Jumaat, 22 November 2013

BIASANYA ORANG PANDAI CAKAP ATAU BANYAK CAKAP SUKAR BEKERJA DENGAN BAIK...ATAU TAK PANDAI BUAT KERJA

Isu kalimah Allah bukti Umno peralat Islam

Harakahdaily, 21 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Jawapan menteri di Dewan Rakyat mengenai kalimah Allah mengesahkan lagi keyakinan umum bahawa Umno memperalatkan Islam untuk kepentingan politik, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar(gambar).

"Jawapan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri) Jamil Khir (Baharom) di Dewan Rakyat mengesahkan keyakinan umum bahawa Umno jual agama, peralat Islam bagi kepentingan politik.

"Di Semenanjung mereka begitu bengis menghalang orang-orang Kristian guna kalimah Allah. Di Sabah dan Sarawak, mereka yang luluskan," kata beliau.

Ketika mengemukakan soalan kepada Jamil Khir di Dewan Rakyat, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, bermula dari April 2011, kabinet telah pun bersetuju membenarkan penganut Kristian di Sabah dan di Sarawak menggunakan kalimah Allah.

Beliau mempersoalkan, bagaimana kabinet boleh membuat keputusan sedemikian sedangkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut mendakwa akan jadi murtad mereka yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian.

Apabila diasak oleh Mahfuz, Jamil Khir menjawab dengan menekankan penggunaan "ten point solution" atau "penyelesaian 10 perkara" yang membenarkan Bible dicetak dalam Bahasa Malaysia untuk Sabah dan Sarawak termasuk penggunaan kalimah Allah.

"Maknanya menteri jaga agama, juga seorang ustaz (iaitu Jamil Khir), bersetuju dalam kabinet orang Kristian boleh guna kalimah Allah. Itu sahaja," ujar Mahfuz.

Baru-baru ini, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dalam upacara ibadat mereka, termasuk di dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat oleh kabinet.

Beliau berkata, kabinet memutuskan untuk berpegang kepada penyelesaian 10 perkara, yang membenarkan pengimportan dan pencetakan Bible dalam mana-mana bahasa di Malaysia, termasuk al-Kitab yang menggunakan kalimah Allah.

"Kabinet telah membincangkan keputusan Mahkamah Rayuan kerana isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

"Mereka bimbang Bible Bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Alah akan diharamkan. Justeru Kabinet merasakan perlu ada penjelasan,” akhbar Sin Chew Jit Poh memetik beliau sebagai berkata.

Penyelesaian 10 perkara, antara lain juga menyatakan tidak ada halangan bagi penganut Kristian untuk membawa Bible dalam apa bahasa dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung.

Bagaimanapun, Bible dalam Bahasa Melayu atau Indonesia yang dibawa masuk atau dicetak di Semenanjung mestilah dicetak dengan perkataan ‘Penerbitan Kristian’ pada muka hadapannya.

KUIZM: Satu kawasan hantar seorang pelajar

Harakahdaily, 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Dr Shahabudin Ngah (gambar) mencabar Urusan Ulamak PAS kawasan supaya menghantar seorang pelajar ke kolej berkenaan.

“Tak kan satu kawasan tak boleh hantar seorang pelajar,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan perwakilan pada sesi perbahasan laporan tahunan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-52 di sini, hari ini.

Menurutnya, oleh kerana KUIZM adalah di bawah urusan Dewan Ulamak PAS Pusat, maka sewajarnya pihak Ulamak PAS kawasan dapat menghebahkan perkara itu kepada ahli-ahli.

Katanya, maklumat kemasukan ke KUIZM dibuat melalui akhbar Harakah.

Beliau juga berkata, sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurusan dan pensyarah KUIZM yang ada sekarang, maka boleh ditukar dengan yang baru.

Begitupun, dengan keadaan KUIZM yang disifatkan ‘hidup segan mati tak mahu’, beliau menyeru para perwakilan supaya memberikan sumbangan bagi meneruskan program pengajian di kolej itu.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, KUIZM yang telah beroperasi sejak September 2010 lalu mengalu-alukan pelajar-pelajar lepasan 4 thanawi, SMU/SMA, SPM, STAM, pelajar tahfiz yang telah tamat hafalan 30 Juzu’ Al-Quran dan yang berkelayakan untuk menyambung pengajian dalam dua bidang yang ditawarkan iaitu Diploma Muamalat & Kewangan Islam Dan Diploma Dakwah & Komunikasi.

Sumbangan kepada KUIZM  boleh dibuat atas nama Akademi Pendidikan Zulkifli Muhammad melalui akaun BIMB 14041010074783.

DPPM digesa tingkat keahlian PAS

Muhammad Faizal, 21 Nov 2013
PETALING JAYA: Perwakilan Tumpat, Azhar Ibrahim hari ini menjelaskan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) tidak memandang serius dalam isu keahlian ahli-ahli PAS terutamanya kalangan pendukung dan penyokong PAS.

Azhar yang ketika berucapan pada sesi perbentangan dan perbahasan buku Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan berakhir Disember 2012, turut meminta agar DPPM menjadikan isu keahlian ini dibanggakan oleh semua pihak sepertimana yang dilakukan oleh Umno sebelum ini.

"Walaupun isu ini kecil tetapi kita lihat Umno begitu bangga dengannya sehinggakan mereka boleh menyiarkan dalam akhbar.

"Tetapi itu tidak berlaku dalam PAS terutamanya DPPM yang hanya memandang kecil dalam hal keahlian.

"Sehinggakan dalam buku laporan tidak dinyatakan langsung tentang bagaimana untuk memperkasa serta cara-cara untuk menambah keahlian PAS di semua peringkat," ucap beliau.

Beliau yang mengharapkan agar kepimpinan DPPM yang bakal dilantik nanti akan menjadikan perkara ini sesuatu yang utama bukan lagi isu remeh dan kecil.

"Saya harap kepimpinan yang baru DPPM nanti akan menjadikan cadangan ini sebagai agenda utama.

"Kita perlu tekankan hal ini kerana kemenangan PAS pada pilihan raya yang lalu bukan hanya terletak kepada ahli PAS sahaja, kita kena ingat  yang memberi sumbangan kemenangan adalah dari pendokong dan penyokong.

"Jadi kenapa mereka ini kita tidak berikan keahlian dan kita nyatakan jumlah keahlian yang kita ada, biar semua tahu jumlah ahli yang kita banggakan," tegas beliau.

Beliau turut mencadangkan agar DPPM menubuhkan satu Jawatankuasa Khas iaitu peringkat kawasan bagi memastikan isu keahlian ini dapat diperkasakan.

GST: Dewan Ulamak gesa ulama haraki bangkit

Harakahdaily, 21 Nov 2013



SHAH ALAM: Krisis kewangan yang sedang dihadapi kerajaan mendesak mereka mengemukakan sistem baru percukaian yang dinamakan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang bakal dikenakan kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira miskin atau kaya bermula pertengahan 2015 nanti.

“Dalam situasi ini Ulamak Haraki perlu bangkit menegaskan prinsip-prinsip percukaian dalam Islam yang memberi keadilan kepada seluruh rakyat,” tegas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk  Harun Taib dalam ucaptama pada muktamar tahunan dewan itu kali ke-52 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini pagi ini.

Teks beliau dibacakan timbalannya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada muktamar yang bertemakan ‘Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan’.

Jelasnya, prinsip-prinsip percukaian islam adalah:

1. Cukai hanya boleh diambil di saat kerajaan benar-benar berhadapan situasi yang sangat memerlukan iaitu kewangan negara tidak cukup menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara.

2. Disyaratkan pula keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dalam perbelanjaan atau pemborosan.

3. Apabila cukai dikenakan ia tidak boleh meliputi seluruh masyarakat tanpa membezakan kaya atau miskin. Kaedah cukai ialah diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan untuk kegunaan orang-orang miskin.

Beliau berkata, antara ciri penting negara Islam ialah merupakan negara hidayah bukan negara jibayah (cukai).

Jelasnya, di zaman Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah beliau berjaya memulihkan krisis kewangan negara dalam masa dua tahun.

Katanya, kesedaran rakyat yang kaya dibangkitkan sehingga mereka berlumba-lumba membayar zakat dan cukai negara.

“Berbeza hari ini rakyat mencari jalan dan alasan meloloskan diri daripada cukai negara sehinggakan kerajaan kerugian cukai berjuta-juta ringgit,” ujarnya.

Kesannya, kata beliau di zaman Umar bin Abdul Aziz rakyat miskin yang ingin menerima bantuan sangat sukar dicari berbanding hari ini rakyat miskin yang memerlukan bantuan mencari-cari dan menagih bantuan kerajaan.

Dewan Ulamak aktif gerak media baru

Harakahdaily, 21 Nov 2013

Sebahagian perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS ke-52.

SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Pusat telah menggerakkan media baru secara aktif sejak dua tahun yang lalu.

Ini kerana dakwah hari ini menuntut alim ulama sekalian bergerak lebih jauh melepasi rutin biasa dengan melihat ruang besar yang perlu diisi iaitu media baru menerusi penggunaan laman web dan laman sosial seperti facebook, twitter dan lain-lain.

“Maka harapannya ia menjadi ikutan pula pada Dewan Ulamak Negeri untuk menubuhkan khusus jabatan media baru ini,” kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Ustaz Harun Taib.

Beliau juga menggesa peluang berkuasa perlu diambil untuk memperkukuhkan lagi institusi pendidikan rakyat yang diterajui oleh Ulamak Haraki PAS.

Katanya, bukan sahaja institusi yang sedia ada diperkukuhkan malah institusi pendidikan baru mesti dibina oleh alim-ulamak sama ada secara persendirian atau menerusi Urusan Ulamak Kawasan.

Menurutnya lagi, institusi pendidikan rakyat bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya pengajian tinggi menjadi aset untuk melahirkan generasi masa depan yang berakhlak dan berakademik.

“Di saat pendidikan kebangsaan lebih menumpukan pada pembinaan akademik berbanding sakhsiyah maka intitusi pendidikan rakyat selalu menjadi alternatif terbaik bagi masyarakat sekitar,” ujarnya dalam ucaptama pada Muktamar Tahunan DUPP kali ke-52 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini pagi ini.

Teks beliau dibacakan oleh timbalannya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada muktamar yang bertemakan ‘Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan’.

Beliau menambah, institusi pendidikan rakyat bakal melahirkan insan berilmu dan bersakhsiyah tinggi dan amanah sebagai generasi masa depan yang menjadi tonggak kepada perjuangan bakal pemerintah negeri dan negara ini.

Begitu juga, ujarnya dengan institusi pendidikan peringkat negeri di bawah kerajaan perlu dibantu oleh para alim ulama dengan pelbagai idea penambahbaikan dan urus tadbir yang cemerlang.

Katanya, ia mesti dipacu dengan cemerlang dengan peningkatan bidang dan kursus yang ditawarkan sehingga akhirnya menjadi pusat ilmu Islam yang menjadi tumpuan.

Beliau juga menggesa Ulamak Haraki agar bergiat cergas dalam penulisan akademik secara personal atau secara berkumpulan di bidang politik, pengurusan dan ekonomi Islam.

Menurutnya, masyarakat memerlukan pencerahan dalam isu-isu semasa khususnya melibatkan persoalan ekonomi.

“Idea-idea pengurusan dan pembangunan negara yang terpendam dalam al-Quran dan al-hadis mesti dikemukakan kepada rakyat dalam bentuk tulisan ilmiyah dan akademik serta penghayatannya.

“Penulisan boleh mencakupi sistem politik, sistem ekonomi dan sistem sosial Islam,” katanya.

Justeru, katanya buku-buku ilmiah mesti diterbitkan secara berkala oleh Dewan Ulamak Negeri dan Pusat sementara diskusi perlu dibuat untuk merancakkan perbincangan ilmiyah.

Beliau menambah, penulisan berbentuk kertas kerja dan artikel mesti diperbanyakkan manakala seminar dan kolokium perlu dirancakkan.

Katanya kagi, kehadiran Majalah Fikrah yang telah diterbitkan oleh Lajnah Penerbitan ketika Multaqa Ulamak baru-baru ini boleh dijadikan medan mengasah bakat penulisan.

“Sebagai permulaan untuk sesi akan datang Dewan Ulamak mensasarkan penerbitan dua buah buku akademik bertajuk Pemerintahan Islam dan Perundangan Islam tulisan saya sendiri. Kedua-duanya sedang dalam proses suntingan,” ujarnya lagi.

Muktamar Pemuda: Proses buang undi berjalan lancar

Hazayani Zakaria, 21 Nov 2013

PETALING JAYA: Seramai 673 perwakilan daripada 162 kawasan sedang melaksanakan proses pengundian secara berperingkat-peringkat bagi pemilihan jawatan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang baru dalam muktamarnya pagi ini.

Bermula jam 11.15 pagi tadi, mereka mula memilih pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, timbalan ketua, naib ketua dan 12 ahli jawatankuasa DPPM.

Bagi jawatan ketua, timbalan dan naib ketua, mereka dibenarkan melantik wakil calon sebagai pemerhati sewaktu proses pembuangan  dan pengiraan undi.

Sebelum itu, ketua jawatankuasa pemilihan, Dr Zulqarnain Lukman menyampaikan taklimat pengundian kepada perwakilan.

Pengundian dimulakan dengan barisan exco diikuti kawasan-kawasan.

Keputusan pemilihan dijangka diumumkan pada jam 9.40 malam ini.

Muktamar bersambung jam 12.30 untuk perbahasan ucaptama ketua pemuda dan perbahasan usul-usul.

Menteri Kesihatan cedera, pengawal peribadi parah

Harakahdaily, 21 Nov 2013
MELAKA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam cedera di bahagian leher manakala pengawal peribadinya parah apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Km220.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan berhampiran kawasan Pedas-Linggi, malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, kereta berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang secara tiba-tiba menukar laluan daripada laluan tengah ke laluan kanan lebuh raya itu.

"Kecederaan datuk seri (Dr Subramaniam) tidak serius manakala pengawal peribadinya dipercayai mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut dan masih berada dalam 'operating theater' (dewan bedah) Hospital Besar Melaka.

"Mereka pada awalnya dirawat di Hospital Alor Gajah dan dibawa ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau berkata Dr Subramaniam dimasukkan ke wad hospital itu sebagai langkah berjaga-jaga serta mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu kereta menteri berkenaan tidak cedera.

Chuah berkata lori yang terlibat dalam kemalangan itu melarikan diri dari tempat kejadian dan polis akan mengambil tindakan pantas untuk mengesan lori terbabit. - Bernama

DMPP: Timb Pengerusi Tetap calon kedua tertinggi

Salmiyah Harun, 21 Nov 2013

SHAH ALAM: Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-53 memutuskan untuk Jawatan Timbalan Pengerusi Tetap dipilih daripada calon kedua tertinggi dalam senarai calon Pengerusi Tetap. (Gambar: Perwakilan Muslimat mengundi untuk menentukan kaedah pemiilhan jawatan timbalan pengerusi tetap)

Ini kerana tidak ada pencalonan yng dipilih untuk jawatan Timbalan Pengerusi Tetap.

Menurut Wakil Jawatankuasa Pemilihan Dr Mohamad Zuhdi Jawatankuasa Pemilih mencadangkan dua kaedah kepada perwakilan untuk memilih calon Timbalan Pengersi tetap.

Cara pertama iaitu calon kedua terbanyak dalam senarai calon Pengerusi Tetap automatik dipilih sebagai Timbalannya, kedua ialah melalui proses pencalonan yang akan dibuka semula.

Majoriti perwakilan Muktamar Dewan Muslimat telah memilih kaedah pertama dengan jumlah sokongan seramai 519 perwakilan, manakala cara kedua seramai 48 orang.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap, Ketua Muslimat, Timbalan dan Naib masing-masing perwakilan hanya dibenarkan mengundi satu calon sahaja.

Untuk jawatan Ajk Muslimat setiap perwakilan dibenarkan mengundi 12 calon, jika terlebih undi dikira undi rosak, tetapi jika kurang undi kertas undi berkenaan tetap diterima.

Ketika ini 638 perwakilan Muslimat dari seluruh negara sedang membuang undi sehingga jam 12.30 tengah hari ini bagi memilih kepimpinan baru Muslimat bagi sesi 2013-2015.

Politik PAS ibadat, tak buat kerja anjing

Subky Latif, 19 Nov 2013

PAS ditubuhkan untuk menjadikan politik satu ibadat, tidak membuat kerja anjing seperti yang dimomokkan oleh satu poster sebuah Facebook betapa gambar seorang calon Ketua Dewan Pemuda PAS, Zulhazmi Sharif digantikan dengan gambar kepala anjing. Sedang dua calon lagi Suhaizan Kayat dan Kamaruzzaman menggunakan gambar mereka sendiri.

Apa tujuan jahat di situ? Ia untuk mengatakan dalam PAS ada anjing. PAS adalah wadah suci bagi pejuang Islam. Ahlinya yang bukan Islam adalah penyokong perjuangan suci PAS. Semua ahlinya makluk manusia. Malaikat pun tiada, apa lagilah  anjing.

Kalau ada manusia itu dikatakan anjing mungkin yang tidak berjanggut dan tak bermisai seperti  logik jenaka yang pernah diibaratkan oleh Al-Marhum Haji Agus Salim, pelopor gerakan Islam  Indonesia dan menteri luarnya yang awal.

Dia orang tua yang berjanggut dan bermisai.  Semaoen, seorang tokoh  awal Parti Komunis Indonesia dalam satu rapat umum mengejek Haji Agus Salim dengan bertanya orang ramai, ‘Yang berjanggut itu apa?’

Jawab orang ramai, ‘Kambing.’

‘Yang bermisai apa?’ Sambut orang ramai, ‘Kucing.’

Giliran Haji Agus Salim naik pentas. Diulangnya, ‘Yang berjanggut itu kambing. Yang bermisai itu kuncing.’ Tapi yang tidak berjanggut dan tidak bermisai itu apa? Jawabnya, anjing. Tokoh komunis itu memang tidak berjanggut dan tidak bermisai.

Tiada manusia yang menyamakan manusia lain dengan anjing atau lain-lain binatang kecuali fahaman agama Yahudi. Baginya yang bukan Yahudi adalah sama dengn binatang.

Maka yang menggantikan gambar Zulhazmi dengan anjing itu adalah orang boleh diibaratkan telah dijangkiti oleh pemikiran Yahudi.

Perbuatan nakal yang tidak bertempat itu wajar dikecam. Kalau ahli-ahli politik sekular yang  rakuspun tidak manis dianjingkan, maka amat tidak beradab orang berjuang dalam Islam diibaratkan  sebagai haiwan.

Ia tidak boleh dilihat sebagai ditujukan kepda calon Zulhazmi saja. Ia seperti  juga  menempelak PAS. Memperolokkan perjuangan PAS itu berciri anjing.

Dua calon lagi eloknya  membuat kecaman terbuka terhadap orang menempelak Zulhazmi, sebagai tindakan simpati dan membela nilai insan sempurna Zulhazmi. Sekalipun Zulhazmi  tidak hirau akan apa yang dihalakan  kepadanya, tetapi kita tidak boleh terima pelapis pimpinan  dan bakal pemimpin masa depan dijenaka dan disenda sebegitu.

Sekalipun kerenah sedemikian adalah asam garam bagi politik duniawi. Sesuai dengan justifikasi politik itu kotor, barang siapa yang tidak tahan dengan ujian dan kerenah sedemikan jangan dekati dunia politik, tetapi ia perlu dibetulkan bahawa politik itu asalnya adalah manis. Hanya manusia yang kotor saja yang mengotorkan dunia politik.

Politik itu adalah misi suci yang Allah khususkan buat makhluk manusia. Manusia itu dijadikan untuk mengambil tanggungjawab politik di bumi sebagai satu ibadat. Ibadat itu tidak jadi tanggungjwab jin, malaikat dan lain-lain makhluk. Ia khusus tanggungjawab dan amanah buat manusia.

Maka manusia yang mukminlah mesti mendepaninya bagi menjamin politik itu adalah barang suci. Ketiga-tiga calon ketua Dewan Pemuda PAS itu  adalah dalam misi mengisi ibadat polilltik yang manis  dan bersih itu.

Yang cuba menganjingkan kerja-kerja mulia itu adalah gejala yang mahu menjauhkan pejuang suci di arena itu, supaya dunia itu dikekalkan dengan  arena yang kotor. Ayuh! Mereka mesti maju supaya  politik kita bebas dari yang cemar, bagi memastikan ia sentiasa bersih dan manis. Bukan yang menyalak.

Jangan bangga bersahabat dengan golongan fasik

Tuan Ibrahim Tuan Man, 19 Nov 2013
Wahai anakku, Janganlah engkau rasa hebat bersahabat dengan mereka yang mendurhakai Allah dan menjauhkan manusia dari jalan-Nya. Kerana engkau akan menempah jalan yang dimurkai Allah. Janganlah engkau kagum dengan seseorang yang memperolehi harta melalui jalan yang diharamkan Allah, kerana setiap perbelanjaannya tidak diterima oleh Allah. Tindakan kamu mendekati mereka dan bergaul mesra dengan mereka akan menjauhkan kamu dari golongan yang dikasihi oleh Allah, dan mendekatkan kamu kepada kemurkaan Tuhanmu.

Wahai anakku,
Janganlah engkau pisahkan dirimu dari jamaah yang memperjuangkan Islam, walaupun mereka kelihatan lemah, tiada permaidani merah yang menghampar mereka, namun mereka dekat dengan Allah. Perhatikanlah pergaulanmu dengan semua sahabatmu, berjalanlah bersama mereka, makanlah bersama mereka dan sembahyanglah bersama mereka; nescaya engkau akan kenal siapa mereka.

Wahai anakku,
Janganlah engkau bangga bersahabat dengan golongan yang fasik, lalu kamu menjauhi golongan bertaqwa. Engkau mengharapkan habuan dunia yang ada pada mereka, lalu mereka menyesatkan kamu dan menjauhkan kamu dari Tuhanmu. Engkau akan mulai terpisah dengan golongan yang menjaga iman mereka, kemudian kamu akan semakin jauh dari rumah Allah dan kamu akan terus bergelumang dengan golongan yang lalai dengan Allah.

Wahai anakku,
Sahabat yang baik itu ialah sahabat yang bilamana kamu melupai kewajipanmu, ia akan mengingatkan kamu. Bilamana kamu mendengar kata-katanya akan bertambah ilmumu, dan bilamana kamu melihat amalan sehariannya, mengingatkan kamu pada hari akhirat.

Wahai anakku,
Aku sedar betapa payahnya kamu untuk mendapatkan sahabat yang baik, namun kebaikan yang ada padamu akan mengundang kebaikan sahabat yang mendekatimu. Tidakkah bau harum pada bebunga yang mekar menarik kedatangan lebah bagi menghisap madunya. Dan tidakkah kamu perhati bau busuk dari seekor bangkai akan mengundang langau. Kamu jangan mengharap kebaikan yang ada pada golongan yang lalai pada perintah Allah, atau kamu kagum dengan satu dua kebaikan yang dilakukan di hadapanmu, lalu kamu sanggup memejam mata terhadap rasuah, salahguna kuasa, kezaliman dan kemungkaran yang dilakukannya. Lalu kamu war-war kebaikannya, dan kamu diam terhadap kemungkarannya.

Wahai anakku,
Janganlah kamu menjadi jurucakap kepada musuh bagi membenarkan keburukan perbuatanmu, kerana ia tidak lebih menambahkan kebencian orang terhadapmu. Sebaliknya perbaikilah kelemahan dirimu bersama jamaah, dengan mendekatkan dirimu kepada Allah melalui amalan jamaahmu. Hiruplah keredhaan Allah dalam setiap patah zikirmu, dan titislah airmata keinsafan di atas keterlanjuranmu kerana mengabaikan perintah Allah.

Wahai anakku,
Aku sedang berbicara denganmu, bukan orang lain kerana aku mengasihimu di dunia dan akhirat. Demi Allah aku sanggup hilang seribu sahabat yang fasik, namun aku tidak sanggup kehilangan seorang sahabat yang soleh.

Senyumlah semoga Allah mengasihimu.
Senyum

Tiada ulasan: