Mursyidul Am Ikhwan sampaikan mesej dari penjara
- Mar 31, 2014
- HARAKAHDAILY
KAHERAH: Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Dr Mohammed Badie menyampaikan pesan kepada ahli kumpulan itu dan penyokong legitimasi agar berpegang dengan kedamaian dan menolak sebarang keganasan.
Badie, salah seorang dari 529 ahli Ikhwan Muslimin yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah tentera minggu lalu, menyampaikan mesej itu kepada pasukan peguamnya supaya dipanjangkan kepada para penyokong.
Mesej itu kemudian disampaikan peguam kepada Aishah al-Shater iaitu anak kepada Timbalan Mursyidul Am Ikhwan, Khairat al-Shater.
Menurut Aishah, Badie berkata: "Jangan manjadikan tawaran bertanding presiden oleh (Abdul Fatah) al-Sisi sebagai alasan untuk anda menggunakan keganasan. Teruskan dengan aman," kata beliau.
Aishah memaklumkan, Badie ketika bercakap dengan peguamnya berkata, pengumuman al- Sisi itu membuktikan bahawa benar penggulingan Morsi pada Julai lalu adalah "rampasan kuasa dan al- Sisi gila kuasa".
Badie bersama 528 yang lain didakwa atas pelbagai tuduhan rekaan termasuk hasutan kepada keganasan yang mengakibatkan pergaduhan di hadapan ibu pejabat utama Ikhwan di daerah Moqattam tahun lepas.
Senarai defendan dalam kes itu juga termasuk pembantu Badei yang lain iaitu Rashad Bayoumi, Saad al-Katatni, pemimpin Parti Keadilan dan Kebebasan Essam Erian dan Mohamed al-Beltagi .
Pendakwa menuduh defendan mengedarkan senjata dan merancang serangan ke atas penunjuk perasaan di luar ibu pejabat kumpulan itu.
Defendan, bagaimanapun menolak semua tuduhan itu dan menganggapnya sebagai bermotif politik.
Anak bekas pembantu Morsi ditangkap
Dalam pada itu, tentera Mesir turut menahan anak perempuan bekas pembantu kepada presiden digulingkan Mohamed Morsi di rumahnya di Kaherah pada pagi Ahad.
Karima al-Serafi, anak perempuan Ayman al- Serafi yang berkhidmat sebagai pembantu Morsi bagi urusan maklumat, ditahan di rumahnya pada waktu subuh.
Pasukan keselamatan didakwa telah memecah masuk ke rumah di mana Karima - penuntut tahun kedua Azhar Kaherah - tinggal dan mengheret beliau ke balai polis daerah .
Ayman al- Serafi adalah antara mereka yang telah ditahan dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui oleh tentera bersama-sama dengan Morsi berikutan selepas penggulingan kuasa Julai lalu.
Menurut satu laporan Amnesty International pada bulan Februari, al- Serafi belum lagi didakwa dengan apa-apa kesalahan jenayah, walaupun dia telah menghabiskan beberapa bulan dalam tahanan.
Erdogan syukur AKP menang p'raya tempatan Turki
- Mar 31, 2014
- HARAKAHDAILY
TURKI: Parti Pembangunan dan Keadilan Turki (AKP) pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menang besar pada pilihan raya tempatan yang diadakan pada Ahad.
Dalam keputusan itu, AKP memperoleh 47 peratus undi berbanding pembangkang, Parti Rakyat Republikan (CHP) yang memenangi 28 peratus.
Selain itu, dua lagi parti yang turut bertanding Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) dan Parti Demokrasi dan Keamanan Kurdis (BDP) masing-masing memperoleh 13.28 peratus dan 2.79 peratus.
Erdogan ketika berucap dihadapan penyokongnya di Ankara berkata, keputusan itu merupakan satu referendum rakyat menolak "politik tidak bermoral" dan "politik tidak bermatlamat".
Beliau juga menyifatkan parti yang memperjuangkan demokrasi dan keadilan telah menang pada pilihan raya ini.
"Jangan sesiapa bersedih hari ini, hendaklah tiap-tiap orang daripada 77 juta rakyat tahu bahawa Turki memenangi hari ini.
"Kami akan membawa demokrasi yang lebih kukuh," kata Erdogan disambut sorakan penyokong di ibu pejabat parti itu.
Pilihan raya kali ini berlaku di tengah-tengah tuduhan rasuah dan kebocoran keselamatan yang menggoncangkan pemerintahan 12 tahun AKP.
Beberapa siri tunjuk perasaan antikerajaan dilakukan pada tahun lepas yang dipanggil sebagai protes 'Gezi'.
Penunjuk perasaan Gezi kebanyakannya dilabel sebagai kumpulan pemuda yang tidak puas hati dengan peraturan 12 tahun Erdogan.
Bagaimanapun dengan majoriti 52 juta pengundi termasuk yang aktif dalam protes ' Gezi ', ia dilihat sebagai meluluskan peraturan Erdogan .
Dalam pada itu Erdogan turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana menuntut kembali perjuangan 'untuk kebebasan di Turki baru'.
"Anda berdiri untuk cita-cita Turki ... untuk politik, bagi pihak anda dan Perdana Menteri," kata Erdogan.
Bekas Hakim cadang mualaf nikmati hak istimewa Melayu
- Mar 31, 2014
- HARAKAHDAILY
Mohd Nor yang juga penaung Persatuan Darus Sa'adah Negeri Sembilan, sebuah persatuan Mualaf, berkata ini kerana kedudukan mualaf adalah sama dengan ciri-ciri takrifan yang diberikan oleh perlembagaan kepada orang Melayu.
Namun, kata beliau, pada masa ini ramai di antara saudara baharu ini disisihkan daripada menerima manfaat tersebut oleh sesetengah pegawai kerajaan yang menganggap mereka sebagai bukan bumiputera.
"Hak istimewa orang Melayu itu termasuk peluang membeli tanah rizab Melayu, Amanah Saham Bumiputera dan menikmati kuota untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan sebagainya.
"Peluang yang diberikan kepada golongan mualaf itu tidak bermakna merampas hak orang Melayu, tapi sebaliknya ia bakal membesarkan kek ekonomi dan sosial kepada umat Islam di negara ini.
"Mereka (golongan mualaf) ini adalah 'orang Melayu istimewa' yang dicipta sendiri oleh Perlembagaan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-23 persatuan itu di sini. - Bernama
Anggota keluarga minta bukti MH370 berakhir di lautan Hindi
- Mar 31, 2014
- HARAKAHDAILY
Tuntutan tersebut disuarakan oleh kira-kira 30 anggota keluarga penumpang yang tiba dari China semalam.
Mereka berharap taklimat tersebut dapat diadakan secepat mungkin dengan bantuan Kedutaan Besar China di Malaysia.
Wakil daripada anggota keluarga penumpang, yang hanya mahu dikenali sebagai Jiang Hui, berkata walaupun pelbagai taklimat serta penjelasan telah diadakan di China, namun mereka masih tidak jelas dan mahukan data lengkap terutamanya daripada pakar.
"Selama 22 hari menunggu, jawapan yang kami dapat daripada pihak MAS di sana (China) adalah terhad...Semuanya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kerajaan Malaysia untuk membuat sebarang kenyataan kepada kami.
"Oleh itu kami membuat keputusan datang ke Malaysia untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai insiden ini, terutamanya daripada pakar penerbangan seperti Rolls Royce dan Syarikat Boeing, selain daripada kerajaan Malaysia dan MAS," kata lelaki itu kepada pemberita.
Bercakap dalam bahasa Mandarin, beliau berkata pihaknya juga menuntut kerajaan Malaysia memohon maaf atas kelewatan penyebaran maklumat mengenai pesawat itu.
Jiang berkata pihaknya berharap agar kerajaan Malaysia dapat menunjukkan keikhlasan membantu mereka dari segi membekalkan maklumat sahih.
"Kami tidak akan meninggalkan Malaysia sehinggalah kami berpuas hati dengan penjelasan mengenai pesawat itu," katanya.
Difahamkan, kumpulan ini ditempatkan di Holiday Villa Subang pada pukul 10 pagi semalam dengan disambut oleh Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, dan kira-kira 40 orang anggota Crisis Relief Squad of MCA (CRSM).
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 kru, hilang pada pagi 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas pesawat itu hilang bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama
Objek dikutip tiada kaitan dengan MH370 - AMSA
- Mar 31, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Beberapa objek yang dikutip oleh HMAS Success dan Haixun 01 pada Sabtu telahpun diperiksa dan dipercayai tiada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) malam tadi, berkata objek berkenaan diperiksa di atas kedua-dua kapal dan dinyatakan sebagai peralatan menangkap ikan dan buangan terapung.
Bagaimanapun, menurut AMSA, pesawat di kawasan pencarian terus melaporkan penemuan objek serupa seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Objek yang dikesan tidak dapat disahkan atau dianggap sebagai serpihan dari pesawat MH370. Setakat ini, tiada objek yang disahkan adalah dari MH370.
Pesawat Boeing 777-200ER, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari radar pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.
Penerbangan MH370, yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Menurut AMSA, aktiviti pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 252,000 kilometer persegi membabitkan sembilan pesawat.
Antaranya, dua pesawat P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), sebuah pesawat P3 Orion Jepun, pesawat Ilyushin China, sebuah pesawat P3 Orion Tentera Laut Korea Selatan, sebuah pesawat P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat, sebuah pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia dan dua pesawat awam.
Kenyataan itu juga menyebut lapan kapal ditugaskan di kawasan pencarian MH370 dan ini merupakan jumlah terbesar yang pernah menyertai operasi SAR setakat ini.
Menurut kenyataan itu, cuaca di kawasan pencarian agak baik dengan jarak penglihatan melebihi 10 kilometer.
Sementara itu, Kapal Kementerian Pertahanan Australia 'Ocean Shield' dijadual berlepas dari Perth esok selepas dilengkapi alat pengesan kotak hitam dan kenderaan di bawah air.
Operasi pencarian bersambung hari ini. - Bernama
Tragedi Memali: Mahathir jangan cepat lupa
- Mar 31, 2014
- DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Memali berlaku di tengah gejolak kebangkitan Islam yang sedang menyerbu dunia Islam termasuk Malaysia.
Angin kebangkitan Islam menyeruak dinding kejahilan umat, anak-anak muda menjadi peserta barisan hadapan yang mengumandangkan keperluan untuk kembali menghayati Islam sebaga cara hidup.
Tragedi Memali hampir sama dengan apa yang berlaku di Tanjung Periuk, Indonesia pada awal dekad 80-an. Pembunuhan orang awam yang disyaki pengganas oleh pihak keselamatan di zaman Order Baru, bahkan menahan ramai yang lain selepas peristiwa itu termasuk tokoh pemuda Islam Indonesia, A. M. Fatwa yang ditahan apabila berkhutbah selepas peristiwa tersebut.
Gerakan usrah pemuda dan kampus universiti dianggap menggugat pemerintah Indonesia. Gerakan tarbiah seperti yang digerakkan oleh Kiai Rahmat Abdullah diintai oleh unit perisikan regim kerana bimbang mengancam hegemoni daulah, malah ada yang terperosok dalam penjara seperti Abdul Kadir Jelani.
Peristiwa berdarah Memali juga hampir menyerupai peristiwa berdarah Masjid Merah (Lal Mosque) di Pakistan. Sebuah pusat pengajian agama yang dikelilingi kediaman pelajar digempur oleh pasukan keselamatan Pakistan yang pro-Amerika di bawah regim Pervev Musharraf sehingga mengorban nyawa dan mencederakan pelajar.
Muntahan peluru memamah jasad guru dan para pelajar tanpa mengenal ampun. Guru dan pelajar di Lal Mosque ini kononnya penyokong Taliban dan menentang kerajaan dan harganya amat mahal, mereka meregang nyawa di hujung senjata api yang dibekalkan Amerika kepada pihak keselamatan Pakistan.
Sebelum peristiwa ini, pelajar-pelajar di madrasah ini sangat aktif mencegah maksiat termasuk para pelajar wanita yang berburqa yang berani turun ke tempat maksiat dengan rotan di tangan mereka. Media yang sekular menggambarkan pelajar ini diresapi pemujaan terhadap Taliban dan menentang kerajaan.
Perjalanan kisah Tanjung Periuk, peristiwa Talangsari, tragedi Takbai, pembunuhan di Masjid Merah Pakistan, pembantaian di Hamah Syria adalah hampir sama koreografinya, walaupun dalam jangka waktu yang berbeza. Sketsa berdarah merah mewarnai kanvas putih orang beriman, mereka disakiti kerana akidah.
Tuduhlah mereka sebagai pengganas untuk menghalalkan darah yang tumpah. Memali dan peristiwa seumpamanya akan terus berlaku sepanjang zaman di mana-mana sahaja belahan dunia selagi mana dunia belum berakhir.
Memali terus dibohongi sejarahnya oleh regim,termasuk di Muzium Polis di mana mereka tetap digambarkan sebagai penjenayah dan pengganas. Namun kabut hitam sejarah ini mula terungkai satu persatu.
Kini dengan pendedahan Dato Musa Hitam berkaitan Dr Mahathir yang berada dalam negara pada tanggal 19 November 1985 sangat menarik. Mahathir masih menghirup udara ini dan beliau wajib diadili akibat pembantaian Memali yang kejam itu.
Bersihkan sejarah Memali dan Ustaz Ibrahim Mahmud bersama pengikutnya, padamkan noda sejarah versi tirani walau hampir 30 tahun tragedi ini telah berlalu.
Tragedi ini wajib diluruskan sejarahnya dan keadilan wajar berteleku disinggahsananya.
Bersatu takziah atas MH370
- Mar 31, 2014
- SUBKY LATIF
Maka usul itu tidak dibantah oleh sesiapa. Ia diterima oleh semua dan tidak sukar untuk diluluskan.. Tiada suatu yang pelik atas sikap sekata itu. Ia hanya akan dikira pelik kalau ada yang membangkang.
Kiranya dalam usul menyatakan kepiluan itu ada yang membangkang, maka yang membangkang itu adalah gila.
Memang Parlimen wajar dan wajib membuat usul itu dan keluarga dan sahabat setiap orang yang hilang itu berhak mendapat takziah itu tidak kira sekaliannya sudah tiada di dunia, atau ada yang terkandas dan terdampar di mana rimba seperti cerita Robinson Cruso yang terkenal itu. Kehilangan itu adalah kemalangan dan musibah mesti diberi penghormatan.
Mungkin Parlimen jarang-jarang ada persetujuan semua atas sesuatu yang diusul kecuali dalam perkara takziah. Seperti takziah kepada mana-mana bekas Perdana Menteri yang mati.
Tetapi tidak boleh pula sesiapa bercakap di depan publik bahawa Parlimen kita mencapai kejayaan kerana semua MP tidak membangkang usul Perdana Menteri atau Perdana Menteri beroleh kejayaan besar justeru usulnya diterima oleh semua. Selemah-lemah Perdana Menteri atau menteri-menteri apabila membawa usul seperti ini nescaya dilulus oleh sesiapa jua.
Orang akan marah dan kutuk kalau tragedi besar seperti itu tidak dihadiahkan takziah. Tiada pula sesiapa patut diberi tahniah kerana membuat usul yang amat penting itu.
Tiadalah cerdik sesiapa yang memperjuangkan perpaduan dan penyatuan berkata kita sudah mula bersatu dan dapat menjalin perpaduan dengan penerimaan semua atas usul itu.
Kita bersekata atas takziah atas kehilangan itu. Itu saja. Jangan kita bangga sangat, kerana kemalangan itu kita dapat bersatu.
Kita bersatu kerana Allah dan atas kejadian itu kita bersatu mengingati Allah kerana Allah dengan segala ilmu dan hikmah-Nya mentakdirkan kejadian itu, dan kejadian itu adalah tanda kebesaran-Nya. Atas kebijaksanaan-Nya pesawat yang menuju Beijing itu tiada dijumpai di sekitar antara Kuala Lumpur dan Beijing tetapi dipercayai berada di dasar selatan Lautan Hindi.
Jika kita bangga atas usul itu diterima semua sebagai tanda rakyat sekalian boleh bersatu dan ia mungkin jadi permulaan untuk bersatu, maka nanti orang kehilangan atau kemalangan itu boleh membawa sekaliannya bersatu padu.
Kerana percakaran itu satu keburukan, maka semua yang boleh memulakan perpaduan dan membawa perpaduan adalah rahmat dan nikmat. Jika kita banggakan apa yang dipersetujui itu sebagai rahmat membawa tuah, maka nanti orang suka supaya kapal terbang penumpang kita selalu hilang. Maka lepas ini patutlah pesawat kita selalu hilang supaya bertambah dekatlah kita kepada perpaduan.
Memang kehilangan itu ada hikmatnya dan penerimaan usul takziah oleh semua itu ada hikmatnya. Hanya Allah yang tahu akan hikmah. Akan tetapi orang-orang yang berfikir saja mendapat pengajaran dari hikmah yang ghaib itu. Hikmah itu adalah bagi mengajak semua orang menerima kebesaran Allah dan masing-masing menyembah Allah yang esa.
Bersatulah kerana Allah dan bukan bersatu kerana kehilangan kapal terbang. Kita pilu kehilangan pesawat dan orang-orang yang di dalamnya kerana ia dikira berita buruk untuk semula. Kita tidak boleh bergembira atas keburukan kerana Allah saja yang tahu atas hal-hal yang kita rasa buruk.
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita pergi.
Adab kita berjemaah
- Mar 31, 2014
- USTAZ IDRIS AHMAD
Sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa kita berjuang di dalam PAS. Sudah PASti jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT. Jika kita berjuang kerana dunia belum tentu kita akan peroleh apa yang kita hajat. Jika kita sertai PAS kerana hendak bertanding di dalam pilihan raya, belum tentu nama kita tersenarai sebagai calon. Misalnya di dalam satu kawasan hanya dua atau tiga orang sahaja yang dipilih sebagai calon daripada beribu ahli PAS di satu kawasan. Rugi kita di sisi Allah SWT jika matlamat kita lain daripada apa yang diizin oleh Allah SWT yang bermaksud:
"Pada hal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas dengan mentaati perintah agama-Nya" (Al-bayyinah : 5)
Ikut Arahan Jemaah
Tidak molek, jika bersama dengan jemaah, tiba-tiba tidak mahu ikut arahan jemaah. Apabila kita berintima' dengan jemaah maka wajib kita mengikut arahan jemaah. Sebuah jemaah tidak akan maju jika mempunyai ahli yang ikut kepala sendiri, tanpa mahu ikut arahan jemaah. Mana-mana jemaah akan mengalami masalah jika mempunyai ahli sedemikian rupa. Manusia ini sebenarnya tidak boleh bersama jemaah. Jenis manusia yang tidak boleh berkawan dengan manusia lain. Sebenarnya manusia ini ada penyakit di dalam dirinya iaitu penyakit tidak boleh ikut arahan. Peringatan Nabi SAW:
"Bahawa sesiapa yang taat kepada aku, maka ia sudah taat kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yng derhaka kepada Aku, maka ia derhaka kepada Allah. Dan barang siapa yang taat kepada Amir (Ketua), maka ia telah taat kepada aku. Dan barang siapa yang derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku" (Muttafaqun Alaih)
Tidak Mengabaikan Amanah Jemaah
Apabila kita menyertai jemaah PAS, maka kita mempunyai tanggungjawab untuk memikul amanah yang diarahkan oleh jemaah. Jika kita tidak melaksanakan amanah yang dipikul kepada kita, siapa lagi yang akan melaksanakan amanah ini. Perlu diingat, jika kita tidak melaksanakan amanah jemaah, maka akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat nanti. Di atas dunia lagi kita melakukan jenayah dengan jemaah, sehingga musuh kita bermaharajela. Sifir mudah, kita telah membantu Umno secara percuma apabila kita tidak membantu PAS dengan melaksanakan amanah yang sepatutnya. Tidak ada makna kita marah kepada Umno, sedangkan kita sendiri membantu Umno secara tidak langsung.
Merasakan Jemaah Milik Bersama
Semangat ini akan merasakan kita sayang kepada jemaah melebihi segala-galanya. Pada kita, PAS bukan hak Mursyidul Am, bukan hak Presiden, tetapi milik bersama. Maju mundur perjuangan PAS atas daya usaha kita (biiznillah). Jika ada perasaan ini jemaah akan selamat. Kita akan terasa jika ada yang memfitnah PAS, lantas kita akan membetulkan fitnah tersebut. Bukannya kita menokok tambah untuk menabur fitnah. Siapa lagi yang hendak memikirkan tentang perjuangan PAS, jika tidak kita?.
Kerja Dengan Penuh Tekun
Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah suka kepada seorang yang bekerja dengan penuh ketekunan". Kita mesti yakin bahawa bekerja di dalam jemaah adalah ibadah dengan syarat ikhlas kepada Allah. Kita mesti rasa malu dengan penegak mungkar yang tidak jemu-jemu mencari formula bagaimana hendak menarik orang kepada program mereka. Sedangkan kerja mereka tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka merancang dengan penuh strategik untuk menarik sokongan kepada program mereka. Sepatutnya kita sebagai anggota jemaah perlu menggandakan usaha kita tanpa penat dan jemu, kerana kita adalah Ansarullah. Perlu diingat walaupun perjuangan kita benar tetapi jika kita tidak berkerja dengan penuh ketekunan maka usaha ini akan gagal. Sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah, "Kebenaran tanpa penyusunan akan ditewaskan oleh kebatilan yang mempunyai penyusunan yang rapi".
Thiqah Dengan Kebijaksanaan Pemimpin
Hidup berjemaah inilah sifat yang mesti disuburkan. Apa makna dia seorang pemimpin jika kita sendiri tidak thiqah kepadanya. Menganggap pemimpin semua bodoh, kita sahaja yang cerdik adalah suatu perkara yang salah. Suatu masa nanti apabila kita menjadi pemimpin, Allah akan balas balik kepada kita iaitu pengikut kita pula anggap kita pula bodoh. Masing-masing ada tanggungjawab yang telah diatur oleh perlembagaan parti. Pemimpin membuat cadangan, perancangan dan mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah dari semasa ke semasa menurut ijtihad kepimpinan.
Dasar sahaja tidak berubah, iaitu Islam. Tetapi bagaimana cara kita mahu melaksanakan gerak kerja kita sentiasa berubah. Perubahan kadang-kadang besar, kadang-kadang kecil, contohnya Tahaluf Siyasi. Mereka yang tidak belajar Feqah Politik, mengatakan PAS sudah menyeleweng. Pada hal keputusan yang kita buat masih lagi berkisar kepada nas syarak. Kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan adalah amat mustahak, khususnya di dalam dunia politik yang bergerak pantas. Jika jemaah gagal membuat keputusan yang cepat untuk menghadapi suasana kita akan ketinggalan zaman. Jika keputusan hendak dibincang dahulu daripada semua peringkat hingga ke cawangan, maka sudah tentu kita ketinggalan dan jemaah tidak maju. Pemimpin PAS tidak rela untuk diri mereka dimamah neraka kerana mengkianati perjuangan PAS dan ahli.
Menjaga Rahsia Parti
Rahsia parti bukan sahaja kepada orang lain, malahan dengan anak isteri tidak boleh diberi tahu. Menunjukkan bukan semua perkara yang dibincang oleh parti mesti diketahui oleh orang lain. Seorang itu dianggap biadab dengan jemaah apabila mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat. Lebih parah lagi yang disebar keluar ialah perjalanan mesyuarat untuk membuat keputusan, bukannya keputusan mesyuarat. Beliau menceritakan orang ini setuju, orang ini bangkang. Rahsia parti dan strategi parti tidak boleh dibincang di dalam forum yang terbuka seperti Face book, Twitter yang bukan ahlinya.
Lebih kurang ajar lagi minta pandangan dan komen daripada mereka yang bukan ahlinya mengenai perjalanan parti. Biarlah kita menyusahkan musuh mendapat maklumat, jangan kita memberi maklumat secara percuma tanpa mereka bersusah payah. Sebenarnya di dalam keadaan kita menjaga rahsia ini pun masih terlepas, telahan pula kita sendiri yang mendedahkan. Peringatan untuk diri saya, hendak bercakap mengenai rahsia parti kena berhati-hati. Kebimbangan kita dengan alat komunikasi yang canggih akan merakam perbualan kita. Oleh itu, perhatikan dengan siapa yang kita berbicara. Zaman dahulu berpandang-pandang sebelum bercakap, sekarang agak sukar kerana alat perakam di dalam telefon sudah cukup menjadi alat untuk merakam perbualan kita dan di dedahkan keluar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan