Perisik CIA: NGO mahu lapor polis seluruh negara
Harakahdaily, | 15 Nov 2013 |
Dakwaan itu dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam akuan bersumpah bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim.
"Berdasarkan tuduhan Tun Mahathir yang dinyatakan dalam akuan bersumpah Mat Zain Ibrahim (Bekas Pegawai Kanan Polis), negara mungkin telah dipengaruhi oleh agenda jahat Amerika Syarikat secara terus melalui pejabat AG.
"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, pihak polis harus bertindak segera manakala Tun Mahathir harus tampil memberi penjelasan," kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.
Beliau berkata, laporan polis akan mula dibuat oleh SAMM Pulau Pinang jam 11.00 pagi di Balai Polis Bayan Baru, diikuti oleh SAMM dari negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.
"SAMM juga menyeru orang ramai dan aktivis sekutu turut membuat laporan polis di atas kecelaruan yang dibiarkan ini," katanya.
Beliau juga menegaskan, jika pihak polis masih tidak mahu membuat siasatan, SAMM menyeru semua aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai berkumpul di depan IPD Dang Wangi pada 24 November ini untuk memberi tekanan yang jauh lebih serius.
"SAMM juga tidak menolak kemungkinan antara kecelaruan dan musibah yang berlaku adalah termasuk melibatkan pemalsuan bukti dalam kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktiviti pengintipan ini juga mampu menyebabkan kekalahan Pulau Batu Puteh di mahkamah antarabangsa.
"Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas namun apakah mungkin ia diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat.
"SAMM dalam kenyataan sebelum ini telah mendesak supaya segala aktiviti yang melibatkan pihak Pejabat Peguam Negara (AG) dibekukan segera dan Tan Sri Gani Patail harus diberkas untuk disoal-siasat," katanya.
Pasti, Unit Amal aset berharga PAS
Mohd Sabri Said, | 15 Nov 2013 |
Menurutnya, sejarah membuktikan masyarakat mula 'celik mata' terhadap PAS selepas mengenali pengorbanan pasukan Unit Amal dan menyukai sistem pendidikan dan pendekatan yang diguna pakai di Pasti.
Justeru itu, kejayaan PAS hari ini ada kaitan dengan keaktifan Unit Amal dan Pasti kerana ada setengah pihak mengenali keduanya dahulu sebelum berjinak dengan PAS.
"Jagailah pasukan Unit Amal dan Pasti dengan baik, jangan hampakan rakyat yang telah menaruh harapan terhadapnya. Unit Amal dan PASTI merupakan aset PAS yang berharga," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan 25 tahun Pasti Nurul Iman, Kampung Guar Kepayang, Tasek Gelugor baru-baru ini.
Unit Amal dan Pasti katanya, bukan sahaja terkenal di kalangan orang Islam ataupun penyokong PAS, malah kini sudah menjadi buah mulut masyarakat termasuk bukan Islam kerana sumbangan besar kedua-duanya.
"Ini bererti nama PAS sudah melekat di hati rakyat maka situasi sebegini harus dijagai sebaik mungkin agar tidak berlaku masalah yang akhirnya menjejaskan nama PAS itu sendiri," katanya.
GST dari perspektif Islam
Zaharudin Muhammad, | 15 Nov 2013 |
Islam mempunyai sistem cukainya yang tersendiri. Sumber kepada sistem percukaian Islam ialah al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, ijmak dan kias. Ia telah diturunkan bukan sahaja adil bagi manusia keseluruhan, tetapi ia juga merupakan sistem yang mengstabilkan ekonomi, khususnya keseimbangan antara kuasa modal dan kuasa beli rakyat sebagai penjana produktivi.
Asas Ukuran Keharusan Cukai
Sesuatu hukum dirujuk kepada hukum asal yang telah dinaskan oleh sumber al-Quran dan al-Hadis. Hukum asal berkaitan harta orang lain adalah haram diambil melainkan mempunyai sebab yang dibenarkan syariat. Ini berpandukan kepada firman Allah SWT, bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu."- (An-Nisa’: 29).
Di antara dalil yang lain ialah pesanan Rasulullah sewaktu Haji Wada’ (Haji Selamat Tinggal), antara lain nabi SAW berpesan, bermaksud:
“Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis ini memaksudkan selain daripada zakat dan perkara-perkara yang dinaskan harus atau wajib diambil seperti zakat, yakni zakat bukan milik si pemunya harta bahkan ia adalah milik si fakir, miskin dan asnaf-asnafnya. Begitu juga tidak termasuk isteri atau anak dibawah tanggungannya kerana ia dianggap sebagai seakan-akan sekutu pemilikan. Adapun selainnya, maka ia adalah milik si pemunya dan tidak boleh diambil melainkan degan kerelaannya oleh sesiapapun termasuk kerajaan.
Dan sabda nabi SAW, Maksudnya:
“Apabila mereka melakukan demikian (Islam) maka darah dan harta mereka mereka adalah terpelihara melainkan (harta boleh diambil) dengan cara-cara yagn dibenarkan oleh Islam.” – Riwayat Bukhari.
Di dalam kitab Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari menyebut, zakat adalah salah satu cara pengambilan yang dibenarkan oleh Islam (sekalipun tuannya tidak merestuinya).
Ayat di atas menegaskan memakan harta orang lain adalah haram dan dikategorikan bentuk memakannya adalah batil. Ayat tersebut seterusnya menyenaraikan bentuk pengecualian yang mengharuskan mengambil harta orang, salah satunya ialah perniagaan.
Berdasarkan ayat ini, hukum asal memakan, mengambil dan memiliki harta orang lain tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram sehinggalah ada sebab dan dalil yang diharuskan syariat. Ia berbeza dengan hukum asal makanan, minuman dan bentuk muamalat, di mana hukum asal bagi semua perkara tersebut adalah harus kecuali ada tanda-tanda yang menunjukkan haram.
Justeru, apabila kita bertransaksi atau memakan sesuatu makanan yang tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukum transaksi dan makanan itu adalah halal justeru merujuk kepada hukum asalnya yang harus. Tetapi berbeza dengan pengambilan harta atau wang milik orang, yakni hukum asalnya haram berdasarkan ayat di atas, kecuali ada dalil dan bukti halal. Justeru, apabila kita mengambil wang milik orang, jika tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukumnya adalah haram justeru merujuk kepada hukum asalnya yang haram.
Sebagai contoh, kita boleh mengambil wang RM50,000 daripada Ahmad sebab kita jual kereta kepadanya. Sebab keharusan ialah jual beli (Al-Bai’). Kita boleh ambil wang daripada Ali sebanyak RM10,000 kerana kita membuat ubah suai rumahnya. Sebab keharusan ialah upah (ujrah). Kita boleh mengambil jam milik Ah Chong selepas kita membayarnya wang. Sebab keharusan ialah jual beli. Kita boleh mengambil wang daripada Abu kerana agihan keuntungan perniagaannya yang bermodalkan wang kita. Sebab keharusan ialah pelaburan (Mudharabah).
Apabila kita berjalan dan jumpa wang RM50,000, maka kita tidak boleh mengambilnya kerana tiada jual beli, tiada upahan kerja, tiada pengeluaran modal, tiada sebab-sebab yang membolehkan, maka hukumnya haram diambil dan RM50,000 tersebut dianggap sebagai harta laqatah (barang ciciran).
Maka hendaklah kita bertanya berkenaan GST, apakah sebab yagn membolehkan kerajaan mengambilnya daripada rakyat? Jika tiada sebab ‘sebenar’, maka hukumnya kembali kepada asal, iaitu haram dan termasuk di dalam kategori batil. begitu juga jika pemindahan hak berlaku dengan sebab, tetapi sebab itu tidak diiktiraf oleh Islam, maka ia juga adalah batil. Contohnya seperti pemenang judi yang mengambil bahagian pemain judi yang kalah, sekalipun judi adalah sebab pemindahan milik, tetapi ia tetap dikategorikan sebagai baatil kerana judi itu sekalipun sebab pengambilannya wujud, tetapi ia tidak diiktiraf oleh syarat.
Adakah Hukum Ini Terlaksana Juga Ke Atas Kerajaan Mengambil Wang Rakyat?
Selepas kita memahami bahawa hukum asal harta orang adalah haram kecuali dengan sebab yang dibenarkan syariat, maka persoalan keseterusnya adakah hukum ini terpakai atau terlaksana hanya ke atas individu dengan individu, manakala kerajaan terkecuali dengan dibolehkan ambil harta dan wang poket rakyat berhujahkan maslahah?
Di dalam mazhab ahlu sunnah wal jamaah, hukum ini bukan sahaja terlaksana antara individu dengan individu, tetapi ia juga terlaksana antara kerajaan dengan rakyat. Dalilnya cukup jelas daripada realiti berikut:
1. Pesanan nabi kepada Muaz bin Jabal sewaktu beliau diutuskan ke Yaman sebagai Gabenor. Baginda memberikan pesanan kepada beliau dengann kata-kata berbunyi: "Awasilah harta-harta suci yang dimiliki oleh orang Yaman”. Harta-harta suci yang dimaksudkan ialah harta yang dimiliki bukan bahagian zakat atau jizyah. Dalam riwayat Bukhari menyebut dengan lafaz: takutilah (daripada mengambil) harta-harta mereka yang suci.
2. Arahan Umar Abdul Aziz (Khalifah dari tahun 99H-101H) kepada semua gabenor supaya menghapuskan semua cukai kecuali ia mempunya nas daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Cukai-cukai zalim ini telah dikenakan sebelum ini khususnya pada zaman Hajjaj Yusof At-Thaqafi yang terkenal dengan kezaliman pemerintahannya di Syam, Iraq, Mekah dan Madinah dari tahun 70H – 95H.
Di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan Imam Ibnu Kathir menceritakan, tatkala Saidina Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau memerangani pemimpin-pemimpin zalim sebelumnya yang telah mengenakan pelbagai cukai kepada rakyat. Antara salsilah pemerintah sebelum ini yang sangat dibenci oleh Umar Abdul Aziz ialah Yazid bin Mahlab, iaitu ipar kepada Hajjaj bin Yusof As-Thaqafi. Yazid bin Mahlab telah ditangkap oleh Adi bin Arthoh dan menyifatkan Yazid dan keluarganya (Mahlab dan Hajjaj) sebagai: “Mereka adalah pemerintah kuku besi dan aku bencikan mereka”. Saidina Umar Abdul Aziz memerintahkan supaya Yazid dipenjarakan sehingga semua harta orang ramai yang dikutip sebelum ini dikembalikan semula. (Al-Bidayah: m/s666). Pernah anak kepada Yazid bernama Makhlad meminta kelonggaran hukuman untuk ayahnya Yazid, tetapi Umar bertegas menyatakan bahawa ia tidak akan meringankan hukuman sehingga Yazid menyerahkan semua harta rakyat.
Begitu juga Saidina Umar Abdul Aziz telah menghantar kepada Gabenor Khurasan Al-Jarah bin Al-Hukmi yang telah mengenakan cukai Jizyah ke atas non-muslim yang telah memeluk Islam dengan alasan mereka memeluk Islam kerana ingin lari daripada Jizyah. Saidina Umar Abdul Aziz memecat Gabenor tersebut dengan menulis, maksudnya:
“Sesunggunyanya Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pendakwah bukan sebagai pengutip cukai.”
Di dalam satu riwayat yang lain, Saidina Umar juga memerangi Gabenor di Mesir yang telah mengenakan cukai pelabuhan dan mempertikaikan tindakan Umar Abdul Aziz untuk menghapuskan semua cukai yang tiada nas.
Itulah antara sebab menjadi ‘purchasing power’ rakyat pada zaman Umar Abdul Aziz meningkat, seterusnya memenuhi Baitul Mal. Kesannya tiada lagi penerima zakat dan pemberian selepas itu sehingga harta melimpah ruah. Velocity of Money terbaik berbanding sistem-sistem yang lain daripada Islam.
Itu antara contoh tindakan dan pendirian Khulafa ar-raasyidun yang diiktiraf oleh nabi sebagai ikutan (perbuatan mereka adalah hujah), tidak mengenakan cukai-cukai yang tidak dinaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Semua dalil di atas adalah berkait dengan kerajaan mengambil wang rakyat. Jika pengharaman memakan harta orang lain tanpa sebab hanya diharamkan ke atas individu dan bukan kerajaan, nescaya kisah di atas tidak akan timbul dalam sejarah.
Apabila kita meneliti pendapat yang mengharuskan pengambilan harta rakyat tanpa bersumberkan kepada nas, kita dapati mereka keliru antara pendapat ahlu sunnah wal jamaah dan syiah. Ya, sebahagian syiah membenarkan pemimpin-pemimpin mereka mengambil harta rakyat sekalipun tanpa sebab kerana fiqh mereka bersumberkan akidah bahawa Imam (pemimpin) adalah maksum. Berbeza dengan Ahlu Sunnah wal jamaah, yakni akidah kita pemimpin tidak maksum, maka pemimpin tidak boleh mengambill harta orang lain tanpa sebab dan berasaskan maslahah akal semata-mata tanpa dipandu oleh nas.
Tuntasnya, hujah maslahah seterusnya membolehkan pemimpin negara mengutip wang rakyat sesuka maslahah, maka itu adalah amalan dalam fiqh syiah, bukan fiqh sunni.
Kenapa Kaedah Fiqh Tidak Boleh Dijadikan Hujah Dalam Isu Ini?
Antara hujah yang agak masyhur digunapakai oleh gologan yang membolehkan kutipan cukai sesuka hati ialah kaedah yang berbunyi (maksudnya):
“Tindakan pemimpin terhadap rakyat adalah berdasarkan maslahah.”
Golongan yang berhujahkan dengan kaedah ini melakukan kesilapan dari tiga sudut:
1. Dari segi mengguna pakai kaedah di tempat yang ada nas yang terang.
2. Kaedah bukan hujah, tetapi ia adalah garis panduan memahami nas dan hukum furu'. Oleh itu, kaedah hanya digunapakai ditempat yang tiada nas bukan ditempat yang berlawanan dengan nas.
3. Golongan yang mengguna pakai kaedah tadi bagi mengharuskan tindakan pemimpin mengutip cukai seolah-olah memahami bahawa kaedah tersebut bermaksud: 'tindakan pemimpin negara semuanya adalah demi maslahah' walhal sudut kaedah tersebut ialah tindakan pemimpin mestilah dipandu oleh maslahah, jika tidak, maka ia tidak boleh dilaksanakan.
Adakah Darurat Membolehkan Kutipan Cukai?
Dari segi hukum, boleh dikatakan ijmak ulama terdahulu mengenakan cukai ke atas rakyat tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram. Persoalan yang tinggal ialah, adakah darurat boleh mengharuskan cukai dikutip?
Pertamanya, maksud difahami maksud dan makna darurat. Darurat bermaksud sesuatu yang tanpanya akan menyebabkan manusia hilang agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Jika tidak sampai ke tahap itu, maka ia bukan darurat membolehkan kutipan cukai yang haram. dengan maksud lain, jika setakat ingin menambahkan pendapatan negara, maka ia bukan darurat yang dimaksudkan syariat.
Jika kita perhatikan, kutipan GST bukan bagi menampung sesuatu keperluan darurat yang dimaksudkan oleh Syariat, bahkan ia lebih bersifat memenuhi dan menampung keperluan sistem konvensional, di mana sistem itu sendiri adalah bercanggah dengan Islam kerana bersifat ‘memusingkan harta sesama golongan kaya’.
Darurat yang di maksudkan syariat seperti negara yang sedang terdesak untuk dapatkan wang membeli senjata bagi mempertahankan negara yang sedang diserang oleh musuh seperti berlaku pertembungan antara Sultan Mamalik dengan Imam Nawawi untuk kenakan cukai ke atas rakyat justeru Mesir pada masa itu berada pada saat genting justeru hendak diserang oleh tentera Monggol yang tidak terkalah.
Dalam keadaan darurat perang beginipun masih lagi berlaku khilaf dalam kalangan ulama adakah cukai yang tidak bersumberkan nas boleh dikutip?
Al-Dhohhak dan lain-lain berpendapat, cukai tidak harus dikenakan dalam apa keadaan sekalipun, manakala imam Juwaini, Al-Ghazali dan lain-lain berpendapat harus mengenakan cukai bagi keperluan-keperluan tertentu (darurat).
Jika diperhatikan khilaf ini, ia sebenarnya khilaf dari sudut keadaan dan suasana, bukan khilaf dari sudut dalil dan nas. Khilaf ini kita dapat simpulkan bahawa, jika zakat dan sumber lain mencukupi, maka ulama bersepakat bahawa cukai tidak harus dikutip daripada rakyat. Khilaf hanya berlaku jika sistem cukai Islam sumber lain tidak mengcukupi untuk keperluan Negara.
Bagi pendapat yang menyatakan harus mengutip cukai darurat, mereka telah meletakkan syarat-syarat yang mengharuskan kutipan cukai. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1.Negara mestilah berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, negara mestilah menjalankan sistem ekonomi Islam termasuk sistem percukaian Islam sepenuhnya seperti zakat sebagai sistem cukai utama Negara.
2.Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
3.Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat dan keperluan rakyat.
4.Meminimakan seboleh mungkin tekanan terhadap individu rakyat dengan cara-cara yang selain cukai. Oleh itu, sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan disarankan supaya mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat memberikan derma dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
5.Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan profesional berkait dengan isu tertentu.
6.Cukai hendaklah dikenakan ke atas orang-orang yang kaya sahaja dan ia langsung tidak harus dikenakan ke atas orang-orang miskin.
7.Cukai hendaklah dalam bentuk sementara. Ia akan terhapus dengan hilangnya hajat dan keperluan. Cukai tidak boleh dikenakan secara berterusan dan dijadikan pendapatan utama berbanding zakat.
8.Wajib meraikan keadilan di dalam perwartaannya dan pemungutannya. Maka kadarnya hendaklah sekadar keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengutip cukai lebih daripada rakyat.
Sebahagian ulama seperti Imam Nawawi meletakkan syarat bahawa cukai apabila dikatakan darurat dan perlu, maka hendaklah terlebih dahulu ia dibayar oleh pemimpin tertinggi, jika tidak cukup maka ia baru diturunkan ke bawah dan ke bawah, tetapi tidak boleh sampai dikutip daripada golongan miskin. Beliau berkata kepada Sultan Zaher Bebrus: “Aku tahu bahawa engkau dulunya seorang hamba kepada Gabenor di Bendaqar dan engkau tiada harta satu pun. Kemudian Allah memberi peluang kepada engkau dengan diberikan pangkat raja. Aku dengar engkau mempunyai seramai 1,000 hamba dan setiap hamba tali pengikat kuda disaluti emas. Engkau ada 200 hamba perempuan dan setiap seorangnya ada emas. Apabila engkau keluarkan semua itu (sebagai pembayaran cukai) sehingga hamba-hamba engkau memiliki baju daripada kapas biasa berbanding memiliki perhiasan emas seperti sekarang, maka baru aku fatwakan engkau harus mengambil cukai daripada orang ramai.” – Al-Bidayah Wa An-Nihayah.
Kesimpulan Dan Penutup Dari sini kita dapat simpulkan hukum cukai moden adalah haram menurut Islam berdasarkan sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Sebagai seorang muslim (sama ada dalam bentuk individu atau kerajaan) tidak sepatutnya mengambil harta orang lain melainkan tempat-tempat dan keadaan yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas dan dalil-dalil syarak.
Cara ini adalah cara-cara sistem ekonomi yang sama sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Khulafa Ar-Raasyidin seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Osman dan Saidina Ali, di samping cara Saidina Umar Abdul Aziz di atas.
Hari ini ada pemimpin yang cuba menonjolkan mereka juga adil seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Persoalanya, adakah mereka memahami bagaimana cara pemerintahan beliau? Sebagaimana pepatah arab menyebut: “Kamu mahukan kejayaan sedangkan kamu tidak melalui jalannya. Sesungguhnya kapal tidak akan berjalan di atas daratan.”
Bermaksud, jika anda mengkagumi keadilan Umar Abdul Aziz dan gah dengan Baitulmalnya melimpah ruah. Kemudiannya anda melaksanakan cara yang bukan ekonomi Islam yang telah ditelusuri oleh Saidina Umar Abdul Aziz, maka mustahil keadilan yagn sama akan terlaksana.
S'gor teruskan bantuan Skim Tunas - Dr Halimah
Saidah Hairan, | 15 Nov 2013 |
SHAH ALAM: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk meneruskan Skim bantuan tadika Selangor (Tunas) bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah menghantar anak ke tadika.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan, Dr Halimah Ali berharap semua pihak pengurusan Tadika perlu segera mendaftarkan pelajar yang pendapatan keluarga mereka di bawah RM3,000 sebulan.
Ini kerana katanya, mulai Januari tahun depan bantuan Tunas sebanyak RM50 akan dibayar terus kepada Tadika yang berdaftar dengan Majlis Pemuafakatan Tadika Selangor (MPTS).
"Mulai Januari tahun depan kita akan bayar terus kepada tadika. Kita tidak mahu menyusahkan tadika. Kita hendak bantu penduduk yang kurang berkemampuan untuk hantar anak ke tadika," katanya.
Berucap ketika menyampaikan replika cek RM1,515,595 kepada Pengerusi MPTS, Prof Madya Dr Supyan Hussin katanya, tiada alasan bagi ibu bapa yang kurang kemampuan untuk menghantar anak mereka ke tadika.
Pada tahun 2013 seramai 3,071 orang pelajar layak menerima bantuan Tunas dan tahun 2014 kerajaan telah meningkatkan keluarga yang layak menerima Tunas mereka yang berpendapatan RM3,000 kebawah.
Skim Tunas kata beliau merupakan bantuan pendidikan kepada seluruh tadika yang berdaftar di bawah Tadika Pemuafakatan Selangor dan terbuka sama ada tadika di negeri Selangor dan Pusat.
Bagaimanapun katanya, Tadika Perpaduan dan Kemas dihalang untuk mendapat bantuan daripada Skim Tunas.
Di samping itu beliau turut menekankan tentang pemberian Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang merupakan perancangan panjang kerajaan Pakatan Rakyat terhadap pendidikan anak-anak Selangor.
Katanya, lahir sahaja bayi sudah ada duit dalam Tawas sebanyak RM100 dan duit tersebut boleh diambil ketika mereka berusia 18 tahun, maknanya mereka sudah ada simpanan sebanyak RM1,800.
Beliau berkata, Tunas, Tawas serta hadiah kepada pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke IPTA sebanyak RM1,000 merupakan program merakyatkan ilmu dikalangan rakyat negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan