Sabtu, 15 Mac 2014

MH370 28

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengesahkan sama ada benar pesawat MH370 dirampas seprti dilapor media antarabangsa.

Bercakap pada sidang media khas tengah hari tadi, Najib bagaimanapun berkta siasatan mengambil kira semua kemungkinan.

"Namun kita masih menyiasat semua kemungkinan mengenai apa yang menyebabkan MH370 melencong dari laluan penerbangan asalnya," kata Najib.

Najib turut mengesahkan bahawa pesawat tidak dikenali yang dikesan menukar arah dan terbang ke arah barat ialah pesawat MH370.

Pengesahan itu diperoleh berdasarkan kerja forensik yang dibuat oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia yang bekerja secara berasingan ke atas data yang sama.

"Berdasarkan data baru itu, kali terkahir komunikasi disahkan antara pesawat dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia hari Sabtu, 8 Mac," katanya.

Dengan data itu juga kata Najib, pasukan penyiasat membuat pengiraan sejauh mana pesawat itu mampu terbang.

Menurut beliau, dengan data itu pesawat boleh berada di dua koridor iaitu koridor Utara dari utara Thailand sehingga Kazakhstan dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Beliau juga memaklumkan bahawa pencarian di Laut China Selatan dihentikan dan siasatan kini ditumpukan semula ke atas anak kapal dan penumpang.
MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing 8 Mac lalu.
KUALA LUMPUR: Dengan perkembangan terbaru isu MH370 hari ini, PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan satu usul khas ke Dewan Rakyat Isnin ini.

Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, usul tersebut sangat penting untuk dibahaskan dalam mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku.

"Kenyataan PM (dalam sidang media) tadi seperti ada sesuatu yang begitu tersembunyi. Beliau sebut tadi data baru dari servis provider iaitu pengeluar enjin Rolls Royce.

"Persoalannya, kenapa begitu lambat data itu diperoleh sedangkan kita boleh panggil wakil Rolls Royce lebih awal," katanya sambil menambah sudah seminggu baru data diperoleh.

Beliau menegaskan usul yang perlu dibawa oleh Najib mestilah bersifat boleh dibahas, dan bukan hanya penjelasan menteri yang tidak boleh dibahas.

Minggu lalu, Speaker Dewan Rakyat menolak usul membincangkan kehilangan Pesawat MAS MH370, yang dikemukakan Mahfuz.

Dalam usul tersebut, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menggariskan tiga asas mengapa penting untuk usul tersebut diterima dan dibahaskan oleh Dewan Rakyat.

Katanya, adalah penting bagi parlimen sebagai mewakili seluruh rakyat Malaysia, menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas apa yang berlaku sekaligus menyatakan kebersamaan kepada keluaga yang terlibat.

"Alasan juga bahawa ianya sedang disiasat, dan perbahasan di Dewan Rakyat boleh membantu siasatan.

"Ini kerana kita lihat kenyataan-kenyataan dikeluarkan tunjuk siasatan bercelaru dan kenyataan-kenyataan bercanggah," kata beliau sambil merujuk isu penumpang yang mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat MH370 itu.

Beliau juga menjelaskan, isu MH370 ini juga telah mendedahkan beberapa lagi isu berbangkit, termasuk menyentuh soal sistem keselamatan negara.

Ianya termasuk isu penumpang yang boleh bolos biarpun menggunakan pasport palsu.

"Ini sekaligus boleh menjejaskan kempen Tahun Melawat Malaysia.

Speaker bagaimanapun menjelaskan penolakan itu dibuat dengan alasan bahawa ianya boleh dibangkitkan oleh Yang Berhormat dalam sesi perbahasan Titah Diraja, dan ianya juga telah disebut oleh speaker ketika sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat Selasa lalu.

KUALA LUMPUR: AP melaporkan bahawa seorang pegawai kerajaan Malaysia telah mengesahkan bahawa pesawat MH370 dirampas.

Laporan itu menyebut, rampasan itu bukan lagi satu teori tetapi ia adalah 'konklusif'.

Pegawai tersebut, yang terlibat dalam penyiasatan itu, berkata mereka telah menentukan bahawa salah seorang juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman terbang, telah merampas pesawat itu.

Bagaimanapun, motifnya belum diketahui dan juga tidak jelas ke mana pesawat itu berada.

Sementara itu, kerajaan Malaysia dijangka akan mengumumkan perkara itu pada sidang media jam 1.30 tengah hari ini.
Difahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri akan hadir pada sidang media kali ini.

Rasulullah SAW bersabda:

"Setiap anak adam(manusia) tidak pernah lari daripada kesalahan dan membuat dosa, namun sebaik-baik orang yang bersalah dan berbuat dosa ialah orang yang bertaubat." [HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

Kejadian demi kejadian sedang menimpa negara Malaysia ketika ini.

Kejatuhan nilai ringgit, keadaan ekonomi yang membebankan, kos hidup yang semakin meningkat, meletakkan rakyat dalam keadaan tertekan.

Ketika seluruh negara di Asia Tenggara sedang mengalami musim dingin, malah di sesetengah tempat ada yang mengalami banjir, Malaysia diuji dengan kemarau dan jerebu yang dahsyat.

Terbaru, Allah datangkan pula ujian besar buat negara, kehilangan pesawat MAS MH370 yang sehingga hari ini masih menjadi misteri.

Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu 8 Mac lalu.

Mari bersama kita insafi dan bertanya pada diri. Apakah punca kepada keadaan ini?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan takutlah kalian daripada (berlakunya) fitnah (iaitu dosa yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum), dan ketahuilah oleh kamu bahawa hukuman Allah itu tidak terperi dahsyatnya" [Al Anfal:25]

Dalam isu pengurusan ekonomi dan dana negara, ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa seperti sebati dalam pentadbiran negara.

Saban tahun ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara, namun ketirisan-demi ketirisan terus berlaku.

Dengan bajet tahunan yang defisit secara berterusan, kerajaan dilihat cuba memangsakan rakyat dalam usaha menambah pendapatan negara.

Rakyat dikenakan harga barangan keperluan yang meningkat, dan akan datang terpaksa berhadapan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan GST yang akan diperkenalkan.
GST dilihat satu cukai yang zalim dan bercanggah dengan konsep percukaian Islam, kerana bukan sahaja orang kaya, tetapi semua sektor masyarakat termasuk orang miskin juga terpaksa membayarnya.

Dari aspek perundangan, tindakan terbaru ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara, terus dilihat satu lagi siri kezaliman mengulangi skrip 1998.

Keputusan mahkamah yang dilihat dibuat tergesa-gesa dalam masa sama, mengenepikan  hukum qazaf yang diajar agama, menambah lagi beban dosa umat.

 Dalam isu menjejak pesawat MH370 pula, Malaysia menjadi tumpuan dunia ketika ini.

Malangnya, Malaysia yang dikatakan Perdana Menteri sebagai mengamal Islam moderate dan wasatiyah, mengambil jalan terdesak membenarkan pula pendekatan khurafat melalui pembomohan.

Tindakan yang bukan sahaja memalukan Malaysia, tapi lebih besar menghina agama sekaligus memberatkan lagi beban dosa yang ditanggung umat.

Lalu, di atas beberapa dosa zahir yang disebutkan itu, marilah bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk benar-benar menginsafi kesalahan yang kita lakukan.

Kita jugalah yang seharusnya menegakkan syariat Allah, kerana ia adalah amanah yang telah Allah berikan kepada kita.

Semoga Allah mengampuni dosa kita dan menghindarkan kita semua, rakyat Malaysia umumnya daripada bahaya bala bencana.

Ayuh, marilah kita perbanyakkan istighfar, terus panjanjatkan doa, moga Allah temukan pesawat MH370 dan hindarkan negara ini dari bala-dan bencana.

*Penulis adalah AJK Dewan Ulamak PAS Pusat
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Bencana ditubuhkan segera bagi membantu kerajaan dan agensi berkaitan melakukan siasatan terperinci mengenai tragedi kehilangan MH370.

Beliau berkata, Parlimen Malaysia yang mewakili rakyat Malaysia mesti memainkan peranan dalam tragedi MH370 ini, bukan sahaja memberi sokongan terhadap usaha mencari dan menyelamat juga kontroversi serta kekeliruan mengenainya.

Katanya, kekeliruan timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dimaklumkan segera sebaik sahaja MH370 dengan 239 penumpang tiba-tiba hilang, kecuali mengetahuinya beberapa jam kemudian.

Antara kekeliruan itu kata Kit Siang adalah seperti berikut.

• Sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan serta-merta sekurang-kurangnya sejam selepas pesawat itu dilaporkan hilang kerana melengah akan menyebabkan pesawat SAR yang dilengkapi sistem seperti ‘forward looking infrared’ tidak dapat mengesan tanda haba (heat signature) daripada rangka badan pesawat dan enjinnya.

• Bila hubungan dengan pesawat itu terputus, samada jam 1.30 pagi waktu Malaysia, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA atau pada jam 2.40 pagi.

• Kekeliruan mengenai pasport yang dicuri, sama ada dua atau empat, samada kelihatan seperti orang Asia, berkulit hitam atau warga Iran.

• Kekeliruan mengenai bagasi yang dibawa masuk dengan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan daripada Pengarah Penerbangan Awam, Ketua Polis Negara dan Malaysian Airlines

• Sama ada pesawat itu tersasar daripada laluan sepatutnya mengakibatkan kawasan carian semakin meluas daripada Laut China Selatan sehingga ke Selat Melaka dan dan Lautan Andaman.

“Atas sebab ini, saya menyeru ditubuhkan segera Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Bencana untuk memberi sokongan penuh kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, serta menyiasat selepas operasi menangani semua persoalan mengenai tragedi itu.

“Saya berharap Najib dan Hishammuddin dapat memberi sokongan penuh kepada cadangan ini,” katanya ketika berucap membahaskan usul menjunjung titah Diraja, di Parlimen, kelmarin.

Katanya, ini hari keenam pesawat MH370 hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dan lima hari berlalu dengan penuh rasa perit dan hiba buat keluarga, sahabat handai semua 239 individu serta mereka yang mendoakan keselamatan mangsa, tanpa mengira kaum, agama, pandangan politik atau kewarganegaraan dari dalam dan luar negara.

“Namun tiada sebarang kesan atau tanda yang ditemui meskipun usaha menyelamat oleh pihak dari pelbagai negara membabitkan 34 pesawat udara, 40 kapal untuk mendapatkan sebarang petunjuk mengenai apa sebenarnya berlaku atau menunjukkan lokasi terakhir pesawat berkenaan hilang.

“Setiap hari yang berlalu, harapan dan doa kita kepada 239 penumpang dan anak kapal MH370 berada dalam keadaan selamat terhadap apa yang menimpa mereka menjadi semakin tipis, namun begitu kita tidak harus berputus asa dan mesti terus mendoakan keajaiban buat MH370,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, semua rakyat Malaysia, malah seluruh dunia, tanpa mengira kaum, agama, latar politik dan kewarganegaraan, bersatupadu mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal MH370.

“Kita tidak boleh berpura-pura seolah-olah tidak banyak persoalan yang timbul, samada daripada pihak keluarga mangsa, sahabat handai atau masyarakat dunia, tidak kira di dalam atau luar negara, namun jawapan kepada persoalan ini harus ditangguhkan kerana keutamaan dan fokus sekarang adalah untuk menemukan pesawat terbabit.

“Bagaimanapun, rakyat Malaysia dan masyarakat dunia, mesti diberi jaminan bahawa pada waktu dan tempat yang tepat, semua jawapan bagi setiap soalan yang ditanya, di dalam dan di luar negara mesti diberikan,” katanya.-Roketkini.com
SEPANG: Penurunan status oleh pihak berkuasa Vietnam daripada peringkat kecemasan kepada normal tidak akan menghalang keseluruhan usaha mencari dan menyelamat MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Malah katanya, langkah itu dilihat secara positif terutama kerana Vietnam masih membenarkan operasi dijalankan di perairan mereka.

"Saya melihat langkah ini secara positif kerana kerjasama dengan kerajaan Vietnam memang sangat baik. Justeru apa juga status yang ditetapkan mereka berhubung operasinya, kedudukan kita kekal," katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Hishammuddin juga mengulangi bahawa pihak berkuasa Malaysia berkongsi maklumat yang biasanya tidak akan dikongsi atas faktor keselamatan negara, dengan agensi yang boleh membantu.

Vietnam antara negara terawal membantu mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 yang dilapor hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu lepas.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Setakat ini operasi menjejaki pesawat itu membabitkan 13 negara dengan lebih 100 aset udara dan laut, meliputi perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka sehingga ke Laut Andaman.-Bernama
KUALA LUMPUR: Dua tumpahan minyak yang dikesan di Laut China Selatan semalam tiada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak awal Sabtu lepas.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan di sini Jumaat, berkata hasil analisis tumpahan pertama mendapati sampel mengandungi sedikit kesan minyak pesawat.

Sampel kedua yang diambil daripada kawasan tumpahan lebih besar iaitu sepanjang tiga kilometer pula langsung tidak mengandungi kesan minyak pesawat, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut tiada serpihan ditemui di kawasan sekitar tumpahan minyak berkenaan.

"Kami tidak percaya tumpahan itu ada kaitan dengan MH370," kata kenyataan itu.

Dua tumpahan minyak itu dikesan 60 batu nautika dari selatan lokasi pesawat tersebut kali terakhir berhubung.

Mengenai laporan media Amerika Syarikat (AS) yang memetik sumber bahawa pesawat mungkin masih terbang untuk tempoh tertentu selepas hilang daripada radar, kementerian itu menegaskan sebarang bukti baharu harus dihantar kepada pasukan penyiasat di Malaysia bagi membantu siasatan.

"Prosedur standard ialah pasukan penyiasat tidak akan menghebahkan sebarang maklumat kepada umum melainkan telah disahkan secara sahih," kata kementerian berkenaan.

Selain itu, kenyataan berkenaan juga menyebut tentera udara India kini menyertai misi mencari dan menyelamat dan mereka melaksanakan operasi di perairan pantai barat Semenanjung.

Kementerian turut mengesahkan Vietnam masih menyertai misi menjejaki penerbangan MH370 itu.

Selain itu kementerian tersebut juga menegaskan kerajaan dan agensinya langsung tidak terbabit dalam isu kehadiran bomoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Bernama

Tiada ulasan: