Rabu, 13 November 2013

DIAKHIRAT ADAKAH PERBEZAAN AHLI2 MAKSIAT SERTA PENJENAYAH2 DIDUNIA NI...HUKUMAN TERAKHIR YANG TAK MUNGKIN LEPAS.....TUNNNNNGGGGGGUUUUUU

Al-Wathan Mesir: Presiden PAS nafi, ambil tindakan

Hazayani Zakaria, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini menafikan laporan akhbar pro kerajaan rejim kudeta Mesir, Al-Wathan yang mendakwa beliau ialah Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwan Muslimin.

Beliau berkata, walaupun beliau dan PAS mendukung demokrasi dan menentang kudeta di Mesir namun adalah tidak munasabah beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwan Muslimin.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dan berita ini adalah bohong dan sangat mendukacitakan. Adalah tidak munasabah saya yang duduk di timur jauh melibatkan diri secara langsung dengan apa yang berlaku di Mesir.

"Kita tidak masuk campur (krisis Mesir) cuma hak asasi manusia kita sokong bukan sahaja PAS tapi parti lain di barat yang mendukung demokrasi mahu hak rakyat dikembalikan.

"Mereka nak heret kita terlibat dengan Ikhwan itu adalah tidak benar kerana kegiatan Ikhwan terlibat dengan Asia Barat dan orang Asia Barat di Eropah, jadi tak munasabah nak letak saya sebagai setiausaha agung," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Akhbar itu yang memetik kenyataan bekas pemimpin Ikhwan yang telah keluar dari Ikhwan, Tharwat Kharbawi mendakwa bahawa Tuan Guru Abdul Hadi sebagai ketua kepada lima orang jawatankuasa pengurusan yang bertanggungjawab menguruskan tanzim di seluruh dunia selama tiga tahun.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang juga menyifatkan laporan tersebut sebagai provokasi untuk mengganggu hubungan PAS dengan pihak luar.

"Ini satu berita provokasi untuk menyulitkan kita dalam hubungan antarabangsa," katanya.

Justeru, tegasnya PAS sedang mengkaji tindakan guaman yang boleh diambil ke atas akhbar tersebut.

"Saya telah hubungi rakan-rakan di Asia Barat termasuk rakan di UK untuk menafikan berita ini dan kita serah juga kepada pihak guaman untuk mengambil tindakan sewajarnya," tegasnya yang juga Adun Rhu Rendang.

Pada 22 Oktober 2007, Tuan Guru Abdul Hadi memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

Daily Mirror dalam akhbar dan juga web mereka, secara terang-terangan menyiarkan gambar Datuk Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al-Qaeda, dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

‘Wanita Kelantan menutup aurat, tergerak hati saya’

Nasruddin Mahmud Muhaidin, 12 Nov 2013
KOTA BHARU: "Saya menghantar anak saya ke Pasti kerana saya merasakan bahawa pendidikan agama yang menjamin masa depan anak saya," kata Maria Solastri, seorang warga negara Indonesia beragama Kristian yang menghantar anak lelakinya di sebuah Pasti dalam kawasan Kota Bharu.

Beliau dijemput berucap berkongsi pengalaman dalam Majlis Ihtifal Pasti Al-Bhaidha' Kampung Puteh, dekat sini yang dirasmikan oleh Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat.

Suami Maria berbangsa Tionghua berasal dari Johor dan sekarang menetap di Kelantan.

Menurut beliau lagi, kehidupannya sebelum ini seperti penganut Kristian lain yang hidup dalam keadaan sosial dan berpakaian tidak menutup aurat.

"Tetapi apabila saya datang ke Kelantan dan melihat wanita Kelantan menutup kepala dan aurat sempurna, tergerak hati saya untuk melakukannya.

"Apabila saya berpakaian seperti ini saya dapat merasa suatu ketenangan yang belum pernah saya rasa," ujarnya yang memukau perhatian yang hadir.

Sebelum itu Dr Ramli dalam ucapannya berkata bahawa kurikulum yang digubal dan digunakan oleh Pasti mendapat pengiktirafan antara kurikulum pendidikan pra sekolah yang terbaik dalam negara.

Majlis Ihtifal Pasti Al-Bhaidha' yang berusia setahun itu turut diserikan dengan pertandingan mewarna hampir 50 orang kanak-kanak, pelbagai persembahan, pertandingan fesyen dan cabutan bertuah.

Cari perbezaan gambar ini?

http://naimnikmat.blogspot.com, 12 Nov 2013

Inilah beza kes high profile dan low profile...

Isu zakat, SAR diketengah dalam sidang Dun

Harakahdaily, 12 Nov 2013
MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim akan memastikan isu berkaitan dengan umat Islam di negeri ini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.

Sama ada ia berbentuk penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat atau pembelaan kepada institusi berkaitan, beliau akan membawa perkara itu pada persidangan Dun.

Begitupun, selaku wakil rakyat kepada penduduk berbilang kaum di Dun Bukit Baru, permasalahan setempat akan terus disentuh dan disalurkan kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi berkenaan.

Isu berkaitan zakat dan sekolah agama rakyat rakyat (SAR) antara perkara yang menjadi fokus beliau untuk diketengahkan pada persidangan Dun nanti.

Ini kerana PAS Melaka sebelum ini pernah mendakwa wujud penyelewengan menggunakan wang zakat berkait dengan pembinaan bangunan.

Isu itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat walaupun pembinaan bangunan itu dikatakan daripada duit ‘lebihan’ sedangkan masih ramai golongan miskin tidak mendapat pembelaan melalui agihan wang zakat.

Walaupun isu itu timbul sebelum beliau menjadi wakil rakyat dan di bawah kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri yang lalu, namun aspek pengagihan zakat kepada asnaf yang layak akan diberikan perhatian.

Ini, katanya termasuk sumbangan zakat kepada asnaf fisabilillah seperti para pelajar yang mengambil kursus pengajian Islam di luar negara.

Tambahnya, beliau tidak pasti sama ada benar atau tidak mengenai aduan para pelajar yang menerima bantuan zakat dikatakan perlu membayar semula.

Justeru, perkara seperti itu dan pengagihan kepada semua asnaf akan diketengahkan dalam persidangan Dun untuk mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri.

Selain itu, Dr Khalid akan turut menyentuh keadaan SAR yang kebanyakannya masih daif dan sukar untuk meneruskan operasi.

“Saya juga akan cuba membangkitkan isu yang berkait dengan masa depan guru-guru SAR dan Kafa di negeri ini agar pihak kerajaan negeri memberikan perhatian untuk membela nasib mereka,” ujarnya.

Bagi mantan Timbalan Pengarah Hospital Melaka itu, guru-guru SAR dan Kafa sewajarnya mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri dari segi gaji, status jawatan dan lain-lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau mendapati ramai para pelajar dalam Dun Bukit Baru  berpotensi untuk maju tetapi menghadapi masalah kekangan kewangan.

Menyedari pentingnya pelajaran, beliau merancang untuk mengadakan kelas bimbingan secara percuma kepada para pelajar agar mereka dapat memberikan tumpuan yang sebaik-baiknya untuk mencapai kejayaan.

Justeru, Dr Khalid mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi mewujudkan kelas-kelas bimbingan dan melaksanakan lain-lain aktiviti kebajikan kepada rakyat yang diwakilinya selaku Adun pertama PAS di negeri ini.

Sumbangan boleh dibuat atas nama Tabung Dana Dun Bukit Baru melalui akaun Maybank 554026265358 atau BIMB 04015010064536.

PAS Johor sokong ura-ura cuti mingguan Jumaat

Harakahdaily, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Johor menyokong penuh ura-ura Kerajaan Negeri Johor untuk mengembalikan semula cuti mingguan negeri kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai Januari 2014.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mazlan Aliman berkata, sejarah hitam cuti mingguan negeri di tukar dari Jumaat kepada Ahad dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yasin sewaktu menjawat Menteri Besar sekitar tahun 1994 bagi kononnya meningkatkan ekonomi dan pelaburan asing ke Johor.

"Pertukaran cuti tersebut telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam Johor. Ia turut diulas melalui teks khutbah hari Jumaat di masjid-masjid seluruh Johor. Bukan itu sahaja, wujud bantahan dan protes yang agak lama dari seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira idealogi politik," kata Mazlan dalam entri terbaru di laman facebooknya.

Beliau menambah, meskipun bantahan dan protes dilakukan rakyat, Muhyiddin dan Kerajaan Negeri Johor tetap berkeras.

Kesan pertukaran cuti mingguan itu, ujarnya mengakibatkan kesukaran kepada para pekerja beragama  Islam termasuk kakitangan kerajaan yang terpaksa bergegas ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat manakala pekerja sektor swasta berdepan kerenah sesetengah majikan yang enggan membenarkan mereka menunaikan solat Jumaat dengan pelbagai alasan termasuk menjejaskan produktiviti.

"Lebih memburukkan keadaan, para remaja telah mengambil peluang waktu solat Jumaat untuk lepak dan berpeleseran di kompleks membeli belah, kafe dan lokasi tertentu dan bukannya mengimarahkan Masjid untuk mendengar khutbah dan Solat Jumaat.  Ia meningkatkan gejala sosial dalam masyarakat," ujarnya.

Beliau berharap berita yang tersebar di kalangan rakyat itu menjadi kenyataan dan PAS Johor yakin dan percaya kemuliaan dan keberkatan hari Jumaat, penghulu segala hari; bakal memberi sinar baru dan keselesaan kepada rakyat dan ekonomi negeri terus berkembang.

"Bagi masyarakat nonmuslim, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana ia adalah langkah mengembalikan semula cuti mingguan yang telah dipraktikkan sekian lama sebelum ini.

"Kehidupan rakyat berbagai kaum berjalan seperti biasa, meskipun berlaku perubahan cuti dan pindaan-pindaan tertentu dalam urusan pentadbiran dan ekonomi. Yang penting, persefahaman rakyat tidak akan terjejas sepertimana cuti mingguan yang diamalkan di Kelantan, Kedah dan Terengganu," ujarnya.

Pemuda PAS Perak serah memo kepada The Star

Muhammad Faeez Azahar, 12 Nov 2013



IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak telah menyerahkan memorandum kepada pihak akhbar The Star bagi membantah penyiaran satu artikel yang mendakwa Almarhum Ustaz Ibrahim Libya pengamal ajaran sesat dan pengganas.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss di Pejabat The Star Perak, di sini hari ini.

Raja Iskandar ketika ditemui berkata, artikel di bawah tajuk Major Cases Involving Violant Deviant Groups in Malaysia tersebut sangat keterlaluan dan tidak bertanggunjawab.

Jelasnya, ianya sudah pasti mengguriskan hati Almarhum dan seluruh ahli PAS serta masyarakat di negara ini yang sangat mengenali akan keperibadian mangsa pembunuhan tragedi Memali itu.

"Tuduhan yang mengatakan Almarhum (Ustaz Ibrahim Libya) sebagai pengamal ajaran sesal dan pengganas adalah sangat melampau dan Pemuda PAS mengambil serius perkara ini.

"Isu sensitif seperti ini seharusnya diulas dengan lebih berhati-hati dengan mengambil maklumat daripada pihak yang benar," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PAS memberi peluang dalam tempoh masa tiga hari untuk akhbar arus perdana itu memohon maaf secara rasmi berhubung penerbitan berbaur fitnah itu.

"Kami memberi masa tiga hari kepada The Star untuk memohon maaf. Jika tidak berbuat demikian (memohon maaf), kami akan membuat tindakan selanjutnya," jelasnya lagi

Hadir sama dalan serahan momerandum tersebut ialah Naib Ketua Pemuda PAS Ipoh Timur, Shamsul Effendey dan Peguam PAS yang juga AJK PAS Perak, Zamri Ibrahim.

Rumusan mahasiswa terhadap Bajet 2014

Muhammad Muzakkir, 12 Nov 2013
Dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang terus mapan, berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, pada hari Jumaat bertarikh 25 Oktober 2013, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2014) dengan bermatlamatkan Memakmurkan Negara dan Mensejahtera Rakyat. Bagi mengekspresikan rangkaan Bajet 2014 yang bertemakan “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji” dengan menggagaskan lima teras utama iaitu, merancakkan aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengunggul modal insan, mempergiat pembangunan Bandar dan luar Bandar serta mensejahtera kehidupan rakyat.

Dari sudut prestasi ekonomi pada tahun 2013, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus manakala ekonomi dunia berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus. Malaysia sememangnya tidak terkecuali daripada tempias kelembapan ekonomi global. Seterusnya, peruntukkan bagi Bajet 2014 ialah sebanyak RM264.2 billion yang lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk perbelanjaan iaitu RM217.7 billion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM46.5 billion bagi perbelanjaan pembangunan. Daripada peruntukkan tersebut, ia disediakan untuk sektor ekonomi, sektor sosial dan pelbagai lagi perbelanjaan. Kerajaan Persekutuan menjangkakan kutipan hasil sebanyak RM224.1 billion pada tahun 2014 dan memperoleh tambahan sebanyak RM4 billion berbanding tahun 2013.

Seterusnya, dalam teras pertama iaitu merancakkan aktiviti ekonomi, menarik untuk saya ulas mengenai pelaburan awam dan swasta. Dalam bajet ini Kerajaan Persekutuan telah menetapkan sebanyak RM189 billion bagi pelaburan swasta sementara RM106 billion bagi pelaburan awam. Bagi pelaburan swasta, insentif tersebut akan disalurkan ke bidang minyak dan gas, industry tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.

Manakala, antara projek yang bakal dilaksanakan bagi pelaburan awam ialah pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru. Menurut bajet yang dibentangkan tempoh hari, jarak Lebuh Raya Pantai Barat ialah sepanjang 316 kilometer. Dalam perihal ini saya ingin membangkitkan persoalan mengenai apakah tindakan kerajaan dalam membantu untuk memudahkan perhubungan antara penduduk yang berada di Pantai Timur dan Pantai Barat khususnya bagi negeri yang seringkali berhadapan dengan kesesakkan lalu lintas dan struktur jalan yang kurang baik.

Jika sebelum ini kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan projek Lebuh Raya Rakyat yang menghubungkan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, tetapi proses perlaksanaannya masih kurang efektif bahkan di dalam bajet 2014, tiada peruntukkan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Pada pandangan sisi, saya mengharapkan agar pihak kerajaan daripada mana-mana blok parti politik dapat berkhidmat dan membantu rakyat merentasi jurang perbezaan politik dan bertindak secara profesional.

Bagi teras kedua pula ialah mengukuh pengurusan fiskal dan semestinya umum ketahui bahawa dalam teras ini terkandungnya perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang kini menjadi topik hangat diskusi bagi ahli-ahli akademik dan pakar-pakar ekonomi serta turut juga menjadi bahan kempen bagi sesetengah ahli politik. Walaupun tarikh perlaksanaannya bermula pada 1 April 2015 tetapi perlaksanaannya dan perancangannya mendapat kritikan dan ulasan daripada banyak pihak.

Pelaksanaan GST akan memberikan implikasi terhadap golongan pertengahan ke bawah dan menambah beban rakyat berpendapatan rendah, khususnya dalam soal kenaikkan harga barang. Namun, pelaksanaan GST ini tidak semestinya akan membebankan golongan pertengahan ke bawah, kerana pelaksanaan cukai ini adalah penggantian cukai yang sedia ada dan mungkin dapat menstabilkan harga barang bahkan ada sesetengah harga barang akan turun.

Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, antaranya rakyat hanya perlu membayar GST empat peratus ketika menjamu selera di restoran makanan segera berbanding cukai perkhidmatan lebih tinggi dikenakan sekarang.“Kos perniagaan lain juga berkurangan selepas GST menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana restoran berkenaan tidak lagi perlu membayar cukai jualan atas pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain.“Dengan pelaksanaan GST, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai,” katanya.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa pelaksanaan GST juga akan menaikkan harga sebahagian barang dan pastinya membawa impak kepada golongan bawahan sama ada positif ataupun negatif.
Selain dapat mengenalpasti pengelak cukai dan menyumbang kepada pengutipan cukai dan duti yang lebih cekap di masa depan. Pendapat saya, jika pelaksanaan GST ini lebih menguntungkan rakyat dan dapat menambah hasil mahsul kerajaan sememangnya pelaksanaan ini perlu diteruskan tetapi kerajaan perlulah meyakinkan rakyat terlebih dahulu jika pelaksanaan GST mampu memberi kebaikan. Dalam pada itu juga, penetapan gaji minimum juga sangat penting bagi menguatkan keyakinan rakyat terhadap perlaksanaan cukai baru ini serta dalam pada itu juga pihak kerajaan secara serius perlulah menghapuskan segala gejala-gejala negative dan ketirisan dalam sektor awam.

Selain itu, teras ketiga dan teras keempat pula ialah mengunggul modal insan dan mempergiat pembangunan Bandar dan luar Bandar. Saya lebih ingin fokuskan pada teras yang ketiga iaitu mengunggul modal insan, yang mana elemen-elemen yang diletakkan antaranya ialah meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan latihan, bantuan persekolahan dan baucar buku, pendidikan tertiari dan memperkukuh latihan kemahiran. Pada elemen kecemerlangan pendidikan dan latihan, Kerajaan Persekutuan akan melancarkan Tabung Khas Pembinaan Penambahbaikan & Penyelenggaraan Sekolah. Berdasarkan bajet yang dibentangkan beberapa minggu lepas, peruntukkan bagi tabung khas ini adalah sebanyak RM450 juta dan agihan peruntukkan masih samar. Adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan dapat memberikan agihan peruntukkan khas kepada sekolah dan institusi pendidikan di Sabah dan Sarawak agar saluran peruntukkan lebih terfokus seterusnya kebajikan rakyat lebih tertumpu.

Dan seterusnya, teras yang terakhir bagi Bajet kali ini ialah Mensejahtera Kehidupan Rakyat. Elemen-elemen yang diketengahkan dalam teras ini antaranya ialah pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber, pembangunan wanita dan keluarga, kesihatan, keistimewaan bumiputra, kebajikan golongan OKU, bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pembangunan sukan dan lain-lain lagi.Bantuan Rakyat 1 Malaysia juga terkandung dalam teras yang kelima ini, yang mana pemberian ini akan dipertingkatkan dan diperluaskan. Namun begitu, adakah pemberian ini lebih efektif dan mampu mengubah kelas kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik berbanding daripada penambahan pemberian subsidi daripada kerajaan.

Akhir Kalam, sebagai mahasiswa yang prihatin dan cakna terhadap isu semasa, bagi saya tidak salah untuk saya memberikan sedikit lontaran kata dan kritikan terhadap bajet yang dibentangkan tempohari. Menjadi harapan buat saya agar bajet kali ini dapat direalisasikan dengan sepenuhnya dan berjaya mengubah tahap ekonomi Malaysia kearah yang lebih baik, terkehadapan serta yang paling penting dapat menjaga kebajikan rakyat Malaysia yang dicintai.

Muhammad Muzakkir ialah Setiusaha Agung Ikatan Studi Islam UKM.

Tiada ulasan: