Posted on Saturday, March 15 @ 17:13:51 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
NEW DELHI - Tentera Laut India semalam memberitahu, pihaknya telah menggandakan jumlah kapal dan pesawat yang dihantar ke Laut Andaman bagi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Jurucakap Tentera Laut India, sebanyak enam kapal dan lima pesawat kini berada di kawasan itu bagi mencari sebarang tanda pesawat itu di Laut Andaman yang mengelilingi Kepulauan Andaman serta Kepulauan Nicobar di tenggara negara itu.
"Kami mahu meliputi kawasan ini dan ia sepatutnya dilakukan secara serius," katanya.
India sebelum ini telah pun menghantar tiga kapal dan tiga pesawat bagi membantu mencari pesawat MH370 yang hilang sejak seminggu yang lalu. - AFP
Teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Posted on Saturday, March 15 @ 17:05:24 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Tujuh hari lepas, pesawat Penerbangan Malaysia MH370 disahkan hilang. Kerajaan sedar ia merupakan masa yang sukar buat semua keluarga penumpang. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan yang harus mereka tempuhi. Harapan dan doa kami sentiasa bersama mereka.
Saya telah mengikuti operasi pencarian yang dijalankan sepanjang masa. Pada permulaan operasi, saya telah mengarahkan kawasan pencarian diperluaskan; saya mengarah pihak berkuasa Malaysia untuk berkongsi semua maklumat secara telus dengan semua pasukan penyiasat; dan saya meminta rakan-rakan dari negara serantau menyertai operasi mencari. Sehingga saat ini, 14 negara, 43 buah kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi mencari. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin luar di atas kerjasama yang diberikan.
Sejak hari pertama, pihak berkuasa malaysia telah bekerjasama dengan semua pihak termasuk negara-negara jiran, pihak berkuasa penerbangan dan beberapa pasukan penyelamat dari negara lain sejak Ahad lalu.
Kami telah berkongsi maklumat terkini dengan pihak berkuasa yang mempunyai kepakaran untuk menganalisis data. Kami telah bekerja tanpa henti untuk membantu siasatan dan kami telah mengutamakan pencarian MH370 berbanding keselamatan negara.
Kami telah menjalankan operasi mencari merangkumi darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi.
Pada setiap peringkat kami bertindak mengikut maklumat yang telah disahkan dan mengikut setiap petunjuk. Kadang-kala ia tidak membawa apa-apa hasil.
Kami memahami keperluan pihak keluarga dan semua yang memerhati di seluruh dunia untuk memperolehi maklumat terkini. Namun, kami mempunyai tanggungjawab ke atas siasatan dan keluarga untuk memberikan maklumat sahih. Keutamaan kami ialah untuk mencari MH370.
Pada fasa pertama operasi mencari, kami telah mencari berhampiran lokasi terakhir MH370 hilang, di Laut China Selatan. Pada masa yang sama tumpuan kami turut terarah kepada radar utama milik Tentera Udara DiRaja Malaysia yang mengenalpasti pesawat yang belum dikenalpasti identitinya membuat pusingan. Radar utama menunjukkan pesawat itu menuju ke arah utara Selat Melaka.
Berdasarkan data itu yang turut disahkan dengan pihak berkuasa antarabangsa yang berkaitan, kami telah meperluas kawasan pencarian termasuk di Selat Melaka dan juga Laut Andaman.
Awal pagi ini, saya telah diberi taklimat oleh pasukan penyiasat termasuk FAA, NTSB dan AAIB, pihak berkuasa Malaysia dan Pemangku Menteri Pengangkutan mengenai maklumat terbaharu yang memberi petunjuk seterusnya apa yang berlaku ke atas MH370.
Berdasarkan maklumat satelit, kami percaya Sistem Laporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) telah dimatikan sebelum pesawat itu sampai ke kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. Sejurus kemudian ketika berada berhampiran sempadan udara antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat telah turut dimatikan.
Selepas itu, rada utama Tentera Udara DiRaja Malaysia menunjukkan sebuah pesawat yang dipercayai MH370 melakukan pusingan.
Ia kemudian terbang ke arah barat menyeberangi Semenanjung Malaysia sebelum berpusing ke arah barat laut.
Ia hilang daripada radar utama tentera dan pergerakan itu menunjukkan ia telah dilakukan dengan sengaja oleh seseorang di dalam pesawat itu.
Hari ini, berdasarkan maklumat awal satelit yang diperolehi daripada pembekal data perkhidmatan satelit, kami mengesahkan pesawat yang dikesan pada radar utama ialahy MH370.
Berdasarkan data baharu itu, komunikasi terakhir antara pesawat dan satelit pada 8.11 pagi, Sabtu (8.Mac).
Pasukan penyiasat sedang melakukan perkiraan lanjut yang akan menunjukkan sejauh mana pesawat itu telah terbang selepas titik terakhir ia berhubung.
Disebabkan jenis data satelit, kami gagal mengesahkan lokasi tepat pesawat pada kali terakhir ia berhubung dengan satelit.
Bagaimanapun, berdasarkan data baharu itu, pihak DCA dan pakar antarabangsa menentukan kali terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit mungkin berada di salah satu antara dua koridor: Koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi maklumat itu.
Dengan perkembangan terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia telah menumpukan kembali penyiasatan terhadap kru dan penumpang di dalam pesawat. Di sebalik laporan media yang menyatakan pesawat itu telah dirampas, saya ingin menegaskan kita masih menjalankan siasatan terhadap semua kemungkinan yang menyebabkan pesawat MH370 melencong dari laluan asalnya.
Imej baharu satelit itu telah memberikan impak yang signifikan ke atas skop operasi mencari, Kita telah menamatkan operasi di Laut China Selatan dan mengumpul semula semua aset untuk memberi tumpuan ke kawasan pencarian baharu. Kami sedang bekerjasama dengan negara-negara lain bagi membantu menyalurkan maklumat berguna untuk operasi mencari termasuk data radar.
Memandangkan dua koridor itu melibatkan banyak negara, duta-duta negara terlibat telah dijemput ke sesi taklimat mengenai maklumat baharu oleh Kementerian Luar dan pakar-pakat teknikal. Saya turut mengarahkan Menteri Luar untuk memberi taklimat penuh kepada negara yang mempunyai penumpang terlibat dalam penerbangan tersebut. Pada pagi ini, Penerbangan Malaysia telah memaklumkan kepada keluarga penumpang dan kru mengenai perkembangan terbaharu itu.
Secara jelas, pencarian MH370 telah memasuki satu fasa baharu, Sejak lebih tujuh hari yang lalu, kami telah mengikuti semua petunjuk dan semua kemungkinan. Buat keluarga dan kawan-kawan penumpang MH370, kami berharap maklumat terkini membawa kita satu langkah ke hadapan untuk menemui pesawat itu. - KOSMO!
Polis siasat rumah kapten pesawat MH370, lapor Reuters
Posted on Saturday, March 15 @ 16:54:06 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Polis menyiasat rumah juruterbang pesawat MH370 ekoran pengesahan perdana menteri bahawa pesawat itu secara sengaja ditukar haluannya, kata seorang pegawai polis sebagaimana yang dilaporkan Reuters hari ini.
Anggota polis sampai ke rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menamatkan sidang medianya.
Para penyiasat mengesahkan pesawat yang dikesan melalui radar tentera adalah pesawat MH370 yang hilang sejak seminggu lalu selepas sistem perhubungannya dimatikan sebelum melalui pantai timur Malaysia minggu lalu, kata Najib.
TMI
– 15 Mac, 2014.
MH370: Komunikasi pesawat 'dimatikan' sebaik masuki Pantai Timur Malaysia - Najib
Posted on Saturday, March 15 @ 15:03:31 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
SUBANG: Berdasarkan maklumat baru data satelit, komunikasi pesawat dimatikan sebaik pesawat memasuki ruang udara Pantai Timur Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.
Mengikut data radar, pesawat dipercayai berpatah semula ke Semenanjung Malaysia dan menghala ke barat laut dengan pergerakan konsisten, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Siasatan difokuskan kepada penumpang dan anak kapal - Najib
PM sahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan menukar arah dan terbang ke arah barat ialah #MH370.
Katanya, ia berdasarkan kerja-kerja forensik oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia
Katanya, laporan bahawa pesawat itu dirampas masih satu spekulasi. Pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan.
Katanya, pencarian diteruskan di dua koridor. Pertama: Dari utara Thailand hingga ke Kazakhstan. Kedua: Dari Indonesia ke Lautan Hindi.
Operasi di Laut China Selatan dihentikan dan pihak berkuasa sedang menilai semula usaha untuk menugaskan semula aset yang digunakan untuk mencari dan menyelamat, katanya.
PM tidak sahkan MH370 dirampas, misi diteruskan ke dua koridor baru
Posted on Saturday, March 15 @ 14:55:54 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak laporan media pesawat MH370 dirampas dan pencarian pesawat ini sedang memasuki fasa terbaru ke arah dua koridor baru di utara Malaysia dan satu lagi di selatan negara ini.
Koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara Thailand manakala koridor selatan ialah di Indonesia dan selatan Lautan Hindi.
Perdana menteri berkata demikian pada sidang medianya sebentar tadi menurut The Malaysian Insioder.
Kerajaan Malaysia sahkan pesawat MH370 dirampas, lapor AP
Posted on Saturday, March 15 @ 14:25:42 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu
AP melaporkan seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata, rampasan itu bukan setakat teori lagi tetapi ia mencapai tahap 'konklusif'.
Pegawai berkenaan yang berada dalam pasukan penyiasatan itu, berkata mereka mendapati salah seorang juruterbang atau orang lain yang berpengalaman terbang merampas pesawat yang hilang sejak Sabtu minggu lalu.
Bagaimanapun, setakat ini, motifnya belum diketahui dan lokasi di mana pesawat itu berada belum diketahui dengan jelas.
Sementara itu, AFP memetik seorang pegawai kanan tentera Malaysia sebagai berkata, penyiasat percaya pesawat itu dirampas dan dipandu oleh seorang yang "mahir, cekap" yang memandunya beberapa jam.
"Ia mesti seorang yang mahir, cekap dan seorang juruterbang semasa," kata pegawai itu.
"Dia tahu bagaimana untuk mengelakkan radar awam. Dia nampaknya sudah mengkaji bagaimana untuk mengelakkan radar,” katanya.
Bagaimanapun, akhbar British The Daily Telegraph melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, menafikan pesawat itu dirampas.
"Ia belum sah. Saya mengetuai siasatan ini dan tiada siapa yang mengatakannya. Ia tidak benar. Kami meninjau pelbagai kemungkinan, kita melihat semua kemungkinan. Kami melakukan profil setiap penumpang dan anak kapal tetapi tidak ada bukti yang sahih setakat ini," katanya kepada Telegraph.
AP melaporkan kerajaan Malaysia mengesahkan pesawat MH370 yang hilang sejak minggu lalu dirampas. Gambar fail oleh Reuters, 15 Mac, 2014.
Perkembangan baru mengejutkan ini datang selepas seminggu operasi mencari dan menyelamat besar-besaran kehilangan kapal terbang yang membawa 239 penumpang itu selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing.
Sementara itu, Bloomberg melaporkan pesawat yang hilang itu dikesan ke Lautan Hindi di luar pantai Australia, memetik kenyataan seorang penganalisis.
Menurut laporan itu, laluan dari Malaysia ke laut di luar pantai Australia akan melalui perjalanan sejauh 3,000 batu - jarak maksimum MH370 boleh diterbangkan dengan bahan api yang ada.
Bloomberg juga melaporkan penyiasat mendapati seseorang di dalam kokpit MH370 memprogramkan pesawat itu untuk berpaling dari jalan asalnya ke Beijing, kata sumber daripada kerajaan Amerika Syarikat yang biasa dengan penyiasatan itu.
Laporan itu memetik jurucakap Awam Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Australia, Peter Gibson, sebagai berkata dia tidak sedar maklumat baru yang meletakkan MH370 berhampiran Perth.
Bagaimanapun, katanya, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia mempunyai bidang kuasa untuk membuat penggeledahan jika maklumat itu benar.
Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar dijangka diadakan pada jam 1.30 petang ni di Hotel Sama-Sama, KLIA selepas mengadakan pertemuan dengan keluarga penumpang pesawat MH370.
Difahamkan, Najib hanya akan membacakan satu kenyataan dan tidak akan menjawab sebarang soalan daripada media, lapor Sinar Harian Online.
The Star Online melaporkan, sebahagian ahli keluarga di Hotel The Everly Putrajaya mula berkumpul di depan dua televisyen di lobi hotel dan kelihatan gelisah tetapi kebanyakannya masih mampu mengawal perasaan.
TMI
– 15 Mac, 2014.
Laporan: Pesawat disahkan dirampas
Posted on Saturday, March 15 @ 14:21:23 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu
Pesawat Malaysia Airlines MH370 telah dirampas, demikian menurut satu aporan berita.
Menurut AP, seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata rampasan itu bukan hanya lagi satu teori tetapi ia adalah 'konklusif'.
Pegawai tersebut, yang terlibat dalam penyiasatan itu, berkata mereka telah menentukan bahawa salah seorang juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman terbang, telah merampas pesawat itu.
Bagaimanapun, motifnya belum diketahui dan juga tidak jelas ke mana pesawat itu berada.
Spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan Malaysia akan mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar pada tengahari.
LAPORAN LANGSUNG
1.55pm: Seorang pegawai Jabatan Penerangan Jagjit Singh mengumumkan PM hanya akan membuat satu kenyataan berhubung perkembangan terbaru.
"Namun beliau tidak akan menjawab apa-apa soalan," katanya.
Beliau meminta para wartawan mengemukakan soalan kepada pusat media.
Soalan berkenaan akan dijawab dalam sidang media harian jam 5.30pm, katanya yang tidak memberikan sebarang alasan.
1.41pm: Wartawan semakin gelisah menunggu PM memulakan sidang media dan mengisi masa dengan berbual-bual dan bertukar maklumat sesama sendiri.
Suasana dalam dewan tersebut kembali senyap beberapa kali apabila pintu utama auditorium dibuka. Namun masih belum ada kelibat Najib.
1.30pm: Duta China ke Malaysia Huang Hui Kang turut hadir dalam sidang media hari ini. Turut kelihatan wakil kedutaan Rusia.
1.10pm: Wartawan memasuki dewan sidang media dan membuat persedian untuk persidangan.
Kira-kira 200 orang para petugas berkenaan memenuhi hampir setiap inci ruang lantai auditorium Sama-Sama Hotel.
12.33pm: PM Datuk Seri Najib Razak dijangka mengadakan sidang media pada jam 1.30pm di Hotel Sama-Sama, KLIA.
Pasukan keselamatan membuat pemeriksaaan ketat di bilik sidang media dan para petugas media diminta beredar sehingga operasi tersebut selesai. - MK
Cadangan Image Google Search Sempena Hari Lahir Bomoh Giler
Posted on Saturday, March 15 @ 14:02:43 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu
Ada cadangan kepada google untuk meletakkan gambar google dengan buah kepala azimat sebagai simbol sempena kelahiran bomoh giler ini nanti. Imej cadangan ini dipetik daripada facebook. (klik gambar untuk paparan besar)
Rasanya pencarian (search) google akan lebih baik laju tanpa gangguan daripada lembaga hitam garuda..
Cute Parody Bomoh Giler Tikar Terbang
Posted on Saturday, March 15 @ 13:46:22 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu
Warga internet tanpa sempadan telah menjadi Bomoh Giler Ahli UMNO sebagai parody. Sangat memalukan negara sekarang Malaysia dikendali sebagai 'manusia bodoh' tanpa akal sehingga PM Malaysia pun dikatakan tak ada akal.
Beberapa kali dalam kenyataan Bomoh giler menyebut DS Najib Razak sebagai VVIP. kita belum lagi mendengar penafian daripada DS Najib dalam hal ini.
MH370: Budaya sebar spekulasi di alam maya semakin parah
Posted on Saturday, March 15 @ 13:21:35 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Masing-masing berlumba untuk menjadi yang pertama menekan butang 'share' tanpa mempedulikan kesahihan khabar yang dihantar.
KUALA LUMPUR: Sejak pesawat MH370 milik Malaysia Airlines dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu, pelbagai teori dan spekulasi liar ditimbulkan oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Pelbagai andaian ditebak sama ada daripada mereka yang berlatar-belakangkan bidang penerbangan dan keselamatan, malah tidak kurang juga daripada mereka yang hanya duduk di depan komputer atau peranti telapak tangan tetapi turut sama mahu menjadi pakar penganalisis segera.
Di laman sosial misalnya, pelbagai spekulasi dan khabar angin dengan mudah bertebaran apabila tanpa sebarang rasa bersalah, masing-masing berlumba untuk menjadi yang pertama menekan butang ‘share’ tanpa mempedulikan kesahihan khabar yang dihantar.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga rakyat Malaysia yang tidak sensitif apabila tergamak menaip status negatif di akaun laman sosial. Antaranya mengejek dan menjadikan insiden itu sebagai bahan jenaka, merendah-rendahkan usaha mencari dan menyelamat, malah ada yang melemparkan pelbagai tohmahan termasuk kononnya terdapat konspirasi terancang.
Lagi pedih apabila ada yang sanggup mempermainkan-mainkan insiden itu dengan cerita rekaan seperti memuatnaik gambar palsu pesawat terhempas, menyebarkan mesej berantai dan ada yang membuat cerita sedih kononnya ahli keluarga turut berada dalam pesawat berkenaan, sedangkan tidak.
Mempermainkan insiden
Pada Isnin, di Twitter, @JasmineJohari misalnya, menjadi ‘trending’ apabila menulis status meruntun jiwa dan merayu agar ibunya yang kononnya berada di dalam pesawat itu kembali dengan selamat dan rintihan itu turut disiarkan di dalam media tempatan.
Pada mulanya, warga laman sosial itu turut bersedih dan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat sebaik membaca status itu dan melihat gambar ‘ibu’ Jasmine, namun bertukar berang keesokan harinya apabila mengetahui pemilik akaun itu hanya menipu dan menggunakan gambar palsu.
Persoalannya, mengapa manusia gemar benar membuat spekulasi dan lebih buruk lagi mencipta imaginasi setiap kali wujudnya isu panas atau berlakunya sebarang tragedi yang tidak diduga? Di mana hilangnya sensitiviti dan peka rakyat Malaysia?
Pakar Perunding Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata umumnya segala spekulasi terjadi kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam diri, tanpa memikirkan kesan dan risiko atas tindakan melulu itu.
“Insiden (kehilangan pesawat) yang berlaku amat jarang dilalui di dalam negara atau luar.. masyarakat tidak tahu apa yang berlaku dan tertanya-tanya. Apabila pesawat itu masih tidak dijumpai, wujud ‘gap’ yang boleh menyebabkan spekulasi yang lebih ligat dibuat.
“Memang ia boleh menggambarkan orang ramai dalam kerisauan tetapi spekulasi tidak membantu. Mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan di kala mata dunia tertumpu pada negara dengan sengaja mewujudkan spekulasi dan mengganggu emosi keluarga mangsa,” katanya kepada Bernama.
Guris perasaan keluarga
Muhammad Muhsin berkata orang ramai sepatutnya bersikap lebih sensitif dan menghormati perasaan keluarga penumpang serta krew terlibat dengan mengelak daripada menyebarkan spekulasi yang boleh mengguris perasaan mereka.
Beliau berkata perbuatan menghebah berita yang tidak sahih hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menambah tekanan, kesengsaraan dan kegelisahan yang sedang dihadapi oleh keluarga tersebut.
“Sekiranya niat masyarakat untuk menunjukkan keprihatinan dan ambil berat, mereka perlu tunjuk dengan cara yang baik dan bertanggungjawab seperti memberi sokongan dan semangat buat keluarga mangsa, bukannya dengan menunjuk keprihatinan melalui mencipta atau menyebar spekulasi palsu.
“Kalau terlalu banyak tekaan dan andaian, ditambah ramai yang bertindak ’share’, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa spekulasi itu benar sedangkan tidak dan ini dikhuatiri akan menimbulkan kegelisahan dan tekanan berpanjangan yang boleh menyebabkan trauma seperti takut untuk menaiki kapal terbang,” katanya.
Orang ramai juga tidak sepatutnya mudah terpedaya dan terpesong dengan spekulasi yang didengar sama ada dari mulut ke mulut atau di alam maya serta seharusnya mengelak daripada menjadi penyampai berita tidak sahih kepada individu lain.
Budaya negatif
Beliau berkata seakan telah menjadi budaya bagi pengguna laman sosial di Malaysia menghadam bulat-bulat dan berkongsi dengan pengguna lain apa sahaja yang dibaca mereka di Internet meskipun tidak tahu hujung pangkal dan kebenaran spekulasi itu.
“Itu budaya kebanyakan rakyat Malaysia…mudah sangat ‘share’ walau tiada kepastian. Mereka suka kepada perkara yang sensasi dan teruja untuk berkongsi dengan orang lain meskipun hakikatnya berita itu hanya rekaan orang yang tidak bertanggungjawab.
“Kali ini (kehilangan MH370) juga perkara sama berlaku, apa sahaja yang dibaca terus dipercayai tanpa usul periksa.. ia sudah jadi budaya yang amat dibimbangi dan semakin parah,” katanya.
Muhammad Muhsin berkata sikap gemar mencipta spekulasi melampau atau sengaja menyebarkan sesuatu cerita yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman fikiran orang lain juga menandakan kepincangan keperibadian individu itu yang dicemari elemen negatif.
“Ini adalah satu penyakit yang perlu dielakkan. Cara dan niat individu itu menyebarkan berita palsu menunjukkan personalitinya yang tidak baik dan tidak sensitif.. menyerlahkan siapa sebenar dirinya.
“Sikap tidak prihatin dengan suka menyebarkan gambar tragis contohnya seperti gambar kemalangan juga perlu dielakkan kerana tidak semua orang mahu melihat gambar sebegitu rupa. Lagi-lagi jika keluarga mangsa sendiri yang melihat, ia akan mendatangkan trauma dan kesedihan,” katanya.
Boleh didakwa
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari baru-baru ini mengingatkan mereka yang berterus-terusan membuat spekulasi atau menyebar maklumat salah mengenai insiden berkenaan supaya berhenti daripada berbuat demikian.
Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mengganggu ketenteraman awam adalah satu kesalahan dan boleh disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Orang ramai yang menyebar, memuat naik atau berkongsi status berbaur spekulasi berhubung kehilangan pesawat itu boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Pesawat Boeing 777-200ER MAS itu dilapor hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu ketika dalam penerbangan di ruang angkasa antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.
Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 12 anak kapal dan penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama tetapi gagal dikesan hingga kini. Usaha mencari dan menyelamat masuk hari kelapan pada hari ini.-bernama/fmt
Tiru Aksi Bomoh, 3 Jururawat HKL Mungkin Digantung Perkhidmatan
Posted on Saturday, March 15 @ 12:27:02 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Ketawa ubat mujarab tetapi nasib 3 jururawat ‘karpet terbang’ tidak menentu kerananya
Gambar tiga jururawat HKL
membuat aksi 'karpet terbang' yang hangat di laman sosial.
Ketawa adalah ubat terbaik namun nasib tiga jururawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mempersendakan bomoh Ibrahim Mat Zin masih tidak diketahui.
Dalam laporan sebelum ini, ketiga-tiganya mungkin digantung perkhidmatan, namun pengguna sosial media memberikan sokongan penuh kepada mereka.
Ketiga-tiga jururawat itu meniru aksi Ibrahim dengan "karpet terbang" dalam usahanya mencari pesawat MH370 yang hilang dan gambar mereka menjadi panas di media sosial dan kini masuk ke media cetak.
Pengguna laman sosial, Ken Loo dalam Facebooknya berkata:"Jika mereka perlu digantung, bomoh itu perlu dipenjarakan," mendapat ratusan "like", lapor akhbar The Star.
Bagaimana, kata The Star, disahkan kemudian HKL hanya menjalankan siasatan terperinci saja terhadap jururawat terbabit.
Susan Abraham berkata, lawak mereka menjadi ubat yang baik, manakala Sip Lee menyokong petugas perubatan yang gembira ketika bertugas dengan berkata:”Petugas yang cantik dengan senyuman di wajahnya akan membantu pesakit yang tertekan. Patut dibenarkan mereka mengembirakan yang tertekan," lapor akhbar itu lagi.
Jon Navaratnam juga membela mereka dengan berkata:"Mereka yang bekerja dalam bidang kesihatan selalu tertekan kerana kerja mereka antara 16 ke 24 jam secara shif. Jururawat ini hanya mahu bergurau senda. Biarkanlah mereka."
Iswardy Morni berkata, cara mereka membuat lawak untuk bergembira patut mendapat tawaran kerja.
"Jika mereka ditamatkan perkhidmatan, mereka boleh kerja dengan syarikat saya (kami pakar dalam bidang kesihatan). Kami memerlukan lebih ramai pekerja yang berani dan kreatif,” katanya.
Bagaimanapun, ada juga yang tidak bersetuju.
Kiran Nesarajah mempertikaikan bagaimana kelengkapan kesihatan dikendalikan sebagaimana yang terdapat dalam gambar itu.
Beliau berkata, alatan dalam gambar itu bukan alat permainan.
Jamielah Yaakob, seorang jururawat berkata, ia boleh dilakukan semasa bertugas tetapi bukan di depan awam.
"Ia boleh kekal di tempat private tetapi ia sepatutnya tidak dikongsi dalam media sosial," katanya.
Bomoh, Ibrahim mengejutkan dunia apabila datang ke KLIA dua hari berturut-turut membuat ritual pelik bagi membantu mencari pesawat MH370 yang hilang itu.
Hari pertama, dia dan pembantunya datang dengan bubu dan teropong buluh manakala hari kedua datang dengan dua biji kelapa dan permaidani yang dinamakan karpet terbang selepas itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan mereka dihantar oleh kerajaan namun sebuah laman web antarabangsa International Business Times (IBTimes) melaporkan, ada yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa tiada otak (brainless) apabila membenarkan kejadian seumpama itu.
Susulan dakwaan terhadap beliau, Ibrahim mengugut akan mendakwa mereka.
Beliau juga dilaporkan berkata, akan menampar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar kerana menggesa beliau ditangkap. – 15 Mac, 2014.-tmi
MH370: Pakar penerbangan tempatan bingung
Posted on Saturday, March 15 @ 07:51:41 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
KUALA LUMPUR - Setakat rencana ini ditulis, para pakar penerbangan tempatan masih merasa bingung dengan peristiwa yang membawa kepada kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada awal pagi 8 Mac lepas.
Ini ditambah dengan tiada langsung panggilan kecemasan dan kedua-dua juruterbang seperti mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas pesawat Boeing 777-200 sebelum ia tiba-tiba hilang daripada radar Jabatan Penerbangan Awam Malaysia(DCA).
"Ok roger, good day" adalah komunikasi terakhir Kapten Zaharie Shah dengan Menara Kawalan Trafik Subang (ATC) pada 1.30 pagi sebelum semua perhubungan terputus.
Pesawat itu hilang dari skrin radar 70 minit kemudian.
Datuk Ismail Ibrahim, mantan juruteknik Tentera Udara DiRaja Malaysia dan sekarang jurulatih Jabatan Penyenggaraan Pesawat, Advanced Technology Training Centre (ADTEC) memberitahu Bernama jika pun ada kecemasan dalam pesawat, juruterbang akan memaklumkan kepada pusat kawalan di bumi atau menghantar isyarat kecemasan.
Bagaimanapun, apa yang membingungkan, pesawat MH370 dengan 227 penumpang serta 12 anak kapal tidak langsung membuat panggilan kecemasan menerusi radio dan juga 'Transponder' pesawat tidak mengeluarkan sebarang kod yang menunjukkan berlaku kecemasan dalam pesawat.
Apa Yang Mungkin Berlaku
Menurut Ismail, Boeing 777-200 adalah pesawat generasi baru yang dilengkapi dengan sistem avionik dan komunikasi yang sofistikated, justeru adalah mustahil juruterbangnya langsung tidak berkomunikasi semasa kecemasan.
Kalau begitu, apa yang menyebabkan juruterbang-juruterbang itu berhenti berhubung dengan pihak kawalan di bumi?
Seorang lagi pakar kanan dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), Ahmad Maulan Bardai percaya ketiadaan langsung komunikasi daripada pesawat MH370 itu mungkin akibat masalah atau kegagalan besar dalam pesawat.
Kemungkinan tiba-tiba berlaku letupan dalam pesawat yang memusnahkan kelengkapan komunikasi dan alat penerbangan lain di dalam pesawat tidak boleh ditolak, katanya.
Menurut beliau, kemungkinan itu yang menyebabkan mengapa juruterbang terputus hubungan dengan pihak kawalan di bumi tetapi banyak lagi kemungkinan yang perlu diteliti.
"Bagaimanapun, apa yang berlaku dengan MH370 ini amat membingungkan memandangkan dalam banyak nahas pesawat sebelum ini, anak kapal berhubung dengan ATC, malahan sehingga ke saat-saat akhir," katanya.
Hilang Dari Radar
Apabila ditanya mengapa hanya selepas 70 minit pesawat hilang dari skrin radar, Ismail yang berkhidmat selama 16 tahun dengan tentera udara berkata ianya ada kaitan dengan 'transponder' pesawat.
"Dalam hal ini, nampaknya 'transponder' itu mungkin telah dinyahaktifkan," katanya.
Apabila 'transponder' diaktifkan, ia akan menghantar isyarat ke ATC mengenai altitud (ketinggian) serta kedudukan pesawat di atas skrin radar di ATC.
Beliau menjelaskan juga, tidak ada sebab untuk juruterbang menyahktifkan 'transponder' sewaktu penerbangan.
Ditanya berapa jumlah 'transponder' yang ada di dalam pesawat, beliau memberitahu penulis, kemungkinan ada sehingga tiga bergantung kepada jenis pesawat.
Faktor Mungkin Menyebabkan Pesawat Terhempas
Apa yang boleh menyebabkan pesawat canggih sepertinya terhempas?
Penulis mengajukan soalan ini kepada mantan ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan beliau menyatakan bencana seumpama itu kebiasannya berpunca daripada kegagalan struktur, kegagalan enjin, kesilapan juruterbang dan juga sabotaj.
"Perangkaan kemalangan pesawat menunjukkan kira-kira 91 peratus kemalangan berlaku sewaktu pesawat berlepas dan mendarat," katanya sambil menambah bahawa
pesawat MH370 berada pada 'cruising altitude' sebelum ia hilang.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Ahmad yang juga Perunding Kejuruteraan Aeroangkasa berkata setiap kemungkinan perlu diteliti.
Menurut beliau, rekod penyenggaraan pesawat itu juga perlu diteliti dengan rapi untuk mencari apa-apa yang luarbiasa dalam sistem dan integriti strukturnya.
"Menyenggara pesawat bukan seperti menyenggara kereta di mana setiap komponen yang diganti perlu direkod walaupun satu skru yang diganti," katanya.
Beliau berkata, hanya kotak hitam dan perakam data penerbangan yang dapat merungkai apa yang sebenarnya berlaku pada penerbangan MH370.
Usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 masuk hari ketujuh hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan ke lautan Hindi. - Bernama
Pesawat MH370 dilengkapi empat rakit untuk 290 orang
Posted on Saturday, March 15 @ 07:45:58 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
BEIJING 15 Mac - Pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370 yang sehingga kini masih gagal dikesan, dilengkapi empat buah rakit yang boleh membawa kira-kira 290 orang penumpang dalam satu-satu masa.
Akhbar China Daily melaporkan, seorang pegawai MAS yang mengadakan pertemuan bersama keluarga penumpang di sini semalam berkata, rakit berkenaan turut mengandungi lampu suluh, kotak bantuan kecemasan termasuk makanan dan air yang cukup untuk kegunaan penumpang selama seminggu.
Tambahnya, tentera Malaysia akan turut menghantar wakil ke Beijing untuk bertemu keluarga mangsa bagi melaporkan situasi semasa kepada ahli keluarga mangsa. - AGENSI
Pesawat mungkin dikendali manual
Posted on Saturday, March 15 @ 07:42:50 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Selepas tujuh hari MH370 hilang, wujud teori pesawat itu kemungkinan dikendalikan juruterbang secara manual bersandarkan mata kasar pada paras rendah sehingga gagal dikesan radar.
Pentagon berpendapat MH370 masih di udara sehingga empat jam selepas ia dilaporkan hilang daripada radar menara kawalan udara Jabatan Penerbangan Awam di Subang dan berkemungkinan terhempas di Lautan Hindi.
Pengasas Flight Radar 24, Mikael Robertson, berkata lazimnya sistem pandu arah pesawat beroperasi seperti biasa walaupun transponder dalam pesawat dimatikan.
Beliau tidak menolak kemungkinan sistem pesawat MH370 ditukar daripada mod automatik kepada manual selepas isyarat pesawat itu hilang daripada radar menara kawalan pada jam 1.30 pagi, Sabtu lalu.
Tidak dapat dikesan
“Transponder dalam kokpit boleh dimatikan dalam satu saat. Apabila dimatikan, isyarat pesawat tidak dapat dikesan menara kawalan udara yang menggunakan Radar Sekunder (SSR).
“Jika berlaku kecemasan, juruterbang sepatutnya menghantar isyarat ke menara kawalan menggunakan radio atau menukar kod asal transponder kepada ‘7700’ atau ‘7500’ seperti ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya ketika dihubungi BH di Amerika Syarikat, semalam.
Kod ‘7700’ bermaksud kecemasan berikutan kerosakan enjin, tekanan pesawat atau masalah mekanikal, manakala kod ‘7500’ adalah isyarat sekiranya pesawat dirampas ketika penerbangan.
Bekas juruterbang MAS, Kapten Lim Khoy Hing, yang berpengalaman sembilan tahun mengendalikan Boeing 777-200 turut mengesahkan penerbangan tanpa bantuan menara kawalan dan pemanduan secara manual boleh dilakukan.
Katanya, juruterbang memang dilatih mengendalikan pesawat pada waktu kecemasan, termasuk apabila sistem pandu arah atau radio mengalami masalah.
“Walaupun sistem pandu arah pesawat rosak, juruterbang masih ada pelan alternatif dan sistem sokongan. Juruterbang hanya perlu menukar mod pesawat daripada automatik ke manual dan menggunakan penglihatan mata kasar dari kokpit untuk meneruskan penerbangan,” katanya. - BERITA HARIAN
Setiap kecemasan berbeza penyelesaian
Posted on Saturday, March 15 @ 07:49:19 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
SHAH ALAM - Setiap panggilan kecemasan oleh pesawat mempunyai prosedur berbeza untuk mengendalikannya seperti ditetapkan dalam standard prosedur jabatan penerbangan.
Menurut bekas Pegawai Kawalan Trafik Udara (ATC), Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Mustapha Abdul Rahman, 63, bukan semua kecemasan melalui cara yang sama untuk diselesaikan.
“Ketika saya bekerja tahun 1970 hingga 1992, kawalan dilakukan secara manual dan setiap kecemasan atau kemalangan ada prosedur berbeza.
“Masa itu belum guna radar dan tugasan dibahagikan kepada tiga sektor berdasarkan prosedur manual dengan seorang pengawal di setiap sektor,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau yang juga ATC terakhir berhubung dengan juruterbang pesawat MH635 yang terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977 berkata, sekiranya isyarat kecemasan dikesan di kawasan kawalan, ATC perlu segera menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak atasan.
“Beri maklumat kepada ketua terlebih dahulu. Jika berlaku kecemasan dalam kawasan seperti di lapangan terbang, perlu segera panggil bomba dan pihak berkaitan.
"Sekiranya berlaku kemalangan, rampasan atau tidak dapat dihubungi di luar pusat kawalan lain pula, operasi dilakukan,” katanya.
Katanya, setiap ATC akan memantau pesawat di kawasan kawalannya sehingga sempadan pusat kawalan sahaja.
“Bila sebuah pesawat memasuki ruang kawalan lain, kami akan maklumkan kepada mereka pesawat akan memasuki sempadan mereka.
“Apabila sudah memasuki sempadan seperti sempadan Bangkok, Thailand atau berhampiran, tugas pemantauan diserahkan kepada pihak kawalan sebelah pula,” katanya.
Tidak dinafikan katanya, tugas sebagai ATC banyak tekanannya ketika sistem dilakukan secara manual.
“Mengawal lalu lintas udara tanpa bantuan radar adalah kerja yang memerlukan pengawasan lebih tinggi.
“Jika cuaca buruk menambahkan lagi tekanan untuk mengawal lalu lintas udara ketika itu. Namun kini mungkin segalanya mudah dan cara mengendalikan sesuatu kes juga turut berbeza,” katanya. - SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan