MH370 dan Al-Minya 529: Dua tragedi duka bawa gembira
- Mar 25, 2014
- USTAZ AZHAR YAHYA
Dunia Islam juga dirundung duka dengan tragedi penghakiman Al-Minya: 529, yang menyaksikan mahkamah kerajaan perampas di Mesir menjatuhkan hukuman gantung terhadap pejuang Islam yang sebelum ini diisytiharkan sebagai pengganas oleh pengganas sebenar iaitu As-Sisi.
Selaku umat Islam kita dikehendaki mengamalkan ayat 155 surah Al-Baqarah.
“Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
اِنَّا ِللهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ
"Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."
Kepada ahli keluarga mangsa mintalah kebaikan di sisi Allah di sebalik apa yang berlaku berdasarkan arahan Nabimu di dalam Sahih Muslim iaitu:
اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها
"Ya Allah, berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik”
Berita gembira kepada kaum keluarga mangsa MH370 yang beragama Islam dan juga para pejuang Islam kerana kedua-dua tragedi ini adalah mereka yang telah terpilih menerima janji Rasulullah sebagai orang yang mendapat ganjaran mati syahid akhirat.
Ini berdasarkan hadis di dalam Shahih Ibnu Hibban untuk mangsa tragedi MH370.
الشهادة سبع سوى القتل في سبيل الله : والغريق شهيد ،…، وصاحب الحريق شهيد
“Ada tujuh lagi golongan yang syahid selain daripada terbunuh di dalam perang sabilillah, antaranya mereka yang mati lemas,... dan mereka yang mati dalam kebakaran…”
Manakala hadis Rasulullah saw di dalam Abi Daud dan Musnad Ahmad pula memberikan kehebatan kepada para pejuang Islam yang kini sedang berada di ambang rahmatNya;
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
“Barangsiapa yang dibunuh sebab mempertahankan hartanya maka ia mendapat syahid, barangsiapa yang dibunuh sebab mempertahankan keluarganya maka ia mendapat syahid, barangsiapa yang dibunuh sebab mempertahankan agamanya maka ia mendapat syahid…”
Kematian mereka merupakan kematian terindah, walaupun tragis dan boleh menimbulkan trauma jika dibayangkan saat kematian tersebut namun rahmat Allah lebih besar untuk mereka, khasnya warga MH370 yang kini sedang aman seumpama di dalam dakapan ibu sambil menunggu tiupan sangkakala kedua yang akan membangunkan semua manusia untuk ke padang mahsyar menghadapi Hari Perhitungan.
Wahai para pejuang di Bumi Kinanah, kamu sedang berada di ambang syahid yang sering kamu laungkan, kamu telah bertemu jejak yang ditinggalkan Asy-Syahid Sayid Qutb, bahkan kamu sedang dalam senarai Allah untuk menyertai ribuan syuhadak di Bumi Kinanah yang telah menyirami Bumi Kinanah dengan darah syuhadak seawal darah Al-Banna sehingga tragedi Raba’ah.
Bumi Kinanah, sesuai benar gelaran itu, “Bumi Yang Menjadi”. Mudah-mudahan bumi Mesir yang dikuasai Islam di zaman Sayidina Umar tanpa pertumpahan darah di seluruh wilayah melainkan Iskandariah itu semakin subur Islamnya dengan siraman darah syuhada. Wahai Kinanah, Islam datang kepadamu tanpa pertumpahan darah, kamu menerima Islam dengan perdamaian melainkan tentera Romawi di Iskandariah, tetapi setelah seribu tahun Islam bertapak kukuh dengan pasakan padu Al-Azhar pula, kini Islam bermandikan darah untuk ditegakkan di bumimu….
Kami diiringi seluruhnya dengan jutaan doa dan pengharapan yang terbaik buat mangsa tragedi MH370 dan AL-Minya: 529. Pelbagai bacaan Al-Quran mengiringi mereka, semuanya ini memberikan satu gambaran awal kemuliaan mereka. Tragedi yang menimpa mereka menyebabkan ummah bersatu dengan tangan yang penuh pengharapan mendoakan kebahagiaan mereka.
Yang tinggal ialah kita yang masih tidak tahu destinasi manakah berakhirnya denyutan nyawa kita, bagaimanakah tercabutnya nyawa kita? Adakah dengan rentapan malaikat maut...di saat sedang terkinja-kinja dengan kelalaian yang diaktifkan lagi dengan dadah?
Yang tinggal ialah kita yang perlu mengikut segala acuan Allah dan Rasul-Nya bagi memastikan kematian kita juga kematian terindah, kematian terpilih.
Sesungguhnya kita kini sedang berada pada zaman fitnah, Nabi dihina di tengah-tengah keghairahan ummah berselawat tetapi tiada tindakan tuntas. Muslim yang hanya pada nama berpesta syaitan di saat ummah menadah tangan beristisqa’ dan bersolat hajat. Pemerintahnya sibuk melayan 29 juta pelancong yang dijunjung dengan pelbagai konsert dan acara yang memanggil murka Allah.
Yang tinggal ialah kita yang akan meneruskan perjuangan para syuhada dan bakal syuhada Al-Minya: 529. Ayuh ummah, bersama kita meneruskan perjuangan memartabatkan Islam.
Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.
Bersihkan nama juruterbang MH370 – Mahfuz
- Mar 25, 2014
- HARAKAHDAILY
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memulihkan nama juruterbang itu daripada kaca mata rakyat Malaysia dan dunia.
"Dalam masa pengumuman yang dibuat oleh kerajaan berhubung isu kehilangan MH370, perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah membersihkan nama kapten Zaharie.
"Sekarang sudah ada tanggapan negatif telah diberikan terhadap juruterbang itu dan ia perlu diselesaikan segera," kata beliau sewaktu membahas usul khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Usul khas itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ketua Whip Parlimen PAS itu juga meminta kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menyiasat dan membincangkan insiden tersebut.
MH370: Abim harap nama baik, imej dapat dibersihkan
- Mar 25, 2014
- HARAKAHDAILY
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, ini berdasarkan perkembangan dan maklumat yang diumumkan oleh Perdana Menteri berikutan satu analisis data yang diterima oleh beliau.
“Namun Abim juga berterusan mendoakan agar segala petunjuk terus dikurniakan Allah bagi merungkai segala masalah yang mungkin menjadi punca kepada tragedi ini,” ujarnya.
Menurutnya, Abim memandang berat semua tuduhan, prasangka dan kelemahan pentadbiran yang dilemparkan berdasarkan andaian dan spekulasi semata-mata.
Justeru, kata beliau Abim mahukan agar pihak yang bertanggungjawab dapat menggerakkan siasatan untuk mengatasi sebarang kelemahan dan kekurangan daripada berulang kembali.
Begitu juga, ujarnya dengan pihak yang dipersalahkan atas dasar permusuhan sempit dan sangkaan buruk yang terburu-buru, Abim mengharapkan nama baik serta imej mereka dapat dibersihkan.
Tambah beliau, Abim juga kesal ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi hero dan menuding jari menyalahkan pihak lain sehingga mengguris parasaan keluarga mangsa dan boleh mengundang kemurkaan Allah.
“Dari tragedi ini marilah kita merafakkan keinsafsan kita atas kelemahan dan kekerdilan kita berbanding kekuasaan dan kebijaksanaan Allah yang Maha Mengetahui segala hikmah bagi setiap peristiwa yang berlaku,” ujarnya lagi.
‘Kita bersedih, namun ada 1001 persoalan belum dijawab’
- Mar 25, 2014
- MUHAMMAD FAIZAL
Ahli Parliman Gelang Patah, Lim Kit Siang ketika membahaskan usul takziah yang di bawah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sidang Parlimen turut mempersoalkan bagaimana kerajaan membuat keputusan tanpa ada bukti kukuh.
Najib pagi tadi hadir di parlimen bagi membentangkan usul mengesahkan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Laut Hindi.
"Ini merupakan satu mala petaka yang menimpa negara ini termasuk juga syarikat penerbangan.
"Kami dari DAP dan Pakatan Rakyat turut bersedih dengan apa yang berlaku serta sentiasa berdoa sejak dari awal kehilangan lagi.
"Walaupun kita dalam keadaan bersedih, namun masih ada 1001 persoalan yang belum dijawab dan tiada jawapannya," kata beliau.
Beliau memberitahu, 8 Mac lalu MH370 dilaporkan hilang dan radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan pesawat tersebut telah menukar laluan.
Namun, beliau kesal kerana tidak ada usaha diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Persoalan-persoalan ini perlu dijawab, pelbagai pertanyaan yang timbul dan perlu satu penjelasan yang telus dan khusus.
"Kita lihat sejak awal lagi maklumat-maklumat yang diberikan agak sekata seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
"Kita mahu kerajaan menjelaskan segala-galanya, kerana ini bukan sahaja kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan tetapi juga keyakinan peringkat antarabangsa.
"Kita tidak menolak pengumuman tersebut, tetapi setelah ia dilakukan timbul pula apa bukti yang mengesahkannya.
"Apa yang boleh meyakinkan kita bahawa MH370 itu benar-benar berakhir di selatan Laut Hindi.
"Kita mahu keyakinan dari pengumuman dilakukan kerajaan," katanya.
Lim Kit Siang turut meminta agar kerajaan mewujudkan satu badan siasatan bebas dengan kerjasama negara luar supaya ia dapat membantu Malaysia diyakini oleh masyarakat dunia.
MH370: Islam beri tempoh 4 tahun sabitkan kematian
- Mar 25, 2014
- NAZRI ABDULLAH
KUALA LUMPUR: Islam memberi tempoh sehingga empat tahun untuk mensabitkan kematian terhadap kehilangan seseorang yang tidak diketahui di mana kedudukannya atau hidup matinya.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, selagi tidak ditemui jasad atau bukti mensabitkan kematiannya secara fizikal, maka tempoh empat tahun perlu diambil kira.
"Dari segi Islam, pernah disabitkan kematian setelah berlalu selama empat tahun.
"Selagi tak jumpa, selagi tak sampai empat tahun, itu terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan hal itu," kata beliau pada sidang media pimpinan Pakatan Rakyat di parlimen hari ini.
Sidang media yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang, dibuat khas sebagai respons terhadap pengumuman terbaru Perdana Menteri berhubung isu MH370 malam tadi.
Ustaz Hadi yang ditemui Harakahdaily selepas sidang media itu menjelaskan, hukum empat tahun itu merujuk satu kisah di zaman Saidina Umar.
Khalifah kedua itu dikatakan menunggu sehingga empat tahun sebelum memutuskan fasakh seorang wanita yang kehilangan suaminya untuk berkahwin lain.
"Selagi tak dapat bukti jasad, atau fizikal atau saintifik, hukum ini terpakai.
"Kita tak boleh bergantung hanya kepada imej satelit, yang mengandaikan pesawat pecah.
"Kita perlu terus mencari sehingga jumpa kotak hitam, baru kita boleh sahkan," kata beliau kepada Harakahdaily.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan bersidang pada jam 6.00 petang ini bagi membincangkan solat jenazah ghaib.
Bercakap ketika membentangkan usul takziah di Dewan Rakyat hari ini, Najib juga memaklumkan bahawa kerajaan tidak berhasrat memasang bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung, sehinggalah bahagian badan pesawat MH370 ditemui.
Beliau juga berkata, usaha mencari diperhebatkan dan tidak menolak kemungkinan berdepan dengan kesukaran luar biasa.
Usul tersebut menyusul selepas beliau malam tadi mengumumkan, bukti-bukti sedia ada merumuskan bahawa MH370 mengakhiri penerbangannya di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth, Australia.
PAS ucap takziah kepada keluarga mangsa MH370
- Mar 25, 2014
- HARAKAHDAILY
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily berkata, PAS memahami dan turut merasai kesedihan yang dialami keluarga mangsa dan berdoa moga mereka diberi kekuatan oleh Allah SWT.
Pengerusi Pusat Pengurusan Bencana dan Kecemasan PAS Pusat itu juga menyeru umat Islam untuk mengadakan solat jenazah ghaib berdasarkan saranan yang bakal dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kedudukan terakhir pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia dikesan di tengah Lautan Hindi di sebelah barat Perth, Australia.
Maklumat berhubung lokasi terakhir pesawat yang hilang sejak 17 hari lalu itu diterima menerusi data Immarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu, umum Najib.
"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah. Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.
MAS dalam kenyataannya menyebut, berdasar maklumat yang diterima, adalah melewati sebarang keraguan yang munasabah bahawa semua penumpang dan krew pesawat berkenaan terkorban.
Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.
PM bentang usul khas zahir rasa sedih tragedi MH370
- Mar 25, 2014
- HARAKAHDAILY
Perdana Menteri berkata usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) itu turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan kenalan penumpang serta anak-anak kapal pesawat berkenaan.
"Bahawa dewan ini (juga) menyatakan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), khususnya kepada negara-negara luar yang telah banyak memberikan bantuan dalam operasi tersebut.
"Apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan akan datang ini ialah untuk mencari segala serpihan, rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370 supaya kita boleh mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah hilang di selatan Lautan Hindi," katanya.
Dalam sidang akhbar malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan