Jumaat, 22 November 2013

NAQIB/PEMIMPIN ELOK MAHIR DUA BIDANG....ILMU ISLAM DAN ILMU GERAKAN....JIKA TIDAK DALAM USRAH ADA DUA NAQIB...BIDANG ILMU ISLAM DAN SORANG LAGI ILMU GERAKAN....DUA2 NI BOLEH DIPELAJARI...YANG MALANGNYA TAK MAHU BELAJAR....RASA DAH CUKUP

Pemuda Sarawak janji lonjakan sokongan sebelum PRN

Muhammad Faizal, 21 Nov 2013
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Sarawak hari ini berjanji akan meningkatkan sokongan pengundi kepada PAS sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang.

Dalam perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-54, Perwakilan Sarawak, Aizan Mohd Noor berkata walaupun Sarawak merupakan simpanan tetap kepada Barisan Nasional (BN), namun gerak kerja akan dipertingkatkan bagi pengundi memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

"Berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu Sarawak terus menjadi simpanan tetap kepada BN dan itu tidak kita nafikan.

"Sehingga sekarang ia terus menjadi kubu BN dalam menyumbang kerusi mereka di parlimen, tetapi Pemuda PAS Sarawak optimis akan meningkatkan sokongan kepada kita sebelum PRN yang akan berlangsung nanti.

"Kita akan mengatur gerak kerja dalam mengenalpasti segala kelemahan yang dihadapi sebelum ini dan memperbaikinya ada kecemerlangan PAS dapat kita tunaikan," ucap beliau.

Dalam pada itu beliau tidak menolak cabaran yang akan dihadapi oleh PAS dalam mendekati pengundi kerana budaya dan suasana pengundi di Sarawak berbeza dengan semenanjung.

"Dalam keadaan kita berusaha, cabaran untuk menghadapi pengundi Sarawak tidak kita nafikan. Budaya politik yang amat berbeza jika dibandingkan di semenanjung.

"Pemuda PAS perlu mencari dan menyelesaikan cabaran tersebut agar usaha ini dapat kita atasi," kata beliau.

Aizan yang turut meminta agar hubungan baik dalam Pakatan Rakyat diperkukuhkan terutamanya di peringkat Sarawak.

Jelasnya lagi, PAS perlu mempelajari dengan DAP yang telah lama melabur di Sarawak sehinggakan parti itu diterima pengundi di sana.

"Saya harap jangan ada persengketaan antara rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat, hubungan ini perlu kita jaga dan eratkan terutamanya peringkat Negeri Sarawak dalam usaha kita meningkatkan sokongan.

"Kita kena belajar daripada DAP yang telah lama bertapak di sana sehinggakan mereka mendapat pulangan dengan kemenangan yang diperoleh pada pilihan raya yang lepas.

"Kesefahaman yang wujud antara pimpinan parti akan melancarkan usaha kita menawan Sarawak dan seterusnya menyumbang kerusi di peringkat parlimen," sambung beliau.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar DPPM mewujudkan Pusat Aushan Tunas Islam (Pasti) bagi tujuan mengembangkan syariah melalui pendidikan kepada anak-anak pengundi di kampung dan juga bandar.

Jadikan Pakatan medan dakwah Dewan Ulamak

Harakahdaily, 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Pusat disaran supaya menjadikan Pakatan Rakyat sebagai medan dakwah sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Perwakilan dari Terengganu, Ustaz Alias Abu Bakar (gambar) berkata, PAS perli mencontohi pendekatan dakwah yang dilakukan Rasulullah s.a.w. berjaya menyatukan kabilah-kabilah Arab dan Yahudi untuk memberikan sokongan kepada Islam.

Katanya, walaupun kabilah-kabilah Arab musyrikin itu bermusuhan dan orang Yahudi golongan majoriti namun Rasulullah s.a.w. berjaya menyatukan mereka.

“Ini sewajarnya menjadi contoh teladan untuk kejayaan politik kita,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penangguhan mewakili zon Timur pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-52 di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini petang ini.

Beliau juga mengharapkan para perwakilan dan ulama haraki supaya menangani kefasadan sama ada yang dicipta oleh Umno BN atau yang ditimbulkan mana-mana gerakan munafiqun sepanjang masa.

Bagaimanapun, katanya untuk menghadapi situasi itu memerlukan kepada ilmu.

“Kita tidak boleh hadapi suasana ini melainkan dengan ilmu,” ujarnya lagi.

Untuk itu, katanya majlis ilmu perlu dirancakkan sama ada di peringkat MTD, kawasan dan sebagainya.

Sehubungan itu, kata beliau pihak pemimpin perlu mengambil perhatian serius mengenai cadangan-cadangan dalam aspek tarbiah yang bukan sahaja dicatatkan dalam buku muktamar tetapi yang diadakan dari masa ke semasa.

“Kita perlu tambah ilmu sama ada ilmu usul fiqh, fiqh alawiyat, siasah syar’iyyah dan lain-lain,” ujarnya.

Muslimat lulus lima usul untuk Muktamar Pusat esok

Salmiyah Harun, 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-53 meluluskan lima usul untuk dibentangkan di dalam Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung esok hari di Stadium Malawati.

Lima usul tersebut termasuk satu usul dibahaskan iaitu usul keselamatan negara yang diusulkan oleh Muslimat PAS Kawasan Temerloh dan Maran.

Muslimat PAS Temerloh meminta Muslimat Pusat agar mendesak Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula modul penguatkuasaan undang-undang dengan memberi penekanan aspek asas-asas agama, nilai murni, dan moral ke arah mewujudkan kawalan sosial secara menyeluruh.

Sementara itu dua usul telah diterima tanpa bahas iaitu usul mewujudkan Akademi Seni Islam yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS Kelantan.

Perwakilan Muslimat Kelantan menegaskan penubuhan Akademi Seni Islam ini wajar disegerakan memandangkan ramai golongan artis dan selebriti yang terlibat dalam nyanyian dan lakonan telah berhijrah untuk mengamalkan Islam dengan lebih sempurna melalui bimbingan dalam satu platform dakwah.

Usul mempertahankan dan memperkasakan kepimpinan ulama yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS Gombak turut diterima tanpa bahas.

Muslimat Gombak menyedari bahawa usul ini dipertimbangkan sewajarnya bagi menjamin kesinambungan dasar-dasar dan hala tuju PAS selari dengan prinsip-prinsip Islam sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunah.

Dua usul lagi yang diterima sebagai cadangan iaitu mencadangkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia agar mengkaji semula fesyen uniform sekolah menengah kebangsaan, sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan daripada fesyen skrit kepada seluar panjang dan juga daripada baju kemeja putih kepada warna lain yang lebih sesuai.

Usul ini dikemukakan oleh Muslimat PAS Kawasan Balik Pulau.

Dan usul yang diterima sebagai cadangan kedua daripada Muslimat PAS Kawasan Batu Gajah menggesa agar Kementerian Kerja Raya menubuhkan Akta Peguatkuasaan Undang-undang atau etika berpakaian bagi mewajibkan semua papan tanda iklan atau katalog yang menggunakan model wanita supaya berpakaian sopan dan tidak mencolok mata umum kepada wanita bukan Islam dan mewajibkan wanita Islam dipakaikan tudung dan menutup aurat.

Giatkan dialog dan penerangan kepada DHPP

Anis Nazri, 21 Nov 2013


PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) disaran agar turut mengadakan sesi dialog dan penerangan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam usaha menyampaikan dakwah secara berterusan.

Saranan itu dikemukakan perwakilan Pahang, Nazri Ahmad ketika membahaskan ucaptama ketua pemuda, di Dewan Sivik, petang ini.

Malah, tambah beliau sesi usrah juga boleh dilaksanakan bersama-sama mereka sebagaimana yang dilakukan bersama para artis dan penggiat seni sebelum ini.

"Sebagai sebuah gerakan Islam, DPPM perlu membimbing DHPP agar boleh menjadi jurucakap yang lebih berkesan kepada masyarakat bukan Islam di luar sana untuk mendekati Islam," kata beliau.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru agar program-program agama diperbanyakkan di tanah-tanah rancangan seperti Felda dan Felcra, dengan kerjasama NGO terpilih.

Program penerangan agama itu, tambah beliau perlu diadakan bagi memastikan anak-anak muda di tanah rancangan tersebut dapat memenuhi keperluan diri mereka.

Seramai 14 orang perwakilan diberikan peluang untuk membahaskan ucaptama ketua pemuda sempena Muktamar Tahunan DMPP kali ke-54.

Siaran langsung Muktamar PAS ke-59

Harakahdaily , 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Perasmian Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Malaysia yang diadakan di dua tempat  berbeza malam tadi  disiarkan secara langsung oleh rangkaian webtv PAS.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis perasmian muktamar Dewan Ulama  dan muktamar penuh dewan-dewan Pemuda dan Muslimat hari ini turut disiarkan secara langsung.

Pengarah Jabatan IT PAS Pusat (JITP), Suhaimi Embong memberitahu pihaknya ditugaskan   mengendalikan urusan berkaitan siaran siber dan media baru ini bagi pihak panitia muktamar ke-59 selain daripada tugas-tugas lain berkaitan dengan multimedia dan IT.

Siaran langsung Muktamar Dewan Ulama boleh diikuti menerusi webtv Terengganukini (www. terengganukini. net), Muktamar Dewan Pemuda menerusi Ehsantv (www.youtube.com/ ehsantv) dan  Muktamar Dewan Muslimat pula menerusi KelantanTV (www.kelantantv. my)

Manakala bagi muktamar penuh mulai esok, 22hb  November, siaran langsung boleh diikuti melalui webtv PAS Pusat (webtv.pas.org.my).

“Selain siaran langsung melalui webtv, radio internet hijau.fm juga membuat lintas langsung ke beberapa lokasi muktamar dewan-dewan sejak semalam dan juga menyiarkan langsung terutamanya pada hari perasmian  muktamar penuh PAS pada jumaat, 22hb November, 2013” kata Suhaimi yang juga Ketua IT Panitia Muktamar ke-59

Selain iu, JITP membantu Pejabat Setiausaha Agung PAS dengan membuka kaunter SPOKAS (Sistem Pengurusan Organisasi dan Keahlian PAS) dan Penerangan dengan membuka konti hijau.fm untuk bersiaran dari tapak pameran PAS for All bermula hari ini.

Seramai 90 orang petugas sukaralewan IT telah diberikan tugas-tugasan khusus berkaitan dengan multimedia dan IT bagi memastikan kelicinan muktamar pada kali ini sepanjang 5 hari bermuktamar sejak semalam.

DPPM perlu ubah strategi hadapi PRU14

Muhammad Faizal, 21 Nov 2013

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) perlu melakukan perubahan strategi kempen dalam mendekati pengundi pada pilihanraya umum yang akan datang.

Perwakilan Melaka, Azizan Lim dalam perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS di Muktamar Tahun DPPM ke-54 meminta agar DPPM segera melakukan perubahan dan merancang strategi dalam menarik lebih ramai pengundi.

Katanya lagi, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu di Melaka, 'post mortem' mendapati kekalahan PAS adalah disebabkan oleh kegagalan mendekati pengundi ataupun mengenali pasti pengundi di sesuatu kawasan.

"Peluang yang saya peroleh ini ingin saya kongsi bersama serta memberi pandangan terhadap apa yang berlaku di Melaka pada PRU13 yang lalu sehingga menyebabkan kita kalah.

"Saya melihat kempen kita gagal untuk kita mendekati ataupun mengenali pengundi di kawasan yang kita tandingi.

"Kita perlu melakukan perubahan strategi dengan segera untuk kita kita perbaiki kelemahan sebelum ini bagi kita mencapai kemenangan pada PRU14," ucap beliau.

Menurut beliau jika kita hanya terlalu ghairah untuk memasang bendera sehingga larut malam tetapi gagal turun padang untuk mendekati pengundi pada keesokkan hari, ia tidak akan memberi impak langsung kepada sokongan pengundi kepada PAS.

"Kita jangan ghairah memasang bendera sehingga lewat tengah malam dan esok kita malas untuk turun padang mendekati pengundi, jadi apa jadi kepada sokongan kita.

"Di Melaka, saya pernah bertemu dengan DAP untuk meminta bendera dengan hasrat saya dapat memasang di kawasan PAS tetapi mereka mengatakan DAP tidak menempah bendera pada pilihan raya kali ini.

"Apa yang kita lihat sekarang DAP memenangi enam kerusi dan lapan kerusi yang mereka tandingi, jadi apa strategi yang mereka gunakan dan ini perlu kita pelajari, ubah untuk kemenangan," kata beliau lagi.

Wacana Budaya Politik Baru


Beliau yang turut bersetuju dan menyokong dengan politik baru yang menekankan budaya berdialog serta wacana dalam mencari penambahbaikan cadangan.

Katanya, budaya ini akan melahirkan kematangan DPPM dalam politik negara dan terus berada kehadapan bersama-sama tranformasi budaya baru.

"DPPM perlu menguasai politik baru, mewujudkan suasana berdialog, wacana dalam kita berbincang ketengahkan pendapat.

"Ini akan menjadikan penambahbaikan dapat kita lakukan, bertoleransi dalam mengutarakan pendapat untuk hala tuju DPPM pada masa akan datang.

"Budaya ini sangat baik dalam melahirkan kematangan DPPM selari dengan perubahan tranformasi politik negara serta sealiran budaya baru," sambung beliau lagi.

Beliau yang turut berpesan budaya dialog atau wacana ini bukannya rentas DPPM mencari musuh tetapi cara terbaik mendekati kawan yang sealiran pendapat.

Azizan yang turut mencadangkan agar DPPM memberi pengikhtirafan kepada para ilmuwan tanpa mengira latar belakang politik mereka sebagai menghargai sumbangan yang diberikan mereka dalam mengembangkan pendapat melalui penulisan atau idea.

Sesuaikan dakwah dengan anak muda – Pemuda Johor

Hazayani Zakaria, 21 Nov 2013
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPJ) mahu Pemuda PAS Malaysia melaksanakan gerak kerja politik yang memenuhi kehendak dan keperluan anak muda.

Perwakilan Johor, Shazni Munir berkata, DPPM perlu konsisten membentuk gerak kerja dakwah dan politik baru, sesuai dengan keperluan dan kehendak anak muda.

"Politik adalah mengenai kepentingan dan keperluan.

"Jadi Johor usul gerak kerja politik harus memenuhi kehendak dan keperluan anak muda sama ada di negeri atau Malaysia," kata beliau sewaktu membahaskan ucaptama Ketua Pemuda PAS di Muktamar DPPM hari ini.

Memberi contoh di Turki, Shazni berkata, Endorgan menyelesaikan isu ekonomi selepas menang pada tahun 2004 yang memenuhi kehendak rakyat.

"Yang rakyat tak puas hati dengan Endorgan ialah isu alam sekitar sahaja.

"Dalam keadaan banyak isu yang selesai, rakyat tak ada masalah untuk berkomunikasi dengan kerajaan," katanya.

Menyentuh soal tarbiyah pula, beliau berkata tarbiyah bukan hanya kepada ahli pas sahaja tapi mampu menjadi magnet kepada anak muda di luar parti.

"Dalam keadaan kita berusaha menarik orang kepada kita, kita dilihat eksklusif.

"Pemuda tak boleh berfikir kita entiti yang lain daripada anak muda yang lain sebaliknya perlu berfikir sebagai satu entiti yang sama dengan semua orang.

"Selagi meletakkan paradigma bahawa kita entiti yang lain, selagi itu kita tidak dapat mendekati anak muda," katanya.

Calon p'raya untuk menang, tidak mesti ulamak

Harakahdaily, 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Setiap calon PAS yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya adalah calon untuk menang, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Ustaz Harun Taib.

Bercakap menjawab soalan di Muktamar Dewan Ulamak kali ke-52 di Dewan MBSA di sini hari ini, beliau berkata, oleh itu tidak menjadi isu sekalipun calon yang terpilih bertanding adalah bukan dari golongan ulamak.

"Kita buat kerja dengan dengan jujur dan ikhlas. Kalau orang rasa kita layak, sudah tentu kita akan ditonjolkan.

"Calon bukan syarat ulamak sahaja, tetapi calon yang masyarakat nak dan untuk menang," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan Perwakilan dari Urusan Ulamak Ipoh Barat, Ust Norazli Musa.

Norazli ketika sesi pembentangan Laporan Tahunan Dewan Ulamak pagi ini membangkitkan persoalan berhubung ketidakseimbangan calon pilihan raya daripada golongan ulamak.

Beliau bertanyakan, apakah Lajnah Politik Dewan Ulamak ada menetapkan kuota tertentu untuk calon dari ulamak bertanding pada pilihan raya samaada calon parlimen atau Dun.

Menurut Ustaz Harun lagi, ada juga dikalangan calon itu sudah cantik dari segala segi, tetapi isterinya pula jenis tidak bergaul dengan orang ramai.

"Bila pergi ke muslimat, mereka kata kita tak kan undi calon ini sebab isteri dia jenis tak bergaul dengan orang. Jenis itu pun ada juga," jelasnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Harun berkata, walapun dewan ulamak tidak menetapkan kuota tertentu, namun ulamak sering membuat penegasan bahawa calon dari ulamak jangan ditolak mentak-mentah.

"Maknanya jika ada colon dari ulamak, kawasan kena pertahan dan jangan ditolak mentah-mentah," katanya.

Bukan semua perlu didedah – Siti Zailah

Salmiyah Harun, 21 Nov 2013
SHAH ALAM: Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof mengingatkan para perwakilan agar dapat memahami strategi dakwah dan politik parti yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

Katanya, para perwakilan muslimat harus faham ada sesetengah strategi yang boleh didedahkan dan ada yang tidak boleh didedahkan.

"Para perwakilan kena faham persidangan yang berlangsung hari ini dapat disaksikan seluruh dunia, seluruh media memberi perhatian.

"Ada perkara boleh dijelaskan dan ada yang tidak boleh dijelaskan. Ini strategi dakwah dan politik parti," katanya di hadapan 638 perwakilan yang memenuhi Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah.

Zailah berkata demikian apabila Perwakilan Pahang Wan Hamidah yang membangkitkan penglibatan Nisa di dalam Dewan Muslimat yang dilihat tidak berani untuk bergerak di atas nama parti.

Namun bagi Zailah penglibatan Nisa yang kini bergerak atas nama NGO adalah strategi parti untuk memperluaskan pengaruh PAS di segenap pelusuk terutama golongan wanita muda.

"Senarai ahli jawatankuasa ada yang terlibat dalam kerajaan mereka baru hendak berjinak dan menyokong kita.

"Apalagi mendedahkan program-program kita kepada umum. Ini sangat bahaya. Kita sudah 53 tahun, sudah matang," katanya.

Namun katanya, jika ketidakpuasan hati perwakilan yang membabitkan teknikal para kepimpinannya mencadangkan agar satu program khusus membincangkan soal anak muda selepas ini.

Isu Nisa menjadi hangat dan terus dipersoalkan menyebabkan beberapa pimpinan Muslimat termasuk Naib Ketua, Muslimat Mumtaz Mohd Nawi dan AJK, Aiman Athirah terpaksa menerangkan panjang lebar berkenaan kedudukan sebenar Nisa yang terikat dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Wan Hamidah pada awalnya mempersoalkan mengapa laporan tahunan aktiviti Nisa tidak dimasukkam sekali dalam Laporan Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat tahun 2012/2013.

Politik habuan warnai demokrasi ala Umno

M Faqih, 21 Nov 2013
SAMBIL menjamah nasi beriani, seorang aktivis belia di Pulau Pinang mengeleng-ngeleng kepala. Beliau hairan bagaimana bekas anggota parlimen Bayan Baru boleh dilantik sebagai Duta Besar ke Indonesia.

“Orang lain yang sudah lama berjuang dalam Umno tidak pula merasai habuan seperti itu. Ramai lagi calon lain lebih layak dan berjasa kepada Umno.

“Aku tak kisah kalau hendak lantik Ezam Mohd Nor sebagai Senator kerana penampilan begitu menonjol sebelum ini, tetapi Zahrain apa yang ada,” ujarnya.

Hujahnya berjela-jela. Keenakan nasi ditambah pula lauk pelbagai rasa membuatkan sembang kami semakin rancak di Gelugur, baru-baru ini.

Bekas pegawai Jabatan Penerangan pula mengangguk-angguk kepala. Beliau juga anak tempatan kini mengusahakan perniagaan sendiri. Beliau memberitahu tahu sangat kelibat bekas anggota parlimen itu sebelum ini.

Dakwa beliau, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meninggalkan PKR kerana ada episod dukanya. Ujarnya ada hubung kait rasa kecewa kerana hajat tidak kesampaian.

Kedua-duanya rakan tadi mengakui masih ahli Umno. Ahli perniagaan itu mengheret pula isu di Sungai Limau. Kata beliau kenaikan harga barang faktor utama Umno dan BN gagal di Dun berkenaan.

“Biar pun rakyat disogok janji-janji politik dan wang ringgit, namun bebanan kehidupan seharian lebih dirasai mereka,” tambahnya.

Pengerusi PKR

Pada 2 Oktober lalu, Zahrain menerima watikah tauliah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Beliau sebelum ini Pengerusi PKR Pulau Pinang. Pernah juga dilantik sebagai Pengerusi Hongkew Holdings Sdn Bhd.

Sebelum ini isu membabitkan bekas anggota parlimen Bayan Baru geger di media baru. Malah blog pro Umno juga cuak dengan habuan diberi Perdana Menteri kepada bekas Pengerusi PKR terbabit.

Pelantikan itu pada awalnya nampak seperti dirahsiakan. Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin sebelum ini tidak menyebut nama Duta Malaysia ke Indonesia semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Ketika menjawab soalan anggota parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Hamzah menjelaskan kerajaan hanya melantik empat duta secara lantikan politik.

Mereka iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datin Seri Blanche Olbery (Finland), Datuk Yong Teck Shing (Taiwan) dan Datuk Awang Sahak Awang Salleh (Brunei).

Ramai anggota parlimen hairan, timbalan menteri tidak pula menyebut nama bekas anggota Parlimen Bayan Baru, sedangkan mereka menemui bukti bergambar Zahrain hadir pada taklimat dan memperkenalkan bakal duta Malaysia.

Dan kelmarin pula ada menteri menjawab lantikan yang dibuat itu mengikut Fasal 144 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak puas hati dengan Zahrain, pegawai kerajaan terbabit menempelak, ramai lagi pegawai kanan kerajaan layak mengisi jawatan duta ke luar negara.

Maka tidak salah kalau ada pihak mengandaikan pelantikan Zahrain sebagai 'ganjaran politik'. Ia merupakan habuan kerana meninggalkan perjuangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

Lebih mengejutkan lagi apabila ada pihak menyebut, ada kaitannya dengan usaha Najib mengekang pengaruh Anwar di Indonesia.

Politik habuan

Inilah antara contoh politik habuan yang sudah lama membengkak dalam ruang lingkup demokrasi ala Umno di Malaysia.

Contoh klasik lain termasuk bekas Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu dilantik Duta Khas ke India dan Asia Selatan. Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting pula dihadiah Duta Khas Ke China.

Begitu juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menerima habuan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

Lebih menarik lagi apabila anggota parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis satu-satunya ahli parlimen dilantik sebagai duta. Beliau diberi hadiah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dilantik Pengerusi dan Pengarah Sime Darby. Bekas Naib Presiden Umno yang pernah digantung jawatan angkara politik wang, Tan Sri Isa Samad juga menerima habuan pengerusi Felda.

“Nampaknya tidak perlulah pemimpin Umno bersusah payah untuk menang dalam pilihan raya kerana habuan pasti menunggu mereka selepas kalah,” ujar seorang pensyarah.

Malangnya situasi itu tidak berlaku di Kelantan. Ada orang bertanya apa pula habuan diberi kepada bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh selepas tewas kali kedua di kerusi parlimen Kota Bharu, Mei lalu.

Apa khabar pula Datuk Dr Awang Adek. Sejak diketepikan tokoh muda PAS, Ahmad Marzuk Shaary di Bachok pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu, wajahnya tidak muncul lagi.

Muktamar ialah hari besar kami yang penuh kenangan

Dr Riduan Mohamad Nor, 21 Nov 2013
Gerakan Islam ini terus membesar dan didokongi oleh pelbagai jalur masyarakat serta menjadi pesaing utama regim negara ini. Muktamar PASpula menjadi medan pertemuan ahli dan pemimpin untuk merencahi perjalanan bahtera jamaah serta wadah paling tepat untuk introspeksi kegiatan parti sepanjang satu sesi.

Muktamar PAS saban tahun adalah medan ukhuwwah yang sangat membahagiakan, teman-teman yang datang dari seluruh belahan negara, bersampin lengkap seperti ingin diakadnikah, senyum mekar mengambarkan muktamar ialah hari besar dalam kalendar aktivis dakwah negara ini.

Aku memerhatikan secara dekat perjalanan muktamar PAS ialah semenjak di bangku sekolah iaitu pada tahun 1986 di masjid Rusila Terengganu. Peserta muktamar yang datang berbondong-bondong ke Rusila dengan memakai kain pelekat serta berbaju Melayu. Sesekali laungan takbir yang bersemangat menyulam ucapan pembahas dan pimpinan, pada malamnya kampung nelayan bersejarah itu dipadati puluhan ribu rakyat yang hadir untuk mendengar ceramah pimpinan utama dan juga tetamu jemputan muktamar yang diundang dari luar negara.

PAS waktu itu belum mempunyai akhbar sendiri, berita tentang PAS  begitu hodoh di kaca mata media perdana negara ini. Antara medium utama maklumat ialah ceramah dan juga kaset-kaset yang dijual dengan harga yang murah. Kerana jurang maklumat inilah maka muktamar adalah medan ukhuwwah dan medan maklumat paling penting kepada ahli-ahli PAS.

Masa bergulir pantas, perkembangan teknologi dan peredaran zaman turut menyimbah perubahan kepada muktamar PAS. Di kampus aku mengikuti dengan lebih dekat muktamar, seperti muktamar yang diadakan di markas tarbiyah Taman melewar. Berbeza dengan dekad 1980-an,  Dewan Bahasa Dan Pustaka juga antara tempat yang popular untuk muktamar iaitu sebelum markas tarbiah PAS  Pusat didirikan di Taman Melewar. Di Dewan Syed Nasir DBP juga pada tahun 1982 juga telah menyaksikan transformasi kepimpinan yang dinamakan kepimpinan ulama.

Markas Tarbiah Taman Melewar pada awal dekad 1990-an begitu meriah terutama dengan perbarisan unit amal, sebuah entiti dalam Dewan Pemuda PAS. Jika muktamar berlangsung di Taman Melewar maka aktivis PAS Wilayah  Persekutuan dan Selangor akan menjadi tuan rumah. Muktamar juga bukan sekadar perbahasan yang hangat, namun juga direncah menarik dengan medan jual beli, peniaga begitu sibuk mempamerkan dagangan, riuh rendah tawar menawar sehingga muktamar menjadi pesta besar keluarga PAS.

Muktamar PAS terus semakin hebat apabila PAS menang di beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor.

Kini muktamar PAS menjelma lagi dengan seribu tarikan pesona, malah turut disensasikan oleh media perdana dan juga fenomena media baru.

PAS kini di persada utama gerakan Islam dunia, keberadaan harakatul ummah ini begitu dirasai, maka menjadikan muktamar semakin berseri . Insya-Allah, harakatul ummah ini akan terus relevan kepada rakyat negara ini selagi mana ia kekal di atas orbit Islam. Selamat bermuktamar dan memilih saff kepimpinan bagi perwakilan sekalian. Moga Allah memberikan kekuatan  kepada kita dijalan juang ini dengan dipandu oleh petunjuk Rabbani.

Dr Riduan Mohamad Nor, Ketua Penerangan DPPPM

Tiada ulasan: