Jumaat, 15 November 2013

YANG BUAT RASA LAIN...YANG MENGARAH RASA LAIN...YANG KERJA RASA LAIN....TAK BUAT KERJA RASA LAIN....MASUK NERAKA RASA LAIN...YANG MASUK SYURGA RASA LAIN....YANG KAYA RASA LAIN....YANG MISKIN RASA LAIN....YANG DAPAT SAKINAH RASA LAIN YANG TAK DAPAT SAKINAH RASA LAIN

Bantahan SPPBS memuncak di laman sosial

Harakahdaily, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Masalah dihadapi para guru dalam mengakses pangkalan data Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) menyebabkan sebahagian warga pendidik melepaskan rasa tidak puashati mereka di laman sosial.

Ada di antara warga pendidik yang menggunakan kemahiran audiovisual memuat turun klip video berhubung SPPBS di laman Youtube.

Satu  klip video yang dimuat turun di Youtube dan dikongsi secara meluas di laman facebook  menunjukkan bagaimana paparan imej SPPBS di skrin komputer dimusnahkan peluru berpandu Exocet.

Ada juga guru yang kreatif berkarya menulis gurindam berhubung SPPBS. Karya bertajuk "SPPBS tak siap lagi" berbunyi:

Masuk kelas sebelah pagi
ikut jadual waktu sendiri
SPPBS tak siap lagi
perut belum diisi kopi.

Ada kerja sedia menanti
SPPBS tak siap lagi
hulur tangan nak buka lappy
mulut penuh mengunyah roti.

Masa makan masa free
SPPBS tak siap lagi
habis sejam masa berlari
satu apa pun tak menjadi.

SPPBS tak siap lagi
server lembab siput babi
masuk kelas lagi sekali
cuba lagi di rumah nanti.

SPPBS tak siap lagi
cuba lagi di petang hari
mujur ada broadband sendiri
tapi nasib tidak menyebelahi.

Sebelah kanan dengkur suami
si anak kecil di sebelah kiri
malang nasib jadi begini
SPPBS tak siap lagi.

Dingin malam hampiri pagi
bahang panas di dalam hati
SPPBS tak siap lagi
nak buat macam mana ni?


Pelbagai aduan berhubung SPPBS telah disuarakan para guru sejak ia mula dilaksanakan Kementerian Pelajaran.

Antara rungutan yang kerap dikemukakan adalah 'bandwidth' laman KPM yang terhad mengakibatkan  sistem SPPBS yang dilaksanakan oleh KPM tersangat perlahan untuk diakses ratusan ribu guru di seluruh Malaysia dalam tempoh yang sama.

"Ramai guru terpaksa bangun pukul 2-3 pagi semata-mata nak mengisi markah murid yang langsung tidak dapat di masuki pada sebelah siang.  Ditambah dengan tarikh tutup yang ditetapkan oleh KPM kepada beratus ribu guru," ujar seorang guru yang mahu dikenali sebagai Guru IT kepada Harakahdaily

Beliau mencadangkan supaya 'bandwidth server' untuk para guru mengakses sistem di tambah.

"Fikirkan berpuluh ribu guru seluruh Malaysia akses pada masa yang sama terpaksa membuang masa terlalu lama memasukkan data, tidur lewat malam, bangun awal pagi semata-mata kelemahan sistem ini. Kemudian mengajar pada waktu siang pula. Pernah orang KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) mengambil kira perkara ini?" kesal beliau.

Dalam perkembangan berkaitan KPM menerusi laman web sppbs.moe.gov.my menyiarkan pengumuman dua perenggan bagi menjawab rungutan warga guru berhubung SPPBS.

Pengumuman itu antara lain menyebut:

KPM mengambil maklum mengenai masalah akses ke SPPBS. Sehubungan dengan itu, kemasukan prestasi murid Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 (Akademik) serta Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 (Akademik dan Non Akademik) bagi tahun 2013 akan ditutup buat sementara bermula 30 November 2013 dan akan dibuka semula pada 1 Januari 2014 bagi kemasukan prestasi tahun 2013 yang masih belum selesai.

Mohon kerjasama semua pengguna agar menggunakan pelayar (browser) Internet Explorer (IE) versi 7 hingga 9 sahaja untuk kemasukan prestasi NON-AKADEMIK bagi mengelakkan isu TAHAP PENCAPAIAN yang tidak dapat ditanda di SPPBS.

Henti diskriminasi politik subsidi baja padi

Harakahdaily, 14 Nov 2013


KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan bersikap adil dan menghentikan sikap diskriminasi politik dalam isu bantuan subsidi baja padi kepada rakyat yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata, di Kelantan, perkara ini berleluasa apabila petani yang dilihat cenderung menyokong PAS, mereka dinafikan hak untuk mendapatkan baja subsidi.

Menurutnya, antara kawasan terlibat dengan diskriminasi itu antaranya petani di mukim Telok Kemunting, Tanjong, Takang dan Aur Budi.

Malah ketika kempen pilihan raya lalu, calon-calon BN dalam majlis pengagihan baja subsidi, kupon baja diberi kepada petani dengan kempen supaya mengundi BN.

Selain itu katanya, borang permohonan baja subsidi ini juga perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di mana di peringkat ini berlaku diskriminasi apabila petani yang tidak menyokong BN tidak dilayan.

"Akibat diskriminasi ini, kerajaan negeri terpaksa membelanjakan RM1.5 juta setiap tahun bagi membantu memberi bekalan baja kepada mangsa-mangsa yang di diskriminasi," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga merujuk kepada satu laporan bertajuk Assesing Food Securit y- A Micro Studi of 24 villages in Malaysia yang dikeluarkan oleh ERA Consumer Malaysia dan DHHRTA Network Malaysia, yang menyebut kebanyakan petani di Malaysia menjadi mangsa permainan politik.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, kesan kepada diskriminasi ini telah menyebabkan ramai dikalangan pesawah tidak dapat menanam padi dengan baik.

Malah katanya kesan berantai yang berlaku, jika satu petak sawah tidak diusahakan dalam satu-satu musim, maka ianya menjadi sarang kepada binatang perosak dan menyerang pula petak sawah yang lain.

"Bukan sahaja padi yang diusaha oleh petani yang dapat baja subsidi terjejas, tetapi keseluruhan hasil padi negara boleh terjejas," katanya.

Sebagai cadangan, beliau berkata adalah lebih baik urusan pemberian bantuan baja ini diberi kepada persatuan peladang bukan kepada orang lantikan politik.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kubang Kerian Ahmad Baihaqi Atiqullah juga mahu tindakan politik sempit ini dihentikan.

"Kita minta BN menerima hakikat bahawa rakyat Kelantan telah memilih PAS secara sah  maka jangan hak mereka dinafikan.

"Seperti juga kerajaan suruh kita menerima apa-apa keputusan kerajaan, maka kita kena adillah," katanya

Khalil berhasrat jadikan Pemuda PAS lebih relevan

Anis Nazri, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berhasrat membawa Pemuda PAS ke arah yang lebih relevan bersesuaian dengan suasana masa kini, khususnya dalam usaha menarik lebih ramai anak muda.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini Khalil berhasrat untuk mempelbagaikan pendekatan dalam Pemuda PAS agar menjadi lebih kukuh dalam usaha meneruskan perjuangan Islam yang dibawa PAS.

"Saya bersedia memastikan kesinambungan dasar perjuangan PAS itu diteruskan mengikut suasana zaman sekarang melalui pendekatan yang pelbagai. Yang sedia ada sudh baik, cuma mahu dikembangkan lagi agar menjadi lebih baik untuk semua," tegas beliau.

Menyifatkan perjuangan bersama Pemuda PAS bukan sebagai perjuangan peribadi, Khalil berkata perjuangan itu akan digerakkan bersama secara kolektif bagi memastikan Pemuda PAS benar-benar menjadi satu badan yang memahami kehendak anak muda.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan kepada para perwakilan dalam menentukan kedudukan beliau dalam sayap parti itu pada muktamar akan datang.

"Saya serahkan kepada perwakilan, yang saya fikir saya yakin dengan kematangan dan kebijaksanaan para perwakilan," kata beliau lagi.

Pada pemilihan kali ini, Khalil akan bersaing dengan Naib Ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob bagi mengisi kerusi timbalan ketua yang dikosongkan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Manakala, bagi kerusi Ketua Pemuda PAS, berlaku persaingan antara tiga calon iaitu Suhaizan Kayat, Kamaruzzaman Mohamad dan Zulhazmi Shariff.

Bagi kerusi Naib Ketua Pemuda juga menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ir Mohd Khairul Nizam Khairuddin.

Ia dikosongkan oleh Dr Raja Ahmad Iskandar yang bertanding timbalan ketua.

Seramai 26 orang akan bertanding untuk mengisi kerusi AJK Dewan Pemuda.

Bantah kenaikan cukai taksiran DBKL 2014

Harakahdaily, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah kenaikan cukai taksiran yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian yang diedarkan awal minggu ini kepada semua pemilik rumah dan premis di ibu negara.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin (gambar) berkata, notis berkenaan yang meletakan tarikh 18 November 2013 (postdated notice) sebagai tarikh surat dikeluarkan menunjukkan cadangan DBKL yang mahu menaikkan kadar cukai taksiran lebih daripada 100% mulai 1 Januari 2014.

Katanya, DPPWP menerima banyak aduan di antaranya pemilik rumah teres yang pada masa ini dikenakan cukai taksiran sebanyak RM5,400 bakal menerima kenaikan cukai sebanyak RM13,800 tahun depan iaitu kenaikan sebanyak 155%.

Beliau berkata, bagi pemilik rumah flat yang pada masa ini dikenakan cukai RM2,280 bakal menerima kadar cukai baru sebanyak RM4,800 tahun hadapan iaitu kenaikan sebanyak 10%.

Tambahnya, DBKL hanya memberikan tempoh sehingga 17 Disember 2014 bagi pemilik rumah dan premis membuat bantahan bertulis.

“Cadangan ini sangat mengejutkan rakyat Kuala Lumpur dan dibuat dengan terburu-buru,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kadar kenaikan juga terlalu tinggi dan DPPWP mendesak DBKL memberikan penjelasan tentang bagaimana kadar kenaikan ini ditetapkan.

“Apakah indikator yang digunakan oleh pihak DBKL bagi menentukan kadar cukai taksiran pada masa ini dan juga apakah sebab kenaikan ini perlu dilakukan?” tanya beliau.

Sehubungan itu, ujarnya DPPWP mendesak agar pihak DBKL menarik semula cadangan itu memandangkan pada masa ini rakyat telah menerima begitu banyak kenaikan dan tekanan kewangan semasa.

Menurutnya, jika kenaikan itu diteruskan, ia akan menyebabkan nilai hartanah di Kuala Lumpur menjadi lebih mahal dan kadar sewa rumah juga akan meningkat.

Ini, katanya sekaligus akan menyebabkan lebih ramai rakyat yang berpendapat rendah menjadi mangsa.

“DPPWP mengajak rakyat untuk bangkit bersama-sama membantah cadangan semakan semula ini dan bersama-sama mendesak DBKL mengekalkan cukai Taksiran pada kadar semasa,” ujarnya lagi.

Mengapa tidak rujuk Surendran ke JK Hak Parlimen?

Hazayani Zakaria, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran seharusnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum dijatuhkan hukuman, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan proses penggantungan Surendran selama enam bulan adalah tidak demokratik kerana Surendran tidak diberi peluang membela diri.

"Saya kesal atas pengendalian tidak demokratik speaker berkaitan usul dan penggantungan ke atas MP Padang Serai.

"Sepatutnya Surendran dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Kenyataan dibuat Surendran di luar dewan. Sepatutnya dia dirujuk sebab tak ada kepastian sama ada betul atau tidak kenyataan beliau.

"Sepatutnya dia dirujuk ke Jawatankuasa Kebebasan Parlimen dan pihak media yang membuat laporan yang menjadi rujukan kerajaan untuk mengemukakan usul perlu dipanggil untuk menunjukkan bukti bahawa Surendran mengeluarkan kenyataan itu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Speaker hari ini meluluskan usul menggantung Surendran selama enam bulan atas tuduhan menghina Speaker Dewan Rakyat.

Usul yang dibawa Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri itu berkait tindakan Surendran ketika mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, yang didakwa menyatakan bahawa Dewan Rakyat tidak demokratik dan Speaker berat sebelah ekoran tindakan Speaker mengarahkannya keluar dewan Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Dewan Rakyat diperalat untuk tidak menghormati peraturan yang dibuat.

"Saya lihat Parlimen diperalatkan untuk tidak menghormati peraturan, perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Gelang Patah dan Gombak, keputusan tafsiran oleh Speaker cukup jelas bahawa mesti ada cukup waktu usul dikemukakan.

"Tetapi dalam kes ini diketepikan, tetapi bagi saya itu soal teknikal, soalnya apakah dengan mudah boleh digantungkan seorang Ahli Parlimen yang diterima oleh rakyat, semata-mata dia Surendran menyatakan pandangannya," katanya.

Beliau juga menyanggah tindakan speaker yang menjatuhkan hukuman ke atas Surendran hanya berdasarkan laporan media.

"Pandangannya di luar tidak disenangi oleh Speaker, semak dulu, siapa yang buat keputusan berdasarkan laporan media?


"Bawa kepada peringkat jawatankuasa tetapi ini tidak berlaku, jadi pada saya cara Umno-Barisan Nasional mengendalikan Parlimen ini memang memperbodohkan sistem demokrasi dalam negara ini," katanya.

 

Tiada ulasan: