• Hishammuddin Tun Hussein Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein (tengah) bercakap pada sidang media MH370 bagi hari ke-18 di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) pada hari ini. - Foto SINAR HARIAN oleh Zulfadhli Zaki
1 / 1
KUALA LUMPUR - Tidak banyak negara mampu menyelaras 26 negara lain bekerjasama dalam mencari pesawat penerbangan MH370, sambil mempamerkan bentuk kerjasama yang tidak pernah berlaku sebelumnya, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
 
"Pemimpin-pemimpin dan pakar-pakar menyatakan kepada saya bahawa kita telah melaksanakan tugas dengan amat terpuji.
 
"Tidak semua negara boleh mendapatkan pesawat canggih dari setiap pelusuk dunia datang dan membantu (misi mencari dan menyelamat)," katanya pada persidangan akhbar harian mengenai MH370 di sini hari ini.
 
Hishammuddin berkata, dalam mencari pesawat yang hilang, dunia menyaksikan kerjasama dari semua sektor masyarakat tidak kira bangsa, agama, sempadan dan warna kulit.
 
"Kita kini bekerja rapat di satu kawasan di Asia Tenggara di mana kita berusaha mengatasi masalah cukup rumit di tengah-tengah laut. Saya rasa itu satu pencapaian besar," kata Hishammuddin.

Beliau menjawab soalan sama ada kritikan media antarabangsa berhubung misi mencari pesawat itu merosak reputasi negara.
 
"Saya tidak nampak ia merosakkan. Memang, sehingga hari ini belum ada kesimpulan, di mana kita belum menemui serpihan atau mengaitkan serpihan dengan

MH370, spekulasi akan berterusan dan orang akan menumpukan perhatian terhadap Malaysia," kata beliau.
 
"Sejarah juga akan menghakimi kita," katanya.
 
Hishammuddin menambah insiden ini adalah sesuatu yang luar biasa dan sukar untuk seluruh dunia, bukan saja untuk Malaysia.  - Bernama