Selasa, 12 November 2013

BAHAYA....PARTI YANG DIDOKONG PARTI ISLAM....TAPI TAK JAGA AKHLAK ISLAM....TENTU ADA SEKERU2 YANG DAH LONGGAR

Rakyat tanya Zahid, mana projek UiTM Bagan Datoh?

Harakahdaily, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS Perak sekali lagi mendedahkan rungutan rakyat di kawasan Parlimen Bagan Datoh mengenai pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Koordinatornya, Salman Saleh (gambar) berkata, ini kerana pengumuman bagi pembinaan UiTM dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada bulan Mei 2010 lalu.

Katanya, UiTM yang dikatakan akan membuka sebuah lagi kampus cawangan yang ketiga di Perak iaitu di Bagan Datoh selepas kampus di Seri Iskandar dan Tapah telah menghampiri penghujung tahun 2013 dan masih belum ada tanda-tanda pembangunannya di sana.

“Kami difahamkan projek yang menelan belanja RM250 juta yang terletak di kawasan seluas 40 hektar itu dan ianya dijangka siap pada tahun 2013 serta  bakal menempatkan kira-kira 5,000 pelajar kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengumuman Zahid tersebut memberikan tanda tanya rakyat adakah ia akan bakal dibina.

Menurutnya, jika sebelum ini projek Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut menjadi persoalan dan rungutan rakyat Parlimen Bagan Datoh, kini isu projek UiTM pula telah acap kali diperkatakan oleh mereka.

“Adakah ianya masih di peringkat kajian lagi pembinaannya? Telah adakah tapak yang sesuai seperti mana tapak projek MRSM yang masih belum kelihatan?” tanya beliau.

Salman berkata, pihaknya melihat projek UiTM itu bukan sahaja sebagai wadah anak Bumiputera mendapatkan pendidikan tinggi terutamanya di Bagan Datoh, tetapi sebagai mercu tanda baru yang selama ini mundur dan tidak membangun walaupun ahli parlimennya Menteri Dalam Negeri dan sebelum ini sebagai Menteri Pertahanan.

Malah, ujarnya dengan kedudukan Zahid sebagai Naib Presiden Umno juga dilihat gagal membangunkan Bagan Datoh yang masih belum menemui ‘sentuhan’ yang diharapkan oleh penduduk yang selama ini mengharapkan ‘sinar’ yang cerah.

Jangan politikkan, aedes tak kenal ahli politik

Selangor Kini, 11 Nov 2013
SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan masalah demam denggi yang melanda Selangor.

Bercakap pada pelancaran program Strategi Mobilisasi Sosial dan Komunikasi (COMBI) anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beliau berkata, isu kesihatan tidak wajar dipolitikkan.

“Nyamuk Aedes tidak mengenal sama ada anda ahli PKR, MCA atau mana-mana politik. Ia boleh terkena pada sesiapa jua jika masyarakat tidak mengutamakan pencegahannya,” katanya.

Beliau berkata, pencegahan demam denggi penting kerana tiada satu sistem imunisasi bagi mengatasi wabak itu, berbeza dengan beberapa penyakit lain yang ada suntikan untuk meningkatkan imunisasi manusia.

Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menunjukkan sebanyak 11,498 kes dilapor setakat 5 Oktober lalu, meningkat 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatat tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012.

Sebanyak 230 lokaliti wabak dilapor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) daripadanya di Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di Gombak.

Jabatan itu menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti hotspot atau wabak berlarutan di Selangor.

Kes NFC: Shahrizat gugur saman RM100 juta

Harakahdaily, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK Selangor) hari ini menganggap tindakan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang menggugurkan saman bernilai RM100 juta kepada Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebagai bukti semangat keadilan untuk rakyat.

“Perkara ini jelas menunjukkan segala penat lelah dua pemimpin PKR ini dibantu oleh daya penggerak parti, badan NGO dan rakyat untuk membongkar penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC) mendapat kemenangan yang lebih besar,” ujar ketuanya, Azmizam Zaman Huri.

Katanya, AMK Selangor percaya pengguguran saman itu sebagai satu amaran kepada mana-mana individu yang mengamalkan rasuah serta penyelewengan untuk tidak semberono mengancam untuk menyaman pihak yang membongkar aktiviti mereka kerana segalanya yang dilakukan adalah untuk keadilan rakyat.

Tambahnya, individu dari parti, atau NGO ataupun rakyat perseorangan yang tampil membongkar aktiviti penyalahgunaan kuasa serta rasuah selalunya mempunyai maklumat mencukupi dan prosedur yang betul sebelum membuat tindakan.

Menurutnya lagi, AMK Selangor juga yakin, peristiwa itu memberi kekuatan kepada semua pihak untuk terus menggempur gejala rasuah yang membarah, dan yakin sekiranya undang-undang dijalankan dengan jujur, maka tiada individu yang kebal dari dihadapkan ke pengadilan.

“Justeru, tidak perlu wujud istilah takut terutama kepada anak muda seluruh tanahair yang masih terus cekal memperjuangkan tatakelola negara yang lebih baik. Keadilan untuk rakyat mesti terus dilaksanakan,” ujanya yang juga Naib Ketua AMK Malaysia.

Kabinet belum putus siaran langsung prosiding PAC

Harakahdaily, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan agar prosiding mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disiar secara langsung oleh RTM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, kabinet bagaimanapun telah dimaklumkan perkara itu namun belum membuat keputusan.

"Kabinet telah dimaklumkan berhubung prosiding PAC dibuat secara live, tetapi belum membuat apa-apa keputusan.

"Menteri Penerangan juga telah menjelaskan bahawa pihaknya tidak ada masalah.

"Tetapi perkara ini perlu kepada kelulusan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum boleh dilaksanakan," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menanyakan keputusan kerajaan berhubung perkara itu yang telah dicadangkan beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, jika tiada halangan di pihak kerajaan, maka satu usul segera perlu dibentangkan bagi meminda peraturan mesyuarat agar ianya boleh segera dilaksanakan, dan Pakatan Rakyat sedia menyokong usul tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohamad Yusoff turut bertanya kepada kerajaan berhubung langkah yang diambil bagi menangani masalah ketirisan dana negara seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Mengulas perkara itu, Shahidan berkata, pihak kerajaan telah mengambil pendekatan mwngenakan tindakan tatatertib kepada pegawai kerajaan yang terlibat termasuk dengan memberi amaran, gantung dan buang kerja.

Bagaimanapun katanya, kes-kes yang membabitkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diserahkan sepenuhnya kepada suruhanjaya iti untuk membuat tindakan lanjut.

Berhubung persoalan kenapa laporan kewangan Petronas tidak dibentang dalam Parlimen pula, beliau hanya berkata akan memberi jawapan secara bertulis kepada Siti Zailah.

MP Sekijang mohon maaf kepada Mazlan

Hazayani Zakaria, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Anuar Abdul Manap (gambar) hari ini membuat permohonan maaf di mahkamah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang dan seorang lagi defendan iaitu Ketua Penerangan MBFM Kelantan Wan Zawawi Wan Zain membuat permohonan maaf di hadapan Hakim Rusila Yup setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Mereka menarik balik kenyataan yang menuduh Mazlan Mazlan menyelewengkan wang RM30,000 yang dimenangi peneroka Felda Kemahang 3.

Mereka menuduh juga Mazlan sebagai penakut, pembohong, tidak bermaruah kerana dari jenis tidak tahu malu dan tidak jujur kerana menyelewengkan wang RM30,000.

Selain menarik balik kenyataan tersebut, mereka juga bersetuju untuk membayar ganti jumlah dalam jumlah yang akan ditentukan kemudian.

Kenyataan itu dikeluarkan Anuar ketika berucap di hadapan Wisma Felda, Jalan Semarak, dekat sini, pada 28 Disember tahun lalu.

Ekoran kenyataan itu, Mazlan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu dan perbicaraannya bermula hari ini.

"Saya sangat berasa malu dengan tuduhan tersebut sebab itu saya kemukakan saman.

"Tapi hari ini nama baik dan reputasi saya dibersihkan di mahkamah dan saya sangat bersyukur dengan keputusan ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Kes Felda Kemahang 3, Tanah Merah ialah 354 peneroka menyaman Felda Palm Industries Sdn. Bhd. kerana menipu bawah (KPG) dalam urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka itu pada 22 September 2002 melalui peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada peguamnya Harris Abdullah, Mazlan berkata beliau langsung tidak berniat hendak bermusuh dengan MBFM sebaliknya mengalu-alukan sebarang kerjasama yang boleh menambah baik kehidupan peneroka Felda.

"Saya harap dengan keputusan mahkamah ini saya dan Majlis Felda boleh duduk semeja membincangkan isu-isu Felda.

"Bagi saya musuh yang sebenar ialah mereka yang mengambil kesempatan ke atas peneroka.

"Kenapa ada di kalangan anak-anak peneroka menjadi mangsa kepada sikap piahk yang mementingkan poket mereka ini?

"Saya mahu duduk semeja berbincang mengenai isu-isu Felda dengan MBFM mengenai isu rumah generasi kedua, pemilikan tanah dan sebagainya," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan juga menyifatkan kemenangan hari ini sebagai kejayaan berganda selepas menang saman malu bernilai RM380,000 ke atas kerajaan pada 25 Oktober lalu.

Mahkamah Tinggi Pahang memutuskan kerajaan perlu membayar ganti rugi am RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, ganti rugi kos RM20,000 dan faedah penghakiman ke atas RM350,000 sebanyak lapan peratus bermula dari tarikh saman dimulakan pada 18 Ogos 2010.

"Saya anggap kejayaan hari ini sebagai kejayaan yang sangat besar bagi saya dan Anak dan saya merakamkan penghargaan kepada peguam Harris dan Wan Rohimi serta rakan-rakan seperjuangan," katanya.

Kempen tidak beretika bukan akhlak PAS

Muhammad Faizal, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegur tindakan sesetengah pihak yang melakukan provokasi yang dapat menimbulkan ketegangan pada pemilihan PAS.

Jelasnya, tindakan melabelkan gambar seseorang individu menggunakan anjing adalah tidak beretika dan khianat bukannya dari akhlak PAS sebenar.

Sinar Harian Online semalam melaporkan terdapat kempen berbaur hasutan bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS.

"Saya fikir itu bukan dari kita dalam PAS, ia dilihat sebagai satu provokasi yang cuba mengganggu pemilihan PAS nanti.

"Orang yang cuba khianat, saya kecam tindakan tersebut dan saya yakin ini bukan kerja orang dalam. Mana-mana individu yang saya temui turut membantah tindakan tersebut," jelasnya di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau turut meminta agar mereka yang dicalonkan serta penyokong menggunakan etika kebebasan berkempen dengan lebih baik dan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh parti.

Dalam masa yang sama Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia itu turut mengalu-alukan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Pemuda PAS yang baginya merupakan satu konsep amalan demokrasi.

Tambah beliau, PAS sentiasa mencari pendekatan untuk menarik mereka yang masih bersimpati dengan Umno untuk kembali memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Khairil Nizam dipilih Ketua Pemuda PAS Wilayah

Harakahdaily, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ir Khairil Nizam Khirudin dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sesi 2013-2013 pada muktamar dewan itu, semalam.

Manakala jawatan bagi Timbalan dan Naib Ketua Pemuda diamanahkan kepada Nurul Islam Mohamed Yusoff dan Ustaz Mohd Farkhan Md Zin.

Muktamar yang diadakan di Dewan Kohilal, Diamond Square telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ketua sesi lalu, Kamaruzaman Mohamad melepaskan jawatan kerana faktor usia.

Beliau yang berucap pada muktamar itu menyeru para perwakilan menjadikan pergerakan pemuda tersusun dan mematuhi setiap arahan pimpinan agar gerak kerja yang dirancang dan disusun berjalan dengan lancar.

Khairil Nizam pula dalam ucapan penggulungan berharap para perwakilan untuk sama-sama memperkemaskan saf Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan demi memastikan pemuda bergerak selari dengan 3 unsur penting iaitu tarbiyah, dakwah dan siyasah.

Awas jarum musuh dalam kempen pemilihan PAS

Harakahdaily, 11 Nov 2013


ANALISIS: Menjelang pemilihan PAS kali ini, akhbar-akhbar media perdana akan memberikan ruang yang secukupnya untuk melagakan pihak-pihak yang bertanding sempena Muktamar Tahunan PAS ke-59 kali ini.

Akhbar milik Umno seperti Utusan Malaysia yang terkenal dengan kes kalah saman fitnah, sikap tegasnya menolak hukum Allah dan pernah menuduh PAS parti sesat serta menghina ulama seperti Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tiba-tiba menjadi akhbar yang sayangkan PAS apabila membuat liputan bersungguh-sungguh terhadap pemilihan kali ini.

Begitu juga akhbar milik MCA seperti The Star yang sebelum ini mengambil setiap peluang untuk menakut-nakutkan bukan Islam kepada PAS, tiba-tiba dilihat cuba mempromosi PAS pula.

Para calon yang sedang bertanding dinasihatkan berhati-hati dengan taktik dan soalan yang diberikan akhbar-akhbar ini. Kesemua tulisan mereka untuk memuji mahupun mengkritik seseorang sebenarnya sudah dimasukkan jarum untuk memecahkan PAS.

Jangan pula ada ahli PAS yang menggunakan kemunculan berita seseorang calon di akhbar-akhbar media perdana sebagai bahan untuk memfitnahnya bahawa calon adalah pilihan Umno mahupun MCA yang perlu ditolak.

Calon-calon yang bertanding perlu lebih bijak menghadapi media, manakala para penyokong mana-mana calon diminta mempertingkatkan ilmu politik supaya tidak terperangkap dengan mana-mana tulisan akhbar musuh.

Ingatlah, media perdana yang dikawal Umno dan MCA ini sememangnya ditugaskan untuk memasukkan jarum yang membawa kehancuran PAS. Semua ahli PAS, perwakilan dan pemimpin harus sama-sama menghalang parti terkena jarum beracun ini.

Oleh itu, sokongan mana-mana akhbar perdana kepada mana-mana calon tidak seharusnya dijadikan senjata untuk menyerang calon kerana ia adalah di luar kawalan calon, melainkan calon sendiri memberikan ruang kepada akhbar musuh untuk memasukkan jarum.

Mohamad bantu Presiden lebar pengaruh PAS

Salmiyah Harun, 11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kali ini sebagai usaha bagi membantu Presiden mengembangkan pengaruh PAS kepada bukan ahli PAS.

Katanya, usaha ini termasuklah membantu mendekatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan badan bukan kerajaan di kalangan bukan Melayu seperti kaum Cina, India dan sebagainya.

"Kita bantu Presiden kembangkan pengaruh PAS kepada orang yang bukan ahli PAS, terutama di kalangan orang Melayu dan Ngo seperti Suaram, Aliran, MTUC, Kesatuan Sekerja, dan banyak lagi.

"Secara tidak langsung, ia membawa pengaruh PAS ke dalam masyarakat supaya mereka terus menyokong PAS dan Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan katanya, usaha menarik orang Melayu untuk terus menyokong PAS disifatkan sebagai kerja yang berterusan.

Pemilihan PAS pada Muktamar Tahunan Ke-59 yang akan berlangsung pada 22 November ini menyaksikan pertandingan dua penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden PAS.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah bertanding jawatan itu selepas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musan dan Salahuddin Ayub menarik diri bertanding jawatan itu.

Ustaz Awang Dagang yang saya kenali

Nik Muhammad Nasri Nik Malek, 11 Nov 2013
Rombongan Dewan Harian PAS Kemaman dalam perjalanan pulang dengan van PAS Kawasan Kemaman dari Liqa Fikri di KUDQI Kubang Lembik ketika berita diterima sekitar jam 11.30 malam, Jumaat (8 Nov) malam Sabtu bahawa mantan YDP PAS Kemaman Ustaz Awang Dagang baharu sahaja meninggal.

2 hari sebelum itu, belaiu menelefon saya bertanyakan beberapa botol minyak angin tertentu untuk disapu pada badannya. Katanya sambil berseloroh: "Boleh tahan sikit pakai minyak angin ni, kalau ada yang lain beritahulah boleh beli..."

Saya kenal almarhum semenjak kecil sebenarnya. Kebetulan keluarga saya tinggal di belakang rumahnya di Kampung Injin Gergaji sekitar tahun 1970-an. Saya masih kecil ketika itu. Agak takut dengan almarhum. Namun saya biasa ke rumahnya bermain dengan Jazlan, salah seorang anaknya yang tidak jauh umurnya dengan saya.

Ibu beritahu bahawa almarhum seorang yang rajin belajar. Lepas solat Subuh, dia terus menuju ke rumah almarhum datuk saya, Haji Wan Harun bin Husin yang juga antara imam masjid di Cukai waktu itu. Beliau banyak belajar agama dari almarhum datuk saya selain guru-gurunya yang lain. Beliau juga banyak membaca buku.

Ketika meningkat remaja, saya selalu mendengar ceramah almarhum. Antara penceramah yang selalu datang ke Kemaman berceramah politik ialah Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Datuk Mustafa Ali, Haji Harun Jusoh, Datuk Wan Mutalib Embong dan lain-lain penceramah ketika itu.

Antara ‘modal’ ceramahnya yang biasa disebut: "Kalau mengaji kitab kuning tu bab Aqidah, Sifat 20, sampai lebu (hancur) kulit, boleh hafal se-se (satu persatu), tapi bila sampai bab laksana Islam, tok leh selalu, macamlah Allah Taala dok reti sedangkan mengaji sifat wajib Allah ialah al-Ilmu (tahu)".

Selepas mengembara mencari ilmu, saya pulang ke Kemaman pada tahun 2000. PAS Terengganu baharu sahaja menang dalam PRU 1999. Almarhum menang mengalahkan Tan Sri Wan Mokhtar, MB Terengganu. Beliau digelar ‘giant-killer’. Beliau dilantik menjadi Exco Kerajaan PAS Terengganu. Almarhum mengajar agama di banyak tempat. Ketika beliau sibuk menjalankan tanggungjawab Exco, saya menawarkan diri membantu meringankan tugas mengajar beliau. Saya mengambil tempat menggantikan beliau mengajar di beberapa tempat sekitar Kemaman. Tiada maksud lain, melainkan membantu dalam perjuangan Islam.

Ketika almarhum baharu sahaja keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu beberapa lama sebelum meninggal, kesihatannya sudah agak menurun. Saya diminta menggantikan tempat mengajar beliau di Balai Istiqamah di sebelah rumahnya pada pagi Jumaat. Saya sempat 4-5 kali mengajar sebelum beliau kembali ke rahmatullah.

Di atas kubur, salah seorang anaknya menyebut: "Ayah dah suka dah walaupun telah pergi. Balai Istiqamahnya hidup kembali, ada orang nak mengajar".’

Bukan sahaja tempat mengajarnya dinamakan Balai Istiqamah, beliau juga istiqamah dengan perjuangan Islam dalam PAS. Belaiu menjadi YDP PAS Kemaman agak lama. Senang dan susah bersama PAS. Jasa beliau sangat besar buat PAS Kemaman dan Terengganu.

Mudah-mudahan Allah merahmatinya dan meletakkannya bersama golongan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solehin.

Lampiran:

Berikut ialah wawancara yang pernah saya buat dengannya ketika PAS Kemaman menyambut Jubli Emas PAS Kemaman:

Jubli Emas PAS Kemaman: Biodata ‘Giant Killer’

Saya mewancara mantan YDP PAS Kawasan Kemaman Paling Lama (1974-89, 1993-2006) bagi tujuan pameran sempena Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman di rumahnya di Kampung Injin Gergaji awal pagi 7 Okt 2010. Beliau digelar ‘Giant Killer’ selepas mengalahkan bekas MB Terengganu Wan Mokhtar dalam PRU 1999. Ketika saya kecil, keluarga saya tinggal di belakang rumahnya. Waktu itu saya rapat dengan anaknya Jazlan yang agak sebaya dengan saya. Tak sangka, selepas puluhan tahun, saya yang mewancaranya untuk diabadikan biodatanya sempena Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman ini. Moga biodata dan pengalaman beliau dapat menjadi motivasi kepada generasi muda yang baharu mengenali PAS khususnya di Kemaman.

Nama Penuh: Awang Dagang bin Yusof

Tarikh Lahir: 14 Feb 1934

Nama isteri: Khatijah bt Awang Saman dan Hjh Hasmah bt Arifin

Anak-anak: 1952-Azizah, 1953-Maznah (meninggal dunia 2009), 1955-Nordin, 1957-Hasnah, 1958-Mahyudin, 1960-Fatimah, 1961-Zubaidah, 1965-Jazlan, 1966-Nasriah, Muhamad Furqan, Abdul Hadi, Siti Arma.

Persekolahan:

1945-48 Sekolah Melayu Kerteh

1948-49 Sekolah Pondok Bachok

1949-50 Madrasatul Falah (sekarang Sekolah Agama Al-Falah)

1952-60 Mengaji kitab dengan almarhum Hj Wan Harun bin Husain (datuk kepada Ust Nik Nasri)

1959-60 Mengaji kitab dengan TG Hj Hasbulah (anak murid Tok Kenali) Pondok Kg Buk, Ketereh, Jalan Kuala Krai, Kelantan.

Pengalaman Parti:

Mengikuti perkembangan parti mulai tahun 1954 dan menjadi ahli rasmi PAS pada tahun 1959

Menjadi JK Cawangan (sekarang Kawasan) sebagai JK Pemuda pada tahun 1960

1966- Timbalan YDP PAS Cawangan Kijal (sekarang Kawasan Kemaman) merangkap ketua PAS Ranting Ibok (sekarang cawangan)

1974- YDP PAS Kawasan Kemaman.  Dalama msa yang sama menjadi guru agama Polis Daerah Kemaman, pegawai Seranta Tabung Haji. Dilantik menjadi guru agama dalam kapal haji dan di Mekah.

1975- Menerima pingat PJK

1999- Menang PRU10 Dun Cukai mengalahkan Dato Amar DiRaja Wan Mokhtar yang lama menjadi MB Terengganu. Disebut ketika itu ‘Giant Killer’. Dilantik menjadi EXCO Kerajaan Negeri dan memegang Pengerusi portfolio JK  Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum. Pernah memegang jawatan AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan AJK Dewan Ulama.

Aktiviti sepanjang hidup ialah mengajar agama mulai 1956 dan penceramah politik PAS mulai 1966

Pengalaman kerja peribadi: Pernah dilantik sebagai Master Capital of National Museum (Kepala Tukang Bahagian Seni Muzium Nasional (sekarang Muzium Negara) di bawah Pengarah Muzium Hj Abdul Mubin Shepard selama 2 tahun iaitu tahun 1959-61.

Pesanan dari Mantan YDP Sempena Sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman 7-9 Okt 2010:

“Kita mengharapkan sahabat-sahabat  dalam perjuangan terus Istiqamah, yakin dengan perjuangan ini, tolonglah agama Allah, Allah akan tolong kita.”

(Wawancara Ustaz Nik Nasri, Ketua Unit Pameran & Arkib Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman 2010 dengan Ust Awang Dagang 7.30 pagi 7 Okt 2010) Penulis ialah Timbalan YDP PAS Kawasan Kemaman sesi 2013-2015.

Tiada ulasan: