Rabu, 20 November 2013

JANGAN TERLALU SIBUK KERANA NAK KEJAR PANGKAT...HINGGA LUPA KEJE2 ISLAM ...SERTA LUPA MENCARI KEIKHLASAN...

Kemalangan kerana sikap pemandu atau usia kereta?

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak berharap pihak kerajaan jangan terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu peraturan baru, kerana ianya akan menyusahkan kebanyakan rakyat.

"Mungkin peraturan baru ini hanya akan memberi kebaikan dan keuntungan kepada penjual kenderaan baru tetapi kepada pengguna ianya pasti menjadi satu bebanan hutang yang berpanjangan," kata Timbalan Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee (gambar) dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bahawa kereta berusia lebih 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya.

"Apakah jaminan pihak kerajaan yang kereta baru tidak mengalami kerosakan dan selamat di jalanraya?

"Adakah peratusan kemalangan berlaku sekarang berpunca dari kereta lama yang lebih dari 12 tahun?" tanya beliau.

Berikut ialah kenyataan beliau.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, tiba-tiba datang pula cadangan dari pihak kerajaan untuk menghadkan jangka hayat kenderaan di negara ini kepada 12 tahun.

Cadangan Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof. Dr. Wong Shaw Voon baru-baru ini yang merupakan suatu penemuan baharu. Pada Jumaat lalu, Dr. Shaw Voon memberitahu media di Melaka bahawa kereta berusia lebih 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya.

Adakah ini suatu penemuan baru cara untuk mendapatkan hasil pendapatan dari rakyat atau cara baru untuk menghabiskan stok kereta yang tidak laku? Apakah jaminan pihak kerajaan yang kereta baru tidak mengalami kerosakan dan selamat di jalanraya? Adakah peratusan kemalangan berlaku sekarang berpunca dari kereta lama yang lebih dari 12 tahun?

Sebelum melaksanakan sesuatu peraturan baru, adakah pihak kerajaan pernah mengkaji apa akan terjadi kepada kereta terpakai yang lebih dari 12 tahun dan juga rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli kereta baru yang sudah tentu mahal dan terpaksa menanggung hutang seumur hidup?

Sudahpun harga rumah mahal dan kos kehidupan yang tinggi sekarang terpaksa pula menanggung hutang kenderaan yang berpanjangan. Adakah ini dikatakan kerajaan menjaga kesejahteraan dan kebajikan untuk rakyat?

Ke manakah kerajaan hendak melonggok ratusan ribu atau jutaan kenderaan yang sudah melebihi had jangka hayat tersebut?

Adakah pihak kerajaan sudah membina kilang memproses besi buruk untuk digunakan semula sebagai bahan membina kenderaan baru agar ianya boleh dijual dengan harga yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat? Bagaimana pula dengan kereta antik yang lebih dari 12 tahun, adakah pihak kerajaan perlu melupuskannya juga?

Banyak lagi kenderaan pengangkutan awam yang melebihi 12 tahun juga akan jadi mangsa pelupusan ini dan di manakah mereka hendak menjual kenderaan ini sekiranya dipaksa untuk dilupuskan? Adakah pihak kerajaan sanggup membeli kenderaan lama dan menanggung semua kos dan hutang yang belum diselesaikan oleh pihak pengguna?

Kalau kerajaan terpaksa juga melaksanakan peraturan tersebut, pihak kerajaan perlu menurunkan harga kereta sehingga ke paling maksima. Harga kereta buatan Malaysia perlu diturunkan sampai ke 50 peratus begitu juga dengan kereta import.

Kereta lama yang melebihi 12 tahun akan digantikan dengan kereta baru dengan potongan harga 50 peratus maka rakyat tidak perlu menanggung bebanan hutang yang berpanjangan.

Walau bagaimanapun menetapkan had jangka hayat kenderaan mungkin sesuai di bandaraya metropolitan yang penuh sesak dengan kenderaan dan bukannya sesuai untuk dilaksanakan ke seluruh negara terutama sekali di Sarawak.

Di Sarawak ramai penduduk luar bandar yang masih menggunakan kenderaan lama untuk pengangkutan dan juga berulang alik ke bandar.

Lagi pun harga kenderaan di Sarawak mahal dan petrol di luar bandar juga dijual dengan harga yang mahal, adalah tidak realisitik untuk kerajaan melaksanakan peraturan tersebut ke seluruh negara terutama sekali kawasan bandar yang tidak mempunyai pengangkutan yang berkesan dan cekap untuk orang awam.

Punca sebenar kemalangan berlaku adalah atas sikap pemandu itu sendiri.  Kalau ada pun masalah kenderaan ianya lebih kepada masalah teknikal bukannya usia kenderaan tersebut. Kalau kenderaan yang sudah melebih 12 tahun dijaga dengan baik ianya tetap selamat digunakan.

Kebanyakan kenderaan baru yang mempunyai CC yang tinggi menyebabkan pemandu ingin mencuba kelajuan kenderaan tersebut. Kalau pemandu itu cuai ketika memandu dengan kelajuan yang tinggi, walau bagaimana canggih kenderaan itu, kemalangan tetap akan berlaku. Semua ini adalah masalah dan sikap pemandu itu sendiri yang menjadi punca kemalangan berlaku.

Kita harap pihak kerajaan jangan terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu peraturan baru, kerana ianya akan menyusahkan kebanyakan rakyat.

Mungkin peraturan baru ini hanya akan memberi kebaikan dan keuntungan kepada penjual kenderaan baru tetapi kepada pengguna ianya pasti menjadi satu bebanan hutang yang berpanjangan.

Bingkisan hujung Buat Dewan Pemuda PAS Malaysia

., 19 Nov 2013
Tahun lepas, ketika ucapan penutup Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia, sambil menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh para perwakilan, saya ucapkan bahawa tidak sepatutnya timbul isu Dewan Pemuda PAS kini dikuasai oleh para ustaz atau kumpulan ulama, lalu terpinggirlah golongan profesional muda yang turut mahu menyumbang di dalam perjuangan.

Saya tekankan bahawa sebagaimana zaman Salahudin Ayub memimpin Dewan Pemuda dulu telah melahirkan pelapis bergelar ustaz seperti YB ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, maka saya yakin kepimpinan beliau pula kini akan melahirkan pelapis daripada kalangan profesional dan aktivis parti yang pasti menyerlah. Seingat saya, saya telah menyebut beberapa nama sebagai contoh kehadiran kepimpinan muda berbakat yang sedang mara ke atas.

Hari ini, saya fikir saya benar pada kata-kata saya itu. Saya bersyukur pada Allah yang maha mengetahui dan maha bijaksana.

Beberapa hari lagi, muktamar pemuda PAS akan berlangsung dan paling menarik, akan menyaksikan pertandingan mengisi tiga jawatan tertinggi dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia. Daripada 7 calon yang bertanding, hanya seorang sahaja yang bergelar ustaz yang berlatar belakang pengajian ugama. Selainnya adalah daripada kalangan anak muda profesional dan aktivis.

Maka saya fikir, kepimpinan YB ustaz Nasrudin Hassan telah menepati sunnah perjuangan yang diimpinya sendiri, bahawa kepimpinan adalah bersumberkan para perwakilan atau ahli daripada seluruh negara. Kepimpinan semasa pula akan menyediakan ruang yang memberangsangkan agar kepimpinan baru mampu menonjolkan bakat dan keupayaan masing-masing.

Dalam ugama Islam, kekuasaan dan kepimpinan adalah satu amanah. Ia bersumber daripada rakyat yang dibebankan untuk memilih yang terbaik daripada kalangan mereka. Baik rakyat, baiklah kepimpinan yang mereka pilih untuk memimpin mereka. Begitulah sebaliknya. Justeru kepimpinan semasa akan membuka ruang seluasnya buat ahli dan perwakilan menilai sendiri dengan bebas prestasi setiap pemimpin.

Tiada paksaan ke atas mereka untuk ditentukan kepimpinan. Ajaran yang kekal daripada ugama ialah, yang terbaik adalah yang paling bertaqwa daripada kalangan mereka. Walaupun golongan berpendidikan ugama secara lahirnya lebih ke depan berbicara soal ugama dan isi-isinya termasuk soal taqwa, ia tidak pula akan mengurung sifat taqwa itu daripada bebas menghuni hati jantung sesiapapun yang disukainya dengan kehendak Allah.

Keselamatan sesebuah kepimpinan adalah pada pemilihnya, iaitu para perwakilan atau ahli atau rakyat. Rakyat yang bertaqwa akan tahu dan akan berusaha memilih yang paling bertaqwa daripada kalangan mereka.

Bukan Nasrudin Hassan dan bukan Nik Mohamad Abduh yang berhak mengikat, memaksa, menentukan dan mengajar sesuatu yang bukan daripada ajaran ugama.

Saya fikir itulah yang saya cetuskan daripada isi-isi penting yang saya tinggalkan dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia sepanjang 10 tahun saya di dalamnya, atau secara khususnya dalam 2 tahun terakhir saya membantu YB ustaz Nasrudin Hassan memimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia.

YB ustaz Nasrudin Hassan dan saya telah mengambil keputusan untuk mengundur diri dan membuka ruang yang luas kepada kepimpinan baru memacu pemuda PAS kearah kejayaan yang lebih cemerlang.

Saya sentiasa mendoakan semoga Dewan Pemuda PAS terus melahirkan kepimpinan Islam yang sempurna dan tepat pada masanya. Hari ini PAS dipimpin oleh mantan kepimpinan pemudanya suatu masa dahulu. Maka saya doakan ia berterusan, bahkan bertambah hebat dan berkesan. Jika ia mampu ditetuskan, maka ia adalah satu kesempurnaan di dalam sistem pembinaan parti dan jamaah. Ia bukan pula bererti tiada hak untuk kepimpinan itu terbuka kepada sesiapa pun. Seperti saya sebutkan, taqwa bebas memasuki semua hati jantung sesiapapun, termasuk yang baru masuk PAS dalam usia lewat dan tidak pernah menyertai kepimpinan dalam pemuda PAS. Yang terpilih di zaman jahiliyah, dia boleh secara mudah terpilih di dalam zaman Islamnya, apabila dia faham ugama dan bertaqwa.

Kemudian, persoalan akan terus menerjah dan walaupun berkali-kali dijawab dan cuba dipadamkan, ia tetap diusahakan telah terus bernyala dan memanasi ruang. Golongan ustaz dalam pemuda, bahkan dalam PAS sendiri terus mahukan PAS itu menjadi milik mereka. Wibawa profesional sering dikecilkan dan dipencilkan.

Saya khususkan untuk pemuda dulu jawaban ini.

Isu kita yang utama ialah masa yang mampu kita berikan untuk perjuangan. Kepimpinan utama perlu memberikan masa mereka yang banyak, bahkan sepenuhnya kadang-kadang. Jika tidak, seseorang itu akan gagal menempatkan diri mereka untuk dikenali dan dipilih oleh ahli sebagai pemimpin mereka.

Kemudian, keberanian untuk berada di barisan depan. PAS hari ini dilihat dan diminati ramai. Tetapi ia adalah hasil keberanian membelah badai dan api rintangan. PAS adalah sunnah perjuangan menegakkan kebenaran yang tertindas dan berhadapan kebatilan yang kejam.

Dua ini, sesiapapun yang mampu, maka dia akan dipilih dan dijadikan pemimpin.

Berbanding golongan ustaz yang biasanya bekerja sendiri dan lebih bebas, para professional muda pula biasanya terikat dengan tugas-tugas besar di dalam kerajaan, dan kebanyakannya dalam sektor swasta. Ini secara langsung agak mengganggu komitmen mereka kepada tugas-tugas parti yang banyak.

Tetapi anda perhatikan, dengan 6 daripada 7 calon yang bertanding di 3 jawatan tertinggi DPPM kali ini, maka ia adalah sebuah kejayaan dan jawaban bahawa kepimpinan di bawah YB ustaz Nasrudin telah berusaha dan berjaya membentuk lapisan profesional muda yang bersedia memimpin dengan keupayaan menyerap halangan masa dan keberanian untuk berada di saf depan.

Dan jangan lupa, oleh kerana PAS adalah sebuah parti Islam yang tinggi matlamatnya, maka kepimpinan amatlah dinilai pada upaya ilmu ugamanya, di sebalik kepakaran profesionalisme masing-masing.

Jadi ilmu dan taqwa adalah syarat utama dalam kepimpinan parti PAS. Semoga DPPM terus maju bersama anak muda Malaysia.

YB Ustaz Nik Mohd Abduh
Timbalan Ketua DPPM
MP Pasir MAS

PAS relevan untuk masyarakat majmuk

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan bahawa PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam yang membawa kesejahteraan dan keharmonian kepada masyarakat majmuk di negara ini tanpa mengira perbezaan warna kulit dan agama.

Beliau menegaskan demikian sebagai respons kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini yang dilaporkan menyaran agar parti-parti yang berasaskan agama tidak sesuai wujud di negara ini.

Menurut beliau lagi, sekiranya pemimpin itu memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS,  pasti beliau tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Katanya, ini adalah kerana perjuangan PAS adalah perjuangan Islam seperti mana yang  yang termaktub di dalam Al Quran dan Hadis dan Allah menegaskan di dalam Al Quran, yang bermaksud: Kami tidak utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam.

Tegasnya, perjuangan PAS membawa obor keadilan dan keejahteraan kepada seluruh bangsa dan agama di negara kita ini.

Tegas beliau lagi, keadilan dan kesejahteraan yang dibawa oleh Islam kepada seluruh bangsa umat manusia bukan suatu retorik bahkan ianya telah dibuktikan sejak zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w dan kemudiannya diteruskan oleh Khulafa Ar Rasyidin dan pemerintahan-pemerintahan selepas itu.

Tambahnya, ahli sejarah dan ilmuan telah mengiktiraf betapa adilnya Islam kepada seluruh bangsa manusia ketika diberikan peluang mentadbir dunia dengan telunjuk Al Quran dan Sunnah.

Beliau menegaskan lagi, PAS sejak awal penubuhannya lagi sentiasa menggalakkan perdamaian antara pelbagai bangsa dan agama sekali gus menolak pergolakan dan ketidakstabilan yang bertentangan dengan keharmonian sesebuah negara.

Justeru, beliau menolak dakwaan pemimpin tersebut kononnya parti yang berasaskan agama seperti PAS dikatakan tidak sesuai diamalkan di negara ini.

"Apa yang tidak sesuainya? Parti PAS tidak membahayakan sesiapa. PAS adalah sebuah parti yang berasaskan Islam yang membawa kesejahteraan untuk menyatupadukan rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama,” jelasnya.

Malah, kata beliau sebelum datangnya Islam, manusia dalam keadaan berpuak-puak dan berpecah belah, sehinggalah Allah s.w.t menurunkan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang akhirnya berjaya menyatukan umat manusia di bawah panji Islam.

"Inilah hakikat perjuangan PAS dan tidak benar sama sekali tuduhan yang menyatakan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak sesuai dinegara ini," jelas beliau lagi.

Beliau turut menyarankan agar pemimpin tersebut supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya berkaitan dengan agama Islam yang merupakan perjuangan tertinggi PAS.

Shahidan elak jawab pendaftaran Pakatan Rakyat

Muhammad Faizal, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim cuba mengelak dan enggan menjawab mengenai permohonan pendaftaran Pakatan Rakyat pada sesi persidangan Dewan Rakyat semalam.

Shahidan yang sebelum ini mempertikaikan tentang nama Pakatan Rakyat yang digunakan oleh PAS, PKR dan DAP yang dilihat tidak dikhtirafkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid (gambar) yang bangkit meminta Shahidan memberi jawapan jaminan kerajaan untuk memberi kebenaran serta kelulusan pendaftaran Pakatan Rakyat serta tarikh kelulusan.

"Menteri, saya nak tahu jaminan kerajaan untuk memberi kebenaran serta kelulusan kepada pendaftaran Pakatan Rakyat, saya nak menteri bagi tarikh bila kelulusan akan diberikan," soalnya.

Shahidan yang terus mengelakkan dengan tidak menjawab pertanyaan tersebut sebaliknya memberitahu hak mengundi adalah hak rakyat dan DAP dilihat sebuah parti yang menonjol selepas Barisan Nasional(BN) tetapi kenapa DAP menggunakan nama Pakatan Rakyat sedangkan ia tidak didaftarkan.

"Hak mengundi untuk seluruh rakyat Malaysia sama, DAP sebuah parti yg menonjol berada di bawah BN, kenapa buat nama Pakatan Rakya dan ia tak daftar.

"Kenapa tak daftar," ucap Shahidan yang mengelak menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lumut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli yang turut mencelah mempertikaikan jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dilihat tidak mengiktiraf kemenangan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri.

"Adakah menteri sedar Perak pernah diperintah Pakatan Rakyat begitu juga Kelantan, Kedah Pulau Pinang dan di Selangor?

"Sekarang nampak menteri mempertikaikan keputusan tersebut, kenapa tak nak lulus pendaftaran Pakatan Rakyat, kami telah dipilih oleh rakyat," soal beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang turut bangun mencelah meminta Shahidan menjawab setiap pertanyaan tersebut secara serius.

"Ini parlimen jawab elok-elok dan jangan main-main, kita nak tahu jawapan bila nak lulus permohonan Pakatan Rakyat.

"Bagi tarikh senang untuk kita, tapi saya tengok kerajaan macam takut nak lulus nama tersebut, kenapa ya," ucap Azmin.

Shahidan yang teruskan berucap dengan mengatakan Pakatan Rakyat tidak wujud dan masih eggan memberi jawapan dari soalan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat mengenai status kelulusan.

"Jawapan saya bukan main-main, saya serius mana ada Pakatan Rakyat, kalau pergi daftar tak semestinya dapat nama Pakatan Rakyat mungkin Pakatan Pembangkang.

"BN baru boleh dipanggil Pakatan Rakyat sebab dipilih oleh rakyat.

"Pakatan Rakyat tidak didaftar, yang didaftar hanyalah PAS, PKR dan DAP," jawap beliau tanpa memberi jawapan yang khusus pada persoalan yang dibangkitkan.

Keadaan Dewan Rakyat kecoh apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri terus enggan memberi jawapan terhadap status pemdaftaran Pakatan Rakyat

S'gor tubuh JK Khas bina 5,000 rumah mampu milik

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan untuk menubuhkan badan khas bagi merealisasikan pembinaan 5,000 unit rumah mampu milik dalam masa terdekat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, berkata badan khas terbabit akan diletakkan di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Mesyuarat Exco pada 13 November lalu meluluskan untuk  menubuhkan badan khas ini. Jadi hari ini saya mengumumkan penubuhan itu.

“Tugas utamanya ialah membina rumah mampu milik sahaja, kalau dulu kita harapkan kepada pemaju dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi sekarang ia melalui Kerajaan Negeri sendiri,” katanya dipetik Selangorkini.

Projek merancakkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat menjadi agenda utama kerajaan negeri Selangor ke arah menunaikan janji manifesto pilihan raya lalu.

Menurut Iskandar, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan tanah yang bakal dimajukan antaranya di Bangi dan Kuala Selangor.

Beliau memaklumkan projek pertama akan dimulakan pada Jun tahun hadapan.

Terdahulu beliau menyerahkan kunci kepada 160 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Andorra di Taman Sri Muda.

Prokjek itu sebelum ini adalah salah satu projek terbengkalai sejak 2005 yang berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri dibawah pakatan Rakyat.

Sementara itu, Iskandar memaklumkan projek itu mula dimajukan pada 2003 dan dijangka siap pada Disember 2015, namun akibat kelewatan dan masalah kewangan, projek itu terbengkalai.

Katanya, sejak Mac 2008 hingga 31 Oktober 2013, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan sebanyak 42 projek terbengkalai yang membabitkan 19,958 unit.

Syariah: Usul muktamar yang silap dilapor

Harakahdaily, 20 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Merujuk kepada laporan-laporan mengenai usul ‘Negeri pentabiran PR akan didesak laksana hudud’, PAS ingin menjelaskan bahawa terdapat kesilapan kepada laporan-laporan tersebut.

Usul yang diterima dengan pindaan untuk perbahasan ialah untuk mendesak Kerajaan Malaysia agar melaksanakan undang-undang Syariah dan membantu mana-mana negeri yang inginkan perkara yang sama untuk melaksanakannya.

“Ia bukanlah usul yang fokus pada negeri-negeri Pakatan Rakyat semata-mata,” jelas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, umum mengetahui, halangan kepada terlaksananya undang-undang Islam ada di tangan kerajaan pusat yang diterajui Umno.

Oleh itu, jelas beliau tidak munasabah untuk PAS mendesak negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja untuk melaksanakan undang-undang Syariah tatkala Kelantan masih menghadapi pelbagai cabaran perundangan yang menjadi penghalang selama ini.

Beliau berkata, hasrat untuk melaksanakan undang-undang Syariah bukan sahaja daripada kerajaan Kelantan yang diterajui PAS.

“Kita mesti memahami kewajipan melaksanakannya adalah kewajipan bagi umat Islam dan pemimpin negara,” ujarnya lagi.

Kerana itu, kata beliau ada usul daripada beberapa PAS kawasan yang mencadangkan agar pihak kerajaan pusat tidak menghalang mana-mana negeri yang ingin melaksanakan sistem perundangan Islam untuk menangani masalah rasuah, riba, salahguna kuasa, jenayah dan ketidakadilan ekonomi, sama ada negeri di bawah Pakatan Rakyat atau di bawah Barisan Nasional, untuk dibahaskan di Muktamar ke-59 ini.

Menurutnya, Adun Umno dari Dun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat pernah menyatakan hasratnya untuk melihat undang-undang Syariah dilaksanakan di negeri Johor.

Tambah beliau lagi, seperti kata Ahli Parlimen Ketereh dari Umno, Tan Sri Annuar Musa umat Islam wajib berusaha untuk memastikan hukum Syariah ini berjaya direalisasikan.

Namun begitu, katanya PAS menggalakkan bahawa negeri-negeri yang ingin melaksanakan undang-undang Syariah untuk mempersiapkan diri dari sudut infrastruktur dan sebagainya sesuai dengan bidang kuasa kerajaan negeri.

Intipan asing: Indonesia panggil pulang duta besar

Harakahdaily, 19 Nov 2013
JAKARTA: Indonesia semalam bersikap tegas berhubung insiden intip dengar perbualan telefon Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Wanita Pertama Indonesia Ibu Ani Yudhoyono (gambar) serta beberapa anggota kabinet oleh pihak Australia, dengan memanggil pulang Duta Besarnya ke Australia di Canberra, Nadjib Riphat.

Serentak dengan itu Indonesia juga akan mengkaji semula hubungan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan Australia.

Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa berkata pemanggilan pulang Duta Besarnya itu adalah untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku di Australia.

Keputusan itu dibuat kerana Indonesia berpendapat Duta Besarnya tidak akan dapat melakukan tugas dengan baik di tengah isu intip dengar yang sedang hangat diberitakan sekarang, katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

"Saya berpesan agar Duta Besar tidak hanya membawa beg kabin. Kami menunggu jawapan dari pemerintah Australia dan akan melakukan langkah satu per satu secara terukur," kata Marty.

Menteri Luar Indonesia itu berharap kerajaan Australia tidak meremeh dan mengecilkan isu itu kerana ia amat mengganggu keselesaan Indonesia.

Laporan media menyebut bahawa agensi perisikan Australia telah cuba mengintip dengar perbualan telefon Yudhoyono dan isterinya serta beberapa menteri kanan Indonesia pada tahun 2009.

Dokumen rahsia yang dibocorkan oleh Edward Snowden dan diterima media penyiaran Australia Broadcasting Corporation (ABC) dan akhbar harian The Guardian menyebut bahawa Presiden Indonesia dan sembilan orang terdekatnya sebagai sasaran intip dengar itu.

Marty berkata Indonesia berada pada kedudukan tidak melanggar peraturan hubungan antarabangsa dan berada dalam tatalaku yang baik dari segi undang-undang dan beradab dalam hubungan dua hala.

Katanya Kementerian Luar Negeri telah memanggil Kuasa Usaha Australia di Jakarta untuk mendengarkan pendirian Indonesia itu dan sedang dalam proses menghubungi Menteri Luar Australia Julie Bishop.

Mengenai kajian semula terhadap hubungan kerjasama Indonesia-Australia, Marty berkata ia termasuk langkah memastikan pelaksanaan prinsip timbal balik dalam kerjasama maklumat iaitu mengkaji semula jumlah pegawai Indonesia di Canberra dan pegawai Australia di Jakarta yang bertugas menangani masalah maklumat.

Langkah itu adalah bagi memastikan prinsip timbal balik itu dihormati dan dilaksanakan oleh kedua-dua negara, katanya.

"Ini bukan hari yang baik bagi hubungan Indonesia-Australia kerana isu intip dengar sangat membawa kesan dalam hubungan kedua-dua negara. Namun, Indonesia adalah negara yang sanggup untuk berfikir secara rasional, untuk melakukan tindakan tegas namun terukur," kata Marty.

Sementara itu Menteri Penyelaras Bidang Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia Djoko Suyanto yang bercakap kepada media Indonesia, mendesak kerajaan Australia segera memberi penjelasan rasmi dan kepada masyarakat awam berhubung isu itu, selain mendesak negara itu agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan. - Bernama

Dokumen hilang, rayuan kes Beng Hock ditangguh

Harakahdaily, 19 Nov 2013
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam  menangguhkan 23 Jan, bagi mendengar rayuan berhubung keputusan Mahkamah Koroner yang membuat keputusan terbuka dalam inkues kematian Teoh Beng Hock kerana rekod rayuan tidak lengkap.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan penangguhan itu selepas peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah terdapat beberapa dokumen dan barang kes yang hilang daripada rekod rayuan.

Beliau (Gobind) berkata dokumen yang hilang termasuk keputusan Koroner, gambar bedah siasat, eksibit dokumentari seperti laporan bedah siasat dan dokumen pakar forensik dan penghujahan yang dikemukakan dalam prosiding inkues itu oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, pendakwaan dan si mati.

Gobind yang mewakili abang Beng Hock, Meng Kee, merayu terhadap keputusan itu berhubung kematian pembantu politik DAP itu dengan Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abbas bersetuju dengan Gobind berhubung perkara itu.

Dua lagi panel terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Balia Yusof juga menetapkan 9 Jan bagi pengurusan kes rayuan itu dan memberi amaran kepada semua pihak agar mereka sendiri hadir di hadapan timbalan pendaftar pada tarikh itu dan bukannya menghantar junior mereka untuk menghadiri pengurusan kes itu untuk mengelak alasan sama diberi di hadapan panel Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Balia Yusof yang mempersoal sama ada Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan itu, juga mengarahkan pihak-pihak dalam rayuan itu menyediakan hujahan bertulis berhubung isu itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati di ruang tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Selangor, yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pada 5 Jan 2010 Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka dan memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematian Teoh.

Pada 21 Julai 2011 Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen (kini telah bersara) merumuskan kematian Teoh kerana membunuh diri.

Meng Kee kemudian memfailkan permohonan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Tinggi pada 30 Sept 2011 untuk menyemak semula keputusan koroner itu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan semula Meng Kee pada 1 Dis 2011.

Pada 2 Feb tahun lepas, Meng Kee mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita dokumen yang hilang diperlukan kerana ia sebahagian daripada penghujahan beliau di dalam rayuan.

"Saya tidak kata ia akan menyebabkan kelewatan (terhadap rayuan), tetapi proses menyusun dokumen itu tidak mudah kerana ia membabitkan dokumen yang banyak.

"Untuk berlaku adil kepada mahkamah, mereka juga bertungkus lumus menyiapkan rekod itu.

"Terdapat 17 jilid rekod dan mereka telah kumpulkan sebahagian besar tetapi kita perlu dapatkan dokumen selebihnya," katanya. - Bernama

Gempa bumi landa kawasan Timor, Indonesia

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda kawasan Timor, Indonesia pada 5.31 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu ialah 22km timur Kupang, Indonesia dan 1,648km tenggara Sarikei, Sarawak.

Tidak ada ancaman tsunami dikeluarkan. - Bernama

Tiada ulasan: