Jumaat, 14 Mac 2014

MH370 22

Mungkin tenggelam

Oleh Salman Hamat
Nibong Tebal: Wujud kemungkinan pesawat penerbangan MH370 terhempas di lautan dan tenggelam sehingga menyebabkan pancaran gelombang kecemasan daripada alat pemancar isyarat lokasi kecemasan (ELT) gagal dikesan satelit mencari dan menyelamat setakat ini.
Pandangan itu disuarakan Ketua Rancangan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Mohd Fadzil Ain yang menjelaskan kemungkinan isyarat itu tidak dapat dikesan disebabkan faktor pelemahan air terhadap gelombang radio dikeluarkan alat terbabit.

Beliau berkata, ELT berfungsi memancarkan gelombang radio untuk membolehkan usaha mengesan lokasi dan kedudukan pesawat dilakukan dengan mudah menerusi penggunaan satelit.

“Ia memancarkan gelombang itu pada frekuensi 406 MHz yang boleh dikesan pada jarak 10,000 kaki dan sekiranya di daratan, mana-mana pesawat penyelamat boleh mengenal pastinya dengan mudah.
FotoPEGAWAI Tentera Udara Vietnam meneliti peta dalam misi pencarian MH370 di kawasan perairan negara itu, semalam.

“ELT akan aktif secara automatik sejurus ia terpelanting keluar dari pesawat dengan memancarkan gelombang kecemasan itu setiap 50 saat dan boleh bertahan 30 hari.

Imej dikesan satelit China disahkan palsu


HISHAMMUDDIN (tengah) bercakap pada sidang akhbar mengenai
perkembangan terkini pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang
semalam. Turut kelihatan ialah Azharuddin (kiri) dan Ahmad Jauhari.


SEPANG - Penemuan mengenai objek terapung yang didakwa dikesan oleh satelit China di Laut China Selatan semalam, bukan hanya disahkan sebagai palsu, malah ia telah menyusahkan dan membuang masa pihak berkuasa yang terpaksa mengerahkan aset untuk bergegas ke kawasan tersebut.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Duta Besar China, Dr. Huang Hukiang telah mengesahkan gambar tersebut telah dimuat naik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa negara itu sedang menjalankan siasatan bagi memburu individu tersebut.
Katanya, pihak berkuasa China juga mengesahkan tiada sebarang objek berkaitan dengan MH370 dikesan oleh satelitnya di Laut China Selatan.
Gambar tersebut dikatakan diperoleh empat hari lalu iaitu selepas 48 jam pesawat MH370 dilaporkan hilang dari dikesan radar.
"Mereka (China) memberi jaminan akan menyalurkan segala maklumat yang hanya disahkan kepada kita.
"Saya tidak mahu tuduh-menuduh kononnya China lambat memberi maklumat awal kepada kita kerana ini merupakan usaha bersama. Belum pernah dalam sejarah operasi mencari dan menyelamat melibatkan begitu banyak negara dan aset.
"Mungkin ada pihak yang ingin melaga-lagakan keadaan ini, namun ia nampaknya tidak berhasil kerana niat kita ialah untuk mencari pesawat berkenaan," katanya pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.


IMEJ satelit China yang mendakwa menemui objek terapung yang dikaitkan dengan pesawat MH370 di Laut China Selatan.


CNN sebelum ini melaporkan satelit China mengesan tiga objek yang dikaitkan dengan pesawat yang hilang itu.
Menurut Hishammuddin, maklumat palsu itu telah mengganggu kerana pihak berkuasa telah mengerahkan aset pagi semalam ke tempat yang dimaksudkan, namun tidak menemui apa-apa.
"Menjadi kebiasaan negara untuk tidak mendedahkan data kasar yang diperoleh dari radar, namun dalam kes ini, kami meletakkan usaha pencarian mengatasi keselamatan negara.
"Kami telah berkongsi maklumat dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China untuk membantu," katanya.
Ujar Hishammuddin, pihak berkuasa juga bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS bagi membantu usaha mencari.
"FAA dan NTSB telah menyokong kita menjalankan operasi di kawasan barat Semenanjung selepas mendapati kita mempunyai asas untuk melakukannya berdasarkan kemungkinan pesawat telah berpatah balik," katanya.

MAS nafi MH370 terbang empat jam selepas terputus hubungan



PETIKAN laporan The Wall Street Journal yang mendakwa pesawat MH370
terbang beberapa jam selepas terputus hubungan dengan menara kawalan.


SEPANG - Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya menafikan dakwaan media asing yang menyatakan pesawat MH370 telah terbang selama empat jam selepas ia terputus hubungan dengan menara kawalan.
"Dakwaan yang mengatakan pesawat MH370 itu terbang selama empat jam selepas terputus hubungan tidak benar kerana tiada data diterima bagi tempoh itu," katanya pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini semalam.
Menurut beliau, pesawat milik MAS yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 1.07 pagi setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 12.41 tengah malam.
Ahmad Jauhari memberitahu, syarikat Boeing Company dan Rolls Royce juga mengesahkan mereka tidak menerima sebarang isyarat mengenai data enjin daripada pesawat MH370 itu selepas pukul 1.07 pagi Sabtu lepas.

Polis cuma kumpul maklumat



KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengunjungi beberapa kediaman kru kabin pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 bagi mendapatkan maklumat.
Bagaimanapun, katanya, kunjungan pegawai dan anggota PDRM itu merupakan amalan biasa sebagai pihak berkuasa untuk memastikan segala maklumat diperolehi bagi membantu siasatan.
"Apa yang dilakukan oleh pihak PDRM adalah mencari maklumat bukan menangkap. Maklumat-maklumat itu adalah untuk mempermudahkan pencarian. Mungkin ada maklumat yang boleh digunakan sebagai nilai tambah untuk dijadikan petunjuk kepada pencarian.
"Ini kerja polis, biasalah untuk mencari bahan bagi mempermudahkan jika ada unsur-unsur yang boleh membantu siasatan PDRM. Saya fikir ini bukan siasatan untuk diambil tindakan, jangan ingat polis ini zalim," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat keselamatan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Maktab PDRM Cheras di sini.
Tambah beliau, siasatan yang dilakukan mengambil kira empat faktor seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini iaitu melibatkan sabotaj, rampasan pesawat, masalah psikologi dan peribadi penumpang.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mengatakan pihak polis kelmarin membuat serbuan ke atas kediaman milik juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang memandu pesawat berkenaan yang hilang sejak Sabtu lalu.

Keluarga mangsa pasrah, terima hakikat



ANTARA keluarga penumpang pesawat MH370 yang tiba di Hotel Everly, Putrajaya semalam bagi mengikuti perkembangan terkini insiden berkenaan.


PUTRAJAYA - Selepas enam hari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dilapor hilang tanpa kesan, beberapa keluarga dan kru penerbangan itu yang ditempatkan di Hotel Everly di sini menyatakan mereka sudah bersedia menerima apa juga kemungkinan.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Norani Mohd. Hashim selepas melawat keluarga terbabit di hotel berkenaan semalam.
"Ada juga yang mahu pulang ke rumah kerana anak-anak lain juga memerlukan mereka. Kalau mereka mahu pulang kita tidak boleh halang sebab itu keinginan mereka, kita kena hormat keputusan mereka," katanya.
Sebanyak 107 orang daripada 38 keluarga ditempatkan di hotel itu sejak 9 Mac lalu bagi mengikuti perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Keluarga penumpang MH370 ancam saman kerajaan Malaysia


AP
BEBERAPA saudara penumpang pesawat MH370 yang hilang menunggu berita terbaharu tentang pesawat tersebut di sebuah bilik hotel di Beijing semalam.


BEIJING - Sebilangan saudara-mara penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Laut China Selatan mendesak kerajaan Malaysia dan China memberikan jawapan berhubung kehilangan misteri pesawat malang berkenaan, lapor agensi berita Reuters semalam.
Mereka juga mengancam untuk menyaman kerajaan Malaysia selain mahu berjumpa dengan Presiden China, Xi Jinping kerana pesawat tersebut masih belum ditemui.
Anggota-anggota keluarga itu juga memarahi para petugas media, MAS dan juga kerajaan mereka sendiri kerana tidak mengendahkan permintaan mereka.
"Saya betul-betul mahu berjumpa dengan Jinping dan saya juga tidak tahu apa yang lebih penting daripada nyawa 239 orang di dalam pesawat itu," kata seorang wanita muda yang mahu dikenali sebagai Wen.
"Saya juga mahu bertanya kepada Jinping jika orang tersayang atau ahli keluarga anda berada dalam pesawat itu, apakah perasaan anda," katanya sambil menangis.
"Suami saya berada dalam pesawat itu dan setiap hari anak-anak saya bertanya mengenai bapa mereka, apa yang patut saya beritahu mereka.
"Kami kini tidak tahu apa yang patut dilakukan dan memerlukan kerajaan untuk menyokong kami," tambahnya.
Seorang lagi keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu bahawa, dia mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.
"Sudah tentu kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana apa yang terjadi sesuatu yang teruk.
"Kami tidak menyaman MAS tetapi kerajaan Malaysia," katanya kepada wartawan.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru.
Seramai 153 penumpang pesawat itu ialah warga China.
Pesawat tersebut juga membawa 38 rakyat Malaysia itu hilang pada Sabtu lalu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
- Agensi

Pusat kawalan udara Vietnam jadi tempat operasi cari MH370



AFP
BEBERAPA penumpang menyaksikan sebuah pesawat Pengawal Pantai yang digunakan dalam misi mencari kapal terbang MH370 yang hilang di Lapangan Terbang Phu Quoc, Vietnam semalam.


PULAU PHU QUOC - Pihak berkuasa Vietnam menjadikan sebuah pusat kawalan trafik udara di pulau ini sebagai pusat kawalan bagi operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada Sabtu lalu.
Laporan awal menyatakan bahawa pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China terhempas di perairan berhampiran pulau berkenaan.
Kumpulan wartawan dari China, Malaysia, Kemboja dan dari negara-negara Barat juga membanjiri pulau kecil ini sejak Ahad lalu.
Bagaimanapun, selepas hampir enam hari, usaha mencari tersebut masih belum menemui sebarang petunjuk.


AFP
DUA buah kapal Pengawal Pantai berlabuh di sebuah pangkalan tentera di Pulau Phu Quoc kelmarin.


Sebuah pusat kawalan udara di pulau ini kini dijadikan sebuah pusat arahan apabila para pegawai Vietnam turut memberikan sidang media hampir setiap hari.
Sidang media itu mula didapati semakin kurang menarik bagi para wartawan selepas operasi mencari sejak beberapa hari lalu tidak membuahkan sebarang hasil.
Sebahagian wartawan mula mempertimbangkan untuk pergi ke lokasi lain dan beberapa petugas media yang lain menghubungi ibu pejabat masing-masing untuk berbincang langkah mereka yang seterusnya.
Namun, mereka kembali semula ke pusat kawalan berkenaan selepas kerajaan Vietnam menghantar sebuah lagi pesawat untuk meninjau perairan itu sekali lagi dan berharap ada petunjuk baharu yang ditemui.
Timbalan Komander Tentera Laut Vietnam, Navy Le Minh Thanh memberitahu wartawan, kerajaan melakukan apa sahaja yang termampu untuk mencari pesawat malang berkenaan.
"Misi itu tidak berubah dan semua pasukan penyelamat terus mencari di barat perairan Pulau Phu Quoc dan pantai timur Vietnam tetapi tiada sebarang serpihan atau tanda pesawat itu dijumpai," katanya. - Bernama

‘Kami tak putus asa’

Sepang: Pencarian pesawat MH370 masuk hari keenam semalam masih gagal menemui sebarang petunjuk, namun Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan tiada istilah putus asa dalam pencarian berkenaan.
Malah, beliau juga menegaskan tiada apa-apa yang cuba disembunyikan mengenai insiden berkenaan dan berharap semua pihak terus mendoakan kesejahteraan penumpang pesawat.

Berikut sedutan sidang media diadakan pada jam 5.30 petang semalam.

Dakwaan dibuat penyiasat Amerika Syarikat (AS) mengesyaki MH370 meneruskan penerbangan selama empat jam selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Subang. (Hishammuddin)
FotoHISHAMMUDDIN bersama Ahmad Jauhari pada sidang media, semalam.

Kami merujuk kepada data terakhir enjin pesawat = diperoleh jam 1.07 pagi dan mendapati pesawat beroperasi dalam keadaan normal.

Bomoh aib

Kuala Lumpur: Kemunculan beberapa individu mendakwa mereka bomoh dengan melakukan pelbagai aksi selain ritual pelik kononnya untuk membantu menjejaki kehilangan pesawat MH370 Sabtu lalu, mengundang pelbagai persepsi negatif termasuk negara luar yang mengecam tindakan syirik dan tahyul berkenaan.
Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘Bomoh Kartun’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak beberapa hari lalu seperti mengaitkan amalan itu sebagai budaya negara ini.

Media Arab, Al-Arabia turut melaporkan sihir adalah usaha terakhir rakyat Malaysia dalam menyelesaikan misteri kehilangan MH370.
Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyelar dan menegur perbuatan pembomohan yang dilakukan kumpulan individu berkenaan memalukan Malaysia.

Kata Mohd Asri, perbuatan bodoh, tahyul dan memalukan yang dilakukan kumpulan bomoh berkenaan memberikan imej buruk kepada masyarakat negara ini. “Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘bomoh kartun’ di KLIA seakan mengaitkan itu dengan budaya kita. “Al-Arabiya ini turut melaporkan bahawa sihir adalah satu jalan yang diambil oleh rakyat Malaysia dalam kes MH370. “Justeru itu Islam melarang karut marut dan tahyul yang membawa kepada syirik, bodoh lagi menjatuhkan nilai diri sebagai manusia berakal,” katanya dalam akaun Facebooknya, DrMAZA.com petang semalam.

Petikan status itu turut dimuat naik bersama lampiran laporan media Arab berkenaan yang mendapat perhatian pengguna Facebook.
Harian Metro mendapati tidak sampai dua jam status itu dimuat naik ia mendapat reaksi orang ramai dengan lebih 12,000 likes, 1,400 pelbagai komen selain 3,600 berkongsi di laman Facebook masing-masing.

Tiada ulasan: