Jumaat, 15 November 2013

HILANG ANAK KENA RISAU DAN GUNDAH GELANA....KITA JUGA KENA LAGI RISAU KALAU HILANG AKIDAH.....BERSIHKANLAH JUGA DARI DOSA DAN SYIRIK

Mohon doa, solat hajat temui pelajar hilang

Arif Atan, 15 Nov 2013
KOTA BELUD: Usaha mencari beserta doa kepada Allah diteruskan meskipun Muhammad Syahmi, 10, lebih seminggu gagal ditemui ketika sedang berkelah bersama beberapa rakannya di pantai Kampung Nanamun di sini.

Pelajar Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (Ataqwa) yang hilang sejak 2 November, pukul 5.30 petang itu didaftarkan ayahnya, Haryadi Osing, 35, di pusat pengajian Islam tersebut kira-kira sebulan lalu.

Pengarahnya, Farhan Abdullah, 43, berkata, kes kehilangan pelajarnya itu kali pertama berlaku sejak Ataqwa ditubuhkan pada 2010 dengan jumlah muridnya kini mencecah lebih 100 orang.

"Kita memohon kepada kaum muslimin dan muslimat untuk meneruskan doa dan solat hajat supaya murid yang baik dan bijaksana ini selamat ditemui," katanya.


Ayah Syahmi, Haryadi Osing, 35, kemudiannya ketika dihubungi Harakah memberitahu usaha mencari masih diteruskan pihak jabatan dan agensi kerajaan terbabit selain bantuan pengamal perubatan tradisional.

GST: Bagaimana ia bebankan rakyat?

Harakahdaily, 15 Nov 2013
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pada 2015 semakin tersasar perdebatannya.

Masalah terbesar GST pada rakyat awam, terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana ialah mereka terpaksa membayar untuk kos lebihan yang ditanggung oleh golongan pengilang, pemborong dan peniaga.

Mudahnya, apabila sesuatu barang atau produk semudah roti dikeluarkan, kerana GST, kos penghasilan roti akan meningkat.

Tarif elektrik yang dikenakan GST, kos pengangkutan yang dikenakan GST, perkhidmatan penyeliaan mesin-mesin yang membuat roti dikenakan GST, pencetakan pembalut roti dikenakan GST dan sebagainya.

Apakah pengeluar akan 'menelan' kos tambahan ini?

Sudah tentu tidak. Maka caranya ialah meningkatkan harga roti untuk menampung kos yang semakin meningkat tersebut.

Siapa yang membayar untuk roti harga tinggi?

Tentulah para pengguna, yang rata-rata terdiri daripada golongan yang tersepit dengan kekangan ekonomi kehidupan.

Yang membezakan harga akhir roti hanyalah tempat di mana roti tersebut dibeli.

Jika ia dibeli di pasaraya, bayarlah enam peratus sebagai cukai GST untuk pendapatan kerajaan.

Jika beli di kedai runcit, bayarlah pada harga roti asal tapi sudah dinaikkan harganya.

Yang membeli di kedai runcit, kerajaan akan kata lihat GST tidak terkena pada para pembeli roti di sana.

Walhal, para pembeli sana membayar harga roti yang sudah termasuk kos pengeluaran yang bertambah hasil daripada GST.

Ini baru roti. Lihatlah semua perkara yang lain, termasuk perubatan.

Itulah masalahnya pada GST.

Pemilihan: Ingat akhirat sewaktu kempen

Harakahdaily, 15 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Mutakhir ini terlalu banyak penulisan yang dihantar melalui medium baru sama ada whatsApp, facebook, twitter dan lain-lain yang melampaui batas susila dan akhlak berjemaah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tulisan atau gambaran melampaui batas susila akhlak Islam tentu tidak layak mewakili jamaah Islam.

“Saya berharap tulisan-tulisan sedemikian bukan dari kalangan ahli PAS, dan ia sekadar saraf musuh untuk memecahkan jamaah.

“Kita wajib beringat bahawa kita bertanggungjawab nanti di hadapan Allah dengan apa yang kita tulis atau lakaran dalam apa jua bentuk.

“Ingatlah, semua tulisan yang kita muatkan akan dibaca oleh pelbagai kategori manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, beliau menyeru ahli-ahli PAS agar menapis setiap berita dan karikatur sebelum dimuat naik atau sebarkan kepada orang lain.

Beliau mengIngatkan bahawa setiap apa yang ditulis atau disebarkan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

“Ingat kepada nasihat Saidina Umar: Andainya akhlak kita sama dengan akhlak musuh kita, Allah tidak akan membantu dan memberi kemenangan kepada kita.

“Marilah kita sama-sama memelihara akhlak jamaah. Jangan bagi peluang untuk pihak musuh memasukkan jarum untuk memecahkan jamaah yang kita cintai ini. Semoga Allah ampuni dosa-dosa kita,” ujarnya lagi.

Kedaifan setinggan Kampung Karamunting Laut

Hilmi, 15 Nov 2013
SANDAKAN: Setinggan di Kampung Karamunting Laut ini terletak dalam Parlimen Batu Sapi dan hanyalah berjarak 9 km dari kepesatan pekan Sandakan, Sabah.

Hampir satu ribu orang menetap di situ dan semuanya bragama Islam.  Akibat kelemahan sistem dokumentasi dan desakan kemiskinan, sebahagian mereka tidak mempunyai kad pengenalan, tiada sijil kahwin dan yang menjadi mangsa adalah anak-anak kecil yang gagal mendapat surat beranak.

Implikasinya sangat besar, sebahagian besar anak di situ gagal mengikuti sistem persekolahan yang menjadi hak asasi seorang warganegara.

Setinggan kayu itu hanya dibina di atas pesisir laut Sulu, menanti roboh jika diserang ombak kuat.

Sebahagian lantai laluan jalan kaki sudah reput dan hanya menanti mangsa yang terjerlus jatuh di dalam laut.

Apabila air pasang, air laut akan melimpah hampir mencecah lantai dan lambakan sampah bertebaran. Kedaifannya sangat di luar jangkaan.

Hanya terdapat satu sambungan sumber eletrik untuk semua keluarga dan disalurkan melaui wayar extension yang bersambung-sambung.

Sistem saluran air bersih sangat teruk dan sisa kumbahan hanya jatuh ke dalam laut. Penduduk sudah kebal dengan bau busuk dan sampah yang melimpah.

Satu perkara paling merisaukan, kawasan setinggan itu terletak hanya beberapa meter bersebelahan dengan depot tangki miyak Petron yang dipisahkan dengan selapis pagar zink.

Andai berlaku sesuatu yang tidak diingini di depot minyak itu, penduduk tiada pilihan lain melainkan terjun ke laut kerana laluan utama ke sana sangat sempit dan hanya dipisahkan dengan pagar zink dan tebing laut.

Pada sabtu 9 november yang lepas, Pemuda PAS Sandakan turun padang membaiki sebuah sekolah untuk anak-anak setinggan yang tidak dapat ke sekolah kebangsaan termasuk sumbangan buku-buku, kerusi meja, dan lain-lain.

Sekolah itu masih memerlukan banyak lagi bantuan samada berbentuk material ataupun program pendidikan.

Keprihatinan aktivis masyarakat dan orang awam sangat dialu-alukan.

Memali: Bukan hanya salah The Star

Ahmad Lutfi Othman, 15 Nov 2013
Berbanding akhbar-akhbar milik Umno dan komponen BN yang lain, The Star yang dikuasai sepenuhnya oleh MCA, tetap dilihat mempunyai keunikan tersendiri.

Sebelum Operasi Lalang, hujung 1987, yang menyaksikan hampir 110 aktivis ditahan ISA tanpa bicara dan penggantungan permit penerbitan beberapa akhbar, termasuk The Star, Watan dan Sin Chew Jit Poh, akhbar ini boleh berbangga dengan kebebasan editorialnya.

Kita masih dapat membaca pandangan kedua, yang tidak digemari elit pemerintah. Malah, tulisan penasihatnya, Tunku Abdul Rahman juga dilihat berani dan berterus terang. Malah,
paparan muka depannya, dengan tajuk besar DETAINED, tentang tangkapan awal 27 Oktober 1987, mudah diingati dan dianggap "klasik".

Sepanjang lebih 25 tahun kemudiannya, meskipun kualiti kandungannya terjejas, terutama apabila membabitkan oposisi, The Star masih memuatkan analisis dan sudut pandangan menarik.

Sekurang-kurangnya masih boleh ditatap berbanding rencana dalam Utusan Malaysia ataupun Berita Harian! Dan saya secara peribadi meminati analisis wartawan kanannya, Joceline Tan, terutama ketika membuat sorotan terhadap situasi parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Nampak adil, tidak bias dan cuba mengangkat isu-isu yang cukup relevan dengan tema utama.

Namun begitu, sikap akhbar ini terhadap Islam cukup menyedihkan. PAS sentiasa digambarkan sebagai parti Islam yang ekstrem dan mengancam kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Kita tidak perlu menunggu lama untuk membaca laporan penuh syak wasangka dan "bermotif jahat" tentang apa-apa perkembangan berkaitan bukan Islam di Kelantan, misalnya mengenai peraturan kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) Kota Bharu.

Ketika PAS dianggap parti kecil dan tercorot dalam Pakatan, serta ditohmah menjadi kuda tunggangan DAP, The Star melihat daripada sudut berbeda. Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang cuba ditonjolkan sebagai bakal Perdana Menteri jika Pakatan menang dalam PRU13. Dalam sudut ini, ia berada dalam posisi bertentangan dengan Utusan Malaysia.

Sokongan perwakilan PAS, dalam muktamar di Kota Bharu pada 2012, kepada Ustaz Hadi sebagai bakal PM dijadikan tajuk muka depan The Star. Tujuannya adalah untuk menakutkan masyarakat bukan Islam, dengan anggapan PAS akan menerajui kerajaan baru dan melakukan pembaharuan yang tidak disenangi non-Muslim.

Sebagai seorang wartawan, saya sedikit sebanyak dapat memahami fungsi dan peranan politikal The Star ini, terutama untuk menjauhkan masyarakat Tionghua daripada PAS. Tidak pelik pun jika ia menjalankan tugas strategik itu, apatah lagi dalam kedudukan MCA kini pada tahap terburuk.

Cuma, saya tetap curiga apabila The Star seringkali tidak dapat "menangkap" sensitivi umat Islam, yang diserlahkan dalam beberapa laporan, misalnya hidangan daging babi semasa Ramadan.

(Dari sudut lain, saya seakan-akan mencemburui kejayaan The Star, terutama untuk kekal sebagai akhbar paling tinggi edarannya dan mungkin prestasi terbaik dalam aspek komersil).

Justeru, apabila akhbar Inggeris terlaris ini menyenaraikan Peristiwa Memali sebagai, antara kes ajaran sesat terbesar, susulan laporan tentang pembunuhan pegawai kanan Jabatan Agama Islam Pahang, yang dipercayai dilakukan kumpulan Tuhan Harun, saya "dapat memahami puncanya".

Selain sikap prasangka The Star, saya lebih suka merujuk dokumen rasmi kerajaan mengenai tragedi berdarah yang mengorbankan Assyahid Ibrahim Libya, anak-anak muridnya dan anggota keselamatan ini.

Dalam Kertas Putih yang dikeluarkan pada 25 Februari 1986, kira-kira tiga bulan selepas Peristiwa Memali,  diakui bahawa operasi polis pada 19 November 1985 itu adalah untuk menangkap Ustaz Ibrahim dan dua orang lain, yang dikatakan terlibat dalam kegiatan jenayah, di bawah ISA.

Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam menyifatkan Ustaz Ibrahim sebagai pelampau agama. Dalam Kertas Putih itu disertakan juga dua gambar, kononnya menunjukkan "tangkal azimat yang digunakan oleh pengikut Ibrahim Mahmood" dan "kolah yang mengandungi air berjampi". Soal tangkal, jampi dan azimat juga disebut secara khusus.

Dalam memoir Doktor Umum (terbitan MPH< 2012), Dr Mahathir Mohamad, pada halaman 7 dan 8, telah menyenaraikan  beberapa insiden "pelampau Melayu Islam". Tiga insiden dipilih Dr Mahathir  sebagai contoh.

Pertama, pada 26 Mei 1979, kes pencerobohan kuil Hindu, yang mengakibatkan empat terbunuh. Kedua, pada 16 Oktober 1980, di Batu Pahat, Johor, penganut ajaran sesat menyerang sebuah balai polis dan lapan mati. Ketiga, "satu lagi peristiwa yang seakan-akan sama, tetapi lebih serius berlaku pada lewat 1985 apabila seorang lelaki bergelar Ibrahim Libya dan pengikut fahaman sesatnya memberontak di Kampung Memali, Baling, Kedah."


Difahamkan, Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada skrin di bilik pamerannya, masih menggunakan istilah "ketua penjenayah", merujuk kepada Ustaz Ibrahim.

Pada hemat saya, selain menuntut sensitiviti The Star, segala dokumen rasmi pemerintah terhadap Peristiwa Memali, termasuk catatan personal tokoh berpengaruh -- seperti dalam memoir bekas Perdana Menteri itu -- hendaklah diperbetulkan. Semua tohmahan yang sarat dengan motif jahat mesti dibersihkan.

Kerajaan perlu memohon maaf dan membayar pampasan setimpal kepada mangsa dan keluarga. Jika bekas Ketua Hakim Negara dan lima Hakim Mahkamah Agung yang dipecat dan digantung dalam "krisis kebebasan badan kehakiman" era Dr Mahathir pada 1988 boleh diberikan "pampasan" oleh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi pada April 2008,  mengapa pejuang rakyat yang dizalimi tidak berhak, sekurang-kurangnya  untuk dipulihkan nama baik mereka?

Bukan hanya ISA -- yang ditentang habis-habisan dan dipertaruhkan dengan nyawa Ustaz Ibrahim -- dimansuhkan, malah lebih penting, nama baik semua tahanan akta rimba itu mesti dipulihkan, termasuk sejak zaman Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Al-Helmi. (Ramai tidak menyedari, berbeda dengan tahanan-tahanan tanpa bicara yang lain, Ustaz Ibrahim tidak bersedia untuk dikurung begitu sahaja; beliau menentang ISA sehingga nyawanya melayang).

Sedih sekali, penghormatan Sultan Kedah, yang pernah menziarahi pusara Assyahid Ibrahim Libya, di Pasir Panjang, dan menyiram air mawar, seperti tidak dipedulikan. Maka satu tindakan lebih menyeluruh harus dibuat untuk menghentikan tohmahan tidak berasas ini.

Semasa meneliti buku Memali Kenangan Seorang Polis (terbitan Marshall Cavendish, 2012), karya Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, Ketua Polis Daerah Baling ketika tragedi berdarah itu berlaku, saya tertarik dengan rumusan penulis pada halaman 99:

"Ibrahim Mahmood bukanlah seorang penjenayah dan dia juga bukan seorang pengganas komunis yang sangat dikehendaki 'Hidup atau Mati'. Dia cuma seorang ahli politik (yang agak militan, mungkion). Di kalangan masyarakat setempatnya dia seorang Tok Guru yang sangat dihormati."

Peguam Negara perlu bersihkan diri dari tuduhan

Harakahdaily, 15 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail (gambar) harus tampil di hadapan umum bagi menjawab segala dakwaan salah laku membabitkan diri beliau dan tidak hanya mengadakan pertemuan tertutup dengan pegawai-pegawai kanannya bagi menjelaskan kontroversi yang timbul, kata  Timbalan Pengerusi II Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi.


Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, beliau dimaklumkan wujud pertemuan tertutup antara Abdul Ghani dengan pegawai-pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara pada minggu lepas.

Pertemuan itu diadakan oleh Abdul Ghani bagi menjelaskan beberapa tuduhan salah laku membabitkan  dirinya seperti insiden pemalsuan bukti kes ‘mata lebam’ Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemalsuan gambar di dalam perbicaraan tuntutan Pulau Batu Putih di ICJ dan juga kes pendakwaan ke atas Tun Dr Ling Liong Sik berkaitan skandal PKFZ.


“PAS berpandangan penjelasan tertutup adalah tidak memadai. Gani harus berani untuk bertanggungjawab kepada umum dengan memberikan penjelasan kepada rakyat.


“Buat permulaan, kami menuntut Abdul Ghani supaya menjelaskan apakah status beberapa kes rasuah berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin-pemimpin Umno dan apakah alasan beliau untuk tidak memulakan pendakwaan di dalam kes-kes tersebut,” tegas Ahmad Zamri.

Antara kes-kes yang perlu dijelaskan Peguam Negara adalah:


1) Kes bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputra yang menerima dua keping cek bernilai RM30,000 dan RM80,000 daripada syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn. Bhd. yang dikatakan berkaitan dengan permohonan syarikat terbabit untuk melanjutkan kontrak penyelenggaraan bangunan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar Johor Bharu.

Mengapa tiada pendakwaan dibuat ke atas Dr Awang Adek meskipun Dr Awang Adek tidak langsung mencabar Notis Perlucutan Hak Harta (Forfeiture of Property) yang dikeluarkan oleh SPRM di atas perintah mahkamah di bawah Seksyen 41 (1) Akta SPRM 2009 bagi merampas wang tersebut?


2) Aduan yang dibuat oleh bekas Setiausaha Wanita Umno Bahagian Baling, Norhashiah Ibrahim terhadap Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkaitan dengan pembukaan akaun bank yang mencurigakan pada tahun 2010 di mana nama dan tandatangan pengadu telah digunakan tanpa pengetahuan pengadu dan terdapat pembayaran-pembayaran yang meragukan ke dalam akaun tersebut.


“Jika Gani mengatakan beliau tidak menjalankan pendakwaan secara ‘terpilih’ dan melaksanakan tugasnya berdasarkan peruntukan undang-undang, maka rakyat perlu mendapat penjelasan yang jujur daripada Gani berkaitan dengan dua kes di atas,” ujar Ahmad Zamri.

Perkara-perkara yang membatalkan syahadah

Diantaranya adalah :

1. Syirik kepada Allah swt. Sebagaimana didalam firman Allah swt :-

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar." - [An-Nisaa': 48].

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَار "Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim." [Al-Maaidah : 72].

2. Pengambilan seseorang atau sesuatu sebagai perantara dalam berdo'a atau beribadah kepada Allah. Sebagaimana firman Allah swt :-

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ "Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)." - [Az-Zumar : 3]

3. Tidak mengkafirkan orang-orang musyrik atau meragukan kekafiran mereka atau membenarkan agama mereka.

4. Mempercayai bahawa ada ajaran lain yang lebih benar dan sempurna dari ajaran Nabi Muhammad saw atau adanya hukum-hukum yang lebih baik dari hukum-hukum Nabi Muhammad saw seperti halnya orang-orang yang lebih menyukai hukum-hukum thaaghuut daripada hukum-hukum Nabi saw, atau menganggap hukum Islam sudah tidak sesuai lagi atau menganggap hukum Islam adalah sebab dari kemunduran kaum muslimin pada zaman ini atau menganggap agama Islam hanya sesuai untuk mengatur hubungan antara pribadi-pribadi dengan Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt :-

إِنَّا أَنْزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendeta-pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir. " - [Al-Maidah : 44]

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَنْ تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ "Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa dan mata dibalas dengan mata dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." - [Al-Maidah : 45]

وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ الْإِنْجِيلِ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ "Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. "- [Al-Maidah : 45,47]

5. Membenci sesuatu dari apa-apa yang diajarkan Rasulullah saw, walaupun perkara itu dikerjakan oleh orang tersebut. Sabda Nabi saw :

فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي “Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku”. (Muttafaq `Alaih)

6. Mengejek, Mencemuh, Memperli atau mencela sesuatu dari agama Islam. Sebagaimana firman Allah swt :-

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ. لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ. "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah." - [Al-Taubah : 65-66]

7. Melakukan perbuatan sihir, bagi yang melakukannya atau ridha terhadapnya. Firman Allah swt :-

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنْفَعُهُمْ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ "Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui"- [Al-Baqarah :102].

8. Mendukung dan membantu kaum kuffar dalam melawan, menindas dan memusuhi kaum muslimin, dan dia adalah kufur akbar. Firman Allah swt :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ. "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. " -[Al-Maaidah : 51)

9. Sesiapa yang menyangka bahwa orang-orang boleh keluar dari syari'at Islam, maka orang itupun batal Islamnya dan menjadi orang kafir. Firman Allah swt :-

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا "Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. " - [Al-Nisaa :60].

10. Barangsiapa yang acuh (lekeh) kepada agama Islam, tidak mempelajarinya dan tidak mengamalkannya, maka orang itu adalah orang kafir. Firman Allah swt :-

كَذَلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ مَا قَدْ سَبَقَ وَقَدْ آتَيْنَاكَ مِنْ لَدُنَّا ذِكْرًا. مَنْ أَعْرَضَ عَنْهُ فَإِنَّهُ يَحْمِلُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وِزْرًا . خَالِدِينَ فِيهِ وَسَاءَ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حِمْلًا . "Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan. Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya dia pada hari kiamat menanggung beban (dosa) yang berat. Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat, (Iaitu) hari ditiup Sangkakala dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu" - [Al-Thaha :99-101) 
 20 Perkara Yang Boleh Membatalkan Syahadah

1. Tawakkkal atau bergantung harap kepada sesuatu selain daripada Allah.

2. Mengengkari nikmat Allah samada yang terang atau tersembunyi, sesuatu yang mudah difikir atau yang memerlukan kajian. Bukanlah menjadi bidang kuasa manusia dalam urusan memberi dan menahan rezeki seseorang tetapi ia merupakan hak Allah.

3. Beribadat khusus, berkerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana segala yang kita lakukan mestilah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah.

4. Menggubal undang-undang atau peraturan mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah sedangkan hanya Allah sahaja yang berhak menentukan peraturan manusia.

5. Menumpukan segala ketaatan kepada selain daripada Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.
6. Menjalankan hukuman yang lain daripada hukum Allah atau tidak merujukkan kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.

7. Membenci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau pun membenci agama Islam secara keseluruhannya.

8. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat di mana dia menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam kehidupannya.

9. Menghina sesuatu daripada al-Quran atau hadis atau pun kitab orang alim yang menegakkannya atau pun mempersendakan hukum daripada hukum Allah.

10. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharam apa yang dihalalkan oleh Allah

11. Tidak beriman kepada semua sumber hukum daripada al-Quran dan hadis.

12. Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang yang berakidah Islam dan beriman.

13. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah S.A.W. di mana bagi mereka yang datang selepas kewafatannya mesti beradab dalam percakapan, penulisan dan syarahan.

14. Rasa takut dan gentar dalam menegakkan Islam dan rasa lapang, riang dalam menegakkan perkara syirik.

15.Menyatakan bahawa al-Quran terdapat pertentangan antara ayat yang zahir dan isi yang terkandung dalam ayat itu dan juga menyatakan bahawa isi yang terkandung dalam ayat al-Quran hanya boleh difahami oleh setengah orang melalui ilham. Begitu juga bagi mereka yang menuduh perkara demikian terhadap sunnah nabi.

16. Tidak mengetahui tentang makrifat Allah dengan pengenalan yang jelas serta mengengkari sifat ketuhananNya atau nama-nama Allah.

17. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan bahawa adanya sifat yang terpuji yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat kepujian atau tidak beriktikad bahawa baginda adalah sebagai contoh ikutan utama bagi umat manusia.

18. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah engkar syahadah dan tidak menghalalkan perang dengan mereka.

Suatu kaedah : "Sesiapa yang mengkafirkan orang mukmin maka ia menjadi kafir, sebaliknya sesiapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka dia menjadi kafir. Sesiapa yang syak tentang kekafiran orang kafir maka dia juga menjadi kafir."

19. Membuat sesuatu pekerjaan (ibadat) bukan kerana Allah seperti sembelih binatang bukan kerana Allah, sujud dan tawaf pada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.

20. Melakukan syirik khafi atau kecil di mana ia tidak membatalkan syahadah dan ia juga boleh boleh diubati dengan doa seperti solat kerana pujian manusia dan sebagainya.

-Buku bertajuk " Iman dan 20 perkara yang membatalkan syahadatain oleh As-Syahid Sayed Qutub, As-Syaikh Said Hawa dan Abu 'Ala Al-Maududi"
 
 
 

Tiada ulasan: