Jumaat, 14 Mac 2014

CUTI KERANA JEREBU

SHAH ALAM: Jabatan Pelajaran Selangor mengarahkan semua 131 sekolah di daerah Klang ditutup serta-merta esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat, hari ini.
  
Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Mahmud Karim ketika dihubungi berkata arahan telah dikeluarkan oleh pihaknya kepada Pejabat Pendidikan Daerah Klang berdasarkan pemantauan paras jerebu di negeri itu.
  
Beliau berkata tempoh penutupan sekolah tersebut akan bergantung kepada tahap bacaan IPU di kawasan itu dan pembukaan semula sekolah di daerah itu akan diumumkan kelak.
  
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU pada pukul 6 petang tadi menunjukkan Pelabuhan Klang merekodkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat.
  
Sementara itu, Kementerian Pendidikan mengingatkan semua pengetua dan guru besar sekolah untuk menutup sesi persekolahan serta-merta, sekiranya berada di dalam kawasan bacaan IPU melebihi 200.
  
Kementerian tersebut dalam kenyataan di sini, hari ini berkata ia selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil 17 tahun 2013 yang perlu dipatuhi sekiranya IPU melebihi bacaan tersebut.
  
Pengetua dan guru sekolah juga diminta memaklumkan penutupan sekolah masing-masing kepada pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.
  
"Bagi kawasan pada bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi dengan fenomena tersebut," katanya.
  
Sekolah yang berada pada kawasan bacaan IPU melebihi 150, hendaklah menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah, katanya.
  
Menurutnya, semua Pengarah Pendidikan negeri telah diminta untuk memaklumkan kepada semua sekolah di negeri masing-masing berhubung perkara tersebut. - Bernama

KUALA LUMPUR: Lawatan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Pasar Kajang, hari ini dikejutkan dengan sapaan bekas pesakitnya yang teruja dapat bertemu pemimpin itu.

Salbiah Bakar, 67, berkata dia tidak menyangka dapat bertemu dengan Wan Azizah yang bertanggungjawab melakukan pembedahan ke atasnya sekitar 1980-an.

Dia yang tiba-tiba menyapa Wan Azizah kelihatan teruja sebelum memeluk pemimpin berkenaan sambil menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR itu pada PRK yang bakal berlangsung pada 23 Mac ini.

“Pertemuan itu sudah berlangsung sangat lama sekitar 1980-an sewaktu saya membuat pembedahan membuang batu karang di Hospital Kuala Lumpur dan ketika itu saya bertugas di Keramat.

“Tidak sangka dapat bertemu beliau lagi kerana saya tinggal di Taman Jasmin dalam kawasan ini (Kajang). Ya, saya akan memberi sokongan kepada beliau dalam PRK nanti,” katanya dipetik Selangor Kini.

Wan Azizah kelihatan gembira dapat bertemu bekas pesakitnya itu dan mereka dilihat berbual mesra selepas disapa Salbiah dalam sesi lawatan berkenaan.
6 Mac 2014
Hari pertama di Jordan banyak masa yang terluang di rumah tumpangan kami. Program bersama mahasiswa dijangka dalam masa dua hari lagi maka kami hanya tertumpu kepada program kunjungan hormat terhadap Duta Malaysia ke Jordan dan bersiar di sekitar bandar Amman.
Pagi ini saya mengambil ruang masa yang ada untuk membuat sedikit persiapan pembentangan 8 Mac 2014 nanti.

PERSIAPAN
Cuaca dalam bilik saya menumpang sejuk dan saya baru nak kebah daripada demam dan batuk yang saya alami sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Amman.
Saya bangun awal kerana mata tidak boleh lelap semalaman walaupun dibekalkan selimut tebal. Sepanjang malam saya asyik batuk dan asma saya pula mula mengeluarkan “wizzing sound”nya.
Setiap kali saya tersedar kedengaran ‘irama suara yang tidak diundang’ dari rakan saya Zolkifly Lazim yang nyenyak menikmati tidurnya.
Waktu Subuh di Jordan pukul 4.30 pagi, saya bangun dalam keadaan tidak sihat dan cuaca yang sejuk untuk menunaikan solat.
Setelah solat Zolkifly kembali ke alam selimutnya dengan irama tidurnya, saya mencapai laptop dan mula membuat persediaan.
Tajuk yang saya akan bentang adalah “Toleransi Agama di Malaysia: Peranan Mahasiswa”. Tajuk tersebut sememangnya tidak asing bagi saya dan saya berasa teruja kerana konsep dan pendekatan damai antara agama yang saya perjuangkan di Malaysia disambut oleh pelajar Malaysia di Jordan.

PERPUSTAKAAN MINI
Sambil membuat persediaan saya terpaksa merujuk kepada hadis-hadis berkaitan dan saya beruntung kerana bilik yang kami tumpang daripada pelajar Malaysia ini memiliki perpustakaan mini dari rujukan-rujukan ilmu Islam.
Adanya kitab Fathul Bari, Subul Assalam, dan Hayatus Sahabah selain buku rujukan lain yang sangat bermanfaat bagi saya.
Hampir semua bilik di sini ada perpustakaan kecil sepertimana kami dahulu semasa belajar di Mesir.
Cuma di Mesir harga buku dulu jauh lebih rendah dari negara Arab lain jadi kami boleh memiliki buku yang lebih banyak.
Saya bergerak-gerak dari meja saya untuk memanaskan badan kerana bilik saya tidak ada pemanas walaupun diluar tidaklah berapa sejuk berbanding dengan di Tehran tempoh hari.

KISAH PEMANDU KAMI
Kunjungan hormat kami terhadap Duta Besar di pejabatnya tertangguh kerana kereta van kami terlambat dan perjalanan ke Amman dari Mafraq tempat saya menginap memakan masa 45 minit untuk sampai.
Pemandu kami pula kurang mahir jalan di bandar Amman. Beliau yang bernama Nawwaf berbangsa Syria. Datang ke Jordan setelah melarikan diri dari peperangan di Syria dua tahun sudah.
Pelajar yang mengiringi kami, Ashraf Hadi terpaksa menggunakan GPS walaupun pernah beberapa kali ke sana. Mungkin jalan di Amman yang mempunyai banyak bulatan menyebabkan kekeliruan.
Pemandu kami cuba berbicara dengan kami menceritakan pengalaman beliau selaku pelarian Syria. Oleh kerana saya dan Ashraf yang boleh berbahasa Arab, saya yang banyak mengambil kesempatan bertanyakan pengalaman beliau sebagai pelarian.
Matanya dalam dan senyumannya agak jarang walaupun dalam mood berjenaka.
Saya tahu trauma sebagai pelarian kerana pengalaman saya di Peshawar sewaktu berkhidmat sebagai sukarelawan PAS semasa perang Amerika ke atas Afghanistan di sana menunjukkan orang pelarian jarang memberikan senyuman. Sesekali dia seolah-olah membawa semua ingatannya ke tempat asalnya walaupun sedang berbicara perkara lain dengan kita.
Begitulah keadaan Nawwaf sambil mulutnya mencerca Basyar dan sekutunya dari Iran dan Hizbullah.
Saya amat memahami perasaannya yang terpaksa lari daripada kesengsaraan dan mendapati kesengsaraan lain di khemah pelarian.
Dia bertugas dengan satu badan kebajikan manakala van kami adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia digunakan untuk membawa pelawat dan untuk keperluan lain oleh pelarian.
Saya tidak banyak komen dalam perbualan malah memberi ruang untuknya meluahkan perasaanya sebagai ‘terapi’ ringkas.
Dia datang dari bandar Homs iaitu tempat yang awal diranapkan oleh Basyar untuk menghapuskan penentangnya.
Dia mengharapkan tentera pembebasan Syria akan menghancurkan regim Basyar kerana sedih dengan pembunuhan, penyembelihan dan kehormatan wanita yang dirobek berleluasa mengiringi kezaliman Basyar.
Saya hanya mendoakan kepadanya kesabaran sambil memberi harapan.

KUNJUNGAN HORMAT
Jam 4.30 petang kami sampai di pejabat kedutaan setelah berpusing beberapa kali mencari bulatan yang tepat ke arah pejabat kedutaan.
Dari jauh berkibar Jalur Gemilang, dan ini memudahkanpelawat untuk mengecam. Setelah menulis dalam buku lawatan, kami dijemput ke bilik menunggu di atas dan beberapa minit kemudian susuk tubuh kecil dengan senyuman menghulurkan tangan mesra sambil bertanya khabar. Beliau ialah Dato' Abdul Malik Abdul Aziz, orang Selangor yang agak senior dalam perkhidmatan diplomatik.
Kami bertukar kad nama sambil mengungkap kata mukadimah para diplomat. Dato’ Duta adalah seorang yang disukai para pelajar Malaysia kerana sifat ramahnya. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terimakasih kepada beliau yang berjaya menjadi ‘ayah’ kepada ‘anak-anaknya’ seramai hampir tiga ribu pelajar di Jordan.
Saya cuba memahamkan beliau bahawa jemputan saya oleh pelajar adalah atas sifat saya sebagai Ahli Parlimen dan bukannya mewakili parti.
Hal ini berlatarbelakangkan sikap pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) yang cuba mengaitkan kedatangan saya sebagai “orang parti politik”. Saya mengisyaratkan kepada Duta bahawa ahli politik berbeza dengan ahli parlimen walaupun untuk menjadi ahli parlimen anda mesti menjadi ahli parti politik tertentu.
Ahli Parlimen diberi kuasa secara berperlembagaan membentuk tiga rangkai pentadbiran negara melengkapkan eksekutif dan kehakiman.
Mesej saya adalah jangan menyempitkan pemikiran pelajar yang kini sudah terbuka mindanya untuk mendengar pandangan dan pendapat dari ahli legaslatif tak kira dari mana parti politik mereka wakili.
Isyarat saya jelas untuk disampaikan kepada pegawai-pegawai di Education Malaysia seluruh dunia bahawa mereka disitu adalah untuk “memudahkan urusan pelajar” bukan menjadi pegawai yang “mengawal politik pelajar”.
Dato’ Duta terkesan dengan perbincangan ini. Saya mengatakan bahawa politik baru yang akan ditampung oleh anak pelajar kita adalah keupayaan kita menguruskan perbezaan pendapat dan bukan menyekatnya.
Kami berpisah setelah hampir sejam berbual untuk ke lapangan terbang menyambut kedatangan Dr Alinor Abdul Kadir pensyarah UKM yang akan turut menjadi pembentang dalam program 8 Mac nanti.

PENYEGARAN MINDA
Kami terus ke tengah bandar (Wasat Balad) untuk mencari beberapa buku kerana sememangnya niat saya kali ini ke Jordan adalah untuk ‘membeli-belah’ buku, tidak seperti lazimnya saya lebih banyak bawa balik buah tangan untuk isteri dan anak-anak jika ke luar negara.
Puas kami berjalan mencari Maktabah Dandis tetapi kedainya tutup. Kami ke Masjid Hussein di mana berdekatan masjid ada kedai-kedai buku agama.
Saya menikmati landangan pelbagai kitab baru dan lama dan tertumpu untuk membeli kitab yang bicara hal ‘ahli dzimmah’ dan seni politik Islam.
Tak banyak yang saya pilih hanya empat buah antaranya Ahkam Ahlu Dzimmah oleh Ibnu Qayyim al Juziah.

TIDUR LENA
Sampai di rumah sudah jam 9.00 malam dan setelah merehatkan diri, kami dikunjungi beberapa pelajar antaranya Huzaifah yang ayahnya merupakan kawan baik saya di Mesir semasa kami pelajar dahulu.
Perbincangan kami berputar soal pengalaman politik dan kehidupan serta yang penting adalah bagaimana ‘membawa’ Islam dalam suasana hari ini yang lebih kompleks.
Saya mengundurkan diri lebih awal kerana waktu sudah lewat. Esok awal pagi kami akan ke beberapa kem pelarian Syria untuk meninjau keadaan.
Keletihan berjalan mencari buku tadi dan saki baki ‘jetlag’ menyebabkan saya terus terlena dalam lipatan selimut dan malam ini lebih baik keadaannya kerana pelajar kita menyediakan ‘heater’ dalam bilik dingin saya ini.
Saya nyenyak dan ‘irama lagu’ tidur  rakan saya tidak lagi menjadi masalah kerana malam itu saya langsung tidak mendengar apa-apa dan saya harap Zolkifly juga tidak mendengar apa-apa ‘irama’ yang tidak diingini daripada saya.
Esok ke kem pelarian...


PENGUMUMAN  Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku calon pilihan raya kecil Kajang pada 11 Mac lalu mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah menepati suasana kemelut ‘Langkah Kajang’ (Kajang Move).

Ia berlaku berikutan Anwar dikira ‘hilang kelayakan’ setelah dijatuhi hukuman 5 tahun penjara atas kes liwat II oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas. Kini Wan Azizah dilihat sebagai penerus agenda Langkah Kajang yang sebelum ini dipikul Anwar.

Sudah tentu senario politik itu amat menarik perhatian ramai pihak, terutama apabila dilihat Langkah Kajang itu sebagai tindakan come back––kembalinya Wan Azizah di pentas pilihan raya kecil.

Ia suatu imbauan sejarah politik, tatkala sebelum ini Wan Azizah yang popular dengan panggilan ‘Kak Wan’ pernah mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008, kira-kira enam tahun dulu.

Pengosongan itu bertujuan memberi laluan kepada Anwar tampil di parlimen selepas tamat tempoh ‘pantang lima tahun’ akibat dipenjarakan. Kini giliran Wan Azizah pula mengisi kekosongan yang dibuat Adun Kajang, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.

Tujuan pengosongan, menurut Lee adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor. Justeru tugas Kak Wan adalah menjayakan misi ini.

Mengimbau senario tahun 1999, Anwar dipenjara atas tuduhan rasuah ketika Dr. Mahathir menduduki kerusi Perdana Menteri. Maka Anwar hilang hak bertanding, dan menyebabkan Wan Azizah bertanding di kerusi Permatang Pauh, kerusi yang sepatutnya Anwar bertanding.

Selama dua penggal (1999-2004 dan 2004-2008) Wan Azizah mewakili kerusi itu. Sehingga pilihan raya umum 8 Mac 2008, Wan Azizah sekali lagi bertanding dan menang. Apa pun kemenangan itu tidaklah lama, terpaksa mengosongkan kerusi parlimen itu bagi memberi laluan untuk Anwar.

Ia difikirkan wajar demi mengembalikan maruah politik Anwar yang kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, dan Anwar memimpin perjalanan menuntut keadilan untuk mencapai Putrajaya pada pilihan raya umum 2013 lalu.

Namun langkah dari Permatang Pauh ke Putrajaya belum tercapai. Lalu langkah itu cuba disambung menerusi agenda Langkah Kajang. Namun Langkah Kajang dikira terganggu ekoran pihak kerajaan BN membawa semula kes Liwat II ke Mahkamah Rayuan.

LONGGOKAN ISU

Ternyata ia suatu gangguan, kerana pada 7 Mac lalu Anwar disabit dengan hukuman lima tahun penjara dan bayaran jaminan RM10,000. Kini beliau didorong pula untuk berdepan dengan proses Mahkamah Persekutuan yang belum pasti bila kesudahannya.

Apa yang pasti rancangan Langkah Kajang tidak lagi untuk Anwar. Proses pilihan raya kecil sedang berjalan, pengundian bakal berlaku pada 23 Mac. Begitu pun, di sana berlonggok-longgok isu yang harus dikobarkan untuk rakyat menilai, agar kesinambungan dominasi kerusi Kajang pasti memenangkan Pakatan Rakyat.

Antara isu utama adalah isu-isu defensif pihak BN ekoran tekanan ekonomi dan sosial yang gagal diurus oleh kerajaan BN menyebabkan kos hidup meningkat ekoran kenaikan harga barang yang tidak terkawal, dan juga pemulihan imej MCA (parti yang bertanding) selepas dipimpin oleh kepimpinan baru.

Namun isu paling penting adalah isu proses keadilan terhadap Anwar (kes liwat II) dilihat bergelumang dengan konspirasi politik, dan apa yang tersirat di sebalik agenda Langkah Kajang sendiri––rakyat  ingin tahu penyelesaian isu-isu pentadbiran negeri Selangor yang sebelum ini dimomokkan dengan persoalan ‘perbalahan’ sesama sendiri.

Maka kesempatan kempen pilihan raya kecil adalah perlu dimanfaatkan bagi menerangkan kemajuan penyelesaian, termasuk isu MoU air Selangor dengan Pusat, pertikaian dalam PKNS dan peranan untuk Wan Azizah sendiri dalam kerajaan Selangor jika menang nanti.

Meskipun di sebalik Langkah Kajang itu pelbagai isu bakal dibangkitkan untuk menarik pengundi, apa yang penting kini, seluruh tenaga Pakatan Rakyat dan waktunya harus ditumpukan bagi memenangkan Dr Wan Azizah.

Kemenangan amat bermakna dalam memastikan segala-gala kebobrokan politik kerajaan BN hari ini harus ditolak oleh majoriti rakyat. Jadikan keputusan daripada  pilihan raya kecil Kajang ini sebagai tanda aras amaran rakyat, menerima atau menolak Langkah Kajang.

Sekaligus ia menatijahkan pengiktirafan rakyat kepada Wan Azizah, penerus Langkah Kajang selaku ikon kepimpinan yang amat tabah dan begitu teruji dalam menghadapi segala macam cabaran perjuangan.

Semoga pengundi Kajang sedia melangkah bersama-sama kepayahan rakyat dengan menolak BN  pada 23 Mac nanti.
__________________
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
KUANTAN: Suatu memorandum telah dihantar ke Pejabat Pendidikan Negeri Pahang di Kuanta atas pertukaran tiga orang guru termasuk Cikgu Mohd Norizzat Mohd Johari, Pengerusi SGMM. Memorandum tersebut dihantar oleh Normala Sudirman, Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan, semalam.

Pertukaran Cikgu Mohd Nor Izzat dipercayai kerana kelantangan beliau menyuarakan pandangan dalam Sistem Aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)  dan bukannya arahan perpindahan atas keperluan perkhidmatan.

"Saya ingin menegaskan bahawa arahan pertukaran ini bertentangan dengan matlamat pendemokrasian pendidikan di Malaysia terhadap warga pendidik dalam mengangkat martabat profesionalisme perguruan dalam persada pendidikan negara," ujar Normala Sudirman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala.

Memorandum telah diterima oleh Rashidah Mohd. Arif, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang. Pada awalnya Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Rosdi Ismail telah bersetuju menerima memorandum ini dalam satu temujanji yang dibuat sehari awal sebelum kunjungan dibuat, tetapi akhirnya terpaksa bergegas ke suatu mensyuarat lain 15 minit sebelum masa yabg dijanjikan.

Turut bersama dalam penyerahan memorandum tersebut adalah Mohd Zai Mustafa, Ketua Eksekutif Majlis Kebajikan Dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MAKPEN).

Cikgu Mala juga melahirkan kesal dan dukacita atas tindakan KPM menukarkan guru secara tergesa-gesa dan tanpa sebab yang kukuh sejak sekian lama. Minda dan jiwa warga pendidik  yang banyak berjasa cuba dikongkong dengan 'penindasan'  penjajahan alaf baru sejak 57 tahun kita merdeka.
Negara dilanda dua musibah dalam masa 24 jam dari petang Jumaat 7 Mac hingga pagi Sabtu 8 Mac lalu.
  
Kata saya pada kedua-dua musibah itu, ‘Inna lillah wainna ilaihirojiun.’
  
Yang pertama, musibah yang menimpa rakyat khususnya di Kajang dan Selangor ia berita Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah rayuan.
   
Bagi Anwar ia adalah ulangan ujian kali ketiga dipenjara. Bagi sesetengah orang mukmin, penjara bukan celaka baginya, bahkan ia penuh hikmah buatnya seperti yang dilalui oleh Nabi Yusuf AS dan ulama muktabar. Hamka menamatkan Tafsir al-Azhar dalam penjara. Sayyid Qutb menghazilkan tafsirnya yang masyhur semasa tahanan.
  
Ternyata nama Sayyid Qutb dijunjung melangit lama dan selama-lama selepas matinya tetapi  regim yang memenjaranya busuk melentung zaman berzaman.
  
Bukan mustahil wangian kasturi memancar dari bilik penjara Anwar ke awan dan ke udara, tetapi yang menghantarnya merengkok pekung tak terhidu di mana saja ia berada.
  
Paling meratap ialah warga Selangor yang hilang peluang untuk mendapat pimpinan cemerlang secara langsung daripadanya. Musibah yang menimpanya satu tragedi buat bangsa Malaysia sekurang-kurangnya untuk tempoh dia  dipenjarakan.
   
Usaha rakyat untuk menjadikannya Perdana Menteri dalam PRU akan datang seperti tersekat kecuali mahkamah membuat keputusan yang lain.
   
Bukan dia yang hendak jadi Perdana Menteri tetapi rakyat yang hendak menjadikannya Perdana Menteri. Tiada mungkin dia jadi Perdana Menteri sekadar cita-citanya sedang rakyat tidak mahu.
  
Pencita keadilan dan kebenaran tidak ghairah sangat dia hendak jadi Perdana Menteri semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi mereka mahu sangat dia jadi Perdana Menteri selepas itu. Ia masih tersekat, tetapi rakyat jangan putus asa. Jalannya ke situ belum putus selagi ajalnya belum tiba.
   
Musibah bagi semua kerana pembelaan dan perubahan tertangguh oleh penjara yang ada di tengah jalan di antara Bangunan Parlimen ke Putrajaya.
   
Sedang bulan dan matahari bagaikan gerhana oleh musibah itu datang pula musibah yang kedua tragedi sebuah pesawat MAS yang hendak ke Beijing hilang dari udara. Sukar memungkinkan ia dan muatan 239 orang itu terselamat kecuali ia ke ruang  angkasa lepas, ia mungkin boleh turun semula ke orbit bumi. Tetapi ia tidak ke angkasa lepas tetapi ia hilang sama ada di permukaan bumi atau  di dasar laut yang terbentang.
   
Malam sebelum ia terbang saya mengikuti stesyen TV CNN, BBC dan Al-Jazeera membincangkan musibah negara atas yang menimpa Anwar Ibrahim. Siang esoknya, siang malam stesyen TV yang sama membincangkan musibah kedua negara itu.
   
Kedua-duanya diratapi oleh dunia media dunia. Rangka pesawat mungkin boleh ditemui tetapi muatannya yang hilang tidak mungkin boleh dikembalikan. Tiada yang  dapat  dinyatakan selain dari kalungan takziah untuk semua – negara, rakyat dan keluarga mangsa.
  
Kekuasaan Allah. Dibawa-Nya pejumpang dari serata dunia ke Kuala Lumpur. Bersama mereka masuk ke perut pesawat yang sama untuk  sama-sama hilang di angkasa raya.
  
Tetapi Anwar masih boleh balik. Dia cuma dipinjamkan sementara ke penjara. Jarang ada pemimpin negara merdeka dan demokrasi dipenjara berkali-kali selain daripadanya. Lainlah pada zaman penjajah dulu.
Dalam dunia politik Malaysia, hanya terdapat dua pemimpin yang wataknya serta isterinya sering menjadi perbualan ramai iaitu Perdana Menteri, Najib Razak dengan isterinya, Rosmah Mansor dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Rosmah hanyalah seorang isteri dan suri rumah tetapi sering membayangi penampilan suaminya manakala Wan Azizah adalah Presiden PKR tetapi sentiasa mengalah dengan penampilan suaminya yang merupakan Ketua Umum PKR serta Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Sebelum Anwar dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998, Wan Azizah hanyalah seorang suri rumah yang barangkali tidak pernah terfikir untuk melibatkan diri dalam dunia politik sehingga sejauh ini. Beliau ketika itu hanyalah seorang peneman kepada suaminya di majlis-majlis rasmi dan lebih banyak tersenyum dari berkata-kata.

Wataknya sebagai isteri seorang pemimpin yang sentiasa menyokong perjalanan karier suaminya tidak banyak beza dengan penampilan yang ditonjolkan oleh Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada Mahathir Mohamad. Beliau hanya menonjolkan dirinya setelah suaminya dipenjarakan.

Hanya setelah Anwar dipenjarakan dan terlihat keperluan untuk beliau menggalas perjuangan reformasi yang diasaskan oleh suaminya, Wan Azizah kemudian terlibat secara langsung dan sepenuh masa dalam politik melalui PKR yang ditubuhkannya bersama pengikut-pengikut Anwar yang meninggalkan UMNO.

Beliau menjadi Presiden PKR sejak parti itu ditubuhkan dan berpeluang menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh serta Ketua Pembangkang di Parlimen.

Kali ini, setelah melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 2011 untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding semula di kawasan itu dan lebih banyak menyerahkan kerja-kerja politik untuk digalas oleh Anwar, Wan Azizah kembali semula bertanding di Dun Kajang berikutan Anwar yang berhasrat bertanding di situ dihalang oleh keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapatinya bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan dan dihukum penjara selama lima tahun.

Dengan bertanding di Kajang, sekali lagi Wan Azizah menunjukkan ketaatannya sebagai seorang isteri dan pejuang reformasi yang masih belum selesai.

Jika tidak kerana Anwar dihalang daripada bertanding, Wan Azizah bukan saja akan mengundurkan diri sebagai Presiden PKR pada pemilihan Mei ini, bahkan lebih selesa mengharungi sisa-sisa usianya sebagai suri rumah sahaja. Walaupun masih kekal untuk memberi laluan kepada Anwar pula menerajui PKR, Wan Azizah yang kini sibuk berkempen sedang ditunggu dengan tugas baru sebagai Adun Kajang pula.

Berbeza pula dengan Rosmah Mansor, beliau berkahwin dengan Najib ketika anak Tun Razak itu sudah menjadi menteri. Ketika Najib menjadi menteri pula, kelibat Rosmah jarang kelihatan walaupun ada juga sesekali beliau muncul menemani suaminya di beberapa majlis rasmi. Hanya ketika Najib mengadakan jamuan bertemu penyokong-penyokongnya di kediaman mereka, barulah selalu wajah Rosmah yang mesra dan suka bergaul kerap kelihatan.

Tetapi setelah Najib menjadi Perdana Menteri, penonjolan Rosmah agak luar biasa. Di akhbar dan tv, wajah dan beritanya kerap muncul. Beliau juga mengasaskan Permata yang membolehkannya mendapat peruntukan khas beratus juta daripada kerajaan dan kerap mempromosikan program pendidikan untuk kanak-kanak itu di dalam dan luar negara.

Rosmah juga lebih selesa dengan gelaran First Lady berbanding gelaran biasa isteri Perdana Menteri dan mengadakan Persidangan Wanita-Wanita Pertama Sedunia untuk membiasakan masyarakat dunia dengan gelaran barunya itu. Beliau juga kerap hadir ke pelbagai persidangan peringkat antarabangsa dengan membawa gelaran First Lady serta menggunakan kemudahan jet kerajaan.

Dalam masa yang sama, beliau juga menjadi satu-satunya isteri Perdana Menteri yang pernah turun berkempen secara langsung membantu UMNO dan BN dalam pilihanraya. Jika ketika Najib sekadar menteri biasa, kekerapan Rosmah menemani suaminya tidak sekerap mana, tetapi setelah bergelar Perdana Menteri pula beliau jarang membiarkan Najib muncul keseorangan.

Rosmah akhirnya berjaya membentuk persepsi sebagai wanita yang berkuasa. Bukan saja pemimpin UMNO kerap memuji dan menjemputnya untuk merasmikan pelbagai acara, Najib sendiri memuji Rosmah dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tentang peranan yang pernah dimainkannya untuk kepentingan negara. Mereka yang mencium tangannya juga ramai, walaupun sesetengahnya lebih berusia daripadanya.

Lalu melekatlah tanggapan bahawa beliau benar-benar berkuasa dalam negara ini, meskipun hakikatnya Rosmah hanyalah seorang suri rumah sahaja.

Apabila Wan Azizah bertanding semula di Kajang, beliau lalu dikatakan menghidupkan semula amalan nepotisme. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin malah melabelnya sebagai boneka kepada Anwar yang tidak seharusnya diberikan rasa simpati oleh pengundi Dun Kajang pada 23 Mac ini.

Jika benar pun ini merupakan sebahagian daripada nepotisme tetapi haruslah disedari bahawa kemunculan Wan Azizah dalam dunia politik tidak sesekali melalui permaidani merah seperti mana ahli keluarga pemimpin UMNO yang lain. Laluannya penuh dengan darah, air mata dah kerikil-kerikil tajam. Hanya kerana hasrat Anwar bertanding di Kajang "dikejangkan" melalui keputusan Mahkamah Rayuan, maka muncullah Wan Azizah sebagai pengganti.

Jika Anwar tidak dipecat oleh Mahathir, beliau mungkin akan kekal dengan peranannya sebagai suri rumah, peneman dan pendukung di belakang tabir kerjaya suaminya. Begitu juga jika KajangMove ini tidak dihalang melalui keputusan mahkamah, Wan Azizah tentunya lebih selesa berada di rumah.

Hanya atas nama perjuangan, meneruskan reformasi dan keinginan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dan negara, maka tercatatlah nama Wan Azizah sebagai salah seorang pejuang politik yang tidak pernah pun terfikir untuk diceburinya suatu ketika dahulu.

Jika KJ mengatakan Wan Azizah hanyalah boneka kepada Anwar tetapi yang membanggakan kita ialah beliau tidak pernah "membonekakan" kedudukan dan jawatan suaminya seperti mana wanita yang seorang lagi itu. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: