Ahad, 17 November 2013

RASULLULLAH SAW...MENOLAK BILA DITAWARKAN....RAJA@PANGKAT....HARTA@KEKAYAAN SERTA KEMEWAHAN....WANITA@BERPOYA2

7 Golongan Yang Mendapat Naungan Di Akhirat

by admin

Pada hari pertama pengadilan di padang mahsyar, seluruh manusia berhimpun semenjak manusia pertama iaitu Nabi Adam sehinggalah manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai dengan amalannya semasa di dunia dahulu. Rasulullah SAW menggambarkan ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat pertolongan dan naungan pada hari itu, menerusi sabda beliau yang maksudnya:
“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu sesuai dengan hadith di atas, iaitu:
  1. Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat.
  2. Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.
  3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sesungguhnya terdapat hadis menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan dikategorikan sebagai satu sedekah.
  4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
  5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” Ini menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina.
  6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk supaya mendapat pujian atau sanjungan dari orang ramai.
  7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan.

Wallahua’lam.
Sumber: Buku Malam Pertama Di Syurga – Adil Akhyar, SH, LL.M
Sumber: http://www.ataphijau.com/
saya BANGKANG kata2 Dr MAZA ini! ulama sertai UMNO bukannya HANYUT! tetapi KAYA RAYA!
Like · · · about an hour ago ·

Golongan VIP Di Akhirat

by admin



Rasulullah s.a.w menjelaskan suatu keadaan yang amat menggerunkan pada hari Kiamat dalam sepotong hadis baginda yang bermaksud ;
“ Didekatkan matahari pada hari Kiamat kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (samada ukuran sekarang atau akhirat), maka ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada di kalangan mereka yang mengharungi peluhnya sekadar buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang dan ada yang sampai ke mulutnya (sambil baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya).” ( Muslim & Tarmizi )
Pada saat ini, manusia mencari-cari tempat berteduh untuk berlindung daripada kepanasan tersebut. Segala harta kekayaan ketika di dunia dahulu sudah tidak dapat berfungsi kecuali yang telah dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah. Walaubagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud ;
“ Tujuh golongan yang Allah akan naungi mereka pada hari yang tiada teduhan melainkan teduhan yang diberikan oleh Allah”.
Mereka ialah :
1) PEMIMPIN YANG ADIL
Golongan ini diletakkan pada senarai yang pertama kerana ia bakal melahirkan ramai lagi calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Di dalam kitab Dalil al-Faalihin, diterangkan bahawa makna adil ialah mematuhi segala perintah Allah dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai rujukan utama di dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi Perdana Menteri Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka di dalam kepimpinannya.
2) REMAJA YANG MEMBESAR DALAM KETAATAN
Usia remaja amatlah mencabar. Pelbagai pengaruh menghantui para remaja samada melalui rakan-rakan sebaya, media cetak, elektronik dan lain-lain. Jiwa remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru terutamanya yang kelihatan menyeronokkan seperti mempunyai pasangan kekasih, merokok, merempit, berkaraoke dan pelbagai aktiviti yang ada kalanya menyebabkan kesan yang sangat negatif kepada masa depan mereka sendiri. Walaubagaimanapun di celah-celah keributan gejala sosial ini, masih ada remaja yang menjaga agama mereka. Mereka berkawan, berseronok, dan beraktiviti seperti biasa, namun batasan agama sentiasa dipatuhi. Halal dan haram menjadi pertimbangan terpenting dalam kehidupan sehingga ada kalanya dipandang asing oleh rakan sebaya. Mereka ini yakin dengan janji Rasulullah s.a.w bahawa naugan Allah sedang menanti di akhirat kelak sebagai ganjaran terhadap kekuatan ‘antibodi’ yang menepis segala pujuk rayu maksiat pada usia remajanya.
3) PENCINTA MASJID
Sepanjang sejarah Islam, ada golongan manusia yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja yang dimiliki demi menghidupkan fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan yang berlaku di masjid pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau tindakan untuk mengganggu institusi masjid bakal menyentap emosi mereka secara spontan. Golongan ini mempunyai 5 sifat sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Taubah, ayat 16 iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah dan hari Akhirat, serta sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak pernah gerun di dalam menjalankan tanggungjawab agama, melainkan hanya kepada Allah.
4) DUA INSAN YANG BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
Berkasih sayang adalah soal hati. Ia merupakan suatu perasaan yang tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan pasti ada orang yang dikasihinya samada ahli keluarga, sahabat handai ataupun tokoh yang dikagumi. Persoalannya, atas dasar apakah kasih sayang itu dibina ? Sekiranya kerana wajah yang jelita, harta yang melimpah atau kepentingan-kepentingan duniawi yang lain, maka masih belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti. Perasaan mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang sangat bersungguh di dalam mentaati Allah dalam segenap urusan hidupnya. Persahabatan terjalin sehingga menjadikan setiap pertemuan dan perpisahan sesudah itu adalah untuk urusan agama.
5) DIGODA BERZINA
Golongan kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah seorang pemuda yang digoda berzina oleh perempuan yang cantik lagi berpangkat, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah !’. Nafsu dan keinginan orang muda pastinya sentiasa hangat, tambahan pula digoda oleh perempuan cantik lagi mengiurkan, di samping pangkat yang dimilikinya boleh dimanfaatkan untuk mengelak sebarang hukuman atau tindakan daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak muda tersebut masih ada Allah di hatinya lalu dengan tegas membuktikan kegerunannya terhadap murka Allah mengatasi gejolak nafsunya. Ia pasti bersama panji Nabi Yusof a.s di akhirat kelak bersama para bidadari yang disediakan oleh Allah.
6) MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH
Ada insan yang sentiasa berurusniaga dengan Allah. Pelaburannya sentiasa dijuruskan untuk mendapat ‘profit’ akhirat yang kekal abadi lalu sentiasa bermujahadah untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan sehingga Rasulullah s.a.w mentamsilkan bersedekah tangan kanan, tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan. Tidak pernah terdetik di hati untuk mendapat pujian daripada manusia sekeliling sehingga menyebabkan nilai pahalanya begitu tinggi walaupun jumlah sedekahnya kecil pada penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah dengan jumlah yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pastinya melayakkan mereka di akhirat nanti untuk bersama para hartawan dari kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w.
7) MENGINGATI ALLAH SEHINGGA MENITISKAN AIR MATA
Golongan terakhir ialah insan-insan yang begitu tekun bermuhasabah tentang diri mereka sehingga menitiskan air mata di kala berseorangan. Mereka memikirkan dosa-dosa lampau dan juga betapa banyaknya perintah Allah yang belum tertunai. Si ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat, si peniaga yang teringatkan tipu helahnya dalam melariskan jualan, si anak mengimbau dosa-dosa terhadap kedua ibu bapanya dan pelbagai situasi lagi yang akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir di pipi, semata-mata kerana Allah.

Sumber: http://ustazsyed.blogspot.com/

Pesanan Imam Al-Ghazali

by admin


Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya:
1 – Pertama, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”.

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.
Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran 185)
2 – Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. ” Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu
Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
3 – Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. “Apa yang paling besar di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”
Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al A’araaf 179)
Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .
4 – Pertanyaan keempat adalah, ” Apa yang paling berat di dunia ini?”
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah”
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” ( Surah Al Ahzaab 72 )
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak bisa memegang amanahnya.
5 – Pertanyaan yang kelima adalah, ” Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
6 – Lantas pertanyaan ke enam adalah, ” Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Jalan-Jalan Ke Syurga

by admin


Pada setiap pagi Jumaat, sebelum menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di sebuah kota dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu pagi Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun dengan lebatnya.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya sudah bersedia”
Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa wahai anakku?”.
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi dulu wahai ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”
“Terima kasih Ayah”sambil memeluk dan mencium pipi ayahnya.
Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan waktu itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya itu.
Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun dia gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah tersebut. Apabila sampai sahaja di rumah itu, lantas memberi salam dan ditekannya loceng rumah tersebut. Dia tunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.
Diketuk pula pintu lalu memberi salam, namun sekali lagi tiada jawapan. Bagai ada sesuatu yang memegang tubuhnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi.
Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang lelaki dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang pakcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan pakcik adalah orang yang paling bertuah”.
Dia senyum dan tunduk wajahnya sebagai tanda hormat sebelum melangkah pergi.
“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu wahai anak” dalam nada yang lembut.
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu.”
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah lelaki separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ilmu ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan semua, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Isteri saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini.”
Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila sampai masa saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi terdengar panggilan salam yang amat merdu dari suara anak kecil. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi beserta dengan salam. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada sesiapa pun yang menekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak kecil yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik” itulah kata-kata yang paling indah yang pernah saya dengar”.
“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan yang amat lebat. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asalnya. Saya tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang muslim yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang taat pada yang satu DIA adalah ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan tersesat berada selama-lamanya di dalam neraka”
Tiada satu pun anak mata di masjid waktu itu dalam keadaan kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini adalah Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.
Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang.

Tiada ulasan: