Sabtu, 23 November 2013

ELOKLAH SEORANG ULAMAK YANG TAQWA


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini telah meluangkan masa melawat beberapa buah gerai yang ada di sekitar stadium Melawati sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-59.

Beliau turut bersiaran secara langsung di Hijau.fm menjelaskan tentang perjalanan Muktamar yang banyak peningkatan terutama dalam ucapan perbahasan perwakilan dari negeri-negeri.

Katanya, muktamar kali ke-59 berlaku penambahbaikan dengan penyertaan ahli daripada pelbagai pengalaman dan latarbelakang.

"Kita lihat mutu persembahan perwakilan dari negeri-negeri amat baik." katanya ketika ditemubual oleh juruacara Hijau.fm.

Beliau menyokong kewujudan media alternatif untuk menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh media arus perdana kerana media tidak memberi liputan yang menyeluruh dan adil.

Menurut beliau kewujudan media alternatif memberi kesan yang cukup baik terutama pada Pilihan raya Umum ke-13.

Radio Hijau.fm bersiaran secara langsung di 20 buah negara selama Muktamar Tahunan PAS berlangsung.

Beliau turut menandatangai buku lawatan yang ada di setiap gerai antaranya menjual barang makanan dari Pulau Pinang.

Turut mengiringi beliau melawat gerai Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmood; Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat dan pimpinan negeri.
SHAH ALAM: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) meminta agar PAS Pusat memberi peluang dan yakin kepada kemampuan DHPP dalam menguruskan program melibatkan masyarakat bukan Islam.

Berkata kepada Harakahdaily, Timbalan Ketua DHPP, N. Balasubramaniam, PAS sebelum ini dilihat kurang memberi perhatian kepada DHPP.

Malah, PAS lebih terjurus kepada DAP dan PKR dalam urusan membabitkan kaum bukan Islam.

"Saya meminta PAS memberi perhatian kepada DHPP dalam segala urusan membabitkan kaum bukan Islam, kita juga mampu mengurus program-program yang membabitkan kaum bukan Islam.

"Sebelum ini kita dilihat kurang diberi perhatian khususnya dalam urusan melibatkan kaum lain, bukan tidak ada, tetapi tidak banyak.

"Kalau dalam urusan Pakatan Rakyat bolehlah berurusan dengan DAP atau PKR tetapi kalau program PAS bagi pada DHPP untuk uruskannya," jelasnya.

N. Balasubramaniam yang turut menyambut baik ucapan dasar Presiden PAS pada perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 yang membawa tema 'Rahmat Untuk Semua' yang meliputi semua konsep dari segi pendidikan, pembangunan dan sosial.

"Ucapan dasar yang cukup bernas telah lafazkan oleh Presiden PAS, saya melihat ia satu dasar yang meliputi semua konsep dari segi pendidikan, pembangunan dan sosial.

"Begitu juga pandangan ke luar negara yang amat kita hargai, selain itu juga DHPP melihat manfaat kepada semua kaum di negara ini yang bukan hanya tertumpu kepada orang Islam sahaja tetapi kepada keseluruhan kaum yang ada," sambung beliau.

Beliau yang turut menghargai dan berterima kasih peluang yang diberi PAS Pusat kepada DHPP yang mengemukakan calon kepada kelab penyokong pada pilihan raya umum yang lalu.

Tuan Guru Abdul Hadi ditemubual Hijau.fm.
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan segala perkara berkaitan tahaluf siyasi akan diselesaikan berdasarkan maklumat, bukan dari media perdana, elektronik mahupun alternatif.

Dalam masa sama, segala masalah yang timbul hasil tahaluf siyasi akan diselesaikan secara dalaman setelah mendapat maklumat terperinci.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung isu tahaluf siyasi di kalangan Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang.

"Kita sangat menghargai Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang memberi banyak tanggungjawab kepada PAS, walaupun hanya ada kerusi," kata beliau pada satu sidang media, di Stadium Malawati, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi turut menjelaskan PAS negeri tidak mempunyai hak berkaitan jawatan Ketua Pakatan Rakyat, sebaliknya ia terpulang kepada seluruh pimpinan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS tiada hak, tetapi berhak dan tidak bersendirian. Perkara itu perlu dibincangkan dengan semua parti dalam Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Dalam sidang media yang sama, Ustaz Hadi mengatakan PAS sudah terkehadapan dalam urusan melantik wakil Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa kerja PAS Pusat.

"Kita tidak pernah mengabaikan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa pusat, walaupun jawatankuasa pusat dipilih oleh muktamar. Kita pernah melantik wakil Sabah dan Sarawak bagi menganggotainya, sebelum ini," kata beliau.
SHAH ALAM: Chef terkenal, Sabri Hassan terus menarik perhatian ramai dengan program Sembang Dapur yang diadakan di perkarangan Stadium Malawati, biarpun hari sudah menginjak malam.

Program yang dislotkan dalam Karnival PAS For All bersempena Muktamar Tahunan PAS Pusat itu bukan sahaja mempersembahkan demonstrasi memasak, namun turut diserikan dengan celoteh selebriti, Leman Raja Lawak dan Ustaz Fauzan.

Chef Sabri, yang pernah muncul dalam rancangan Spice Route's di TV3 itu menunjukkan demonstrasi empat jenis menu, iaitu kambing masak Khasmir, sup cendawan, spaghetti oleo oleo dan teh pudina.

Diselang-selikan dengan panduan memasak oleh Chef Sabri dan nasihat agama berkaitan pemakananan daripada Ustaz Fauzan, celoteh-celoteh yang dilemparkan Leman juga menjadikan para hadirin tidak kering gusi.

Malah, program Sembang Dapur yang bertajuk 'Membina Ummah Melalui Masakan' itu turut membabitkan penyertaan Leman dan Ustaz Fauzan untuk bersama-sama menyediakan hidangan.

Ternyata, program masakan tersebut bukan sahaja menarik perhatian hadirin wanita yang begitu sinonim dengan masakan, malah mampu membuatkan hadirin lelaki turut bersama menyertainya.

Menariknya, selepas empat menu itu berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai dua jam, Chef Sabri turut menjemput para hadirin untuk merasai hasil masakannya yang begitu menyelerakan.

Sementara program Sembang Dapur berlangsung, sesi cabutan bertuah untuk para pengunjung muktamar turut diadakan, yang menyediakan pelbagai hadiah menarik seperti kupon diskaun sebanyak RM300, kupon diskaun separuh harga bagi pakej umrah dan lain-lain.
SHAH ALAM: PAS Kedah merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera PAS dari seluruh negara yang telah membantu kempen PRK Sungai Limau yang menyaksikan Ustaz Mohd Azam Abd Samat menang dan dilantik menjadi wakil rakyat Dun itu.

Wakil Kedah, Mohd Nasir Zakaria ketika membahaskan ucapan dasar presiden berkata, kemenangan di Sungai Limau sedikit sebanyak menjadi pengubat kesedihan bagi PAS Kedah selepas tidak berjaya mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kami ucapkan tahniah dan terima kasih atas sokongan dan bantuan semasa kempen PRK Sungai Limau yang lalu.

"Kemenangan ini menjadi pengubat kesedihan kepada kami yang kehilangan kerajaan negeri," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Kedah.

Dalam pada itu, nengambil rujukan dari kemenangan itu, beliau mencadangkan satu badan kajian diwujudkan secara berterusan bagi membantu PAS berdepan pilihan raya selepas ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui antara faktor kekalahan PAS Kedah pada PRU-13 lalu adalah kerana masalah dalaman.

"Masalah anak-anak kadang-kadang tak boleh nak selesai peringkat anak-anak. Kena ada campurtangan untuk diselesai oleh ibu bapa.

"Sebab itu Kedah cadangkan Jawatan Kuasa Pemandu diaktifkan sesegera mungkin.

"Jawatankuasa ini boleh memberi pandangan kepada badan perhubungan negeri (dalam menyelesaikan masalah dalaman)," katanya.
SHAH ALAM: "Biarpun tewas dalam pilihan raya umum lalu, kami di Sabah akan terus berjuang bagi memartabatkan Islam di negeri itu, dan tidak sesekali berasa kerdil, rasa tewas, sebaliknya akan terus berjuang," kata perwakilan Sabah, Dr. Ali Akbar Gulasan.

Justeru, tegas beliau PAS perlu mewujudkan satu portfolio khas berhubung Sabah dan Sarawak bagi memastikan isu-isu di negeri itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Beliau turut mengaitkan cadangan beliau itu dengan arahan kesembilan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang menyeru agar maklumat disampaikan dari peringkat ahli parlimen sehingga ketua kampung.

"Malangnya, yang sedih apabila ada maklumat yang disalurkan kepada rakyat, dari rakyat, apabila minta ahli parlimen membangkitkan isu Sabah, ia tidak berlaku di parlimen," kata beliau ketika membahaskan ucapan dasar presiden.

Sehubungan itu, PAS Sabah menggesa ahli parlimen PAS yang terpilih agar tidak meminggirkan isu-isu Sabah memandangkan tiada wakil Sabah dan Sarawak, sama ada di dewan undangan negeri, mahupun parlimen.

Dalam masa sama, Dr. Ali turut meminta agar kesepakatan dalam Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan, khususnya bagi memastikan calon yang diletakkan rakan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya bagi mengelakkan berlaku isu lompat parti.

"Mudah-mudahan, dengan persepakatan ini, maka akan lahirlah anak sulung dari Sabah dan Sarawak, sama aada di dewan undangan negeri mahupun parlimen," tegas beliau.
SHAH ALAM: Perwakilan Melaka, Ashraf meminta PAS bersama rakan-rakan parti di dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP meningkatkan displin dan perhubungan bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14).

Beliau yang ketika berbahas ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS ke-59 turut menggesa setiap permasalah yang timbul dalam Pakatan Rakyat perlu diselesaikan segera pada meja perundingan bukan melalui media sosial.

"PRU14 akan kita hadapi nanti, jika kita ingin memenanginya maka saya menyarankan agar kita dalam Pakatan Rakyat meningkatkan displin antara parti.

"Tidak mahu lagi timbul lagi permasalah serta percanggahan pendapat, setiap masalah perlu diselesaikan segera di meja perundingan dan bukan melalui media sosial.

"Sudah pasti akan ada perbezaan pendapat kerana setiap parti mempunyai pendapat masing-masing tetapi itu bukan masalah besar kerana penyelesaian dapat kita lakukan," ucap beliau.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar PAS dapat mempertingkatkan penyampaian maklumat bagi memastikan setiap rakyat di bawah dan ahli tidak terus ketinggalan dengan apa yang berlaku.

Ashraf yang turut mencadangkan PAS memperkasakan gagasan ekonomi dalam membantu seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak termasuk kaum Cina dan India.

"Dalam suasana kita menuju Putrajaya pada PRU14, PAS perlu merangka satu plan khusus melibatkan pengagihan ekonomi.

"Kita perlu memberi perhatian khusus kepada Sabah dan Sarawak dalam soal ini termasuk juga kaum India dan Cina.

"Kita mahu PAS membina kecemerlangan di kedua-dua negeri tersebut dalam kita mensasarkan kemenangan pada PRU14 nanti," sambung beliau.

Beliau yang menyambut baik konsep Tahalul Siyasi yang dibentuk telah membuatkan hasil kepada Pakatan Rakyat Melaka apabila berjaya meningkatkan jumlah kerusi pada PRU13 dan melahirkan kemenangan pertama PAS di negeri tersebut.
SHAH ALAM: Perwakilan Pulau Pinang, Mohd Nor Haron berharap PAS mesti memperkukuhkan Pakatan Rakyat di Malaysia khususnya di Pulau Pinang dan layak menjadi 'pemandu' bukan sekadar penumpang.

Beliau berkata, ke mana hala tuju PAS hendak dibawa jika PAS hanya sekadar menjadi penumpang.

Dalam perbahasan ucapan dasar Presiden, katanya, jika ada mana-mana suara PAS ingin keluar daripada Pakatan Rakyat pimpinan tersebut perlu merujuk kepada pimpinan tertentu dan bukan membuat kenyataan tersasar.

Beliau menegaskan ahli PAS jangan mudah terpengaruh dengan mainan media fasik seperti facebook dan sebagainya.

Ini kerana kata beliau, media umpama pisau yang boleh menyembelih lembu dan pisau yang sama juga boleh digunakan untuk menyembelih haiwan yang haram.

"Jika kita gunakan media untuk pekara yang baik maka baiklah dan jika kita gunakan media pada perkara yang bertentangan ia boleh mendatangkan dosa," katanya.

Berhubung tahaluf siyasi katanya, jika bukan golongan ulama yang membenarkan tahaluf siyasi sudah tentu PAS tidak akan berada dalam suasana yang selesa dengan memperolehi kemenangan di beberapa buah negeri.

Katanya, PAS Pulau Pinang dalam konteks dakwah Islam perlu bersabar kerana medan perjuangan itu terlalu luas dan masih jauh.
SHAH ALAM: PAS Perlis mahu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri itu diperkasakan dengan menarik orang Siam kerana mereka juga merupakan pengundi utama.

Perwakilan Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, DHPP di Perlis masih belum menerima penyertaan pengundi Siam berbanding pengundi Cina dan India.

"Kita sudah ada keahlian orang Cina dan India dalam DHPP di Perlis.

"Orang Cina lagi ramai berbanding India kerana India memang tak ramai di Perlis. Tapi kita belum berjaya menarik keahlian orang Siam.

"Justeru DHPP perlu turun lebih kerap ke Perlis untuk menarik orang Siam kerana mereka juga menentukan kemenangan PAS di Perlis pada pilihan raya akan datang," kata beliau sewaktu berucap pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-59  di Stadium Malawati hari ini.

Selain itu beliau mencadangkan sukatan pelajaran di sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah PAS diselaraskan dan diletakkan di bawah satu pentadbiran seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

"Ramai orang Umno lihat buku teks Pasti dan minat dengan sukatan pelajaran dan hantar anak-anak mereka ke Pasti.

"Tetapi sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah PAS belum mempunyai sukatan pelajaran yang selaras.

"Perlis mencadangkan sekolah rendah dan sekolah menengah kita diletakkan di bawah satu pentadbiran dan sukatan pelajaran diselaraskan agar lebih tersusun," katanya yang juga Adun Sanglang.

Beliau turut mencadangkan kedua-dua sekolah ini diletakkan di bawah pentadbiran Dewan Ulamak.
SHAH ALAM: Perwakilan Johor, Firdaus Masood mengingatkan agar insiden yang berlaku dalam proses pemilihan PAS Pusat semalam tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS beliau berkata, walaupun insiden semalam telah mencalarkan imej PAS Pusat bagaimanapun para perwakilan menerima permohonan maaf daripada Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat yang diketuai Asmuni Awi.

"Perwakilan menerima permohonan maaf jawatankuasa pemilih tadi, tetapi berharap insiden ini tidak seharusnya berlaku.

"Rakyat lihat bagaimana hendak ambil alih Putrajaya tetapi SPR kita sendiri yang dipersoalkan, kita hentam SPR tetapi SPR kita sendiri buat hal," katanya di hadapan kira-kira 1,200 perwakilan yang hadir di Stadium Malawati, di sini.

Dalam ucapan itu juga beliau menggesa agar pendaftaran Pakatan Rakyat disegerakan bagi.memudahkan untuk Pakatan Rakyat menjadi kerajaan selepas PRU14 nanti.

Firdaus juga meminta PAS Pusat menjelaskan siapa Pengerusi Pakatan Rakyat sebenarnya sama ada PAS, PKR atau DAP.

Tiada ulasan: