Selasa, 12 November 2013

TAK BAHAGIA....MUNGKIN TAK BERAMAL ISLAM....ATAU TAK BERAPA2 YAKIN TENTANG ALLAH KERANA HANYUT DENGAN BISIKAN SYAITAN....NAFSU DAN CINTA SANGAT PADA DUNIA...ATAU MEMANG JAHIL...ISLAMNYA HANYA ISLAM BAKA@KETURUNAN SAJA

Kamaruzaman mahu teruskan legasi Pemuda PAS

Anis Nazri, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Kamaruzaman Mohamad berikrar akan meneruskan legasi, warisan dan tradisi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diasaskan kepimpinan terdahulu.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, Kamaruzaman yang menerima pencalonan bagi jawatan Ketua DPPM tersebut atas semangat fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumba untuk memberi sumbangan menegaskan beliau juga akan mempertahankan ketulenan dan keabsahan manhaj perjuangan Islam yang didukung PAS.

"Saya berjanji mempertahankan ketulenan dan keabsahan manhaj perjuangan Islam yang didukung PAS dengan gandingan mantap antara profesional muda, ulama muda dan aktivis muda, tanpa menolak perlunya agenda tajdid dan islah," tegas beliau.

Dalam masa sama, bekas Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu turut berikrar untuk meneroka ruang dan peluang baru untuk membawa Pemuda PAS mendepani cabaran semasa dan menguasai isu serta keperluan anak muda masa kini secara kolektif.

Bagi beliau, usaha tersebut perlu dilakukan secara berpasukan dengan rakan-rakan exco DPPM yang lain, bukannya perjuangan secara bersendirian.

Meninjau peluang yang diperolehi untuk memenangi jawatan tersebut, Kamaruzaman meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada perwakilan seluruh negara yang disifatkannya bijak dan matang untuk membuat pilihan.

"Saya tidak boleh mendahului takdir. Perwakilan pemuda dari seluruh negara adalah bijak dan matang untuk membuat pilihan. Jika dipilih, saya akan memikul amanah ini sebaik mungkin menepati piawaian kepimpinan Islam.

"Andai saya tidak terpilih, bukan bermakna karier saya berakhir, kerana penglibatan saya sejak 2006 bukan berasaskan karier tetapi ia adalah perjuangan yang wajib saya galas tatkala saya mengaku sebagai seorang muslim," tegas beliau.

Selain Kamaruzaman, dua calon lain, Suhaizan Kayat dan Zulhazmi Shariff turut bersedia untuk bertanding bagi jawatan tersebut setelah ia dikosongkan penyandangnya, Ustaz Nasrudin Hassan.

Jamil Khir tersepit soalan isu kalimah Allah

Harakahdaily, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilihat tersepit ketika mahu menjawab soalan berhubung perbezaan kebenaran penggunaan kalimah Allah antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Persoalan itu muncul ketika beliau menjawab perbahasan Bajet 2014 di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu mencelah adalah Tian Chua (PKR-Batu) yang mendakwa beliau selaku bukan Islam keliru dengan versi berbeza-beza penjelasan kerajaan terhadap isu penggunaan kalimah Allah.

Versi pertama katanya oleh Menteri Dalam Negeri yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penggunaan kalimah itu, hanya terpakai kepada penerbitan dalam The Herald.

Versi kedua pula katanya, kenyataan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Sendiri yang berkata larangan tersebut hanya untuk Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak kepada Sabah dan Sarawak.

Jamil ketika menjawab soalan itu hanya berkata larangan untuk Sabah dan Sarawak itu telah diputuskan oleh kabinet di bawah perkara "10 point solution".

Bangun selepas itu Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mahukan penegasan menteri tentang perkara itu.

Mahfuz bertanyakan; "Betulkah kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang seorang Islam, telah membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam di Sabah dan Sarawak melalui "10 point solution?"

"Termasuk kepada orang Kristian di Semenanjung kalau dia pergi ke Sabah dan Sarawak boleh digunakan?" soalnya.

Jamil ketika menjawab persoalan itu bagaimanapun tidak mengiyakan mahupun menafikannya.

Beliau sebaliknya hanya mengulangi bahawa perkara itu telah diputuskan oleh kabinet di bawah perkara "10 point solution".

Datuk Dr Mujahid Yusof (PAS-Parit Buntar) kemudian bangun dan mendakwa bahawa isu kalimah Allah ini sebenarnya boleh diselesaikan tetapi sengaja dipolitikkan.

Katanya, 10 point solution dibuat kabinet ketika dalam keadaan Sarawak ketika.itu berdepan Pilihan Raya dan semasa kitab injil versi bahasa Melayu telah tiba di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang.

Jangan sampai tiada lagi kebahagiaan dalam beragama

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 11 Nov 2013
Pada tahun 2007, saya menulis artikel bertajuk Manhaj Salaf Dan Krisis Keperluan Hati (lihat artikel).

Ketika itu, saya merasakan fenomena “minta dalil” yang muncul secara agresif di dalam masyarakat, adalah satu bentuk ‘rasionalisme dalam beragama’ yang jika tidak diurus dengan baik, akan meresahkan ramai anggota masyarakat. Terutamanya mereka yang tidak berkeupayaan menyertai gelombang tersebut, mereka akan tertekan apabila majlis-majlis ilmu bukan lagi menjadi tempat mereka mendapat ketenangan beragama, sebaliknya medan pertempuran debat antara pendalilan yang berbalas-balas.

Saya menjangkakan, fenomena tersebut akan mencetuskan kemurungan jiwa di kalangan pencinta agama, yang mungkin akan membawa mereka kepada trend seterusnya iaitu daripada RASIONALISM kepada ROMANTICISM.

Romaticism dalam beragama kita, akan muncul dalam bentuk kecenderungan kuat masyarakat untuk mengisi makna keberagamaannya dengan zikir, nasyid, syair, malah wacana-wacana agama juga mesti berbentuk indah, ringan, enak diduduki, dan kurang mendesak peranan minda dalam memproses input agama yang diterima.

Saya bukan ahli nujum.

Saya hanya menjangkakannya dengan melihat kitaran sejarah.

Jika di seberang tembok Vienna, Eropah melihat era pencerahan (Enlightenment) yang tepu dengan RATIONALISM beralih kepada ROMANTICISM pada kurun ke-18. Manakala di tanah air sendiri, ketegangan pertembungan antara gerakan ‘Salafi’ Kadızadeli dengan kumpulan tradisionalis Sufi, memperlihatkan aktiviti ROMANTICISM bertambah, malah tekke dan zaviye Sufi sendiri bertambah pesat.

Inilah mungkin yang sedang masyarakat kita alami. Genre zikir, syair, bacaan burdah mengisi penuh media seperti di TV Al-Hijrah, TV9 dan Radio IKIM, manakala sambutan Maal Hijrah di peringkat Kebangsaan hingga ke surau-surau, ketara terisi dengan kisah-kisah ‘menyentuh hati’ berkaitan sirah Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam, berbanding perbincangan yang berbentuk ‘ilmiah’.

Sama ada era RATIONALISM atau ROMANTICISM, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing, terutamanya apabila masyarakat berlebih-lebihan dalam memaksa genre itu mendominasi masyarakat. Jika keadaan ini berterusan, ia akan beralih kepada trend REALISM yang bersifat agresif.

Secara peribadi, saya melihat bibit-bibit ke arah itu semakin ketara. Anak-anak muda, sama ada mereka begitu komited dengan halaqah-halaqah yang menghidupkan genre ROMANTICISM itu tadi, atau pun sebahagian yang lain pula memerdekakan diri mereka daripada ‘utopia Islamis dan tradisionalis’, menjadi lebih lantang berbicara dalam bahasa isme, hingga ke sosialisme malah komunisme.

Belahan minda ini meruncing hingga pelbagai label terpaksa difikirkan untuk menjelaskan ‘who is who’. Sudah tentu label sedia ada paling pantas dicapai untuk menyerang dan mempertahankan diri:

Sufi vs Wahabi
Khalaf vs Salaf
Kaum Tua vs Kaum Muda
Tradisionalis vs Modernis
Konservatif vs Progresif
Ulama vs Profesional

Dan senarai ini berterusan…

REALISM Eropah menyaksikan ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzsche, menekankan bahawa “Tuhan telah mati (Gott ist tot)”.

Apakah bentuk trend keberagamaan anak muda dan masyarakat kita dalam beberapa tahun yang mendatang ini?

Saya kira, kerana itulah para pendakwah disaran oleh misalnya Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam kitabnya, Al-Madkhal ila ‘Ilm al-Da’wah, bahawa dakwah mesti mengimbangkan dengan baik tiga pendekatan iaitu:

1.Manhaj Emosi
2.Manhaj Rasional
3.Manhaj Pancaindera yakni praktikal

Kegagalan mengimbangi kesemua ini menyebabkan keperluan naluri kemanusiaan menjadi kucar-kacir. Semakin mereka didakwah, semakin mereka gelisah, dan berbalah.

Paling membimbangkan ialah, ia berakhir dengan tiada lagi kebahagiaan dalam beragama!

http://saifulislam.com/

Mahfuz mahu bantu PAS terajui perubahan

Muhammad Faizal, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyatakan hasrat untuk menawarkan diri mempertahankan jawatan bagi membantu PAS menerajui perubahan yang telah dilakukan parti sebelum ini.

Jelasnya, PAS sebelum ini berjuang untuk membawa perubahan baru dalam lanskap politik negara dan sekarang sudah pun berada dalam arus perubahan sehingga menjadi sebuah parti utama dalam libatan politik Malaysia.

"Jika kita lihat PAS sebelum ini berusaha untuk membawa perubahan sehinggalah kita berjaya melakukannya dan sekarang sudah sampai mana untuk kita menerajui perubahan tersebut agar terus meningkat," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, PAS perlu mengekalkan perubahan yang sedia ada bagi memastikan ia seiring dengan apa yang berlaku agar tidak ketinggalan dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

"Kita perlu memahami suasana perubahan yang berlaku, perubahan yang sedia ada ini perlu ditingkatkan selain itu kita juga perlu melihat apa perubahan yang berlaku di sekeliling kita.

"Saya pasti budaya ini akan saya bawa di dalam PAS, dan tujuan penawaran bertanding dalam jawatan tersebut adalah bagi memastikan PAS tidak ketinggalan.

"Masyarakat Malaysia sentiasa mengikuti perubahan dengan begitu cepat, PAS harus memahami perubahan ini bagi memastikan kita diterima oleh seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi Y," sambung beliau.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena akan memastikan perubahan yang berlaku dalam PAS akan dapat diteruskan sebagai langkah untuk meletakkan parti yang disegani.

"PAS menerajui perubahan melalui ilmu dan taqwa, selain itu PAS perlu pastikan pendidikan politik dapat diteruskan agar memastikan rakyat mendapat pendidikan serta penerangan yang jelas dalam apa yang dibawa oleh PAS," katanya.

Pertandingan lima penjuru

Beliau melihat pertandingan lima penjuru bagi jawatan Naib Presiden PAS adalah satu pertandingan yang cukup baik dan sihat.

Malah katanya, sebelum ini beliau tidak pernah memenangi mana-mana jawatan dengan mudah tetapi melalu satu pertandingan yang sengit.

"Pertandingan lima penjuru itu sebagai tanda positif berlaku dalam PAS.

"Saya sudah biasa bertanding dalam keadaan sedemikian, saya lihat dari sudut positi dan bukannya masalah kepada saya.

"Apa yang pasti setiap yang bertanding ingin membawa perubahan di dalam parti dan cabaran kepada saya adalah melihat apa yang kita lakukan ini sebagai satu tanggungjawab baru untuk mengekalkan kecemerlangan PAS," kata beliau.

Bagi Naib Presiden PAS, tiga calon mempertahankan jawatan iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, turut ditandingi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Mumtaz mahu sambung tugas, suburkan demokrasi

Salmah Mat Husain, 11 Nov 2013
KOTA BHARU: Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi yang mempertahankan jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pada Muktamar PAS Ke-59 nanti mengikut kemampuan yang ada demi untuk kepentingan parti.

Ketika ditemui hari ini Mumtaz memberitahu, beliau menerima pencalonan itu bagi memenuhi hasrat anggota parti sendiri di samping menyuburkan demokrasi dalam parti.

“Saya menerima pencalonan dari kawasan ini kerana berhasrat untuk menyambung tugas dan khidmat, saya sahut seruan ini juga dengan kadar kemampuan yang ada,” ujarnya.

Ketika ditanya berhubung ada calon lain untuk bertanding jawatan itu, beliau mengalu-alukannya.

“Parti kita sebuah parti yang telus dan demokrasi, jadi semuanya layak untuk bertanding bila ada pencalonan,” ujarnya yang memegang jawatan itu sejak dua penggal lalu.

Turut bertanding jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat kali ini ialah Dr Rosni Adam.

Tiada ulasan: