• Lebih 5,000 penyokong Pas rai kemenangan Azam Penyokong Pas membanjiri perkarangan SMA Yan seawal jam 7 malam untuk menunggu keputusan PRK Dun Sungai Limau.
1 / 1
YAN - Lebih 5,000 penyokong termasuk pemimpin parti Pas pelbagai peringkat berkumpul di pusat penjumlahan undi yang berlangsung di SMA Yan, di sini, malam tadi.

Kehadiran mereka yang ternyata gembira sekali gus meraikan kemenangan calon Pas, Mohd Azam Abd Samat yang menewaskan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada PRK Dun Sungai Limau.

Sejurus keputusan diumumkan kira-kira jam 9 malam oleh Pengurus Pilihan Raya Negeri, penyokong yang hadir melaungkan kalimah takbir "Allahuakhbar".

Mohd Azam mendapat kemenangan dengan jumlah undi sebanyak 12, 069, manakala Ahmad Sohaimi mendapat 10, 985 dengan majoriti 1, 084 undi.

Dengan keputusan itu, menjadikan Mohd Azam sebagai Adun Sungai Limau menggantikan Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.
Rasmi: PAS menang, majoriti merosot
6:43PM Nov 4 2013
RASMI: PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti kira-kira 1,084 undi - merosot 1,690 undi daripada majoriti pada PRU13 lalu.
Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat memperolehi 12,069 undi manakala calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan.
Seramai 85.5 peratus (23,249) daripada 27,222 pemilih dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

PAS mempertahankan kerusi tersebut bagi kali keenam berturut-turut. Pilihan raya kecil kali ini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Dalam PRU13, PAS mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 2,774 undi. Ketika itu Azizan memperolehi 13,294 undi untuk menewaskan tiga lagi calon termasuk dari BN yang mendapat 10,520 undi.
Ini bermakna undi PAS merosot 1,225 undi manakala undi BN bertambah sebanyak 465 undi.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata kemerosotan majoriti yang diperolehi calon parti itu adalah kerana pilihan raya kecil tersebut diadakan pada hari bekerja.
Ini menurutnya, menyebabkan hanya 2,300 daripada 3,600 pengundi luar yang balik mengundi hari ini.
Manakala Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata wanita di Sungai Limau menunjukkan minat dengan BN, "tetapi memandangkan ada yang berbai'ah dengan suami, mereka takut (untuk undi BN).
1. Mahfuz: Majoriti merosot kerana PRK pada hari bekerja
2. Jamil yakin peluang BN tambah undi 5 tahun lagi
3. Shahrizat: 'Kita menang dalam kalah'