: "Tanpa diduga, Ops Lalang telah “menyatu-padukan” pembangkang dan aktivis NGO dalam kem tahanan buat kali pertama. Tahanan seperti Mohamad Sabu (kini Timbalan Presiden PAS), Lim Guan Eng (kini Setiausaha Agung DAP) dan sebagainya, adalah “orang baru” dalam politik ketika tahun 1987. Tahanan politik ini mendapati bahawa perselisihan kaum dan agama akhirnya akan menguntungkan Umno-BN."

Namun begitu, mutakhir ini penganalisis politik yang melahirkan rasa bimbang dengan kesepaduan yang terjalin dalam Pakatan, termasuk pada tahap tertinggi. "Sudah timbul sikap saling mencurigai, dan kalaupun tidak sampai memecahkan, tetapi boleh membuatkan kemenangan tertangguh," ujar seorang daripadanya.

"Saya tidak risau keadaan ahli dan penyokong di bawah. Mereka tidak sabar-sabar lagi mahu menamatkan era BN yang korup ini. Sebahagiannya tiada kepentingan langsung. Ikhlas mahu melihat perubahan. Rakyat sudah lama menderita terutama ekoran kenaikan kos sara hidup," tambah beliau, sambil mengingatkan bahawa kerjasama dan persepakatan mesti tambah mantap kerana itulah satu-satunya senjata paling ampuh untuk berdepan BN yang memiliki segala kelebihan.

Justeru, himpunan tahunan gabungan yang belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan itu cukup bermakna sekali, bukan saja di kala kesatuan  di antara ketiga-tiga pimpinan parti cuba diremehkan, malah ia semakin menarik perhatian ramai apabila diadakan sehari selepas Anwar Ibrahim dihukum penjara, sekali gus menghilangkan kelayakannya bertanding dalam PRK Kajang.

Tanpa kehadiran di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam itu, cukup sekadar menatap gambar-gambar yang dirakam jurufoto Harakah, Wan Zahari Wan Salleh, saya bukan saja dapat membayangkan kemeriahan persidangan tetapi seakan-akan mampu menghayati kesetiakawanan pimpinan Pakatan di segenap peringkat.

Misi dan cabaran getir  berdepan PRU14 sudah bermula, apatah lagi dengan kemungkinan Anwar kembali terperosok dalam penjara. Sekali lagi, persefahaman erat begitu ditagih, bagi memastikan bahtera besar Pakatan tidak dibocorkan rakan-rakan sendiri.

Benar, sesama Pakatan, tidak ada "abang besar" sepertimana gelagat Umno dalam BN. Masing-masing setaraf dan seimbang. Setiap suara dihormati. Setiap keluhan didengari. Konsensus menjadi syarat utama. Biarpun begitu, seperti biasa, idealisme murni tidak semestinya dapat dilaksanakan dengan baik dan cukup berkesan, terutama jika dirujuk pemerintahan di negeri-negeri.

Seperkara lagi, adat dalam persaingan politik, jumlah pemilikan kerusi Dun mahupun Parlimen tetap membawa petunjuk penting. Dibimbangi ada yang cedera dan terluka dalam proses "meluaskan wilayah". Maka, agihan kuasa dan sumber perlu dibuat, bukan hanya dengan kaedah yang lebih adil tetapi harus menjiwai prinsip tiada "abang besar" yang membuli.

Tempoh yang relatif lama menjelang PRU14 wajar dimanfaatkan untuk pelbagai persiapan dan persediaan memperkukuhkan dalaman parti serta meneroka kawasan "deposit tetap" Umno-BN secara lebih inovatif. Begitu juga dengan cabaran kritikal proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Mungkin pelbagai eksperimen politik, khususnya berdepan pengundi muda dan masyarakat Melayu luar bandar, boleh dibuat dalam jangka waktu ini. Pakatan tidak perlu risau sekiranya percubaan-percubaan itu kurang berhasil, malah kalau pun "menikam balik", ia masih terbuka kepada pembetulan atau penambahbaikan.

Pada petang konvensyen itu juga, seluruh negara gempar dengan misteri kehilangan pesawat MH370. Sehingga pagi Rabu -- lima hari selepas insiden -- bukan saja jawapan gagal diperolehi, malah banyak persoalan lain timbul, ditambah kecelaruan kenyataan bercanggah oleh pihak berkuasa.

Hujah panglima tentera mungkin berbeda dengan Ketua Pengarah Jabatan Jabatan Penerbangan Awam, yang tidak disepakati pula oleh Ketua Polis Negara atau Ketua Pegawai Operasi MAS. Belum diambil kira kenyataan Menteri Pengangkutan dan juga Menteri Dalam Negeri. Bertambah pening dengan isu pesawat berpatah balik atau "air turn back", hilang daripada cerapan radar, bagasi yang dipunggah dan pelbagai cerita yang saling bertentangan.

Serentak dengan itu, termasuk didorong rasa tidak puas hati dengan bentuk pengurusan krisis yang kelihatan  kurang sistematik, di bawah garis profesionalisme, sehingga dianggap tidak kompeten -- selain nampak cuba menyembunyikan fakta dan keterangan kes -- rangkaian spekulasi dan gosip bukan saja muncul tetapi mampu mempertikai kenyataan rasmi. Kemahiran berkomunikasi para pegawai tinggi operasi mencari dan menyelamat juga
dikritik hebat.

Misteri menjadi lebih rumit dan tambah mengelirukan. Di zaman langit terbuka, dengan pelbagai aplikasi teknologi canggih, maka gosip, andaian, dan jangkaan  peribadi kini boleh dikongsi secara meluas.  Sudah pasti "teori konspirasi" -- sebahagiannya tidak dapat diterima akal pun -- antara topik yang paling diminati.

Rasa ingin tahu sukar dibendung, apatah lagi apabila jawapan rasmi mudah dipertikai. Sementalahan pula banyak rujukan dalam dunia maya boleh disandarkan. Tiba-tiba ramai menjadi pakar -- bukan saja dalam dunia penerbangan tetapi juga hal berkaitan terorisme serta politik antarabangsa -- dan mengemukakan analisis yang nampak meyakinkan.

Tidak hairan jika hanya media sosial yang menyebarkannya. Ia turut "disahkan" laporan akhbar atau portal berita yang terpaksa bersaing mengejar berita. Sedangkan persidangan media rasmi di KLIA lebih banyak mendedahkan maklumat yang dianggap basi dan tiada "scoop".

Saya tidak sempat menelaah insiden ini, Dua rakan saya, Wan Nordin Wan Yaacob dan Arif Atan mengulas dari segi keselamatan negara, bukan saja terbukti mudah bolos sebelum ini, tetapi semakin terancam dengan kehadiran aset-aset ketenteraan negara asing yang sofistikated.

Kehilangan MH370 ini -- yang cukup aneh dan mungkin tidak pernah berlaku -- membuatkan tumpuan seluruh dunia tertumpu ke negara kita. Cara kita menanganinya diteropong halus. Jika ada kelemahan dan kepincangan, maka amat sukar sekali untuk disembunyikan. Tahap profesionalisme para pegawai kita -- juga elit penguasa -- sedang dihakimi. Oleh kerana ia melibatkan secara langsung faktor  keselamatan, maka prestasi Malaysia turut diberikan gred tertentu. Harapnya tidaklah sampai ke peringkat yang boleh memalukan negara!

Budayawan H Fansuri pula menyinggung soal spekulasi: "Rakyat berspekulasi dengan kejujuran. Justeru, hormatilah spekulasi rakyat. Spekulasi bukan dosa dan tidak pernah pula dianggap sebagai satu jenayah oleh mana-mana bangsa. Akan ada spekulasi yang salah dan buanglah. Akan ada juga spekulasi yang munasabah dan masih boleh diterima akal."

Sementara itu, pandangan bekas ketua juruterbang Boeng 777 MAS, Kapten Noruden Abdul Majid, melalui Buletin Utama TV3, yang   mencadangkan supaya orang soleh dipanggil untuk mengesan MH370 mendapat reaksi bercampur.

"Sebagai orang beriman, ini adalah ketentuan. Allah SWT menentukan segala-galanya. (Kehilangan) ini mengelirukan dan menjadi perkara ajaib yang kita dan dunia kena terima," katanya.

Beliau mencadangkan gabungan pendekatan saintifik dan kaedah berdoa: "Doa daripada orang-orang yang soleh yang dekat dengan Allah dan keluarga (yang terlibat), kerana mereka sedang beremosi dan Allah sedang melihat mereka."

“Panggil mereka supaya mereka berdoa kepada Allah. Allah yang dapat mengembalikan kapal terbang yang hilang itu kerana teknologi yang secanggih mana pun tidak dapat mengatasi kuasa Allah,” katanya.

AHMAD LUTFI OTHMAN
KETUA EDITOR
HARAKAH
 


 Ini satu memalukan Malaysia: Curi Beg Wartawan Luar
Posted on Friday, March 14 @ 07:31:44 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



PUTRAJAYA: Dalam kesibukan petugas media tempatan dan antarabangsa membuat liputan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, seorang wartawan TV luar negara mendakwa kehilangan RM15,000 apabila beg miliknya dicuri di sebuah hotel di sini hari ini.
  
Selain wang tunai, Chan Wai Li, lelaki berusia 36 tahun dari Now TV, sebuah stesen TV swasta Hong Kong itu turut kehilangan dokumen perjalanan, dompet, kad kredit dan pita rakaman kamera video.

Chan yang merupakan Penolong Pengarang Berita, Now TV mendapati begnya hilang pukul 4 petang, selepas pulang dari pusat beli belah Alamanda yang terletak berhampiran dengan hotel itu setelah membeli kad prabayar bersama dua lagi rakannya.
  
Beliau membuat liputan berita kehilangan penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu.
  
Beg galas itu dipercayai dilarikan seorang lelaki yang disyaki sudah berada di sini sejak semalam.
  
Chan yang kelihatan panik segera memaklumkan kehilangan beg itu kepada pengurusan hotel dan sejurus selepas itu wajah dan pergerakan suspek dapat dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
  
Dalam rakaman CCTV, suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil beg itu dan meninggalkan hotel itu ketika kebanyakan petugas media sibuk membuat liputan di ruang lobi hotel.
  
“Saya tak sangka ada orang yang mengambil kesempatan dan mencuri ketika kita (petugas media) buat liputan berita.
  
"Ada RM15,000 dan dokumen penting seperti pasport dalam beg itu,” katanya kepada pemberita.
  
Chan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
  
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu. - Bernama


 Vietnam perluas operasi cari MH370 ke kawasan hutan, gunung
Posted on Friday, March 14 @ 07:26:31 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Vietnam memperluaskan operasi mencari pesawat Malaysia yang hilang, ke kawasan hutan dan gunung tatkala operasi melibatkan pelbagai negara masih belum menemui sebarang petunjuk pada hari keenam selepas kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.
Wartawan Malaysia bersama-sama rakan sejawat mereka dari Vietnam serta dari China turut serta dalam operasi mencari itu dengan menaiki satu daripada pesawat berkenaan yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Briged 918 di Ho Chi Minh City.


Pesawat itu meninjau di kawasan Laut China Selatan di kawasan selatan hala barat di selatan Vietnam tetapi operasi selama tiga jam itu tidak menemui apa-apa yang boleh membantu mengesan lokasi MH370 yang hilang itu.

Beberapa pesawat mencari dan menyelamat turut berlepas dari pangkalan tentera udara itu pagi ini dan tengah hari, namun masih tiada sebarang berita positif.
Pencarian di kawasan selatan Vietnam diperluaskan ke kawasan hutan dan gunung berikutan laporan mungkin MH370 berpatah balik dan tersasar keluar daripada laluan biasa.
Beberapa objek telah dikesan terapung di laut, dengan operasi diperluaskan dari Laut China Selatan ke Selat Melaka dan sehingga ke Laut Andaman, melibatkan pasukan mencari dari beberapa negara dan lebih 80 kapal dan pesawat.
Operasi terus dipergiatkan dan China telah menggesa Malaysia meningkatkan lagi usaha usaha mencari dan menyelamat dan memperkukuhkan penyelarasan dalam kalangan pasukan mencari dari pelbagai negara dan rantau.
Jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang, dilaporkan berkata mereka tidak akan berputus asa "selagi masih ada sekelumit harapan".
MH370 membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang dengan 152 daripadanya adalah warganegara China. – Bernama, 13 Mac, 2014.

 Amerika ada petunjuk MH370 hilang di Lautan Hindi, kapal digerakkan untuk mencari
Posted on Friday, March 14 @ 07:20:46 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Amerika Syarikat (AS) mendedahkan mempunyai "petunjuk" pesawat MH370 mungkin terhempas di Lautan Hindi dan sedang menggerakkan kapal USS Kidd ke kawasan tersebut untuk mencarinya, lapor stesen televisyen ABC News awal hari ini.
Pegawai kanan Pentagon memberitahu stesen televisyen AS itu pihaknya memerlukan masa 24 jam untuk menggerakkan kapalnya ke kawasan itu.


"Kami ada petunjuk pesawat itu terhempas di Lautan Hindi," kata pegawai kanan berkenaan dipetik berkata mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines yang hilang pada Sabtu.

Pegawai itu berkata, mereka ada petunjuk pesawat itu terbang empat atau lima jam selepas hilang daripada radar dan mereka percaya ia terhempas ke dalam laut. Tetapi pihak berkuasa Malaysia menolak teori itu semalam dengan kedua-dua Malaysia Airlines dan Rolls Royce berkata, data mengenai enjin berakhir pada 1:07 pagi pada Sabtu, kira-kira 20 minit sebelum hilang daripada sistem radar awam.
AS mempunyai pangkalan tentera di Diego Garcia yang terletak di Lautan Hindi.
Tindakan AS dilakukan beberapa jam selepas pegawai tertinggi Malaysia berkata mereka memperluaskan misi mencari dan menyelamat ke Laut Andaman dan meminta bantuan India untuk mencari Boeing 777-200ER dan 239 penumpangnya yang hilang.
Penyiasat juga berkata pegawai AS memberikan sebab untuk terus mencari di kawasan perairan di sebelah barat Malaysia, lebih jauh daripada laluan pesawat Malaysia Airlines itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata “tumpuan utama pencarian adalah Laut China Selatan” di sebelah timur Malaysia yang merupakan laluan pesawat dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.
Tetapi misi pencarian diperluaskan awal minggu ini ke kawasan perairan sebelah barat Malaysia selepas radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merekodkan pesawat berpatah balik ke semenanjung Malaysia ke arah Laut Andaman.
Tetapi sehingga kini masih belum disahkan sama ada pesawat yang dikesan itu merupakan MH370 yang hilang pada 8 Mac.
"Kita sedang bekerjasama rapat dengan FAA dan NTSB tentang isu kemungkinan patah balik itu," kata Hishammuddin, merujuk kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS.
Dalam sidang media pada Khamis, Hishammuddin menafikan laporan awal rakaman satelit dari China yang menunjukkan objek di Laut China Selatan yang berkemungkinan ada kaitan dengan pesawat MH370.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang membuat tinjauan ke kawasan berkenaan kemudian mendapati laporan itu tidak benar. Kedutaan China juga kemudiannya memaklumkan imej satelit itu dikeluarkan tanpa kebenaran serta tidak menunjukkan serpihan daripada MH370.
Malaysia turut menyangkal dakwaan media asing bahawa pesawat MH370 yang masih hilang, terbang untuk beberapa jam selepas lenyap daripada radar pada awal pagi 8 Mac, yang menyarankan kemungkinan adanya cubaan rampasan.
Sambil menyatakan laporan-laporan itu tidak tepat, Hishammuddin berkata, transmisi terakhir daripada pesawat itu adalah pada 1.07 pagi dan ia menunjukkan bahawa semuanya normal.
Gambar kapal pemusnah peluru berpandu USS Kidd di Lautan Pasifik yang dirakamkan pada 18 Mei, 2011 oleh tentera laut AS. Kidd dan USS Pinkney digerakkan ke Selat Melaka dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 yang hilang pada Sabtu lalu. – Gambar Reuters.The Wall Street Journal melaporkan pegawai mencegah keganasan AS sedang memeriksa sama ada MH370 "secara sengaja mengubah haluan" daripada laluan yang dirancang dengan "hasrat untuk menggunakannya kemudian bagi tujuan lain."
Laporan itu juga dipetik sebagai menyatakan bahawa transponder pesawat itu sengaja ditutup untuk mengelak daripada dikesan radar.
Hishammuddin berkata, berikutan laporan mengenai dakwaan itu, MAS bertanya kepada Rolls Royce dan Boeing Company secara khusus mengenai data itu, dan syarikat itu berkata laporan itu tidak tepat.
Hishammuddin berkata, isu itu juga tidak pernah dibangkitkan oleh pasukan Rolls Royce dan Boeing, yang berada di Kuala Lumpur sejak Ahad lalu untuk membantu penyiasatan itu.        
Pesawat itu, yang menuju ke Beijing, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang setelah sejam berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi, 8 Mac.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada hari keenam semalam, misi mencari pesawat hilang itu masih gagal menemuinya walaupun muncul sedikit harapan apabila satelit China merakamkan imejan kemungkinan serpihan pesawat itu di Laut China Selatan. – 14 Mac, 2014.

MALAYSIAN INSIDER

Tiada ulasan: