Kerajaan di Penghujung Hayat
Disiarkan pada Nov 30, 2013
KERAJAAN DI PENGHUJUNG HAYAT
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Kerajaan di penghujung hayat adalah kerajaan yang telah zahir padanya
tanda-tanda keruntuhan. Banyak petanda bahawa sesebuah kerajaan itu
menuju kepada penghujungnya. Antara tanda yang jelas apabila negara
sudah tidak terkawal dengan terlalu banyak konfliks berlaku sesama
rakyat. Kerajaan kelihatan bersikap tidak tolerance dan dibenci
oleh banyak puak dan pihak yang merasakan mereka tertindas ataupun hak
mereka diketepikan dalam negara sendiri. Kebencian merayap dan keinginan
rakyat untuk keadaan itu dihapuskan membuak-buak. Akhirnya rusuhan dan
pergaduhan kaum dan puak mula tercetus.Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak tolerance sehingga dalam negara berlaku banyak konfliks antara rakyat. Kerajaan bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai. Politik pecah perintah mungkin menguntung golongan politik tertentu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda.
Firaun mengamalkan politik yang sama yang akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah:
“Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun)” (Surah al-Qasas ayat 4-5).
Malaysia
Jika kita lihat keadaan negara ini, kita dapati telah lahir ciri-ciri
negara ataupun kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak
kebelakangan ini penuh dengan konflik yang memecah belahkan antara
rakyat. Konflik antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan
kadang-kala mengambil pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama
rasmi pula dibiarkan memilih pandangan-pandangan yang bersifat yang
tidak sesuai serta sempit untuk masyarakat majmuk. Bermula dari isu
larangan orang bukan muslim masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah
kelihatan ditangani dengan nada yang mencetuskan ketegangan antara
rakyat. Kenyataan-kenyataan yang bersifat provokasi seakan mendapat
tempat dalam media rasmi negara.Demikian isu-isu perkauman dibangkit dalam pelbagai rupa. Golongan yang bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihanraya kita lihat isu-isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan. Kemudian selepas itu, dipanaskan dengan isu-isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam. Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka rakyat terhadap kerajaan.
Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang dari aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka telah berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam negara ini.
Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendak bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat keamanan awam. Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya. Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.
Kepelbagaian
Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun
berbeza-beza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanyalah pada
cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran.
Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatik perkauman
ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan
perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan al-Ash’ari (meninggal tahun 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari:
“Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-‘Asy’ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: “Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang Disembah. Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata”.Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut:
“Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: “Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi s.a.w bersabda: “Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin”, maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim”. (Siyar A’lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Remeh Temeh
Kemudian, isu-isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan
dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan
membiarkan kekalutan ini. Lebel-melebel dijadikan mainan yang dicampur
kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek melayu dilebelkan sebagai
liberalist dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilebel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.
Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama samada Yahudi, Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun pesaing mereka. Ini kerana golongan agama –kecuali yang ikhlas- sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza. Inilah yang dilakukan terhadap al-Imam al-Syafi’i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap Martin Luther dan aliran Protestan.
Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu-isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu qunut subuh ataupun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab Syafi’i. Demikian juga dianggap wahabi mereka yang mereka solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih bukan kerana wahabi ataupun tidak. Saudi yang dikatakan wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.
Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pulak menyibukkan diri dengan isu-isu masyarakat yang penting untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu-isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.
Konfliks
Hasilnya, negara terjerumus dalam konfliks tidak berfaedah. Dari satu
konfliks kepada satu konfliks. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju
ke hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat dari isu-isu penting yang lain
dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu
keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada
menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam
jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya
ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari isu-isu perbezaan bukan nilai-nilai persamaan untuk diambil manfaat antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1 Malaysia yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi slogan kosong yang tidak bermakna.
Akhirnya kelompok-kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majority. Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan balas. Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian. Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di penghujung hayatnya.
Kategori: Dakwah
"23 tahun baru kami boleh jumpa PM"
- Nov 30, 2013
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pertemuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu yang luar biasa.
Mantan Menteri Besar Kelantan itu berkata, ketika beliau menerajui pentadbiran negeri selama 22 tahu sebelum ini, pertemuan rasmi sebegitu tidak pernah berlaku.
“23 tahun baru boleh jumpa, payahnya menteri besar pembangkang nak jumpa perdana menteri, saya tidak tahu apa yang menyebabkan (perdana menteri) buka pintu.
“Insya-ALLAH, kita minta doa minta Allah buka pintu hati jangan menjadi syaitan merosakkan hati manusia, ingatkan syurga dan neraka, ingat apa yang kita buat apa sahaja akan mendapat balasan,” katanya semasa kuliah Mingguan di Dataran Ilmu semalam yang dipetik Sinar Harian Online.
Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya.
Turut serta pada pertemuan dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hanifa Ahmad dan Datuk Dr Fadzli Hassan.
Pertemuan 45 minit itu membawa kepada perbincangan berkaitan dengan pelbagai bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, pertemuan itu tidak membincangkan soal kerjasama politik, sebaliknya lebih memfokuskan isu infrastruktur negeri termasuk royalti minyak dan pelaksanaan undang-undang Syariah.
Islam: Rahmat untuk semua
- Nov 30, 2013
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Maka kita membawa satu tema untuk menunjukkan bahawa Islam adalah satu rahmat.
Kalimah 'RAHMAH' disebut lebih daripada lapan puluh kali di dalam Al-Quran.
Perutusan Nabi Muhammad s.a.w kepada manusia adalah satu rahmat daripada Allah kerana manusia berhajat kepada nabi untuk menunjukkannya jalan yang benar lebih daripada hajatnya kepada makanan, minuman dan harta benda.
Islam rahmat untuk semua kerana syariatnya yang mudah. Mudah untuk diamalkan dan diberikan kelonggaran untuk melaksanakannya. Ibadah sembahyang sebagai satu contoh, hanya lima kali sehari semalam yang tidak mengambil masa yang lama untuk mendirikannya, bahkan diberikan kelonggaran kepada orang yang sakit, musafir dan wanita dalam keadaan-keadaan yang tertentu.
Islam rahmat untuk semua kerana tujuan ianya diturunkan oleh Allah adalah untuk memberikan kebaikan kepada manusia dan menolak keburukan daripada berlaku ke atas diri mereka. Semua yang dihalalkan oleh Islam memberikan kebaikan kepada manusia dan semua yang diharamkan oleh Islam memberikan mudharat kepada manusia.
Islam rahmat untuk semua kerana ianya sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Di dalam syariatnya, Islam menggabungkan ketiga-tiga elemen yang ada di dalam diri manusia iaitu jasmani, rohani dan akal.
Islam rahmat untuk semua kerana hukum-hakamnya sesuai untuk dilaksanakan di setiap zaman dan tempat. Kebanyakan nas-nas syarak yang berkait dengan hukum-hakam digariskan dengan umum untuk memberikan kelonggaran kepada manusia agar dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, tempat dan keadaan mereka.
Kerahmatan agama Islam menyerlahkan rahmat Allah kepada hamba-hamba dan makhluk-makhluk-Nya.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Ramai kasihan dengan nasib Ustaz Kazim selepas ini
- Nov 30, 2013
- HARAKAHDAILY
“Sudah terbukti sebelum ini bagaimana begitu ramai golongan agama yang berada dalam Umno dan diberi kedudukan, akhirnya tenggelam dan hanyut,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.
Menurutnya, golongan terbabit akhirnya turut terpalit dengan budaya bermewah, memiliki rumah dan kereta besar serta dikaitkan dengan beberapa perlakuan yang berunsurkan rasuah.
“Inilah yang menyebabkan ramai yang kasihan dengannya kerana beliau dijangka akan menjadi golongan agama terbaru yang menjadi mangsa dan akan hanyut serta tenggelam selepas ini,” tulisnya lagi.
Berikut ialah tulisan penuh beliau.
Semoga Ustaz Kazim Elias tidak sekadar berperanan baca doa dalam Umno
UMNO semalam mengumumkan perlantikan sembilan ahli MT untuk melengkapkan barisan kepimpinan tertingginya, sesuai usainya pemilihan parti pada 12 Oktober lalu dan dalam menghadapj Perhimpunan Agung UMNO minggu depan. Perlantikan yang dibuat dan disahkan oleh Presiden UMNO, Najib Razak itu bagaimanapun hanya diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.
Mereka yang dilantik ialah Nazri Aziz, Hamzah Zainuddin, Sharkar Shamsuddin, Irmohizam Ibrahim, Johari Abdul Ghani, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Dr Asraf Wajdi Dusuki, Prof Ibrahim Abu Shah dan seorang pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias.
Sudah tentu yang paling mengejutkan ialah perlantikan Ustaz Kazim Elias manakala yang lain tidaklah begitu memeranjatkan seperti Dr Asraf dan Prof Ibrahim Abu Shah. Dr Araf, walaupun menjadi Pengerusi YADIM tetapi beliau memang orang UMNO. Ayahnya, Dusuki Ahmad ialah bekas Ahli Parlimen di Kelantan dan pernah menjadi Setiausaha Politik Mahathir dan Dr Asraf juga pernah menjadi calon pilihanraya mewakili BN.
Prof Ibrahim pula memang dikenali sebagai ahli akademik dan pernah menjadi Naib Canselor UiTM tetapi sejarahnya dengan UMNO sudah berakar umbi sejak zaman pelajar lagi di mana pernah menjadi pengasas sebuah kelab UMNO di luar negara.
Lantaran itu, perlantikan mereka menduduki kerusi MT tidaklah mengejutkan, ia tidak jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain yang turut dilantik itu. Tetapi agak berbeza dengan Ustaz Kazim. Walaupun dalam banyak ceramahnya yang boleh ditonton melalui Youtube, kecondongannya kepada UMNO dan kerajaan agak jelas, tetapi keahliannya dalam UMNO masih belum pasti. Ramai yang mengatakan beliau bukanlah ahli UMNO dan dalam sebuah ceramahnya juga, Ustaz Kazim ada mengaku beliau bukanlah ahli UMNO.
Menurut Ustaz Kazim dalam ceramahnya, beliau tidak peduli kepada hal-hal lain kerana dalam hatinya hanya ada Allah saja.
(Gambar: Ustaz Kazim bersama Ustaz Azhar Idrus dalam program Maal Hijrah bertajuk Hijrah Menuju Ilahi di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi pada 11 Disember 2011.)
Dalam UMNO sendiri kedengaran suara-suara yang mempertikaikan kewajaran perlantikan beliau itu. Sementara ada yang berpandangan bagaimana Najib boleh melantik seseorang yang bukan ahli UMNO menduduki kerusi MT dan ini seakan mengesahkan lagi bahawa pemimpin UMNO tiada harga di mata Presiden UMNO dan Perdana Menteri, ramai yang lain berasa kasihan dengan nasib Ustaz Kazim selepas ini.
Mereka bimbang jika beliau tidak lagi dapat menggunakan ilmu dan pengetahuan agama yang dimilikinya dengan sewajarnya selepas menduduki kerusi MT ini kerana tenggelam dalam persekitaran dan budaya UMNO yang tidak begitu sesuai dengan seseorang yang berlatar-belakangkan agama. Sudah terbukti sebelum ini bagaimana begitu ramai golongan agama yang berada dalam UMNO dan diberi kedudukan, akhirnya tenggelam dan hanyut.
Golongan terbabit akhirnya turut terpalit dengan budaya bermewah, memiliki rumah dan kereta besar serta dikaitkan dengan beberapa perlakuan yang berunsurkan rasuah. Ilmu agama yang dimiliki kerap kali tidak lagi menjadi pemandu dalam kehidupan dan kecintaan kepada dunia akan menenggelamkan kecintaan kepada akhirat.
Inilah yang menyebabkan ramai yang kasihan dengannya kerana beliau dijangka akan menjadi golongan agama terbaru yang menjadi mangsa dan akan hanyut serta tenggelam selepas ini.
Lebih daripada itu, dengan menerima perlantikan sebagai ahli MT juga, ramai yang percaya Ustaz Kazim tidak akan berperanan dalam dakwah Islam seperti dulu lagi. Beliau akan menjadi sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti dalam UMNO dan mungkin juga bakal diberi jawatan di mana-mana agensi kerajaan.
Akhirnya beliau hanya berperanan membaca doa di majlis-majlis berkaitan UMNO saja. Dan mungkin tugas pertamanya membaca doa ialah dalam mesyuarat MT sebelum Perhimpunan Agung UMNO minggu depan ini ataupun ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO di PWTC nanti.
Amatlah malang, daripada berdakwah, berceramah dan menyampaikan ilmu, akhirnya hanya berperanan membaca doa saja.
Lebih malang lagi, jika selepas bergaul lama dalam UMNO dan mula hanyut dalam persekitaran UMNO sebagaimana yang sudah terbukti berlaku kepada ramai golongan agama sebelum ini, nama Allah juga semakin kurang bertakhta di hatinya, sebaliknya sudah diganti dengan Najib dan Rosmah. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
http://fenditazkirah.blogspot.com/2013/11/jeng-jeng2.html
Sarawak tidak sama dengan negeri di Semenanjung
- Nov 30, 2013
- HARAKAHDAILY
“Perlu kita ingat, Sarawak itu tidak sama tahapnya dengan mana-mana negeri di Semenanjung ini, kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan Malaysia yang ditanda tangani pada 1963 dahulu,” tulis Aspan Alias di dalam blognya, semalam.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak adalah negeri-negeri yang setaraf dengan keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu.
Beliau menjelaskan, dalam perjanjian itu Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Tunku Abdul Rahman sedang Sarawak dan Sabah masing-masing diwakili oleh seorang wakil bagi negeri tersebut.
“Sarawak dan Sabah tidak sama tarafnya dengan Perlis dan Kedah atau pun Selangor. Ramai yang masih belum memahami isu ini,” jelasnya lagi.
Tambahnya, ahli-ahli Kabinet Sarawak dan Sabah itu sama tarafnya dengan kedudukan kabinet Persekutuan.
Berikut tulisan penuh beliau.
Selangor dalam Persekutuan Tanah Melayu (PTM) dan PTM dengan Perjanjian Persekutuan Malaysia
Sedikit tambahan kepada apa yang saya komen tentang kenaikan gaji Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaannya (Exco). Sesungguhnya apa yang di lakukan oleh TS Khalid Ibrahim merupakan fenomena baru yang sejajar dengan kehendak kemajuan sesebuah negeri yang mengutamakan ‘productivity’. Jika di singkap siapa Khalid ini, beliau merupakan seorang yang terlatih dengan kerja ber 'productivity' dan siapa boleh menyangkal hakikat ini sesuka hati semahu masing-masing. Ia tetap hakikat yang hakiki.
Imbuhan adalah faktor penting dalam usaha sebuah kerajaan atau mana-mana organisasi kerajaan untuk mendapatkan 'productivity' yang baik. Itu sebabnya di dalam badan-badan swasta dan syarikat swasta imbuhan terhadap kakitangan dan pegawai pengurusan itu adalah satu elemen terpenting untuk di tumpukan oleh seorang Ketua Eksekutif dan seseorang Ketua Eksekutif yang baik akan melakukan penilaian yang khusus tentang isu ini.
Keuntungan syarikat dan kerajaan bukan sahaja datangnya dari kepandaian dan kepintaran pegawai dan kakitangan pertubuhan itu tetapi ia juga akan didasarkan kepada kos pengurusan yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa.
Dalam hal Negeri Selangor ini, pimpinan Persekutuan tidak boleh membantah sebegitu sahaja, kerana Negeri Selangor adalah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu dan perjanjian itu masih kekal sampai ke hari ini.
Sebagai sebuah negeri yang berdaulat yang mempunyai 'legislature'nya sendiri, kerajaan Selangor boleh membuat keputusan sendiri kerana negeri ini adalah salah sebuah negeri yang memberikan sumbangan kepada kedaulatan kerajaan Persekutuan. Tiada kedaulatan persekutuan jika tidak ada persekutuan yang dianggotai oleh semua negeri yang berada di dalam Persekutuan Tanah Melayu itu.
Jika ada pun isu terhadap keputusan kerajaan negeri pimpinan Khalid ini yang perlu diperbetulkan adalah kecil sahaja kerana kenaikan perbelanjaan itu adalah wajar memandangkan masa dan zaman ini kos pentadbiran dan perkhidmatan amat tinggi. Pandangan Anwar dan Azmin itu ada juga benarnya tetapi ia bukanlah satu isu yang boleh dianggap Khalid telah melakukan kesalahan besar.
Kenaikan itu wajar dan perlu. Anwar kata ia terlalu tinggi dan tidak ‘commensurate’ dengan tugasan dan tanggungjawab mereka yang mendapat habuan kenaikan ini. Apabila naik sahaja gaji seseorang eksekutif itu ia akan menambah tanggungan kerajaan dengan begitu besar terutamanya semasa mereka ini bersara melalui pembayaran setengah gaji yang terakhir sebagai bayaran pencen mereka sepanjang hayat mereka.
Boleh dianggap satu faktor penting dalam membuat penilaian ini, tetapi seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas untuk mengelakkan pembayaran yang terlalu tinggi semasa persaraan mereka kerajaan pimpinan Khalid ini mungkin boleh membayar apa yang disebut sebagai ‘ex-gratia’ atau bonus apabila tahun negeri itu menunjukkan prestasi yang tinggi.
Bonus itu mungkin dalam bentuk setahun gaji bulanan atau mana-mana kaedah yang tidak akan membebankan rakyat semasa keadaan ekonomi negeri tidak berapa memuaskan. Kita perlu ingat menurunkan gaji dalam ekonomi negeri dalam keadaan tidak berapa baik itu adalah langkah yang amat susah untuk dilakukan. Ia tidak sesenang menaikan gaji itu.
Bukan senang untuk memberikan pandangan dalam isu kenaikan gaji di Selangor ini kerana negeri ini nampak jelas mempunyai Ketua Kerajaan yang serius mencari jalan untuk memperkokohkan kedudukan kewangan negeri ini. Negeri yang maju dan telus mengendalikan wang rakyat sememangnya susah untuk membuat kritikan besar terhadap Khalid. Jika semua anggota kerajaan negeri ini telah bekerja keras untuk memantap tahap dan kedudukan ekonominya ia sememangnya wajar mendapat imbuhan galakan itu.
Tetapi isu yang sedang dihadapi oleh pimpinan PKR tentang isu kenaikan gaji ini merupakan hasil dari ‘productivity’ yang baik. Seperti yang saya sebut semalam berjaya pun mungkin mambawa masalah. Agaknya tentulah negeri-negeri yang kurang ‘productivity’ lebih bermasalah. Masalah yang dihadapi Selangor ini adalah masalah yang baru….itu masalah kerana kejayaan.
Oh ya, satu perkara yang mungkin TS Khalid perlu mengambil perhatian ialah, beliau tidak boleh memberikan ‘equation’ Selangor dengan negeri Sarawak seperti yang beliau sebutkan sebagai alasan untuk kenaikan gaji ini.
Perlu kita ingat, Sarawak itu tidak sama tahapnya dengan mana-mana negeri di Semenanjung ini, kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan Malaysia yang ditanda tangani pada 1963 dahulu.
Sabah dan Sarawak adalah negeri-negeri yang setaraf dengan keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam perjanjian itu Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Tunku Abdul Rahman sedang Sarawak dan Sabah masing-masing diwakili oleh seorang wakil bagi negeri tersebut.
Sarawak dan Sabah tidak sama tarafnya dengan Perlis dan Kedah atau pun Selangor. Ramai yang masih belum memahami isu ini. Ahli-Ahli kabinet Sarawak dan Sabah itu sama tarafnya dengan kedudukan kabinet Persekutuan.
Itu terkandung dalam Perjanjian Malaysia dahulu. Sambil bercakap tentang kesetiaan dan cintakan negara elok kita kenali negara yang kita cintai ini.
Di Kota Kinabalu hari ini pada jam 3 petang satu Forum tentang Perjanjian Malaysia diadakan. Forum ini akan memberikan pencerahan tentang penubuhan Malaysia bukan setakat memeterikan perjanjian tetapi akan disebut tentang roh penubuhannya sekali.
Diharapkan YBM Tengku Razaleigh yang akan berucap nanti akan memberikan pencerahan keseluruhannya agar pemimpin-pemimpin kedua-dua Malaysia Timor dan Malaysia Barat menghayati keunggulan Persekutuan ini di wujudkan.
Forum ini mendapat perhatian masyarakat insaf tempatan dan masyarakat antarabangsa. Di harap tiada apa yang tidak akan di sebut dalam forum ini agar rakyat ramai dapat pencerahan sebenarnya terutamanya pemimpin-pemimpin yang sebelum ini tidak mengenali negara yang mereka pimpin ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Umno guna ustaz sebagai ayam sabung lawan PAS
- Nov 30, 2013
- HARAKAHDAILY
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad (gambar) berkata sejarah membuktikan betapa teguran, pandangan dan suara ahli agama terhadap Umno tidak menjadi keutamaan oleh parti itu malah hanya dipandang sepi.
"Umno bukan impikan orang beragama. Mereka hanya memperkudakan golongan terbabit untuk berhadapan dengan hujah PAS semata-mata. Lepas tu dibuang bagaikan sampah," katanya ketika berceramah di Markaz PAS Pongsu Seribu, di sini semalam.
Ceramah semalam diadakan sempena kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Limau yang turut dihadiri Adun baru SUngai Limau Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Terdahulu beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut mengulas perlantikan pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.
Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang pelik malah sudah dijangka kerana Ustaz Kazim dalam ceramahnya sebelum ini banyak kali tampil dipentas ceramah anjuran Umno dan mengkritik PAS secara terbuka.
"Sudah terang lagi bersuluh apa yang Ustaz Kazim buat. Kita tidak payah bersusah meneka siapa dirinya, " katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, kemasukan Ustaz Kazim ke dalam Umno itu langsung tidak memberi kesan kepada PAS sebaliknya lebih menyenangkan PAS untuk meneruskan siri dakwahnya kepada Ummah tanpa diganggu oleh 'individu yang mengakui PAS'.
Menurut beliau lagi, hakikatnya individu berlatarbelakang agama apabila menyertai Umno akan hilang serinya dan akan tenggelam dibawa arus.
Pemuda PAS mesyuarat semula 5 Dis, lantik SU
- Nov 30, 2013
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan mesyuarat sekali lagi bagi melengkapkan perlantikan anggota Dewan Harian sayap itu.
Ketuanya Suhaizan Kaiat berkata, mesyuarat pertama yang diadakan Khamis lalu, telah berjaya membuat perlantikan bagi jawatan Bendahari, Ketua Penerangan dan juga Pengarah Pilihan Raya.
Bagaimanapun bagi jawatan Setiausaha dan Penolong Setiausaha, mereka masih belum mencapai keputusan konsensus.
"Perbincangan belum selesai sepenuhnya. Jawatan Setiausaha dan Penolong Setiausaha belum diputuskan.
"InsyaAllah kita akan sambung mesyuarat tersebut pada 5 Disember ini untuk melengkapkan jawatan Dewan Harian ini," katanya kepada Harakahdaily.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada peringkat awal hanya satu nama dicadangkan untuk mengisi jawatan Setiausaha namun bertambah menjadi empat semuanya menjelang akhir perbincangan.
Bagaimanapun katanya, kesemua nama-nama itu akan dibincang semula pada mesyuarat akan datang ini.
"Berilah kepercayaan kepada ketua pemuda untuk melantik setiausaha atas kesesuaian dan keserasian yang dirasakan munasabah," katanya.
Dewan Harian Pemuda PAS terdiri daripada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan ketua pengarah pilihan raya Pemuda.
Fasal 53(3) Perlembagaan PAS 2011 memperuntukkan bahawa “Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya Pemuda dan satu per tiga daripada jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) fasal ini hendaklah dilantik oleh Ketua daripada pemuda-pemuda ahli PAS yang berumur empat puluh tahun ke bawah di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu".
CAMTU LAH...BOLEH NAIK TAPI MUNASABAH....SEBAB MEREKA ADA KEMUDAHAN LAIN...RAKYAT NAIK GAJI...TIADA ELAUN PEMANDU...ELAUN PERJALANAN...ELAUN MESYUARAT....DAN ELAUN2 LAIN....TIADA ADA ELAUN PENGARAH MANA2....SAPE BELI GULA HARGA SERUPA WALUPUN PENGANGGUR...PENGANGGUR JUGA KENA TOL...JIKA GUNA LEBUHRAYA....FIKIR2KAN
Gaji tetap naik tapi boleh bincang semula, kata MB
- Nov 30, 2013
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenaikan gaji kepada ahli Dewan Negeri Selangor tetap akan dilaksanakan namun ianya boleh dibincang semula jika ada keperluan.
Katanya, tiada penangguhan akan dilakukan terhadap keputusan yang telah diluluskan di Dewan Negeri Selangor pada Rabu lalu itu sebaliknya akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014 ini.
“Insya-Allah (kenaikan) ini akan diteruskan kerana perkara ini sudah dibincangkan dan diluluskan di dewan tetapi boleh dibincang semula kalau perlu,” katanya dipetik Selangorkini sebagai berkata.
Biarpun tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan ruang perbincangan semula itu, namun banyak pihak melihat ianya merujuk kepada kadar kenaikan yang dikritik banyak pihak kerana didakwa terlalu tinggi dan mendadak.
Untuk rekod, keputusan untuk melaksanakan kenaikan gaji Adun Selangor itu mendapat persetujuan semua anggota Dewan Negeri sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) dan juga Barisan Nasional (BN) ketika dibentangkan Rabu lalu.
Bagaimanapun kadar kenaikan sehingga 300 peratus itu mendapat kritikan banyak pihak yang mendesak ianya dikaji semula sebelum dilaksanakan.
Sementara itu, mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada 4 Disember ini dijangka akan membincangkan perkara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan