Ahad, 10 November 2013

JANGAN KITA MENGHAMPIRI PERKARA YANG BOLEH MEMBAWA KECELAKAN@BAHAYA

Khairy tuntut AG perjelas kes PKFZ
 
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menuntut Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan menjelaskan alasan untuk tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah yang melepas bekas menteri pengangkutan Datuk Seri Ling Liong Sik berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Katanya, Gani perlu menjelaskan perkara tersebut atas kepentingan awam.

"Saya rasa ia satu kes yang mempunyai kepentingan awam dan penjelasan  perlu dilakukan oleh peguam negara jika beliau tidak mahu mengemukakan rayuan dan apakah alasannya (untuk tidak mengemuka rayuan).

"Ini (PKFZ) satu kes yang sangat pengting dan saya fikir masyarakat umum mahu tahu apakah alasan di sebaliknya?,” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil petang ini.

Ling yang merupakan bekas presiden MCA pada 25 Oktober lalu dilepaskan dari tuduhan menipu kerajaan dalam kese projek PKFZ yang bernilai berbilion ringgit.

Bekas menteri itu dituduh gagal mendedahkan kepada kabinet berhubung kadar faedah 7.5 peratus setahun atas harga pembelian tanah untuk projek PKFZ, yang menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan RM720 juta setahun.
Suspek berjubah tembak ketua penguatkuasa JAIP
 
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mati selepas terkena tiga das tembakan di rumahnya di Indera Mahkota 2 dekat Kuantan hari ini.
Menurut sumber polis, Raflie Ab Malik dipercayai mati di tempat kejadian kira-kira 2 petang.

"Tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu," kata sumber polis kepada Bernama di Kuantan.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menembak mangsa.

"Suspek juga dipercayai memakai pakaian berwarna hitam dan berkopiah," katanya.

Beliau berkata polis masih menyiasat kes itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan kejadian itu.

- Bernama
DBKL mula runtuhkan kuil Sri Muneswarar
1:59PM Nov 10 2013  
Kerja-kerja perobohan kuil Sri Muneswarar di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur, diteruskan semula pagi ini melibatkan struktur utama kuil.
Setiausaha kuil tersebut Nalini Nani turut mengsahkan bahawa peguam dan pemimpin PKR S Jayathas ditahan di tapak kuil tersebut.

Kerja-kerja perobohan itu bermula pada September lalu apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memasang dinding di sekeliling premis kuil tersebut setelah kawasan itu diserahkan kepada satu syarikat pemaju.

Menurutnya, Jayathas dan seorang lagi yang dikenali sebagai K Nagarajan ditahan pagi ini kerana cuba menghalang tugas pegawai DBKL.

Setakat jam 11.30 pagi ini, dua jentolak memulakan kerja-kerja perobohan kuil berkenaan dengan diperhatikan 50 anggota polis dan pegawai DBKL.

Jalan yang menuju ke kuil tersebut turut disekat.

Para pekerja dilihat menanggalkan sebahagian bumbung kuil dan memotong pokok berhampiran.
Suspek kes rompak, bunuh pegawai AmBank ditahan
 
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek kes rompakan dan bunuh pegawai AmBank Subang Jaya pada 23 Okt lepas, di Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada pasukan Ops Cantas yang telah berjaya menahan suspek serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu polis.

"Syabas, pasukan Ops Cantas Bukit Aman telah berjaya tangkap pembunuh/perompak kejam AmBank di Johor pagi ini. Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu PDRM," katanya dalam laman Twitter rasminya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata bertindak atas maklumat Pasukan Cantas Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), polis menahan suspek berkenaan pada kira-kira 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi.

"Polis percaya dengan penangkapan suspek itu, kes berkenaan berjaya diselesaikan," katanya.

Dalam kejadian 23 Okt lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan.

Mangsa telah bekerja selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Suspek melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000.

- Bernama
Kes culik: Polis tahan bekas pembantu rumah
 
Bekas pembantu rumah warga Filipina yang pernah berkhidmat dengan keluarga Freddie Joseph, kanak-kanak lelaki Britain yang dilarikan di Bangsar, Jumaat lepas, dan teman lelakinya ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Desa, Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur hari ini berhubung kes culik itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata wanita dan lelaki tempatan masing-masing berumur 39 dan 53 tahun itu ditahan pukul 11 pagi kerana polis percaya mereka "sama ada secara langsung atau tidak" dapat membantu siasatan kes culik itu.

Menurut Ku, wanita itu memasuki negara ini sejak 2004 dan pernah bekerja dengan keluarga mangsa selama setahun sebelum ditamatkan perkhidmatannya enam bulan lepas dan kini bekerja sebagai pembantu rumah di Damansara manakala lelaki itu pula bekerja sebagai juruteknik paip.

"Kita mempunyai sebab-sebab munasabah untuk menahan mereka. Kita harap akan dapat gambaran dan cerita yang lebih jelas berhubung kes ini," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Freddie Joseph, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan itu dilarikan seorang lelaki dan wanita di rumahnya di Bangsar, ketika ibunya masuk ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah mereka.

Kanak-kanak itu kemudian dijumpai beberapa orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, tengah hari semalam dalam keadaan keletihan dan kelaparan.

Polis merampas beberapa barangan di pangsapuri terbabit namun tidak memperincikannya.

Ku berkata polis masih menyifatkan kes itu berunsur penculikan tetapi menolak ia untuk mendapatkan tebusan.

"Kita akan mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua individu ini esok di mahkamah dan jika benar terdapat unsur penculikan, kedua-duanya boleh ditahan reman sehingga dua minggu," katanya sambil menambah polis masih mencari beberapa individu lain kerana tidak ada diskripsi yang jelas berhubung suspek utama.

Ditanya kemungkinan pembantu rumah dan majikannya pernah bergaduh atau bertengkar sehingga mencetuskan kejadian itu, Ku berkata :"Tiada pergaduhan antara mereka. Kita masih mencari motif sebenar."

Sementara itu, beliau menolak dakwaan yang kanak-kanak itu didera berikutan terdapat kesan calar pada bahagian badannya.

"Tiada unsur penderaan pada kanak-kanak itu. Dia kini masih dirawat di unit Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya ketika ini," katanya.

- Bernama
Nelayan di Kelantan dinasihat tidak turun ke laut
 
Kira-kira 3,600 nelayan tradisional dan laut dalam di Kelantan dinasihat tidak turun ke laut berikutan keadaan laut yang bergelora dan berbahaya kepada aktiviti menangkap ikan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kelantan (LKIM) Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim menasihati mereka supaya mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Saya tidak menolak kemungkinan sebilangan kecil, terutama nelayan bot laut, tetap ke laut hari ini... saya berharap mereka segera menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jika berlaku kecemasan di samping sentiasa memakai jaket keselamatan," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) dengan angin kencang dijangka mencapai kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam manakala ombak setinggi 3.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur hari ini.

Fenomena itu dijangka berlaku sehingga Selasa ini dan ia berbahaya kepada bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut.

- Bernama
Diberkas sejurus selepas ragut telefon bimbit
 
Sepasukan polis peronda di Tawau memberkas seorang peragut dan dua rakannya sejurus selepas suspek terbabit meragut telefon bimbit seorang ahli perniagaan dari China awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata kesemua suspek ditahan ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta selepas melakukan jenayah itu di hadapan bangunan Mahkamah Tawau, kira-kira jam 3.30 pagi.

Awang Besar berkata ketika kejadian ahli perniagaan berusia 54 tahun dan seorang lagi rakannya sedang berjalan untuk pergi ke tempat penginapan mereka yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

“Ketika sampai di hadapan mahkamah, seorang lelaki terus merampas telefon bimbitnya dari arah belakang kemudian melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di Tawau hari ini.

Katanya ketika ahli perniagaan itu mengejar lelaki berkenaan, sebuah kereta tiba-tiba muncul untuk mengambil suspek namun pada masa yang sama sepasukan polis peronda tiba dan terus menahan tiga lelaki di dalam kereta itu.

Polis menemui semula telefon bimbit mangsa manakala ketiga-tiga lelaki berumur antara 21 hingga 22 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

- Bernama
Wanita ditemui mati di lorong pejalan kaki
 
Seorang wanita dipercayai rakyat Indonesia ditemui mati di lorong pejalan kaki, berhadapan stesen Petronas di Jalan Bangsar, semalam.

Mayat wanita yang hanya dikenali sebagai Juhiriyah, 40-an, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam yang melalui kawasan itu tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya wanita itu mati sejak empat hari lepas.

"Polis menemui beg tangan mangsa berhampiran mayat itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- Bernama
K'jaan arah GLC tambah iklan di Utusan, Berita Harian
 
Kerajan mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama supaya menambah jumlah iklan di akhbar berbahasa Melayu khususnya yang dimiliki Umno iaitu di Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Timbalan menteri kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah menulis surat kepada pemimpin tertinggi atau pengerusi GLC berkenaan supaya membelanjakan bajet iklan mereka kepada akhbar bahasa Melayu itu.
Ahmad Maslan at Perkasa deepavali digDengan memberi contoh, Ahmad berkata sebanyak 35 GLC utama di Malaysia hanya membelanja 3.7 peratus untuk iklan daripada semua bajet pengiklanan di Utusan Malaysia.

"Ini terlalu amat sedikit. Bukan harap majoriti. Maksudnya hendak ambil kira perjuangan Utusan Malaysia, Berita Harian ini untuk negara. Dan (jika) mereka meletak iklan begitu kecil, maka perjuangan untuk negara itu akan terencat.

"Jadi berlaku adil kepada dana iklan mereka itu... Saya dah tulis surat supaya ambil tindakan wajar untuk tambah jumlah iklan di surat khabar bahasa Melayu (itu)," katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Pontian berkata kepada pemberita selepas menghadiri sambutan perayaan Deepavali di Gombak tengahari tadi.

Tiada ulasan: