Ahad, 23 Mac 2014

ESOK PRK KAJANG....JIKA MAIN KOTOR....TIPU DAN PELBAGAI....AKHIRAT JAWAB...SABIT SALAH NERAKA HABUANNYA.....JUGA PILIHANRAYA2 YANG SUDAH2

SEPANG: Imej statelit China telah mengesan objek-objek yang mungkin berkaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 terapung di koridor selatan.
  
Maklumat 'panas' tersebut disampaikan oleh Duta China di Malaysia, Huang Huikang kepada Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa taklimat media berhubung kehilangan pesawat itu di sini hari ini.

"Berita yang saya baru terima, Duta China menerima imej statelit objek-objek yang terapung di koridor selatan dan mereka kini menghantar kapal-kapal untuk mengesahkannya," katanya.

Bercakap dengan menggunakan nota tertulis, Hishammuddin berkata objek berkenaan bersaiz 22.5 meter panjang dan 13 meter lebar.

Beliau berkata kerajaan China akan mengumumkan butiran lanjut mengenai perkara itu dalam tempoh beberapa jam lagi. - Bernama
KAJANG: Hari ini adalah hari terakhir berkempen bagi parti politik yang bertanding di N25 Kajang,  pelbagai usaha dan program yang diaturkan bagi memenangani pengundi di saat-saat akhir.

Bagi pemuda Pakatan Rakyat khususnya Angkatan Muda Keadilan Ampang dan Pandan dengan kerjasama Pemuda PAS Sungai Sekamat mempunyai program tersendiri untuk meraih undi anak muda.

Petang tadi mereka mengadakan aktiviti santai yang diberi nama Longgok-longgok Anak Muda Sungai Sekamat.

Aktiviti yang singkat itu turut menyediakan khidmat menukar minyak hitam percuma bagi 100 biji motorsikal pertama.

"Kita hanya bagi khidmat ini kepada pengundi di Sungai Sekamat sahaja, paling tidak mereka boleh tukar minyak hitam yang berharga RM20 sebotol. Ini percuma," kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Hulu Langat Abdul Hanim Abdullah.

Bukan itu sahaja mereka turut mengagihkan pisang goreng dengan resepi istimewa yang baru diperkenalkan iaitu pisang goreng bercoklat 'cheese'.

Calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama- sama Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat Dr Siti Mariah Mahmud turut tidak melepaskan peluang merasai resepi baru pisang goreng itu seterusnya mengagih-agih kepada pengundi.

"Saya dapat resepi baru yang tidak pernah saya cuba," Seloroh Dr Siti Mariah yang turut mengingatkan para pengundi agar keluar mengundi lebih awal.

Menurut Ketua AMK Cabang Ampang Daeng Mohd Ridhuan PKR yakin UPU Sungai Sekamat akan memberi undi kepada Wan Azizah berdasarkan culaan yang dibuat mereka.

Tambahan pula katanya, hasil kerjasama baik dengan PAS Sungai Sekamat memberi peluang besar untuk menang pada kali ini.

"Kita dapat kerjasama erat dengan PAS, culaan bersama kita target menang di UPU ini. Sebelum ini kita hanya harapkan PAS. Kali ini sokongan penuh PAS amat saya hargai," katanya ketika ditemui.

UPU Sungai Sekamat antara empat kawasan yang dimenangi oleh BN dengan majoriti 239 undi. Tiga kawasan lagi termasuk Sungai Kantan, Batu 10 Cheras dan Saujana Impian yang mana majoriti pengundinya adalah Melayu.
KUALA LUMPUR: Objek-objek yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Australia berkait dengan pesawat MH370 belum ditemui dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan pesawat itu, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata lima pesawat dan dua kapal dagang terbabit dalam operasi SAR di kawasan dua objek itu dikesan oleh statelit Australia, kira-kira 2,500km dari barat daya Perth, Australia di Lautan Hindi.

"Walaupun penggunaan kaedah mencari secara visual yang lebih baik, namun objek itu tidak kelihatan," katanya pada taklimat media hari ini berhubung usaha SAR bagi menjejak pesawat jenis Boeing 777-200ER yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lepas.

Usaha mencari di bahagian selatan Lautan Hindi dimulakan selepas Perdana Menteri Australia, Tony Abbot memberitahu Parlimen negara itu mengenai dua objek berkenaan yang mungkin berkait dengan penerbangan MAS.

"Operasi SAR akan diteruskan dan hari ini, mereka bercadang mencari kawasan seluas kira-kira 10,500 batu nautika persegi," kata Hishammuddin.

Berhubung hasil pencarian awal di koridor utara, beliau berkata China, Pakistan, India, Myanmar, Laos, Kyrgyztan dan Kazakhstan secara lisan memaklumkan bahawa pesawat itu tidak dikesan di radar negara masing-masing.

Beliau berkata Australia, selaku ketua penyelaras operasi SAR di koridor selatan, menjangkakan sebanyak enam pesawat iaitu empat pesawat tentera dan dua pesawat awam akan melakukan pencarian secara visual di kawasan tersebut.

Katanya dua kapal dagang akan turut menyertai operasi bersama kapal tentera laut Australia, 'HMAS Success', hari ini.

Hishammuddin berkata pencarian di koridor selatan amat mencabar kerana kedalaman lautan berbeza antara 1,150 meter dan 7,000 meter.

"Dalam kawasan kemungkinan objek-objek yang dikenal pasi oleh pihak berkuasa Australia itu, keadaan ombak yang tinggi dan laut bergelora," katanya sambil menambah bahawa amaran taufan 'Gillian' telah dikeluarkan di koridor selatan itu.

Hishammuddin turut menyatakan penghargaan tinggi terhadap semua anggota SAR dari pelbagai negara yang mengambil risiko dalam operasi mencari pesawat berkenaan.
  
Beliau berkata dua lagi pesawat China, 'Ilyushin IL-76s' akan tiba di Perth untuk membantu dalam operasi SAR manakala pesawat 'Shaanxi Y-8', yang tiba semalam, akan beroperasi dari Pangkalan Udara Subang, dekat sini.

"China juga akan menghantar tambahan dua kapal dari Laut Andaman untuk menyertai lima kapal China yang sudah berada di koridor selatan," katanya.

Selain itu, dua pesawat India -- P-8 Poseidon dan C-130 Hercules -- tiba di sini semalam untuk membantu operasi SAR.

Hishammuddin berkata kapal Britain, 'HMS Echo, yang dilengkapi dengan sensor canggih yang boleh menyokong operasi kapal selam dan amfibia, kini dalam perjalanan dari Teluk Persia menuju ke koridor selatan.

Koridor utara merangkumi kawasan dari sempadan Kazakhstan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan pula dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Kedua-dua koridor tersebut meliputi 2.24 juta batu nautika persegi. - Bernama
KAJANG: Polis memberi jaminan kawalan keselamatan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang esok berada pada tahap tertinggi.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata orang ramai tidak perlu bimbang atau ragu-ragu untuk keluar mengundi kerana lebih 3,000 anggota polis, termasuk 800 polis trafik, telah ditempatkan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"Di pihak polis, kami bersedia sepenuhnya. Saya ingin memberi jaminan kepada penduduk Kajang tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kami akan membantu anda jika ada keperluan.

"Tiada perkara-perkara yang tidak diingini akan berlaku esok... kami bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas majlis Sejenak Bersama Warga Polis dan Perkep di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Shukri berkata semua kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dibenarkan memasuki kawasan Kajang bermula 12 tengah malam ini sehingga 4 petang esok untuk mengelak kesesakan lalu lintas selain memudahkan orang ramai keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Semua kenderaan berat tidak dibenarkan masuk ke kawasan Kajang, khususnya di Bandar Kajang yang jalannya agak sempit, hanya bas awam dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri memberi amaran kepada parti bertanding agar tidak berarak untuk meraikan kemenangan selepas pengumuman keputusan rasmi dibuat esok.

"Sebarang perarakan dalam apa jua bentuk adalah tidak dibenarkan di kawasan Kajang. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menggugat ketenteraman awam," katanya.

Mohd Shukri berkata polis telah membuka tujuh kertas siasatan kerana melanggari Akta Kesalahan PIlihan Raya 1954 iaitu mengadakan ceramah tanpa permit semasa kempen PRK Dun Kajang.

"Setakat ini, PRK Kajang berjalan dengan lancar dan teratur tanpa berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya sambil menambah bahawa sepanjang 12 hari berkempen, 272 aktiviti kempen dan ceramah telah diadakan. - Bernama
KAJANG: Pengundi N25 Kajang jangan terlalu yakin dengan ramalan awal berkaitan kemenangan Pakatan Rakyat membuatkan mereka tidak keluar mengundi esok.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud teruja dengan sambutan pengundi Kajang terhadap calon, PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang amat memberangsangkan.

"Jadi kita rasa calon kita menang tapi kita kena ingat jangan 'over confident' sehingga kita tidak keluar mengundi.

"Masing-masing kalau dah kata kita menang jadi tak payahlah keluar mengundi. Jangan tak keluar mengundi. Saya minta semua mesti keluar mengundi," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR petang tadi.

Bagaimanapun beliau menyeru agar para pengundi N25 Kajang keluar mengundi awal pagi esok kerana dijangkan hujan di sebelah petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka lebih 80 peratus daripada 38,055 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang akan keluar mengundi esok.
 
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata jangkaan berdasarkan trend pengundian dan peratusan keluar mengundi di Dun itu pada pilihan raya lepas.

Esok adalah hari penentu bagi kedua-dua calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon BN Datuk Paduka Chew Mei Fun untuk dipilih menjadi menjadi wakil rakyat Kajang yang baru.
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan menimbangkan permintaan Malaysia bagi bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dari radar pada 8 Mac lepas.
  
Ini susulan panggilan telefon Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel malam tadi.
  
Semalam Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan meminta bantuan daripada AS, bagi aset khusus termasuk aset dilengkapi keupayaan mencari di laut dalam.
  
"Tiada permintaan spesifik dibuat bagi mana-mana jenis aset tertentu. Ia berupa permintaan secara umum untuk kami membantu mengesan serpihan pesawat dan kotak hitam," menurut laporan agensi berita Reuters yang memetik jurucakap Pentagon Laksamana Madya John Kirby, semasa diminta mengulas panggilan telefon itu.
  
"Setiausaha berkata beliau akan menimbangkan permintaan itu, dan beliau akan meneliti sama ada kami mempunyai apa-apa yang boleh dan berpotensi untuk membantu dan beliau akan menghubungi semula Menteri (Hishammuddin) dalam masa terdekat," katanya.
  
Menurut agensi berita itu, Tentera Laut AS mempunyai pelbagai sistem sonar yang aktif dan pasif, antaranya berupaya mengesan objek di laut dalam  dengan mengeluarkan bunyi 'ping' dan memantau bunyi bergema dan ada yang berupaya mendengar bunyi seperti mikrofon bawah laut.
  
Bagi operasi SAR untuk mengesan pesawat MH370, AS pada awalnya mengerahkan kapal pemusnah misil tentera laut, USS Kidd, serta USS Pinckney, bersama-sama dua pesawat peninjau P-8 dan P-3.
  
Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
  
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
SEPANG: Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting berkata setakat ini belum ada keluarga penumpang MH370 warga China yang berada di sini meminta dibawa ke Australia.
  
Katanya ini kerana tiada perkembangan terkini berhubung dua objek yang imejnya dicerap oleh satelit di selatan Lautan Hindi awal minggu ini dan dilapor mungkin ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines tersebut.
  
"Mereka tidak minta begitu (dibawa ke Australia) kerana tidak ada sebarang penemuan (sahih) setakat ini," katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat MH370 di sini hari ini.
  
Khamis lepas Perdana Menteri Australia Tony Abbott mengumumkan penemuan dua objek itu kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth yang mungkin ada kaitan dengan penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
  
Operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan pelbagai negara sehingga kini masih gagal mengesan pesawat tersebut yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dengan lebih separuh penumpang ialah warga China.
  
Sementara itu, warga media hari ini diminta agar tidak mengganggu saudara mara penumpang warga China yang ditempatkan di sebuah hotel di Bangi.
  
"Tolonglah, bukan hari ini. Kami sangat letih dan baru sahaja habis perbincangan," kata seorang daripada mereka ketika dihampiri wakil media di hotel itu.
  
Beberapa sukarelawan dari badan bukan kerajaan Cina juga dilihat berada di sisi sesetengah keluarga terbabit.
  
"Mereka semua tidak betul-betul okey...malah kami juga tidak dapat membantu sangat," kata seorang daripada sukarelawan berkenaan.
  
Dalam pada itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersedia menambah aset bagi membantu operasi mencari dan menyelamat MH370.
  
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata setakat ini TLDM menghantar enam kapal bersama tiga pesawat bagi menyertai misi pencarian di koridor selatan, meliputi perairan Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
  
"Kita telah mengarahkan beberapa kapal untuk siap sedia sekiranya terdapat petunjuk mengenai pesawat itu, lebih-lebih lagi jika pesawat itu ditemui," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kelapan Persatuan Pesara Pegawai TLDM (RMNOA) di Kuala Lumpur. - Bernama

Tiada ulasan: