Jumaat, 22 November 2013

AHLI PARLIMEN MITHALI TENTANG MENJAGA ANAKNYA

Jawatan jangan ditagih

., 19 Nov 2013
a] Sempena menghadapi muktamar PAS ini, saya mahu memberikan peringatan buat diri saya sendiri dan semua rakan-rakan seperjuangan agar menginsafi bahawa jawatan adalah amanah kepimpinan yang sangat besar dan berat. Justeru itu janganlah kita termasuk di kalangan orang yang meminta-minta jawatan apatah lagi menagih simpati agar jawatan itu diserahkan kepada kita.

Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنْ عَبْدُ الْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةِ رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : يَا عَبْدَالْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ ! لاَ تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ ,فَإِنَّكَ إِنْ أُوْتِيْتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلَتْ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوْتِيْتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ إِلَيْهَا


"Daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ”Wahai Abdul Rahman bin Samurah jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat–bulat kepadamu. Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

b] Bersedia menerima pencalonan lalu menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih dan kemudiannya meneruskan komitmen perjuangan seperti biasa tanpa kempen bersungguh-sungguh atau agerasif supaya dirinya dipilih [sedang persaingan itu hanya sesama sahabat seperjuangan] adalah satu sikap yang dibina atas semangat Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba mahu memberi sumbangan dan kebaikan kepada perjuangan Islam yang didukung oleh jamaah ini.

c] Ia sangat berbeza dengan sikap yang meminta-minta jawatan pula menagih simpati dengan pelbagai tindakan dan gerak saraf agar dirinya sendiri dipilih untuk menyandang jawatan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إنَا وَاللهِ لاَ نُوَلَّي أَحَدًا طَلَبَهُ اَوْ حَرص عَلَيْهِ


" Sesungguhnya demi Allah kami tidak memberi jawatan menjadi pemimpin, seorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya." (Muttafaqun Alaih)

d] Sangat berbeza jika kita menyertai persaingan antara pemimpin yang hak dan bathil. Tentunya kita dibenarkan malah diwajibkan oleh syara' supaya kita berkempen habis-habisan untuk memenangkan yang hak mengatasi kebathilan.

e] Sementara persaingan sesama sahabat seperjuangan ini, ia dibina atas semangat Fastabiqul khairat untuk mencari yang terbaik dari kalangan yang baik. Justeru itu, usahlah keterlaluan dalam kata-kata dan tindakan untuk mencari undi dan sokongan buat diri sendiri. Bersainglah secara sihat dan damai.

f] Lebih manis dan wajar, biarlah pihak lain mengangkat kita sebagai pemimpin. Jika kita layak dan menepati piawaian kepimpinan yang dikehendaki oleh jamaah dan anggotanya, maka kita insyaallah dipilih oleh mereka dan mereka bakal membantu kita. Malah Allah swt akan memberkati dan memudahkan urusan kita.

g] Kesediaan kita menerima pencalonan sudah cukup untuk perwakilan menilai. Terpulanglah kepada sahabat seperjuangan dan anggota jamaah menilai keupayaan dan performance kita. Bukan kita sendiri ke hulu dan ke hilir berkempen "pilihlah saya", menagih dan meminta-minta agar jawatan itu diserahkan kepada kita.

h] Lebih sadis jika pendekatan yang diambil adalah memburukkan sahabat seperjuangan yang lain, menjatuhkan maruah dan membunuh karektornya. Ini bukan cara Islam malah bertentangan dengan pedoman Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Muktamar Ke-59: Bukan ‘pemilihan’ yang ditunggu-tunggu tetapi...

Dr Dzulkefly Ahmad, 21 Nov 2013
Sesungguhnya Muktamar PAS ke-59 bakal menempah sejarah dengan pengkisahan atau naratif yang tersendiri. Ia pastinya punya kelainan bukan hanya kerana ini tahun pemilihan. Pemilihan itu sahaja sudah cukup menarik dengan debaran dan bahangnya sedikit luar biasa untuk kali ini.

Yang ditunggu-tunggu semua pihak khasnya media, tempatan dan juga antarabangsa, bukan sahaja keputusan pertandingan jawatan-jawatan penting dalam pemilihan pada muktamar ini. Tentunya akan ada yang menang dan yang kalah. Pertandingan seperti ini sifatnya memang ‘zero-sum’ atau ‘kalah-menang’. Tidak boleh ‘menang-menang’. Ini juga lumrah.

Nah, kalau begitu maka mengapa terlalu kaget atau perlu ‘panik’ dengan debaran dan suhu berkempen yang agak lain macam? Penulis tidak akan cuba melanjutkan ‘sindrom penafian’ sesetengah pihak termasuk dirinya sendiri kadangkali, seolah-olah ‘kesengitan’ itu tidak wujud, guna menyelamat parti yang disayangi.

Benar keputusan itu penting dan pemilihan itu penting. Tidak juga dinafikan. Akan tetapi itu hanya alat atau wasilahnya? Yang menjadi tumpuan dan perhitungan pentingnya ialah ‘apa akan berlaku selepas pemilihan?’ Maksudnya?

Ya. Yang menjadi perhatian semua pihak, kawan dan lawan termasuk media tempatan dan antarabangsa ialah ‘Apa perubahan selepas pemilihan?’

Apakah mereka menjangkakan perubaha ‘Dasar PAS’? Tentunya tidak! Dasar-dasar seperti termaktub dalam perlembagaan parti Islam ini tentunya tidak berubah dan tawaran PAS dalam “Negara Berkebajikan” pastinya kekal.

Yang ditunggu-tunggu ialah tentang hal dan orientasi  ‘strategi pendekatan politiknya’. Itu yang dinanti-nantikan sangat oleh semua.

Ini kunci segala perbualan awam sehingga ke seminar dan wacana politik tanah air di menara gading anjuran kumpulan pemikir atau think-tank termasuk ahli akademik dan pundit politik tanah air.

Di sebalik semua keresahan, polimik dan kemelut yang terjadi, terpahat satu persoalan maha penting bagi politik Negara yakni ‘Apakah PAS akan terus bersama Pakatan ataukah Muktamar bakal merumuskan keputuskan sebaliknya, andainya usul menuntut penilaiaan semula kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dibentangkan.

Yang relevannya ialah ‘Apakah keputusan pemilihan bakal mewarnai orientasi dan pendekatan strategi parti Islam ini?’

Bagi penulis kebarangkalian wujud keputusan atau ‘outcome’ mengejut masih lagi satu yang munasabah dalam dinamika sebuah parti politik yang sangat vibrant dan hidup fungsi demokrasinya. Ia sekaligus menyerlahkan PAS sangat responsif dan bertindak balas dengan realiti politiknya dengan sangat baik.

Hanya persidangan muktamar yang berani menggarap isu-isu besar yang menentukan jatuh-bangun dan hidup-mati perjuangan yang mampu memberikan kepuasan kepada para perwakilan dan seluruh ahli serta penyokong parti.

Muktamar adalah himpunan tahunan paling besar dan paling penting khasnya buat parti Islam yang tunggal di tanah air ini. Ia adalah persidangan perwakilan dari seluruh pelusuk Negara bagi melunaskan satu tanggungjawab besar untuk memuraja’ah dan memuhasabah lantas ‘mempertegas dasar-dasar parti dan merangka strategi mendayakan perjuangan’ bagi waktu mendatang.

Meneliti dapatan post-mortem pilihan raya umum lalu, adalah diakui bahawa pasca PRU ke-13, PAS mengalami penghakisan sokongan undi Melayu. Hakikat tersebut perlu segera diinsafi semua. Jelasnya impian PAS untuk mengganti Umno sebagai parti tunggak orang Melayu-Islam gagal dan masih tertangguh.

Sementara Umno menambah 9 kerusi di peringkat persekutuan kepada 88, PAS sebaliknya kehilangan 2 kerusi parlimen menjadikannya 21. Menambah derita PAS lagi ketika kehilangan negeri Kedah dibawah pentadbirannya bagi mewakili Pakatan Rakyat.

Purata seluruh Negara Semenanjung Malaysia PAS mengalami penurunan sokongan etnik Melayu sebanyak 2% sementara PKR sebanyak 7% pada PKR sementara DAP mendapat peningkatan 2% sokogan etnik Melayu. Di satu segi kehilangan undi Melayu di alami PAS tidaklah begitu parah sangat.

BN sememang kuat di luar bandar iaitu mereka menang 121 kerusi dari 133 kerusi luar bandar. Peliknya 70% kerusi parlimen berada di kawasan luar bandar sementara hanya 30% penduduk dan pengundi tinggal dalam kawasan tersebut. Ini adalah kelangsungan ‘gerry-mandering’ jahat yang berdekad lamanya.

Penurunan sokongan Melayu adalah terhad kepada kawasan tertentu sahaja dan boleh ditafsir menurut faktor-faktor tempatan dan situasi pentadbiran di negeri seperti apa yang berlaku diKedah. PAS sebaliknya mengalami peningkatan sokongan Melayu di Terengganu dan sedikit di negeri Johor. Kajian oleh pihak berkecuali seperti Merdeka Centre masih mendapati bahawa tren pengundi Melayu masih positif terhadap PAS.

Persoalan besar yang perlu dipecahkan dalam perbahasan di Muktamar ialah ’Apakah yang perlu PAS lakukan untuk menambah sokongan orang Melayu terhadapnya?’

Dicadangkan dari hasil kajian pasca PRU ke-13, PAS perlu memberi tumpuan kepada golongan muda etnik Melayu. Untuk  PRU14, segmen ini akan bertambah. Mengikut dapatan kajian terkini imej PAS dalam kalangan generasi muda masih baik dan sesuatu mesti dilakukan segera bagi memperkukuh sokongan ini.

Dapatan kajian terkini juga menekankan keperluan PAS untuk meningkatkan mesej sosio-ekonomi dan fokas kepada golongan menengah rendah (bawah RM4,000 sebulan). Kelompok umur bawah 40 tahun serta segmen wanita juga perlu penumpuan berterusan.

Kedudukan purata ialah sokongan umum pengundi Melayu kepada PAS ialah sekitar 40%. Ini perlu ditingkatkan kepada 44% untuk PAS menempah kemenangan pada PRU14. Sokongan wanita Melayu juga masih di tahap yang rendah (sekitar 30-35%). Sokongan  pengundi muda Melayu sekitar 45-46% dan ini perlu ditambah dengan kegiatan dan program yang mampu menggamit harapan dan imiginasi mereka.

Bagi mengatasi kelemahan yang disimpulkan dalam dapatan awal post-mortem dan beberapa kajian pasca PRU ke-13, adalah diingatkan supaya PAS berwaspada supaya tidak mengambil jalan ‘rawatan atau preskriptif sebelum mengenalpasti penyakit’.

Penulisan ringkas ini dalam ruang yang serba sempit ini, agak sukar melakukan keadilan kepada maudhu’ yang sebegini penting. Pun begitu, amat mutahak supaya PAS meneliti dan tekuni  faktor sebab-musabab (causative factors) dalam kekalahan pertarungan dengan Umno.

Di samping segala penipuan dan isu capaian media yang sangat  tidak adil dan ‘politik ugut-takut’ serta ‘pecah-confused-perintah’,  kajian juga mendapati BRIM sangat mempengaruhi pengundi Melayu luar Bandar. Berdepan dengan hakikat ini, maka sayugia diingatkan bahawa PAS mesti memperkuatkan program kebajikan dan khidmatnya.

Namun sayugia diingatkan program kebajikan PAS jangan hanya tamat dengan ‘pemberian’ atau ‘handout’ seperti Umno.

Adalah pemerhatian dan kini keyakinan penulis bahawa PAS mesti benar-benar menampilkan konsep ‘Negara Berkebajian’ melepasi aspek dan dimensi ‘memberi-handout’.  Khususnya bagi Melayu di luar bandar dan di kampung-kampung  tradisi khasnya di kawasan-kawasan kerusi ‘Malay-Belt’ di Selangor seperti di Tanjung Karang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan Hulu Selangor dan segmen Melayu seperti ini di negeri-negeri lain juga, penyampaian Dakwah Islam mesti memasuki  rumah-rumah mereka serentak dan bersekali dengan khidmat Kebajikan kita.

Ini adalah penentu dalam memenangi hati-budi kelompok atau konstituensi Melayu ini supaya bukan sahaja menjadi pengundi PAS bahkan berani menjadi ahli PAS yang bersedia membuka cawangan dan menjadi aktivis PAS. Konstituensi Melayu Bandar dan pinggir Bandar memerlukan pendekatan ‘pencerahan’ dan ‘ketelusan-kebertanggungjawaban’ tadbir-urus wakil-wakil rakyat atau penyeleras DUN dan Parlimen yang belum dimenangi.

Pun begitu, Muktamar mesti berani berdepan menggarap isu ‘review’ dan kajian semula kedudukan PAS dalam Pakatan seandainya usul dibawa oleh mana kawasan atau dewan. Sekali lagi bagi penulis keberanian untuk mendepani cabaran tersebut bakal menyerlahkan ‘pencerahan’ dan ‘kejelasan’ yang sekaligus akan memperukuhkan lagi ketegasan dan penambahbaikan prestasi PAS dalam Pakatan sebagai laluan trajektori dan metodologi untuk meraih kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-14.

Bagi mencapai matlamat ke arah itu PAS wajar diingatkan supaya bertegas memperkukuhkan prinsip dan dasar perjuangan Islamnya sementara sentiasa memiliki bijaksanaan seperti ditegas Presiden parti. Keanjalan dan bijak memposisi perjuangan politiknya akan mengekalkan sokongan tegarnya di kalangan orang Melayu-Islam serta terus dimantapkan sokongan baru dalam kalangan bukan-Melayu bukan –Islam. Penulis berpandangan bahawa kesemua ini hanya munasabah dilakukan dan dikekalkan dalam kerangka dan konstruk Pakatan Rakyat.

Sementara itu advokasi PAS dalam hal tuntutan supaya Syari’at  (termasuk Qanun Jina’iyyat Islamiyyah) bagi menjalin keharmonian dan kemakmuran rakyat  dalam sebuah Negara yang pluralis dan majmuk akan terus kita dayakan. Bersama Pakatan Rakyat, PAS akan mempergiat agenda mendedahkan kebejatan dan kebobrokan tadbir-urus kewangan dan ekonomi negara yang sarat dengan kemungkaran yang bercanggah dan berlawanan dengan Syariat Islam.

Penulis amat yakin dalam kesyumulan mempamerkan dan mengadvokasi Syariat Islam sekaligus mengangkat Tujuan atau Maqasid Syariah itu sendiri (Dhororiyatul Khams- Lima Kemestian) itu. PAS akan berdiri unik, di satu garis dan pentas yang berbeza dari Umno yang mutakhir ini cuba meniru PAS dalam kepura-puraannya terhadap isu seperti Kalimah Allah dan terkini terhadap Hudud yang disekat dengan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mereka reka-cipta dan undang-undangkan.

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Bingkisan hujung buat Dewan Pemuda PAS Malaysia

., 19 Nov 2013
Tahun lepas, ketika ucapan penutup Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia, sambil menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh para perwakilan, saya ucapkan bahawa tidak sepatutnya timbul isu Dewan Pemuda PAS kini dikuasai oleh para ustaz atau kumpulan ulama, lalu terpinggirlah golongan profesional muda yang turut mahu menyumbang di dalam perjuangan.

Saya tekankan bahawa sebagaimana zaman Salahudin Ayub memimpin Dewan Pemuda dulu telah melahirkan pelapis bergelar ustaz seperti YB ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, maka saya yakin kepimpinan beliau pula kini akan melahirkan pelapis daripada kalangan profesional dan aktivis parti yang pasti menyerlah. Seingat saya, saya telah menyebut beberapa nama sebagai contoh kehadiran kepimpinan muda berbakat yang sedang mara ke atas.

Hari ini, saya fikir saya benar pada kata-kata saya itu. Saya bersyukur pada Allah yang maha mengetahui dan maha bijaksana.

Beberapa hari lagi, muktamar pemuda PAS akan berlangsung dan paling menarik, akan menyaksikan pertandingan mengisi tiga jawatan tertinggi dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia. Daripada 7 calon yang bertanding, hanya seorang sahaja yang bergelar ustaz yang berlatar belakang pengajian ugama. Selainnya adalah daripada kalangan anak muda profesional dan aktivis.

Maka saya fikir, kepimpinan YB ustaz Nasrudin Hassan telah menepati sunnah perjuangan yang diimpinya sendiri, bahawa kepimpinan adalah bersumberkan para perwakilan atau ahli daripada seluruh negara. Kepimpinan semasa pula akan menyediakan ruang yang memberangsangkan agar kepimpinan baru mampu menonjolkan bakat dan keupayaan masing-masing.

Dalam ugama Islam, kekuasaan dan kepimpinan adalah satu amanah. Ia bersumber daripada rakyat yang dibebankan untuk memilih yang terbaik daripada kalangan mereka. Baik rakyat, baiklah kepimpinan yang mereka pilih untuk memimpin mereka. Begitulah sebaliknya. Justeru kepimpinan semasa akan membuka ruang seluasnya buat ahli dan perwakilan menilai sendiri dengan bebas prestasi setiap pemimpin.

Tiada paksaan ke atas mereka untuk ditentukan kepimpinan. Ajaran yang kekal daripada ugama ialah, yang terbaik adalah yang paling bertaqwa daripada kalangan mereka. Walaupun golongan berpendidikan ugama secara lahirnya lebih ke depan berbicara soal ugama dan isi-isinya termasuk soal taqwa, ia tidak pula akan mengurung sifat taqwa itu daripada bebas menghuni hati jantung sesiapapun yang disukainya dengan kehendak Allah.

Keselamatan sesebuah kepimpinan adalah pada pemilihnya, iaitu para perwakilan atau ahli atau rakyat. Rakyat yang bertaqwa akan tahu dan akan berusaha memilih yang paling bertaqwa daripada kalangan mereka.

Bukan Nasrudin Hassan dan bukan Nik Mohamad Abduh yang berhak mengikat, memaksa, menentukan dan mengajar sesuatu yang bukan daripada ajaran ugama.

Saya fikir itulah yang saya cetuskan daripada isi-isi penting yang saya tinggalkan dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia sepanjang 10 tahun saya di dalamnya, atau secara khususnya dalam 2 tahun terakhir saya membantu YB ustaz Nasrudin Hassan memimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia.

YB ustaz Nasrudin Hassan dan saya telah mengambil keputusan untuk mengundur diri dan membuka ruang yang luas kepada kepimpinan baru memacu pemuda PAS kearah kejayaan yang lebih cemerlang.

Saya sentiasa mendoakan semoga Dewan Pemuda PAS terus melahirkan kepimpinan Islam yang sempurna dan tepat pada masanya. Hari ini PAS dipimpin oleh mantan kepimpinan pemudanya suatu masa dahulu. Maka saya doakan ia berterusan, bahkan bertambah hebat dan berkesan. Jika ia mampu ditetuskan, maka ia adalah satu kesempurnaan di dalam sistem pembinaan parti dan jamaah. Ia bukan pula bererti tiada hak untuk kepimpinan itu terbuka kepada sesiapa pun. Seperti saya sebutkan, taqwa bebas memasuki semua hati jantung sesiapapun, termasuk yang baru masuk PAS dalam usia lewat dan tidak pernah menyertai kepimpinan dalam pemuda PAS. Yang terpilih di zaman jahiliyah, dia boleh secara mudah terpilih di dalam zaman Islamnya, apabila dia faham ugama dan bertaqwa.

Kemudian, persoalan akan terus menerjah dan walaupun berkali-kali dijawab dan cuba dipadamkan, ia tetap diusahakan telah terus bernyala dan memanasi ruang. Golongan ustaz dalam pemuda, bahkan dalam PAS sendiri terus mahukan PAS itu menjadi milik mereka. Wibawa profesional sering dikecilkan dan dipencilkan.

Saya khususkan untuk pemuda dulu jawaban ini.

Isu kita yang utama ialah masa yang mampu kita berikan untuk perjuangan. Kepimpinan utama perlu memberikan masa mereka yang banyak, bahkan sepenuhnya kadang-kadang. Jika tidak, seseorang itu akan gagal menempatkan diri mereka untuk dikenali dan dipilih oleh ahli sebagai pemimpin mereka.

Kemudian, keberanian untuk berada di barisan depan. PAS hari ini dilihat dan diminati ramai. Tetapi ia adalah hasil keberanian membelah badai dan api rintangan. PAS adalah sunnah perjuangan menegakkan kebenaran yang tertindas dan berhadapan kebatilan yang kejam.

Dua ini, sesiapapun yang mampu, maka dia akan dipilih dan dijadikan pemimpin.

Berbanding golongan ustaz yang biasanya bekerja sendiri dan lebih bebas, para professional muda pula biasanya terikat dengan tugas-tugas besar di dalam kerajaan, dan kebanyakannya dalam sektor swasta. Ini secara langsung agak mengganggu komitmen mereka kepada tugas-tugas parti yang banyak.

Tetapi anda perhatikan, dengan 6 daripada 7 calon yang bertanding di 3 jawatan tertinggi DPPM kali ini, maka ia adalah sebuah kejayaan dan jawaban bahawa kepimpinan di bawah YB ustaz Nasrudin telah berusaha dan berjaya membentuk lapisan profesional muda yang bersedia memimpin dengan keupayaan menyerap halangan masa dan keberanian untuk berada di saf depan.

Dan jangan lupa, oleh kerana PAS adalah sebuah parti Islam yang tinggi matlamatnya, maka kepimpinan amatlah dinilai pada upaya ilmu ugamanya, di sebalik kepakaran profesionalisme masing-masing.

Jadi ilmu dan taqwa adalah syarat utama dalam kepimpinan parti PAS. Semoga DPPM terus maju bersama anak muda Malaysia.

YB Ustaz Nik Mohd Abduh
Timbalan Ketua DPPM
MP Pasir MAS

Gambar ahli parlimen bawa anak kecil sejak 2010

http://orangni.blogspot.com, 20 Nov 2013

Gambar-gambar menarik seorang Ahli Parlimen bawa anak kecil ke Parlimen sejak 2010






Licia Ronzulli 38, adalah MP Itali mewakili Rakyat parti Kebebasan. Beliau memenangi kerusi di Eropah 2009 pilihan raya Parlimen. Beliau merupakan Naib Pengerusi Delegasi kepada ACP-EU Perhimpunan Parlimen Bersama dan ahli jawatankuasa Pekerjaan dan Hal Ehwal Sosial.  Licia Ronzulli dilihat sentiasa membawa anak perempuan-nya Vittoria Ronzulli sejak bayi sejak 2010 hingga sekarang.

Bekas Perdana Menteri dedah rahsia Presiden Mursi

http://greenboc.blogspot.com, 18 Nov 2013
Rahsia Presiden Mursi Didedahkan Bekas Perdana Menterinya
Kaherah - Hisyam Qandil adalah perdana menteri pada masa pemerintahan Presiden Mursi. Beliau mengundurkan diri ketika berlakunya kudeta tentera 3 Julai 2013 yang lalu.

Kelmarin, Sabtu (16/11/2013), beliau menyampaikan satu pesanan melalui rakaman video yang disiarkan melalui lamanweb youtube. Beliau memilih cara ini, menyampaikan pesanan secara terbuka dengan rakaman video, tidak di depan pihak tertentu saja, karena beliau ingin isi pesanan ini sampai kepada seluruh rakyat Mesir. Baik yang mendukung ataupun yang menentang Presiden Mursi.

Qandil menyampaikan pesanan ini sebagai tanggung jawabnya kepada sejarah, dan demi menyelamatkan Mesir dari kehancuran dan pertumpahan darah.

Pesanan ini dibagi dua bahagian. Bahagian pertama, bagaimana sebenarnya sikap dan kebijakan Presiden Mursi dalam krisis politik yang terjadi di Mesir saat ini. bahagian kedua, usulan penyelesaian krisis di Mesir saat ini.

Tentang sikap Presiden Mursi, dalam mengambil semua keputusannya, Presiden Mursi selalu mendahulukan dan menjadikan Mesir dengan semua elemennya sebagai pertimbangan. Bukan kelompok atau bahagian tertentu, tapi seluruh Mesir.

Presiden Mursi juga sangat memperhatikan bagaimana melanjutkan dan menyempurnakan hasil-hasil Revolusi Januari 2011, dan bagaimana menyempurnakan lembaga-lembaga yang diperlukan dalam kehidupan berdemokrasi?

Beliau sangat memperhatikan selamatnya kehidupan seluruh rakyat Mesir, dan sangat prihatin apabila berlaku persengketaan dan pertumpahan darah.

Untuk itu beliau berfikir keras bagaimana mempercepat kejayaan pembangunan di seluruh bidang kehidupan. Pegangan Presiden Mursi dalam pembangunan adalah bahwa Mesir harus mempunyai kedaulatan dan kehendak yang merdeka. Terutama dalam hal makanan, obat-obatan dan kesehatan.

Pada tahun ini, sebenarnya beliau sangat memikirkan bagaimana seluruh pihak dan kekuatan politik dapat turut serta di dalam pengambilan keputusan. Beliau mengajak dan mengundang semuanya. Tapi berkali-kali pihak-pihak tersebut menolak bekerja sama dengan Presiden Mursi. Bahkan mereka berusaha menggagalkan kerja Presiden Mursi, dan menghancurkan hasil kerja keras yang selama ini beliau lakukan. Jadi sikap Presiden Mursi sama sekali berbeda dengan yang dipublikasikan media, bahwa beliau ingin mengambil semua bahagian dan dilakukan sendirian, atau yang disebut dengan diktatorisme dalam mengambil keputusan.

Aku ingin bersaksi tentang apa yang dikatakan oleh Presiden Mursi kepada As-Sisi pada tanggal 2 Julai 2013. Saat itu beliau berpesan agar As-Sisi menjaga dan melindungi keutuhan tentera Mesir, demi rakyat Mesir, bangsa Arab, dan umat Islam.

Presiden Mursi sama sekali tidak mengetahui apa yang sebenarnya terjadi pada tubuh militer, apa pernyataan yang disiapkan, disembunyikan, dan akan dikeluarkan militer pada hari-hari berikutnya. Beliau tidak mengetahui bahwa militer akan mengambil sikap yang memihak kelompok tertentu dalam krisis saat itu. Bahawa militer bahkan malah menambah rumit dan kacau kondisi krisis politik, tidak menghadirkan ketenangan bagi rakyat Mesir.

Berkenaan dengan referendum tentang kelangsungan kekuasaannya, sebenarnya Presiden Mursi bersikap menerima saja. Namun beliau memandang bahwa referendum sebaiknya dilakukan setelah selesai pemilu legislatif yang rencananya akan dilaksanakan pada bulan September 2013. Baru setelah itu dibentuk kabinet, sehingga tidak ada kekosongan negara atau kekuatiran terancamnya proses demokrasi yang sedang dijalankan. Kerana proses demokrasi adalah hasil kerja keras seluruh rakyat Mesir, melalui dua kali referendum dan dua kali pilihanraya umum.

Namun saat itu pihak-pihak tertentu memaksakan diadakannya referendum dua minggu lagi setelah tanggal 30 Julai 2013. Hal ini ditolak Presiden Mursi kerana suasana ketika itu sungguh panas dan mencengkam sehingga mustahil akan terlaksana referendumm yang bersih dan bebas. Kalau referendum itu dipaksakan maka yang akan terjadi adalah pengesahan terjadinya kudeta militer saat itu.

Presiden Mursi pada tanggal 2 Julai menyampaikan usulan penyelesaian krisis politik saat itu. Usulan beliau sangat lengkap. Tapi usulan tersebut ditolak. As-Sisi berkeras mengambil alih kekuasaan, dan ternyata road map yang disampaikan As-Sisi pun sama persis dengan usulan Presiden Mursi. Hanya ada dua poin yang berbeza, yaitu penggulingan Presiden dan pembekuan konstitusi. Dari sini jelas arah yang diinginkan oposisi dan militer saat itu.

Sumber Asal: dakwatuna

Gambar kereta 12 tahun bahayakan pengguna jalan raya?

http://naimnikmat.blogspot.com, 19 Nov 2013

HIMPUNAN GAMBAR KERETA LAMA LEBIH 12 TAHUN YANG MEMBAHAYAKAN PENGGUNA JALANRAYA.

Kereta lebih 12 tahun memang bahaya???

Selamat tinggal KPF

Irfan ES,
Seperti biasa, kisah ini tidak menjadi sesuatu yang menggemparkan – ia disenyapkan oleh media massa, atau dilagukan sebagai sesuatu yang positif kepada peneroka Felda. Tetapi bagi mereka yang terlibat secara langsung (keluarga peneroka) dan faham tentang isu yang sedang melanda, berita ini merupakan sesuatu yang amat menggerunkan.

Pada 27 Oktober lalu, mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah meluluskan usul penjualan baki 51 peratus saham Felda Holdings yang dimilikinya kepada syarikat bermasalah yang kita kenali Felda Global Ventures Holdings (FGV).

Mulanya saya tidak sedar akan perkara ini akibat terlalu sibuk dengan kerja. Saya tahu menerusi laman Facebook saudara Mazlan Aliman tentang cadangan penjualan ini dalam sebulan lepas, tetapi sangka saya ia akan ditolak dalam mesyuarat agung KPF itu nanti. Cuma hari ini apabila ditanya oleh ayah saya (seorang peneroka Felda), baru saya gali semula perkembangan proses tersebut, dan apa yang saya jumpa amat memeranjatkan.

Hanya satu perkataan boleh saya gunakan untuk menggambarkan penjualan itu – gila!

Asal-usul Felda

Terlebih dahulu mari kita secara ringkas menyusuri asal-usul penubuhan Felda. Tanah rancangan Felda dibuka bagi membantu rakyat yang tidak bertanah agar mendapat tanah pertanian untuk diusahakan (walaupun sebenarnya hanyalah pajakan 99 tahun, bukan hak milik tetap).

Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 digubal membolehkan kerajaan persekutuan membuka tanah yang asalnya di bawah kuasa kerajaan negeri dengan syarat ia kemudiannya diberi kepada rakyat. Maka orang ramai pun masuk ke kawasan-kawasan tanah rancangan ini. Mereka dipanggil peneroka Felda.

Pada era Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau telah mengubah semua ini atas dasar pensyarikatan Malaysia dan penswastaan. Tanah masih dibuka, tetapi tidak diberikan kepada rakyat. Sebaliknya ia diletakkan di bawah syarikat Felda Holdings yang ditadbir oleh Felda di bawah seliaan kerajaan persekutuan. Sebab itulah kini kita tidak lagi mendengar rancangan Felda baru didirikan walaupun begitu ramai rakyat tidak mempunyai tanah dan rumah.

Meskipun ini sebenarnya melanggar matlamat asal Akta Tanah itu sendiri, tetapi ia masih diterima dengan janji bahawa keuntungan Felda Holdings akan diagihkan kepada peneroka  (dan keluarga) dan staf Felda sedia ada menerusi pegangan saham KPF. Ada peneroka menerima saham KPF bernilai RM 10,000 dan bayaran semula dibuat beransur-ansur melalui potongan dividen saham berkenaan. Selebihnya perlu dibeli sendiri oleh peneroka sampai nilai maksimum tidak melebihi RM 200,000 bagi setiap keluarga.

Kemunculan FGV

Felda Global Ventures Holdings (FGV) ditubuhkan pada 2007 sebagai sayap Felda dalam bidang-bidang komersial. Pada Jun 2012, FGV telah disenaraikan di bursa saham Malaysia. Dengan kata lain, kini FGV dibuka untuk semua, tidak kira sama ada anda peneroka Felda, rakyat Malaysia, orang asing atau para kapitalis dari Barat atau Israel.

Pada waktu itu FGV memegang 49 peratus saham Felda Holdings, yang kini hasil dan keuntungannya bukan lagi untuk para peneroka sebagaimana asal tujuan Felda ditubuhkan, tetapi untuk para pelabur yang tidak kita kenali.

Malangnya (seperti yang dijangka), FGV tidak pergi jauh. Malah nilai sahamnya menyusut dari semasa ke semasa sehingga kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli saham-saham FGV bagi mencegah harganya daripada terus merundum.

Namun itu semua belum cukup.

Felda Holdings (dan hak peneroka) dijual

Perladangan kelapa sawit adalah nadi utama Felda. Dari situ pelbagai industri berasaskan minyak sawit boleh dibuka, daripada kilang pemprosesan minyak sawit, makanan, pengangkutan bahan-bahan ini, eksport dan lain-lain. Kebanyakan syarikat yang mengendalikan bidang-bidang ini berada di bawah Felda Holdings, yang 51 peratus sahamnya dipegang oleh KPF.

Pulangan dividen KPF buat peneroka dan staf Felda pula adalah agak memberangsangkan – tidak pernah kurang daripada 10 peratus setiap tahun, malah pernah mencecah 18 peratus. Pada tahun 2013 sahaja dividen KPF ialah 16.5 peratus. Dalam istilah perniagaan, Felda Holdings bolehlah disifatkan sebagai ‘cash cow’ – sumber utama kewangan KPF.

Tiba-tiba pada 27 Oktober lalu, semua baki 51 peratus saham KPF dalam Felda Holdings dijual kepada FGV. FGV memerlukan keseluruhan Felda Holdings untuk memperkukuh kedudukannya memandangkan Felda Holdings amat menguntungkan.

Apa yang tinggal untuk peneroka Felda?

Lalu diberitakanlah bahawa wang jualan saham Felda Holdings itu akan dilaburkan KPF dalam sektor-sektor lain. Persoalannya, sektor apa yang lebih menguntungkan?

Perumpamaan mudah. Anda sudah ada sebidang tanah subur dengan hasil yang sangat banyak setiap tahun. Tiba-tiba anda hendak jual tanah itu supaya anda boleh buka kedai di bandar dalam keadaan untung ruginya belum dapat dipastikan. Dalam masa yang sama anda turut menyedari bahawa perniagaan bukanlah kemahiran anda. Sebab itu saya katakan ini kerja gila.

Kembali kepada mesyuarat agung 27 Oktober lalu. Dikatakan hampir semua perwakilan KPF meluluskan usul penjualan tersebut. Tetapi, siapakah para perwakilan KPF ini?

Di setiap tanah rancangan Felda ada koperasinya. Koperasi ini menguruskan pelbagai urusan perniagaan berkaitan peneroka, termasuk membelikan baja untuk peneroka sehinggalah menjual barangan keperluan harian. Setiap koperasi ini ada ahli lembaga pengarah dan pemimpinnya.

Dan yang datang bermesyuarat pada 27 Oktober lepas adalah pemimpin-pemimpin koperasi ini, bukannya pemegang saham KPF. Sesetengah pemimpin koperasi ini ada yang sudah pun menjual semua sahamnya dalam KPF. Manakala para peneroka yang menyimpan dalam KPF tidak tahu-menahu langsung tentang mesyuarat terbabit.

Saya ada mengenali peneroka Felda yang menabung sejak usia mudanya untuk disimpan dalam KPF sehinggalah nilai sahamnya mencecah jumlah maksimum. Saya juga ada mengenali anak-anak peneroka yang membuat pinjaman besar di bank untuk digunakan bagi melabur dalam KPF. Jika mereka ini yang hadir ke mesyuarat tersebut, adakah usul penjualan Felda Holdings diluluskan semudah itu?

Kemudian datang pula cerita tentang saguhati buat peneroka Felda atas penjualan (dan kerugian) ini. Dan telah diputuskan bayaran dibuat sama rata untuk semua peneroka, tidak kira sama ada anda telah menabung seumur hidup buat menyimpan dalam KPF atau pun anda telah mengeluarkan semua wang anda daripada KPF.

Jadi, apa yang tinggal untuk peneroka Felda? Mungkin kenangan manis bagaimana suatu masa dahulu Felda berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

Syukurlah, sekurang-kurangnya Malaysia masih aman. Dan syukurlah sekurang-kurangnya Felda bayar zakat, bukan seperti Petronas.

Tiada ulasan: