Sabtu, 23 November 2013

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN HASUTAN SYAITAN

SHAH ALAM: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) meminta PAS mula memikirkan strategi yang berkesan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Memetik pepatah Cina zhi ji zhi bi yang bermaksud 'kalau mengenali parti lawan, mengenali diri sendiri maka akan sentiasa menang', pengerusinya, Hu Phang Chaw mahu PAS menubuhkan pasukan pemikir dan pasukan perang saraf untuk melawan Umno BN.

"Kalau tak ada strategi, segala rancangan kita akan jadi perbualan kedai kopi.

"Pasukan pemikir penting dan pelu ditubuhkan bawah Pusat Penyelidikan PAS.

"PAS juga perlu tubuhkan satu unit perang saraf menggunakan kepakaran daripada bekas pasukan keselamatan untuk lawan Umno," katanya sewaktu berucap pada sesi perbahasan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-59.

Selain itu beliau turut mencadangkan setiap kawasan iaitu sebanyak 186 diwajibkan membeli akhbar Harakah untuk diedarkan ke setiap rumah bagi memastikan mereka mendapat maklumat yang benar berkaitan isu-isu semasa.

"PAS ada 186 kawasan di seluruh negara jadi kita wajibkan setiap kawasan beli 50 naskah Harakah setiap bulan.

"Setipa bulan kita akan dapat naskah Harakah untuk edar ke setiap keluarga," katanya.

Tambah beliau juga, nama PAS bukan sahaja dikenali dalam Malaysia tetapi juga tuurt dikenali di luar negara.

Katanya, beliau menerima undangan untuk berdialog dengan NGO di luar negara untuk mengenali PAS secara lebih dekat.

"Nama PAS bukan sahaja dalam negara namun turut diketahui negara luar.

"Saya sendiri terima undangan untuk berdialog dengan orang di luar negara untuk kenal apa itu PAS," katanya.
SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Pusat mencadangkan supaya Majlis Syura Ulamak mengkaji dan meneliti penyebaran kempen yang tidak sihat sehingga ke tahap memburuk-burukkan calon tertentu.

Perwakilan DMPP, Ustazah Dr Asiah Ali menegaskan, kempen memburuk-burukkan calon itu amat bahaya jika tidak dibendung segera ia akan menjadi budaya yang tidak sihat dalam PAS.

Hal ini kerana kata beliau, menjelang pemilihan penyebaran sms di `whatsapp dan facebook' mengenai kempen untuk Jawatankuasa telah dilakukan secara tidak sihat. 

Dalam perbahasan menyokong ucapan dasar Presiden katanya, jika ahli dan pimpinan PAS ingin menjadi sebahagian daripada mata rantai perjuangan maka wajib mereka mencerna Perlembagaan dan merencana gerakan selari dengan usaha-usaha yang dinyatakan dalam Perlembagaan PAS.

Beliau menegaskan AJK PAS Pusat juga harus mengawal dan menjaga diri daripada mengeluarkan ucapan atau pandangan peribadi termasuk melabel calon tertentu agar tidak melepasi batasan yang boleh mengeruhkan hubungan berjemaah.

"Kita mahu sistem tabbayyun dan mekanisme pengesahan isu dan info diwujudan serta penerangan sepatutnya menjadi rujukan pusat info sepadu segera di peringkat pusat dan negeri untuk mengelakkan kekeliruaan," katanya.

Beliau mengakui peranan jentera Halwa dan JPRM Pusat dalam membantu kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat adalah suatu yang tidak boleh dipertikai.

Katanya, keupayaan Halwa khususnya menguasai parti dalam program ziarah dan kempen dari rumah ke rumah bertemu pengundi adalah bukti kejayaan pentarbiyahan individu secara langsung.
SHAH ALAM: PAS Terengganu menyifatkan apa yang dikatakan konflik dalaman bukan kerana isu Erdogan dan ulama tetapi munculnya Mr. Arrogant di dalam PAS.

Menurut perwakilannya, Hishamuddin Abdul Karim (gambar), Mr. Arrogant inilah yang telah muncul di dalam PAS dan menguasai diri dalam pimpinan parti itu sehingga merasai diri merekalah yang terbaik.

"Tetapi sebenarnya pimimpin parti dan ahli PAS telah melahirkan Mr. Arrogant dalam diri. Bolehkah kita setia dan sayangkan jemaah mengatasi kepentingan diri sendiri.

“Ya, saya menaruh keyakinan Arrogant telah menguasai sebilangan diri kita pada hari ini," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-59, hari ini.

Demi memantapkan kekuatan parti, beliau mencadangkan agar semua pihak berusaha untuk memperkukuhkan wehdatul fikr di kalangan seluruh ahli.

"Berakhirnya muktamar ini, segala konflik dalaman hendaklah ditamatkan segera dan kebumikan terus di stadium ini bagi mengorak langkah yang lebih padu memartabatkan Islam," katanya yang juga Adun Tepoh.

Katanya, penyertaan ke dalam PAS hendaklah berasaskan penyertaan dalam sebuah jemaah Islam yang menuntut ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

"Walaupun kita datang dari pelbagai jemaah yang lain, kepimpinan jamaah yang mesti ditaati dan diberikan sepenuh kepercayaan hanyalah kepada tunggak kepimpinan PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang," jelasnya.

Justeru, PAS Terengganu berharap agar Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden dapat memberikan tumpuan untuk memperkasakan parti dan jamaah dan demikian juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang bakal dipilih selepas ini.

"Binalah kembali kekuatan jamaah yang dicintai ini, kembalikan semangat persaudaraan dan kesetiaan tinggi di kalangan semua ahli jamaah," ujarnya.
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta PAS memperkukuhkan pendidikan di negara ini sebagai hak asasi rakyat bagi memasti kehidupan masyarakat lebih terjamin

Naib Ketua Pemuda, Ir Khairil Nizam Khiruddin dalam ucapan beliau menjelaskan, kajian yang dilakukan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2012 mendapati masih ramai pelajar gagal untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Jelasnya, pendedahan ini amat merisaukan dan perlu ditangani dengan segera agar remaja lebih celik kepada ajaran agama Islam.

"Kita ingin menekankan agar PAS memperkukuhkan pendidikan sebagai hak asasi rakyat, kajian Jakim di Sekolah Rendah di Kuala Lumpur dari lima kelas mendapat dua pelajar masih tidak tahu mengucap syahadah.

"Malah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mendapati kalangan remaja Islam, 72 peratus tidak tahu solat.

"Malah yang paling merisaukan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, kajian 2010 mendapati 2,260 responden mengaku mengamalkan seks bebas," ucapnya ketika berbahas ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS kali ke-59.

Tambah beliau, kajian tersebut memperlihatkan status negara maju tidak menjamin peningkatan kesedaran dan penghayatan rakyat terhadap Islam.
SHAH ALAM: PAS Sarawak berikrar mahu menghadiahkan sekurang-kurangnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya negeri (PRN) itu yang akan datang.

Wakil Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden hari ini berkata, tekad itu diasaskan kepada sokongan rakyat terhadap PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya pada PRU13 lalu, PAS buat kali pertama menambah jumlah kerusi bertanding daripada satu kerusi pada 2008 kepada lima kerusi pada 2013.

Dari jumlah lima kerusi itu ujarnya, PAS Sarawak berjaya mendapat kembali wang deposit dari empat kerusi yang ditandingi.

"Sebab itu kita telah pilih slogan "Iltizam Untuk Sarawak".

"Kalau bukan satu kerusi, Insya Allah dua kerusi Dun kita akan hadiahkan kepada PAS pada pilihan raya negeri yang dijangka paling awal Disember 2015 nanti," katanya disambut laungan takbir oleh para perwakilan.

Selain itu, pengaruh PAS di Sarawak katanya makin melebar dengan kejayaan mewujudkan 16 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di seluruh negeri.

Menurutnya, Pasti ini telah berjaya menempatkan dakwah PAS di kawasan-kawasan bandar dan daerah besar di negeri itu.

Dalam pada itu, PAS Sarawak ujarnya sedang berusaha mewujudkan pusat tahfiz sulung di negeri itu menjelang 2015.

Menurutnya, pusat itu akan dibina di atas tanah seluas 10 ekar yang diwakafkan oleh pihak tertentu.
SHAH ALAM: PAS Perak menggesa PAS agar fokus kepada isu yang perlu disegmentasikan mengikut pengundi, bukan isu bandar dan semi bandar semata-mata.

Perwakilan Perak, Dr Ahmad Nuri al-Amin, ketika membahaskan ucapan dasar presiden, menegaskan strategi dalam menguruskan isu yang berkesan mampu melonjakkan pertambahan pengundi Melayu, khususnya di Perak.

Selain perlu bersifat 'offensive', Dr Nuri turut menggesa PAS mengatur strategi bagi memenangi hati pengundi Melayu yang merupakan pengundi teras kepada PAS.

"Melihat kembali perkembangan politik di Perak pada pilihan raya umum ke-13 lalu, peningkatan undi orang cina terhadap PAS sebanyak 20 peratus. Namun, kita perlu terima hakikat, kita hilang sebanyak lima peratus undi orang Melayu di kerusi yang ditandingi PAS," tegas beliau.

Suasana itu, tambah beliau menunjukkan PAS masih belum berjaya berhadapan dengan dakyah BN dalam memenangi hati pengundi Melayu, sedangkan sejarah membuktikan pemerintahan Islam terbina dari kelompok teras yang menjadi 'core' kepada perjuangan PAS.

Maka, beliau menegaskan dalam usaha memastikan kemenangan Pakatan rakyat di Perak pada pilihan raya umum ke-14 akan datang, PAS perlu berusaha untuk untuk menarik lebih ramai pengundi melayu.

"Jika kita boleh kekalkan perpaduan Pakatan rakyat kita, boleh menarik pengundi bukan Islam dan berusaha untuk lima peratus pengundi melayu tadi, Insya-Allah, pada pru14 nanti kita boleh menang," tegas beliau.
SHAH ALAM: PAS diminta lebih serius dan lantang menyuarakan isu pendidikan Malaysia yang dilihat lebih mengagungkan Bahasa Inggeris dan meminggirkan Bahasa Arab.

Perwakilan Pahang, Salamiah Mohd Nor berkata, keputusan kerajaan untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus merupakan 'malapateka' kepada anak Melayu di luar bandar.

"Apabila PAS ingin menampilkan diri sebagai pemerintah, PAS mesti ke hadapan isu pendidikan.

"Kerajaan akan menjadikan Bahasa Inggeris wajib lulus untuk lulus SPM. Ini merupakan malapetaka kepada anak-anak Melayu luar bandar dan peluang mereka sangat terbatas.

"Apa yang ingin kita timbulkan sistem pendidikan hari ini gagal mewujudkan generasi yang cinta kepada al-Quran dan Islam," katanya sewaktu berucap pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden di Muktamar PAS Ke-59 di Stadium Malawati hari ini.

Beliau juga berkata, PAS perlu bersedia menerima kepelbagaian dalam keahlian parti untuk menunjukkan PAS sebagai parti untuk semua.

"PAS sebagai organsiasi yang besar yang semakin diterima umum kita mesti bersedia menerima kepelbagaian golongan dan fikrah yang menyertai PAS.” Ujarnya lagi.
SHAH ALAM: Perwakilan Kelantan mencadangkan PAS memperkasakan jaringan maklumat agar sebarang keputusan parti yang hendak disampaikan ke seluruh cawangan dapat diterima dengan cepat.

Datuk Abdul Fattah Mahmud berkata, keputusan atau kenyataan daripada pimpinan parti perlu disampaikan segera ke peringkat bawahan sekali gus dapat membantu Pakatan Rakyat.

"PAS menyumbang dalam Pakatan Rakyat, jadi sesuatu perlu diperkasakan supaya ia dapat membantu Pakatan Rakyat," katanya.

Kelantan juga mendesak PAS agar memberi penekanan ekonomi dan kebajikan wanita khususnya peringkat negeri dan kawasan.

Beliau mengambil contoh di Kelantan yang telah menubuhkan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) yang sedang mengusahakan aktiviti jahitan dan kuih muih sehingga kini negeri itu mempunyai 45 pusat PPWK.

Fattah juga, meminta seluruh perhubungan negeri dengan panduan PAS Pusat agar meraikan pengundi luar yang balik membantu Dun-Dun mereka kerana usaha berterusan ini akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

"Dun yang kemas akan dapat kemenangan, kalau Dun tanpa ada jentera anak tempatan yang kuat dan kemas amat sukar menang dalam pilihan raya," katanya.

Justeru, beliau merayu seluruh ahli PAS memanjatkan doa kepada Allah kerana perjuangan parti mereka semakin hari semakin mantap dan hebat dan percaya PAS akan terus mendapat sokonan dan dukungan daripada rakyat khususnya bukan ahli PAS.

Tiada ulasan: