Jumaat, 15 November 2013

HATI2 SEMUA KEPUNYAAN ALLAH....ALLAH BOLEH MEMBERI HIDAYAH PADA SAPE YANG ALLAH KEHENDAKI....ALLAH AKAN MENGHUKUM ORANG MEMBUAT KEZALIMAN@MENINDAS@MEMBUAT MUNGKAR SERTA PENYOKONG2NYA SEKALI

Salahudin mahu bawa PAS lebih inovatif dan dinamik

Anis Nazri, 15 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Berhasrat untuk terus memposisikan kedudukan PAS di pentas politik tanah air dan bersaing dalam menentukan masa depan politik negara, Salahuddin Ayub berikrar akan meneruskan apa yang sudah dilakukannya jika terpilih sekali lagi dalam muktamar kali ini sebagai naib presiden.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini Salahuddin berkata peranan beliau membina 'jambatan' bagi menghubungkan PAS dengan dunia luar itu perlu diperkukuhkan dan dianjakkan lagi bagi memastikan PAS sebagai sebuah parti progresif, inovatif dan dinamik.

"Bagi saya, PAS sebagai parti yang berdasarkan Islam ini mesti perlu progresif, inovatif dan dinamik bagi memposisikan diri sebagai sebuah parti yang dapat bersaing dalam suasana politik masa depan negara," tegas beliau.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut berpendapat PAS perlu muncul untuk jadi parti terkuat, yang merupakan satu lonjakan baru yang perlu didokong bersama yang turut akan dibina kelak.

Pada pemilihan PAS kali ini, jawatan Naib Presiden PAS menyaksikan pertandingan lima penjuru bagi memilih tiga daripadanya untuk penggal 2013-2015.

Selain Salahuddin, dua penyandang lain iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa turut mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut bertanding untuk jawatan tersebut.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 akan diadakan pada 22 hingga 24 Nov, bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Rosni mahu Muslimat PAS jadi pencorak masyarakat

Hazayani Zakaria, 15 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Calon Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Dr Rosni Adam (gambar) berazam untuk menjadikan DMPP sebuah organisasi yang bergerak dan mampu mencorak masyarakat.

Beliau berkata, berbekalkan kekuatan dalaman dan kelebihan ilmu yang dimiliki pimpinan dan ahli, DMPP mampu menjadi organisasi yang mendepani isu-isu masyarakat khususnya isu wanita.

"Kita mahu DMPP menjadi organisasi yang bergerak berbekalkan kekuatan tarbiyah dan pengalaman ilmu untuk merasai denyut nadi masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan dan tahap pendidikan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau juga berkata, DMPP perlu menjadi organisasi yang seimbang dari sudut siasah dan dakwah, bertepatan dengan dasar PAS yang memperjuangkan Islam.

"Di samping lengkap dengan ilmu berkaitan politik dan siasah, muslimat juga perlu mengutamakan tugas dakwah dan tarbiyah serta meneruskan kepimpinan ulama.

"Macam saya, saya profesional tapi saya tetap mahukan kepimpinan ulama," katanya.

Menyentuh mengenai keberadaan DMPP bersama Wanita Pakatan Rakyat, beliau berkata DMPP mesti meneruskan kerjasama dengan Wanita PKR dan DAP namun harus lebih ke hadapan.

"DMPP mesti diberi ruang dan peluang untuk terus menyumbang idea dan tenaga bersama Wanita Pakatan Rakyat dan biarlah kita menjai organisasi yang sentiasa di hadapan," katanya.

Selain itu, beliau juga berpandangan, pertandingan dalam DMPP membuktikan demokrasi dalam PAS dan sekaligus menunjukkan DMPP mempunyai ramai calon yang layak.

"Pertandingan ini menyuburkan demokrasi dalam PAS secara tak langsung menunjukkan muslimat mempunyai ramai calon yang boleh dipilih sebagai pemimpin," katanya.

Seorang lagi calon yang bertanding pada pemilihan muktamar kali ini ialah Mumtaz Md Nawi.

Muktamar DMPP akan berlangsung pada 21 November ini di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam.

PAS Melaka anjur konvensyen kedua 17 Nov

Ahmad Danial, 15 Nov 2013
MELAKA: PAS Negeri Melaka akan mengadakan konvensyen kali kedua pada 17 November ini bertempat di Kompleks PAS Bukit Katil bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.

Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Asri Sheikh Abdul Aziz berkata konvensyen itu adalah kesinambungan dari konvensyen kali pertama yang diadakan pada tahun lepas.

"Kita akan anjurkan konvensyen ini tiap-tiap tahun sebagai platform untuk PAS negeri menilai dan memuhasabah serta merangka strategi perjuangan pada masa hadapan.

"Konvensyen ini memberi ruang kepada pimpinan PAS negeri dan ahli-ahli menyatakan pandangan dan cadangan kepada PAS bagi memastikan kesinambungan perjuangan kita di Melaka," ujar Asri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ringkas selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa konvensyen di sini, malam tadi.

Asri berkata antara perkara penting akan dibincangkan pada konvensyen itu ialah tarbiah, pemerkasaan dan pengurusan parti.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan majlis penutup oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Presiden juga akan menyempurnakan majlis perasmian Kompleks PAS Bukit Katil yang baru siap bagi menggantikan bangunan lama yang dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan baru.

Seluruh kepimpinan PAS pelbagai peringkat dari cawangan hingga negeri dijemput hadir untuk memeriahkan program tersebut.

Undi saya dapat, tak sebanyak anak ayam - Sohaimi

Harakahdaily, 15 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau lalu mendakwa keputusan pilihan raya itu menggambarkan betapa sukar memenangi hati rakyat walaupun pelbagai pemberian oleh BN sepanjang berkempen.

Beliau yang tampil berkongsi pengalaman berkempen pada pilihan raya itu bersama Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) semalam berkata, pengundi sebenarnya tidak mudah terpengaruh dengan pemberian itu kerana mereka sudah mempunyai calon pilihan sendiri.

“Memang diakui kerajaan menggunakan jenteranya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dengan memberikan bantuan.

"Adakah kita boleh pastikan dengan bantuan seumpama itu boleh meraih undi? Jawapannya belum tentu.

“Saya lihat satu kawasan itu Fama memberikan pokok pelam dan berlori anak ayam. Saya pasti jumlah undi yang diterima dengan bilangan anak ayam yang diberi tidak sama. Ia seperti memberi bola tanggung dalam bola sepak,” katanya dipetik TMI.

Ahmad Sohaimi turut mengakui peningkatan undi Cina kepada BN tidak berlaku kerana menurutnya jika 1,000 pengundi Cina mengundinya semasa PRK lepas maka beliau mampu memenangi pilihan raya itu.

Katanya, dalam tiga acara pertemuan bersama masyarikat Cina di Sungai Limau, terdapat majlis dihadiri seramai 400 orang tetapi pengundi sebenar di kawasan tersebut hanya kira-kira 100 pengundi Cina sahaja.

“Saya dan pemimpin MCA pada malam itu menyampaikan ceramah kepada bukan pengundi. Hadirin yang datang memberikan tepukan gemuruh sehingga ada yang berkata berdasarkan sokongan, BN mampu memenangi pilihan raya itu.

“Itulah yang dikatakan kerana tepuk kampung tergadai. Pengundi di sana beranggapan jika BN kalah sekalipun tidak memberi apa-apa makna kerana Kedah masih bersama BN," katanya.

Ceroboh: Apakah tindakan Kerajaan Malaysia?

Harakahdaily, 15 Nov 2013

Pemimpin PAS Johor menunjukkan kenyataan akhbar mengenai pencerobohan itu.

KUALA LUMPUR: PAS Johor bimbang pencerobohan sebegitu banyak berlaku kerana kepimpinan Malaysia tidak tegas atau lemah.

Sehubungan itu, PAS Johor mendesak supaya Kerajaan Johor dan Malaysia perlu mengambil tindakan tegas sama ada diplomatik dan ketenteraan supaya kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan tidak semudahnya dicabar dan diceroboh oleh anasir luar.

“Cukuplah peristiwa pencerobohan ruang angkasa Johor ini, insiden pecerobohan di Lahad Datu dan tragis hilangnya Pulau Batu Putih kepada Singapura menjadi sempadan noktah yang menuntut ketegasan daripada kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” ujar Timbalan Pesuruhjayanya, Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan.

Kenyataan PAS Johor seperti di bawah.

Baru-baru ini berlaku lagi pencerobohan ruang angkasa Johor oleh RSAF khususnya di Gelang Patah.

Pencerobohan ruang angkasa Johor telah berlaku ribuan kali tetapi masih tidak ada tindakan tegas daripada Kerajaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Isu pencerobohan ini adalah melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara. Rakyat tidak boleh menerima insiden pencerobohan ini walau apapun alasanya sama ada latihan atau tidak sengaja kerana ianya menunjukkan bertapa rapuhnya pertahanan ruang angkasa negera kita.

Di bawah adalah rintitan sejarah pencerobohan ruang udara negeri Johor oleh RSAF:

1) Menurut bekas Menteri Pertahan Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar, pada bulan April hingga Mei 1996 sahaja 6 insiden pencerobohan jet-jet pejuang Singapura di ruang angkasa Johor. - Utusan Malaysia, Julai 1996; Pencerobohan Jet Asing oleh Zaid Zain  (Wartawan Utusan)

2) Insiden kemalangan pesawat tentera Singapura di Malaysia turut di lapurkan, antaranya pada 2 Februari 1992 sebuah pesawat latihan RSAF jenis Marchetti 211 jatuh di perairan Selat Johor berhampiran Tanjung Adang, begitu juga pada 2 September 1991 sebuah pesawat pejuang RSAF jenis Northrop F5 E terhempas di tapak projek padang golf di Pasir Gudang, - Utusan Malaysia, Julai 1996.

3) Antara penyumbang utama dalam permodenan angkatan tentera Singapura ialah Israel, menurut lapuran Jane’s Defense Weekly 5 July 2000, pihak Singapura, Israel dan Amarika Syarikat bersetuju membina Satelit perisikan bernilai $USD 1 billion untuk kegunaan Singapura.

4) Sidang Parlimen 2011, jawapan bertulis Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat. Pesawat perang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah menceroboh ruang angkasa Malaysia sebanyak 2,508 kali sejak tahun 2008.

5) Pada tahun 2008 sahaja belaku sebanyak 985 kali, 2009 iaitu paling banyak, 1,286 kali, 2010 sebanyak 218 kali dan 2011 dari Jan-Mei sebanyak 19 kali.

Apakah tindakan Kerajaan Malaysia

• Persoalan 1: Apa tindakan Kerjaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khusunya TUDM? Setakat ini kerajaan hanya menyatakan bahawa Malaysia menangani pencerobohan ini melalui 'bantahan-bantahan diplomatik'. PAS Johor berpendapat bantahan diplomatik tidak mencukupi walaupun Malaysia telah  melakukannya sejak 2008, ia jelas tidak menyekat atau menghalang RSAF daripada terus mencerobohi ruang angkasa Malaysia.

• Persoalan 2: Apakah kemampuan pertahanan udara kita begitu lemah sehingga sebuah negara asing boleh dan terus mencerobohi ruang udara kita tanpa tindakan tegas? PAS Johor ingin tahu sama ada ATM terutama TUDM mempunyai keupayaan atau kelengkapan canggih untuk memintas dan menagkis serangan udara dari pihak luar khususnya Singapura?

Malaysia tidak boleh selama-lamanya 'beralah' tetapi mesti memperlihatkan ketegasan dan kesungguhan dalam menangani sesuatu isu ini terutama yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

PAS Johor bimbang pencerobohan sebegitu banyak berlaku kerana kepimpinan Malaysia tidak tegas atau lemah.

PAS Johor mendesak supaya Kerajaan Johor dan Malaysia perlu mengambil tindakan tegas samada diplomatik dan ketenteraan supaya kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan tidak semudahnya dicabar dan diceroboh oleh anasir luar.

Cukuplah peristiwa pencerobohan ruang angkasa Johor ini, insiden pecerobohan di Lahad Datu dan tragis hilangnya Pulau Batu Putih kepada Singapura menjadi sempadan noktah yang menuntut ketegasan daripada kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Pertemuan seni budaya kampung tradisi esok

Hazayani Zakaria , 15 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Para seniman, pengkaji budaya, aktivis serta penduduk kampung-kampung tradisi di Kuala lumpur akan bertemu dalam program Seni-budaya Kampung Melayu di ibu kota, esok.

Bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), program anjuran bersama Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) akan bermula jam 9.00 pagi dan dijangka selesai jam 12.00 tengah hari.

Menurut Presiden Paksi, Dinsman, program esok adalah lanjutan kepada acara seni budaya yang pernah diadakan di Kampung Banda Dalam pada 2011.

Acara tersebut berjaya menghasilkan antologi puisi oleh 56 orang penyair.

Beliau berkata, selain ceramah, program esok akan diisi dengan sesi dialog antara penduduk yang hadir, deklamasi puisi dan pameran khazanah kampung dan sejarah pemusnahannya.

"Dengan lenyapnya kampung-kampung Melayu ini maka lenyaplah segala unsur seni budaya yang wujud di kampung-kampung tersebut. Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan.

"Oleh itu kita perlukan pemikiran baru, usaha baru untuk memajukan apa yang kita miliki ini dan saya fikir pertemuan dengan semua pihak harus diadakan bagi menunjukkan kesepakatan kita alam mempertahankan kampung Melayu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, walaupun pada asalnya ada tujuh Kampung Melayu yang diperjuangkan untuk menjadi kampung warisan, namun ia bertambah apabila ada penempatan India dan Cina akan turut dimusnahkan iaitu Kampung Railway, Sentul dan Jalan Sultan.

Sebelum ini, Paksi dan Muafakat mempertahankan Kampung Banda Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Puah Seberang, di Gombak daripada dimusnahkan untuk pembangunan.

"Pertemuan esok akan turut dihadiri oleh penduduk Kampung Railway, Sentul yang kebanyakannya rumah mereka dirobohkan untuk projek KTM dan penduduk Jalan Sultan yang terjejas dengan projek MRT," katanya.

Justeru beliau mengajak warga kota yang cakna dengan budaya dan warisan orang Malaysia hadir beramai-ramai ke program esok.

"Saya mengingatkan semua, kampung tradisi adalah warisan masyarakat kita, Jadi marilah kita bersama-sama dalam  acara esok," katanya.

Hanya kerana salah jawatan, usul pemborosan BN ditolak

Harakahdaily, 15 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat semalam menolak dua usul berkenaan pemotongan gaji ke atas jawatan beberapa orang Duta Khas dan Penasihat Khas yang dilantik kerajaan.

Usul pertama yang dibawa Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) ialah usul untuk memotong elaun yang dibayar kepada tiga bekas menteri yang kini dilantik sebagai Duta Khas yang keseluruhannya berjumlah RM980,179 setahun.


Mereka ialah Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang dilantik sebagai Duta Khas ke Amerika Syarikat, Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India).


Usul kedua pula dibawa Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang mencadangkan supaya gaji lima penasihat khas kepada kerajaan di Jabatan Perdana Menteri dipotong kerana pelantikan mereka bertindih dengan fungsi menteri dan kementerian sedia ada, serta membazirkan wang rakyat.


Bagaimanapun, Fuziah (gambar, kanan) telah memberikan fakta-fakta yang salah tentang mereka dengan mengatakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil adalah Penasihat Khas Hal Ehwal Wanita, Datuk Seri Noh Omar (Pengerusi untuk negeri Selangor), Datuk Seri Johari Baharom (Penasihat Wilayah Koridor Utara) dan Tan Sri Dr Rais Yatim (Penasihat Khas Sosial dan Kebudayaan) dan Hasbi Habibollah, penasihat pembangunan Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul kedua itu berkata usul itu ditolak kerana fakta yang dikemukakan Fuziah adalah salah, lapor Bernama.


Katanya, sebagai contoh, jawatan sebenar Shahrizat ialah Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Iktisas Wanita dan bukan Penasihat Hal Ehwal Wanita seperti yang disebut Fuziah.


Katanya, jawatan sebenar Noh pula ialah Pengerusi Tindakan Persekutuan Selangor manakala Johari (Penasihat Khas kepada Perdana Menteri untuk Wilayah Koridor Utara), Hasbi adalah Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak dan Rais adalah Penasihat Khas Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.

Fuziah mendakwa keseluruhan bayaran gaji kepada lima orang penasihat itu berjumlah RM1.6 juta setahun.

Bagaimanapun, kedua-dua usul itu ditolak setelah Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee membuat undian secara lisan yang menyaksikan lebih suara menolak daripada menyokong.

Ketika menggulung perbahasan untuk usul pertama, Razali berkata pemberian  elaun kepada ketiga-tiga duta khas itu adalah berdasarkan perjanjian yang ditandatangani setelah pelantikan dikuatkuasakan pada tahun 2011.

"Dalam perjanjian itu ada dinyatakan bahawa semua duta khas yang dilantik diberi penawaran (elaun) dan balasan sewajarnya berdasarkan tugasan yang diberi.

"Sama ada mereka mahu menerima (elaun) ataupun tidak, mereka mempunyai hak, (namun) perjanjian telah ditandatangani," katanya.

Sebelum itu pembentangan usul oleh Fuziah terganggu oleh bantahan Ahli Parlimen BN diketuai Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin (gambar, kiri).

Sambil mendakwa usul yang dibentangkan itu sebagai ‘usul haram’, Bung Moktar mengoyak-ngoyakkan kertas usul sambil diikuti beberapa Ahli Parlimen BN yang lain.

Para pemerhati menganggap bantahan itu sengaja dibuat bagi membalas protes serupa dilakukan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mengoyak-ngoyak kertas usul menggantung MP Padang Serai pada sesi pagi sidang Dewan Rakyat.

Ketika membentangkan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Fuziah berkata ia dimajukan untuk mengelakkan pembaziran Belanjawan 2014 memandangkan lima jawatan itu dilihat sebagai tidak lebih daripada lantikan politik.

Bersatu kita daulat hukum Allah di Kelantan – Annuar

Harakahdaily, 15 Nov 2013


KUALA LUMPUR: “Jom bersatu kita utk mendaulatkan hukum Allah di Klate kita...” tulis Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar menerusi facebook.

Beliau menulis demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Datuk Daud Muhammad bahawa Jabatan Kehakiman Syarie negeri itu telah siap sedia sepenuhnya untuk melaksanakan hudud yang baginya merupakan sesuatu yang menggembirakan.

“Setelah Brunei kita harap Klate kita pula menyusul segera pelaksanaannya...lagi pun urusan agama adalah terletak bawah bidang kuasa negeri sepenuhnya,” tulisnya lagi.

Pada 18 September 2011, media melaporkan, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan hasrat Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud.

Beliau berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berkenaan sebelum ini mendapat tentangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengugut bertindak jika PAS Kelantan melaksanakannya.

“Kerajaan negeri setiap masa hendak kepada hudud, apabila tiada hudud inilah jadinya, rasuah, zina, pecah rumah dan sebagainya. Hudud ini perlu disegerakan, PAS Kelantan sudah lulus, semua Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak kira, PAS atau Umno sokong 100 peratus,” katanya.

Dun Kelantan meluluskan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) pada 1993.

Sementara itu, mengikut laporan media, Najib menegaskan  undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

"Undang-Undang hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.

"Jika ditanya para ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah, pada 24 September 2011.

Tiada ulasan: