Rabu, 5 Mac 2014

AIR AIR AIR....MILIK ALLAH....ALLAH KURNIANKAN DARI BERBAGAI SUMBER....ITU PUN MANUSIA TAK BERSYUKUR DAN TAAT PADA ALLAH SWT

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk menghantar tiga orang wakil bagi menyampaikan pandangan pakatan rakyat kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung  Memorandum Persefahaman (MoU) air.

Tiga mereka yang mewakili parti masing-masing adalah Timbalan Presiden DAP Tan Kok Wai, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini turut meminta agar Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak tergesa-gesa menandatangi perjanjian awal dengan kerajaan pusat berhubung MoU itu.

"Pandangan harus diberikan penjelasan lebih terperinci tentang kesan kepada Selangor, hal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan (Pakatan) sebelum ditandatangi perjanjian.

"Kita memberi ruang kepada Khalid untuk memberi penjelasan, sebelum ini kita nyatakan sokongan terhadap langkah-langkah yang telah diambil," jelasnya.

Tambah beliau, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak bermaksud untuk mencampuri urusan kerajaan negeri tetapi setiap keputusan yang diambil perlu memberi keutamaan kepentingan rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Agong PAS,  Datuk Mustafa Ali memberitahu, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat  belum melihat kandungan MoU tersebut.

"Perkara ini perlu diambil, apa-apa keputusan dibuat biar lebih teratur sebab itu pimpinan haru tahu isi kandungan.

"Kita ada persefahaman setiap apa yang dibuat perlu diketahui semua dan dari itu kita akan dapat melihat apa kesan yang dialami oleh rakyat," kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid memberi jaminan bahawa perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak akan menyebabkan pengguna menanggung kos lebih tinggi.

"Tidak," kata Khalid ringkas pada sidang media hari ini tanpa menjelaskan lebih terperinci mengenainya.

Khalid berkata, Perjanjian Awal menyatakan tiada kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun akan datang.
KUALA LUMPUR: Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) akan melaksanakan pelan catuan air di kawasan Gemas dan Tampin berikutan Sungai Muar, yang membekalkan sumber air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Gemas Baru menyusut ke paras kritikal.
  
Menurut kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), pihak Sains telah memohon melaksanakan catuan itu dan akan mengumumkan perincian catuan itu dalam masa terdekat.
  
"LRA Gemas Baru kebiasaannya merawat air sebanyak 27.7 juta liter sehari (JLH), kini hanya mampu mengeluarkan 12 JLH sahaja iaitu pengurangan sebanyak 15.7 JLH atau 57 peratus," kata kenyataan itu.
  
Pengurangan pengeluaran air di loji itu akan memberi kesan kepada pengguna-pengguna di Daerah Jempol dan Tampin khususnya di kawasan Felda Palong, Felda Bukit Jalur serta sebahagian kawasan Gemas dan Tampin.
  
"Adalah dianggarkan sebanyak 13,263 akaun pengguna akan terjejas bekalan air," kata kenyataan itu.
  
Menurut kenyataan itu Sains mencadangkan supaya kawasan-kawasan di daerah Jempol dan Tampin dibahagikan kepada empat zon dan setiap dua zon akan menerima bekalan air selama 24 jam secara berselang iaitu sehari mendapat bekalan air dan sehari dicatu sehingga diberitahu kelak.
  
"Sains akan mengumumkan perincian catuan seperti senarai kawasan yang terlibat, jadual catuan serta lain-lain maklumat penting di media massa dalam masa terdekat," kata kenyataan itu.
  
Tambah kenyataan itu, Sains juga memaklumkan bahawa Empangan Gemenceh kini menyusut dengan kadar yang membimbangkan.
  
Sains sedang memantau rapi paras air di empangan itu dan akan merujuk kepada Span sekiranya catuan di daerah Rembau diperlukan, kata kenyataan itu. – Bernama
KOTA BHARU: Ketika itu Sultan Mansor mengarahkan hulubalang berkawal di pintu masuk ke Kota Bharu bagi memastikan wanita-wanita yang datang ke bandar menutup aurat.

Dan sekiranya ada wanita tidak menutup aurat, mereka akan dilumurkan dengan cat hitam dan diarah balik semula ke rumah.

“Peraturan tersebut membuatkan wanita-wanita yang tidak tutup aurat takut hendak datang ke Bandar Kota Bharu,” kata anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau itu berkata, langkah kerajaan negeri sekarang tidaklah sampai ke tahap seperti berlaku pada era Sultan Mansor bagi memastikan wanita Islam menutup aurat.

Katanya, kerajaan negeri lebih mengutamakan pendekatan mendidik bagi menyedarkan wanita Islam terhadap tanggungjawab kepada agama.

Menjawab soalan Mohd Nazlan Mohd Hasbullah (PAS-Limbongan) pada persidangan Dun hari ini katanya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan juga mengenakan kompaun kepada mereka yang engkar.

Menurutnya pada 2012 terdapat 108 kes dikenakan kompaun terhadap wanita Islam yang tidak menutup aurat. Dan tahun lepas berkurangan kepada 21 kes.

“Bagaimanapun kakitangan wanita Islam yang bekerja dengan kerajaan negeri sudah mencapai tahap 100 peratus menutup aurat,” katanya.

Ekoran kesedaran itu beliau berkata, perniagaan busana Muslim sekarang semakin mendapat sambutan orang ramai di Kelantan.

Malah katanya, Pasar Besar Siti Khatijah, Bazar Tok Tok Guru dan Bazar Tengku Anis terkenal sebagai hub tudung dan pakaian menutup aurat di sini.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, peraturan memperagakan wanita sebagai model iklan hendaklah dipastikan menutup aurat bagi yang berusia 12 tahun ke atas.

“Iklan tersebut termasuk juga wanita bukan Islam yang dijadikan model,” tambahnya menjawab soalan tambahan Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran).

Sebelum itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah bagi melaksanakan dasar penjimatan ekoran kenaikan harga barang sekarang.

Antaranya mengeluarkan surat arahan supaya setiap jabatan dan agensi berbelanja mengikut keperluan dan secara bijaksana.

Selain itu mengedarkan 11 garis panduan berjimat cermat serta memupuk kesedaran berjimat cermat sejak 23 tahun lalu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penubuhan Perbadanan Pertanian Kelantan akan dibentang pada persidangan Dun akan datang.
KUALA LUMPUR: Peguam PKR, N Surendran menyelar kenyataan dikeluarkan hakim berhubung rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghalang Shafee Abdullah untuk menjadi pendakwaraya dalam perbicaraan Fitnah Liwat 2, Anwar Ibrahim.

Beliau yang dipetik Keadilandaily berkata, kenyataan dikeluarkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusuf Wahi yang menyatakan tindakan Anwar sengaja melambatkan proses perbicaraan, sebagai tidak adil dan tidak wajar.

“Saya merujuk kepada Keputusan Mahkamah Rayuan 3 Mac lalu yang menolak permohonan Anwar Ibrahim untuk membatalkan peguam Umno, Shafee Abdullah daripada menjadi pendakwaraya dalam rayuan kerajaan berhubung kes Fitnah 2.

“Hakim Datuk Balia Yusuf Wahi mendakwa bahawa permohonan Anwar telah dibuat untuk melambatkan rayuan kerajaan dan merupakan penyalahgunaan proses.

“Kenyataan ini adalah tidak wajar dan tidak perlu,” kata Surendran seperti lapor portal berita PKR itu.

Surendaran yang Naib Presiden PKR menegaskan, hakim sepatutnya menjalankan tugas selari dengan prinsip undang-undang tanpa pengaruh politik pemerintah.

Tambahnya, umum mengetahui bahawa Shafee yang bakal menegetuai pendakawaan bagi kes Fitnah Anwar adalah peguam peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

“Tugas hakim adalah untuk mendengar semua permohonan dan hujah bagi pihak tertuduh, dan kemudian membuat keputusan.

“Apatah lagi dalam kes seperti ini di mana Anwar adalah mangsa tuduhan bermotifkan politik yang dibawa dengan galakan dan hasutan kerajaan memerintah .

“Prinsip perundangan jenayah bahawa, orang yang dituduh harus dibenarkan peluang untuk mempertahankan dirinya, hak untuk perbicaraan yang adil adalah prinsip asas sistem keadilan jenayah kita.

“Kita menyeru kerajaan BN dan PM Najib Razak, yang mana peguam peribadinya adalah pendakwa bagi kes Fitnah Anwar, untuk menggugurkan tuduhan rekaan terhadap pemimpin pembangkang, ” katanya.

Mat Zain buat laporan polis terhadap Shafee kerana menipu

MAT_ZAINKUALA LUMPUR 5 MAC: Bekas Ketua Pegawai Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim membuat laporan polis terhadap peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana menipu.
Laporan tersebut menyatakan bahawa Shafee melakukan kesalahan apabila menyembunyikan bahan bukti dari perbicaraan yang kemudiannya menyebabkan satu kenyataan bersumpah (SD) Mat Zain tidak dapat diterima.
Menurut Mat Zain, Shafee telah membuat penegasan bahawa terdapat percanggahan nombor kad pengenalan Mat Zain dalam writ saman dengan SD Mat Zain.
“Shafee seterusnya mendakwa saya telah memanipulasi SD saya untuk menyembunyikan atau mengelirukan mahkamah berkaitan iddentiti saya.
“Shafee selanjutnya menghujahkan bahawa akibat daripada percanggahan nombor kad pengenalan yang disengajakan menjadikan SD saya sebagai satu dokumen yang tidak bernilai.
“Malahan menjadikannya sebagai dikumen keterangan dengar-cakap (hearsay-evidenge) sahaja,” kata Mat Zain dalam laporan yang dibaca Keadilandaily.
Menurut Mat Zain, penghujahan itu dibuat Shafee di hadapan Mahkamah Rayuan pada 18 Disember 2013 yang menyentuh perkara mustahak untuk memperdayakan Mahkamah Rayuan supaya membuat keputusan memihak kepada Shafee.
Kenyataan lain dalam kandungan laporan itu turut menyatakan, Shafee disyaki melakukan kesalahan menggunakan keterangan yang tidak benar dan/atau palsu dan mengelirukan dalam penghujahan bertulis bertarikh 18 Disember 2013.
KUALA LUMPUR: DAP menyertai semua rakyat Malaysia mengutuk perbuatan membunuh Koperal Raja Aizam Raja Mohd dan mencederakan Koperal Mohd Aidil Mustafa oleh pendatang haram di Klang kelmarin.

“Pembunuh terlibat perlu dihadapkan ke pengadilan dan dijatuhkan hukuman paling berat menurut peruntukan undang-undang berkaitan pembunuhan,” ujar Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.

DAP juga, katanya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban di samping mendoakan agar Mohd Aidil yang dimasukkan ke wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pulih dengan segera daripada kecederaan yang dialami akibat tetakan di kepala.

Katanya, serangan ke atas dua orang koperal polis oleh pendatang haram itu menandakan fasa baru tahap keselamatan di Malaysia iaitu bukan sahaja rakyat biasa, anggota polis sendiri tidak merasa selamat dalam negara sendiri.

Menurutnya, seratus orang yang menyertai forum “Time to Reform the Polis Force” di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL kelmarin bersetuju bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia, sama ada yang tinggal di kawasan bandar atau luar bandar,  tidak lagi merasa selamat.

“Tahap keselamatan dalam negara sebenarnya lebih buruk kerana polis sendiri tidak merasa selamat ketika menjalankan tugas biasa mereka untuk memastikan negara dan orang ramai bebas daripada jenayah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Menurut Lim lagi, antara punca keadaan keselamatan dalam negara ini semakin buruk ialah kerana polis dan pihak berkuasa telah lama mengabaikan kebanjiran pendatang haram yang kelihatan seperti menubuhkan “sebuah negara lain dalam negara dan undang-undang lain dalam di samping undang-undang Malaysia” – membentuk gunung berapi yang menanti masa untuk meletus dan memberi kesan buruk kepada semua warga Malaysia.

Justeru, beliau bersetuju sepenuhnya dengan ahli panel dalam forum tersebut, iaitu pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation Ivy Josiah yang juga merupakan anggota Suruhanjaya Diraja Polis yang dibentuk oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah pada tahun 2004 untuk mengemukakan saranan bagi mengubah polis Malaysia menjadi sebuah pasukan yang cekap, profesional, dan bertaraf dunia untuk memenuhi tiga matlamat iaitu mengurangkan kadar jenayah, membasmi korupsi dalam pasukan polis dan memelihara hak asasi manusia di Malaysia.

Katanya, Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja Dzaiddin yang dianggotai oleh Ivy telah mengemukakan lebih 100 saranan, antara yang terpenting adalah pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Namun, ujar beliau sepuluh tahun selepas RCI itu, keyakinan orang awam terhadap kecekapan, integriti, dan profesionalisme polis merosot ke tahap paling rendah dalam sejarah negara.

Ivy Josiah menyarankan supaya jawatankuasa pilihan parlimen dibentuk untuk menjelajah ke seluruh negara bagi mendengar aduan rakyat berkenaan polis.

Ujar beliau: “Jawatankuasa pilihan parlimen perlu dibentuk dan menjelajah negara untuk mendengar aduan rakyat berkenaan polis.

“Barangkali kalau orang awam mula mendedahkan nama anggota polis yang salah laku, pihak berkuasa di Putrajaya akan mula mendengar dan memberi perhatian terhadap kelemahan dalam pasukan polis.”

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sanggup menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Polis dan Keselamatan Orang Ramai dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.

“Apakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas hal-ehwal parlimen Datuk Seri Shahidan Kassim sanggup membangkitkan subjek ini dalam mesyuarat Kabinet pada hari Rabu?” tanya Lim.

Lim selaku Ketua Parlimen DAP akan menghantar nota kepada Shahidan sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu untuk menggesa beliau mendapatkan lampu hijau dari Kabinet bagi pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Polis dan Keselamatan Orang Ramai.

Saya menyeru Ahli Parlimen Pakatan Rayat dan Barisan Nasional untuk menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sedemikian untuk memastikan pasukan polis dapat diperbaharui sehingga memberi keutamaan memastikan rakyat Malaysia, pelancong, pelabur, wanita, dan juga polis sendiri merasa selamat dalam negara ini dari penjenayah dan pendatang haram agar tragedi yang menimpa kedua-dua anggota polis kelmarin tidak berulang,” katanya lagi.
SHAH ALAM: Kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula air Selangor yang ditandatangani dengan Kerajan Pusat akan didedahkan dalam masa seminggu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keputusan itu kata Khalid, hasil perbincangan bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili dalam pertemuan di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak dalam jawapannya tidak keberatan untuk mendedahkan maklumat itu kepada umum kerana ia tidak memberi pengaruh kepada keselamatan negeri dan negara.

"Menteri rasa ia boleh dilakukan sebab tidak akan memberi kesan kepada keselamatan negeri dan negara.

“Prosedurnya saya sudah beritahu kepada pegawai mereka dan saya rasa tidak lama lagi akan dapat jawapan yang boleh membenarkan kandungan dokumen itu didedahkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Khalid dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menandantangani Perjanjian Awal (Heads of Agreement) dengan Kerajaan Selangor yang  mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor.

Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya semalam, kedua-dua pihak katanya telah bersetuju supaya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air  (KeTTHA) mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mewakili Kerajaan Selangor.

"KeTTHA dan KDEB akan bekerjasama menghasilkan deraf Perjanjian Awal ini dan dijangka ditandatangani dalam masa terdekat.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menterinya, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dan akan memaklumkan kepada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin-peminpin tertinggi Pakatan Rakyat," kata beliau.

Menteri KeTTHA, juga kata Khalid telah menyatakan keinginan untuk menghadiri majlis pecah tanah projek HORAS  (Hybrid Off River Augmentation System) di Kuala Selangor yang akan dibina oleh kerajaan Negeri Selangor untuk membekalkan air terawat sebanyak 600 juta liter sehari (JLH) yang dijangka diadakan pada 15 Mac ini.

"Kita yakin projek HORAS akan berjaya menyelesaikan masalah gangguan bekalan air sementara menunggu siapnya Langat 2," ujarnya.
Asap tebal dari lokasi kebakaran hutan berhampiran kilang Lynas dirakam dari jauh.

KUANTAN: PAS Indera Mahkota menggesa pelan tindakan kecemasan (Emergency Response Plan - ERP) diaktifkan segera bagi menangani kebakaran hutan yang semakin marak di Kawasan Industri Gebeng.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu kawasan kebakaran yang bermula pagi tadi boleh di lihat sejauh 10 kilometer dan mengakibatkan jarak penglihatan di kawasan berhampiran menurun kepada 5 meter sahaja dan membahayakan pengguna jalan raya di kawasan industri tersebut.

Andansura mendengar taklimat daripada anggota Bomba yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran hutan berhampiran kilang Lynas.
Menurut Andansura, berdasarkan perbincangan dengan anggota Bomba di lokasi kejadian sebentar tadi, keadaan semakin kritikal di sebabkan angin kencang dan kebanyakkan anggota bertumpu di lokasi utama iaitu berhampiran kilang kontroversi Lynas.

Lebih 40 anggota Bomba dari Balai Gebeng dan Indera Mahkota dibantu anggota Bomba TLDM dan BASF Petronas bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

Di masa yang sama kebakaran dilapor merebak ke Kampung Palas, Cherating seluas 150 ekar dan berhampiran Pusat Latihan Maritim.

"Justeru saya menyeru pihak kerajaan negeri mengaktifkan segera pelan kecemasan dengan menambah bilangan anggota bantuan seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Pasukan Bantuan Kecemasan Gebeng (GEMA).

"Langkah ini perlu bagi memastikan api dapat dikawal sebelum merebak lebih jauh yang boleh menjejaskan operas kilang-kilang di sini juga penduduk di kawasan berhampiran," ujar Andansura.
Jarak penglihatan terhad bagi pengguna jalan raya menuju ke kilang Lynas akibat kebakaran hutan.

Tiada ulasan: