Berlumba cari kotak hitam
CANBERRA, Australia - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi iaitu kotak hitam pesawat tersebut.
Dengan masa yang semakin suntuk, pasukan SAR kini bertungkus-lumus mencari kotak hitam pesawat sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan selepas tempoh 30 hari.
Mengikut undang-undang yang ditetapkan, kotak hitam sesebuah pesawat perlu mempunyai keupayaan untuk menghantar isyarat selama 30 hari selepas ia diaktifkan.
Tetapi pakar berpendapat, mereka boleh terus menerima isyarat dari kotak hitam itu untuk tempoh 15 hari atau lebih, bergantung kepada kekuatan bateri pada masa kemalangan itu.
"Kami perlu mengharapkan tuah. Ia seperti satu perlumbaan untuk sampai ke lokasi dalam masa ditetapkan bagi mengesan isyarat daripada kotak hitam selagi ia masih berfungsi," kata John Goglia, seorang bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS).
Untuk mengesan isyarat tersebut, SAR akan menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.
Ia merupakan sebuah silinder mikrofon sepanjang 30 inci yang ditarik perlahan-lahan dalam paten grid di belakang kapal komersial.
Ia dipasang bersama kabel sepanjang kira-kira 6,500 meter dan dikawal melalui alat pembawa berbentuk tiga segi dan berwarna kuning.
Ia kelihatan seperti ikan pari dan dilengkapi peralatan pengesanan akustik yang juga akan berfungsi mengesan isyarat ping.
Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada tahun 2009 yang membabitkan kos lebih daripada AS$40 juta (kira-kira RM120 juta).
Misi mencari pesawat tersebut memakan masa hampir dua tahun sebelum pesawat dan kotak hitam pesawat itu ditemui.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Towed Pinger Locator yang dibawa dari Amerika Syarikat dijangka tiba hari ini di Perth, Australia.
Beliau berkata, alat itu akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield yang akan berlabuh di Perth pada 28 Mac ini.
"Kapal Ocean Shield itu pula akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat nahas MH370
|
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berhubung tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar).
"Cadangan tersebut akan saya bawa ke pihak yang membuat keputusan. Itu jaminan saya kepada Dewan ini... (tetapi) kalau masih tidak berpuas hati, inilah cara kita melihat ke hadapan.
"Tapi apa yang boleh saya sahkan hari ini (semalam) bahawa audit atau jawatankuasa di peringkat Kementerian (Pengangkutan) diwujudkan, begitu juga di peringkat Tentera Udara Diraja Malaysia.
"Semua ini berjalan serentak dengan operasi mencari dan pemulihan," kata beliau ketika menggulung usul khas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi yang menimpa pesawat tersebut di Dewan Rakyat semalam.
Keluarga diberi visa ke Australia
SEPANG - Ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 hanya akan diberi visa ke Australia selepas terdapat bukti kukuh mengatakan pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi ditemui pasukan penyiasat.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, perjalanan ke Australia hanya akan melibatkan ahli keluarga yang membuat permintaan untuk ke negara itu.
"Australia hanya akan memberi atau mengeluarkan visa kepada ahli keluarga apabila bukti-bukti sahih penerbangan pesawat tersebut yang berakhir di selatan Lautan Hindi berjaya ditemui.
"Seperti kalian, kami juga tidak tahu mengapa dan bagaimana tragedi yang buruk ini berlaku. Tragedi yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan negara membuatkan seluruh warga MAS melalui detik sukar sepanjang 18 hari lalu.
"Saya hadir di sini bukan hanya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif malah sebagai bapa, abang dan anak. Hati saya hiba memikirkan kesengsaraan tidak terkata yang menimpa ahli keluarga penumpang dan anak kapal.
"Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkannya. Setiap warga MAS mendoakan 239 jiwa termasuk 12 anak kapal yang juga rakan kami dalam tragedi yang menimpa pesawat MH370," katanya dalam nada sebak pada sidang akhbar di anjung tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Hampir semua rakyat Malaysia dalam pesawat ada insurans
KUALA LUMPUR - Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata, 47 daripada 50 rakyat Malaysia dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dilaporkan terhempas di Lautan Hindi memiliki polisi insurans.Presiden LIAM, Vincent Kwo berkata, ia meliputi polisi insurans hayat daripada 14 syarikat di negara ini.
Menurutnya, enam penumpang warga asing turut diinsuranskan dengan syarikat anggota LIAM.
"Anggota keluarga atau waris pemegang polisi boleh menghubungi LIAM di 03-2691 6628 atau e-mel ke liaminfo@liam.org.my sekiranya mereka mahu mengetahui syarikat insurans yang melindungi orang kesayangan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, syarikat insurans, AIA Berhad semalam memberi jaminan akan memastikan kelancaran proses tuntutan insurans untuk waris penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.
AIA berkata, memandangkan sebahagian penumpang pesawat itu adalah pemegang polisi AIA, syarikat itu memberi jaminan kepada keluarga mangsa, mereka akan menghubungi waris untuk menyegerakan proses tuntutan polisi insurans hayat dalam tempoh 24 jam.
"Pihak pengurusan dan kakitangan AIA dengan penuh tulus ikhlas mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan MH370," kata AIA.
Anggota keluarga terbabit boleh menghubungi AIA di talian 1300-88-8860/70 atau e-mel ke members@aia.com untuk bantuan lanjut, katanya.
Keluarga harap berlaku keajaiban
|
JITRA - Meskipun pesawat MH370 telah disahkan terhempas di Lautan Hindi, namun anggota keluarga salah seorang penumpang, Jee Jing Hang, 41, masih mengharapkan keajaiban akan berlaku.
Mereka juga belum berputus asa dan menaruh harapan tinggi untuk menemui Jing Hang memandangkan tiada bukti kukuh mengenai penemuan bangkai pesawat atau mangsa yang terlibat sehingga kini.
Abang mangsa, Jee Jing Siong, 42, berkata, keluarganya berharap keajaiban akan berlaku dalam tragedi itu dan sentiasa berdoa untuk keselamatan seluruh mangsa yang berada dalam pesawat terbabit.
"Setiap hari kami menunggu perkembangan baharu berhubung kehilangan MH370 dan pengumuman terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam semalam (kelmarin) menyebabkan seluruh ahli keluarga bersedih, terutama ibu, Tan Gint Gua, 68.
"Bagaimanapun, selagi tiada bukti mengatakan MH370 terhempas, keyakinan kami yang Jing Hang akan pulang masih menebal," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini semalam.
Keluarga MH370bergelut dengan polis
BEIJING - Berpuluh-puluh keluarga penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) bergelut dengan polis di sini semalam selepas mereka menuduh kerajaan Malaysia berbohong berhubung misi pencarian pesawat itu.
Perkembangan tersebut berlaku sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER itu berakhir di selatan Lautan Hindi, lebih 2,000 kilometer dari bandar raya Perth di Australia.
"Kira-kira 20 hingga 30 penunjuk perasaan membaling botol air ke Kedutaan Malaysia di sini dan cuba menyerbu masuk ke dalam bangunan kedutaan," kata beberapa saksi.
Tunjuk perasaan itu berakhir selepas beberapa jam apabila polis mengarahkan mereka supaya bersurai.
Para penunjuk perasaan itu diarah untuk menaiki beberapa buah bas dan beredar dari lokasi tersebut dengan diiringi pihak polis.
Sebelum beredar, saudara-mara penumpang pesawat MH370 itu berarak sambil membawa sepanduk dan melaungkan kata-kata: "Kerajaan Malaysia menipu kami dan Malaysia kembalikanlah saudara-mara kami."
Beberapa orang membawa kain rentang yang meminta kerajaan Malaysia memberitahu maklumat yang benar tentang misi pencarian tersebut.
"Kenapa mereka (kerajaan Malaysia) membuat kami menunggu terlalu lama," kata salah satu kain rentang tersebut.
Pesawat MH370 itu didapati hilang dari dikesan radar pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke sini.
Seramai 227 penumpang dan 12 kru berada di dalam pesawat itu.
Dalam pesawat itu, terdapat 153 penumpang yang merupakan warga China.
Sebuah kumpulan yang dilaporkan mewakili keluarga para penumpang warga China mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan Malaysia.
Mereka menuduh Malaysia cuba melengah-lengahkan berhubung kehilangan MH370 dan menipu mereka.
Kumpulan tersebut menamakan diri mereka sebagai Jawatankuasa Keluarga Penerbangan Malaysia MH370. - Agensi
Presiden China hantar utusan khas
BEIJING - Presiden China, Xi Jinping akan menghantar seorang utusan khas ke Kuala Lumpur untuk berunding dengan kerajaan Malaysia berhubung kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia, lapor agensi berita Xinhua semalam.Jinping akan menghantar Timbalan Menteri Luar, Zhang Yesui bagi menguruskan isu berkaitan dengan pesawat tersebut.
Dalam satu kenyataan berasingan, Perdana Menteri China, Li Keqiang berkata, negaranya akan meminta Malaysia memberi maklumat lebih lanjut dan tepat berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200ER miliknya.
Menurut Keqiang, tugas paling penting pada masa ini adalah untuk mencari pesawat yang hilang itu.
Pada masa yang sama, beliau menyuarakan rasa simpati kepada waris para penumpang warga China yang berada di dalam pesawat tersebut.
Kerajaan China turut menuntut Malaysia menyerahkan data satelit yang digunakan untuk merumuskan bahawa penerbangan MH370 itu terhempas di selatan Lautan Hindi.
- Agensi
Operasi mencari MH370 ditangguh
CANBERRA - Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu ditangguhkan sementara waktu semalam disebabkan cuaca buruk di selatan Lautan Hindi.
Angin kencang dan hujan menyebabkan beberapa buah kapal terbang yang terlibat dalam misi mencari tidak boleh terbang dengan selamat.
Menurut AMSA, pihaknya telah melakukan satu penilaian mengenai risiko pencarian dalam keadaan cuaca buruk.
"Keadaan cuaca sekarang akan menyebabkan aktiviti pencarian udara dan laut berbahaya dan akan mendatangkan risiko kepada anak-anak kapal.
"Justeru, kami telah menangguhkan kesemua pencarian udara dan laut semalam kerana keadaan cuaca buruk," kata AMSA dalam satu kenyataan.
Pesawat berkenaan yang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac lalu.
Ia membawa 239 orang manakala 153 orang merupakan warga China.
Misi mencari pesawat itu dilakukan di kawasan lebih 2,000 kilometer dari Perth, Australia.
Kelmarin, agensi berita Xinhua memetik seorang wartawan yang berada dalam pesawat jenis Ilyushin-76 melaporkan bahawa dua objek besar yang terapung bersama sejumlah objek lebih kecil dilihat bertaburan dalam lingkungan beberapa kilometer.
"Objek-objek tersebut berwarna putih dan berbentuk segi empat," lapor agensi berita Xinhua.
Namun, sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat gagal mengesan objek tersebut. - Agensi
Kekasih penumpang MH370 enggan terima berita kematian
NEW YORK - Seorang teman wanita seorang penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), Phillip Woods menyatakan dia enggan menerima berita kematian kekasihnya, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
"Saya hanya akan menerima realiti Woods sudah tiada apabila bangkai pesawat hilang ini ditemui," kata wanita berkenaan, Sarah Bajc.
"Saya memerlukan sesuatu yang konkrit untuk menutup episod sedih ini (kehilangan MH370)," tambah Bajc yang bekerja sebagai seorang guru perniagaan di China.
Menurut wanita tersebut, Woods menaiki penerbangan menuju ke Beijing itu pada 8 Mac lalu untuk membantunya berpindah.
"Malangnya, misi kami tidak kesampaian," kata Bajc.
"Kini keluarga Woods dan saya memerlukan masa untuk berkabung," tambahnya. - Agensi
Tugas sukar mencari kotak hitam MH370
PARIS - Usaha untuk mendapatkan semula kotak hitam sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang terhempas di selatan Lautan Hindi merupakan satu tugas sukar walaupun dibantu oleh pelbagai peralatan moden dan canggih.Dua kotak hitam tersebut menjadi kunci untuk merungkai misteri mengapa pesawat tersebut tersasar amat jauh dari laluannya dan nasib kapal terbang itu.
Namun, pakar-pakar menyatakan pencarian kotak hitam itu akan mengambil masa yang lama.
Secara teori, kotak hitam itu menyimpan data penerbangan dan rakaman suara kokpit yang berterusan mengeluarkan isyarat untuk tempoh dua minggu lagi.
Isyarat tersebut boleh dikesan pada jarak sekitar tiga kilometer dari lokasi alat tersebut berada.
Namun, tanpa serpihan itu ditemui di kawasan pencarian yang jauh di tengah lautan, usaha bagi mencari kotak hitam itu ibarat mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami.
"Mencari isyarat kotak hitam ibarat bergantung kepada nasib," kata seorang anggota pasukan yang mencari kotak hitam Penerbangan Perancis AF447 yang terhempas ke dalam Lautan Atlantik pada tahun 2009. - AFP
Inmarsat guna kaedah fizik kesan MH370
|
|
LONDON - Firma rangkaian satelit Britain, Inmarsat menggunakan fenomena gelombang yang ditemui pada kurun ke-19 untuk menganalisis tujuh bunyi denyut elektronik atau 'ping' yang diterima satelitnya dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menentukan destinasi akhir pesawat berkenaan di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi.
Penemuan baharu itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merumuskan kelmarin bahawa pesawat Boeing 777-200ER tersebut yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi dengan semua 227 penumpang dan 12 krunya terbunuh.
Kapal terbang itu dilengkapi sistem satelit Aero Klasik yang mengumpulkan maklumat seperti lokasi, ketinggian, arah dan kelajuan sebelum menghantar maklumat tersebut melalui rangkaian satelit Inmarsat ke pangkalan data firma berkenaan.
Sistem satelit itu dikenali sebagai Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS).
Namun, ACARS pesawat MH370 itu dimatikan atau tergendala pada awal penerbangan yang menyebabkan tiada maklumat yang diterima untuk mengesan kapal terbang tersebut.
Pesawat itu didapati masih menghantar bunyi 'ping' pada setiap jam yang diterima satelit Inmarsat.
Sekurang-kurangnya 'ping' itu dihantar lima jam selepas ia meninggalkan ruang udara Malaysia.
Bunyi 'ping' yang dihantar selepas semua sistem telekomunikasi pesawat terhenti menunjukkan kapal terbang Boeing itu terus terbang selama beberapa jam selepas ia hilang selepas melencong dari laluan penerbangannya ketika ia perlu memberitahu menara kawalan Vietnam.
Pesawat dari Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada 8 Mac lalu.
Namun, bunyi 'ping' tersebut tidak mengandungi sebarang data tetapi hanya masa dan frekuensinya terkandung petunjuk-petunjuk matematik yang tersembunyi.
Pakar-pakar Amerika Syarikat dan Australia menggunakan maklumat frekuensi itu untuk memutuskan bahawa pesawat itu hilang di Koridor Selatan iaitu di Lautan Hindi dan bukan di Koridor Utara di Asia Tengah.
Maklumat tersebut turut menunjukkan bahawa pesawat itu bergerak pada ketinggian tetap melebihi 9,000 meter.
"Ia seperti menembak di dalam kegelapan (misi mencari lokasi akhir MH370).
"Saya memuji pasukan saintis yang dapat melakukan pengiraan tersebut," kata Timbalan Presiden Kanan Hal Ehwal Luar Inmarsat, Chris McLaughlin dalam wawancara bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC).
"Hanya satu 'ping' digunakan untuk menyatakan bahawa pesawat itu masih terbang. Kami kemudian membandingkan MH370 dengan penerbangan Boeing 777-200 lain untuk merumuskan bahawa ia menuju ke selatan Lautan Hindi," katanya.
Menurut McLaughlin, berdasarkan masa yang diambil untuk isyarat 'ping' itu sampai ke satelit Inmarsat dan sudut penerbangan MH370, pihak Inmarsat kemudian memberikan dua laluan iaitu berpotensi MH370 iaitu Koridor Utara dan Koridor Selatan.
"Kami menggunakan kesan Doppler yang merupakan perubahan frekuensi disebabkan pergerakan sebuah satelit di orbit (untuk mengesan lokasi MH370)," tambahnya.
"Kami juga tidak mengetahui sama ada pesawat itu terbang pada kelajuan yang konsisten. Kami juga tidak mengetahui sama ada arahnya kemudian berubah," jelasnya.
Justeru, katanya, kami menggunakan kelajuan sistem pengesan penerbangan pandu automatik iaitu pada kira-kira 350 knot.
"Kami menggunakan apa yang kami tahu mengenai minyak dan jarak pesawat itu untuk dipadankan dengan maklumat 'ping' yang kita peroleh," tambahnya.
Saintis-saintis Inmarsat kemudian memeriksa isyarat 'ping' itu menggunakan teknik berdasarkan hukum fizik yang dikenali sebagai Efek Doppler yang ditemui pada kurun ke-19.
Efek Doppler pernah merungkaikan punca bunyi siren kereta polis berubah apabila ia menghampiri dan melintasi seseorang individu.
"Ia mengenai perubahan gelombang frekuensi MH370 dan kaitannya dengan satelit Inmarsat," kata seorang jurucakap firma berkenaan.
"Kami kemudian menganalisis data itu dan mendapati ia melalui laluan selatan," kata ketua komunikasi korporat Inmarsat, Jonathan Sinnatt. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan