10 Nasihat Untuk Menjadi Isteri Solehah
HATI ibu mana yang tidak gembira tatkala anak gadisnya dipinang orang. Sukanya hati bukan kepalang lalu pelbagai langkah bersiap untuk melangsungkan pernikahan dijalankan menurut tertib dan adat.
Adalah wajar ibu bapa pengantin wanita memberikan petua dan nasihat buat anaknya yang bakal melangsungkan pernikahannya. Nasihat supaya anak memelihara dan menjaga alam rumah tangganya sebaik yang terdaya.
Inilah yang pernah dilakukan isteri ‘Auf ibnu Mihlam Asy-Syaibani yang dikatakan ada memberi nasihat kepada puterinya yang akan bernikah dengan Raja Kindah. Pesan isteri ‘Auf Ibnu Mihlam Asy-Syaibani: “Puteriku, kini engkau meninggalkan tempat kelahiran menuju rumah baru dan orang baru yang belum pernah engkau ketahui keadaan dan wataknya. Maka, jadilah engkau sebagai pengabdi yang baik bagi suamimu, supaya dia menjadi pengabdi yang baik juga bagimu. Perhatikan baik-baik sepuluh perkara daripadaku supaya ia menjadi modal bagi hidupmu.”
Begitulah kasihnya isteri ‘Auf terhadap anak gadisnya, tetapi kasihnya itu bukan mengadakan majlis besar-besaran dan serba mewah, kasih sayang dizahirkan melalui kaedah menyalurkan nasihat berguna buat anaknya melayari alam rumah tangga supaya aman sejahtera dan bahagia.
Pesanan pertama kepada anaknya: “Jadilah engkau sebagai pendamping hidupnya yang selalu menerima apa adanya. Sebenarnya nasihat isteri ‘Auf itu bertepatan kehendak agama kerana sikap qanaah, bersedia dengan hati lapang terhadap kemampuan suami, menu keharmonian rumah tangga”. Erti kata lain, isteri tidak sesekali membebankan suami yang di luar batas kemampuannya. Inilah seharusnya ada pada diri seorang isteri solehah.
Seterusnya pesanan kedua beliau: “Bergaullah engkau bersama suamimu dengan cara mendengar dan mentaatinya.” Seorang Ulama’ pernah mengatakan: “Seseorang isteri itu hendaklah memberikan layanan pada suaminya, memelihara anak, mengatur urusan rumah tangga sebaik mungkin. Hendaklah dia memberikan layanan pada suami dengan layanan yang wajar dan sesuai keadaan.”
Isteri ‘Auf berkata lagi: “Tunjukkanlah dirimu di hadapan matanya sebagai seseorang yang paling menarik baginya dan tampilkan dirimu di hadapan hidungnya sebagai seseorang yang paling harum.” Kebijaksanaan dan kesediaan isteri menonjolkan imej peribadi dalam aspek lahiriah dan dalaman mampu mewujudkan hubungan lebih intim pasangan suami isteri. Ia ibarat suatu tembok pengukuh dalam membina keluarga bahagia melalui landasan diredai Allah.
Beliau juga berpesan supaya memperhatikan penjadualan waktu makan yang betul dan tepat serta menjaga ketenteraman masa tidur. Jadi, jika diteliti apa dipesan isteri ‘Auf kepada anak gadisnya, sesuai dan relevan dijadikan sebagai pedoman kita semua.
Pesanan lain, “Sesungguhnya kelaparan seseorang akan menyebabkannya mudah beremosi dan kurang tidur pula menyebabkan seseorang itu mudah melepaskan kemarahan.”
Ini adalah langkah proaktif isteri mengelakkan suasana kurang baik dalam berkomunikasi dan berhubungan dengan suami. Memang lumrah manusia, emosi menjadi kurang stabil dan mudah dibelenggu rasa kurang tenang apabila perut lapar atau kurang tidur. Lagilah bahaya kerana emosi negatif boleh meletup tanpa disangka. Justeru, apa yang disarankan isteri ‘Auf adalah jalan pintas untuk membendung anasir negatif daripada muncul dalam rumah tangga. Mengamalkan budaya mencintai kebersihan juga ditonjolkan dalam wasiatnya supaya anaknya menjaga kebersihan tempat tinggal, keamanan harta suami dan berikan perhatian kepada suamimu serta keluarganya.
Jika kita amati pesanan itu, kita akan jumpa peringatan terbaik mengenai penjagaan persekitaran rumah tangga yang ceria dan bersih. Juga terselit ingatan supaya isteri menjadi seorang yang beramanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
Pesanan beliau selanjutnya dikira penting dipelihara rapi oleh isteri. Kata beliau: “Janganlah engkau membuka rahsia suamimu kepada orang lain dan jangan engkau melanggar perintahnya”. Islam menegah isteri menceritakan hubungannya dengan suami atau hal rumah tangga kepada orang lain.
Yang terakhir katanya: “Janganlah engkau berasa susah ketika dia dalam keadaan senang dan janganlah engkau berasa senang ketika dia dalam keadaan susah, kerana yang pertama termasuk moral yang tidak sesuai dan yang kedua termasuk merosakkan suasana. Jadilah engkau orang paling mengagungkan suamimu, agar dia menjadi orang yang paling memuliakanmu.” Begitulah pesanan bermanfaat dan cukup indah dikemukakan isteri ‘Auf Ibnu Syaibah kepada anak gadisnya. Ibu bapa sewajarnya menitipkan pesanan untuk dijadikan panduan kepada anak yang akan melangsungkan pernikahan demi kesejahteraan rumah tangga mereka.
INFO: 10 pesanan jadi isteri solehah
- Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
- Mendengar dan mentaati suami.
- Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
- Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
- Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
- Menjaga makan minum suami yang betul, tepat serta waktu tidur bagi elak emosi suami terganggu.
- Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
- Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
- Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
- Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.
Sumber: http://albakriah.wordpress.com/
Rebutlah Pangkat Isteri Solehah
Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk.
Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh ‘wildan-wildan’nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.
Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.
Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.
Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya.
Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.
Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!
Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.
Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, “Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan”. Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.
Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.
Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.
Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.
Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.
Sumber: http://jalanakhirat.wordpress.com/
Wanita Solehah Lebih Baik Dari Bidadari Syurga
Wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.
Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka, cthnya seperti Uwais Al-Qarni.
Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)Lagi sabda Rasulullah SAW,
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)Tapi betul ke wanita solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga?
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang):Terkejut bila membaca hadis ni dan ingin berkongsi bersama rakan-rakan lain. Sungguh tinggi darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi inspirasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)
Tapi, bagaimana yang dikatakan wanita solehah itu?
Ikuti kisah berikut, semoga kita sama-sama beroleh pengajaran.
Seorang gadis kecil bertanya ayahnya “ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?”
Si ayah pun menjawab “anakku,seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi.itulah yang terbaik”
Si ayah terus menyambung
“muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa,tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”
Berdasarkan ayat 31,surah An Nurr,Abdullah ibn abbas dan lain-lainya berpendapat.Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram(As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)
“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”(surah Al Ahzab:32)“lantas apa lagi ayah?”sahut puteri kecil terus ingin tahu.
“ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi”
“dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”
Setelah itu si anak bertanya “Siapakah yang memiliki criteria seperti itu ayah? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampu dan layakkah saya ayah?”
Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata “Pelajarilah mereka! Supaya kamu berjaya nanti. INSYA ALLAH kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak, malah semua wanita boleh”
Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH.
“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)Sumber: http://www.rakanmasjid.com/
Ciri-Ciri Wanita Solehah
Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :
2. Taat kepada suami
Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :
1. Taat kepada Allah dan RasulNya
Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?
- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
- Berbuat baik kepada ibu & bapa
- Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
- Bersikap baik terhadap tetangga
2. Taat kepada suami
- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah
- Tidak bermasam muka di hadapan suami
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga
FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA
Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.
Faktor-faktor tersebut ialah:
1) Lupa mengingat Allah
Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:
” Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”
Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan.” (Riwayat Tarmizi)
Mengingati Allah s.w.t. bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.
2) Mudah tertipu dengan keindahan dunia.
Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am: ertinya:
” Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.”
3) Mudah terpedaya dengan syahwat.
4) Lemah iman.
5) Bersikap suka menunjuk-nunjuk.
Dunia adalah perhiasan, perhiasan dunia yang terbaik adalah Wanita yang solehah.
Sumber: http://nurjeehan.wordpress.com/
Bidadari Dunia – Dia Adalah yang Menjaga Akhlaknya
Kita terus menelaah Bidadari Dunia hari ini. Perempuan yang merupakan manusia, tetapi melangkah dengan langkahan bidadari. Mahal. Indah. Tinggi. Mulia.
Antara ciri-ciri wanita, perempuan yang sedemikian, pada saya, adalah yang menjaga akhlaknya.
Dikatakan bahawa akhlak adalah pakaian yang menunjukkan keadaan kita. Buruk akhlak, buruklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kelebihan, seperti cantik, kaya dan sebagainya.
Cantik akhlak, cantiklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kekurangan, seperti miskin, tidak berapa cemerlang dalam pelajaran dan sebagainya.
Dan antara yang mendamaikan jiwa manusia, adalah akhlak.
Sebab itu perempuan berakhlak, dia adalah bidadari dunia.
Akhlak, bukan semata berdiri di atas nilai murni.
Pertamanya, perlu difahami bahawa, akhlak mulia bukanlah semata-mata berdiri di atas nilai murni semata-mata. Apakah maksud saya dengan penyataan ini?
Yakni, kita tidak memandang bahawa akhlak mulia itu semata-mata berdiri di atas nilai moral. Contohnya, kita tidak berbogel di tengah masyarakat, kerana masyarakat menganggap itu satu perkara yang tidak bermoral. Maka kita berpakaian, kerana pada masyarakat, berpakaian itu bermoral.
Contoh lain, kita tidak menengking-nengking orang, kerana masyarakat menganggap menengking itu satu perkara yang tidak murni. Begitu juga dengan kita membantu orang, kerana masyarakat menganggap membantu orang lain adalah perkara yang murni.
Ya. Akhlak bukan berdiri di atas ‘nilai murni’ atau ‘moral’ dengan ukuran masyarakat, ukuran manusia.
Tetapi konsep berakhlak yang sebenar itu, diukur dengan nilaian yang telah diletakkan oleh Allah SWT.
Masyarakat mungkin boleh menerima bahawa yang memakai baju kurung, tanpa tudung, itu dikatakan berakhlak, sopan. Tetapi di dalam Islam, itu belum mencapai tahap berakhlak lagi. Kerana jelas, di situ ada ‘keingkaran’ kepada Allah SWT berlaku. Maka bagaimanakah kita boleh mengira keingkaran kepada Allah SWT sebagai ‘berakhlak’?
Contoh lain dalam isu ini, berpegangan tangan dengan yang bukan mahram. Mungkin pada masyarakat, itu tidak mengapa. Tiada masalah. Bukan peluk pun. Jadi kalau berpegangan tangan, bersentuh bahu studi bersama, maka itu boleh dikira berakhlak lagi. Tetapi tidak di dalam Islam. Itu belum mencapai tahap ‘berakhlak’. Kerana jelas berlaku pengingkaran kepada Allah SWT di situ.
Jadi, bidadari dunia memahami akhlak mulia itu sedemikian rupa.
Apakah ‘akhlak mulia’? Itulah dia dengan berakhlak mengikuti akhlak yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
Maka Mereka Berakhlak dengan akhlak yang diperintahkan.
Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.Begitulah Allah SWT memerintahkan. Begitulah Rasulullah SAW menunjukkan.
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” Surah Al-Ahzab ayat 32.
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab ayat 59.
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” Hadith Riwayat Muslim, bernombor 3971.
Maka Bidadari Dunia itu matanya tidak liar dalam memandang yang tidak sepatutnya. Tidaklah bermaksud tunduk hingga terlanggar tiang dalam perjalanannya. Tetapi bermaksud, tidak terlalu teruja dengan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Tiadalah pula mereka ini menunjuk-nunjukkan perhiasan mereka, kecuali pada tempat yang memang tidak terlindung. Tiadalah mereka menayang-nayangkan barang kemas, dan berlebih-lebihan dalam mengenakan hiasan.
Mereka juga menutup aurat dengan kemas. Tidak semata-mata mengikut fesyen arus itu dan ini. Tetapi memastikan bahawa yang Allah kehendaki itu selesai. Yakni menutup seluruh tubuh kecuali tangan dan wajah. Juga tidaklah hingga menunjukkan tubuh badan. Pakaian mereka labuh, walau apa pun yang dipakai mereka.
Mereka juga tidaklah ‘gedik’, mengada-ngada, melembutkan suara pada yang bukan mahram, dan berhubungan bebas dengan mereka. Tidak pula perempuan yang beriman ini, bidadari dunia ini, bila berjalan kedengaran ‘keletak-keletuk’. Mereka berjalan dengan sopan, teratur, dan tidak terlalu menarik perhatian. Terjaga.
Walaupun ada ayat di atas menyebut ‘isteri-isteri nabi’, tetapi hakikatnya hukum itu jatuh kepada semua perempuan muslimah yang beriman. Hal ini kerana, isteri-isteri nabi adalah ibu kepada perempuan yang beriman. Kerana itu mereka digelar, Ummul Mukminin. Mereka menjadi ikutan kepada perempuan yang inginkan keredhaan Allah SWT.
Kerana itu. Bidadari Dunia Sangat Indah.
Kerana memahami akhlak yang sedemikian ini dan melaksanakannya lah, Bidadari Dunia menjadi sangat indah. Cuba perhatikan semula sub topi di atas ini dan kemudian bayangkan. Sederhana bukan?
Ya. Sederhana. Tidak kelihatan terlalu terkinja-kinja. Kelihatan amat sopan. Amat cantik dalam erti kata cantik yang sebenar. Amat indah.
Saya tidak mampu menterjemahkan dengan apa-apa perkataan lain selain perkataan Sederhana.
Tidak terlalu melebih-lebih. Dan tidak pula terlalu kurang. ‘Just nice’ orang putih kata.
Itu yang membuatkan Bidadari Dunia indah.
Penutup: Tetapi siapakah yang hendak berakhlak sedemikian rupa?
Tetapi siapakah daripada kalangan saudari-saudari saya ingin berakhlak sedemikian?
Berakhlak dengan apa yang Allah SWT mahu. Bukan sekadar apa yang masyarakat mahu.
Akhlak yang indah. Yang cantik. Yang mulia.
Ketahuilah bahawa perempuan yang sedemikian, mahal harganya.
Terjaga. Kemas. Bukan murah yang boleh diambil oleh sesiapa. Suci!
Bidadari Dunia!
Siapakah yang mahu menjadi?
Sumber: http://www.langitilahi.com/
Wanita Pertama Masuk ke Syurga
Pada suatu hari Fatimah bertanya Rasulullah, siapakah perempuan pertama yang bakal masuk syurga. Baginda menjawab, seorang wanita yang bernama Muti’ah. Fatimah terkejut, ternyata bukan dia seperti yang dibayangkannya. Mengapa orang lain, pada hal dia adalah puteri Nabi ?
Timbul keinginannya untuk mengetahui siapakah Mutiah itu. Apakah gerangan yang dilakukannya sampai mendapat penghormatan begitu tinggi ? Sesudah meminta izin daripada suaminya, Ali bin Abu Talib , Fatimah berangkat mencari rumah Mutiah. Puteranya yang masih kecil Hasan menangis ingin ikut lalu didukungnya Hasan ke rumah Mutiah.
“Saya Fatimah, puteri Rasulullah”
“Alhamdulillah, alangkah bahagianya saya hari ini, Fatimah sudi berkunjung ke gubuk saya” terdengar kembali jawapan dari dalam. Kali ini nyata lebih gembira lagi makin dekat dengan pintu.
“Sendirian Fatimah?” Tanya Muti’ah
“Aku ditemani Hasan” Kata Fatimah
“Aduh, maaf ya” suara Muti’ah terdengar menyesal.
” Saya belum mendapat izin suami untuk menemui tamu lelaki” jawab Muti’ah
” Tapi Hasan masih kecil” jelas Fatimah
” Meskipun kecil, Hasan lelaki. Esok saja datang lagi, saya minta izin kepada suami,” sahut Mutiah tidak kurang kecewanya.
Esoknya Fatimah datang dengan membawa Husain sekali. Selepas memberi salam dan dijawap gembira, Mutiah berkata dari dalam.
“Datang dengan Hasan Fatimah? Suami saya sudah memberi izin”
“Ya dengan Hasan dan Husain ”
“Ha? Mengapa tidak beritahu dari kelmarin?”
“Yang dapat izin cuma Hasan. Husain belum. Saya terpaksa meminta izin dari suami” jawab Muti’ah.
Hanya esok harinya baru mereka disambut baik oleh Mutiah di rumahnya. Keadaan rumah itu sangat sederhana. Tidak ada satu pun perabot mewah. Namun semuanya teratur rapi membuat tetamu senang berada di rumah itu. Fatimah kagum melihat suasana yang menyenangkan itu. Sehingga Hasan dan Husain yang biasa di rumah orang, kali ini nampak asyik bermain.
“Maaf ya, saya tidak boleh menemani Fatimah duduk. Sebab saya sedang menyiapkan makanan untuk suami saya” kata Muti’ah sambil sibuk di dapur.
Hampir waktu tengahari, masakan itu sudah siap semuanya lalu diletakkan diatas talam. Mutiah mengambil rotan dan diletakkan di sebelah hidangan.
Fatimah bertanya kepada Mutiah “suamimu kerja di mana?”
“Di ladang” Jawab Muti’ah
“Sebagai pengembala?” soal Fatimah.
“Bukan. Bercucuk tanam” Jawab Muti’ah lagi.
“Tapi mengapa kau bawakan rotan juga?” tanya Fatimah.
“Rotan itu saya sediakan untuk keperluan lain. Kalau suami saya sedang makan , saya tanyakan apakah masakan saya sedap atau sebaliknya. Kalau suami saya jawab, “sedap”, takkan terjadi apa-apa.Jika tidak sedap, rotan itu saya berikan kepadanya agar dirotan punggung saya sebab ia tidak menyenangkan suami”.
“Atas kehendak suamimukah kau bawa rotan itu” tanya Fatimah.
“Oh, sama sekali tidak. Suami saya seorang yang penyayang. Ini semata-mata kehendak saya agar jangan sampai menjadi isteri derhaka kepada suami.”
Fatimah lantas meminta izin pulang. Dalam hati berkata, patut kalau Mutiah menjadi perempuan pertama masuk syurga, lantaran baktinya kepada suami begitu besar dan tulus.
Diberitakan dalam berjuta-juta wanita di dunia ini, Muti’ah yang paling awal akan masuk ke dalam syurga. Apakah keistimewaan beliau mengatasi wanita lain?
Hanya Allah yang mengetahuinya. Tapi daripada sejarah cerita yang di khabarkan, saya membuat andaian, Muti’ah sangat sangat menghormati suaminya. Sangat sangat taat kepada suaminya. Layanan beliau kepada suaminya mungkin yang terbaik mengatasi wanita lain.
Wallahu a’lam
Sumber: http://lenggangkangkung-my.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan