Rabu, 26 Mac 2014

JANGAN KITA TERPERANGKAP DENGAN JERAT IBLIS/SYAITAN



KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pihak Kedutaan Mesir sebagai angkuh apabila enggan menerima kunjungan secara baik beberapa ahli parlimen mereka ke bangunan kedutaan itu hari ini.

Kunjungan jam 11.30 pagi tadi itu disertai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Nasrudin Hassan (Temerloh) dan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas).

Ianya bagi menyatakan rasa kecewa PAS terhadap keputusan mahkamah Minya yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya Dr Mohamad Badie.

Kedatangan mereka bagaimanapun tidak dilayan malah pihak kedutaan hanya menghantar pengawal keselamatan untuk menerima memorandum yang diserah di pagar.

"Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bentuk sikap regim di Mesir.

"Ini indikator yang kita dapat lihat," kata Idris pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas hukuman mati yang disifatkan bermotif politik itu, beliau berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku di zaman moden ini lebih-lebih lagi dengan jumlah besar sedemikian.

Sementara itu, Nasrudin pula menjelaskan, hukuman yang dikenakan kepada pepimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin tersebut sebagai episod malang dalam sejarah Mesir.

"Ini lebih kejam dari regim Hosni Mubarak.

"Kalau kita bersedih dengan MH370 melibatkan 239 hilang, (529) ini jumlah yang lebih besar.

"Ini perlu dilihat isu bersama, isu kemanusiaan dan keadilan," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat prihatin untuk menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir, Jumaat ini.
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan himpunan solidariti umat Islam membantah kekejaman pemerintahan rejim Abdul Fattah As Sisi yang telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwan Dr Mohammad Badie serta 529 anggota Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Himpunan aman ini akan berlangsung selepas solat Jumaat, 28 Mac ini bertempat di hadapan Kedutaan Mesir, Jalan Ampang dekat sini.
Sehubungan itu, para peserta himpunan diminta bersolat Jumaat di Surau Nurul Hikmah, Hotel De Palma, Ampang (dan bukannya di Masjid Tabung Haji) sebelum berarak ke kedutaan Mesir selepas solat Jumaat.

“Himpunan ini akan dihadiri bersama pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, tokoh tempatan dan antarabangsa. Umat Islam seluruh dunia akan turut sama berarak dan berhimpun di negara masing-masing pada hari Jumaat ini dengan tujuan yang sama,” ujar Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Beliau mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya agar hadir beramai-ramai bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim regim kudeta Mesir.
“Rakyat Mesir yang bangkit membela pemerintahan yang digulingkan secara kudeta, Dr Mohammad Morsi dibantai dan dibunuh sesuka hati. Mereka yang ditangkap pula ada yang diseksa, dan sebilangan mereka pula terpenjara dan ada yang dihukum mati seperti 529 orang Ikhwan Muslimin ini.
“Tidak mungkin umat Islam yang mengaku bersaudara akan duduk diam membiarkan kezaliman bermaharajalela di bumi para Anbiya’ itu tanpa tekanan, bantahan mahupun kecaman,” tegas beliau.
Suhaizan menggalakkan para peserta himpunan supaya membawa poster dan sepanduk yang membawa mesej mengecam dan mengutuk kezaliman Abdul Fattah As Sisi serta mendesak pembebasan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin dan kesemua mereka yang dizalimi regim tentera Mesir.
“ Apa yang diharapkan adalah pemimpin negara Islam lainnya juga akan turut sama bangkit membantah dan mengutuk keputusan mahkamah ini supaya rejim As Sisi tunduk kepada tekanan antarabangsa.
“Pemuda PAS juga mendesak kerajaan Malaysia segera bertindak tegas dalam memberi tekanan kepada Mesir untuk menghentikan kezaliman ke atas rakyatnya sendiri,” katanya.

Kedutaan Mesir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
KULIM: Bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataan berunsur anti-hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim di sini tengah hari tadi.
  
Kassim ditahan sepasukan 10 pegawai penguat kuasa Jakim yang diketuai pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Anuar Salehuddin Mat Saad, dengan bantuan polis dan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Kulim pukul 12.30 tengah hari.
  
Di Kuala Lumpur, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Kassim.
  
Katanya Kassim akan didakwa di Mahkamah Syariah Putrajaya esok atas dua kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.
  
Beliau berkata dua kesalahan itu ialah menghina agama Islam dan melanggar fatwa.
  
"Kesalahan pertama, Dr Kassim akan didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Jenayah Syariah kerana menghina Agama Islam.
  
"Kesalahan kedua mengikut Seksyen 9 akta yang sama kerana melanggar fatwa ataupun arahan pihak berkuasa agama," katanya.
  
Kassim mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng dan menyamakan sistem ulama dengan kasta paderi dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian pada 15 dan 16 Februari di Putrajaya baru-baru ini.
  
Pada seminar itu, Kassim dilaporkan turut menyinggung perasaan umat Islam apabila mendakwa masyarakat kini melakukan beberapa kesalahan seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan ungkapan syahadah serta menyatakan bahawa rambut bukanlah aurat bagi wanita. - Bernama
MASYARAKAT yang prihatin dan bijak mempunyai peranan yang cukup besar untuk dimainkan bagi mengatasi masalah salah guna dadah. Musibah yang melanda baru-baru ini seharusnya menjadi titik tolak bagi penerusan usaha menggembleng idea dan tenaga bagi memastikan anak muda hari ini bebas dadah.

Perkara paling menyedihkan yang boleh berlaku adalah seandainya musibah tersebut tidak diteladani dengan berhikmah, lantas kekal sekadar coretan dalam lipatan sejarah.

Amphetamine dikelaskan di dalam kumpulan Amphetamine Type Stimulant (ATS) bersama metamphetamine serta ectasy yang mencatatkan peningkatan salah guna paling pantas di seluruh dunia menjadikan ia dadah merbahaya paling banyak disalahguna selepas ganja.

Datang kepada anak muda dalam pelbagai jenama dan bentuk serta warna, amphetamine lebih mesra dengan panggilan pil kuda, buah, butir, ubat kuat, turbo, syabu/syasya, ICE dan sebagainya.

Dihasilkan untuk pasaran gelap, perlu disedari bahawa pada kebiasaannya dadah tersebut tidak mengandungi satu bahan sahaja. Dadah yang disalahguna mungkin mengandungi unsur kimia lain menjadikan ketagihan lebih sukar untuk ditangani serta boleh membawa kemudaratan yang serius kepada kesihatan dan nyawa.

Di Amerika Syarikat, dua daripada setiap 100 rakyatnya pernah menggunakan amphetamine sehinggakan penyalahgunaan amphetamine pernah di isytihar sebagai wabak pada tahun 2000.

Di Malaysia, ia menduduki tempat ketiga dari segi penyalahgunaan dadah selepas opiat (heroin dan morfin) dan ganja.

Sejak 2010, statistik daripada Agenti Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebenarnya menunjukkan penurunan bilangan penagihan dadah. Tahun 2013 menyaksikan secara puratanya 655 penagih dikesan setiap bulan di mana 1 daripada 3 penagih tersebut adalah penagih ulangan.

Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama penyalahgunaan dadah di samping perasaan ingin tahu dan untuk tujuan keseronokan.

Laporan AADK juga menyebut kepentingan faktor sosioekonomi apabila kebanyakan penagih dadah adalah dari kalangan buruh am dengan tahap akademik sekurang-sekurangnya menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).


Amphetamine dan ketagihan

Setiap penagih dadah tidak pernah memilih untuk menagih. Akan tetapi apa yang berlaku adalah ketagihan telah menewaskan mereka. Amphetamine bersifat psychoactive yakni ia berupaya mengubah fungsi normal otak menyebabkan berlakunya perubahan tingkah laku, emosi dan tahap kesedaran.

Secara mudahnya, fungsi otak yang normal melibatkan keseimbangan di antara bahagian otak hadapan (frontal cortex) dan system limbic. Bahagian otak hadapan memainkan peranan untuk membuat keputusan secara objektif dan rasional. Manakala, system limbic pula berperanan untuk memberikan motivasi dan tindak balas emosi kepada manusia.

Dalam konteks kehidupan seharian, system limbic akan sentiasa membekalkan naluri keinginan kepada manusia untuk mencapai kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan dalam kehidupan. Manakala, bahagian otak hadapan pula akan bekerja keras merancang dan mecari ruang dan peluang bagi mencapai matlamat tersebut. Namun, masalah timbul apabila wujud jalan pintas iaitu dengan mengambil dadah psychoactive.

Pertama kali, penyalahgunaan dadah seperti amphetamine ini akan merangsang system limbic menjadikan seseorang itu berasa tenang, bertenaga, fokus, tidak mengantuk dan seolah bersedia untuk menyertai pertandingan mendaki Gunung Kinabalu.

Natijahnya adalah apabila kesan daripada dadah tersebut telah tiada dan masalah dunia kembali menghantui, system limbic akan tercari-cari rangsangan yang sama menjadikan realiti kehidupan seolah ilusi kepada mereka. Dalam erti kata lain, hubungan sesama manusia, pekerjaan, serta apa sahaja unsur yang sebelum ini membawa erti kepada kehidupan mereka, sudah tidak bermakna lagi.

Oleh itu, system limbic akan mengatasi bahagian otak hadapan untuk mendapatkan pil amphetamine yang kedua dengan harapan ini merupakan kali terakhir. Akan tetapi malangnya bermulalah episod baru dalam diari seorang penagih dadah.


Ketagihan adalah penyakit kronik

Salah satu konsep yang perlu difahami adalah ketagihan adalah satu penyakit otak yang kronik di mana rawatan adalah bersifat jangka masa panjang, memerlukan penjagaan yang rapi serta lebih mementingkan sokongan sekeliling dan kawalan kendiri, kerana untuk pulih sepenuhnya adalah amat sukar.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan amphetamine di mana setakat ini belum ada ubatan yang boleh mengawalnya sebagaimana Methadone digunakan bagi mengawal ketagihan morfin atau heroin.

Ketagihan yang berpanjangan merosakkan fungsi otak kerana penagih akan memerlukan kuantiti dadah yang lebih banyak untuk mencapai rangsangan ataupun dengan dos yang sama, penagih mendapat rangsangan yang berlebihan.

Kajian menunjukkan setiap manusia mempunyai tahap ketagihan yang berbeza bergantung kepada faktor seperti keturunan, sosioekonomi dan pengalaman lampau. Faktor usia juga penting, semakin awal otak didedahkan kepada dadah seperti amphetamine, kesan kepada otak yang sedang berkembang semakin teruk dan sukar untuk kembali pulih.

Sebagai penyakit kronik, ketagihan akan menyebabkan kesan kepada emosi dan fizikal manusia.

Dari segi fizikal, ketagihan amphetamine akan menyebabkan kurang selera makan, kurang berat badan, kerosakan otak, masalah seks dan kesan kepada jantung seperti tekanan darah tinggi dan kecelaruan denyutan jantung.

Dari segi emosi pula, didapati ketagihan amphetamine akan menyebabkan kegilaan (psychosis) dan halusinasi, tekanan perasaan, masalah pergerakan tubuh badan serta keganasan.

Implikasinya adalah penagih dadah sukar untuk menyesuaikan diri di dalam masyarakat dan ini seterusnya menjadi antara punca pengambilan dadah berlebihan (overdose) yang boleh membawa maut.


Kenalpasti salah guna Amphetamine

Disebabkan kesannya yang serius serta ketiadaan ubat untuk mengawalnya, pengesanan salah guna amphetamine pada peringkat awal adalah amat penting untuk mencegah ketagihan.

Setiap ahli masyarakat mempunyai peranan untuk membantu ahli keluarga atau sahabat handai yang memerlukan pertolongan. Salah guna berlaku apabila seseorang itu mengambil dadah sehingga menyebabkan mereka gagal untuk melunaskan tanggung jawab harian seperti ponteng sekolah atau kerja.

Seandainya mereka dapat hadir ke sekolah atau tempat kerja sekalipun, mereka tidak dapat fokus kepada tugasan yang diberikan atau wujud kelakuan yang di luar pada kebiasaannya.

Seterusnya, individu yang menyalahgunakan dadah akan menggunakan dadah tersebut secara berulang-ulang termasuklah dalam keadaan yang boleh membahayakan fizikal mereka. Contohnya, menggunakan dadah sewaktu memandu kenderaan.

Juga, salah guna dadah tetap akan menjadi pilihan mereka walaupun perlakuan tersebut telah mengundang pelbagai masalah dengan pihak berkuasa mahupun orang di sekeliling mereka.

Dari segi fizikal pula, selain kesan kepada otak yang disebutkan di atas, salah guna amphetamine juga boleh menyebabkan masalah pada gigi, berpeluh, kegatalan pada kulit, loya, muntah dan cirit-birit.


Penutup

Sebagai kesimpulannya, konsep salah guna dan ketagihan dadah bukanlah suatu yang sukar untuk difahami tetapi cabaran utama adalah untuk menyebarkan dan memaknai kefahaman tersebut.

Walaupun mereka yang terlibat sering kali dilihat sebagai pemangsa, menimbulkan pelbagai masalah pada mata masyarakat. Namun, perlu disedari bahawa penagih dadah sebenarnya adalah mangsa yang memerlukan segenap bantuan yang ada.

Maka, di sinilah ahli masyarakat mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan. Setiap kita, atas apa kapasiti sekalipun, perlu berusaha mencari jalan bagi memastikan permasalahan ketagihan dadah ini tinggal sejarah.

Sebagai permulaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bersedia untuk dihubungi pada bila-bila masa.

Diharapkan masyarakat juga melalui pertubuhan bukan kerajaan dan rukun tetangga menghulurkan tangan. Ini adalah tanggungjawab semua.

Kita pastinya tidak mahu menunggu sehingga darah daging kita sendiri terlibat untuk bertindak.

______________________

Rujukan:
 1.  Brian R McAvoy. Metamphetamine- What primary care practitioners need to know? Volume 1, September 2009, Journal of Primary Health Care
 2. Barr AM, Panenka WJ, MacEwan GW, et al. The need for speed: an update on methamphetamine addiction. J Psychiatry Neurosci 2006; 31:301.
 3. Hart CL, Gunderson EW, Perez A, et al. Acute physiological and behavioral effects of intranasal methamphetamine in humans. Neuropsychopharmacology 2008; 33:1847.
 4. Agensi AntiDadah Kebangsaan. Laporan Dadah Bulan Disember 2013.  http://www.adk.gov.my/web/guest/laporan-dadah-2013
SUKAN adalah antara medium terpenting dalam kehidupan. Minda yang cerdas berteraskan badan yang cergas.  Islam sendiri menuntut dan tidak menghalang aktiviti ini jika diamalkan selagi berteraskan syariat.
Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh menggalakkan umatnya untuk bersukan. Antara sukan yang disarankan baginda adalah memanah, bergusti dan berkuda.
Pada masa kini apabila dikaitkan negara Islam dan sukan, mungkin tidak sehebat negara-negara Eropah yang memonopoli aktiviti ini baik di peringkat benua hingga antarabangsa. Tidak kita nafikan bersukan juga merupakan jalan untuk memperkenalkan Islam ke seantero dunia, malah sebagai kaedah berdakwah.
Keutuhan dan kesungguhan atlet beragama Islam bertanding membuktikan mereka setaraf dengan atlet antarabangsa yang lain diserikan lagi dengan kelengkapan beronakan Islam dengan menutup aurat, memberi contoh dan pandangan terbaik terhadap Islam dan keanjalan syariatnya.
Begitulah penakrifan tentang indahnya bersukan dalam syariat Islam, biarpun banyak isu yang dibangkitkan tentang pakaian yang menutup aurat ini tetapi atlet muslim dan muslimah tetap kukuh dengan pendirian mereka.
Sukan Olimpik dan Sukan Asia merupakan pentas antarabangsa yang dihiasi beribu atlet dari pelbagai negara yang bertanding termasuk negara-negara Islam. Sukan Asia Doha 2006, pentas di mana Roqaya Al Ghasara membuka perhatian seluruh dunia, tatkala siaran lansung acara lari 200 meter melihatkan seorang atlet muslimah memenanginya dengan penuh bergaya menewaskan atlet lain.
Perhatian terhadap pelari Muslimah ini kerana pakaiannya yang berjilbab dan menutup aurat. Pelari muslimah dari Bahrain ini turut memenangi pingat gangsa acara pecut 100 meter, kebanggaan buat seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Beliau bukan sahaja menyangkal pendapat memakai pakaian menutup aurat akan menggugat kepantasan dan keselesaan atlet malah memberi gaya yang lebih sesuai dengan pakaian sukan (sports wear) yang menutup aurat untuk dijadikan contoh atlet beragama Islam yang lain.

Roqaya Al Ghasara role model atlet Islam sedunia, hebat di trek sehebat pendiriannya.

Atlet negara kita juga mempamerkan contoh yang tersendiri. Nor Suryani Mohd Taibi dan rakan sepasukannya Nur Ayuni berjaya memenangi pingat emas di Sukan Komanwel pada 2010. Kedua atlet negara ini mengenakan pakaian yang mengikut syariat Islam dan berjilbab. Secara tidak langsung ia memberi inspirasi kepada atlet muslim negara lain.
Pemakaian atlet yang mengikut syariat Islam banyak memberi pengaruh dan pandangan positif terhadap Islam. Keanjalan syariat Islam dan kepatuhan penganutnya memberi motivasi kepada atlet muslim untuk mempromosi nilai murni Islam itu sendiri ke seluruh masyarakat dunia untuk mengenali keindahan Islam.
Faktor kemenangan atau kekalahan bukan bergantung kepada pemakaian, tetapi kesungguhan yang dironakan lagi dengan berpandukan syariat Islam. Insyaallah akan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Nur Ayuni atlet air rifle negara membuka perhatian atlet negara tentang kepentingan menutup aurat.
Iran adalah salah satu negara Islam yang bertanding di sukan peringkat antarabangsa. Atlet muslimahnya mengenakan jilbab ketika bertanding. Ia memberi gambaran jelas bahawa penutupan aurat oleh para atlet diuruskan dengan sempurna olen badan atau pertubuhan sukan negara mereka.
Tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan mengikuti jejak langkah tersebut. Presiden Iran sendiri mengkritik dasar atau peraturan etika pemakaian yang digariskan oleh persatuan bola sepak dunia atau FIFA yang menghalang penyertaan pasukan bolasepak wanita Iran atas alasan berjilbab dan melanggar etika pemakaian.
FIFA juga merupakan badan sukan dunia yang menunjukkan bantahan terhadap pemakaian atlet di sukan Olimpik.
Atlet Iran yang berjaya melakar nama di pentas dunia ialah Khadijeh Azadpour. Atlet muslimah ini memenangi pingat emas di kejohanan Sukan Asia di 2010.
Beliau yang mengungguli sukan wushu ketika mengulas kemenangannya mendedahkan cita-cita beliau untuk menjadi wanita Iran pertama memenangi pingat emas dunia dalam acara olahraga tersebut. Beliau merupakan salah seorang daripada atlet muslimah yang wajar menjadi contoh dan ikutan kepada atlet muslim seluruh dunia.
Khadijeh Azadpour, atlet Iran yang menjuarai acara wushu di Sukan Asia 2010

Tiada ulasan: