Khamis, 14 November 2013

BENDA BAIK PATUT DENGAR....LARANGAN WAJIB TINGGAL....SURUHAN WAJIB IKUT

Kritik tanpa fitnah, itu tiada halangan

Nasrudin Hassan, 13 Nov 2013
Tidak salah mengkritik, malah saya juga sangat suka menerima kritikan, justeru kritikan itu juga akan memperlihatkan kepada kita kelemahan dan kekurangan diri. [Bab ini tidak bermasalah kepada saya]

Telah saya timbulkan semalam ialah surat khabar, facebooker dan blogger yang mahu mencatur keputusan muktamar PAS [pastinya tidak semua surat khabar, facebooker dan blogger yang terlibat] pula bersikap lebih-lebih iaitu melampau dalam membuat spekulasi, jauh pula dari kebenaran malah berbau fitnah.

Ini tidak selayaknya berlaku. Saya sebut, mujur mereka ini tidak menjadi perwakilan. Jika tidak, habislah PAS jadi lunyai seperti roti canai.

Adapun mana-mana pihak [surat khabar, facebooker dan blogger] yang mahu memberi kritikan, nasihat, teguran dan pandangan atau juga komentar yang positif dan membina tanpa melebarkan fitnah dan mengadu domba, itu tiada halangan.

Mereka boleh melakukannya malah sekian lama telah mereka lakukan dan saya gembira dengan perkembangan tersebut.

Berilah peluang perwakilan memilih pemimpin mereka secara tenang dan adil.

Kata-kata peringatan Ustaz Azhar Idrus

http://www.jomkenalislam.my, 13 Nov 2013
Kata-kata Hikmah dan Peringatan Ustaz Azhar Idrus

Assalamuallaikum wbt,
ALHAMDULILLAH,SEGALA PUJI BAGI ALLAH TUHAN YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM.

Bersyukur kerana kita masih diizinkan untuk terus menghirup udara segar kurniaan YANG MAHA ESA dalam usaha mengumpul sebanyak mungkin pahala menuju akhirat yang kekal abadi. Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan-NYA.

Insya-ALLAH,kali ini saya akan memaparkan sedikit sebanyak mengenai kata-kata hikmah dan peringatan daripada Ustaz Azhar Idrus atau UAI.

1.Mengenai Percintaan/Perkahwinan
  • Jangan pikat wanita kalau anda tak bersedia cintakan dia.
  • Jangan buat wanita itu jatuh cinta kalau anda tak cintakan dia.
  • Jangan memberi wanita harapan kalau anda tidak pasti.
  • Jangan sakitkan hati wanita kalau anda tiada hati untuknya.
  • Jangan mainkan perasaan wanita kalau anda tiada perasaan untuknya.
  • HARAM jika jadikan wanita itu kekasih tetapi tiada niat untuk nikahinya.
  • Istikharah – Bila hati terasa lapang itu tanda jodoh yang baik dan sebaliknya.
  • Perkahwinan paling berkat – Yang paling murah mas kahwin paling murah belanja. RM10 ribu belanja mas kahwin untuk wanita yang reti belaker, serba-serbi reti (agama dll) HARAM wat menantu yang tidak solat walaupun sah nikah. Tinggal 1 waktu 6 ribu tahun bakar dalam neraka.
  • Lelaki soleh digalakkan kahwin dengan perempuan tak solehah, Perempuan solehah tak digalakkan kahwin dengan lelaki tak soleh.
  • Luah perasaan nak kahwin pada wanita boleh tapi bukan dalam keadaan khalwat. (cth depan mak dia)
  • Hendaklah kamu pergi melihat dulu perempuan itu, baru berkahwin. Makruh tak tengok. Yang dah couple tapi akhirnya bernikah, wajib bertaubat juga dosa-dosa couple lepas.
  • Yang dah tunang bawa tunang gi jalan-jalan boleh tapi kena bawa mak ayang dia sekali.
  • Kalau dah berkenan, pergi ke rumah merisik dan bertanya jujur & ikhlas nyatakan hajat nak kahwin.


  • Cara melamar si dia :)
  • Hukum bercouple/berpasang-pasangan sebelum berkahwin adalah HARAM kerana bukan dari sunnah Nabi tetapi meniru gaya barat.
  • Cinta, Kasih, Nak bergalok, adalah selepas nikah baru seronok,
  • Dop payoh/sukar nikoh ni, bende yang mudoh.
  • Perempuan yg cantik akan membuka "mata lelaki" Tapi perempuan yg baik akan membuka "hati lelaki".
  • Bercouple dengan Bercinta adalah berbeza.
  • ‎"Assalamualaikum. Hai cik adik leh kenal? Tak jawab dosa tau!"Makruh jawab salam ini sebab boleh membawa kepada fitnah.
  • Semua lelaki adalah sama kacak, namun yang paling kacak di antara mereka ialah yang paling baik iman dan akhlaknya.
  • Sunat buang air kecil dalam keadaan duduk. Oleh itu siapa yang kencing berdiri, perbuatannya makruh tapi tak berdosa.
  • Carilah harta sebanyak mana pun tapi jangan jual agama. Sampai masa solat kita solat, jangan kejar dunia semata-mata.
  • Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menarik kita ke neraka.
2.Umum
  • Jangan hanya melihat KEBURUKAN ORANG, kerana SEBURUK-BURUKNYA dia, ada 1001 KEBAIKAN yang kamu tidak pernah lihat :)
  • Masih bernyawa adalah nikmat yang luar biasa. Sayangnya, jarang-jarang manusia mensyukurinya.
  • Bila terasa diri itu terlebih baik dalam segala hal maka sebenarnya dia berada di atas jalan syaitan.
  • Jangan terlalu sombong kecuali jenazah kita boleh bergolek masuk sendiri ke dalam lubang kubur.


    Melayu tanpa ISLAM
  • Kita janganlah taksub sangat dengan artis. Haram jadinya kalau kita terlampau taksub dan memuja mereka.

3.Suami isteri/Rumahtangga
  • Satu suap rezeki yang halal masuk ke dalam mulut isteri kita sama macam kita bagi satu sedekah kepada fakir miskin.
  • Kena ingat bila menjadi suami atau isteri, kedua-duanya ada tanggungjawab yang akan ditanya oleh ALLAH pada hari akhirat nanti.
  • Sayangi isteri mung/kamu walau seburuk mana pun perangai mereka. Mereka anugerah yang tak ternilai bagi insan yang bernama suami.
  • Isteri bila pergi shopping kalau boleh dengan tauke kedai pun dia nak beli. Sebab tu suami kena selalu pimpin tangan isteri.
  • Bimbinglah isterimu dengan penuh kasih sayang, didiklah mereka menjadi wanita solehah kerana mereka bakal menjadi kekasih syurgamu.
  • Suami yang terbaik adalah suami yang memaafkan segala dosa isterinya setiap hari sebelum tidur.
Sumber : Pertama,Kedua
Sekian daripada saya,
Semua yang lemah datangnya daripada saya sendiri.Semoga ALLAH terus meningkatkan ilmu di dalam dada kita semua.Wallahualam.

4 golongan lelaki yang diheret wanita ke neraka

www.ohislam.com, 13 Nov 2013
1. AYAHNYA....

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuan di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat,mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuan tidak menutup Aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberikan kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. SUAMINYA....

Apabila suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan Mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yang alim, solatnya tidak pernah bertangguh, puasanya tidak tinggal, maka dia akan turut diheret oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka.

3. ABANG-ABANGNYA....

Apabila ayahnya sudah tiada, bertanggungjawap menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah heretan adiknya di akhirat kelak.

4. ANAK-ANAK LELAKINYA....

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram di sisi Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah,mengata dan sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Maka nantikan heretan ibunya ke neraka.

KEPADA SEMUA KAUM ADAM

(smga mnjadi pemimpin yg baik)

BN perlu mohon maaf, sengaja politikkan isu kalimah Allah

Harakahdaily, 13 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno BN digesa memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sama ada orang Islam dan bukan Islam, di atas tindakan mempolitikkan isu larangan penggunaan kalimah Allah sehingga mencetuskan suasana kurang harmoni antara agama.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, versi berbeza-beza kerajaan dalam menjustifikasikan larangan itu secara jelas menunjukkan isu ini dibangkitkan semata-mata untuk survival politik Umno BN.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat sebelum ini yang dilihat tidak mahu memberi penegasan berhubung perbezaan kebenaran penggunaan kalimah Allah antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Menteri ketika itu hanya menjawab bahawa kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Sabah dan Sarawak adalah keputusan kabinet  di bawah perkara "10 point solution".

Dalam satu sisi yang lain, kerajaan BN juga menegaskan bahawa kalimah Allah ini dilarang digunakan oleh bukan Islam di Semenanjung Malaysia, manakala keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penggunaan kalimah itu, hanya terpakai kepada penerbitan dalam The Herald.

"Apa isunya, sebelum ini pihak PAS difitnah dengan macam-macam, padahal sekarang kerajaan sendiri membenarkannya.

"Menteri tak nafikan (bila ditanya), tapi dia sendiri hadir mesyuarat kabinet (10 point solution) yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam di Sabah dan Sarawak termasuk dalam bible bahasa Melayu.

"Kita yakin keputusan kabinet itu dibuat dengan mendapat nasihat mufti," kata Mahfuz.

Lebih menyedihkan katanya kekeliruan yang sengaja ditimbulkan ini diambil kesempatan oleh NGO pro Umno, Perkasa yang mengugut mahu membakar bible bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah itu yang sekali lagi mengeruhkan suasana harmoni antara agama.

"Saya minta masyarakat faham dari sudut politiknya bahawa bagaimana masyarakat diperangkap dengan agenda sangat busuk BN ini.

"Saya minta pemimpin Umno BN tarik balik dan memohon maaf terhadap kenyataan yang boleh menimbulkan permusuhan antara agama, dan kerana memfitnah PAS selama ini," katanya.

Sementara itu, Datuk Mujahid Yusof (PAS-Parit Buntar) berkata, isu penggunaan kalimah Allah ini sebenarnya boleh selesai tetapi sengaja dibesarkan untuk kepentingan politik.

Beliau mendakwa, keputusan kebenaran yang berbeza-beza (ada yang boleh guna ada yang tak boleh) ini menunjukkan ianya bukan dibuat atas dasar hukum agama ataupun secara perundangan, tetapi atas kepentingan politik semata-mata.

Tahniah dan syabas kepada Negara Brunei Darussalam

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 13 Nov 2013
Setinggi-tinggi tahniah dan ucapan syabas kepada Negara Brunei Darussalam  dan khususnya kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, dengan diiringi doa sepenuh harapan kepada Allah SWT agar terus dipelihara dan diberkati Negara, Raja dan rakyatnya, kerana perisytiharan pelaksanaan Syariat menerusi Kod Panel Syariah. Semua di antara kita menyedari bahawa pelaksanaan undang-undang jenayah Islam adalah paling mencabar dan menjadi sasaran fitnah musuh Islam yang datang daripada seluruh penjuru dunia.

Ucapan yang wajib diberi oleh setiap orang yang beriman dan budiman, yang  ikhlas kepada Allah dan mahu menyelamatkan manusia serta menanti hari Akhirat yang diimani. Hukum itu adalah daripada Allah, Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Adil.  Bukannya ciptaan manusia iaitu makhluk yang tetap ada kelemahannya, termasuk ketua negara dan para penggubal undang-undang.

Tegasnya bahawa menggubal undang-undang yang lain daripada ketetapan Allah adalah syirik dosa besar di sisi Allah, kerana mencabar sifat ketuhanan Yang Maha Suci daripada segala kelemahan dan persamaan dengan makhluknya. Mengadakan undang-undang ciptaan manusia dalam perkara yang telah menjadi ketetapan Allah bermakna  mencabar ketuhanan dan sifatnya Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Adil  dan Maha Rahmat. Melanggari ketetapan Allah juga merosakkan peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Allah Penciptanya secara saksama.

Wahai kalangan mereka yang mengaku pejuang hak asasi manusia dari seluruh pelusuk dunia! Sebenarnya setengah tindakan kamulah yang merosakkan manusia, namun  berlagak bijaksana. Mereka sepatutnya merasa malu sekiranya mereka menyuluh diri mereka sendiri. Bandingkan undang-undang jenayah syariat Islam dengan hukuman yang kamu reka cipta itu : gantung mencekek leher, menggunakan tali, hukuman sebatan menyeksa yang masih diamal di negara kamu, sebatan yang menyeksakan sehingga mencabut kulit dan daging orang yang dihukum, belum lagi penyeksaan sehingga ada yang mati dalam tahanan ketika soal siasat terhadap orang yang dituduh, yang belum lagi ditentukan kesalahannya.

Kepada mereka, berpoligami dengan syarat wajib berlaku keluarga adil adalah kolot, ketinggalan zaman, tidak maju dan salah. Manakala berzina seperti binatang atau menyimpan wanita seberapa ramai tanpa tanggungjawab berkeluarga adalah bertamadun. Menutup aurat khususnya kaum wanita dikira mengongkong hak asasi manusia, tidak kontemporari, mundur, manakala mendedahkan jasad dengan pakaian yang lucah itulah sifat manusia yang sebenar, bahkan ada negara yang bertelanjang adalah hak asasi manusia.  Menggunakan wanita menjadi bahan iklan barangan dengan pakaian yang mendedahkan jasad dikira bersopan. Bagi mereka menghalalkan riba menindas golongan terdesak adalah rukun ekonomi, manakala mengharamkannya adalah penghalang kemajuan.

Cukuplah bagi umat Islam setelah mendengar atau membaca segala tuntutan dan  bantahan mereka yang menyalak itu, menolak dengan akal yang mulia dan cahaya Islam yang terang lagi bersuluh dengan membezakan di antara benar dan salah, hak dan batil. Hendaknya jangan ada kalangan umat Islam, orang yang masih tidur dalam cahaya Islam yang dianutinya, sehingga mengigau bersama  mereka yang berada dalam kegelapan yang menyesatkan.

Ramai kalangan mereka beranggapan, apabila undang-undang Islam hanya Qisas dan Hudud dikuatkuasakan, maka ramailah orang yang menjadi mangsanya, sehingga banyak tangan yang dipotong, ramailah orang cacat anggota, dan akan dibunuh sewenang-wenang. Mereka mengira secara spontan dan jahil bahawa undang-undang Islam menjatuhkan hukuman dengan mudah, tanpa membaca syarat dan rukunnya yang sangat ketat dan payah sehingga menjadikan hakim Islam terlalu payah menjatuhkan hukuman. Namun undang-undang Islam adalah sangat menggerunkan, termasuk kepada orang tidak melakukan jenayah, apatah lagi kepada penjenayah dan bakal melakukannya.

Jangan pula menganggap orang yang bersalah dibebaskan sewenang-wenangnya kerana ada pula hukuman takzir mengikut kebijaksanaan pihak yang berkenaan dalam perkara yang tidak ada nas. Islam juga mendahulukan cegahan adalah lebih penting daripada mencari penjenayah, dan bertaubat sebelum ke mahkamah adalah lebih afdal.

Di negara barat yang mencipta undang-undang manusia, berlaku peningkatan salah laku jenayah dan salah laku sesama manusia bahkan dalam satu keluarga. Medianya sendiri melaporkan kadar jenayah yang parah makin meningkat, bahkan mangsanya yang tidak terfikir oleh manusia yang berakal. Peristiwa mengamuk di sekolah kanak-kanak sudah berulang beberapa kali berlakunya di negara yang disebut paling maju dan paling kaya itu.

Keberanian negara umat Islam paling kecil seperti Negara Brunei Darussalam sepatutnya memalukan negara umat Islam juga, yang mengaku paling besar dan paling maju, serta paling kuat Islamnya, tetapi cakapnya tidak serupa bikin. Laksana ayam yang bertelur hanya sebiji tetapi berkukuk riuh sekampung dan badannya pula bergelomang kekotoran.

Percayalah bahawa melaksanakan Islam akan tetap membawa berkat kerana ianya adalah janji daripada Allah SWT.

PRESIDEN PAS

* Surat ucapan tahniah dari Presiden PAS kepada Negara Brunei Darussalam telah diutuskan pada 26 Oktober 2013 bersamaan dengan 21 Dzul hijjah 1434 Hijriah.

Tiada ulasan: