Khamis, 21 November 2013

HUKUM FEQAH ITU HIDUP....JIKA ADA RASULLULLAH SAW...RASULLULAH SAW NAK MASUK BAHAGIAN ULAMAK KE ATAU SEBALIKNYA....KATA SYAIDINA UMAR R.A....JIKA NAK LANTIK PEMIMPIN LANTIKLAH ORANG MAHIR BIDANG FEQAHNYA MANAKALA KATA RASULLULLAH SAW LANTIKLAH ORANG YANG PALING TAQWA ANTARA KAMU WALAUPUN HITAM LEGAM....DASAR POKOKNYA ADALAH QURAN DAN HADIS

Usul Ulamak: Kaji tahaluf perkukuh Pakatan

Harakahdaily, 21 Nov 2013


SHAH ALAM: Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini menerima sebulat suara usul supaya Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat mewujudkan satu jawatankuasa bagi mengkaji Tahaluf Siyasi bagi mengukuhkan Pakatan Rakyat menghadapi PRU14.

Usul tersebut dikemukakan bersama oleh Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Penjelasan usul berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Usta Abdul Hadi Abdul Halim.

Usul itu mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat mewujudkan jawatankuasa khusus bagi  mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan Tahaaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syar'iyyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan Rakyat untuk lonjakan PRU ke 14.

Berikut usul-usul yang diterima untuk dibahas dan lulus tanpa bahas.

Usul-Usul yang diterima untuk dibahas:-

1.    Usul Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang:

Maka Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang mendesak supaya PAS Pusat mewujud dan menggerakkan mekanisma penyelarasan polisi dan dasar bagi negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat bagi memastikan segala dasar kerajaan negeri dan lantikan perjawatan di peringkat kerajaan negeri dibuat secara persetujuan bersama ketiga-tiga parti

2.    Usul Dewan Ulamak PAS Negeri Perak:

Dewan Ulamak PAS Perak dengan ini mengemukakan usul berkenaan bahaya pemikiran liberal dan pluralisme yang menyesatkan pemikiran Umat Islam dan manusia sejagat. Ancaman pemikiran Liberal dan Pluralisme adalah satu ancaman pemikiran  oleh sedang dihadapi oleh gerakan Islam di seluruh dunia.

Pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme adalah pemikiran yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam seluruh dunia. Dunia Arab dan negara jiran Malaysia iaitu Indonesia telah terlebih dahulu berhadapan dengan asakan pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme. Fenomena ini tidak dapat disangkal lagi kerana pengharaman pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme telah diwartakan.

Kini bahang pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme sudah sampai ke Malaysia. Sebelum ini, pihak berkuasa agama seperti JAKIM telah menyenaraikan Sister In Islam (SIS) adalah sebuah NGO Islam Liberal yang wujud di Malaysia. Kini, Islamic Renaisansse Front (IRF) didapati membawa dakyah Islam Liberal dan Pluralisme.

Bagi menghadapi dan membendung penularan gejala Islam Liberal dan Pluralisme yang semakin  berleluasa ini,  maka dengan ini kami daripada Dewan Ulamak PAS Perak mengusulkan beberapa perkara seperti berikut :

i)    PAS sebagai Parti yang memperjuangkan dasar dan pemikiran Islam, wajiblah menghadapi IRF ini dengan tegas. Ketetapan perlu dibuat agar tiada pimpinan PAS samada di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan yang didakwa terbabit dengan Islam Liberal dan Pluralisme yang didokong oleh IRF. Malah, organisasi-organisasi PAS seperti harakah, harakahdaily dan  pengkaderan serta wacana-wacana PAS perlulah dijauhi dari IRF. Kita wajib memboikot aktiviti-aktiviti IRF dan segala pemikiran haddamah yang ditaja IRF.

ii)    Pemimpin-pemimpin PAS yang terpalit dengan segala aktiviti-aktiviti Islam Liberal dan Pluralisme hendaklah menafikan penglibatannya secara telus dan terbuka. Malah, kita menghendaki pemimpin-pemimpin terbabit menarik balik sokongan moral kepada Islam Liberal dan Pluralisme terutama yang didokong oleh IRF dengan segera sebelum UMNO dan BN menjadikannya sebagai alasan dan senjata untuk menghentam PAS dan kepimpinannya.

iii)    Melalui idea-idea asas Islam Liberal dan Pluralisme seperti penolakan negara Islam yang syumul, penolakan hukum hakam syariat dan memperlekeh ulama-ulama silam, maka hendaklah PAS dan seluruh pemimpin dan ahlinya menentang dengan segela kudrat yang ada. Tujuannya adalah untuk mengembalikan kekuatan PAS yang berteraskan Islam, matlamat menegakkan negara Islam, mendaulatkan syariat Islam dan memperjuangkan pemikiran Islam yang syumul. Semua ini adalah tunjang utama kekuatan PAS.

3.    Usul Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat:

Menyedari bahawa konsep percukaian islam mensyaratkan perkara-perkara berikut:

i)    Keperluan mendesak terhadap kewangan negara yang tidak cukup untuk belanja pengurusan negara.

ii)    Kekurangan kewangan negara berlaku bukan kerana ketirisan dan pembaziran dalam pngurusan kewangan negara.

iii)    Cukai tidak dikenakan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaya dan miskin.

Maka dengan ini muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang bersidang pada hari ini menegaskan bahawa cukai GST (Good & Service Tax) adalah bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan perlu ditolak.

Muktamar DUPP juga mengusulkan PAS Pusat menegaskan pendirian ini dan mendesak kerajaan Malaysia menarik balik keputusan untuk melaksanakannya pada pertengahan 2015.

4.    Usul Bersama Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang

Menyedari bahawa Multaqa Ulamak Semalaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat yang  diadakan pada 14hb september 2013 dihadiri oleh para perwakilan dari Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dan Urusan Ulamak Kawasan maka Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang mencadangkan,

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang bersidang pada hari ini:

Mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat mewujudkan jawatankuasa khusus bagi  mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan Tahaaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syar'iyyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan Rakyat untuk lonjakan PRU ke 14.

Usul-usul yang diterima tanpa bahas

1.    Usul Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan:

Menyedari bahawa Multaqa Ulamak Semalaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat yang  diadakan pada 14hb september 2013 dihadiri oleh para perwakilan dari Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dan Urusan Ulamak Kawasan maka Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang mencadangkan.

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang bersidang pada hari ini menerima dan melaksanakan semua lapan resolusi Multaqa Ulamak Semalaysia untuk tujuan pengukuhan Dewan Ulamak PAS Pusat, Parti Islam Semalaysia dan Pakatan Rakyat.

2.    Usul Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu:

i)    Usul Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu,

Umat Islam di Malaysia hari ini berhadapan dengan ancaman berbagai ajaran sesat dan aliran fahaman yang merosakkan akidah dan meruntuhkan akhlak mereka.

Menyedari umat Islam di negara ini sedang menghadapi ancaman pengaruh dari berbagai aliran fahaman dan pemikiran yang merosakkan akidah dan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang memecahbelahkan perpaduan ummah, maka muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini mendesak PAS Pusat memainkan peranan secara lebih berkesan bagi membendung penularan fahaman/ajaran tersebut dan dalam masa yang sama memberi penjelasan tentang bahayanya fahaman/ajaran itu kepada umat Islam di Negara ini.

ii)    Usul Urusan Ulama PAS Kuala Nerus,

a)    Memandangkan ulama menjadi tonggak dalam kepimpinan PAS yang mesti didokong dan dipertahankan oleh semua ahli PAS, maka Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini mendesak PAS Pusat menaikkan taraf Urusan Ulamak PAS Kawasan kepada Dewan Ulamak PAS Kawasan.  Oleh yang demikian Fasal 30 (1) Perlembagaan Parti Islam Se Malaysia (PAS) hendaklah dipinda dan dimasukkan satu peruntukan mengenai penubuhan Dewan Ulama PAS Kawasan, manakala Fasal 20 (3) (e) juga hendaklah dipinda bagi membolehkan Dewan Ulamak PAS Kawasan memilih dan mengangkat perwakilannya seramai 15 orang ke Mesyuarat Agung PAS Kawasan.  Fasal 30 (2) Perlantikan AJK hendaklah dilantik oleh Mesyuarat Agung Dewan Ulamak PAS Kawasan.

b)    Menyedari kepimpinan ulamak menjadi tonggak kepada PAS yang digagaskan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat pada 1982, maka menjadi tanggung jawab kepada parti untuk mempastikan kelangsungan kepimpinan ulamak supaya difahami dan dihayati oleh seluruh ahli-ahli PAS. Supaya tidak timbul kecelaruan dalam pemikiran kita berhubung dengan kepimpinan di peringkat tinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, maka Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini mendesak PAS Pusat memasukkan satu fasal yang memperuntukkan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya salah seorang Naib Presiden terdiri dari ulamak.

Cadangan serap ramai wakil Sabah, Sarawak wajar

Harakahdaily, 21 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan agar lebih ramai wakil PAS Sabah dan Sarawak diangkat ke peringkat tertinggi PAS Pusat turut disokong sorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Menurut beliau, tidak boleh dinafikan bahawa wakil Sabah dan Sarawak sangat penting lebih-lebih lagi dalam usaha menempatkan PAS di persada politik kedua-dua negeri Borneo itu.
"Ini sangat penting untuk kita (PAS) lebih dekat dengan masyarakat di sana.
"Dengan keterlibatan di peringkat pusat, keputusan berkitan negeri menjadi lebih mudah dan cepat," katanya kepada Harakahdaily.
Semalam Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa membuat cadangan dan seruan agar lebih ramai pemimpin Sabah dan Sarawak menyertai PAS di peringkat pusat termasuk dewan-dewan.
Cadangan itu dilontar beliau ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat di Shah Alam malam tadi.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata dalam keadaan negeri Sabah berdepan saman dalam isu royalti, tentu sekali suara wakil Sabah sangat penting untuk didengari.
Sehubungan itu, apabila suara wakil Sabah ini berada di pusat, ia mudah mencetus muafakat untuk menggerakkan sokongan.

Pemuda tolak usul pertahan kepimpinan ulama

Anis Nazri dan Hazayani Zakaria, 21 Nov 2013
PETALING JAYA: Usul mempertahankan kepimpinan ulama ditolak para perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kerana disifatkan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Usul tersebut dikemukakan Pemuda PAS Gombak dan disokong oleh Pemuda PAS Klang.

Bagaimanapun Pemuda Lembah Pantai, Kluang, Lumut bangun membahaskan supaya menolak usul itu.

Antara hujah yang dikemukakan bagi menolak usul tersebut kerana mengikut perlembagaan parti, jawatan bagi presiden, timbalan dan naib presiden boleh dilantik dari kalangan ahli PAS.

Perlembagaan tidak menyebut mereka perlu terdiri dari kalangan ulama ataupun bukan ulama.

Mereka juga mengemukakan hujah bahawa usul yang mengatakan institusi ulama diserang adalah tidak kukuh ekoran tiada sebarang bukti berhubung tuduhan tersebut.

Selepas perbahasan hangat, Pengerusi Tetap DPPM, Misbahul Munir Masduki meminta para perwakilan bangun bagi menyatakan pendirian sama ada menerima atau menolak usul tersebut.

Menurut Misbahul, usul tersebut perlu diperbaiki kerana kurang jelas tetapi tidak bermakna Pemuda PAS menolak ulama.

Berikut ialah usul DPP Gombak, mempertahankan kepimpinan ulama.

"Sedar atau tidak PAS sudah menjadi sebuah parti yang disegani kerana kematangannya dalam meniti usia perjuangan yang ke-62 tahun. Sepanjang perjalanan untuk mempersada perjuangan Islam, lebih separuh dari tempoh tersebut PAS dipimpin oleh golongan ulama.

Namun begitu, akhir-akhir ini terlalu banyak fitnah, cacian dan tohmahan yang dilontarkan kepada institusi ulama demi menimbulkan kesangsian dan keraguan kepada kepimpinan ulama yang sudah sekelian lama menerajui bahtera ini.

Justeru, kami Dewan Pemuda PAS Gombak ingin mengutarakan satu usul untuk dipertimbangkan dan dibahaskan oleh semua perwakilan. Usul kami bertajuk 'Mempertahankan Kepimpinan Ulama'.

Tujuan usul ini diutarakan adalah seperti berikut:

1. Melihat kepada situasi dalaman PAS yang terkini di mana institusi ulama termasuklah Majlis Syura Ulama diserang dengan pelbagai dakwaan palsu oleh musuh dalaman dan luaran.

2. Sebagai panduan kepada perwakilan untuk memilih kepimpinan bagi menerajui PAS dalam muktamar pada kali ini.

3. Untuk memberikan penekanan betapa pentingnya PAS diterajui oleh kepimpinan ulama.

4. Menjernihkan kembali sangkaan-sangkaan negatif yang dilontarkan kepada institusi ulama dalam PAS.

DPPG melihat peri-pentingnya untuk mengekal dan mempertahankan kepimpinan ulama berdasarkan rasional-rasional berikut:

1. Sejarah telah menyaksikan bahawa penubuhan PAS adalah terhasil dari inisiatif para ulama dan agamawan yang terhasil dari rasa kekecewaan mereka terhadap Umno yang gagal melaksanakan syariat Islam secara syumul.

2. Golongan yang dimuliakan Allah dan Rasulullah.

3. Praktikaliti: terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa kepimpinan ulama itu hanya terhad kepada Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama yang sudah sedia ada dalam PAS.  Justeru, dari segi jawatan presiden, timbalan presiden tidak terhad kepada ulama sahaja. Dari segi teori, pandangan ini nampak betul, namun dari sudut lain, ia tidak praktikal.

4. Pelengkap kepada presiden: oleh kerana presiden sepatutnya datang daripada golongan ulama, maka sewajarnya juga timbalannya juga datang daripada ulama.

Siti Zailah dipilih semula Ketua Muslimat PAS

Saidah Hairan, 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) sesi lalu dipilih semula untuk menerajui kepimpinan dewan itu bagi sesi 2013-2015.

Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) mendapat 468 undi; timbalan, Dr Siti Mariah Mahmod mendapat 429 undi dan naib, Mumtaz Md Nawi mendapat 457 undi.

12 orang Ahli Jawatankuasa telah dipilih iaitu Dr Halimah Ali 476 undi; Aiman Athirah Al-Jundi (457), Khairiah Mohamad (454), Normala Sudirman (446), Dr Asiah Ali (449), Aida Yusof Rawa (409), Wan Ubaidah Wan Omar (393), Mastura Mohamad (392), Datuk Asiah Ghazali (372), Ustazah Azizah Khatib Mat (360), Wan Hasrina Wan Hassan (331) dan Kartini Ahmad (306).

Pengerusi Tetap, Norhasimah Deraman mendapat 387 undi manakala Timbalan Pengerusi Tetap Norazlin Samsudin.

Pemeriksa kira-kira ialah Basmatul Uyun dan Siti Norfatiya Daud.

Seramai 681 orang perwakilan layak mengundi tetapi hanya 665 orang sahaja yang mengundi.

Bagi jawatan Ketua DMPP lapan undi rosak, timbalan (tujuh) dan naib (tujuh), manakala 49 undi rosak untuk jawatan AJK DMPP.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi telah mengumumkan keputusan itu

Muslimat diseru bangunkan ekonomi sendiri

Salmiyah Harun, 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS digesa memperkasa dan memperkukuhkan ekonomi mereka sekiranya berhasrat untuk terus menawan Putrajaya pada PRU14 nanti.

Tokoh vateran yang juga AJK DMPP Azizah Khatib Mat ketika dalam ucapan penangguhan berkata, Muslimat tidak boleh hanya bergantung kepada tokoh korporat semata-mata untuk mendapatkan dana.

Sebaliknya kata beliau, Muslimat perlu mengetengahkan produk-produk mereka sendiri termasuk memberi sokongan kepada produk Kohilal yang sekian lama diusahakan oleh PAS.

"Setiap negeri dan kawasan kena cari duit. Paling baik jual meja. Mula langkah selepas Muktamar hari ini.

"Tak mahu setiap PRU kita minta daripada ahli korporat. Yang penting kukuhkan ekonomi setiap individu, kawasan dan pusat," katanya.

Namun, beliau melahirkan rasa kecewa kerana muslimat sendiri tidak mahu menonjolkan produk orang Islam yang dijamin kesuciannya.

"Kita ada produk kenapa tidak ditonjolkan dan dimajukan. Jangan ada perasaan hasad dengki.

"Kena ingat, kalau hendak ke Putrajaya, jika tidak ada duit tidak jadilah. Setiap langkah perlu duit," tambah beliau.

Suhaizan dipilih Ketua Pemuda PAS

Anis, Hazayani dan Muhammad Faizal, 21 Nov 2013
PETALING JAYA: Suhaizan Kaiat (gambar) yang mendapat 320 undi dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bagi sesi 2013-2015, sementara Muhammad Khalil Abdul Hadi sebagai timbalannya diumumkan sebentar tadi.

Dua lagi calon Ketua Pemuda ialah Kamaruzaman Mohamad dan Zulhazmi Sharif yang masing-masing mendapat 304 dan 7 undi.

Khalil mendapat 355 undi sementara Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob pula 282 undi.

Ir Khairil Nizam Khirudin yang mendapat 411 undi dipilih sebagai Naib Ketua manakala Ahmad Zamri As'ad khuzaimi pula memperoleh 226 undi.

Ahli-ahli Jawatankuasa yang dipilih sebagaimana di bawah:

1. Syed Abdul Kadir Al Jofree (433)
2. Afnan Hamimi Taib Azamudden (433)
3. Ahmad Fadhli Shaari (417)
4. Syahir Sulaiman (415)
5. Abang Ahmad kerdee (404)
6. Zaharudin Muhammad (379)
7. Ahmad Yahya (377)
8. Wan Faizul Salleh (371)
9. Fadhli Ghani (359)
10. Zawawi Hassan (358)
11. Nurul Islam Mohamed Yusoff (355)
12. Mohd Sany Hamzan (340)

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan DPPM, Zulqarnain Lukman.

Wanita DHPP ikrar beri komitmen

Saidah Hairan , 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Wakil wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Kumutha Raman memberi jaminan mereka bersedia memberi komitmen yang penuh bersama perjuangan PAS bagi meningkatkan peluang menuju ke Putrajaya.

Menurut beliau, perjuangan yang dilakukan oleh DHPP dan PAS atas landasan yang sama dan ibarat isi dengan kuku.

"Saya berjanji akan memberi komitmen penuh terhadap perjuangan PAS. Saya menyeru agar di setiap kawasan ditubuhkan DHPP khususnya yang membabitkan wanita. Hari ini kita boleh lihat DHPP dianggotai pelbagai kaum seperti Cina, India serta pelbagai agama termasuk Hindu, Buddha dan Kristian.  Kita perlu ke semuanya untuk meningkatkan melangkah jauh ke hadapan," katanya.

Beliau berkata, di kawasan bukan Melayu melebihi 55 peratus peranan DHPP amat perlu dan mesti bergerak sekarang tanpa menunggu tempoh pilihan raya.

"Jika kita mahu ke Putrajaya kita kena fikir sekarang, DHPP bersedia untuk tanggungjawab itu," katanya dalam ucapan penangguhan Muktamar DMPP.

Beliau turut menyeru Lajnah Perpaduan Nasional dan Ketua Muslimat setiap negeri aktifkan DHPP serta memberi motivasi memandangkan Dewan Muslimat sudah 53 tahun.

"Saya cadangkan program agar pelbagai program khususnya sukan kerana boleh mengeratkan silaturahim antara kaum. Kita juga boleh buat program untuk menerangkan tentang budaya dan agama," katanya.

Tiada ulasan: