Sabtu, 22 Mac 2014

MH370 50

Dua objek sudah tenggelam

SEORANG juruterbang Tentera Udara Diraja Australia memantau keadaan laut sebelum melepaskan dua Boya Penanda Pengesan Data Sendiri di Lautan Hindi bagi mencari pesawat MH370 semalam.


SYDNEY – Dua objek terapung yang dikesan melalui satelit di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth, dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) mungkin telah tenggelam.
Pemangku Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, imej tersebut dirakamkan melalui satelit pada 16 Mac lalu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370.
"Objek ini kemungkinan sudah terapung di kawasan laut itu sejak pesawat ini dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
"Ia mungkin telah tenggelam ke dasar laut kerana sudah terapung terlalu lama," katanya.
Kerajaan Australia kelmarin mengumumkan penemuan dua objek besar yang terapung di laut, dipercayai serpihan pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.

Selain Australia, pesawat dari New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) telah menyertai misi pencarian itu manakala China dan Jepun pula akan menyertai pada hujung minggu ini.

Pesawat bawa bateri litium




SEPANG – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan bahawa pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu turut membawa sejumlah bateri litium yang diletakkan di bahagian kargo pesawat tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Jauhari Yahya berkata, bateri tersebut telah dibungkus dengan rapi dan telah melalui pemeriksaan yang ketat sebelum dilepaskan.
Beliau berkata, prosedur untuk menghantar semua muatan pesawat tersebut sudah tertakluk di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Bateri litium bukan sesuatu yang bahaya dan pemeriksaan ke atas bungkusan itu turut diperiksa beberapa kali bagi memastikan ia mengikut prosedur.
"Muatan tersebut turut dibawa oleh syarikat penerbangan lain," kata Ahmad Jauhari pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini semalam.

Penyiasat antarabangsa dialu-alu

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana badan perisikan dan badan siasatan antarabangsa dalam mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menganggap penglibatan mana-mana pihak dalam usaha mencari pesawat itu termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) sebagai campur tangan, malah menghargainya.
"Saya tidak pernah menganggap ia sebagai satu campur tangan kerana insiden MH370 merupakan satu krisis yang melibatkan 239 nyawa.
"Maka, kita memerlukan pelbagai bantuan termasuk bantuan nasihat, peralatan serta kepakaran," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman di sini semalam.
Khalid berkata demikian mengenai penglibatan FBI dalam misi pencarian pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur.
FBI telah menghantar satu pasukan ke negara ini terdiri daripada ejen dan pakar teknikal bagi membantu siasatan mengenai kehilangan pesawat MH370.

Tragedi MH370dedah kelemahan satelit


SATELIT WorldView-2 milik DigitalGlobe yang merakam imej dua objek dipercayai serpihan pesawat MH370 di Lautan Hindi pada 16 Mac lalu.


WASHINGTON - Kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) bukan sahaja menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan tetapi turut mendedahkan batasan dan kemampuan sistem satelit, lapor Washington Post kelmarin.
Sebelum ini, beberapa pengendali satelit memberitahu bahawa satelit mereka mempunyai teknologi yang sangat canggih sehingga mampu merakamkan nombor pendaftaran sesebuah kenderaan dari orbit Bumi.
Namun, dalam kes kehilangan pesawat MH370, kelemahan dan had teknologi satelit mula terserlah apabila gagal mengesan sebuah kapal terbang yang besar.
Beberapa pakar berkata, kelemahan dan had teknologi sesebuah satelit ini berkait rapat dengan faktor fizikal, kewangan dan kegunaannya sendiri.
Satelit tentera dan komersial jarang memantau serta menganalisis ruang muka bumi yang jarang dilalui seperti kawasan terpencil di Lautan Hindi yang dipercayai menjadi laluan pesawat MH370.
Tinjauan permukaan bumi memerlukan lensa kamera satelit merakam imej pada sudut yang luas manakala tumpuan pada sesuatu objek memerlukan fokus yang berbeza.
Sesebuah satelit, kata mereka, tidak boleh melakukan kedua-dua fungsi secara serentak.
Satelit pengintip yang paling canggih biasanya mempunyai lensa kamera untuk merakamkan sesuatu imej dengan terperinci.
"Ia umpama menggunakan teropong ketika menaiki kereta pada kelajuan 100 kilometer sejam dan cuba melihat setiap peti surat di sepanjang jalan.
"Begitu juga satelit kerana anda tidak dapat menfokuskan teropong anda dengan cepat untuk melihat semua peti surat itu," kata penasihat teknikal Yayasan Keselamatan Dunia, Brian Weeden.
Yayasan Keselamatan Dunia merupakan sebuah badan bukan perniagaan yang menumpukan kepada dasar-dasar angkasa lepas.
Ketika ini, teknologi satelit masih belum terbukti kejayaannya dalam menyelesaikan kes kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu.
Para pegawai Australia kelmarin mendakwa dua buah objek yang dirakam satelit di sebuah lokasi terpencil di Lautan Hindi kemungkinan serpihan pesawat tersebut.
Imej itu dirakam pada 16 Mac lalu oleh satelit WorldView-2 yang merupakan sebuah satelit komersial yang mengelilingi bumi pada ketinggian 770 kilometer.
Namun, objek itu masih kabur dan terdapat kemungkinan imej yang dirakam adalah objek lain dan bukan serpihan MH370 atau pantulan cahaya di permukaan laut.
Sehingga kini objek yang salah satunya sepanjang 24 meter itu gagal dikesan oleh satelit lain dan juga pesawat tentera yang dihantar ke lokasi itu di Lautan Hindi.
Sementara itu, syarikat DigitalGlobe yang merupakan pemilik satelit WorldView-2 berkata, tempoh masa agak lama untuk imej itu dikeluarkan kerana ia perlu meneliti terlalu banyak data.
"Jumlah imej yang terlalu banyak di Bumi meyukarkan untuk menumpukan kepada sesuatu objek secara masa sebenar," kata syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
DigitalGlobe juga menggunakan anak syarikatnya, Tomnod untuk menjalankan satu carian umum melibatkan tiga juta sukarelawan yang meneliti imej satelit bagi mencari pesawat tersebut. - Agensi

Misteri MH370 sukar dirungkai

PARIS – Seorang pakar penerbangan di Perancis menjangkakan misteri kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sangat sukar dirungkai atau kekal misteri sekiranya benar kapal terbang berkenaan terhempas di Lautan Hindi, lapor akhbar
Financial Times.
Pengarah Biro Siasatan Kemalangan Udara Perancis, Rémi Jouty berkata, sekiranya dua objek yang dikesan oleh sebuah satelit di Lautan Hindi adalah serpihan pesawat MH370, ini bermakna satu siasatan paling sukar akan bermula.
Katanya, untuk merungkai misteri kehilangan pesawat itu, pasukan penyiasat perlu mencari kotak hitam kerana alat itu adalah kunci untuk membuka misteri tersebut.
"Bagaimanapun, di lautan ini pasukan mencari mungkin mengambil masa selama beberapa tahun untuk mencari kotak hitam pesawat ini itupun jika ia boleh ditemui.
"Apa yang boleh saya beritahu, ini adalah usaha mencari yang paling sukar dan saya tidak memberi jaminan kotak hitam ini mampu ditemui," katanya.
Menurutnya, kotak hitam penting bagi mengetahui punca sesuatu nahas udara kerana ia menyimpan rakaman suara di kokpit dan juga data-data penerbangan.
Kotak hitam yang direka untuk terselamat walaupun sesebuah pesawat terhempas atau terbakar sebenarnya berwarna merah atau oren terang bergantung kepada pengeluar.
Biro itu sebelum ini menghantar tiga penyiasat berpengalaman untuk membantu pihak berkuasa Malaysia mencari pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Ketiga-tiga pegawai penyiasat itu terlibat dalam siasatan sebuah pesawat Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.
Dalam kemalangan tersebut seramai 228 penumpang dan anak kapal terbunuh manakala kotak hitam pesawat itu ditemui selepas dua tahun tragedi berlaku.
Ketika misi mencari pesawat Air France, ekor kapal terbang adalah serpihan pertama ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan terhempas.
Beberapa serpihan lagi dan beberapa mayat penumpang pesawat itu hanya dijumpai hampir dua minggu selepas penemuan pertama tersebut.
Kotak hitam pesawat Air France ditemui pada kedalaman 4,000 meter iaitu hampir sama dengan kedalaman di satu kawasan di Lautan Hindi di mana dua objek dipercayai serpihan pesawat MH370 dikesan. – Agensi

Jutaan imej dua petunjuk

SYDNEY: Jumlah imej satelit terlalu banyak yang memerlukan masa untuk diteliti menyebabkan kelewatan mengenal pasti objek yang mungkin dapat dikaitkan dengan pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi.
Jurucakap DigitalGlobe yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat Turner Brinton berkata, lebih tiga juta kilometer persegi gambar kawasan bumi dirakam oleh lima satelit beresolusi tinggi setiap hari termasuk dua objek sepanjang 24 meter dan lima meter dikesan kira-kira 3,500 kilometer (KM) di barat daya Perth itu.
“Jumlah imej yang dirakam terlalu banyak untuk diteliti secara langsung tanpa pengkhususan. Disebabkan keluasan kawasan carian yang luar biasa, masa yang diperlukan untuk analisis maklumat adalah mengikut yang dijangkakan,” katanya.

Brinton tidak menjelaskan sama ada objek itu dikesan oleh penganalisis syarikatnya, pihak kerajaan atau peserta platform sumber daya kerumunan (crowdsourcing) dipanggil Tomnod yang diaktifkan 11 Mac lalu bagi mengajak orang ramai meneliti imej satelit bagi mencari petanda baru.

Lebih 6.3 juta pengguna yang terbabit Tomnod meneliti lebih 485 juta peta membabitkan lebih 120,000 kilometer persegi imej kawasan dan lebih 6.7 juta ciri telah ditanda, katanya.

Brinton juga enggan memberitahu tarikh imej dua objek yang dirakam pada 16 Mac lalu itu diberikan kepada pihak berkuasa Australia.

Bagaimanapun, Pemangku Perdana Menteri Australia Warren Trus berkata, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang mengetuai usaha pencarian di selatan Lautan Hindi hanya menerima imej satelit itu pagi semalam.

Pada masa sama, imej itu juga perlu dikaji oleh Pertubuhan Pertahanan Imej dan Geospatial Australia (DIGO) terlebih dulu.

“Imej satelit itu perlu dianalisa dulu untuk memastikan ia relevan dan boleh dijadikan alasan untuk menumpukan usaha pencarian ke lokasi berkenaan,” kata Truss kepada radio Australian Broadcasting Corp.

Kementerian Pertahanan Australia yang bertanggungjawab terhadap DIGO enggan menjelaskan proses atau jumlah masa yang diambil untuk meneliti imej tersebut.

Truss berkata, DIGO meneruskan penelitian imej satelit itu walaupun gerakan mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan.

“Ia usaha berterusan. Kami berusaha mendapatkan maklumat sebanyak mungkin bagi mengesahkan lokasi serta pergerakan objek itu sekali gus mengenal pasti usaha yang diperlukan dalam operasi pencarian,” katanya.

Walaupun Malaysia dan Australia yakin dengan petanda ini, mereka juga tidak menolak kemungkinan puing di dalam gambar itu tidak berkaitan dengan pesawat yang hilang.

Imej ini membolehkan pencarian yang lebih khusus berdasarkan maklumat radar, satelit, kapal atau sumber lain, kata Steve Wood, bekas pegawai perisikan Amerika Syarikat yang pernah mengetuai unit analisa DigitalGlobe.

“Usaha pencarian kini lebih tertumpu,” kata Wood. - Reuters

Perangkap pusaran

Kuala Lumpur: “Pasukan mencari sekarang bekerja di kawasan laut yang ada pusaran amat besar serta mampu memerangkap apa saja objek yang jatuh di dalamnya.”
Itu kata Pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah mengenai keadaan di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer ke arah barat daya Perth, Australia yang menjadi tumpuan dunia sekarang.
Kawasan dianggap antara lokasi terpencil dunia itu menjadi perhatian selepas Perdana Menteri Australia Tony Abbott kelmarin mengumumkan satelit mengesan dua objek besar yang berkemungkinan ada kaitan dengan MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu.

Dr Azizan berkata, saiz pusaran besar dinamakan gyre di Lautan Hindi itu amat luas dan merangkumi Sumatera, Indonesia hingga ke perairan Madagascar.

FotoJURUTERBANG pesawat P-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia melihat kapal kargo Norway ketika membuat tinjauan.

FotoPESAWAT P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Barat Australia untuk menyertai operasi SAR.

 “Gyre adalah pusaran besar di permukaan laut. Semua serpihan yang terperangkap dalam gyre ini akan berpusing dan diapung oleh arus.

Reda takdir Ilahi

Kuala Lumpur: Bapa kepada seorang penumpang pesawat MH370 masih menanti kepulangan anaknya, Norliakmar Hamid, 33, yang menaiki pesawat itu bersama-sama suaminya ketika ia hilang sejak 8 Mac lalu.
Hamid Ramlan, 56, seorang anggota polis yang bertugas di Bukit Aman berkata, walaupun penantian adalah satu penyeksaan, beliau sekeluarga masih yakin Allah SWT dapat menemukan mereka dengan anak perempuan serta menantunya, Mohd Razahan Zamani, 24.

“Pasangan itu pergi ke Beijing, China untuk berbulan madu. Hampir dua minggu kami tidak menerima sebarang maklumat positif mengenai mereka. Kami tawakal dengan segala ketentuan Ilahi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika keadaan sebaliknya berlaku, mereka keluarga tetap akan menerima dengan reda walaupun perit.
FotoSEORANG pelawat melihat mesej harapan dan doa kepada penumpang dan kru pesawat MH370 di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya.

Sementara itu, S Thenmoli, 26, adik perempuan kepada seorang lagi penumpang turut yakin abangnya, S.Puspanathan, 34, tetap akan pulang ke pangkuan keluarga meskipun sudah 13 hari pesawat berkenaan gagal dikesan.

Thenmoli, seorang eksekutif operasi di sebuah syarikat swasta di sini berkata, anggota keluarganya masih menanti kepulangan Puspanathan yang menaiki pesawat itu ke Beijing atas urusan kerja.

China hantar 7 kapal ke Lautan Hindi

Beijing: Tujuh kapal China akan dihantar ke selatan Lautan Hindi untuk mencari dua objek yang dipercayai ada kaitan dengan penerbangan MH370.
Setakat ini, empat pesawat dari negara berkenaan iaitu Haixun 01, Haixun 31, Nanhaijiu 101 dan Nanhaijiu 115 sudah bersedia untuk berlepas ke lokasi berkenaan pada bila-bila masa sebaik mendapat kebenaran.
Tiga lagi kapal laut sudah berlepas ke lokasi berkenaan lebih awal.
Kapal pemecah ais, Xuelong atau lebih dikenali Snow Dragon yang kini berada di Fremantle di barat Australia juga dijangka berlepas ke kawasan berkenaan.
Sebelum ini pada Januari lalu, Snow Dragon digunakan dalam operasi menyelamatkan sebuah kapal Rusia yang terkandas di Antartika.
Khamis lalu, Australia melaporkan satelit berjaya mengesan dua objek di selatan Lautan Hindi dengan salah satu objek berukuran 24 meter panjang.
Pengumuman itu memberi harapan dalam pencarian pesawat MH370 yang misteri, namun pihak berkuasa belum dapat mengesahkan mengenai objek berkenaan.
Seramai 153 daripada 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu adalah rakyat China.

Minta bantuan Amerika

Sepang: Belum disahkan. Itu kenyataan rasmi diberikan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung penemuan dua objek di Lautan Hindi, kelmarin, dikatakan mungkin ada kaitan dengan pesawat penerbangan MH370 yang hilang 8 Mac lalu.
Katanya, Malaysia meneruskan kerja mencari dan menyelamat (SAR) walaupun berdepan cabaran diplomatik, teknikal serta logistik di Koridor Selatan mahupun di Koridor Utara.

Malah, Hishammuddin menegaskan Malaysia masih mengalu-alukan mana-mana negara atau organisasi pakar untuk membantu usaha SAR yang genap dua minggu semalam.

Berikut sedutan sidang media harian yang turut dihadiri Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya.


Penemuan dua objek menerusi rakaman imej satelit di Lautan Hindi kira-kira 2,500 kilometer ke arah barat daya Perth, Australia


(Hishammuddin)


Kita masih menunggu maklumat daripada pasukan mencari dan menyelamat Australia untuk menentukan sama ada objek ditunjukkan imej satelit, semalam (kelmarin) berkaitan dengan MH370.

Kita sedang membuat persediaan untuk kemungkinan maklumat betul atau sebaliknya.

Dari segi persiapan keluarga kita sudah maklum mengenai maklumat daripada pihak berkenaan dan kita akan beritahu mereka secepat mungkin perkara itu.

Tapi malangnya setakat, jam 5.40 petang hari ini (semalam) tiada perkembangan positif untuk disampaikan kepada mereka.

Empat pesawat kita dihantar di 2,500 kilometer dari Perth.

Pesawat ini yang paling canggih, itu yang kita gunakan dan tidak termasuk dengan maklumat lain yang termasuk dakwaan kapal perdagangan yang dilaporkan pusat menyelamat dan menyelaras (RCC) Australia.

Usaha pencarian di barat daya Perth diteruskan dan pihak berkuasa Australia juga menggiatkan lagi operasi mencari di kawasan itu.

Kapal HMAS milik Tentera Laut Diraja Australia dijangka tiba di tempat objek itu esok (hari ini).

Jepun menggerakkan asetnya ke Perth termasuk dua pesawat P-3 Orion untuk membantu Australia.

Pagi ini (semalam) saya bercakap dengan pemangku Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom yang mengesahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah berhubung dengan Perdana Menteri Britain David Cameron.

Kapal HMS Echo dari UK kini belayar ke selatan Lautan Hindi untuk menyokong pencarian.

Pesuruhjaya Tinggi UK juga mengesahkan negaranya akan memberikan kita senarai aset yang boleh diguna jika diperlukan.

Beliau juga menegaskan, jika ada sebarang pengesahan berkenaan MH370, pihaknya bersedia menghantar lebih pakar dan penyiasat untuk membantu.

Saya juga sentiasa berhubung dengan delegasi Perancis yang diketuai Duta Perancis ke Malaysia.

Mereka termasuk pegawai mengetuai siasatan kes pesawat Air France 447 yang terhempas sebelum ini.

Mereka bersetuju membantu berdasarkan kepakaran dan pengalaman mengendalikan kes itu.

Pesawat Air France mengambil masa dua tahun untuk ditemui kotak hitam itu, ada teknologi lain digunakan selepas 30 hari tempoh isyarat kotak hitam hilang.







Naluri kata dia masih hidup

Jitra: “Saya begitu mengharapkan ada keajaiban akan berlaku kerana naluri hati saya kuat mengatakan semua mangsa dalam pesawat yang hilang itu masih selamat sehingga kini,” kata Jee Teik Min, 75, bapa kepada Jee Jing Hang,41, seorang daripada penumpang pesawat MH370 yang hilang 8 Mac lalu.
Keyakinan dan harapan besar itu sekali gus membuatkan keluarga berkenaan menolak kebarangkalian penemuan dua objek oleh satelit di selatan Lautan Hindi adalah serpihan pesawat yang hilang sejak dua minggu lalu.

Teik Min yang masih kurang sihat selepas menjalani pembedahan di perutnya sejak empat bulan lalu berkata, setiap hari dia tidak terlepas mengikuti perkembangan berita kehilangan pesawat berkenaan, sekali gus menantikan satu keajaiban berlaku.

Katanya, naluri hatinya kuat mengatakan dua objek ditemui satelit berkenaan bukan daripada pesawat MH370 kerana yakin semua mangsa masih berada dalam keadaan selamat.
FotoMOHD Aizad (kiri) melawat ahli keluarga Jee, semalam.

“Saya tidak tahu kenapa, tetapi hati saya kuat mengatakan mereka semua masih selamat di suatu tempat. Kalau ikutkan kami seluruh ahli keluarga tidak mahu terlalu percaya kepada berita yang belum sahih, jadi kami berdoa ada sesuatu keajaiban akan berlaku.

“Kalau diikutkan sudah pasti setiap hari saya menunggu khabar gembira apabila menonton berita perkembangan terkini mengenai pesawat MH370, namun sehingga kini kami masih berdebar menanti apa sebenar yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Difahamkan, Jing Hang yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu dijadualkan sudah pulang ke tanah air selepas bercuti selama seminggu di Beijing, China dan pulang ke kampung sempena cuti sekolah ini bagi melawat keluarga bersama dua anaknya yang berusia 11 dan 13 tahun.

Sementara itu, Tan Giat Gua, 68, ibu kepada Jing Hang yang masih tidak dapat menahan sebak setiap kali teringatkan anak bongsu daripada dua beradik itu turut mengalami penurunan berat badan.

Perkara itu diakui sendiri anak sulungnya, Andrew Jee, 42, selepas melihat ibunya yang hilang selera makan dan tidak dapat tidur sejak kejadian kehilangan pesawat MH370 itu.

Katanya, setiap hari ibu pasti menangis apabila melihat berita mengenai perkembangan kehilangan pesawat MH370, malah dia tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu memikirkan keadaan Jing Hang.

“Saya nampak badan ibu juga sudah semakin susut kerana dia bukan saja hilang selera makan, malah sering mengadu sakit kepala kerana tidak dapat tidur akibat terlalu memikirkan nasib yang berlaku kepada adik saya dan pesawat yang hilang itu,” katanya.

Terdahulu, Presiden Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK) Mohd Aizad Roslan bersama beberapa barisan kepimpinannya yang melawat keluarga itu turut memberikan sekuntum mawar merah sebagai tanda sokongan pihak belia kepada keluarga mangsa kehilangan pesawat MH370.

Katanya, selepas ini pihaknya turut bercadang mengadakan lawatan ke tiga-tiga rumah mangsa lain di negeri ini bagi memberi sokongan dan tanda keprihatinan belia atas insiden yang berlaku.

Tiada ulasan: