Kerajaan enggan lanjut cuti haji penjawat awam
- Nov 26, 2013
- Harakahdaily
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh cuti haji daripada 40
hari kepada maksimum 50 hari kerana jumlah peruntukan cuti sedia ada
sudah memadai buat penjawat awam, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata
kemudahan cuti haji itu meliputi tempoh menunaikan fardu haji di Makkah,
lima hari persediaan sebelum berlepas ke tanah suci dan lima hari
rehat, setelah kembali.
"Cuti haji sedia ada
untuk penjawat awam adalah memadai dan dasar sekarang dikekalkan,"
katanya ketika menjawab soalan asal Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) pada
sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd Rafizi
bertanyakan mengapa cuti ibadah haji untuk penjawat awam dihadkan kepada
40 hari sedangkan tempoh masa menunaikan haji di bawah kelolaan Lembaga
Tabung Haji mencecah 45 hari.
Kepada soalan tambahan
Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang), Shahidan menjelaskan kerajaan
menyokong dan menggalakkan swasta memberi cuti haji kepada pekerja
swasta tapi mereka perlu faham bahawa cuti haji tidak perlu sehingga 40
hari.
"Perkara paling
penting dalam menunaikan fardu haji ialah rukun haji dan rukun itu boleh
disempurnakan dalam masa 10 hari hingga 12 hari sahaja.
"Cuti haji 40 hari ialah keistimewaan yang diberikan kerajaan untuk penjawat awam," katanya. - Bernama
Bajet Perak: Tiada apa boleh disuluh kerana tiada bateri
- Nov 26, 2013
- MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
IPOH: Bajet Perak 2014 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir tidak memberi harapan baru kepada rakyat negeri itu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan tidak prihatin serta serius untuk menyelesaikan permasalahan utama rakyat iaitu kos kehidupan yang semakin meningkat.
Rakyat Perak juga kata beliau mengalami masalah peluang pekerjaan yang sangat minimum dan ia tidak menjadi keutamaan kerajaan untuk menyelesaikannya.
"Apakah pengharapan orang Perak kepada belanjawan itu? Sebagai rakyat negeri Perak, apa harapan baru yang nak dipergantungkan kepada bajet itu? Tidak ada.
"Saya nampak bajet itu tidak memberi harapan baru kepada rakyat negeri Perak. Masalah rakyat negeri Perak yang besar tidak ditunjukkan cara penyelesaiannya," katanya ketika membuat sidang media selepas perbentangan Bajet Negeri Perak 2014 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, di sini semalam.
Beliau menyifatkan, kerajaan yang dipimpin oleh Zambry hanya meneruskan tradisi belanjawan defisit yang kali ini melebihi sehingga RM40.2 juta.
Kerajaan negeri juga katanya tidak mengemukakan pembaharuan dalam belanjawannya dan ianya masih mengikut 'stail' lama.
"Walaupun di penutup pembentangan, Pangkor (Zambry) kata bajet itu adalah penyuluh jalan untuk masyarakat, tapi tidak apa yang boleh disuluhkan kerana tiada ada bateri," jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Adun Changkat Jering itu menjelaskan, kerajaan juga gagal mewujudkan kaedah serta cara alternatif untuk menghasilkan dana baru bagi meningkatkan hasil negeri.
Hubungan dagang Indo China melalui Tok Bali
- Nov 26, 2013
- ASLANI M
Jarak rentas Laut China Selatan tersebut jauh lebih dekat berbanding laluan darat antara Kota Bharu-Kuala Lumpur.
Pengerusi Eksekutif Portokbali, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata, kedudukan Pelabuhan Tok Bali ternyata begitu strategik bagi hubungan perdagangan dengan negara Indo China.
Katanya, perdagangan wilayah China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dengan negara Asia Tenggara bernilai ratusan bilion.
“Rakan dagangan terbesar dengan China sahaja bernilai RM180 bilion. Oleh itu kemunculan Portokbali akan merancakkan lagi perhubungan antara negara Asean melalui jalan laut.
“Portokbali bakal muncul sebagai kawasan kondusif untuk industri, pelancongan, perdagangan dan pendidikan berasaskan maritim,” katanya ketika membentang kertas kerja pada seminar anjuran Jabatan Perancang Bandar dan Desa di sini kelmarin.
Portokbali dirancang berkonsep pembangunan bandar maritim bakal dilengkapi pelabuhan kargo, feri dan kapal persiaran.
Selain itu sebagai pangkalan dan perkhidmatan lapangan industri minyak dan gas luar persisir.
Zaheed berkata, biar pun pembinaan sedang berjalan namun pelabuhan tersebut sudah digunakan bagi mengeksport bijih besi dan magnesium ke China dan Vietnam.
“Bijih tersebut dihantar ke lapan pelabuhan di China dan sebuah pelabuhan di Vietnam,” tambahnya.
Fasa pertama pembinaannya bermula Mac 2012 siap bulan lepas. Manakala fasa kedua 2014-2015 dan fasa ketiga 2016-2020.
Pembangunannya meliputi kawasan seluas 38,000 ekar merangkumi pelabuhan kargo seluas 1,200 ekar.
Menurutnya juga kelebihan Kelantan terkenal dengan ciri-ciri pembangunan berteraskan Islam boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi.
Katanya juga pembangunan Portokbali turut memberi memberi manfaat kepada pelabuhan di negeri-negeri lain dengan konsep saling membantu.
“Misalnya bijih besi dilombong di sini dihantar untuk diproses di Vietnam kerana kosnya lebih murah, kemudian produk yang siap dihantar pula ke negara lain.
“Atau bahan mentah lain yang terdapat di Kelantan boleh dihantar ke Sarawak untuk diproses memandangkan kos elektrik di negeri tersebut lebih rendah,” tambahnya.
Thailand perluas ISA bendung protes antikerajaan
- Nov 26, 2013
- Harakahdaily
BANGKOK:
Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra hari ini mengumumkan
bahawa pelaksanaan perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
diperluaskan ke seluruh Bangkok, wilayah Nontaburi dan daerah Bangpli di
wilayah Samutprakarn yang bersempadan Bangkok.
Lapangan Terbang
Antarabangsa Suvarnabhumi terletak di daerah Bangpli dan langkah
menguatkuasakan ISA itu dilihat untuk menghalang pemprotes dari
menduduki kawasan berkenaan.
Sebelum pengumuman itu, ISA telah dikuatkuasakan di tiga daerah Bangkok - Phra Nakhon, Dusit dan Pomprap Sattruphai.
Perluasan ISA itu
berkuatkuasa hari ini sehingga 31`Dis, dan dibuat selepas beribu-ribu
pemprotes dari pihak pembangkang menduduki sekurang-kurangnya dua
kementerian dalam usaha untuk terus menekan dan memaksa Yingluck meletak
jawatan atau membubarkan parlimen.
Mereka menduduki
premis Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar, tetapi polis dan
pasukan keselamatan tidak menghalang sebagai langkah untuk mengelakkan
tercetusnya keganasan.
Terdahulu, Yingluck
menegaskan beliau tidak akan membubarkan parlimen atau meletak jawatan
sebagaimana didesak oleh pemprotes dan sedia berdepan dengan debat
'hilang keyakinan' yang dijadualkan esok dan lusa. - Bernama
Perwakilan – pemenang sebenar Muktamar PAS ke-59
- Nov 28, 2013
- DR DZULKEFLY AHMAD
Muktamar PAS ke-59 baru sahaja melabuhkan tirainya. Segala teka-teki dan telahan dari hal pemilihan sudah terjawab secara muktamad. Segala kegawatan dan hingar-bingar pemilihan wajar berakhir. Pemenang telah diumumkan berserta yang tidak terpilih juga redha dengan keputusan.
Dalam tradisi parti Islam ini seingatan penulis, tidak ada dakwa-dakwi selepas pemilihan. Apatah lagi untuk membatalkan keputusan pemilihan kerana ada perwakilan yang tidak layak atau cawangan-kawasan yang tidak sah. Jauh lagilah untuk mendakwa atau membatalkan pemenang kerana menyogok perwakilan atau terpalit dalam ‘politik wang’ atau rasuah.
Ini antara keunikan dan sifat ‘tamayyuz’ Parti Islam Se-Malaysia, PAS . Bukan hendak ‘masuk bakul angkat sendiri’ tetapi sekadar menegaskan ‘imperatif’ atau kemestian yang sudah turun-temurun menjadi amalan budaya parti ini.
Yang menang sebak kerana mengalahkan ‘lawan’ yang diakui punya kelebihan dari dirinya apatah lagi yang dikalahkan adalah sifu politiknya dan abang atau ‘senior’ dalam perjuangan. Yang kalah pula berjiwa besar untuk berdiri memberi hormat kepada yang menang bahkan meredakan suasana haru dan pilu yang mencengkam jiwa masing-masing.
Penulis sememangnya layak merakamkan jutaan tahniah kepada semua calon yang mengambil bahagian. Ya, mereka wajar dirakamkan tahniah kerana kesediaan untuk menggalas tanggungjawab. Itu sahaja cukup untuk mereka mendapat sekalung tahniah.
Yang sah menang lebih layak lagi diucapkan tahniah dan takziah kerana memang sah mereka akan dibebankan dengan tugasan berat kepimpinan. Dalam perspektif Islam, ‘Kepimpinan bukan Habuan tetapi Beban’! Memecah tradisi yang lazim, penulis tidak berasa terpanggil untuk mengucapkan tahniah kepada pemenang. Bukan untuk kali ini.
Lebih penting lagi disebalik kehangatan berkempen menonjolkan calon masing-masing, persoalan yang berlegar dalam minda perwakilan berpusat di sekitar hal dan orientasi ‘pendekatan serta strategi politik’ pasca-Muktamar atau yang bakal diikuti parti Islam ini. Bukan ‘peribadi atau individu’nya tetapi ‘saff dan gerombolan’nya yang sebenarnya dinanti-nantikan oleh semua. Individu penting tetapi saff adalah lebih penting.
Betul. Calon-calon yang menang inilah yang bakal menganggotai saff kepimpinan eksekutif bersama Presiden parti yang telah menang tanpa bertanding dan kini menanti ‘hulubalangnya’. Saff inilah yang akan mewarnai, mengangkat dan menentukan persoalan besar strategi dan pendekatan parti Islam ini. Siapa yang memilih mereka? Perwakilan!
Dek kerana itulah penulis mahu mengajak seluruh anggota parti Islam ini memberikan satu 'tabik hormat’, satu ‘standing ovation’ buat pemenang ‘sebenar’ yang belum lagi diumumkan dalam pemilihan dalam Muktamar ke-59 ini.
Nah, setelah selesai segala pemilihan dalam satu persaingan yang sangat bersejarah dan punya naratif atau pengkisahannya tersendiri, yang nyata menang adalah ‘Perwakilan’! Sebabnya jelas. Kerana perwakilanlah yang telah menentukan saff yang paling ‘sesuai dan wajar’ untuk terus mengemudi perjuangan parti ini bagi menyelesaikan segala kemelut yang bersimpang-siur kini dan bersama membuat persiapan mendepani cabaran PRU ke-14 nanti.
Sebab itulah penulis mengajak (meskipun terlewat) seluruh ahli jamaah dan pendukung perjuangan ini meneriak bagi menyantuni dan mengiktiraf tugas besar Perwakilan. Merekalah Pemenang Sebenarnya! Takbir! Allahu Akbar!
Dan memerhatikan saff dan keanggotaan pimpinan yang dipilih seluruh perwakilan, tanpa di sana wujud perbincangan serta musyawwarah di kalangan 1,200 kurang lebih perwakilan dari seluruh negara, ia adalah adunan dan olahan terbaik seluruh ‘perwakilan’! Syabas dan tahniah sekali lagi!
Bayangkanlah kalau keanggotaan saff yang dipilih perwakilan ‘terlalu ulama atau terlalu bukan-ulama’, pastinya akan meninggalkan perasaan penuh ralat dan ketidakpuasan pelbagai pihak termasuk perwakilan sendiri. Bahkan sesiapa pun yang mencintai dan menyayangi parti dan perjuangan ini akan rasa dikecewakan perwakilan.
Dari satu segi penulis melihat natijah ini sebagai isyarat Taufiq dan Inayah dari Allah SWT hasil natijah penghayatan dinamika ‘sunnatud tadaafuq’ atau’semak-imbang’ dalam saff sebuah perjuangan Islam yang bersifat dinamis dan responsif kepada tuntutan perkembangan dan pergolakan realiti politik persekitarannya.
Sedikit kajian rambang penulis mendapati bahawa hakikatnya Saff Kepimpinan ini, sangat disukai sahabat-sahabat dalam perjuangan khasnya dalam Pakatan (PR) . Sebaliknya tidak keterlaluan kalau penulis katakan saff ini pasti menjengkelkan pihak lawan dan mungkin juga menimbulkan rasa gerun untuk bersaing. Mungkin telahan penulis tersasar atau syok sendiri tetapi itulah pandangan penulis. Apa pulak mainan media lawan selepas ini.
Setelah memilikki ‘Saff Idaman’ ini (maaf penggunaan istilah ‘Dream Team’ ),maka kini adalah giliran mereka yang dipilih perwakilan untuk membuktikan bahawa perwakilan tidak silap dan perwakilan tidak akan dikecewakan.
Kembali kepada hal perwakilan dan khasnya mereka yang diamanahkan untuk berbahas mewakili negeri dan dewan masing-masing, ucapan telah dibuat dan segala kecenderungan serta pendirian telah pun terserlah.
Umumnya penulis berani memberi markah yang tinggi kepada keseluruhan perwakilan yang membuat persiapan yang cukup dan membuat pidato atau ‘delivery’ yang baik. PAS boleh berbangga mempunyai takungan pemidato sekaligus bakal ahli-ahli parlimen yang hebat di segi isi dan olahan ucapan mereka.
Seperti Ucapan Presiden yang menyeluruh dan inklusif merangkumi semua aspek kehidupan bernegara yang penting, maka begitu juga perbahasan maudhu’ yang diangkat oleh setiap pengucap yang mewakili negeri dan dewan-dewan.
Tidak juga dapat dielakkan untuk penulis merakamkan betapa usia perwakilan yang berucap adalah sebahagian besarnya bukan dari kalangan veteran dan otai-otai parti. Terserlah keremajaan parti dengan setiap kali yang tampil adalah dari kalangan yang muda samada yang mewakili itu muslimin atau muslimat.
Tentunya kepetahan pengucap dari Perhubungan PAS Negeri Sembilan, seorang muslimah muda mendapat perhatian serius dan minat yang mendalam kerana maudhu’nya adalah sangat segar dan kontemporari kerana huraian menarik tentang Politik Antarabangsa, GST dan TPPA.
Pun begitu, dalam pelbagai cara dan gaya yang agak bebas dan tersendiri, termasuk isi dan penekanan perbahasan perwakilan, tidak dapat tidak bagi penulis untuk merakamkan beberapa nokhtah tertentu yang agak kritis. Satu sahaja adalah tetnag teguran tentang perjuangan yang ghirah ke Putrajaya tetapi kononnya akan meninggalkan Al-Quran di pagar Putrajaya. Ia adalah sangat mengejutkan.
Penulis bukan keseorangan kerana telah pun ditegur salah seorang pemimpin tertinggi parti. Namun ruang kecil ini bukan pentas atau forumnya untuk perbahasan tajuk ini.
Paling mustahak untuk penulis muatkan dalam pengamatannya dalam Muktamar ke-59 ini adalah untuk saff kepimpinan yang diangkat dalam muktamsar ini memahami sungguh-sungguh pengharapan perwakilan bahkan seluruh pendukung perjuangan ini. Jangan tersilap baca.
Nokhtah bersabitan komitmen PAS dalam Pakatan Rakyat dalam Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden dibahaskan oleh hampir semua perwakilan yang berucap. Salah seorang wakil lantas mahukan perwakilan semua berdiri bagi menyokong usul dalam ucapannya untuk memperteguhkan penglibatan PAS dalam PR. Tidak syak lagi bahawa perwakilan mahukan PAS kekal bahkan lebih kuat lagi memimpin bersama PR.
Perkara ini tidak juga bercanggah atau disanggah oleh pengucap dari Dewan Ulama yang mahukan Majlis Syura sentiasa memantau aspek Kepatuhan – Syariah atau ‘Syariah-compliancy’ dalam ‘Tahaaluf Siyasi’ PAS bersama rakan-rakan PR. Ia tentunya tidak berkesalahan bahkan wajar dan wajib sentiasa ada pemantauan semak-imbang dari pihak Majlis Syura Ulama.
Lebih mustahak dari itu adalah persoalan penting yang dibangkit oleh penulis yang mewakili Pengerusi JK Post-Mortem ketika memberi sedikit pendedahan tentang dapatan awal kami. Isu besar tentang penghakisan undi Melayu yang dialami PAS dalam PRU ke-13 yang lalu mestilah ditangani segera. Meskipun PAS secara menyeluruh hanya kehilangan 2% undi Melayu berbanding PKRyang kehilangan 7%, segala penumpuan mesti diberikan tentang aspek kerja ini.
Bagi meraih kemenangan yang lebih besar PAS perlu meningkatkan sokongan kepada 44% pada PRU14 dari 40% kini. Sokongan wanita Melayu juga masih di tahap yang rendah (sekitar 30-35%) dan segala sumber dan tumpuan mesti diberikan kepada segmen pengundi ini oleh muslimat.
Sementara itu sokongan pengundi muda Melayu adalah sekitar 45-46% dan ini perlu ditambah dengan kegiatan dan program yang mampu menggamit harapan dan imiginasi mereka.
Bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang disimpulkan dalam dapatan-dapatan awal post-mortem dan beberapa kajian pasca PRU ke-13, adalah diingatkan supaya PAS berwaspada supaya tidak mengambil jalan ‘rawatan atau preskriptif sebelum mengenal pasti penyakit’. Elak berfikiran borong atau beri ‘rawatan generik’ atau ‘pil panadol’. Rawatan mesti spesifik dan tepat dengan penyakit.
PAS bersama rakan Pakatan mesti mengadakan sesi–sesi bengkel kerja yang menumpu aspek dan segmen pengundi tersebut secara terperinci. Penggemblengan seluruh tenaga pemikir dan aktivis parti yang bergelumang dengan kelompok segmen pengundi-pengundi ini mesti disegerakan.
Perwakilan telah menghadiah saff kepimpinan baru yang mungkin sebahagian besarnya lama. Namun saff ini mesti memperbaharui tekad dan azam untuk memperbaikki prestasi dan merangka semula ‘Road-Map’ ke Putrajaya segera.
Kerja-kerja dalaman-dakhili parti yakni membina ‘tarbiyah dan tandzim’ untuk memperkukuh ahli (capacity building) mesti disekali dan dipadukan dengan kerja-kerja luaran-khariji parti yakni ‘dakwah dan siasah’ bagi memperluas tapak sokongan dan memobilisasi pandangan awam-(ra’yu ‘am atau public opinion) bagi memenangi hati-budi rakyat dan pengundi.
Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.
Adakah 2 kem tentera digadai RM465 juta?
- Nov 25, 2013
- Salmiyah dan Hazayani
Justeru, beliau mempersoalkan adakah kedua-dua kem itu telah digadai kepada Malaysian Buildings Society Sdn Bhd (MBSB) dengan harga RM465 juta.
Menurut Mahfuz, projek yang pada asalnya bernilai RM256 juta itu tidak berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, projek itu bermula pada tahun 2002 tetapi malangnya laporan audit 2012 mendedahkan perkembangan projek di bawah syarikat KCSB Konsortium Sdn Bhd hanya 18 peratus siap.
"Kalau ikut laporan audit, kerajaan mesti tamatkan segera syarikat ini. Adakah kerajaan sudah tamatkan syarikat ini sedangkan tanah kem sudah tergadai?
"Inilah pengkhianatan dan penderhakaan sebenar kepada negara.
"Kita cakap pasal nak bela kebajikan tentera tetapi kita khianati tentera," katanya sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan di bawah Kementerian Pertahanan.
Beliau menambah, KCSB mendapat untung dengan mudah walaupun projek yang diberikan belum siap sepenuhnya.
"Saya minta penjelasan bagaimana kontraktor ini dipilih.
"Ini bukan pondok durian boleh digadai sesuka hati tapi ini tempat duduk tentera, anak dan keluarga mereka yang mesti dijaga kebajikannya," katanya.
Khairy gagal halang saman fitnah Anwar
- Nov 26, 2013
- Harakahdaily
PUTRAJAYA: Saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar) akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Ini susulan keputusan
sebulat suara panel lima anggota Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak
permohonan Khairy bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan
terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk
membatalkan saman sivil itu yang difailkan terhadapnya.
Hakim Besar Malaya Tan
Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan panel itu berkata
kebenaran tidak boleh diberikan kepada Khairy untuk merayu ke Mahkamah
Persekutuan kerana beliau gagal memenuhi syarat utama Seksyen 96 (a)
Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau berkata
persoalan yang dikemukakan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan tidak
berbangkit daripada penghakiman mahkamah lebih rendah.
Hakim Zulkefli memerintahkan Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Anwar.
Turut bersidang ialah
empat Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri
Ahmad Maarop, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.
Pada 7 Mac, 2008,
Anwar, 66, memfailkan tindakan undang-undang terhadap Khairy,
mendakwanya sebagai Ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan kenyataan
memfitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat'
dimuat naik dalam laman web termasuk Malaysiakini.com.
Ketua Pembangkang itu
mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi perkataan
memfitnah yang diucapkan Khairy pada satu ceramah di Lembah Pantai di
Kuala Lumpur pada atau sekitar 20 Feb, 2008.
Khairy, dalam
pernyataan pembelaannya difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau
bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Pada 21 Dis, 2011, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Khairy untuk membatalkan saman fitnah itu.
Khairy memfailkan
permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan selepas beliau
gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos tahun lepas.
Peguam yang mewakili
Anwar, Datuk Sulaiman Abdullah memberitahu pemberita, Mahkamah Tinggi
menetapkan Khamis dan Jumaat ini bagi perbicaraan saman itu.
Khairy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Bernama
Menteri Besar, Mat Said, berkata keputusan tidak meneruskan penganjuran sukan tersebut yang dijalankan sejak 2005 itu seakan tidak menghargai peranan dan sumbangan Terengganu terhadap kemajuan dan pembangunan sukan negara.
Oleh sebab itu Mat Said membuat ‘ugutan’ yang mendapat ulasan Menteri KBS. Khairy terpaksa mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara tersebut.
Isu LTdL 2014
Saya terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Said, untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 serta menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi sebarang peringkat pada perlumbaan itu.
Saya difahamkan pengumuman tersebut dibuat berdasarkan andaian beliau bahawa acara perlumbaan basikal jalan raya pada Sukan SEA 2017 akan diadakan di Johor dan kejohanan pelayaran Piala Monsoon juga akan dipindah dari Pulau Duyong bermula tahun depan.
Saya ingin menerangkan bahawa Jemaah Menteri serta Kementerian Belia dan Sukan setakat ini belum menetapkan sebarang keputusan mengenai lokasi atau ‘venue’ acara-acara untuk Sukan SEA 2017. Walaupun Jemaah Menteri sudah memutuskan bagi Malaysia untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk temasya tersebut pada tahun 2017, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) akan hanya membuat keputusan rasmi pada 10 Disember. Sebarang kenyataan mengenai lokasi atau ‘venue’ bagi acara-acara adalah hanya cadangan buat masa ini.
Kerajaan juga belum membuat sebarang keputusan tentang Piala Monsun akan datang. Walaupun perjanjian antara KBS dan bekas penganjur T-Best Events Sdn Bhd untuk mengadakan kejohanan ini di Terengganu sudah tamat pada tahun 2012, masih belum ada apa-apa keputusan muktamad tentang lokasi kejohanan itu untuk tahun depan dan seterusnya.
Saya telahpun menjelaskan mengenai perkara ini kepada Ahli Exco Sukan Terengganu, YB Rozi Mamat, yang juga pernah menjadi rakan seperjuangan saya dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dan ingin menasihatkan semua pihak agar tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan andaian yang tidak tepat.
Saya amat berharap bahawa YAB Menteri Besar Terengganu akan mengkaji semula keputusan beliau semalam tentang LTdL. Walaupun terdapat salah faham mengenai dua perkara yang saya telah jelaskan di sini, sukan basikal tidak seharusnya dijadikan mangsa terutamanya dalam acara antarabangsa sebegini. Memang tepat pun, kenyataan MB bahawa kebanyakan pelumba basikal terunggul berasal dari negeri Terengganu dan saya rasa mereka amat mengharapkan penglibatan Terengganu dalam LTdL.
Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan
28 November 2013
Sumber
Ugutan RM2 juta Mat Said buat Khairy mengelabah beruk!
on Thursday, November 28, 2013
Isu berkaitan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menarik hak
penganjuran acara Piala Monsun yang selalu diadakan di Pulau Duyung,
Terengganu yang akan dipindahkan ke Johor.Menteri Besar, Mat Said, berkata keputusan tidak meneruskan penganjuran sukan tersebut yang dijalankan sejak 2005 itu seakan tidak menghargai peranan dan sumbangan Terengganu terhadap kemajuan dan pembangunan sukan negara.
Oleh sebab itu Mat Said membuat ‘ugutan’ yang mendapat ulasan Menteri KBS. Khairy terpaksa mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara tersebut.
Isu LTdL 2014
Saya terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Said, untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 serta menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi sebarang peringkat pada perlumbaan itu.
Saya difahamkan pengumuman tersebut dibuat berdasarkan andaian beliau bahawa acara perlumbaan basikal jalan raya pada Sukan SEA 2017 akan diadakan di Johor dan kejohanan pelayaran Piala Monsoon juga akan dipindah dari Pulau Duyong bermula tahun depan.
Saya ingin menerangkan bahawa Jemaah Menteri serta Kementerian Belia dan Sukan setakat ini belum menetapkan sebarang keputusan mengenai lokasi atau ‘venue’ acara-acara untuk Sukan SEA 2017. Walaupun Jemaah Menteri sudah memutuskan bagi Malaysia untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk temasya tersebut pada tahun 2017, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) akan hanya membuat keputusan rasmi pada 10 Disember. Sebarang kenyataan mengenai lokasi atau ‘venue’ bagi acara-acara adalah hanya cadangan buat masa ini.
Kerajaan juga belum membuat sebarang keputusan tentang Piala Monsun akan datang. Walaupun perjanjian antara KBS dan bekas penganjur T-Best Events Sdn Bhd untuk mengadakan kejohanan ini di Terengganu sudah tamat pada tahun 2012, masih belum ada apa-apa keputusan muktamad tentang lokasi kejohanan itu untuk tahun depan dan seterusnya.
Saya telahpun menjelaskan mengenai perkara ini kepada Ahli Exco Sukan Terengganu, YB Rozi Mamat, yang juga pernah menjadi rakan seperjuangan saya dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dan ingin menasihatkan semua pihak agar tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan andaian yang tidak tepat.
Saya amat berharap bahawa YAB Menteri Besar Terengganu akan mengkaji semula keputusan beliau semalam tentang LTdL. Walaupun terdapat salah faham mengenai dua perkara yang saya telah jelaskan di sini, sukan basikal tidak seharusnya dijadikan mangsa terutamanya dalam acara antarabangsa sebegini. Memang tepat pun, kenyataan MB bahawa kebanyakan pelumba basikal terunggul berasal dari negeri Terengganu dan saya rasa mereka amat mengharapkan penglibatan Terengganu dalam LTdL.
Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan
28 November 2013
Sumber
Kalau ada rizab RM2.7b, apa salahnya naik gaji
- Nov 28, 2013
- SHAHBUDIN HUSIN
Struktur gaji baru itu ialah Menteri Besar daripada RM14,175 kepada RM29,250, anggota Exco daripada RM6,109 kepada RM20,250, Speaker daripada RM6,109 kepada RM22,500, Timbalan Speaker daripada RM3,327 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.
Selain Anwar Ibrahim selaku Penasihat Kerajaan Negeri Selangor yang menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi manakala Azmin Ali selaku Pengerusi PKR Selangor turut membantah dan meminta ia ditangguhkan, beberapa pihak lain turut juga membantah.
Presiden Perkasa, Ibrahim Ali menyindir bahawa kenaikan dengan mengatakan, gaji sebanyak itu, orang pekak, orang bisu dan golongan orang kelainan upaya (OKU) pun mampu menjadi wakil rakyat di negeri Selangor.
Beberapa pihak lain seperti pemimpin Umno, NGO pro Umno, Cuepacs dan lain-lain turut membantah kenaikan itu dan rata-rata menyatakan kerajaan negeri Selangor sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya diri sendiri.
Bekas MB Selangor, Abu Hassan Omar juga turut mengulas dengan menyatakan kenaikan itu tidak rasional dan tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Bahkan, katanya, ketika beliau menjadi Menteri Besar, kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan Selangor dan Adun tidak pernah dibincangkan kerana kerajaan pimpinannya ketika itu sentiasa memikirkan kebajikan rakyat. Ewah, ewah...begitu menyentuh kalbu kenyataan bekas MB Selangor ini yang kariernya berakhir kerana dinasihatkan berundur berikutan terdedahnya suatu skandal berkaitan dirinya.
Adun-Adun BN di Selangor pula bersikap double-standard di mana mereka hanya mempertikaikan peratusan kenaikan gaji MB, Exco, Speaker dan Timbakan Speaker tetapi mengalu-alukan kenaikan gaji bagi Adun dengan alasan beban tugas wakil wakil tidak kenal cuti dan tiada istirehat di hujung minggu. Walaupun membantah tetapi bersetuju untuk kepentingan sendiri.
MB Selangor, Khalid Ibrahim bagaimanapun mempertahankan kenaikan itu dan bertegas ia tetap akan dilaksanakan sebagaimana yang dijadualkan. Katanya, kenaikan itu bukan saja mengambil kira beban tugas wakil wakil rakyat dan anggota pentadbirann kerajaan yang kian bertambah tetapi juga kerana dipersetujui oleh semua Adun dan BN dan PR sebelum ini.
Sambil mempertahankan kewajaran kenaikan itu, beliau juga berkata, ia dilaksanakan dengan menjadikan kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri Sarawak pada Mei lalu sebagai rujukan dan perbandingan.
Kenaikan gaji yang diluluskan di Sarawak ialah Ketua Menteri daripada RM13,000 kepada RM39,000, Timbalan Ketua Menteri daripada RM11,500 kepada RM35,000, menteri kanan dan Speaker daripada RM9,000 kepada RM30,000, menteri daripada RM9,000 kepada RM27,000, pembantu menteri dan Timbalan Speaker daripada RM7,000 kepada RM21,000 dan Adun daripada RM4,500 kepada RM15,000.
Mukhriz Mahathir pula baru-baru turut menaikkan elaun Adun Negeri Kedah sebanyak RM1,300.
Secara logik dan idealnya, kenaikan gaji di Selangor ini tidak ada salah dan cacat-celanya, bahkan bersesuaian dengan tugas dan tanggungjawab mereka. MB, Exco dan Adun bukan saja bekerja selama antara 16 hingga 18 jam setiap hari, bahkan meteka juga banyak memberi sumbangan dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Orang sakit, isteri bersalin, bayar bil letrik, anak mahu sekolah, anak kahwin dan pelbagai lagi, semuanya selalu diadukan kepada wakil rakyat untuk meminta bantuan.
Semua sumbangan dan bantuan itu adalah menggunakan wang poket sendiri. Dengan adanya kenaikan itu, ia pasti meringankan sedikit bebanan mereka.
Kenaikan itu sebenarnya bukanlah untuk kepentingan peribadi, keluarga dan anak isteri untuk membeli-belah dan membeli beg tangan yang mahal-mahal tetapi akan menjadikan mereka lebih selesa menabur khidmat bakti kepada rakyat.
Lagi pula, Kerajaan Negeri Selangor telah membuktikan kecekapan, kebersihan dan kurangnya ketirisan dalam pentadbiran sehingga mempunyai simpanannya kini mencecah sebanyak lebih RM2.7 billion. Ini merupakan suatu sejarah bagi Selangor dan tidak pernah dicapai oleh mana-mana era kepimpinan MB sebelum ini.
Memang betul ketika zaman Abu Hassan, beliau tidak pernah membincangkan soal kenaikan gaji tetapi tanyalah juga beliau, berapakah rizab kerajaan negeri ketika beliau menjadi MB Selangor?
Dengan rizab yang tinggi sekarang ini dan pentadbiran yang cekap yang telah terbukti, apalah salahnya kenaikan gaji itu. Tetapi kenaikan gaji selalunya akan diiiringi dengan peningkatan prestasi dan khidmat bakti. Anggota pentadbiran dan wakil rakyat Selangor juga pasti tidak banyak mengeluh lagi dengan adanya kenaikan ini. Inilah sebenarnya falsafah kenaikan itu.
Bagi Speaker dan Timbalan Speaker, walaupun kenaikannya agak tinggi berbanding gaji sebelum ini tetapi ia sebenarnya sesuai dengan status dan kedudukan mereka dalam sistem pentadbiran kerajaan. Dengan kedudukan gaji yang lebih baik, rakyat juga akan lebih menghormati kedudukan mereka.
Selain itu, kenaikan gaji ini juga mengurangkan berlakunya amalan rasuah dan tidak amanah dalam menjalankan tugas di kalangan anggota pentadbiran kerajaan. Lihatlah kedudukan MB, Exco dan wakil rakyat Selangor ketika era BN, walaupun gaji mereka tidak tinggi tetapi hampir kesemuanya diketahui mempunyai kehidupan yang mewah, rumah besar, kereta besar yang jika diukur secara logik, langsung tidak sepadan dengan gaji dan pendapatan mereka.
Di Singapura memang diketahui, Perdana Menteri dan menteri-menterinya mempunyai gaji yang paling tinggi dalam dunia tetapi lihatlah kecekapan dan kegigihan mereka dalam membangunkan negara itu. Bahkan kejadian rasuah yang melibatkan pemimpin kerajaannya hampir tidak pernah kedengaran.
Dalam kes Selangor ini, sewajarnya Khalid Ibrahim mempertahankan kenaikan itu. Tetapi apa yang perlu beliau lakukan selepas ini ialah mempastikan perbelanjaan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat turut dipertingkatkan. Berilah kemudahan dan keselesaan yang sewajarnya kepada rakyat negeri Selangor.
Buktikanlah kepada rakyat kenaikan gaji ini benar-benar berbaloi dengan perkhidmatan yang bakal diberikan. Di samping memastikan rizab atau tabungan kerajaan negeri terus kukuh, seimbangkanlah dengan kemudahan dan faedah untuk rakyat. Program kebajikan, perumahan, bantuan untuk golongan berpendapatan rendah harus sentiasa dipertingkatkan.
Jika ini dapat dilakukan, kewajaran mengapa kenaikan gaji dilakukan akan dapat difahami akhirnya. Mungkin sekarang banyak yang membantah tetapi masa akan menjawabnya nanti. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Tok Guru Nik Aziz kunjungi lelaki berusia 160 tahun
- Nov 28, 2013
- Foto Zamani Mohd Zain
TANAH MERAH: Penglihatan masih lagi jelas, pendengaran pun sempurna. Giginya masih yang asal. Lebih aneh lagi mampu berjalan kaki berbatu-batu biar pun usianya mungkin tertua di dunia iaitu 160 tahun.
Percaya atau tidak, namun Tok Ayah mendakwa melalui pengalaman di bawah 13 Sultan yang memerintah Kelantan.
Malah kisah hidup pahlawan dan perjuangan Mat Kilau pun diketahui dengan jelas. Pengalaman di bawah penjajahan Inggeris dan Jepun masih diingati sehingga sekarang.
Wajahnya tidak berkedut seperti warga emas lain. Mohamed Soleh Ali lebih mesra panggilan Tok Ayah memberitahu ketika penjajahan Jepun beliau mempunyai tiga anak.
Kesemua anaknya 13 orang dan sekarang hanya tinggal lima. Begitu juga kesemua 13 isterinya juga sudah meninggal dunia.
Anggota keluarganya, Stapa Ismail, 61 berkata, kegemaran Tok Ayah dari muda sehingga sekarang berjalan kaki ke mana sahaja.
“Dia pernah memberitahu berjalan kaki ke Johor, Pahang dan Terengganu semasa muda. Sekarang masih lagi mampu berjalan kaki ke bandar Pasir Mas,” katanya di sini.
Tok Ayah tinggal di Kampung Gelugur, Bukit Panau kelmarin dikunjungi Mursyidul PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mantan Menteri Besar itu juga menghadiahkan tongkatnya kepada Tok Ayah di samping wang.
Stapa memberitahu paling aneh anak dan cucunya tidak tahu ke mana Tok Ayah pergi setiap hari, namun ketika pulang ada sahaja makanan yang dibawanya.
“Malah ada ketika anaknya nampak Tok Ayah naik kereta pergi, namun tidak lama kemudian dilihat ada di dalam rumah.
“Banyak sebenarnya kisah pelik kalau hendak cerita tentang Tok Ayah. Apa yang saya tahu sejak dahulu sehingga sekarang dia tidak bekerja tetap dan hanya tahu berjalan sahaja.
“Namun tangannya sentiasa ada buah tasbih. Tok Ayah hanya meminum air telaga yang tidak dimasak. Kalau orang bagi duit kepadanya dia akan bagi kepada orang lain pula,” katanya.
Cucu Tok Ayah pun ada yang sudah berusia lebih 60 tahun.
Sementara itu tidak jauh daripada kampung tersebut juga ada seorang wanita berusia 126 tahun, sekarang tinggal bersama anaknya di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau.
Penindasan Islam Rohingya, pulau Sukan Sea di Myanmar
- Nov 28, 2013
- Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia serta negara-negara umat Islam seperti Indonesia dan Brunei dalam Sukan Sea ke-27, boleh disalah tafsir sebagai pengiktirafan masyarakat dunia bahawa penindasan ke atas masyarakat Rohingya itu telah berakhir, demikian menurut NGO Forum Kesedaran Rakyat (Fikir).
Koordinator Fikir Yamin Yahya berkata, sukan tidak seharusnya dicampur aduk dengan isu-isu lain tetapi penindasan yang berterusan terhadap penduduk Islam Rohingya oleh pemerintah Myanmar tidak wajar dilupakan.
Malah katanya, maklum balas yang diterima daripada wakil masyarakat tersebut di negara ini menceritakan kejadian-kejadian yang amat mendukacitakan antaranya, masyarakat Rohingya dihalau keluar dari kampung halaman mereka, tidak boleh memiliki tanah, dinafikan pendidikan bahasa, budaya dan agama mereka sendiri.
"Bahkan pemerintah Myanmar gagal memberi perlindungan keselamatan kepada mereka sehingga berlaku pembunuhan beramai-ramai serta ramai dari mereka yang menjadi mangsa rogol dan penyiksaan," katanya.
Beliau menyerahkan memorandum kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Iskandar Samad yang akan membawa perkara itu kepada perhatian Menteri Besar negeri itu hari ini di lobi Dewan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam.
Iskandar secara peribadi turut berpandangan Malaysia patut boikot Sukan Sea di Myanmar kerana pernah memboikot Sukan Olimpik di Moscow sebelum ini.
Sukan Sea Ke-27 akan berlangsung di Myanmar pada 11 hingga 22 Disember ini, seperti biasa negara Malaysia akan menghantar satu kontinjen ke sukan tersebut.
Oleh itu katanya, Kerajaan Malaysia serta negara-negara seperti Indonesia dan Brunei hendaklah menggunakan peluang sempena Sukan Sea ini untuk mengingatkan pemerintah negara berkenaan agar membuat perubahan dalam cara mereka melayan masyarakat Rohingya itu.
"Mereka mestilah secara aktif membangkitkan isu ini dan mendesak pemerintah Myanmar agar pemerintah itu berjanji sebelum bermulanya Sukan Sea akan melakukan perubahan tersebut.
"Tindakan-tindakan positif oleh pemerintah mestilah dapat dilihat sebelum berlangsungnya sukan itu," katanya.
Justeru katanya, terdapat puluhan ribu pelarian Rohingya di Malaysia dan sekiranya keselamatan mereka terjamin dan mereka diberikan hak sebagai warganegara maka tidak mustahil mereka akan kembali ke Myanmar.
Tambahnya, kehadiran mereka di Malaysia telah menimbulkan masalah bukan sahaja kepada masyarakat tersebut tetapi kepada masyarakat tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan