Jumaat, 29 November 2013

JANGAN CAKAP GITU...UNTUK MEMBENARKAN TINDAKAN KITA....UMUR DAN KUASA DITANGAN ALLAH...AMBIK IKTIBAR CERITA NABI YUSUF A.S

Isu kenaikan gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri Selangor kini hangat diperkatakan. Ramai yang menyifatkan kenaikan yang diusulkan oleh MB Selangor, Khalid Ibrahim dan diluluskan oleh Dun Selangor itu terlalu tinggi terutama bagi jawatan Speaker dan Timbalan Speaker yang hanya bertugas mempengerusikan sidang Dewan Undangan Negeri beberapa kali saja dalam setahun.

Struktur gaji baru itu ialah Menteri Besar daripada RM14,175 kepada RM29,250, anggota Exco daripada RM6,109 kepada RM20,250, Speaker daripada RM6,109 kepada RM22,500, Timbalan Speaker daripada RM3,327 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Selain Anwar Ibrahim selaku Penasihat Kerajaan Negeri Selangor yang menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi manakala Azmin Ali selaku Pengerusi PKR Selangor turut membantah dan meminta ia ditangguhkan, beberapa pihak lain turut juga membantah.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali menyindir bahawa kenaikan dengan mengatakan, gaji sebanyak itu, orang pekak, orang bisu dan golongan orang kelainan upaya (OKU) pun mampu menjadi wakil rakyat di negeri Selangor.

Beberapa pihak lain seperti pemimpin Umno, NGO pro Umno, Cuepacs dan lain-lain turut membantah kenaikan itu dan rata-rata menyatakan kerajaan negeri Selangor sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya diri sendiri.

Bekas MB Selangor, Abu Hassan Omar juga turut mengulas dengan menyatakan kenaikan itu tidak rasional dan tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Bahkan, katanya, ketika beliau menjadi Menteri Besar, kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan Selangor dan Adun tidak pernah dibincangkan kerana kerajaan pimpinannya ketika itu sentiasa memikirkan kebajikan rakyat. Ewah, ewah...begitu menyentuh kalbu kenyataan bekas MB Selangor ini yang kariernya berakhir kerana dinasihatkan berundur berikutan terdedahnya suatu skandal berkaitan dirinya.

Adun-Adun BN di Selangor pula bersikap double-standard di mana mereka hanya mempertikaikan peratusan kenaikan gaji MB, Exco, Speaker dan Timbakan Speaker tetapi mengalu-alukan kenaikan gaji bagi Adun dengan alasan beban tugas wakil wakil tidak kenal cuti dan tiada istirehat di hujung minggu. Walaupun membantah tetapi bersetuju untuk kepentingan sendiri.

MB Selangor, Khalid Ibrahim bagaimanapun mempertahankan kenaikan itu dan bertegas ia tetap akan dilaksanakan sebagaimana yang dijadualkan. Katanya, kenaikan itu bukan saja mengambil kira beban tugas wakil wakil rakyat dan anggota pentadbirann kerajaan yang kian bertambah tetapi juga kerana dipersetujui oleh semua Adun dan BN dan PR sebelum ini.

Sambil mempertahankan kewajaran kenaikan itu, beliau juga berkata, ia dilaksanakan dengan menjadikan kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri Sarawak pada Mei lalu sebagai rujukan dan perbandingan.

Kenaikan gaji yang diluluskan di Sarawak ialah Ketua Menteri daripada RM13,000 kepada RM39,000, Timbalan Ketua Menteri daripada RM11,500 kepada RM35,000, menteri kanan dan Speaker daripada RM9,000 kepada RM30,000, menteri daripada RM9,000 kepada RM27,000, pembantu menteri dan Timbalan Speaker daripada RM7,000 kepada RM21,000 dan Adun daripada RM4,500 kepada RM15,000.

Mukhriz Mahathir pula baru-baru turut menaikkan elaun Adun Negeri Kedah sebanyak RM1,300.

Secara logik dan idealnya, kenaikan gaji di Selangor ini tidak ada salah dan cacat-celanya, bahkan bersesuaian dengan tugas dan tanggungjawab mereka. MB, Exco dan Adun bukan saja bekerja selama antara 16 hingga 18 jam setiap hari, bahkan meteka juga banyak memberi sumbangan dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Orang sakit, isteri bersalin, bayar bil letrik, anak mahu sekolah, anak kahwin dan pelbagai lagi, semuanya selalu diadukan kepada wakil rakyat untuk meminta bantuan.

Semua sumbangan dan bantuan itu adalah menggunakan wang poket sendiri. Dengan adanya kenaikan itu, ia pasti meringankan sedikit bebanan mereka.

Kenaikan itu sebenarnya bukanlah untuk kepentingan peribadi, keluarga dan anak isteri untuk membeli-belah dan membeli beg tangan yang mahal-mahal tetapi akan menjadikan mereka lebih selesa menabur khidmat bakti kepada rakyat.

Lagi pula, Kerajaan Negeri Selangor telah membuktikan kecekapan, kebersihan dan kurangnya ketirisan dalam pentadbiran sehingga mempunyai simpanannya kini mencecah sebanyak lebih RM2.7 billion. Ini merupakan suatu sejarah bagi Selangor dan tidak pernah dicapai oleh mana-mana era kepimpinan MB sebelum ini.

Memang betul ketika zaman Abu Hassan, beliau tidak pernah membincangkan soal kenaikan gaji tetapi tanyalah juga beliau, berapakah rizab kerajaan negeri ketika beliau menjadi MB Selangor?

Dengan rizab yang tinggi sekarang ini dan pentadbiran yang cekap yang telah terbukti, apalah salahnya kenaikan gaji itu. Tetapi kenaikan gaji selalunya akan diiiringi dengan peningkatan prestasi dan khidmat bakti. Anggota pentadbiran dan wakil rakyat Selangor juga pasti tidak banyak mengeluh lagi dengan adanya kenaikan ini. Inilah sebenarnya falsafah kenaikan itu.

Bagi Speaker dan Timbalan Speaker, walaupun kenaikannya agak tinggi berbanding gaji sebelum ini tetapi ia sebenarnya sesuai dengan status dan kedudukan mereka dalam sistem pentadbiran kerajaan. Dengan kedudukan gaji yang lebih baik, rakyat juga akan lebih menghormati kedudukan mereka.

Selain itu, kenaikan gaji ini juga mengurangkan berlakunya amalan rasuah dan tidak amanah dalam menjalankan tugas di kalangan anggota pentadbiran kerajaan. Lihatlah kedudukan MB, Exco dan wakil rakyat Selangor ketika era BN, walaupun gaji mereka tidak tinggi tetapi hampir kesemuanya diketahui mempunyai kehidupan yang mewah, rumah besar, kereta besar yang jika diukur secara logik, langsung tidak sepadan dengan gaji dan pendapatan mereka.

Di Singapura memang diketahui, Perdana Menteri dan menteri-menterinya mempunyai gaji yang paling tinggi dalam dunia tetapi lihatlah kecekapan dan kegigihan mereka dalam membangunkan negara itu. Bahkan kejadian rasuah yang melibatkan pemimpin kerajaannya hampir tidak pernah kedengaran.

Dalam kes Selangor ini, sewajarnya Khalid Ibrahim mempertahankan kenaikan itu. Tetapi apa yang perlu beliau lakukan selepas ini ialah mempastikan perbelanjaan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat turut dipertingkatkan. Berilah kemudahan dan keselesaan yang sewajarnya kepada rakyat negeri Selangor.

Buktikanlah kepada rakyat kenaikan gaji ini benar-benar berbaloi dengan perkhidmatan yang bakal diberikan. Di samping memastikan rizab atau tabungan kerajaan negeri terus kukuh, seimbangkanlah dengan kemudahan dan faedah untuk rakyat. Program kebajikan, perumahan, bantuan untuk golongan berpendapatan rendah harus sentiasa dipertingkatkan.

Jika ini dapat dilakukan, kewajaran mengapa kenaikan gaji dilakukan akan dapat difahami akhirnya. Mungkin sekarang banyak yang membantah tetapi masa akan menjawabnya nanti. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Nabi Yusuf A.S.

Nabi Yusuf adalah putera ke tujuh daripada dua belas putera-puteri Nabi Ya'kub. Baginda dikurniakan Allah rupa yang bagus, paras tampan dan tubuh yang tegap. Nabi Yusuf merupakan anak kesayangan Nabi Ya'kub menyebabkan saudara-saudaranya yang lain berasa iri hati.

Suatu hari, Nabi Yusuf melihat dalam mimpinya seakan-akan sebelas bintang, matahari dan bulan yang berada di langit turun dan sujud di depannya. Nabi Yusuf menceritakan mimpi itu kepada Nabi Ya'kub. Nabi Ya'kub melarang Nabi Yusuf menceritakan mimpi tersebut kepada saudaranya yang lain kerana bimbang mereka akan berniat jahat.

Akibat iri hati, saudara Nabi Yusuf merancang untuk meninggalkan Nabi Yusuf dalam telaga. Perancangan mereka berjaya. Yusuf yang ditinggalkan dalam telaga ditemui oleh kafilah yang kemudiannya bertindak menjual Nabi Yusuf. Nabi Yusuf dibeli oleh al-Aziz, seorang bangsawan Mesir yang sangat menyayanginya.

Zulaikha, isteri kepada al-Aziz jatuh cinta kepada baginda menyebabkan dia cuba mengajak Nabi Yusuf berbuat maksiat, namun Nabi Yusuf menolak. Perbuatan Zulaikha diketahui ramai dan mereka mengejinya.

Kerana malu, Zulaikha mengajak ramai wanita dan memberikan setiap wanita itu pisau dan buah untuk dikupas. Setelah melihat Yusuf, wanita-wanita itu terpesona lalu terhiris jari mereka sendiri. Kisah ini tersebar kepada menteri-menteri dan Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara walaupun baginda tidak bersalah.

Bagi Nabi Yusuf, penjara adalah suatu tempat yang damai di mana di dalamnya ia mampu menenangkan dirinya dan beribadat kepada Allah s.w.t. Di dalam penjara, Nabi Yusuf mentafsirkan mimpi dua orang tahanan dan menjadi nyata. Salah seorang dari mereka dimaafkan dan kembali bekerja untuk raja.

Pada suatu hari, raja bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir gandum hijau disamping tujuh butir yang lain kering. Tiada seorang di kalangan rakyatnya yang tahu maksud akan mimpi raja itu. Orang yang dikeluarkan dari penjara itu memaklumkan kepada raja bahawa Nabi Yusuf pandai mentafsir mimpi.

Yusuf menjelaskan kepada utusan raja bahawa negeri Mesir akan mengalami masa-masa yang subur selama tujuh tahun di mana saat itu tanaman-tanaman akan tumbuh segar. Orang-orang Mesir hendaklah memanfaatkan musim subur ini kerana setelah itu akan disusul dengan tujuh tahun musim kemarau dan tanaman-tanaman tidak menjadi. Kecerdasan Nabi Yusuf menyebabkan baginda dilantik sebagai wakil raja.

Tafsiran mimpi Nabi Yusuf pun menjadi kenyataan. Kerana kemarau panjang, ramai rakyat yang mengunjungi istana Mesir untuk mendapatkan makanan antaranya ialah saudara Nabi Yusuf yang membuang baginda ke telaga. Dengan kebijaksanaan Nabi Yusuf, mereka sekeluarga bertemu kembali.
KISAH NABI YUSUF ALAI HIS SALAM
Nabi Yusuf adalah putera ke tujuh daripada dua belas putera-puteri Nabi Ya'qub. Ia dengan adiknya yang bernama Benyamin adalah beribukan Rahil, saudara sepupu Nabi Ya'qub. Ia dikurniakan Allah s.w.t. rupa yang bagus, paras tampan dan tubuh yang tegap yang menjadikan idaman setiap wanita dan kenangan gadis-gadis remaja. Ia adalah anak yang dimanjakan oleh ayahnya, lebih disayang dan dicintai dibandingkan dengan saudara-saudaranya yang lain, terutamanya setelah ditinggalkan iaitu wafatnya ibu kandungnya Rahil semasa ia masih berusia dua belas tahun.

Perlakuan yang diskriminatif dari Nabi Ya'qub terhadap anak-anaknya telah menimbulkan rasa iri-hati dan dengki di antara saudara-saudara Yusuf yang lain, yang merasakan bahawa mereka dianak-tirikan oleh ayahnya yang tidak adil sesama anak, memanjakan Yusuf lebih daripada yang lain. Rasa jengkel mereka terhadap kepada ayahnya dan iri-hati terhadap Yusuf membangkitkan rasa setia kawan antara saudara-saudara Yusuf, persatuan dan rasa persaudaraan yang akrab di antara mereka. 
Saudara-saudara Yusuf mengadakan pertemuan rahsia
Dalam pertemuan rahsia yang mereka adakan untuk merundingkan nasib yang mereka alami dan mengatur aksi yang harus mereka lakukan bagi menyedarkan ayahnya, menuntut perlakuan yang adil dan saksama, berkata salah seorang daripada mereka: "Tidakkah kamu merasakan bahawa perlakuan terhadap kita sebagai anak-anaknya tidak adil dan berat sebelah? Ia memanjakan Yusuf dan menyintai serta menyayangi lebih daripada kita, seolah-olah Yusuf dan Benyamin sahajalah anak-anak kandungnya dan kita anak-anak tirinya, padahal kita adalah lebih tua dan lebih cekap daripada mereka berdua serta kitalah yang selalu mendampingi ayah, mengurus segala keperluannya dan keperluan rumahtanggannya. Kita merasa hairan mengapa hanya Yusuf dan Benyamin sahaja yang menjadi keistimewaan disisi ayah. Apakah ibunya lebih dekat kepada hati ayah berbanding dengan ibu kita? Jika memang itu alasannya, maka apakah salah kita? Bahawa kita lahir daripada ibu yang mendapat tempat kedua di hati ayah ataukah paras Yusuf yang lebih tampan daripada paras dan wajah kita yang memang sudah demikian diciptakan oleh Tuhan dan sesekali bukan kehendak atau hasil usaha kita? Kita amat sesalkan atas perlakuan dan tindakan ayah yang sesal dan keliru ini serta harus melakukan sesuatu untuk mengakhiri keadaan yang pincang serta menjengkelkan hati kami semua"

Seorang saudara lain berkata menyambung: "Soal cinta atau benci simpati adalah soal hati yang tumbuh laksana jari-jari kita, tidak dapat ditanyakan mengapa yang satu lebih rendah dari yang lain dan mengapa ibu jari lebih besar dari jari kelingking. Yang kita sesalkan ialah bahawa ayah kita tidak dapat mengawal rasa cintanya yang berlebih-lebihan kepada Yusuf dan Benyamin sehingga menyebabkannya berlaku tidak adil terhadap kami semua selaku sesama anak kandungnya. Keadaan yang pincang dalam hubungan kita dengan ayah tidak akan hilang, jika penyebab utamanya tidak kita hilangkan. Dan sebagaimana kamu ketahui bahawa penyebab utamanya dari keadaan yang menjengkel hati ini ialah adanya Yusuf di tengah-tengah kita. Dia adalah penghalang bagi kita untuk dapat menerobos ke dalam lubuk hati ayah kita dan dia merupakan dinding tebal yang memisahkan kita dari ayah kita yang sangat kita cintai. Maka jalan satu-satunya untuk mengakhiri kerisauan kita ini ialah dengan melenyapkannya dari tengah-tengah kita dan melemparkannya jauh-jauh dari pergaulan ayah dan keluarga kita. Kita harus membunuh dengan tangan kita sendiri atau mengasingkannya di suatu tempat di mana terdapat binatang-binatang buas yang akan melahapnya sebagai mangsa yang empuk dan lazat. Dan kita tidak perlu meragukan lagi bahawa bila Yusuf sudah lenyap dari mata dan pergaulan ayah, ia akan kembali menyintai dan menyayangi kita sebagai anak-anaknya yang patut mendapat perlakuan adil dan saksama dari ayah dan suasana rumahtangga akan kembali menjadi rukun, tenang dan damai, tiada sesuatu yang merisaukan hati dan menyesakkan dada"

Berkata Yahudza, putera keempat dari Nabi Ya'qub dan yang paling cekap dan bijaksana di antara sesama saudaranya: "Kita semuanya adalah putera-putera Ya'qub pesuruh Allah s.w.t. dan anak dari Nabi Ibrahim, pesuruh dan kekasih Allah s.w.t.. Kita semua adalah orang-orang yang beragama dan berakal waras. Membunuh adalah sesuatu perbuatan yang dilarang oleh agama dan tidak diterima oleh akal yang sihat, apa lagi yang kami bunuh itu atau serahkan jiwanya kepada binatang buas itu adalah saudara kita sendiri, sekandung, sedarah, sedaging yang tidak berdosa dan tidak pula pernah melakukan hal-hal yang menyakitkan hati atau menyentuh perasaan. Dan bahawa ia lebih dicntai dan disayangi oleh ayah, itu adalah suatu yang berada diluar kekuasaannya dan sesekali tidak dapat ditimpakan dosanya kepadanya. Maka menurut fikiran saya ialah dengan jalan yang terbaik untuk melenyapkan Yusuf ialah melemparkannya ke dalam sebuah perigi yang kering yang terletak di sebuah persimpangan jalan tempat kafilah-kafilah dan para musafir berhenti beristirehat memberi makan dan minum kepada binatang-binatang kenderaannya. Dengan cara demikian terdapat kemungkinan bahawa salah seorang daripada musafir itu menemui Yusuf, mengangkatnya dari dalam perigi dan membawanya jauh-jauh sebagai anak pungut atau sebagai hamba sahaya yang akan diperjual-belikan. Dengan cara aku kemukakan ini, kita telah dapat mencapai tujuan kita tanpa melakukan pembunuhan dan merenggut nyawa adik kita yang tidak berdosa."

Fikiran dan cadangan yang dikemuka oleh Yahudza itu mendapat sambutan baik dan disetujui sebulat suara oleh saudaranya yang lain dan akan melaksanakannya pada waktu dan kesempatan yang tepat. Pertemuan secara rahsia itu bersurai dengan janji dari masing-masing saudara hadir, akan menutup mulut dan merahsiakan rancangan jahat ini seketat-ketatnya agar tidak bocor dan tidak didengar oleh ayah mereka sebelum pelaksanaannya. 
Nabi Yusuf bermimpi
Pada malam di mana para saudaranya mengadakan pertemuan sulit yang mana untuk merancangkan muslihat dan rancangan jahat terhadap diri adiknya yang ketika itu Nabi Yusuf sedang tidur nyenyak, mengawang di alam mimpi yang sedap dan mengasyikkan, tidak mengetahui apa yang oleh takdir di rencanakan atas dirinya dan tidak terbayang olehnya bahawa penderitaan yang akan dialaminya adalah akibat dari perbuatan saudara-saudara kandungnya sendiri, yang diilhamkan oleh sifat-sifat cemburu, iri hati dan dengki.

Pada malam yang nahas itu Nabi Yusuf melihat dalam mimpinya seakan-akan sebelas bintang, matahari dan bulan yang berada di langit turun dan sujud di depannya. Terburu-buru setelah bangun dari tidurnya, ia datang menghampiri ayahnya, menceritakan kepadanya apa yang ia lihat dan alami dalam mimpi. Tanda gembira segera tampak pada wajah Ya'qub yang berseri-seri ketika mendengar cerita mimpi Yusuf, puteranya. Ia berkata kepada puteranya: "Wahai anakku! Mimpimu adalah mimpi yang berisi dan bukan mimpi yang kosong. Mimpimu memberikan tanda yang membenarkan firasatku pada dirimu, bahawa engkau dikurniakan oleh Allah s.w.t. kemuliaan, ilmu dan kenikmatan hidup yang mewah. Mimpimu adalah suatu berita gembira dari Allah s.w.t. kepadamu bahawa hari depanmu adalah hari depan yang cerah penuh kebahagiaan, kebesaran dan kenikmatan yang berlimpah-limpah. Akan tetapi engkau harus berhati-hati, wahai anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu itu kepada saudaramu yang aku tahu mereka tidak menaruh cinta kasih kepadamu, bahkan mereka cemburu kepadamu kerana kedudukkan yang aku berikan kepadamu dan kepada adikmu Benyamin. Mereka selalu berbisik-bisik jika membicarakan halmu dan selalu menyindir-nyindir dalam percakapan mereka tentang kamu berdua. Aku khuatir, kalau engkau ceritakan kepada mereka kisah mimpimu akan makin meluaplah rasa dengki dan iri-hati mereka terhadapmu dan bahkan tidak mungkin bahawa mereka akan merancang perbuatan jahat terhadapmu yang akan membinasakan engkau. Dan dalam keadaan demikian syaitan tidak akan tinggal diam, tetapi akan makin mambakar semangat jahat mereka dan mengorbankan rasa dengki dan iri hati yang bersemayam dalam dada mereka. Maka berhati-hatilah, hai anakku, jangan sampai cerita mimpimu ini bocor dan didengar oleh mereka."

Isi cerita tersebut di atas terdapat dalam Al_Quran ,dalam surah "Yusuf" ayat 4 sehingga ayat 10 yang berbunyi sebagai berikut:
4.    {Ingatlah} ketika Yusuf berkata kepada ayahnya : "Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah bintang, matahari dan bulan, kulihat semuanya sujud kepadaku". 
5.    Ayahnya berkata: "Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudar-saudaramu, maka mereka membuat muslihat {untuk membinasakanmu}. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." 
6.    Dan demikianlah Tuhanmu memilih kamu {untuk menjadi Nabi} dan diajarkannya kepada kamu sebahagian dari takdir mimpi-mimpi dan disempurnakannya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya'qub sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya kepada dua orang bapamu sebelum itu, {iaitu} Ibrahim dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana
7.    Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah pada {kisah} Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang yang bertanya. 
8.    {Iaitu} ketika mereka berkata: "Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya {Benyamin} lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri, padahal kita {ini} adalah satu golongan {yang kuat}. Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata." 
9.    Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah {yang tidak dikenal} supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik." 
10.    Seorang daripada mereka berkata: "Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah ia ke dalam perigi, supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir jika kamu hendak berbuat." 
Yusuf dimasukkan ke dalam perigi
Pada esok harinya setelah semalam suntuk saudara kandung Yusuf bertemu berundingkan siasat dan merancangkan penyingkiran adiknya yang merupakan saingan yang berat dalam merebut hati si ayah, datanglah mereka menghadapi Nabi Ya'qub ayahnya meminta izin membawa Yusuf berehat bersama mereka di luar kota. Berkata jurucakap mereka kepada si ayah: "Wahai ayah yang kami cintai! Kami berhajat berjalan dan berkelah di luar kota beramai-ramai dan ingin sekali bahawa adik kami Yusuf turut serta dan tidak ketinggalan, menikmati udara yang cerah di bawah langit biru yang bersih. Kami akan bawa bekal makanan dan minuman yang cukup untuk santapan kami selama sehari berada di luar kota untuk bersuka ria dan bersenang-senang, menghibur hati yang lara dan melapangkan dada yang sesak, seraya mempertebal rasa persaudaraan dan semangat kerukunan di antara sesama saudara."

Berkata Ya'qub kepada putera-puteranya: "Sesungguhnya akan sangat merungsingkan fikiranku bila Yusuf berada jauh dari jangkauan mataku, apalagi akan turut serta bersamamu keluar kota, di lapangan terbuka, yang menurut pendengaranku banyak binatang buas seperti serigala yang banyak berkeliaran di sana. Aku khuatir bahawa kamu akan lengah menjaganya, kerana kesibukan kamu bermain-main sendiri sehinggakan menjadikannya mangsa bagi binatang-binatang buas itu. Alangkah sedihnya aku bila hal itu terjadi. Kamu mengetahui betapa sayangnya aku kepada Yusuf yang telah ditinggalkan oleh ibunya."

Putera-puteranya menjawab: "Wahai ayah kami! Masakan masuk di akal, bahawa Yusuf akan diterkam oleh serigala atau lain binatang buas di depan mata kami sekumpulan ini? Padahal tidak ada di antara kami yang bertubuh lemah atau berhati penakut. Kami sanggup menolak segala gangguan atau serangan dari mana pun datangnya, apakah itu binatang buas atau makhluk lain. Kami cukup kuat serta berani dan kami menjaga Yusuf sebaik-baiknya, tidak akan melepaskannya dari pandangan kami walau sekejap pun. Kami akan mempertaruhkan jiwa raga kami semua untuk keselamatannya dan di manakah kami akan menaruh wajah kami bila hal-hal yang mengecewakan ayah mengenai diri Yusuf."

Akhirnya Nabi Yusuf tidak ada alasan untuk menolak permintaan anak-anaknya membawa Yusuf berekreasi melepaskan Yusuf di tangan saudara-saudaranya yang diketahui mereka tidak menyukainya dan tidak menaruh kasih sayang kepadanya. Ia berkat kepada anak anaknya: "Baiklah jika kamu memang sanggup bertanggungjawab atas keamanan dan keselamatannya sesuai dengan kata-kata kamu ucapkan itu, maka aku izinkan Yusuf menyertaimu, semoga Allah melindunginya bersama kamu sekalian."

Pada esok harinya berangkatlah rombongan putera-putera Ya'qub kecuali Benyamin, menuju ke tempat rekreasi atau yang sebenarnya menuju tempat di mana menurut rancangan, Yusuf akan ditinggalkan. Setiba mereka disekitar telaga yang menjadi tujuan, Yusuf segera ditanggalkan pakaiannya dan dicampakkannya di dalam telaga itu tanpa menghiraukan jeritan tangisnya yang sedikit pun tidak mengubah hati abang-abangnya yang sudah kehilangan rasa cinta kepada adik yang tidak berdosa itu. Hati mereka menjadi lega dan dada mereka menjadi lapang kerana rancangan busuknya telah berhasil dilaksanakan dan dengan demikian akan terbukalah Hati Ya'qub seluas-luasnya bagi mereka, dan kalaupun tindakan mereka itu akan menyedihkan ayahnya, maka lama-kelamaan akan hilanglah kesedihan itu bila mereka pandai menghiburnya untuk melupakan dan melenyapkan bayangan Ysuf dari ingatan ayahnya.

Pada petang hari pulanglah mereka kembali ke rumah tanpa Yusuf yang di tinggalkan seorang diri di dasar tegala yang gelap itu, dengan membawa serta pakaiannya setelah disirami darah seseorang yang sengaja dipotong untuk keperluan itu, mereka mengadap Nabi Ya'qub seraya menangis mencucurkan airmata dan bersandiwara seakan-akan dan susah hati berkatalah mereka kepada ayahnya: "Wahai ayah! Alangkah sial dan nahasnya hari ini bagi kami, bahawa kekhuatiran yang ayah kemukakan kepada kami tentang Yusuf kepada kami telah pun terjadi dan menjadi kenyataan bahawa firasat ayah yang tajam itu tidak meleset. Yusuf telah diterkam oleh seekor serigala dikala kami bermain lumba lari dan meninggalkan Yusuf seorang diri menjaga pakaian. Kami cukup hati-hati menjaga adik kami sesuai dengan pesanan ayah, namun kerana menurut pengamatan kami pada saat itu, tidak ada tanda-tanda atau jejak binatang-binatang buas disekitar tempat kami bermain, kami sesekali tidak melihat adanya bahaya dengan meninggalkan Yusuf sendirian menjaga pakaian kami yang tidak dari tempat kami bermain bahkan masih terjangkau oleh pandangan mata kami. Akan tetapi serigala yang rupanya sudah mengintai adik kami Yusuf itu, bertindak begitu cepat menggunakan kesempatan lengahnya kami, waktu bermain sehingga tidak keburu kami menolong menyelamatkan jiwa adik kami yang sangat kami sayangi dan cintai itu. Oh ayah! Kami sangat sesalkan diri kami yang telah gagal menempati janji dan kesanggupan kami kepada ayah ketika kami minta izin mambawa Yusuf, namun apa yang hendak dikatakan bila takdir memang menghendaki yang demikian. Inilah pakaian Yusuf yang berlumuran dengan darah sebagai bukti kebenaran kami ini, walau pun kami merasakan bahawa ayah tidak akan mempercayai kami sekalipun kami berkata yang benar."

Nabi Ya'qub yang sudah memperolehi firasat tentang apa yang akan terjadi keatas diri Yusuf putera kesayangannya dan mengetahui bagaimana sikap abang-abangnya terhadap Yusuf adiknya, tidak dapat berbuat apa-apa selain berpasrah kepada takdir Ilahi dan seraya menekan rasa sedih, cemas dan marah yang sedang bergelora di dalam dadanya, berkatalah beliau kepada putera-puteranya: "Kamu telah memperturutkan hawa nafsumu dan mengikut apa yang dirancangkan oleh syaitan kepadamu. Kamu telah melakukan suatu perbuatan yang akan kamu akan rasa sendiri akibatnya kelak jika sudah terbuka tabir asapnya yang patut dimintai pertolong-Nya dalam segala hal dan peristiwa.

Isi cerita ini telah dapat dibacakan didalam Al-Quran pada surah "Yusuf" ayat 11 sehingga 18 sebagai berikut:

11.    Mereka berkata : "Wahai ayah kami! apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya." 
12.    Biarkan lah ia pergi bersama kami besok, agak dia {dapat} bersenang-senang dan {dapat} bermain-main dan sesungguhnya kami pasti menjaganya." 
13.    Berkata Ya'qub: "Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkan dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala sedang kamu lengah daripadanya." 
14.    Mereka berkata: "Jika ia benar-benar dimakan serigala, sedang kami adalah golongan {yang kuat} , sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang rugi." 
15.    Maka tatkala mereka membawanya dan sepakat memasukkannya ke dalam telaga {lalu mereka masukkan dia} dan {di waktu dia sudah dalam telaga }Kami wahyukan kepada {Yusuf}: "Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak ingat lagi. 
16.    Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di petang hari sambil menangis. 
17.    Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala dan kamu sesekali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar." 
18. Mereka datang membawa baju kemejanya {yang berlumuran} dengan darah palsu. Ya'qub berkata: "Sebenarnya diri kamu sendirilah yang memandang baik perbuatan {yang buruk} itu maka kesabaran yang baik itulah {kesabaran}. Dan Allah sajalah yang dimohon perlindunganNya terhadap apa yang kamu ceritakan." 
Yusuf dijual-beli sebagai hamba sahaya
Yusuf sedang berada di dalam perigi itu seorang diri, diliputi oleh kegelapan dan kesunyian yang mencekam. Ia melihat ke atas dan ke bawah ke kanan dan ke kiri memikirkan bagaimana ia dapat mengangkatkan dirinya dari perigi itu, namun ia tidak melihat sesuatu yang dapat menolongnya. Ia hanya dapat melihat bayangan tubuhnya dalam air yang cetek di bawah kakinya. Sungguh suatu ujian yang amat berat bagi seorang semuda Yusuf yang masih belum banyak pengalamannya dalam penghidupan, bah baru pertama kali ia berpisah dari ayahnya yang sangat menyayangi dan memanjakannya. Lebih-lebih terasa beratnya ujian itu ialah kerana yang melemparkannya ke dasar telaga itu adalah abang-abangnya sendiri, putera-putera ayahnya.

Yusuf di samping memikirkan nasibnya yang sedang dialami, serta bagaimana ia menyelamatkan dirinya dari bahaya kelaparan sekiranya ia lama tidak tertolong, ia selalu mengenangkan ayahnya ketika melihat abang-abangnya kembali pulang ke rumah tanpa dirinya bersama mereka. Tiga hari berselang, sejak Yusuf dilemparkan ke dalam perigi, dan belum nampak tanda-tanda yang memberi harapan baginya dapat keluar dari kurungannya, sedangkan bahaya kelaparan sudah mulai membayangi dan sudah nyaris berputus asa ketika sekonyong-konyong terdengar olehnya suara sayup-sayup, suara aneh yang belum pernah didengarnya sejak ia dilemparkan ke dalam telaga itu. Makin lama makin jelaslah suara-suara itu yang akhirnya terdengar seakan anjing menggonggong suara orang-orang bercakap dan tertawa terbahak-bahak dan suara jejak kaki manusia dan binatang sekitar telaga itu.

Ternyata apa yang terdengar oleh Yusuf, ialah suara-suara yang timbul oleh sebuah kafilah yang sedang berhenti di sekitar perigi, di mana ia terkurung untuk beristirehat sambil mencari air untuk diminum bagi mereka dan binatang-binatang mereka. alangkah genbiranya Yusuf ketika ketika ia sedang memasang telinganya dan medengar suara ketua kafilah memerintahkan orangnya melepaskan gayung mengambil air dari telaga itu. Sejurus kemudian dilihat oleh Yusuf sebuah gayung turun ke bawah dan begitu terjangkau oleh tangannya dipeganglah kuat-kuat gayung itu yang kemudian ditarik ke atas oleh sang musafir seraya berteriak mengeluh kerana beratnya gayung yang ditarik itu.

Para musafir yang berada di kafilah itu terperanjat dan takjub ketika melihat bahawa yang memberatkan gayung itu bukannya air, tetapi manusia hidup berparas tampan, bertubuh tegak dan berkulit putih bersih. Mereka berunding apa yang akan diperbuat dengan hamba Allah yang telah diketemukan di dalam dasar perigi itu, dilepaskannya di tempat yang sunyi itu atau dikembalikan kepada keluarganya. Akhirnya bersepakatlah mereka untuk dibawa ke Mesir dan dijual di sana sebagai hamba sahaya dengan harga, yang menurut tafsiran mereka akan mencapai harga yang tinggi, kerana tubuhnya yang baik dan parasnya yang tampan.

Setibanya kafilah itu di Mesir, dibawalah Yusuf di sebuah pasar khusus, di mana manusia diperdagangkan dan dijual-belikan sebagai barang dagangan atau sebagai binatang-binatang ternakan. Yusuf lalu ditawarkan di depan umum dilelongkan. Dan kerana para musafir yang membawanya itu khuatir akan terbuka pertemuan Yusuf maka mereka enggan memepertahankan sampai mencapai harga yang tinggi, tetapi melepaskannya pada tawaran pertama dengan harga yang rendah dan tidak memadai. Nabi Yusuf dalam pelelongan itu dibeli oleh ketua polis Mesir bernama Fathifar sebagai penawar pertama ,yang merasa berbahagia memperoleh sorang hamba yang berparas bagus, bertubuh kuat dan air muka yang memberi kesan bahawa dalam manusia yang dibelikan itu terkandung jiwa yang besar, hati suci bersih dan bahawa ia bukanlah dari kualiti manusia yang harus diperjual-belikan. Kata Fathifar kepada isterinya ketika mengenalkan Yusuf kepadanya: "Inilah hamba yang aku baru beli dari pelelongan. Berilah ia perlakuan dan layanan yang baik kalau-kalau kelak kami akan memperolehi manfaat drpnya dan memungutnya sebagai anak kandung kita. Aku dapat firasat dari paras mukanya dan gerak-gerinya bahawa ia bukanlah dari golongan yang harus diperjual-belikan, bahkan mungkin sekali bahawa ia adalah dari keturunan keluarga yang berkedudukan tinggi dan orang-orang yang beradab.

Isteri Ketua Polis Mesir menerima Yusuf di rumahnya, sesuai dengan pesanan suaminya. dilayan sebagai salah seorang daripada anggota keluarganya dan sesekali tidak diperlakukannya sebagai hamba belian. Yusuf pun dapat menyesuaikan diri dengan keadaan rumahtangga Futhifar. Ia melakukan tugas sehari-harinya di rumah dengan penuh semangat dan dengan kejujuran serta disiplin yang tinggi. Segala kewajiban dan tugas yang diperintahkan kepadanya, diurus dengan senang hati seolah-olah dari perintah oleh orang tuanya sendiri. Demikianlah, maka makin lama makin disayanglah akan Yusuf di rumah Ketua Polis Mesir itu sehingga merasa seakan-akan berada di rumah keluarga dan orang tuanya sendiri.

Tentang isi cerita di atas, dapat dibaca dalam surah "Yusuf" ayat 19 sehingga ayat 21 sebagai berikut: ~
19.    Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir, lalu mereka menyuruh seorang mengambil air mereka, maka dia menurunkan timbanya, dia berkata: "Oh! Khabar gembira, ini seorang anak muda!" Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. 
20.    Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja, dan mereka merasa tidak tertarik hatinya kepada Yusuf 
21.    Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: "Berikanlah kepadanya tempat {dan layanan} yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai anak." Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi {Mesir} dan agar kami ajarkan kepadanya takdir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." 
Yusuf dan godaan isteri Futhifar
Yusuf hidup tenang dan tenteram di rumah Futhifar, Ketua Polis Mesir, sejak ia menginjakkan kakinya di rumah itu. Ia mendapat kepercayaan penuh dari kedua majikannya, suami-isteri, mengurus rumah-tangga mereka dan melaksanakan perintah dan segala keperluan mereka dengan sesungguh hati, ikhlas dan kejujuran, tiada menuntut upah dan balasan atas segala tenaga dan jerih payah yang dicurahkan untuk kepentingan keluarga. Ia menganggap dirinya di rumah itu bukan sebagai hamba bayaran, tetapi sebagai seorang daripada anggota keluarga. demikian pula anggapan majikannya, suami-isteri terhadap dirinya.

Ketenangan hidup dan kepuasan hati yang diperdpt oleh Yusuf selama ia tinggal di rumah Futhifar, telah mempengaruhi kesihatan dan pertumbuhan tubuhnya. Ia yang telah dikurnai oleh Allah s.w.t. kesempurnaan jasmani dengan kehidupan yang senang dan empuk di rumah Futhifar, makin terlihat tambah segar wajahnya, tambah elok parasnya dan tambah tegak tubuhnya, sehingga ia merupakan seorang pemuda remaja yang gagah perkasa yang menggiurkan hati setiap wanita yang melihatnya, tidak terkecuali isteri Futhifar, majikannya sendiri, bahkan bukan tidak mungkin bahawa ia akan menjadi rebutan lelaki, andai kata ia hidup di kota Sadum di tengah-tangah kaum Nabi Luth ketika itu.

Pengaulan hari-hari di bawah satu atap rumah antara Yusuf pemuda remaja yang gagah perkasa dan isteri Futhifar, seorang wanita muda cantik dan ayu, tidak akan terhindar dari risiko terjadinya perbuatan maksiat, bila tidak ada kekuatan iman dan takwa yang menyekat hawa nafsu yang amarah bisu. Demikian lah akan apa yang terjadi terhadap Yusuf dan isteri Ketua Polis Mesir. Pada hari-hari pertama Yusuf berada di tengah-tengah keluarga, Nyonya Futhifar tidak menganggapnya dan memperlakukannya lebih dari sebagai pembantu rumah yang cekap, tangkas, giat dan jujur, berakhlak dan berbudi pekerti yang baik. Ia hanya mengagumi sifat-sifat luhurnya itu serta kecekapan dan ketangkasan kerjanya dalam menyelesaikan urusan dan tugas yang pasrahkan kepadanya. Akan tetapi memang rasa cinta itu selalu didahului oleh rasa simpati.

Simpati dan kekaguman isteri Futhifar terhadap cara kerja Yusuf, lama-kelamaan berubah menjadi simpati dan kekaguman terhadap bentuk banda dan paras mukanya. Gerak-geri dan tingkah laku Yusuf diperhatika dari jauh dan diliriknya dengan penuh hati-hati. Bunga api cinta yang masih kecil di dalam hati isteri Futhifar terhadap Yusuf makin hari makin membesar dan membara tiap kali ia melihat Yusuf berada dekatnya atau mendengar suaranya dan suara langkah kakinya. Walaupun ia berusaha memandamkan api yang membara di dadanya itu dan hedak menyekat nafsu berahi yang sedang bergelora dalam hatinya, untuk menjaga maruahnya sebagai majikan dan mepertahankan sebagai isteri Ketua Polis, namun ia tidak berupaya menguasai perasaan hati dan hawa nasfunya dengan kekuatan akalnya. Bila ia duduk seorang diri, maka terbayanglah di depan matanya akan paras Yusuf yang elok dan tubuhnya yang bagus dan tetaplah melekat bayangan itu di depan mata dan hatinya, sekalipun ia berusaha untuk menghilangkannya dengan mengalihkan perhatiannya kepada urusan dan kesibukan rumahtangga. Dan akhirnya menyerahlah isteri Futhifar kepada kehendak dan panggilan hati dan nafsunya yang mendapat dukungan syaitan dan iblis laknatullah dan diketepikanlahnya semua pertimbangan maruah, kedudukan dan martabat serta kehormatan diri sesuai dengan tuntutan dengan akal yang sihat.

Isteri Futhifar menggunakan taktik, memancing-mancing Yusuf agar ia lebih dahulu mendekatinya dan bukannya dia dulu yang mendekati Yusuf demi menjaga kehormatan dirinya sebagai isteri Ketua Polis. Ia selalu berdandan dan berhias rapi, bila Yusuf berada di rumah, merangsangnya dengan wangi-wangian dan dengan memperagakan gerak-geri dan tingkah laku sambil menampakkan, seakan-akan dengan tidak sengaja bahagian tubuhnya yang biasanya menggiurkan hati orang lelaki. Yusuf yang tidak sedar bahawa Zulaikha, isteri Futhifar, mencintai dan mengandungi nafsu syahwat kepadanya, menganggap perlakuan manis dan pendekatan Zulaikha kepadanya adalah hal biasa sesuai dengan pesanan Futhifar kepada isterinya ketika dibawa pulang dari tempat perlelongan. Ia berlaku biasa sopan santun dan bersikap hormat dan tidak sedikit pun terlihat dari haknya sesuatu gerak atau tindakan yang menandakan bahawa ia terpikat oleh gaya dan aksi Zulaikha yang ingin menarik perhatiannya dan mengiurkan hatinya. Yusuf sebagai calon Nabi telah dibekali oleh Allah s.w.t. dengan iman yang mantap, akhlak yang luhur dan budi pekerti yang tinggi. Ia tidak akan terjerumus melakukan sesuatu maksiat yang sekaligus merupakan perbuatan atau suatu tindakan khianat terhadap orang yang telah mempercayainya memperlakukannya sebagai anak dan memberinya tempat di tengah-tengah keluarganya.

Sikap dingin dan acuh tak acuh dari Yusuf terhadap rayuan dan tingkah laku Zulaikha yang bertujuan membangkitkan nafsu syahwatnya menjadikan Zulaikha bahkan tambah panas hati dan bertekad akan berusaha terus sampai maksudnya tercapai. Jika aksi samar-samar yang ia lakukan tetap tidak dimengertikan oleh Yusuf yang dianggapkannya yang berdarah dingin itu, maka akan dilakukannya secara berterus terang dan kalau perlu dengan cara paksaan sekalipun. Zulaikha, tidak tahan lebih lama menunggu reaksi dari Yusuf yang tetap bersikap dingin, acuh tak acuh terhadap rayuan dan ajakan yang samar-samar daripadanya. Maka kesempatan ketika si suami tidak ada di rumah, masuklah Zulaikha ke bilik tidurnya seraya berseru kepada Yusuf agar mengikutinya. Yusuf segera mengikutinya dan masuk ke bilik di belakang Zulaikha, sebagaimana ia sering melakukannya bila di mintai pertolongannya melakukan sesuatu di dalam bilik. Sekali-kali tidak terlintas dalm fikirannya bahawa perintah Zulaikha kali itu kepadanya untuk masuk ke biliknya bukanlah perintah biasa untuk melakukan sesuatu yang biasa diperintahkan kepadanya. Ia baru sedar ketika ia berad di dalam bilik, pintu dikunci oleh Zulaikha, tabir disisihkan seraya berbaring berkatalah ia kepada Yusuf: "Ayuh, hai Yusuf! Inilah aku sudah siap bagimu, aku tidak tahan menyimpan lebih lama lagi rasa rinduku kepada sentuhan tubuhmu. Inilah tubuhku kuserahkan kepadamu, berbuatlah sekehendak hatimu dan sepuas nafsumu."

Seraya memalingkan wajahnya ke arah lain, berkatalah Yusuf: "Semoga Allah s.w.t. melindungiku dari godaan syaitan laknatullah. Tidak mungkin wahai tuan puteriku, aku akan melakukan maksiat dan memenuhi kehendakmu. Jika aku melakukan apa yang tuan puteri kehendaki, maka aku telah mengkhianati tuanku, suami tuan puteri, yang telah melimpahkan kebaikannya dan kasih sayangnya kepadaku. Kepercayaan yang telah dilimpahkannya kepadaku, adalah suatu amanat yang tidak patut aku cederai. Sesekali tidak akanku balas budi baik tuanku dengan perkhianatan dan penodaan nama baiknya. Selain itu Allah s.w.t. pun akan murka kepadaku dan akan mengutukku bila bila aku lakukan apa yang tuan puteri mintakan daripadaku. Allah Maha Mengetahui segala apa yang diperbuat oleh hambaNya.

Segera mata Zulaikha melotot dan wajahnya menjadi merah, tanda marah yang meluap-luap, akibat penolakan Yusuf terhadap ajaknya. Ia merasakan dirinya dihina dan diremehkan oleh Yusuf dengan penolakannya, yang dianggapnya suatu perbuatan kurang ajar dari seorang pelayan terhadap majikannya yang sudah merendahkan diri, mengajaknya tidur bersama, tetapi ditolak mentah-mentah. Padahal tidak sedikit pembesar pemerintah dan orang-orang berkedudukan telah lama merayunya dan ingin sekali menyentuh tubuhnya yang elok itu, tetapi tidak dihiraukan oleh Zulaikha.

Yusuf melihat mata Zulaikha yang melotot dan wajahnya yang menjadi merah, menjadi takut akan terjadi hal-hal yang tidak diinginkan, dan segera lari menuju pintu yang tertutup, namun Zulaikha cepat-cepat bangun dari ranjangnya mengejar Yusuf yang sedang berusaha membuka pintu, ditariknyalah kuat-kuat oleh Zulaikha bahagian belakang kemejanya sehingga terkoyak. Tepat pada masa mereka berada di belakang pintu sambil tarik menarik, datanglah Futhifar mendapati mereka dalam keadaan yang mencurigakan itu.

Dengan tiada memberi kesempatan Yusuf membuka mulut, berkatalah Zulaikha cepat-cepat kepada suaminya yang masih berdiri tercengang memandang kepada kedua orang kepercayaan itu: "Inilah dia Yusuf, hamba yang engkau puja dan puji itu telah berani secara kurang ajar masuk ke bilikku dan memaksaku memenuhi nafsu syahwatnya. Berilah ia ganjaran yang setimpal dengan perbuatan biadabnya. Orang yang tidak mengenal budi baik kami ini harus dipenjarakan dan diberikan seksaan yang pedih."

Yusuf mendengar laporan dan tuduhan palsu Zulaikha kepada suaminya, tidak dapat berbuat apa-apa selain memberi keterangan apa yang terjadi sebenarnya. Berkatalah ia kepada majikannya, Futhifar: "Sesungguhnya dialah yang menggodaku, memanggilkan aku ke biliknya, lalu memaksaku memenuhi nafsu syahwatnya. Aku menolak tawarannya itu dan lari menyingkirinya, namun ia mengejarku dan menarik kemejaku dari belakang sehingga terkoyak."
Futhifar dalam keadaan bingung. Siapakah diantara kedua orang yang benar? Yusufkah yang memang selama hidup bersama dirumahnya belum pernah berkata dusta, atau Zulaikhakah yang dalam fikirannya tidak mungkin akan mengkhianatinya? Dalam keadaan demikian itu tibalah sekonyong-konyong seorang dari keluarga Zulaikha, iaitu saudaranya sendiri yang dikenal bijaksana, pandai dan selalu memberi pertimbangan yang tepat bila dimintai fikiran dan nasihatnya. Atas permintaan Futhifar untuk memberinya pertimbangan dalam masalah yang membingungkan itu, berkatalah saudaranya: "Lihatlah, bila kemeja Yusuf terkoyak bahagian belakangnya, maka ialah yang benar dan isterimu yang dusta. Sebaliknya bila koyak kemejanya di bahagian hadapan maka dialah yang berdusta dan isterimu yang berkata benar."

Berkatalah Futhifar kepada isterinya setelah persoalannya menjadi jelas dan tabir rahsianya terungkap: "Beristighfarlah engkau hai Zulaikha dan mohonlah ampun atas dosamu. Engkau telah berbuat salah dan dusta pula untuk menutupi kesalahanmu. Memang yang demikian itu adalah sifat-sifat dan tipu daya kaum wanita yang sudah kami kenal. "Kemudian berpalinglah dia mengadap Yusuf dan berkata kepadanya: "Tutuplah rapat-rapat mulutmu wahai Yusuf, dan ikatlah lidahmu, agar masalah ini akan tetap menjadi rahsia yang tersimpan sekeliling dinding rumah ini dan jangan sesekali sampai keluar dan menjadi rahsia umum dan buah mulut masyarakat. Anggap saja persoalan ini sudah selesai sampai disini."

Ada sebuah peribahasa yang berbunyi: "Tiap rahsia yang diketahui oleh dua orang pasti tersiar dan diketahui oleh orang ramai." Demikianlah juga peristiwa Zulaikha dengan Yusuf yang dengan ketat ingin ditutupi oleh keluarga Futhifar tidak perlu menunggu lama untuk menjadi rahsia umum. pada mulanya orang berbisik-bisik dari mulut ke mulut, menceritakan kejadian itu, tetapi makin hari makin meluas dan makin menyebar ke tiap-tiap pertemuan dan menjadi bahan pembicaraan di kalangan wanita-wanita dari golongan atas dan menengah. Kecaman-kecaman yang bersifat sindiran mahupun yang terang-terangan mulai dilontarkan orang terhadap Zulaikha, isteri Ketua Polis Negara, yang telah dikatakan bercumbu-cumbuan dengan pelayannya sendiri, seorang hamba belian dan yang sangat memalukan kata mrk bahwa pelayan bahkan menolak ajakan majikannya dan tatkala melarikan diri daripadanya dikejarkannya sampai bahagian belakang kemejanya terkoyak.

Kecaman-kecaman sindiran-sindiran dan ejekan-ejekan orang terhadap dirinya akhirnya sampailah di telinga Zulaikha. Ia menjadi mashgul dan sedih hati bahawa peristiwanya dengan Yusuf sudah menjadi buah mulut orang yang dengan sendirinya membawa nama baik keluarga dan nama baik suaminya sebagai Ketua Polis Negara yang sangat disegani dan dihormati. Zulaikha yang sangat marah dan jengkel terhadap wanita-wanita sekelasnya, isteri-isteri pembesar yang tidak henti-hentinya dalam pertemuan mereka menyinggung namanya dengan ejekan dan kecaman sehubungan dengan peristiwanya dengan Yusuf.

Untuk mengakhiri desas-desus kaum wanita para isteri pembesar itu, Zulaikha mengundang mereka ke suatu jamuan makan di rumahnya, dengan maksud membuat kejutan memperlihatkan kepada mereka Yusuf yang telah menawankan hatinya sehingga menjadikan lupa akan maruah dan kedudukan sebagai isteri Ketua Polis Negara. Dalam pesta itu para undangan diberikan tempat duduk yang empuk dan masing-masing diberikan sebilah pisau yang tajam untuk memotong daging dan buah-buahan yang tersedia dan sudah dihidangkan.

Setelah masing-masing tamu menduduki tempatnya dan disilakannya menikmati hidangan yang sudah tersedia di depannya, maka tepat pada masa mereka sibuk mengupas buah yang ada ditangan masing-masing, dikeluarkannyalah Yusuf oleh Zulaikha berjalan sebagai peragawan di hadapan wanita-wanita yang sedang sibuk memotong buah-buahan itu. Tanpa disadari para tamu wanita yang sedang memegang pisau dan buah-buahan di tangannya seraya ternganga mengagumi keindahan wajah dan tubuh Yusuf mereka melukai jari-jari tangannya sendir dan sambil menggeleng-geleng kepala kehairanan, maka berkatalah mereka: "Maha Sempurnalah Allah. Ini bukanlah manusia. Ini adalah seorang malaikat yang mulia."

Zulaikha bertepuk tangan tanda genbira melihat usah kejutannya berhasil dan sambil menunjuk ke jari-jari wanita yang terhiris dan mencucurkan darah itu berkatalah ia: "Inilah dia Yusuf, yang menyebabkan aku menjadi bual-bualan ejekanmu dan sasaran kecaman-kecaman orang Tidakkah kami setelah melihat Yusuf dengan mata kepala memberi uzur kepadaku, bila ia menawan hatiku dan membangkitkan hawa nafsu syahwatku sebagai seorang wanita muda yang tidak pernah melihat orang yang setampan parasnya, seindah tubuhnya dan seluhur akhlak Yusuf? Salahkah aku jika aku tergila-gila olehnya, sampai lupa akan kedududkanku dan kedudukan suamiku? Kamu yang hanya melihat Yusuf sepintas lalu sudah kehilangan kesedaran sehingga bukan buah-buahan yang kamu kupas tetapi jari-jari tanganmu yang terhiris. Maka hairankah kalau aku yang berkumpul dengan Yusuf di bawah satu bumbung, melihat wajah dan tubuhnya serta mendengar suaranya pada setiap saat dan setiap detik sampai kehilangan akal sehingga tidak dapat mengawal nafsu syahwatku menghadapinya? Aku harus mengaku didepan kamu bahawa memang akulah yang menggodanya dan merayunya dan dengan segala daya upaya ingin memikat hatinya dan mengundangnya untuk menyambut cintaku dan melayani nafsu syahwatku. Akan tetapi dia bertahan diri, tidak menghiraukan ajakanku dan bersikap dingin terhadap rayuan dan godaanku. Ia makin menjauhkan diri, bila aku mencuba mendekatinya dan memalingkan pandangan matanya dari pandanganku bila mataku menentang matanya. Aku telah merendahkan diriku sebagai isteri Ketua Polis Negara kepada Yusuf yang hanya seorang hamba sahaya dan pembantu rumah, namaku sudah terlanjur ternoda dan menjadi ejekan orang kerananya, maka bila tetap membangkang dan tidak mahu memperturutkan kehendakku, aku tidak akan ragu-ragu akan memasukkannya ke dalam penjara sepanjang waktu sebagai pengajaran baginya dan imbalan bagi kecemaran namaku kerananya."

Mendengar kata-kata ancaman Zulaikha terhadap diri Yusuf menggugah hati para wanita yang menaruh simpati dan rasa kasihan kepada diri Yusuf. Mereka sayayangkan bahawa tubuh yang indah dan wajah yang tampan serta manusia yang berbudi pekerti dan berakhlak luhur itu tidak patut dipenjarakan dan dimasukkan ke tempat orang-orang yang melakukan jenayah dan penjahat. Berkata salah seorang yang menghampirinya: "Wahai Yusuf! Mengapa engkau berkeras kepala menghadapi Zulaikha yang menyayangimu dan mencintaimu? Mengapa engkau menolak ajakan dan seruannya terhadapmu? Suatu keuntungan besar bagimu, bahawa seorang wanita cantik seperti Zulaikha yang bersuamikan seorang pembesar negara tertarik kepadamu dan menginginkan pendekatanmu. Ataukah mungkin engkau adalah seorang lelaki yang lemah syahwat dan kerana itu tidak tertarik oleh kecantikan serta keelokan seorang wanita muda seperti Zulaikha."

Berkata seorang tamu wanita lain: "Jika sekiranya kamu tidak tertarik kepada Zulaikha kerana kecantikannya, maka berbuatlah untuk kekayaannya dan kedudukan suaminya. sebab jika engkau dapat menyesuaikan dirimu kepada kehendak Zulaikha dan mengikuti segala perintahnya nescaya engkau akan dianugerahi harta yang banyak dan mungkin pangkatmu pun akan dinaikkan." Berucap seorang tamu lain memberi nasihat: "Wahai Yusuf! fikirkanlah baik-baik dan camkanlah nasihatku ini: Zulaikha sudah berketetapan hati harus mencapai tujuannya dan memperoleh akan apa yang dikehendakinya daripadamu. Ia sudah terlanjur diejek dan dikecam orang dan sudah terlanjur namanya menjadi bualan di dalam masyarakat kerana engkau maka dia mengancam bila engkau tetap berkeras kepala dan tidak melunakkan sikapmu terhadap tuntutannya, pasti ia akan memasukkan engkau ke dalam penjara sebagai penjahat dan penjenayah. Engkau mengetahui bahawa suami Zulaikha adalah Ketua Polis Negara yang berkuasa memenjarakan seseorang ke dalam tahanan dan engkau mengetahui pula bahawa Zulaikha sangat berpengaruh kepada suaminya. Sayangilah wahai Yusuf dirimu yang masih muda remaja dan tampan ini dan ikutilah perintah Zulaikha agar engkau selamat dan terhindar dari akibat yang kami tidak menginginkan ke atas dirimu."

Kata-kata nasihat dan bujukan para wanita, tamu Zulaikha itu didengar oleh Yusuf dengan telinga kanan dan keluar ke telinga kirinya. Tidak suatu pun daripadanya yang dapat turun ke lubuk hatinya atau menjadi bahan penimbangannya. Akan tetapi walaupun ia percaya kepada dirinya, tidak akan terpengaruh oleh bujukan dan nasihat-nasihat itu, ia merasa khuatir, bahawa jika masih tinggal lama di tengah-tengah pergaulan itu akhirnya mungkin ia akan terjebak dan masuk ke dalam perangkap tipu daya dan tipu muslihat Zulaikha dan kawan-kawan wanitanya.

Berdoalah Nabi Yusuf memohon kepada Allah s.w.t. agar memberi ketetapan iman dan keteguhan tekad kepadanya supaya tidak tersesat oleh godaan syaitan laknatullah dan tipu muslihat kaum wanita yang akan menjerumuskannya ke dalam lembah kemaksiatan dan perbuatan mungkar. Berucaplah ia di dalam doanya: "Ya Tuhanku! sesungguhnya aku lebih suka dipenjarakan berbanding aku berada di luar tetapi harus memperturutkan hawa nafsu para wanita itu. Lindungilah aku wahai Tuhanku dari pergaulan orang-orang yang hendak membawaku ke jalan yang sesat dan memaksaku melakukan perbuatan yang Engkau tidak redhai. Bila aku dipenjarakan akan ku bulatkan fikiranku serta ibadahku kepadamu wahai Tuhanku. Jauhkanlah daripadaku rayuan dan tipu daya wanita-wanita itu, supaya aku tidak termasuk dari orang-orang yang bodoh dan sesat."

Futhifar, Ketua Polis Negara, suami Zulaikha mengetahui dengan pasti bahawa Yusuf bersih dari tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Ianya pula sedar bahawa isterinyalah yang menjadi biang keladi dalam peristiwa yang sampai mencemarkan nama baik keluarganya. Akan tetapi ia tidak dapat berbuat selain mengikuti nasihat isterinya yang menganjurkan agar Yusuf dipenjarakan. Kerana dengan memasukkan Yusuf ke dalam tahanan, pendapat umum akan berubah dan berbalik akan menuduh serta menganggap Yusuflah yang bersalah dalam peristiwa itu dan bukannya Zulaikha. Dengan demikian mereka berharap nama baiknya akan pulih kembali dan desas-desus masyarakat tentang rumahtanggannya akan berakhir. Demikianlah, maka perintah dikeluarkan oleh Futhifar dan masuklah Yusuf ke dalam penjara sesuai dengan doanya.

Isi cerita di atas dapat dibaca dalam Al-Quran surah Yusuf ayat 22 sehingga ayat 35 :

22.    Dan tatkala ia cukup dewasa, Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. 
23.    Dan wanita {Zulaikha} yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya {kepadanya} dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah kesini". Yusuf berkata: "Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguh orang-orang yang zalim tidak akan beruntung. 
24.    Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud {melakukan perbuatan itu} dengan Yusuf dan Yusuf pun bermaksud {melakukan pula} dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda {dari} Tuhannya. Demikian agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih. 
25.    Dan kedua-duanya berlumba-lumba menuju pintu dan wanita itu menarik baju kemeja Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata:"Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau dihukum dengan azab yang pedih?" 
26.    Yusuf berkata:"Dia menggodaku untuk menundukkan diriku {kepadanya}." Dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberi kesaksiannya: "Jika bajunya koyak dihadapan, maka wanita itu benar, dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta.
27.    Dan jika bajunya koyak dibelakang, maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar". 
28.    Maka tatkala suami wanita itu melihat baju kemeja Yusuf koyak dari belakang berkatalah dia: "Sesungguhnya kejadian itu adalah diantara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu besar". 
29.    Hai Yusuf: "Berpalinglah dari ini dan kamu {hai isteriku} mohon ampunlah atas doamu itu kerana kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah". 
30.    Dan wanita-wanita di kota itu berkata:" Isteri Al-Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya kepadanya, sesungguhnya cintanya kepada bujangan itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan nyata." 
31.    Maka tatkala wanita itu {Zulaikha} mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebilah pisau {untuk memotong jamuan} kemudian dia berkata {kepada Yusuf}: "Keluarlah {nampakkanlah dirimu} kepada mereka". Maka tatakala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada {keindahan rupa} nya dan mereka melukai {jari} tangannya dan berkata: "Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia". 
32.    Wanita itu {Zulaikha} berkata: "Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana {tertarik} kepadanya dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya {kepadaku} akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk orang-orang yang hina". 
33.    Yusuf berkata: "Wahai Tuhanku penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka tentu akan aku cenderung untuk {memenuhi keinginan mereka} dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh". 
34.    Maka Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
35.    Kemudian ambil fikiran kepada mrk setelah melihat tanda-tanda {kebenaran Yusuf} bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu". { Yusuf : 25 ~ 35 } 
Yusuf dalam penjara
Yusuf di masukkan ke dalam penjara bukannya kerana ia telah melakukan kesalahan atau kejahatan, tetapi kerana sewenang-wenangnya penguasa yang memenjarakannya untuk menutupi dosanya sendiri dengan menempelkan dosa itu kepada orang yang dipenjarakan. Akan tetapi bagi Nabi Yusuf, penjara adalah tempat yang aman untuk menghindari segala godaan dan tipu daya yang akan menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan perbuatan mungkar. Bagi Yusuf hidup di dalam sebuah penjara yang gelap dan sempit, dimana gerak badannya dan pandangan matanya dibatasi, adalah lebih baik dan lebih disukai daripada hidup di alam bebas di mana jiwanya tertekan dan hatinya tidak merasa aman dan tenteram. Di dalam penjara Yusuf dapat membulatkan fikirannya dan jiwanya beribadah dan menyembah kepada Allah s.w.t..

Disamping itu ia dapat melakukan dakwah di dalam penjara, memberi bimbingan dan nasihat kepada pesalah, agar mereka yang telah berdosa melakukan kejahatan, bertaubat dan kembali menjadi orang-orang yang baik, sedang kepada tahanan yang tidak berdosa yang menjadi korban perbuatan penguasa yang sewenang-wenang dihiburkan agar mereka bersabar dan bertakwa, bertawakkal serta beriman memohon kepada  Allah s.w.t. mengakhiri penderitaan dan kesengsaraan mereka.
Bersama dengan Yusuf, dipenjarakan pula dua orang pegawai istana Raja dengan tujuan hendak meracunkan Raja atas perintah dan dengan kerjasama dengan pihak musuh istana. Dua pemuda pegawai yang dipenjara itu, seorang penjaga gudang makan dan seorang sebagai pelayan meja istana.

Pada suatu hari pagi datanglah kedua pemuda tahanan itu ke tempat Nabi Yusuf mengisahkan bahawa mereka telah mendapat mimpi. Si pelayan melihat ia seakan-akan berada di tengah sebuah kebun anggur memegang gelas, seperti gelas yang sering diguna minumkan oleh Raja, majikannya lalu diisinya gelas itu dengan perahan buah anggur. Sedang pemuda penjaga gudang melihat dalam mimpinya seolah-olah mendukung di atas kepalanya sebuah keranjang yang berisi roti, dimana disambar oleh sekelompok burung dan di bawanya terbang. Kedua pemuda tahanan itu mengharapkan dari Nabi Yusuf agar memberi tafsiran bagi mimpi mereka itu.

Nabi Yusuf yang telah dikurniai kenabian dan ditugaskan oleh  Allah s.w.t. menyampaikan risalah-Nya kepada hambaNya memulai dakwahnya kepada kedua pemuda yang datang menanyakan tafsiran mimpinnya, mengajak mereka beriman kepada Allah Yang Maha Esa, meninggalkan persembahan kepada berhala-berhala yang mereka ada-adakan sendiri dengan memberi nama-nama kepada berhala-berhala itu sesuka hati mereka. Untuk membuktikan kepada kedua pemuda itu bahawa ia adalah seorang Nabi dan pesuruh Allah s.w.t., berkata Nabi Yusuf: "Aku tahu dan dapat menerangkan kepada kamu, makanan apa yang akan kamu terima, apa jenisnya dan berapa banyaknya demikian pula jenisnya dan macam mana minuman yang akan kamu terima."

Demikian pula dapat aku memberi tafsiran bagi mimpi seorang termasuk kedua mimpimu. Itu semua adalah ilmu yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepadaku. Aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t. dan mengingkari adanya hari kiamat kelak. Aku telah mengikuti agama bapa-bapaku, Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub. Tidaklah sepatutnya kami menyekutukan sesuatu bagi Allah s.w.t. yang telah mengurniakan rahmat dan nikmat-Nya atas kami dan atas manusia seluruhnya tetapi kebanyakkan manusia tidak menghargai nikmat Allah s.w.t. itu dan tidak mensyukuri-Nya. Cubalah fikirkan wahai teman-temanku dalam penjara mana yang lebih baik dan lebih masuk akal, penyembahan kepada beberapa tuhan yang berbeda-beda atau penyembahan kepada Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Perkasa? Allah s.w.t. telah memerintahkan janganlah kamu menyembahkan selain daripada Dia. Itulah agama yang benar dan lurus, tetapi banyak orang tidak mengetahui dan tidak mahu mengerti."

"Adapun mengenai mimpimu", Nabi Yusuf melanjutkan ceritanya, Maka takbirnya bahawa engkau, wahai pemuda pelayan, segera akan dikeluarkan dari penjara dan akan bekerja kembali seperti sediakala, sedangkan engkau wahai pemuda penjaga gudang akan dihukum mati dengan disalib dan kepalamu akan menjadi makan burung-burung yang mematuknya. Demikianlah takbir mimpimu yang telah menjadi hukum Allah s.w.t. bagi kamu berdua." Berkata Nabi Yusuf selanjutnya kepada pemuda yang diramalkan akan keluar dari penjara: "Wahai temanku, pesanku kepadamu, bila engkau telah keluar dan kembali bekerja di istana sebutlah namaku dihadapan Raja, majikanmu. Katalah kepadanya bahawa aku dipenjarakan sewenang-wenangnya, tidak berdosa dan tidak bersalah. Aku hanya dipenjara untuk kepentingan menyelamatkan nama keluarga Ketua Polis Negara dan atas anjuran isterinya belaka. Janganlah engkau lupakan pesananku ini, wahai temanku yang baik."

Kemudian, maka sesuai dengan takbir Nabi Yusuf, selang tidak lama keluarlah surat pengampunan Raja bagi pemuda pelayan dan hukuman salib bagi pemuda penjaga gudang dilaksanakan. Akan tetapi pesanan Nabi Yusuf kepada pemuda pelayan, tidak disampaikan kepada Raja setelah ia diterima kembali bekerja di istana. Syaitan laknatullah telah menjadikannya lupa setelah ia menikmati kebebasan dari penjara dan dengan demikian tetaplah Nabi Yusuf berada di penjara beberapa tahun lamanya, penghibur para tahanan yang tidak berdosa dan mendidik serta berdakwah kepada tahanan yang telah bersalah melakukan kejahatan dan perbuatan-perbuatan yang buruk, agar mereka menjadi orang-orang yang baik dan bermanfaat bagi sesama manusia dan menjadi hamba-hamba Allah yang beriman dan bertauhid.

Isi cerita ini ada tersebut di dalam Al-Quran pada surah "Yusuf" ayat 36 sehingga ayat 42 :~

36.    Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: "Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memerah anggur. " Dan yang lain berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku dan sebahagiannya dimakan burung." Beritakan kepada kami takbirnya, sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang-orang yang pandai {menakbir mimpi}." 
37.    Yusuf berkata: "Sebelum sampai kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu melainkan aku telah dapat menerangkan jenis makanan itu sebelum makanan itu sampai kepadamu. Yang demikian itu adalah sebahagian dari apa yang diajarkan oleh Tuhanku kepadaku. Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian. 
38.    Dan aku mengikuti agama bapa-bapaku, iaitu Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub. Tiadalah patut bagi kami {para nabi} mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah. Yang demikian itu adalah dari kurniaan Allah kepada kami dan kepada manusia seluruhnya, tetapi kebanyakkan manusia itu tidak mensyukurinya. 
39.    Hai kedua temanku dalam penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa
40.     Kamu tidak menyembah yang selain Allah melainkan hanya menyembah nama-nama yang kamu dan nenek moyang kamu membuat-buatnya, Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui. 
41.     Hai kedua temanku dalam penjara adapun salah seorang diantara kamu berdua akan memberi minum tuannya dengan arak adapun yang seorang lagi maka ia akan disalib lalu burung memakan sebahagian dari kepalanya. Telah diputuskan perkara yang kamu berdua menanyakannya {kepadaku}". 
42.     Dan Yusuf berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat di antara mereka berdua :"Terangkanlah keadaanku kepada tuanmu". Maka syaitan menjadikan dia lupa menerangkan {keadaan Yusuf} kepada tuannya. Kerana itu tetaplah dia {Yusuf} dalam penjara beberapa tahun lamanya." 
Yusuf dibebaskan dari penjara
Pada suatu hari berkumpullah di istana raja Mesir, para pembesar, penasihat dan para arif bijaksana yang sengaja diundang oleh untuk memberi takbir mimpi yang telah merunsingkan dan menakutkan hatinya. Ia bermimpi seakan-akan melihat tujuh ekor sapi betina lain yang kurus-kurus. Disamping itu ia melihat pula dalam mimpinya tujuh butir gandum hijau disamping tujuh butir yang lain kering. Tidak seorang daripada pembesar-pembesar yang didatangkan itu yang dapat memberi tafsiran takbir bagi mimpi Raja bahkan sebahagian daripada mereka menganggapkannya sebagai mimpi kosong yang tiada bererti dan menganjurkan kepada Raja melupakan saja mimpi itu dan menghilangkannya dari fikirannya.

Pelayan Raja, pemuda teman Yusuf dalam penjara, pada masa pertemuan Raja dengan para tetamunya, lalu teringat olehnya pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu ia akan dikeluarkan dari penjara dan bahwa takbir yang diberikan oleh Nabi Yusuf bagi mimpinya adalah tepat, telah terjadi sebagaimana telah ditakdirkan. Ia lalu memberanikan diri menghampiri Raja dan berkata: "Wahai Paduka Tuanku! Hamba mempunyai seorang teman kenalan di dalam penjara yang pandai menakbirkan mimpi. Ia adalah seorang yang cekap, ramah dan berbudi pekerti luhur. Ia tidak berdosa dan tidak melakukan kesalahan apa pun. Ia dipenjara hanya atas fitnahan dan tuduhan palsu belaka. Ia telah memberi takbir bagi mimpiku sewaktu hamba berada dalam tahanan bersamanya dan ternyata takbirnya tepat dan benar sesuai dengan apa yang hamba alami. Jika Paduka Tuan berkenan, hamba akan pergi mengunjunginya di penjara untuk menanyakan dia tentang takbir mimpi Paduka Tuan."

Dengan izin Raja, pergilah pelayan mengunjungi Nabi Yusuf dalam penjara. Ia menyampaikan kepada Nabi Yusuf kisah mimpinya Raja yang tidak seorang pun daripada anggota kakitangannya dan para penasihatnya dapat memberikan takbir yang memuaskan dan melegakan hati majikannya. Ia mengatakan kepada Nabi Yusuf bahawa jika Raja dapat dipuaskan dengan pemberian bagi takbir mimpinya, mungkin sekali ia akan dikeluarkan dari penjara dan dengan demikian akan berakhirlah penderitaan yang akan dialami bertahun-tahun dalam kurungan.

Berucaplah Nabi Yusuf menguraikan takbirnya bagi mimpi Raja: "Negara akan menghadapi masa makmur, subur selama tujuh tahun, di mana tumbuh-tumbuhan dan semua tanaman gandum, padi dan sayur-sayuran akan mengalami masa menuai yang baik yang membawa hasil makanan berlimpah-ruah, kemudian menyusuk musim kemarau selama tujuh tahun berikutnya dimana sungai Nil tidak memberi air yang cukup bagi ladang-ladang yang kering, tumbuh-tumbuhan dan tanaman rosak dimakan hama sedang persediaan bahan makanan, hasil tuaian tahun-tahun subur itu sudah habis dimakan. Akan tetapi, Nabi Yusuf melanjutkan keterangannya, setelah mengalami kedua musim tujuh tahun itu akan tibalah tahun basah di mana hujan akan turun dengan lebatnya menyirami tanah-tanah yang kering dan kembali menghijau menghasilkan bahan makanan dan buah-buahan yang lazat yang dapat diperah untuk diminum."

"Maka jika takbirku ini menjadi kenyataan," Nabi Yusuf berkata lebih lanjut," seharusnya kamu menyimpan baik-baik apa yang telah dihasilkan dalam tahun-tahun subur, serta berjimat dalam pemakaiannya untuk persiapan menghadapi masa kering, agar supaya terhindarlah rakyat dari bencana kelaparan dan kesengsaraan." Raja setelah mendengar dari pelayannya apa yang diceritakan oleh Nabi Yusuf tentang mimpinya merasakan bahawa takbir yang didengarkan itu sangat masuk akal dan dapat dipercayai bahwa apa yang telah diramalkan oleh Yusuf akan menjadi kenyataan. Ia memperoleh kesan bahawa Yusuf yang telah memberi takbir yang tepat itu adalah seorang yang pandai dan bijaksana dan akan sangat berguna bagi negara jika ia didudukkan di istana menjadi penasihat dan pembantu kerajaan. Maka disuruhnyalah kembali si pelayan ke penjara untuk membawa Yusuf menghadap kepadanya di istana.

Nabi Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai orang tahanan yang tidak berdosa, dan ingin segera keluar dari kurungan yang mencekam hatinya itu, namun ia enggan keluar dari penjara sebelum peristiwanya dengan isteri Ketua Polis Negara dijernihkan lebih dahulu dan sebelum tuduhan serta fitnahan yang ditimpakan ke atas dirinya diterangkan kepalsuannya. Nabi Yusuf ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci bersih dan bahawa dosa yang diletakkan kepada dirinya adalah fitnah dan tipu-daya yang bertujuan menutupi dosa isteri Ketua Polis Negara sendiri.

Raja Mesir yang sudah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf dan terkesan oleh takbir yang diberikan bagi mimpinya secara terperinci dan menyeluruh makin merasa hormat kepadanya, mendengar tuntutannya agar diselesaikan lebih dahulu soal tuduhan dan fitnah yang dilemparkan atas dirinya sebelum ia dikeluarkan dari penjara. Hal mana menurut fikiran Raja menandakan kejujurannya, kesucian hatinya dan kebesaran jiwanya bahawa ia tidak ingin dibebaskan atas dasar pengampunan tetapi ingin dibebaskan kerana ia bersih dan tidak bersalah serta tidak berdosa.

Tuntutan Nabi Yusuf diterima oleh Raja Mesir dan segera dikeluarkan perintah mengumpulkan para wanita yang telah menghadiri jamuan makan Zulaikha dan terhiris hujung jari tangan masing-masing ketika melihat wajahnya. Di hadapan Raja mereka menceritakan tentang apa yang mereka lihat dan alami dalam jamuan makan itu serta percakapan dan soal jawab yang mereka lakukan dengan Nabi Yusuf. Mereka menyatakan pesan mereka tentang diri Nabi Yusuf bahawa ia seorang yang jujur, soleh, bersih dan bukan dialah yang salah dalam peristiwanya dengan Zulaikha. Zulaikha pun dalam pertemuan itu, mengakui bahawa memang dialah yang berdosa dalam peristiwanya dengan Yusuf dan dialah yang menganjurkan kepada suaminya agar memenjarakan Yusuf untuk memberikan gambaran palsu kepada masyarakat bahawa dialah yang salah dan bahawa dialah yang memperkosa kehormatannya.

Hasil pertemuan Raja dengan para wanita itu diumumkan agar diketahui oleh seluruh lapisan masyarakat dan dengan demikian terungkaplah tabir yang meliputi peristiwa Yusuf dan Zulaikha. Maka atas, perintah Raja, dikeluarkanlah Nabi Yusuf dari penjara secara hormat, bersih dari segala tuduhan. Ia pergi langsung ke istana Raja memenuhi undangannya.


Bacalah isi cerita ini dalam Al-Quran surah "Yusuf" ayat 43 sehingga ayat 53 :~

43.    Raja berkata {kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya}: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir {gandum} yang hijau dan tujuh butir lainnya yang kering. Hai orang-orang yang terkemuka, terangkanlah kepadaku tentang takbir mimpiku itu, jika kamu dapat menakbirkan mimpi." 
44.    Mereka menjawab: "{Itu} adalah mimpi-mimpi yang kosong dan kami sesekali tidak tahu menakbirkan mimpi". 
45.    Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua dan teringat {kepada Yusuf} sesudah beberapa waktu lamanya; "Aku akan memberitakan kepadamu tentang {orang yang pandai} menakbirkan mimpi itu, maka utuslah aku {kepadanya} ". 
46.    {Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf ia berseru}: "Yusuf, hai orang yang sangat dapat dipercaya, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor sapi yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir {gandum} yang hijau dan {tujuh} lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya". 
47.    Yusuf berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun {lamanya} sebagaimana biasa maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di butirnya kecuali sedikit untuk kamu makan. 
48.    Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya {tahun sulit} kecuali sedikit dari {benih gandum} yang kamu simpan. 
49.    Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan {dengan cukup} dan di masa mereka memerah anggur". 
50.    Raja berkata: "Bawalah dia kepadaku". Maka tatakala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf: "Kembalilah kepada tuanmu dan tanyakanlah kepadanya bagimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangannya. Sesungguhnya Tuhanku, Maha Mengetahui tipu daya mereka". 
51.    Raja berkata: "{kepada wanita-wanita itu}, Bagaimana keadaan kamu ketika kamu menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya {kepadamu}?" Mereka berkata: "Maha sempurnalah Allah, kami tidak mengetahui sesuatu keburukkan daripadanya". Berkata {Zulaikha} isteri Al-Aziz: "Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya {kepadaku} dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar". 
52.    Yusuf berkata: "Yang demikian itu agar dia {Al-Aziz} mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak berkhianat kepadanya di belakangnya, dan bahwasanya Allah tidak meredhai tipu daya orang-orang yang berkhianat. 
53.    dan aku tidak membebaskan diriku {dari kesalahan}, karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". 
Yusuf diangkat sebagai wakil raja Mesir
Raja Mesir yang telah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf dari pelayannya, teman Nabi Yusuf dalam penjara, dari kesaksian wanita-wanita, tamu Zulaikha dalam jamuan makan dan dari Zulaikha sendiri, makin bertambah rasa hormatnya dan kagumnya terhadap Nabi Yusuf setelah berhadapan muka dan bercakap-cakap dengan beliau sekeluarnya dari penjara.
Kecerdasan otak Nabi Yusuf, pengetahuannya yang luas, kesabaran , kejujurannya, keramah-tamahannya dna akhlak serta budi pekerti luhurnya, menurut fikiran Raja akan sangat bermanfaat bagi kerajaannya bila Nabi Yusuf diserah pimpinan negara dan rakyat. Maka kepada Nabi Yusuf dalam pertemuan pertamanya dengan Raja ditawarkan agar ia tinggal di istana mewakili Raja menyelenggarakan pemerintahan serta pengurusan negara serta memimpin rakyat Mesir yang diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan sulit.

Nabi Yusuf tidak menolak tawaran Raja Mesir itu. Ia menerimanya asal saja kepadanya diberi kekuasaan penuh dalam bidang kewangan dan bidang pengedaran bahan makanan, kerana menurut pertimbangan Nabi Yusuf, kedua bidang yang berkaitan antara satu sama lain itu merupakan kunci dari kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara. Raja yang sudah mempunyai kepercayaan penuh terhadap diri Nabi Yusuf, terhadap kecerdasan otaknya, kejujuran serta kecekapannya menyetujui fikiran beliau dan memutuskan untuk menyerahkan kekuasaannya kepada Nabi Yusuf dalam suatu upacara penobatan yang menurut lazimnya dan kebiasaan yang berlaku.

Pada hari penobatan yang telah ditentukan, yang dihadiri oleh para pembesar negeri dan pemuka-pemuka masyarakat, Nabi Yusuf dikukuhkan sebagai wakil Raja, dengan mengenakan pakaian kerajaan dan di lehernya dikalung dengan kalung emas, kemudian raja di hadapan para hadiri melepaskan cincin dari jari tangannya lalu dipasangkannya ke jari tangan Nabi Yusuf, sebagai tanda penyerahan kekuasaan kerajaan. Setelah selesai penobatan dan serah terima jabatan Nabi Yusuf . maka Raja Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan Zulaikha {Ra'il} janda majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf  masih dalam penjara.

Kemudian setelah Nabi Yusuf bergaul dengan isterinya ia berkata: "Tidakkah ini lebih baik drp apa yang anda kehendaki dahulu itu." Jawab Zulaikha {Raa'il}: "Wahai orang yang jujur baik, jangan mencelaku. Anda mengetahui bahawa aku dahulu sedemikian muda dan cantik, dalam keadaan serba mewah, sedang suamiku lemah, tidak dapat memuaskan isteri dan dijadikan oleh Allah s.w.t. sedemikian tampannya, maka aku kalah dengan hawa nafsuku". Demikianlah keadaannya, kerana itu Nabi Yusuf masih bertemu dengan Zulaikha dalam keadaan gadis, dan mendapat dua orang putera daripadanya, Ifratsim dan Minsya bin Yusuf.

Demikianlah rahmat dan kurniaan Allah s.w.t. yang telah memberi kedudukan tinggi dan kerajaan besar kepada hamba-Nya.

Sebagai penguasa yang bijaksana, Nabi Yusuf memulakan tugasnya dengan mengadakan lawatan ke daerah-daerah yang termasuk dalam kekuasaannya untuk berkenalan dengan rakyat jelata serta daerah yang diperintahnya dari dekat, sehingga segala rancangan dan peraturan yang akan diadakan dapat memenuhi keperluan dan sesuai dengan iklim dan keadaan daerah.
Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintahan di Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan cukup terbahagi merata dijangkau oleh semua lapisan masyarakat tanpa terkecuali. Dalam pada itu Nabi Yusuf tidak lupa akan peringatan yang terkandung dalam mimpi Raja Mesir, bahawa akan datang masa tujuh tahun yang sukar dan sulit. Maka untuk menghadapi masa itu, Nabi Yusuf mempersiapkan gudang dan kepuk-kepuk bagi penyimpanan bahan makanan untuk musim kemarau yang akan datang.

Berkat pengurusan yang bijaksana dari Nabi Yusuf, maka setelah masa hijau dan subur berlalu dan masa kemarau kering tiba, rakyat Mesir tidak sampai mengalami krisis makanan atau derita kelaparan. Persediaan bahan mknan yang dihimpun di waktu masa hijau dan subur dapat mencukupi keperluan rakyat selama masa kering, bahkan masa dapat menolong masyarakat Mesir yang sudah kekurangan bahan makanan dan menghadapi bahaya kelaparan.

Kisah pengangkatan Nabi Yusuf sebagai penguasa Mesir diceritakan dalam Al-Quran dalam surah "Yusuf" ayat 54 sehingga ayat 57 yang berbunyi sebagai berikut:~

54.    Dan Raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku". Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: "Sesungguhnya kamu {mulai hari ini menjadi seorang yang berkedudukkan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami}". 
55.    Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendahara negara {Mesir} sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan". 
56.    Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir {dia berkuasa penuh} pergi menuju ke mana saja ia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada sesiapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik. 
57.    Dan sesungguhnya pahala di akhirat itu lebih baik bagi orang-orang beriman dan selalu bertakwa." 
Pertemuan Yusuf dengan saudara-saudaranya
Kemudian datanglah orang berduyun-duyun dari kota dan desa-desa pinggiran Mesir, bahkan dari negara-negara yang berhampiran Mesir yang sudah kekurangan bahan makanan bagi rakyatnya. Mereka datang bagi mengharapkan pertolongan Nabi Yusuf untuk memberi kesempatan membeli gandum serta lain-lain bhn mknan yang masih tersedia dalam gudang-gudang pemerintah. Di antara para pendatang yang ingin berbelanja di Mesir terdapat rombongan orang-orang Palestin, termasuk di antara mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri, ialah penyebab utama bagi penderitaan yang telah di alaminya. Nabi Yusuf segera mengenal mereka tetapi sebaliknya mereka tidak mengenal akan Nabi Yusuf yang pernah dilemparkan ke dalam telaga. Bahkan tidak terlintas dalam fikiran mereka bahawa Yusuf masih hidup, apa lagi menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Raja yang berkuasa mutlak.

Atas pertanyaan Nabi Yusuf berkatalah jurucakap rombongan putera-putera Ya'qub: "Wahai Paduka Tuan, kami adalah putere-putera Ya'qub yang kesemuanya adalah dua belas orang. Yang termuda di antara kami putera ayah yang bongsu kami tinggalkan rumah untuk menjaga ayah kami yang talah lamjut usia dan buta pula. Seorang saudara lain telah lama meninggalkan rumah dan hingga kami tidak mengetahui di mana dia berada. Kami datang kemari atas perintah ayah kami, agar memohon pertolongan dna bantuan Paduka Tuan yang budiman, kiranya dapat memberi kesempatan memperkenankan kami membeli gandum dari pesediaan pemerintahan tuan, bagi memenuhi keperluan kami yang sangat mendesak, sehubungan dengan krisis bahan makanan yang menimpa daerah kami."

Berkata Nabi Yusuf menjawab keterangan-keterangan saudaranya itu: "Sesungguhnya kami meragukan identiti kamu dan menyangsikan keteranganmu ini. Kami tidak dapat mengabaikan adanya kemungkinan bahawa kamu adalah mata-mata yang dikirim oleh musuh-musuh kami untuk mengadakan kekecohan dan kekacauan di negeri kami kerananya kami menghendaki memberi bukti-bukti yang kuat atas kebenaran kata-katamu atau membawa saksi-saksi yang kami percaya bahawa kamu adalah beul-betul putera-putera Ya'qub."

"Paduka Tuan Yang bijaksana", menyambut jurucakap itu, "Kami adalah orang-orang musafir gharib di negeri tuan, tidak seorang pun di sini mengenal kami atau kami kenal, maka sukar sekali bagi kami pada masa ini memberi bukti atau membawa saksi sebagaimana Paduka Tuan serukan. Maka kami hanya berpasrah kepada Paduka Tuan untuk memberi jalan kepada kami dengan cara bagaimana kami dpt memenuhi seruan paduka itu." "Baiklah", Nabi Yusuf berkata, "Kali ini kami memberi kesempatan kepada kamu untuk membeli gandum dari gudang kami secukupnya keperluaan kamu sekeluarga dengan syarat bahawa kamu harus kembali kesini secepat mungkin membawa saudara bongsumu yang kamu tinggalkan dirumah. Jika syarat ini tidak dipenuhi, maka kami tidak akan melayani keperluan kamu akan gandum untuk masa selanjutnya." Berkata abang kepada Yusuf yang tidak mengenalkannya itu: "Paduka Tuan kami mengira bahawa ayah kami tidak akan mengizinkan kami membawa adik bongsu kami ke sini, kerana ia adalah kesayangan ayah kami yang sangat dicintai dan dia adalah penghibur ayah yang menggantikan kedudukan saudara kami Yusuf, sejak ia keluar dari rumah menghilangkan tanpa meninggalkan bekas. Akan tetapi bagaimana pun untuk kepentingan kami sekeluarga, akan kami usahakan sedapat mungkin memujuk ayah agar mengizinkan kami membawa adik kami Benyamin ke mari dalam kesempatan yang akan datang."

Sejak awal Nabi Yusuf melihat wajah-wajah saudaranya yang datang memerlukan gandum, tidak ada niat sedikit pun dalam hatinya hendak mempersukarkan missi mereka sebagai balas dendam atas perbuatan yang mereka telah lakukan terhadap dirinya. Soal jawab yang dilakukan dengan mereka hanya sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Benyamin yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama terpisah.

Kemudian Nabi Yusuf memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi karung-karung saudaranya dengan gandum dan bahan makanan yang mereka perlu. Sedang barang-barang emas dan perak yang mereka bawa untuk harga gandum dan bahan makanan itu, diisikan kembali ke dalam karung-karung mereka secara diam-diam tanpa mereka ketahui. Setibanya kembali di Palestin berceritalah mrk kepada ayahnya Ya'qub tentang perjalanan mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka, yang dipujinya sebagai penguasa yang bijaksana, adil, sabar, rendah hati dan sangat ramah-tamah. Tanpa sedikit kesukaran pun mereka telah diberikan hajat mereka dari gandum yang diisikan sekali oleh pegawai-pegawai Yusuf ke dalam karung mereka. Disampaikan pula oleh mereka kepada ayahnya, bahawa mereka diharuskan oleh Yusuf membawa adik bongsu mereka ke Mesir, bila mereka datang lagi untuk membeli gandum dan bahan makanan. Tanpa membawa adik termaksud, mereka tidak akan dilayani dan diperkenankan membeli gandum yang mereka perlukan. Kerananya mereka dari jauh-jauh mohon agar mereka diperkenankan membawa adik mereka Benyamin bila mereka harus kembali ke Mesir untuk membeli gandum.

Berkata Nabi Ya'qub serta merta setelah mendengar cerita putera-puteranya: "Tidak,sesekali tidak akanku berikan izinkan kepadamu untuk membawa Benyamin jauh daripadaku. Aku tidak akan mempercayakan Benyamin kepadamu setelah apa yang terjadi dengan diri Yusuf adikmu. Kamu telah berjanji akan menjaganya baik-baik, bahkan sanggup mengorbankan jiwa-ragamu untuk keselamatannya. Akan tetapi apa yang telah terjadi adalah sebaliknya. Kamu pulang ke rumah dalam keadaan selamat, sedang adikmu Yusuf, kamu lepaskan menjadi mangsa serigala. Cukuplah apa yang telahku alami mengenai diri Yusuf dan janganlah terulang lagi kali ini mengenai diri Benyamin".

Ketika karung-karung yang dibawa kembali dari Mesir dibongkar, ternyata didalamnya terdapat barang-barang emas dan perak yang telah mereka bayarkan untuk harga gandum yang dibeli. Maka seraya tercengang bercampur gembira, berlari-larilah mereka menyampaikan kehairanan mereka kepada ayahnya. Mereka berkata: "Wahai ayah! Kami tidak berdusta dalam cerita kami tentang itu penguasa Mesir orang baik hati. Lihatlah barang-barang emas dan perak yang telah kami bayarkan untuk ganti gandum yang kami terima, dipulangkan kembali ke dalam karung-karung kami tanpa kami mengetahui. Jadi apa yang kami bawa ini adalah pemberian percuma dari penguasa Mesir yang sangat murah hati itu."

Dengan diperolehnya gandum, bantuan percuma dari putera yang tidak mereka kenali, keluarga Ya'qub menjadi tenang dan merasa buat beberapa waktu, bahawa api didapur rumah akan tetap menyala. akan tetapi persediaan yang terbatas itu tidak bertahan lama jika tidak disusul dengan pengisian stok baru selama musim kemarau belum berakhir. Demikianlah maka Nabi Ya'qub yang melihat persediaan gandumnya makin hari makin berkurangan sedangkan tanda-tanda krisis makanan belum nampak, terpaksalah ia mengutus putera-puteranya kembali ke Mesir untuk memperoleh bekalan untuk kedua kalinya dari Yusuf wakil Raja negeri itu. Dan kerana putera-putera Ya'qub tidak akan berangkat ke Mesir tanpa Benyamin, sesuai janji mereka kepada Yusuf, maka terpaksa pulalah Ya'qub mengikut sertakan putera bongsunya Benyamin dalam rombongan abang-abangnya.

Dengan iringan doa serta nasihat si ayah, berangkatlah kafilah putera-putera Ya'qub yang terdiri dari sebelas orang Setiba mereka diperbatasan kota berpisahlah menjadi beberapa kelompok memasuki kota dari arah yang berlainan sesuai dengan pesan ayah mereka untuk menghindari timbulnya iri hati penduduk serta prasangka dan tuduhan bahawa mereka adalah mata-mata musuh. Setibanya di istana kerajaan mereka diterima oleh adik mereka sendiri Yusuf yang belum mereka kenal kembali, dengan penuh ramah-tamah dan dihormati dengan jamuan makan. Bagi mereka disediakan tempat penginapan untuk setiap dua orang sebuah rumah, sedang adik bongsu Yusuf, Benyamin diajak bersamanya menginap didalam istana.

Sewaktu berada berduaan dengan Yusuf, Benyamin mencucurkan airmata seraya berkata kepada abangnya yang belum dikenal kembali: "Andaikan abangku Yusuf masih hidup, nescaya engkau akan menempatkan aku bersamanya di sebuah rumah tersendiri sebagaimana saudara-saudaraku yang lain." Yusuf lalu menghiburkan hati adiknya dengan kata-kata: "Sukakah engkau bila aku menjadi abangmu menggantikan abangmu yang hilang itu?" Benyamin menjawab: "Tentu namun sayang sekali bahawa engkau tidak dilahirkan oleh ayahku Ya'qub dan ibuku Rahil."

Mendengar kata-kata si adik yang merawankan hati itu, bercucurlah air mata Yusuf, lalu memeluk adiknya sambil mengaku bahawa dia adalah Yusuf, abangnya yang hilang itu. Ia menceritakan kepada adiknya penderitaan -penderitaan yang telah dialami sejak ia dicampakkan ke dalam perigi, diperjual-belikan sebagai hamba sahaya, ditahannya dalam penjara selama bertahun-tahun tanpa dosa dan akhirnya berkat rahmat dan kurniaan Allah s.w.t. diangkatlah ia sebagai wakil raja yang berkuasa mutlak. Yusuf mengakhiri beritanya dengan berpesan kepada adiknya, agar merahsiakan apa yang telah ia dengarkan dan jangan sampai diketahui oleh saudara-saudaranya yang lain.

Alangkah gembiranya Benyamin mendengar cerita abangnya yang selalu dikenangnya sejak ia hilang meninggalkan rumah bersama-sama saudara-saudaranya berkelah beberapa tahun yang lalu. Ia segera memeluk abangnya kembali seraya berkata: "Aku tidak dapat bayangkan betapa gembiranya ayah bila ia mendengar bahawa engkau masih hidup dalam keadaan segar bugar, sihat wafiat, menguasai suatu kerajaan besar, tinggal didalam istana yang diliputi oleh segala kemewahan dan kemegahan. Sebab sejak engkau menghilang ayah kami tidak pernah terlihat gembira. Ia selalu diliputi oleh rasa sedih dan duka, tidak pernah sedikit pun bayanganmu terlepas dari ingatannya. Demikianlah keadaan ayah kami hai Yusuf sejak engkau menghilangkan rumah dan menghilang, sampai-sampai menjadi putih matanya kerana kesedihan dan tangisnya yang tidak ada hentinya."

Kisah pertemuan Yusuf dengan saudaranya dikisahkan dalam Al-Quran pada surah "Yusuf" ayat 58 sehingga 69 yang bermaksud :~
58.    Dan saudara-saudara Yusuf datang {ke Mesir} lalu mereka masuk ke {tempat}nya. Maka Yusuf mengenal mereka, sedang mereka tidak kenal {lagi} kepadanya.
59.    Dan tatkala Yusuf menyiapkan bahan makanannya, ia berkata: "Bawalah kepadaku saudaramu yang seayah dengan kamu {Benyamin}, tidaklah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan dan aku adalah sebaik-baik penerima tamu? 
60.    Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapat sukatan lagi daripadaku dan jangan kamu mendekatiku".
61.    Mrk berkata: "Kami akan memujuk ayah kami untuk membawanya {ke mari} dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya".
62.    Yusuf berkata kepada orang-orangnya: "Masukkanlah barang-barang {penukar kepunyaan} mereka ke dalam karung-karung mereka, supaya mereka mengetahui apabila mereka telah kembali kepada keluarganya, mudah-mudahan mereka kembali lagi".
63.    Maka tatkala mereka telah kembali kepada ayah mereka {Ya'qub}, mereka berkata: "Wahai ayah kami, kami tidak mendapat sukatan {gandum} lagi, {jika todak membawa saudara kami}, sebab itu biarkanlah saudara kami {Benyamin} pergi bersama kami supaya kami mendapat sukatan dan sesungguhnya kami akan benar-benar menjaganya".
64.    Berkata Ya'qub: "Bagaimana aku akan mempercayakannya {Benyamin} kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya {Yusuf} kepada kamu dahulu?" Maka Allah adalah sebaik-baik penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.
65.    Tatkala mereka membuka barang-barangnya, mereka menemukan kembali barang-barang {penukaran} mereka dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata: "Wahai ayah kami, apa lagi yang kami inginkan. Ini barang-barang kami dikembalikan kepada kami dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami dan kami akan dapat memelihara saudara kami dan kami akan mendapat tambahan sukatan {gandum} seberat seekor unta. Itu adalah sukatan yang mudah {bagi Raja Mesir}".
66.    Ya'qub berkata : "Aku sesekali tidak akan melepaskannya {pergi} bersama-sama kamu sebelum kamu memberikan janji yang teguh atas nama Allah bahawa kamu akan pasti membawanya kepadaku kembali, Kecuali jika kamu dikepung musuh ". Tatkala mereka memberi janji mereka, maka Ya'qub berkata: "Allah adalah saksi terhadap yang kami ucapkan {ini}".
67.    Dan Ya'qub berkata: "Hai anak-anakku, janganlah kamu masuk bersama-sama dari satu pintu gerbang dan masuklah dari pintu gerbang yang berlainan namun demikian aku tidak dapat melepaskan kamu barang sedikit pun daripada {takdir} Allah. Keputusan menetapkan {sesuatu} hanyalah hak Allah; kepada-Nya aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri".
68.    Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkan ayah mereka ,maka {cara yang mereka lakukan itu} tiadalah melepaskan mereka sedikit pun daripada {takdir} Allah, akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Ya'qub yang telah ditetapkannya. Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan , kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. Akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.
69.    Dan tatkala mereka masuk ke {tempat} Yusuf, Yusuf membawa saudaranya {Benyamin} ke tempatnya. Yusuf berkata: "Sesungguhnya aku {ini} adalah saudaramu,maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang mereka telah lakukan." 
Yusuf menahan Benyamin sebagai Tahanan
Yusuf menerima saudara-saudaranya sebagai tamu selama tiga hari tiga malam. Setelah selesai masa bertamu bersiap-siaplah mereka untuk pulang kembali ke negerinya, sesudah karung-karung mereka diisi dengan penuh {gandum} dam bahan-bahan makanan lain yang mereka perlukan. Setelah berjabat tangan, meminta diri dari Yusuf, bergeraklah kafilah mereka menuju pintu gerbang ke luar kota. Tetapi sebelum kafilah sempat melewati batas kota, tiba-tiba beberapa pengawal istana yang berkuda mengejar mereka dan memerintah agar berhenti dan dilarang meneruskan perjalanan, sebelum diadakan pemeriksaan terhadap barang-barang yang mereka bawa. Para pengawal mengatakan bahawa sebuah piala gelas minum raja telah hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka yang mencurinya.

Kafilah berhenti di tempat dan dengan hairan berkatalah jurucakap mereka: "Demi Allah kami datang kemari bukannya untuk mengacau dan sangat tidak mungkin bahawa salah seorang daripada kami akan mencuri piala itu. Kami adalaah putera-putera Ya'qub pesuruh Allah s.w.t.. Kami sudah merasa berhutang budi kepada raja dan banyak berterimakasih atas bantuan yang telah diberikan kepada kami. Masakan kami akan membalas kebaikan hati raja dengan mencuri barang-barangnya? Namun untuk membenarkan kata-kata kami, kami tidak berkeberatan karung-karung dan barang-barang kami dibongkar dan digeledah sepuas-puasnya. Dan bila ternyata ada salah seorang daripada kami yang kedapatan piala itu di dalam kumpulan barang-barangnya, kami rela menyerahkannya kepada raja untuk diberi ganjaran yang setimpal."

Penggeledahan dilakukan oleh para pengawal, baragn-barang serta karung-karung diturunkan dari atas punggung unta, dibongkar dan diperiksa. Sejurus kemudian berteriaklah salah seorang pengawal dengan memegang piala di tangannya seraya berkata: "Inilah dia piala yang hilang." Para anggota rombongan terkejut sambil memandang satu dengan yang lain kehairan, seakan-akan masing-masing bertanya di dalam diri sendiri, gerangan musibah apakah yang menimpa mereka ini dan sangat berat bahkan tidak mungkin, mereka akan percaya bahawa salah seorang dari rombongan bersaudara itu melakukan perbuatan yang akan mencemarkan nama baik mereka. Namun yang mereka saksikan dengan mata kepalanya masing-masing tidak dapat dimungkiri dan ditolak kebenarannya.

Bertanya pemimpin rombongan kepada pengawal, dari mana mereka dapatkan piala itu. Mereka menujukan kepada salah satu bag, yang ternyata bahawa bag itu adalah kepunyaan adik bongsu mereka Benyamin. Maka sesuai dengan persetujuan yang telah disepakati, ditahanlah Benyamin dan tidak diizinkan menyertai rombongan itu pulang. Pada masa itu terbayanglah dihadapan mereka wajah Ya'qub ayah mereka, yang sedang buta dan mengidap penyakit kerana tidak henti-hentinya mengenangkan dan mengingati Yusuf. Ayah yang dengan susah payah dan dengan rasa berat melepaskan Benyamin menyertai mereka ke Mesir kerana khuatir berulangnya kembali tragedi Yusuf akan dialami oleh adik bongsunya Benyamin. Bagaimana harus mereka hadapi ayah mereka yang telah diberikan janji yang teguh atas nama Allah s.w.t. akan membawa Benyamin kembali? Dan apakah akan percaya ayah mereka bila diberitahu bahawa Benyamin telah ditahan di Mesir kerana mencuri piala raja? Tidakkah berita itu kelak akan menjadikan penyakit ayah mereka makin parah, bahkan mungkin akan membinasakannya dan mengakhiri hayatnya?

Selagi pertanya-pertanya itu berputar di dalam fikiran abang-abangnya, Benyamin termenung seorang diri, tidak berkata sepakat kata pun. Ia ternganga kehairanan, bagaimana piala itu boleh didapati di dalam bagnya. Padahal ia sesekali tidak merasa menyentuhnya. Ia ingin menolak tuduhan dan menyangkal dakwaan terhadap dirinya, namun akan merasa sia-sia belaka, bahkan akan menambah menjengkelkan para pengawal yang telah mengeluarkan piala dari bagnya sebagai bukti yang nyata yang tidak dapat dibantah. Ia hanya berpasrah pada Allah Yang Mengetahui bahawa ia bersih dari tuduhan mencuri.

Anggota rombongan ramai-ramai mendatangi Yusuf, memohon kebijaksanaannya agar menerima salah seorang daripada mereka untuk menggantikan Benyamin sebagai tahanan. Berkata mereka: "Wahai Paduka Tuan! kami sedar bahawa adik bongsu kami bersalah dan kami tidak dapat memungkiri kenyataan yang telah kami saksikan dengan mata kepala kami ketika piala diketemukan di dalam bagnya. Akan tetapi memohon kebijaksanaan dan belas kasihan Tuan agar adik kami Benyamin meninggalkan Mesir dan sebagai gantinya Paduka Tuan dapat menuju salah seorang daripada kami sebagai tahanan. Sebab bila rombongan kami tiba di tempat tanpa Benyamin, hal itu akan sangat menyedihkan ayah kami, bahkan mungkin dapat membinasakan jiwanya. Ayah kami yang sudah lanjut usia, hampir mencapai satu abad, berada dalam keadaan sakit, sejak kehilangan putera kesayangannya Yusuf. Adalah adik kami Benyamin ini yang menjadi penghibur hatinya yang dirundung duka dan sedih sepanjang hayatnya. Ia bahkan tidak mengizinkan kami membawanya kemari kalau tidak kerana terpaksa telah berkurangnya persediaan gandum di rumah. Maka sangat kami harapkan belas kasihan Paduka Tuan kepada ayah kami dengan melepaskan Benyamin dan menahan salah seorang daripada kami sebagai gantinya."

Yusuf menolong permohonan abang-abangnya dan berpegang teguh pada persepakatan yang telah sama dipersetujui, bahawa barang siapa kedapatan piala di dalam bagnya akan ditahan, apa lagi menurut syariat Nabi Ya'qub bahawa barang siapa yang mencuri maka hukumannya ialah si pencuri dijadikan hamba satu tahun lamanya. Dalam permusyawaratan yang telah dilakukan oleh abang-abang Yusuf telah gagal memperoleh persetujuannya melepaskan Benyamin dari tahanan, berkatalah Yahudza, saudara tertua di antara mereka: "Aku tidak mempunyai muka untuk mengadap ayah tanpa Benyamin. Kami telah mendurhakai ayah dengan melemparkan Yusuf ke dalam perigi sehinggakan menjadi ayah menderita sepanjang hayat dan kini akan menambahkan lagi penderitaan ayah dengan meninggalkan Benyamin seorang diri disini tanpa kami mengetahui nasib apa yang akan dialaminya sedang kami talah berjanji dan bersumpah akan membawanya kembali jika apa pun yang akan kami hadapi untuk menjaga keselamatannya. Kerananya aku akan tinggal disini buat sementara dan tidak akan pulang ke rumah sebelum ayah memanggilku dan mengizinkanku kembali. Pergilah kamu segera pulang kembali dan ceritakanlah kepada ayah apa yang telah terjadi dengan sebenarnya dan bila ayah tidak mempercayaimu, disebabkan pengalamannya dengan Yusuf, maka biarlah ia menanya kepada kafilah-kafilah dan orang -orang yang telah menyaksikan peristiwa penggeledahan dengan mata kepala mereka sendiri di tempat kami ditahan.

Berangkatlah kafilah Ya'qub kembali ke tanah airnya dengan hanya terdiri dari sembilan orang, meninggalkan di belakang mereka abang sulungnya Yahudza dan adik bongsunya Benyamin. Setiba mereka di rumah hanya dengan sembilan orang dan menghadap ayahnya menceritakan apa yang telah terjadi pada diri Benyamin dan Yahudza. Nabi Ya'qub berkata seraya berpaling daripada mereka dan mengusap dada: "Oh alangkah sedihnya hatiku kerana hilangnya Yusuf yang masih terbayang wajahnya di depan mataku. Kini kamu tambah lagi penderitaanku dengan meninggalkan Benyamin di negeri orang untuk kedua kalinya kamu melanggar janjimu dan sumpahmu sendiri dan untuk kedua kalinya aku kehilangan putera yang sangat aku sayangi dan hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan itu. Semoga Allah memberi kesabaran kepadaku dan mempertemukan ku kembali dengan anak-anakku semuanya."

Berkata putera-puteranya menjawab: "Wahai ayah! Demi Allah engkau akan mengidap penyakit yang berat dan akan binasalah engkau bila engkau terus menerus mengenangkan Yusuf dan tidak berusaha menghilangkan bayangannya dari fikiranmu." Menjawab teguran putera-puteranya itu berucaplah Ya'qub: "Sesungguhnya hanya kepada Allah aku mengadukan nasibku, kesusahan dan kesedihanku. Aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya." Kemudian, mengenai diri Benyamin yang ditahan oleh pengawal-pengawal kerajaan, maka sepeninggalan abang-abangnya, oleh Yusuf diberitahu bahawa piala raja yang terdapat di dalam bagnya, adalah perbuatan pengawal-pengawalnya yang memang sengaja diperintah oleh beliau untuk diisikan ke dalam bag Benyamin itu dengan maksud menahannya tinggal bersamanya di dalam istana. Ia membesarkan hati adiknya dengan meramalkan bahawa akan tiba kelak suatu saat di mana ia dengan adiknya dan seluruh keluarga akan bertemu dan berkumpul kembali.

Bacalah tentang isi cerita di atas ayat 70 sehingga 86 dari surah "Yusuf" yang bermaksud :~

70.    Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka, Yusuf memasukkan piala tempat minum ke dalam karung saudaranya. kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: "Hai kafilah, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang mencuri".
71.    Meraka menjawab sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu: "Barang apakah yang hilang daripada kamu?"
72.    Penyeru-penyeru itu berkata: "Kami kehilangan piala raja, dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan {seberat} beban unta, dan aku menjamin terhadapnya."
73.    Saudara-saudara Yusuf menjawab: "Demi Allah sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakkan di negeri {ini} dan kami bukanlah orang-orang mencuri".
74.    Mereka berkata: "Tetapi apakah balasan jikalau kamu betul-betul pendusta?"
75.    Mereka menjawab: "Balasannya ialah pada siapa ditemukan {barang yang hilang} dalam karungnya, maka dia sendirilah balasannya". Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang zalim.
76.    Maka mulailah Yusuf memeriksa karung-karung mereka sebelum {memeriksa} karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan piala raja itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami atur untuk {mencapai} maksud Yusuf. Tiadalah patut Yusuf mneghukum saudaranya menurut undang-undang raja, kecuali Allah menghendakinya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki, dan diatas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.
77.    Mereka berkata: "Jika ia mencuri maka sesungguhnya telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu". Maka Yusuf menyembunyikan kejengkelan itu pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka. Dia berkata: "{Dalam hatinya} kamu lebih buruk kedudukanmu {sifat-sifatmu} dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu".
78.    Mereka berkata: "Wahai Al-Aziz! Sesungguhnya ia mempunyai ayah yang sudah lanjut usianya, lantaran itu ambil salah seorang daripada kami sebagai gantinya. Sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang-orang yang berbuat baik".
79.    Berkata Yusuf: "Aku mohon perlindungan Allah daripada menahan seorang kecuali orang yang kami ketemukan harta benda kami padanya, jika kami berbuat demikian, maka benar-benarlah kami, orang-orang yang zalim".
80.    Maka tatkala mereka berputus asa daripada {keputusan} Yusuf, mereka menyendiri sambil berunding dengan berbisik-bisik. Berkatalah yang tertua di antara mereka: "Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya ayahmu telah mengambil janji daripada kami dengan nama Allah dan sebelum itu kamu telah mensia-siakan Yusuf. Sebab itu aku tidak akan meninggalkan negeri Mesir, sampai ayahku mengizinkan kepadaku. Dan Dia adalah hakim sebaik-baiknya".
81.    "Kembalilah kepada ayahmu dan berkatalah: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya anak kamu telah mencuri dan kami hanya menyatakan apa yang kami ketahui dan sesekali tidak dapat menjaga {mengetahui} barang yang ghaib.
82    Dan tanyalah penduduk negeri yang kami berada di situ dan kafilah yang kami datang bersamanya dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar".
83.    Ya'qub berkata: "Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan {yang buruk itu}. Maka kesabaran yang baik itulah {kesabaranku}. Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semua kepadaku sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana'.
84.    Dan Ya'qub berpaling dari mereka {anak-anaknya} seraya berkata: "Aduhai dukacitaku terhadap Yusuf. Dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya {terhadap anak-anaknya}.
85.    Mereka berkata: "Demi Allah, senantiasa kamu mengingati Yusuf, sehingga kamu mengidap penyakit yang berat atau termasuk orang-orang yang binasa".
86.    Ya'qub menjawab: "Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadu kesusahan dan kesedihan hatiku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Pertemuan kembali keluarga Ya'Qub
Sejak kembalinya kafilah putera-puteranya dari Mesir tanpa Benyamin dan Yahudza, maka duka nestapa dan kesedihan Ya'qub makin mendalam dan menyayat hati. Ia tidak merasakan tidur bermalam-malam, mengenangkan ketiga puteranya yang tidak berketentuan tenpat dan nasibnya. Ia hanya terasa terhibur bila ia sedang menghadap kepada Allah s.w.t., bersolat, bersujud seraya memohon kepada Allah s.w.t. agar mengurniainya kesabaran dan keteguhan iman menghadapi ujian dan percubaan yang sedang ia alami.

Ia kadangkala berkhalwat seorang diri melepaskan air matanya bercucuran sebebas-bebasnya untuk melegakan dadanya yang sesak. Fizikal Nabi Ya'qub makin hari makin menjadi lemah, tubuhnya makin kurus hungga tunggal kulit melekat pada tulang, ditambah pula dengan kebutaan matanya yang menjadi putih. Hal mana menjadikan putera-puteranya khuatir terhadap kelangsungan hidupnya. Mereka menegurnya dengan mengatakan: "Wahai ayah! Ayah adalah seorang Nabi dan pesuruh Allah s.w.t. yang daripada-Nya wahyu diturunkan dan daripadanya kami mendapat tuntutan dan ajaran beriman. Sampai bilakah ayah bersedih hati dan mencucurkan air mata mengenangkan Yusuf dan Benyamin. Tidak cukupkah sudah bahawa badan ayah hanya tinggal kulit di atas tulang dan mata ayah menjadi buta? Kami sangat khuatir bahawa ayah akan menjadi binasa bila tidak menyedarkan diri dan berhenti mengenangkan Yusuf dan Benyamin".

Ya'qub menjawab teguran putera-puteranya itu mengatakan: "Kata-kata teguranmu bahkan menambahkan kesedihan hatiku dan bahkan membangkitkan kembali kenangan-kenanganku pada masa yang lalu, di mana semua anak-anak ku berkumpul di depan mataku. Aku berkeyakinan bahwa Yusuf masih hidup dan suara hatiku membisikkan kepadaku bahawa ia masih berkeliaran di atas bumi Allah s.w.t. ini, namun di mana ia berada dan nasib apa yang ia alami, hanya Allahlah yang mengetahuinya. Bila kamu benar-benar sayang kepadaku dan ingin melegakan hatiku serta menghilangkan rasa sedih dan dukacitaku, pergilah kamu merantau mencari jejak Yusuf dan berusahalah sampai menemuinya dan setidak-tidaknya mendapat keterangan di mana ia berada sekarang dan jangan sesekali berputus asa kerana hanya orang-orang kafirlah yang berputus asa dari rahmat Allah s.w.t.".

Seruan Ya'qub dipertimbangkan oleh putera-puteranya dan diterimanyalah saranannya, setidak-tidaknya ia sekadar membesarkan hati si ayah dan meredakan rasa penderitaannya yang berlarut-larutan. Dan sekali pun mereka merasa tidak mungkin mendapat Yusuf dalam keadaan hidup, namun bila mereka berhasil memujuk penguasa Mesir mengembalikan Benyamin, maka hal itu sudah cukup merupakan penghibur bagi ayah mereka serta ubat yang dapat meringankan rasa sakit hatinya. Racangan perjalanan dirundingkan dan terpilihlah Mesir sebagai tujuan pertama dari perjalanan mereka mencari jejak Yusuf sesuai dengan seruan Ya'qub dengan maksud sampingan ialah membeli gandum untuk mengisi persediaan yang sudah berkurang.

Tibalah kafilah putera-putera Ya'qub di Mesir untuk ketiga kalinya dan dalam pertemuan mereka dengan Yusuf, wakil raja Mesir yang berkuasa, berkatalah jurucakap mereka: "Wahai Paduka Tuan! Keadaan hidup yang sukar dan melarat di negeri kami yang disebabkan oleh krisis bahan makanan yang belum teratasi memaksa kami datang kembali untuk ketiga kalinya mengharapkan bantuan dan murah hati paduka tuan, kedatangan kami kali ini juga untuk mengulang permohonan kami kepada paduka tuan dapatlah kiranya adik bongsu kami Benyamin dilepaskan untuk kami bawa kembali kepada ayahnya yang sudah buta kurus kering dan sakit-sakit sejak Yusuf, abang Benyamin hilang. Kami sangat mengharapkan kebijaksanaan paduka tuan agar melepaskan permohonan kami ini, kalau-kalau dengan kembalinya Benyamin kepada pangkuan ayahnya dapat meringankan penderitaan batinnya serta memulihkan kembali kesihatan badannya yang hanya tinggal kulit melekat pada tulangnya."

Kata-kata yang diucapkan oleh abang-abangnya menimbulkan rasa haru pada diri Yusuf dan tepat mengenai sasaran di lubuk hatinya, menjadikan ia merasakan bahawa masanya telah tiba untuk mengenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya dan dengan demikian akan dapat mengakhiri penderitaan ayahnya yang malang itu. Berucaplah Yusuf kepada saudara-saudaranya secara mengejek: "Masih ingatkah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap adikmu Yusuf, tatkala kamu memperturutkan hawa nafsu melemparkannya ke dalam perigi di suatu tempat yang terpencil? Dan masih teringatkah olehmu tatkala seorang daripadamu memegang Yusuf dengan tangannya yang kuat, menanggalkan pakaiannya dari tubuhnya lalu dalam keadaan telanjang bulat ditinggalkannyalah ia seorang diri di dalam perigi yang gelap dan kering itu, lalu tanpa menghiraukan ratap tangisnya, kamu kembali pulang ke rumah dengan rasa puas seakan-akan kamu telah membuang sebuah benda atau seekor binatang yang tidak patut dikasihani dan dihiraukan nasibnya?"

Mendengar kata-kata yang diucapkan oleh wakil raja Mesir itu, tercenganglah para saudara Yusuf, bertanya-tanya kepada diri sendiri masing-masing, seraya mamandang antara satu dengan yang lain, bagaimana peristiwa itu sampai diketahuinya secara terperinci, padahal tidak seorang pun daripada mereka pernah membocorkan berita peristiwa itu kepada orang lain, juga kepada Benyamin pun yang sedang berada di dalam istana raja. Kemudian masing-masing dari mereka menyorotkan matanya, mulutmya dan seluruh tubuhnya dari kepala sampailah ke kaki. Dicarinya ciri-ciri khas yang mereka ketahui berada pada tubuh Yusuf semasa kecilnya. Lalu berbisik-bisiklah mereka dan sejurus kemudian keluarlah dari mulut mereka secara serentak suara teriakan : "Engkaulah Yusuf".

"Benar", Nabi Yusuf menjawab, "Akulah Yusuf dan ini adalah adikku setunggal ayah dan ibu, Benyamin. Allah s.w.t. dengan rahmat-Nya telah mengakhiri segala penderitaanku dan segala ujian berat yang telah aku alami dan dengan rahmat-Nya pula kami telah dikurniai nikmat rezeki yang melimpah ruah dan penghidupan yang sejahtera. Demikianlah barangsiapa yang bersabar, bertaqwa serta bertawakkal tidaklah akan luput dari pahala dan ganjarannya." Setelah mendengar pengakuan Yusuf, berubahlah wajah mereka menjadi pucat. Terbayang di depan mata mereka apa yang mereka perbuat terhadap diri adik mereka Yusuf yang berada di depan mereka sebagai wakil raja Mesir yang berkuaa penuh. Mereka gelisah tidak dapat membayangkan pembalasan apa yang akan mereka terima dari Yusuf atas dosa mereka itu.

Berkatalah saudara-saudara Yusuf dengan nada yang rendah: "Sesungguhnya kami telah berdosa terhadap dirimu dan bertindak kejam ketika kami melemparkan kamu ke dasar telaga. Kami lakukan perbuatan kejam itu, terdorong oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan laknatullah yang terkutuk. Kami sangat sesalkan peristiwa yang terjadi itu yang berakibat penderitaan bagimu dan bagi ayah kami. Akan tetapi kini nampak kepada kami kelebihanmu di atas diri kami dan bagaimana Allah s.w.t. telah mengurniakan nikmat-Nya kepadamu sebagai ganti penderitaan yang disebabkan oleh perbuatan kami yang durhaka terhadap dirimu. Maka terserah kepadamu untuk tindakan pembalasan apakah yang akan engkau timpakan di atas diri kami yang telah berdosa dan mendurhakaimu".

Berucaplah Yusuf menenteramkan hati saudara-saudaranya yang sedang ketakutan: "Tidak ada manfaatnya menyesalkan apa yang telah terjadi dan menggugat kejadian-kejadian yang telah lalu. Cukuplah sudah bila itu semua menjadi pengajaran bahawa mengikuti hawa nafsu dan suara syaitan laknatullah selalu akan membawa penderitaan dan mengakibatkan kebinasaan di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengampuni segala dosamu, kerana Dialah Yang Maha Penyayang serta Maha Pengampun. Pergilah kamu sekarang juga kembali kepada ayah dengan membawa baju kemejaku ini. Usapkanlah ia pada kedua belah matanya yang insya-Allah akan menjadi terang kembali, kemudian bawalah ia bersama semua keluarga ke sini secepat mungkin."

Maka bertolaklah kafilah putera-putera Ya'qub dengan diliputi rasa haru bercampur gembira, kembali menuju ke Palestin membawa berita gembira bagi ayah mereka yang sedang menanti hasil usaha pencarian Yusuf yang disarankannya. Dan selagi kafilah sudah mendekati akhir perjalanannya dan hampir memasuki Palestin ayah mereka Nabi Ya'qub memperoleh firasat bahawa pertemuan dengan Yusuf, putera kesayangannya sudah berada di ambang pintu. Firasat itu diperolehnya sewaktu ia berkhalwat seorang diri di mihrab tempat ibadahnya bermunajat kepada Allah s.w.t., berzikir dan bersujud seraya melepaskan air matanya bercucuran dan suara tangisnya menggema di seluruh sudut rumah, sekonyong-konyong suara tangisnya berbalik menjadi gelak ketawa, air matanya berhenti bercucuran dan keluarlah ia dari mihrabnya berteriak: "Aku telah mencium bau tubuh Yusuf dan aku yakin bahawa aku akan menemuinya dalam waktu dekat. Ini bukan khayalan dan bukannya pula bawaan kelemahan ingatan yang selalu kamu tuduhkan kepadaku."

Sejurus kemudian berhentilah kafilah di depan pintu rumah turunlah putera-putera Ya'qub dari atas unta masing-masing, beramai-ramai masuk ke dalam rumah dan berpeluknyalah ayah sambil mengusapkan baju kemeja Yusuf pada kedua belah matanya. Seketika itu pula terbuka lebarlah kedua belah mata Ya'qub, bersinar kembali memandang wajah putera-puteranya dan mendengar kisah perjalanan putera-puteranya dan bagaimana mereka telah menemukan Yusuf bersama adiknya Benyamin. Disampaikan pula kepada ayah seruan dan undangan Yusuf agar semua sekeluarga berhijrah ke Mesir dan bergabung menjadi satu di dalam istananya. Dan segera berkemas-kemaslah Ya'qub sekeluarga menyiapkan diri untuk berhijrah ke Mesir.

Dirangkulnyalah si ayah oleh Yusuf seraya mencucurkan air mata setiba Ya'qub di halaman istana bersama seluruh keluarga. Demikian pula ayah tidak ketinggalan mencucurkan air mata, namun kali ini adalah air mata suka dan gembira. Semuanya pada merebahkan diri bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. serta penghormatan bagi Yusuf, kemudian dinaikkannyalah ayah dan ibu tirinya yang juga saudara ibunya ke atas sigahsana seraya berkata: "Wahai ayahku! Inilah dia takbir mimpiku yang dahulu itu, menjadi kenyataan. Dan tidak kurang-kurang rahmat dan kurniaan Allah s.w.t. kepadaku yang telah mengangkatku dari dalam perigi, mengeluarkan aku dari penjara dan mempertemukan kami semua setelah syaitan laknatullah telah merosakkan perhubungan persaudaraan antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Allah Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki dan sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana". Kemudian Yusuf mengangkat kedua tangannya berdoa: "Ya Tuhanku! Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan mengajarkan kepadaku pengentahuan serta kepandaian mentakbir mimpi. Ya Tuhanku Pencipta langit dan bumi! Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam, beriman dan bertakwa dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh."

Bacalah ayat 87 sehingga 101 dari surah "Yusuf", tentang isi cerita di atas sebagai berikut :~

87.    Berkatalah Ya'qub: "Hai anak-anakku, pergilah kamu maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kamu kafir."
88.    Maka ketika mereka masuk ke {Tempat} Yusuf, mereka berkata : "Hai Al-Aziz, kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga, maka sempurnakanlah sukatan untuk kami dan bersedekahlah kepada kami, sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah."
89.    Yusuf berkata: "Apakah kamu mengetahui {keburukan} apa yang kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui {akibat} perbuatanmu itu?"
90.    Mereka berkata: "Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?" Yusuf menjawab: "Akulah Yusuf dan ini saudaraku. Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami". Sesungguhnya barangsiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik".
91.    Mereka berkata: "Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah {berdosa}".
92.    Dia {Yusuf} berkata: "Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni {kamu} dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang".
93.    Pergilah kamu dengan membawa baju kemejaku ini, lalu lekatkanlah ia ke wajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali, dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku".
94.    Tatkala kafilah itu telah keluar {dari negeri Mesir} berkata ayah mereka: "Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal {tentu kamu membenarkan aku}".
95.    Keluarganya berkata: "Demi Allah kamu sesungguhnya masih dalam kekeliruanmu yang dahulu".
96.    Tatkala telah tiba pembawa berita gembira itu, maka diletakkannya baju itu ke wajah Ya'qub, lalu kembalilah dia dapat melihat. Berkata Ya'qub: "Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya".
97.    Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Mohonkanlah ampun bagi kami terhadap dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah {berdosa}".
98.    Ya'qub berkata: "Kelak aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
99.    Maka tatkala mereka masuk ke {tempat } Yusuf, Yusuf merangkul ibu bapanya dan dia berkata: "Masuklah kamu di negeri Mesir, insya-Allah dalam keadaan aman".
100.    Dan ia menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singahsana. Dan mereka {semuanya} merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah takbir mimpiku yang dahulu itu, sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan {hubungan} antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
101.    Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takbir mimpi {ya Tuhanku} Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh." 
Pengajaran yang didapat dari kisah Nabi Yusuf a.s.
Banyak ajaran dan ibrah yang dapat dipetik dari Kisah Nabi Yusuf yang penuh dengan pengalaman hidup yang kontriversi itu. Di antaranya ialah :~
Bahwasanya penderitaan seseorang yang nampaknya merupakan suatu musibah dan bencana, pada hakikatnya dalam banyak hal bahkan merupakan rahmat dan barakah yang masih terselubung bagi penderitaannya. Kerana selalunya bahawa penderitaan yang di anggapkan itu suatu musibah adalah menjadi permulaan dari kebahagiaan dan menjadi kesejahteraan yang tidak diduga semula. Demikianlah apa yang telah dialami oleh Nabi Yusuf dengan pelemparan dirinya ke dalam sebuah perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, disusuli dengan pemenjaraannya oleh para penguasa Mesir. Semuanya itu merupakan jalan yang harus ditempuh oleh beliau untuk mencapai puncak kebesaran dan kemuliaan sebagai Nabi serta tingkat hidup yang mewah dan sejahtera sebagai seorang penguasa dalam sebuah kerajaan yang besar yang dengan kekuasaannya sebagai wakil raja, dapat menghimpunkan kembali seluruh anggota keluarganya setelah sekian lama berpisah dan bercerai-berai.

Maka seseorang mukmin yang percaya kepada takdir, tidak sepatutnya merasa kecewa dan berkecil hati bila tertimpa sesuatu musibah dalam harta kekayaannya, kesihatan jasmaninya atau keadaan keluarganya. Ia harus menerima percubaan Allah s.w.t. itu dengan penuh kesabaran dan tawakkal seraya memohon kepada Yang Maha Kuasa agar melindunginya dan mengampuni segala dosanya, kalau-kalau musibah yang ditimpakan kepadanya itu merupakan peringatan dari Allah s.w.t. kepadanya untuk bertaubat.

Dan sebaliknya bila seseorang mukmin memperoleh nikmat dan kurnia Allah s.w.t. berupa perluasan rezeki, kesempurnaan kesihatan dan kesejahteraan keluarga, ia tidak sepatutnya memperlihatkan sukacita dan kegembiraan yang berlebih-lebihan. Ia bahkan harus bersyukur kepada Allah s.w.t. dengan melipat gandakan amal solehnya sambil menyedarkan diri bahawa apa yang diperolehnya itu kadang-kadang boleh tercabut kembali bila Allah s.w.t. menghendakinya. Lihatlah sebagaimana teladan Nabi Yusuf yang telah kehilangan iman dan tawakkalnya kepada Allah s.w.t. sewaktu berada seorang diri di dalam perigi mahupun sewaktu merengkok di dalam penjara, demikian pula sewaktu dia berada dalam suasana kebesarannya sebagai Penguasa Kerajaan Mesir, ia tidak disilaukan oleh kenikmatan duniawinya dan kekuasaan besar yang berada di tangannya. Dalam kedua keadaan itu ia tidak melupakan harapan, syukur dan pujaan kepada Allah s.w.t. dan sedar bahawa dirinya sebagai makhluk yang lemah tidak berkuasa mempertahankan segala kenikmatan yang diperolehnya atau menghindarkan diri dari musibah dan penderitaan yang Allah s.w.t. limpahkan kepadanya. Ia mengembalikan semuanya itu kepada takdir dan kehendak Allah Yang Maha Kuasa.

Nabi Yusuf telah memberi contoh dan teladan bagi kemurnian jiwanya dan keteguhan hatinya tatkala menghadapi godaan Zulaikha, isteri ketua Polis Mesir, majikannya. Ia diajak berbuat maksiat oleh Zulaikha seorang isteri yang masih muda belia, cantik dan berpengaruh, sedang ia sendiri berada dalam puncak kemudaannya, di mana biasanya nafsu berahi seseorang masih berada di tingkat puncaknya. Akan tetapi ia dapat menguasai dirinya dan dapat mengawal nafsu kemudaannya, menolak ajakan isteri yang menjadi majikannya itu, kerana ia takut kepada Allah s.w.t. dan tidak mahu mengkhianati majikannya yang telah berbuat budi kepadanya dirinya dan memperlakukannya seolah-olah anggota keluarganya sendiri. Sebagai akibat penolakannnya itu ia rela dipenjarakan demi mempertahankan keluhuran budinya, keteguhan imannya dan kemurnian jiwanya.

Nabi Yusuf memberi contoh tentang sifat seorang kesatria yang enggan dikeluarkan dari penjara sebelum persoalannya dengan Zulaikha dijernihkan. Ia tidak mahu dikeluarkan dari penjara kerana memperoleh pengampunan dari Raja, tetapi ia ingin dikeluarkan sebagai orang yang bersih, suci dan tidak berdosa. Kerananya ia sebelum menerima undangan raja kepadanya untuk datang ke istana, ia menuntut agar diselidik lebih dahulu tuduhan-tuduhan palsu dan fitnahan-fitnahan yang dilekatkan orang kepada dirinya dan dijadikannya alasan untuk memenjarakannya. Terpaksalah raja Mesir yang memerlukan Yusuf sebagai penasihatnya, memerintahkan penyiasatan kembali peristiwa Yusuf dengan Zulaikha yang akhirnya dengan terungkapnya kejadian yang sebenar, di mana mereka bersalah dan memfitnah mengakui bahawa Yusuf adalah seorang yang bersih suci dan tidak berdosa dan bahwa apa yang dituduhkan kepadanya itu adalah palsu belaka.

Suatu sifat utama pembawaan jiwa besar Nabi Yusuf menonjol tatkala ia menerima saudara-saudaranya yang datang ke Mesir untuk memperolehi hak pembelian gandum dari gudang pemerintah karajaan Mesir. Nabi Yusuf pada masa itu, kalau ia mahu ia dapat melakukan pembalasan terhadap saudara-saudaranya yang telah melemparkannya ke dalam sebuah perigi dan memisahkannya dari ayahnya yang sangat dicintai. Namun sebaliknya ia bahkan menerima mereka dengan ramah-tamah dan melayani keperluan mereka dengan penuh kasih sayang, seolah-olah tidak pernah terjadi apa yang telah dialami akibat tindakan saudara-saudaranya yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Demikianlah Nabi Yusuf dengan jiwa besarnya telah melupakan semua penderitaan pahit yang telah dialaminya akibat tindakan saudara-saudaranya itu dengan memberi pengampunan kepada mereka, padahal ia berada dalam keadaan yang memungkinkannya melakukan pembalasan yang setimpal. Dan pengampunan yang demikian itulah yang akan berkesan kepada orang yang diampuni dan yang telah dianjurkan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya dalam beberapa ayat Al-Quran dan beberapa hadis nabawi.
Salam perkenalan kepada semua pembaca Harakahdaily.  Muktamar Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-59 baru melabuhkan tirainya pada petang 24hb November, 2013 di Stadium Malawati di Shah Alam.

Muktamar pada kali ini meriah dan kehadiran pengunjung juga ramai termasuk rakan-rakan media juga diluar jangkaan pihak penganjur mungkin kerana pada tahun ini dibuat di sekitar Lembah Kelang dan juga ada pemilihan kepimpinan.

Sebagai orang diamanahkan mengendalikan persiapan prasarana IT, pihak Jabatan IT PAS (JITP) sedaya upaya cuba memberikan yang terbaik kepada pihak perwakilan dan juga media yang bertugas. Pihak kami juga berusaha dengan sebuah syarikat telekomunikasi terkenal untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan ‘Wifi’ disekitar stadium tersebut secara sementara untuk tempoh muktamar ke-59 tersebut. 

Agak mendukacitakan, disaat-saat akhir muktamar ke-59 hendak bermula syarikat telekomunikasi tersebut menarik diri dan pihak kami tidak sempat untuk berunding dengan syarikat telekomunikasi lain pada masa tersebut.

Ada kita orang Melayu, kerbau di pegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Mengikut persetujuan awal secara lisan, syarikat tersebut pada mulanya bersetuju dengan syarat diberikan secara ekslusif kepada pihaknya sahaja tanpa ada syarikat telekomunikasi lain. 
Disebabkan signal telekomunikasi yang lemah didalam dan luar stadium, pihak kami telah memasukkan 20MB Unifi daripada Telekom Malaysia dan membuat pendawaian dalaman sementara untuk membekalkan perkhidmatan internet bagi kegunaan Jabatan IT PAS bagi ‘live streaming’ dan lain-lain perkhidmatan IT semasa muktamar serta pihak media yang lebih daripada mencukupi untuk menapung keperluan tersebut. 

Apa yang saya nak sebutkan di sini, Selangor negeri maju yang mendendangkan kempen ‘Wifi Selangorku’ tetapi prasarana wifi Selangorku tersebut tidak ada disekitar stadium Malawati,. Diluar jangkaan kami kami tak ada ‘wifi Selangorku’ disitu.

Kami minta pihak kerajaan Selangor melihat kembali kenapa tak boleh diadakan ‘wifi Selangorku’ disekitar stadium, tempat orang muda berkunjung untuk sukan dan sebagainya kerana kerajaan Selangor difahamkan mengidamkan Selangor menjadi negeri pertama mempunyai Wifi percuma ke seluruh pelusuk negerinya tetapi di Shah Alam, ibu negeri pun tak selesai lagi.

Kita tinggalkan dulu kisah persediaan IT semasa muktamar ke-59 baru-baru ini. Kita fokus pula apa yang hendak dibuat oleh Jabatan IT PAS (PAS) bagi penggal yang baru ini. Sebagai Pengarah Jabatan IT PAS, saya telah menggariskan lima (5) misi baru untuk memperkasakan IT pada sesi 2013/2015 akan datang ini;

Pertama; meneruskan perancangan strategik lima (5) Tahun IT dan Media Baru PAS pada tahap ketiga setelah‘blue print’  dimulakan  sejak tahun 2001 yang digariskan dalam ISP (Perancangan Strategik IT) JITP3.0 2011-2015 yang meliputi Sistem Aplikasi, Infastruktur dan Infostruktur serta Pembangunan Organisasi/Sumber Manusia secara terancang dan bersepadu di semua peringkat meliputi pusat, negeri, kawasan/MTD dan dewan-dewan.

Kedua; Mendokong pendekatan pembudayaan IT ‘ikut trend’ semasa teknologi terkini dalam membangunkan Sistem Aplikasi, Infastruktur dan Infostruktur serta Pembangunan Organisasi/ Sumber Manusia bagi membolehkan PAS terus berada dihadapan dalam bidang ICT dan Media Baru melalui kursus dan latihan dengan mewujudkan Makmal IT (MIT) dan Akademi Latihan IT (ALIT) untuk melatih pimpinan, kakitangan pejabat dan penggerak serta petugas sukarelawan IT (volunteers) secara profesional.

Ketiga; Berusaha menyelesaikan masalah perkhidmatan ICT dan pengurusan maklumat di’hujung jari’ yang diberikan berkualiti dan memenuhi syarat-syarat CIA, iaitu Confidentiality (keselamatan dan kerahsiaan data dan maklumat), Integriti (ketelusan, ketepatan data dan maklumat) dan Availability (ketersediaan data dan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan luas).

Keempat;  Mempertingkatkan program penerangan berkonsepkan, “Meng’IT’kan Penerangan, Mem’Penerangan’kan IT” dengan komunikasi maya atau siber melalui komuniti IT dan ePAS (komITeP) seperti radio dan tv internet PAS serta media baru seperti FB, Twitter, blog, aplikasi touch n get yang dilancarkan pada muktamar tahun lepas dan sebagainya bagi memastikan penyaluran maklumat yang  cepat dan tepat disamping membudayakan keselamatan data dan kerahsiaan maklumat parti dikalangan pemimpin dan penggerak PAS di semua peringkat.

Kelima; Berusaha mempertingkatkan program ‘pemutihan’ keahlian PAS dalam SPOKAS (Sistem Pengurusan Organisasi dan Keahlian PAS) dan  mengkaji semula keberkesanan kemaskini data keahlian supaya kemasukkan (key-in)  data dan maklumat  ahli boleh dibuat diperingkat negeri atau kawasan melalui konsep decentralize dan membangunkan Sistem Informasi Strategik Kajian Awal Pilihanraya (SISKAP) di samping mengemaskini dan mempertingkatkan fungsi Sistem Semakan Daftar Pemilih (SSDP) dan  Sistem Informasi Sepadu Pemilih, Penduduk dan Organisasi (SisPRO) yang telah dibangunkan oleh Jabatan IT PAS (JITP) secara inhouse sebelum ini.

Perlaksanaan 5 misi tersebut akan mengambil kira perkembangan teknologi terkini seperti teknologi mobil, Cloud Computing dan Big Data yang bakal terus memperkasa dan memantapkan gerakerja PAS melalui penggunaan IT.

Adalah diharapkan pertimbangan harus diberikan oleh bukan sahaja ahli tetapi juga  pemimpin PAS dalam memartabatkan IT dalam gerakerja PAS bukan sahaja dalam pentadbiran, penerangan dan pilihan raya tetapi selepas ini meliputi bidang-bidang yang lain seperti pendidikan, pertanian dan sebagainya.

Terimakasih kepada Harakah kerana memberikan ruang kepada saya berkongsi pengalaman dalam kolum Gerbang IT yang baru diadakan ini.
Sekarang ramai orang memberi nama Agus pada anaknya.

Antara Agus yang terkenal di negara kita ialah Prof Agus Yusuf, ahli  akademik muda UKM yang tidak termasuk dalam kumpulan profesor kangkung.

Dari mana Pak Yusuf dapat nama Agus itu?

Tentunya dia seorang peminat Haji Agus Salim yang dapat jolokan sebagai Orang Tua Agung di kalangan orang yang mengikuti perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Haji Agus Salim adalah orang penting menggerakkan gerakan  Islam dan perjuangan kemerdekaan Indonesia.
Anak kelahiran Minangkabau ini adalah orang melahirkan ramai pejuang kemerdekakan beraliran  Islam, antaranya Mohamad Natsir yang memimpin Masjumi dan Dr Mohamad Roem, seorang anggota kabinet dari Masjumi pada awal kemerdekaan Indonesia. Bahkan Dr Hatta, Naib Presiden Indonsia yang pertama adalah antara pemuda yang mendapat didikan perjuangan bersama  Mohammad Natsir dan Mohamad Roem dari Haji Agus Salim.

Dia dianugerah Allah boleh menguasai banyak bahasa seperi Arab, Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, Turki termasuk beberapa bahasa suku Indonesia.

Maka dari mana atau dari bahasa apa dan apa ertinya Agus itu.

Masyarakat Minangkabau pada zaman datuk neneknya adalah kuat beragama, malah bapa saudara Agus Salim sendiri adalah ulama yang mengajar di Mekah bahkan antara pemberi kuliah di Masjidil Haram

Dalam Arab tidak ada huruf G atau Ga. Maka tentunya nama itu bukan dari bahasa Arab.
    
Nama Agus itu bukan nama yang diberi oleh bapanya atau ibunya. Bapanya Sultan Mohammad Salim memberinya nama Masyhusul Haq yang bererti  pembela kebenaran.
   
Tetapi tiada yang memanggilnya Masyhudul Haq baik di mana-mana peringkat antarabangsa, bahkan tidak digula oleh keluarga terdekatnya. Yang mereka panggil ialah Agus.
   
Pembantu rumah yang mengasuh Masyhudul Haq sejak bayi memanggilnya Den Bagus, istilah Bahasa Jawa untuk anak laki-laki dari keluarga ningrat atau orang berkedudukan tinggi dalam masyarakat.
    
Akhirnya mereka tidak memanggilnya Den Bagus tetapi disingkatkan dengan Gus  saja. Dalam keluarga itu pun memanggil Gus. Dari situlah akhirnya dia dipanggil Agus. Di rumah, di sekolah  dan di alam pekerjaan orang kenal dia adalah Agus dari keturunan Salim.
     
Dia dikenali oleh semua orang. Di sekolahnya yang penuh dengan anak Belanda tiada yang dapat mengatasinya dalam semua mata pelajaran. Bahasa Belandanya lebih baik dari orang Belanda sendiri.
    
Maka masyarakat penjajah Belanda di kepulauan Hindia Belanda itu mengenalinya sebagai orang pintar hingga orentalis yang dibenci oleh seluruh Bangsa Indonsia, Snouck Hurgronje menasihatkan Konselat Belanda di Jeddah mengambil Agus menjadi jurubahasa dan akhirnya dia menjadi orang penting dalam pejabat  konslat.
     
Snouck Hurgronje menjadikan tali barut Belanda kerana kesempatannya berada lama di Arab Saudi dan dia belajar dari ramai ulama hingga menjadikannya seorang yang menguasai ilmu  Islam.
   
Sukarno memberi jolokan gelaran The Grand Old Man kepada Agus dan dia dikenal di dunia dengan gelaran itu iaitu Orang Tua Yang Agung.

Dari nama orang yang agung ini orang menamakan anaknya Agus yang asalnya diambil dari kalimah Bagus. Dari situlah Prof Agus Yusuf dapat namanya.
 Datuk,

Sebelum saya meneruskan penulisan saya ini, baik kiranya saya memperkenalkan terlebih dahulu latar belakang diri saya. Saya merupakan mahasiswa tahun akhir bagi jurusan Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan. Anak jati negeri Selangor kelahiran Sabak Bernam dan menetap di Serendah, Hulu Selangor. Pernah terlibat secara langsung dalam badan kepimpinan pelajar dengan memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2011/2012. Demikian serba sedikit biodata ringkas yang dapat saya kongsikan berkaitan diri saya dan saya yakin dan percaya pihak datuk secara peribadi sudah sedia mengenali diri saya.

Suka untuk saya perjelaskan disini bahawa tujuan surat ini dikemukakan bukan bermatlamat untuk mengaibkan serta memburukkan mana-mana pihak, tetapi ia adalah satu bentuk respons spontan yang hadir atas rasa penuh amanah dan tanggungjawab untuk memberi pandangan, kritikan serta tindak balas dengan melontarkan kritikan membina demi keadilan semua pihak. Saya mengenali datuk secara lebih dekat semasa bergelar sebagai YDP MPP UMP sesi 2011/2012, mengikut maklumat yang saya miliki datuk berpindah ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) sekitar tahun 2010 dan dimaklumkan juga datuk merupakan rakan karib Prof Dato’ Daing Nasir semasa di Universiti Sains Malaysia (USM).

 Tujuan utama surat ini dikongsikan adalah hasil tindak balas terhadap peristiwa hitam dalam sejarah PRK UMP kali ini yang berlaku sepanjang proses penamaan calon semalam yang bertarikh 25/11/2013, bersamaan hari ini bertempat di Astaka UMP Gambang. Adalah satu perkara yang amat dikesali apabila terhebahnya berita beberapa orang calon yang tidak dibenarkan bertanding atas alasan yang tidak munasabah daripada pihak datuk.

Menurut keterangan yang saya perolehi secara terus daripada calon yang terlibat antara alasan yang dikemukakan adalah masalah pointer yang tidak konsisten (hal ini tidak tercatat dan digariskan secara bertulis dalam mana-mana peraturan tatacara pemilihan MPP) walaupun terdapat calon yang memang rendah tetapi atas kuasa budi bicara calon tersebut diperkenankan percalonan beliau, calon merupakan mahasiswa yang terlalu aktif berpersatuan dan diarah untuk bertanding pada sesi hadapan, calon tersebut merupakan calon diploma, dan bermacam-macam lagi alasan yang tidak masuk akal dan didatangkan dengan justifikasi yang jelas dan kukuh. Hal sebegini cukup menimbulkan pelbagai keraguan, persoalan yang tidak berkesudahan oleh segenap mahasiswa yang menuntut jawapan secara bertulis dan terbuka.

Berdasarkan pengalaman saya dalam PRK UMP, sesi penamaan calon kali ini menyaksikan begitu ramai calon yang tidak dibenarkan bertanding akibat tidak diperkenankan oleh pihak TNC HEPA mahupun pihak dekan fakulti.Adalah satu malapetaka besar kepada seluruh mahasiswa UMP apabila hak mereka untuk memilih sendiri pemimpin pilihan mereka disusun-atur dan dimanipulasi oleh pihak JHEPA bagi memastikan calon-calon mesra, patuh dan tunduk kepada JHEPA diberi laluan mudah untuk bertanding.

Secara peribadi saya cukup menghargai keberanian sebilangan mahasiswa yang menawarkan diri untuk mencurah khidmat dan bakti kepada mahasiswa, ini memperlihatkan komitmen, iltizam serta kesediaan mereka untuk menggalas amanah dan tangunggungjawab yang diberikan, tetapi adalah satu kerugian kepada semua mahasiswa dan universiti apabila bakat serta potensi diri yang mampu digilap serta diketengahkan terus disekat dan dipancung tanpa belas kasihan sebelum sempat bertarung serta berpencak dalam medan manifesto bagi meraih sokongan serta undian daripada seluruh mahasiswa kampus.

Selaku individu yang berpengalaman melalui proses PRK bagi sesi lepas, satu kekecewaan yang tidak mampu saya gambarkan melihat kepada situasi yang semakin parah dan buruk berlaku saban tahun. Saya menuntut pihak yang diberi amanah menjalankan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab serta mengamalkan budaya kerja secara profesional. Kadang terlintas dibenak pemikiran saya, memikirkan siapa sebenarnya memilih dalam PRK kali ini? JHEPA atau mahasiswa?

Saya juga kecewa dengan pihak Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UMP sesi 2013/2014 apabila gagal memainkan fungsi dengan baik, peristiwa hitam dalam sesi penamaan calon menjadi bukti wujud tangan-tangan ghaib yang cuba campur tangan dalam proses pemilihan MPP kali ini, untuk makluman rakan-rakan sekalian secara tradisinya pengerusi JIPMPP akan disandang oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) iaitu  Prof Dr. Badrulhisham Abdul Aziz yang saya yakini ketelusan serta prestasi yang telah dibuktikan sepertimana perjalanan sesi-sesi PRK yang lepas. Tetapi saya baru sahaja dimaklumkan bahawa Prof Bad sudah tidak lagi memegang jawatan sebagai TNC AA, dengar khabar hal ini juga berlaku akibat permainan politik dalam pengurusan universiti yang semakin membarah. Jadi tanpa diduga saya dimaklumkan bahawa pada sesi kali ini JIPMPP UMP 2013/2014 disandang oleh Datuk Profesor Dr. Yuserrie Bin Zainuddin yang merupakan Timbalan Naib Canselor HEPA.

Secara peribadi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya jawatan pengerusi JIPMPP 2013/2014 adalah tidak wajar disandang oleh TNC HEPA, hal ini kerana ia akan mewujudkan campur tangan yang tidak berkesudahan sepanjang proses PRK berlansung. Akibat MPP adalah entiti yang akan berhubungan secara langsung dengan pihak TNC HEPA maka sudah pasti wujud pelbagai ruang dan peluang manipulasi oleh pihak TNC HEPA untuk memastikan calon-calon pilihan mereka yang patuh serta setia pada arahan serta suruhan mereka akan diberi laluan mudah untuk berada di kerusi MPP,  menteliti pihak JHEPA adalah mereka mahukan calon yang mesra pengurusan agar urusan kerja mereka menjadi mudah, dengar membiarkan MPP nanti adalah pihak yang setia pada mereka dan tidak mesra  mahasiswa, dan itu memang sudah pasti cita-cita tertinggi mereka.

Pada pengamatan saya sikap serta tindak tanduk datuk semenjak mengepalai jentera JHEPA UMP benar-benar merosakkan imej serta reputasi UMP terutamanya dalam segenap hal yang berlaku sepanjang siri Pilihanraya Kampus (PRK) semenjak kehadiran pihak datuk di UMP tercinta ini. Pendapat ini bersandar kepada keadaan PRK UMP yang telah dirosakkan oleh pihak Datuk secara tersusun dan terancang sejak beberapa tahun ini dengan bantuan penasihat-penasihat 20 % yang tidak berapa cerdik disekeliling datuk yang sebenarnya hanya pandai mengipas dan menjadi parasit dengan melontarkan idea-idea lapuk yang ketinggalan zaman.

PRK 2011: Jentera PRK Mahasiswa Dimansuhkan

Secara kebetulan PRK 2011 adalah tahun saya melibatkan diri sebagai MPP UMP, untuk makluman sebelum ini sepanjang PRK UMP berlangsung wujud satu jentera mahasiswa yang terdiri daripada mantan MPP , persatuan fakulti dan kolej kediaman yang berkerjasama secara bebas dan telus untuk memastikan PRK berjalan secara lancar dan teratur, tetapi satu tragedi hitam berlaku apabila dalam keadaan PRK yang semakin hampir berlangsung dengan persiapan yang telah disusunatur oleh pihak jentera mahasiswa yang pada ketika itu diketuai oleh Saudara Aedlan Ahmad telah dimansuhkan secara serta merta tanpa melibatkan perbincangan secara bersama dengan memberikan alasan yang tidak munasabah, dan disinilah bermulanya sejarah hitam dalam sistem PRK UMP, demokrasi kampus kian retak.

Semasa saya diberi kepercayaan dan amanah memimpin mahasiswa universiti ini, isu air adalah antara isu yang paling sukar untuk diselesaikan kerana hal tersebut berada dalam luar bidang kuasa kami dan pihak pengurusan universiti. Krisis gangguan air yang dihadapi seringkali berlaku semasa musim peperiksaan yang menambah tekanan dan mengganggu urusan hidup seharian mahasiswa di sini.

Atas rasa tanggungjawab dan menyedari kesukaran menyelesaikan kemelut tersebut, satu jawatankuasa bertindak ditubuhkan di peringkat mahasiswa yang menggabungkan beberapa badan kepimpinan mahasiswa yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar serta perwakilan kolej kediaman dan persatuan fakulti yang dinamakan dengan nama Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (GEMPAK). Pertambahan kapasiti mahasiswa secara mendadak mengakibatkan bekalan air sedia ada tidak mampu menampung keperluan semasa warga kampus dan masyarakat sekitar yang berkongsi sumber air yang sama.

PRK 2012: Bengkel Wajib Hadir Bakal Calon MPP

Isu ini adalah isu hangat yang menjadi salah satu point penting yang dimainkan sepanjang tempoh kempen berjalan. Ramai tertanya-tanya apa masalah dengan penganjuran bengkel sebegini? Baguslah bengkel tu kan boleh melatih dan beri pendedahan awal kepada bakal calon sebelum mereka bergelar ‘Yang Berhormat’  mahasiswa. Tetapi saya tiada masalah dengan hal sebegitu, kerana saya secara peribadi menyokong usaha tersebut dan memang itu satu langkah yang baik. Tetapi terma ‘Wajib Hadir’ itu satu langkah yang tidak berapa cerdik.

Saya kira lebih baik saya kongsikan serba sedikit kronologi dan kisah sebenar bagaimana isu ini boleh tercetus? siapa yang terlibat? Dimana salah dan silapnya? dan sebagainya. Secara ringkas selepas kejutan pemansuhan jentera PRK Mahasiswa semasa era kepimpinan Saudara Aedlan bagi PRK 2011, pihak JHEPA melakukan sekali lagi ‘transformasi’ dengan membuat peraturan baru kepada setiap bakal calon MPP yakni ‘ Bengkel Wajib Hadir ’ yang akan  dianjurkan oleh pihak JHEPA. Skrip lama berulang kembali keputusan diambil tanpa ada wakil mahasiswa khususnya MPP dalam proses membuat keputusan tersebut. Selepas jentera PRK Mahasiswa dimansuhkan dalam PRK 2011 kemudian diteruskan lagi pada PRK 2012 dengan mewujudkan peraturan  wajib menghadiri bengkel bakal calon MPP yang menjadikan PRK UMP semakin hilang seri dan sambutan daripada seluruh mahasiswa.

Semasa saya bergelar YDP MPP UMP sesi 2011/2012 serta ‘Executive Caretaker’ tiada sebarang pemakluman  secara rasmi samada secara bertulis, lisan dan sebagainya berkaitan hal tersebut. Saya melihat ini adalah satu tindakan membelakangkan kami selaku wakil yang terpilih secara sah untuk terlibat secara langsung dan tidak langsung terutama dalam isu yang berkaitan dengan mahasiswa seperti sebarang hal yang melibatkan sebarang sistem serta peraturan didalam Pilihanraya Kampus. Tujuan baik dengan niat yang tidak baik tidak menatijahkan hasil yang baik. Sejak dari peringkat awal lagi caranya sudah tempang tidak hairanlah hasilnya pun sebegitu!

Bukan sahaja MPP tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan tetapi fasa pelaksanaan bengkel juga langsung tidak menjemput  kami untuk turut serta menjadi pembentang mahupun urusetia dalam bengkel bakal calon MPP tersebut. Pihak JHEPA lebih bersungguh untuk membayar wakil dari luar untuk membuat perkongsian, walhal sepatutnya mantan MPPlah yang paling berautoriti untuk berkongsi pengalaman serta arif tentang masalah serta isu dalaman kampus. Untuk makluman bengkel bakal calon MPP secara tradisinya akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak mantan MPP, merekalah yang akan menyiapkan kertas kerja program, menyusun modul, aktiviti dan sebagainya, dan saya dan beberapa teman yang lain juga pernah menghadiri bengkel bakal calon mpp dibawah kendalian saudara Aedlan. Tetapi ia pilihan, bukan wajib!

Modus Operandi Konspirasi PRK UMP

1. Mengurangkan calon bertanding dengan mewujudkan pelbagai peraturan serta kerenah birokrasi yang melampau agar calon favor mahasiswa yang vokal, agresif dan mesra mahasiswa mampu dicantas awal.

2. Manipulasi media massa samada melalui media cetak serta media elektronik dengan menonjolkan calon-calon tajaan JHEPA

3. Pancing mahasiswa mengundi dengan menawarkan mata merit yang tinggi bukan mambantu memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa untuk rasa bertanggungjawab dalam memilih pemimpin mereka serta memberi pengalaman sebenar realiti sistem demokrasi yang diamalkan didalam negara.

4. Rekrut secara senyap calon-calon tajaan dengan memberi latihan serta tajaan kewangan demi memastikan calon favor JHEPA menang mudah.

Akhir kata daripada saya, saya menuntut pihak datuk agar berlaku adil kepada semua pihak tanpa wujud sebarang bentuk diskriminasi serta menjaga dan melunaskan amanah yang diberikan secara baik dan profesional. Dengan rasa rendah diri saya amat menganjurkan pihak datuk untuk membaca kiriman surat saya ini dan mengharapkan pihak datuk sudi untuk menjawab segala persoalan serta keraguan yang berlaku secara terbuka dan telus agar semua pihak mendapat keadailan yang sewajarnya. Sekian,Terima Kasih.

Mahasiswa UMP Kecewa,
26 November 2013 Seperti biasa, kisah ini tidak menjadi sesuatu yang menggemparkan – ia disenyapkan oleh media massa, atau dilagukan sebagai sesuatu yang positif kepada peneroka Felda. Tetapi bagi mereka yang terlibat secara langsung (keluarga peneroka) dan faham tentang isu yang sedang melanda, berita ini merupakan sesuatu yang amat menggerunkan.

Pada 27 Oktober lalu, mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah meluluskan usul penjualan baki 51 peratus saham Felda Holdings yang dimilikinya kepada syarikat bermasalah yang kita kenali Felda Global Ventures Holdings (FGV).

Mulanya saya tidak sedar akan perkara ini akibat terlalu sibuk dengan kerja. Saya tahu menerusi laman Facebook saudara Mazlan Aliman tentang cadangan penjualan ini dalam sebulan lepas, tetapi sangka saya ia akan ditolak dalam mesyuarat agung KPF itu nanti. Cuma hari ini apabila ditanya oleh ayah saya (seorang peneroka Felda), baru saya gali semula perkembangan proses tersebut, dan apa yang saya jumpa amat memeranjatkan.

Hanya satu perkataan boleh saya gunakan untuk menggambarkan penjualan itu – gila!

Asal-usul Felda

Terlebih dahulu mari kita secara ringkas menyusuri asal-usul penubuhan Felda. Tanah rancangan Felda dibuka bagi membantu rakyat yang tidak bertanah agar mendapat tanah pertanian untuk diusahakan (walaupun sebenarnya hanyalah pajakan 99 tahun, bukan hak milik tetap).

Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 digubal membolehkan kerajaan persekutuan membuka tanah yang asalnya di bawah kuasa kerajaan negeri dengan syarat ia kemudiannya diberi kepada rakyat. Maka orang ramai pun masuk ke kawasan-kawasan tanah rancangan ini. Mereka dipanggil peneroka Felda.

Pada era Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau telah mengubah semua ini atas dasar pensyarikatan Malaysia dan penswastaan. Tanah masih dibuka, tetapi tidak diberikan kepada rakyat. Sebaliknya ia diletakkan di bawah syarikat Felda Holdings yang ditadbir oleh Felda di bawah seliaan kerajaan persekutuan. Sebab itulah kini kita tidak lagi mendengar rancangan Felda baru didirikan walaupun begitu ramai rakyat tidak mempunyai tanah dan rumah.

Meskipun ini sebenarnya melanggar matlamat asal Akta Tanah itu sendiri, tetapi ia masih diterima dengan janji bahawa keuntungan Felda Holdings akan diagihkan kepada peneroka  (dan keluarga) dan staf Felda sedia ada menerusi pegangan saham KPF. Ada peneroka menerima saham KPF bernilai RM 10,000 dan bayaran semula dibuat beransur-ansur melalui potongan dividen saham berkenaan. Selebihnya perlu dibeli sendiri oleh peneroka sampai nilai maksimum tidak melebihi RM 200,000 bagi setiap keluarga.

Kemunculan FGV

Felda Global Ventures Holdings (FGV) ditubuhkan pada 2007 sebagai sayap Felda dalam bidang-bidang komersial. Pada Jun 2012, FGV telah disenaraikan di bursa saham Malaysia. Dengan kata lain, kini FGV dibuka untuk semua, tidak kira sama ada anda peneroka Felda, rakyat Malaysia, orang asing atau para kapitalis dari Barat atau Israel.

Pada waktu itu FGV memegang 49 peratus saham Felda Holdings, yang kini hasil dan keuntungannya bukan lagi untuk para peneroka sebagaimana asal tujuan Felda ditubuhkan, tetapi untuk para pelabur yang tidak kita kenali.

Malangnya (seperti yang dijangka), FGV tidak pergi jauh. Malah nilai sahamnya menyusut dari semasa ke semasa sehingga kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli saham-saham FGV bagi mencegah harganya daripada terus merundum.

Namun itu semua belum cukup.

Felda Holdings (dan hak peneroka) dijual

Perladangan kelapa sawit adalah nadi utama Felda. Dari situ pelbagai industri berasaskan minyak sawit boleh dibuka, daripada kilang pemprosesan minyak sawit, makanan, pengangkutan bahan-bahan ini, eksport dan lain-lain. Kebanyakan syarikat yang mengendalikan bidang-bidang ini berada di bawah Felda Holdings, yang 51 peratus sahamnya dipegang oleh KPF.

Pulangan dividen KPF buat peneroka dan staf Felda pula adalah agak memberangsangkan – tidak pernah kurang daripada 10 peratus setiap tahun, malah pernah mencecah 18 peratus. Pada tahun 2013 sahaja dividen KPF ialah 16.5 peratus. Dalam istilah perniagaan, Felda Holdings bolehlah disifatkan sebagai ‘cash cow’ – sumber utama kewangan KPF.

Tiba-tiba pada 27 Oktober lalu, semua baki 51 peratus saham KPF dalam Felda Holdings dijual kepada FGV. FGV memerlukan keseluruhan Felda Holdings untuk memperkukuh kedudukannya memandangkan Felda Holdings amat menguntungkan.

Apa yang tinggal untuk peneroka Felda?

Lalu diberitakanlah bahawa wang jualan saham Felda Holdings itu akan dilaburkan KPF dalam sektor-sektor lain. Persoalannya, sektor apa yang lebih menguntungkan?

Perumpamaan mudah. Anda sudah ada sebidang tanah subur dengan hasil yang sangat banyak setiap tahun. Tiba-tiba anda hendak jual tanah itu supaya anda boleh buka kedai di bandar dalam keadaan untung ruginya belum dapat dipastikan. Dalam masa yang sama anda turut menyedari bahawa perniagaan bukanlah kemahiran anda. Sebab itu saya katakan ini kerja gila.

Kembali kepada mesyuarat agung 27 Oktober lalu. Dikatakan hampir semua perwakilan KPF meluluskan usul penjualan tersebut. Tetapi, siapakah para perwakilan KPF ini?

Di setiap tanah rancangan Felda ada koperasinya. Koperasi ini menguruskan pelbagai urusan perniagaan berkaitan peneroka, termasuk membelikan baja untuk peneroka sehinggalah menjual barangan keperluan harian. Setiap koperasi ini ada ahli lembaga pengarah dan pemimpinnya.

Dan yang datang bermesyuarat pada 27 Oktober lepas adalah pemimpin-pemimpin koperasi ini, bukannya pemegang saham KPF. Sesetengah pemimpin koperasi ini ada yang sudah pun menjual semua sahamnya dalam KPF. Manakala para peneroka yang menyimpan dalam KPF tidak tahu-menahu langsung tentang mesyuarat terbabit.

Saya ada mengenali peneroka Felda yang menabung sejak usia mudanya untuk disimpan dalam KPF sehinggalah nilai sahamnya mencecah jumlah maksimum. Saya juga ada mengenali anak-anak peneroka yang membuat pinjaman besar di bank untuk digunakan bagi melabur dalam KPF. Jika mereka ini yang hadir ke mesyuarat tersebut, adakah usul penjualan Felda Holdings diluluskan semudah itu?

Kemudian datang pula cerita tentang saguhati buat peneroka Felda atas penjualan (dan kerugian) ini. Dan telah diputuskan bayaran dibuat sama rata untuk semua peneroka, tidak kira sama ada anda telah menabung seumur hidup buat menyimpan dalam KPF atau pun anda telah mengeluarkan semua wang anda daripada KPF.

Jadi, apa yang tinggal untuk peneroka Felda? Mungkin kenangan manis bagaimana suatu masa dahulu Felda berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

Syukurlah, sekurang-kurangnya Malaysia masih aman. Dan syukurlah sekurang-kurangnya Felda bayar zakat, bukan seperti Petronas.
Pilihan raya kampus merupakan wadah politik anak muda yang berjiwa besar (sewajarnya) dalam mendepani warga kampus dan masyarakat. Sehinggakan ramai juga yang menduduki dunia politik tanah air hari ini adalah hasil didikan politik kampus.

Bulan Oktober dan November adalah merupakan “Demam PRK” (barangkali) bagi seluruh kampus tanah air. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan tarikh akhir November sebagai tarikh terakhir melaksanakan pilihan raya kampus di seluruh IPT.

Kebiasaannya di kampus akan berlaku pertentangan antara pihak Pro Mahasiswa dengan Aspirasi, cuma baru-baru ini berlaku kelainan apabila Pembina berpendirian akan menghantar calon untuk bertanding.
Sedia maklum, Pro Mahasiswa akan diwakili oleh mereka yang berfikiran dan berpandangan islamik berdasarkan pembawakan imej calon mereka.

Saya ingin mengajak kita berfikir berkaitan satu pemikiran yang beranggapan sekiranya Pro Mahasiswa menang maka Islam telah menang atau bakal menang. Seperti suatu ketika apabila pilihan raya umum Mesir dimenangi oleh pihak Ikhwan al Muslimin, maka telah tersebar ke serata dunia bahawa Islam telah menang.

Seperti biasa apabila menangnya Pro Mahasiswa gegak gempita mereka adalah bertakbir; Allahulakhbar! Juga tidak terlupa laungan keramat; Student Power! Laungan atau kalimat ini tidaklah bermasalah cumanya permasalahan pada pemikiran yang beranggapan Islam menang sekiranya Pro Mahasiswa di kampus menang.

Islam bukanlah milik hakiki Pro Mahasiswa atau persatuan Islam universiti. Benar, mereka yang menggerakkan persatuan tersebut tetapi bukanlah milik mereka secara keseluruhan kerana mereka punyai tanggungjawab menyantuni warga kampus dan masyarakat. Yang mana warga kampus dan masyarakat bukanlah semata-mata menganuti agama Islam; Hindu, Buddha, Kristian, Konfusius, Sikh dan pelbagai lagi.

Tanggungjawab tersebut adalah sebenar-benar Islam yang perlu ditonjolkan dan dilaksanakan. Bukan hanya laungan tetapi berhenti selepas fasa pilihan raya kampus. Kumpulan atau individu yang memenangi kerusi hilang dalam arus budaya ketidakilmiahan kampus. Menang dihebohkan tetapi gagal menjiwai dan memaknai apa itu warga kampus dan masyarakat. Lalu setahun berlalu pergi tanpa mendidik warga kampus dan masyarakat secara ilmiah dan terancang.

Gegak gempita tidak diterjemahkan dengan gerak kerja yang berstruktur dan sistematik. Perancangan untuk mengubah budaya politik wajah kepada politik intelek atau kesedaran politik matang gagal direncanakan dengan baik. Akhirnya, setiap kali pilihan raya kampus yang akan distrategikan adalah muka yang cantik dan hensem.

Saya berpendirian bahawa agama mampu membawa manusia ke arah yang lebih baik, atas dasar agama yang sebenar (rahmat sekalian alam) tetapi kerisauan saya adalah manusia menggunakan agama demi melariskan kepentingan kelompok mereka. Tanpa sedari pengundi atau yang memilih mereka bukan hanya individu yang seagama dengannya tetapi wujud juga daripada yang berlainan agama.

Pilihan raya kampus bukan hanya milik individu yang beragama Islam tetapi merupakan milik seluruh warga kampus yang berbilang agama. Tanggungjawab yang diberikan hasil kepercayaan merentasi dinding atau tembok agama dan bangsa.

Muhammad SAW, Martin Luther, Nelson Mandela, dan Mahatma Gandhi antara nama besar yang berjuang meruntuhkan tembok persempadanan yang membezakan warna kulit atau perkauman sehingga terdapat yang mendapat ancaman bunuh dan dibunuh serta dipenjara. Nilai yang diperjuangkan mereka telah merentasi geografi dan zaman sehingga menyebabkan nilai itu kekal dipegang dan diamalkan.

Islam adalah merupakan sebuah agama yang mementingkan ketelitian dan kepintaran dalam merangka strategi untuk memakmurkan alam. Surah as-Saff ayat empat menyuruh hambanya agar membela agamanya dalam keadaan yang teratur (berbaris) dan banyak ayat menyuruh manusia berfikir menunjukkan betapa pentingnya perancangan dan strategi untuk memelihara alam.

Penyelesaian kepada masalah umat manusia pada hari ini, bukanlah semata-mata berpidato kita perlulah kembali kepada al-Quran dan sunnah. Perlu mempunyai kumpulan yang merancang, merencana dan melaksanakan seterusnya membudayakan aktiviti atau program ke arah mencapai matlamat.

Islam tidaklah akan menang hanya semata-mata kemenangan Pro Mahasiswa yang majoriti dianggotai oleh umat Islam. Pro Mahasiswa sewajarnya menzahirkan dan mengangkat nilai-nilai dalam Islam; amanah, integriti, tepati masa, bersangka baik atau nilai yang sarwajagat boleh fahami dan terima.

Islam akan tetap menang tanpa wujudnya Pro Mahasiswa atau pertubuhan Islam universiti (sekiranya yakin) tetapi bukan dengan haru biru melainkan secara terancang dan bermatlamat. Bukanlah semata-mata memenangi pilihan raya kampus sudah layak mengatakan Islam menang. Sesungguhnya kemenangan Islam itu perlu dibayar dengan harga yang tinggi.

Tiada ulasan: