Selasa, 12 November 2013

PEMIMPIN TERBAIK ADALAH BERTAQWA BUKAN AHLI MAKSIAT DAN RAGU2 TENTANG ALLAH DAN HUKUM2NYA

Kerajaan, rakyat syukur pendekatan Sultan Kelantan

Salmah Mat Husain, 12 Nov 2013
KOTA BHARU: Kerajaan negeri dan rakyat melahirkan rasa syukur dengan pendekatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang meletakkan Islam sebagai satu nilai yang utama di dalam menaungi pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata baginda sangat cakna dan prihatin terhadap program-program pengisian rohani bagi mendekatkan rakyat kepada Allah.

Ahmad berkata demikian ketika berucap menyembahkan ucapan taat setia kepada baginda di majlis pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-44, di Istana Adat Istiadat, di sini.

”Alhamdulillah, patik dan seluruh rakyat melahirkan rasa syukur memandangkan program-program seperti Qiyam With Me dan sebagainya merupakan satu bukti tuanku prihatin terhadap perkembangan Islam.

”Insya Allah apabila kasih dan doa rakyat sentiasa berpanjangan buat tuanku, ia akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT kelak bahawa tuanku telah melaksanakan dasar yang terbaik demi kebaikan bersama,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili seluruh jentera pentabdiran kerajaan negeri Kelantan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda.

Turut berangkat pada majlis berkenaan Tengku Mahkota Kelantan.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pemimpin kerajaan negeri dan Persekutuan, pemimpin masyarakat dan lain-lain kenamaan.

Terdahulu baginda berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang dianggotai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Amal Malaysia Kelantan dan badan beruniform yang lain.

Jika akuan bersumpah Mat Zain jadi dokumen awam

Harakahdaily, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Isu yang dihadapi oleh Peguam Negara nampaknya bertambah serius apabila bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, akan menjadikan akuan bersumpahnya dokumen awam.

Bagi penulis politik, Aspan Alias, ini adalah kerana Putrajaya (Najib) tidak mengambil sebarang tindakan di atas akaun bersumpah itu terhadap Gani Patail.

Menurutnya, Putrajaya telah menerima akuan bersumpah Mat Zain lebih dari sebulan yang lalu tetapi tidak akan nampak sebarang tindakan diambil ke atas akuan bersumpah itu sampai ke hari ini.

Menulis di dalam blognya, menurut Aspan lagi, akuan bersumpah Datuk Mat Zain itu mengandungi semua salah laku Peguam Negara dan apa yang dibayangkan setakat ini hanyalah kandungan dalam 2 dari 31 muka surat akuan bersumpah itu.

Dr Mahathir berkata beliau akan memberikan reaksi setelah membaca semua isi kandungan akuan bersumpah yang setebal 31 muka itu.

Mahathir sendiri perlu membaca dengan teliti dahulu sebelum memberikan reaksi kerana Gani Patail telah menjadi Peguam Negara sejak pentadbiran beliau.

“Jika terbongkar kesemua kandungan akuan bersumpah itu ia akan menjadikan semua kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh Peguam Negara itu menjadi hak milik awam dan hanya memerlukan belanja RM5 sahaja untuk mendapatkan naskah setebal 31 muka itu,” tulisnya.

Baca di sini

Q&A: Solat hajat selepas azan tetapi belum solat asar

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 12 Nov 2013
Soalan;
Ustaz telah menerangkan bahawa haram solat hajat selepas menunaikan Solat Asar hingga matahari terbenam sepenuhnya. Bagaimana pula hukumnya jika kita melakukan solat hajat sebaik sahaja selesai Azan Asar menandakan masuk waktu iaitu sebelum kita melakukan Solat Fardhu Asar?( Solat Hajat dahulu dan kemudian barulah solat Fardhu Asar).

Jawapan;
Ada lima waktu kita dilarang solat;
1.Selepas solat subuh hingga terbit matahari
2.Selepas solat asar hingga terbenam matahari
3.Ketika terbit matahari hinggalah meninggi dengan kadar segalah (yakni 15 – 20 minit selepas terbit matahari, iaitu masuknya waktu dhuha)
4.Ketika matahari di tengah langit hinggalah ia tergelincir (yakni hingga masuk waktu zohor); dikecualikan hari jumaat bagi orang hadir ke masjid untuk solat jumaat.
5.Ketika matahari menguning hingga terbenam matahari.

Dalil larangan tersebut ialah hadis-hadis Nabi berikut;
a.Sabda Nabi –sallallahu ‘alahi wasallam-; “Tidak ada solat selepas solat subuh hingga matahari meninggi dan tidak ada solat selepas solat asar hinggalah matahari terbenam.” (HR Imam al-Bukhari dari Abi Sa’id al-Khudri, Bab La Tataharra as-Solah Qabla Ghurub as-Syams).
b.Abu Hurairah menceritakan; “Rasulullah menegah dari mengerjakan solat selepas asar hingga terbenam matahari dan selepas subuh hingga terbit matahari.” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah. Bab al-Auqat allati Nuhiya ‘an as-Solah fiha).
c.Dari ‘Uqbah bin ‘Amir menceritakan; “Tiga waktu Rasulullah menegah kami dari mengerjakan solat dan mengkebumikan jenazah-jenazah kami pada waktu-waktu tersebut, iaitu; (1) Ketika terbit matahari hinggalah matahari meninggi, (2) Ketika bayang-bayang tengahari berdiri (yakni berhenti) (*bermaksud; matahari berada di tengah langit) dan (3) Ketika matahari condong untuk terbenam (*yakni ketika menguning di waktu petang)” (HR Imam Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Daripada lima waktu si atas, dua waktu berkait dengan perbuatan solat, iaitu yang pertama dan yang kedua (selepas solat subuh dan selepas solat asar), maksudnya, kita dilarang solat bukan semata-mata apabila masuk waktu subuh atau masuk waktu asar, akan tetapi kita dilarang solat apabila kita telah melakukan solat subuh dan telah melakukan solat asar. Maka merujuk kepada soalan di atas, adalah harus kita melakukan solat hajat apabila masuk waktu asar selagi kita belum menunaikan solat asar. Itu adalah dari segi keharusan. Adapun dari segi yang sepatutnya, apabila masuk waktu solat fardhu, kita sebaiknya hendaklah menyibukkan diri untuk menunaikan solat dalam waktu tersebut (sebaiknya secara berjamaah) dan juga solat sunat yang disyariat khusus pada waktu tersebut  (iaitulah sunat qabliyah). Adalah tidak tepat jika kita melakukan solat hajat pada ketika itu hingga kita terluput solat sunat qabliyah atau terlepas solat berjamaah atau terlepas takbir pertama bersama imam.

Adapun tiga waktu selebihnya, larangan adalah berkait dengan waktu. Maksudnya, apabila tiba sahaja waktu matahari berada di tengah langit atau matahari menguning atau matahari terbit, dilarang kita mengerjakan solat hinggalah tamat waktu larangan tersebut.

Solat yang dilarang kita melakukannya dalam waktu-waktu tadi ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat yang bersebab diharuskan kita melakukannya pada bila-bila masa sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang di atas. Maksud solat-solat sunat bersebab ialah solat-solat yang didahului oleh suatu sebab (yakni sebab datang dahulu, kemudian baru disusuli dengan solat). Di antaranya;
1.Solat–solat yang terluput sama ada solat fardhu atau solat sunat, yakni ia boleh diqadha sekalipun dalam waktu-waktu dilarang di atas.
2.Solat yang dinazarkan
3.Solat jenazah
4.Sujud tilawah dan sujud syukur
5.Solat gerhana.
6.Solat sunat tawaf
7.Solat sunat wudhuk
8.Solat istisqa (minta hujan)
9.Solat tahiyyatul-masjid (dengan syarat seseorang itu masuk ke dalam masjid untuk tujuan iktikaf, menuntut ilmu, menunggu solat atau tujuan-tujuan lainnya. Adapun jika ia masuk masjid semata-mata ingin mengerjakan solat tahiyyatul-masjid, dilarang solat pada waktu-waktu tersebut).

Solat-solat di atas diharuskan untuk dilakukan pada waktu-waktu dilarang solat tadi kerana ia bersebab. Adapun solat-solat yang dilarang kerana tidak bersebab ialah;
1.Solat istikharah
2.Solat hajat
3.Solat sunat ihram
4.Solat sunat mutlak

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Lelaki tua ditembak sniper Assad tanpa belas kasihan

http://www.ustazcyber.com, 12 Nov 2013

Video Lelaki Tua Ditembak Sniper Bashar Assad Tanpa Belas Kasihan


Video

Hasbunallah wa Ni’mal Wakil.
Sniper Assad menembak seorang kakek tua dengan tanpa belas kasihan hingga mengenai tepat di bagian jantungnya.
Tidak ada seorang pun yang dapat mendekati kakek tua itu karena sniper-sniper Syiah akan menembak siapapun yang berusaha menolongnya.
Laa hawla wa laa Quwwata illa billah…sumber

Konspirasi jatuhkan Gani, tunggu pengesahan Mahathir

Harakahdaily, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi melibatkan diri dalam kontroversi berprofil tinggi kali ini dalam dakwaan wujudnya komplot menjatuhkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ketika ditanya mengenai akuan bersumpah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa bahawa ada satu mesyuarat diadakan di rumah beliau membincangkan kesalahan Gani, Mahathir tidak menafikannya, tetapi hanya sekadar menegaskan bahawa beliau akan hanya memberi ulasan selepas membaca akuan bersumpah itu.

Di dalam akaun bersumpahnya, Mat Zain mengakui turut menghadiri mesyuarat tersebut bersama Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di rumah Mahathir ketika Hari Raya Aidilfitri pada 10 Ogos lalu.

Shafee bagaimanapun dilaporkan berkata bahawa mesyuarat berkenaan tidak berbincang untuk menggulingkan Gani dan mendakwa Mahathir tidak mungkin terlibat dengan komplot ini.

Justeru, beberapa persoalan timbul termasuk; antara Mat Zain dan Shafee, siapa yang sedang bercakap benar?

Apakah jawapan Mahathir tanpa sebarang penafian itu membuktikan apa yang Mat Zain ceritakan di akaun bersumpahnya adalah benar?

Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Mahathir turut mendakwa beliau terdengar berita bahawa di Jabatan Peguam Negara terdapat dua agen perisik CIA (Central Intelligence Agency) dari Amerika Syarikat.

"Saya dengar. Saya tiada bukti, dua agen CIA ada pejabat di Pejabat AG. Mungkin ada mungkin tidak. Saya tak tahu. AG pun belum sahkan lagi," kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

FAM tidak boleh dikritik?

Hambali Akram,
Rakyat Malaysia khususnya peminat bolasepak negara tentu maklum tentang prestasi sukan nombor satu itu di peringkat antarabangsa. Hambar dan lesu. Tiada lagi kelibat pasukan negara dalam temasya olimpik, Piala Asia, jauh sekali Piala Dunia. Di Peringkat Asia Tenggara pun kita masih terkial-kial.

Kali terakhir Malaysia layak bermain di pentas antarabangsa ialah pada tahun 1980 iaitu layak ke sukan Olimpik. Selepas itu prestasi Malaysia tidak banyak meningkat malah terus berada ditakuk lama berbanding beberapa negara seangkatan yang telah jauh meninggalkan kita.

Pelantikan Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaluddin - memberi sedikit harapan agar sukan bolasepak kembali ke landasan yang sepatutnya. Apatah lagi beliau sebelum ini dikenali antara pengamal politik yang mempunyai idea dan kesungguhan dalam sukan bolasepak.

Namun, di sisi FAM, cadangan dan kritikan beliau tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Mungkin FAM beranggapan walaupun beliau seorang menteri tetapi agak mentah dalam soal-soal sukan bolasepak Malaysia. Saya percaya kritikan yang dilakukan bukanlah mahu menjatuhkan FAM, tetapi kerana beliau sayangkan sukan ini.

Namun, sebagai peminat sukan bolasepak, walaupun saya berlainan fahaman politik dengan beliau - saya menyeru FAM agar bersedia membuka minda dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada menteri baru ini menjalankan agenda yang dilakarkan.

Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Saya percaya, beliau mampu menaikkann kembali sukan bolasepak tanah air jika FAM bersedia memberi kerjasama terbaik dan bersedia mendengar kata-kata “Hang Nadim”.

Merebut kelebihan bulan Muharram

majdan, 12 Nov 2013
Allah SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan Allah, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.

Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan dalam bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat pada bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah bulan haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas RA berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana Allah telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada Allah dan kami pun turut serta berpuasa.

Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas RA berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-Allah kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

http://www.islamituindah.my/

Tiada ulasan: